Tuesday, September 22, 2015

Kelebihan berpuasa di hari Arafah








Oleh Ust Hasnizatul Azri bin Zainudin

Berpuasa di hari Arafah bagi orang yang tidak menunaikan ibadah haji adalah satu kelebihan dan kenikmatan bagi orang yang tiada rezeki mahupun tidak berpeluang menunaikan ibadah haji di Baitullah Al Haram. Atas sebab ini juga, bagi orang Islam yang tidak pergi menunaikan haji boleh melakukan ibadah ini iaitu berpuasa sunat hari Arafah. Hal ini kerana, daripada perkara sunat ini, kita dapat merasakan nikmat seperti orang yang  sedang menunaikan ibadah  haji walaupun hakikat dan kebenarannya kita hanya berada di tanah air sendiri.
Puasa sunat hari Arafah ini hukumnya sunat bagi orang yang tidak menunaikan ibadah haji untuk melakukakannya. Namun, bagi Jemaah haji pula,amalan sunat ini adalah tidak disunatkan bagi mereka untuk berpuasa sunat di hari Arafah bahkan disunatkan bagi mereka agar berbuka sepertimana yang dilakukan oleh baginda Rasulullah saw ketika sedang berada di Arafah. Hal ini adalah kerana jemaah haji memerlukan tenaga dan kekuatan untuk meneruskan ibadah mereka. Jemaah haji juga akan tetap kuat dan sentiasa istiqamah dalam berzikir dan membanyakkan doa di hari Arafah tersebut.

Antara kelebihan-kelebihan orang yang berpuasa di hari Arafah ialah:
1) Diampuni dosa mereka setahun yang lepas dan setahun yang akan datang.

Dari Abu Qatadah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah saw pernah  ditanya tentang puasa hari Arafah, kemudian baginda menjawab:

يُكَفِّرُ السَّنَةَ الْمَاضِيَةَ وَ الْبَاقِيَة

“Puasa itu (puasa hari Arafah) dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu dan setahun akan datang”. (HR  Muslim, Tarmizi,dan Baihaqi)
2) Amalan yang baik yang amat disukai oleh Allah.
Dari Ibnu `Abbas radhiAllahu `anhuma bahawa Nabi saw bersabda:
مَا مِنْ اَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا اَحَبُّ اِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الْاَيَّامِ, يَعْنِي اَيَّامَ الْعَشْرِ, قَالُوا:  يَا رَسُولَ اللهِ, وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ؟  قَالَ:  وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ, اِلَّا رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ شَيْءٌ

“Tidak ada hari yang amal soleh padanya lebih dikasihi Allah selain dari hari-hari yang sepuluh ini (pada bulan Zulhijjah)”. Para sahabat bertanya: “Walaupun berjihad di jalan Allah?” Rasulullah saw bersabda:  “Walaupun berjihad di jalan Allah, kecuali lelaki yang keluar berjihad membawa diri serta hartanya dan tidak kembali lagi selepas itu (syahid)”. (HR Bukhari)
3) Hari manusia dibebaskan paling ramai daripada api neraka.
Dari `A’isyah radhiAllahu `anha berkata bahawa Rasulullah saw  bersabda:

مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللهُ فِيهِ عَبْدًا مِنْ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَة

“Tidak ada hari yang lebih ramai AllahTa`ala membebaskan hamba-Nya daripada api neraka lebih daripada hari Arafah". (Hadis isnad sohih dikeluarkan oleh Ibnu Abu Syaibah dan Baihaqi)
10 Zulhijjah bakal menggamit lagi menandakan ketibaan Eidil Adha bersama dengan laungan tahmid memuji Allah di atas segala nikmat kurniaannya termasuk nikmat berhari raya. Kemeriahan Eidil Adha akan lebih terasa apabila umat Islam yang tidak mengerjakan ibadat haji di Mekah sama-sama menunaikan puasa sunat hari Arafah. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang. Ini bermakna Islam sentiasa mengawal setiap tindak tanduk umatnya yang mana setiap amalan yang dikerjakan dan bertepatan dengan kehendak syarak akan diganjari pahala termasuklah juga perkara makan dan minum.
Pusat Islam UTeM

No comments:

Post a Comment