Monday, November 17, 2025

Masa hadapan keselamatan sosial dan perpaduan antara agama dalam menghadapi ekstremisme Hindutva di India


India merupakan sebuah negara yang secara tradisinya kaya dengan kepelbagaian agama, budaya, bahasa dan sejarah tamadun yang panjang. Sejak zaman empayar Mughal sehingga era kolonial British, India telah menjadi medan interaksi antara pelbagai komuniti termasuk Hindu, Muslim, Sikh, Kristian dan Buddha.

Keunikan ini sering dipuji sebagai contoh toleransi dan pluralisme yang berjaya dalam dunia moden. Namun, dalam beberapa dekad terkini, kepelbagaian yang pernah menjadi kekuatan ini mula dicabar oleh perkembangan politik identiti yang semakin ekstrem, khususnya dalam bentuk nasionalisme agama atau yang lebih dikenali sebagai Hindutva nationalisme. Fenomena ini bukan sekadar perubahan politik tetapi turut memberi kesan mendalam kepada hubungan sosial, keselamatan awam serta persepsi global terhadap demokrasi India.

Baru-baru ini, sebuah video tular memaparkan sekumpulan individu dalam satu acara perarakan agama Hindu yang menaiki sebuah jentolak atau jentolak sambil dikatakan membawa pedang dan melaungkan slogan anti-Muslim. Mereka dipercayai terlibat dalam sebuah perhimpunan besar yang diselaputi serbuk kunyit seperti dalam upacara tradisional Hindu.

Insiden ini dikatakan berlaku di Sangli, Maharashtra dan tersebar melalui media sosial serta beberapa portal berita. Walaupun ketepatan maklumat video ini perlu dirujuk melalui pelbagai sumber bagi mengelakkan salah tafsir, isu yang ditimbulkannya sangat signifikan kerana berkaitan perasaan hormat antara agama, provokasi sosial serta ancaman ketenteraman masyarakat.

Dalam konteks yang lebih luas, peristiwa seperti ini bukanlah sesuatu yang terpencil. Ia mencerminkan perkembangan pola politik dan sosial di India sejak beberapa tahun lepas di mana berlakunya peningkatan retorik kebencian terhadap minoriti khususnya komuniti Muslim. Fenomena ini bukan sahaja menimbulkan pertanyaan moral tetapi turut membawa persoalan tentang arah tuju demokrasi, legitimasi undang-undang serta masa depan keharmonian antara kaum dan agama di negara tersebut. Oleh itu, perbincangan mengenai isu ini bukan sahaja penting bagi rakyat India tetapi juga wajar diperhatikan oleh masyarakat Islam seluruh dunia kerana ia memberi gambaran terhadap bagaimana provokasi agama boleh mengganggu tatanan sosial sesebuah negara.

1. Politik Identiti dan Kebangkitan Hindutva

Ideologi Hindutva yang diungkapkan oleh Vinayak Savarkar pada abad ke-20 bukan sekadar menekankan nilai Hindu tetapi membayangkan India sebagai tanah eksklusif agama Hindu (Jaffrelot, 2007). Dalam konteks politik moden, ideologi ini berkembang melalui mekanisme demokrasi pilihan raya bukan pemberontakan bersenjata. Retorik Hindutva meletakkan Muslim sebagai “warisan asing” walaupun mereka telah hidup berabad-abad lamanya di India malah menjadi sebahagian daripada struktur tamadun, bahasa, seni bina, ekonomi dan kebudayaan India.

Dalam naratif politik moden, jentolak menjadi simbol yang menormalisasikan hukuman tanpa perbicaraan. Ia digambarkan sebagai alat “membersihkan India” daripada mereka yang dituduh sebagai penyebab masalah sosial (Sharma, 2025). Inilah “politik simbolik” yang berbahaya di mana objek fizikal diserap menjadi objektif ideologi dan propaganda.

2. Peranan Media Sosial, Propaganda dan Manipulasi Persepsi

Satu lagi faktor penting ialah peranan media sosial yang telah menjadi ruang untuk menyebarkan video, maklumat serta naratif tertentu dalam bentuk yang sangat cepat dan mempengaruhi emosi penonton. Banyak video provokatif dipapar dalam bentuk yang tidak lengkap seperti tiada latar belakan cerita, tiada konteks dan tiada pengesahan pihak berwajib. Dalam era digital, seseorang boleh mewujudkan persepsi tertentu tanpa perlu memberikan bukti rasmi.

Penggunaan media sosial untuk menyebarkan video provokatif bukan sekadar penyebaran maklumat sebaliknya ia adalah strategi perang psikologi (psywar). Dalam era digital, persepsi lebih kuat daripada fakta. Menurut kajian Pew Research Center (2025), video berunsur emosi negatif lebih mudah tular kerana ia mencetuskan kemarahan, ketakutan dan rasa terancam.

Antara strategi propaganda ekstremisme termasuk mengubah video ritual keagamaan menjadi video seolah-olah ia provokasi, mengulang siar video lama untuk menggambarkan ia berlaku pada waktu terkini, mencipta teks provokatif bagi menimbulkan kemarahan penonton dan menggunakan logo media tertentu bagi mencipta kepercayaan palsu.

Kaedah seperti ini jika tidak ditangani dengan literasi media akan menimbulkan tindak balas berantai dan kesan psikologi massa yang membawa kepada ketegangan dan kebencian antara komuniti.

3. Undang-Undang dan Penguatkuasaan yang Dipersoalkan

Insiden berkaitan provokasi agama di India sering dikaitkan dengan kelemahan atau ketidakseimbangan dalam penguatkuasaan undang-undang. Banyak laporan NGO antarabangsa menyatakan bahawa tindakan terhadap individu atau kumpulan agresif tidak dijalankan secara adil terutama apabila melibatkan minoriti Muslim. Ada laporan yang menunjukkan tindakan kekerasan dilakukan tanpa proses perbicaraan yang sah. Ini menyebabkan wujudnya budaya ketakutan dan rasa tidak dilindungi dalam kalangan minoriti.

Isu ini diperbesar dengan adanya undang-undang seperti Citizenship Amendment Act (CAA) serta Anti-Conversion Laws yang menimbulkan tafsiran bahawa undang-undang lebih berpihak kepada kepentingan majoriti.

4. Simbolisme Jentolak Politik

Penggunaan jentolak dalam video tersebut sekiranya benar membawa makna yang bukan lagi neutral. Jentolak kini menjadi simbol kuasa dan hukuman tanpa perbicaraan terhadap komuniti minoriti. Ia bukan sekadar jentera pembinaan tetapi ikon propaganda politik yang agresif. Jika simbol politik digunakan dalam perarakan agama, ia menandakan gabungan antara ritual spiritual dan agenda kuasa yang berisiko mempengaruhi pemikiran rakyat.

Rangka Teori dan Asas Akademik

Fenomena provokasi agama di India boleh difahami melalui beberapa kerangka teori seperti Teori Konflik Sosial (Coser, 1957) iaitu konflik bukan semata-mata mengenai ketidakserasian nilai tetapi perebutan kuasa, pengaruh dan keabsahan naratif nasional, Teori Identiti Sosial (Tajfel & Turner, 1979) iaitu manusia membina kelompok identiti in-group dan out-group, lalu menganggap kumpulan sendiri lebih mulia, Teori ‘Othering’ (Said, 1978) iaitu minoriti dibentuk sebagai “yang lain” demi mengekalkan dominasi majoriti dan Model Spiral of Hate (Staub, 2011) iaitu kebencian bermula dari bahasa, diikuti simbol, kemudian tindakan fizikal.

Apabila teori ini diaplikasi dalam konteks India, ia menunjukkan bahawa tindakan provokasi bukanlah insiden spontan tetapi hasil proses pembinaan naratif politik jangka panjang.

Impak Terhadap Masyarakat dan Negara

Kesan daripada budaya provokasi agama seperti ini amat mendalam dan boleh berlaku dalam pelbagai dimensi iaitu sosial, ekonomi, psikologi dan antarabangsa.

1. Impak Sosial dan Keharmonian Komunal

Hubungan antara pengikut Hindu dan Muslim telah bertahan berabad lamanya dengan interaksi kebudayaan yang kaya. Namun, dengan wujudnya provokasi moden, jurang psikologi antara kedua-dua komuniti semakin melebar. Ketidakpercayaan dan perasaan syak terhadap satu sama lain boleh membawa kepada konflik berpanjangan yang sukar dipulihkan.

Pengalaman sejarah telah membuktikan bahawa konflik agama amat sukar ditangani jika api permusuhan telah bermula.

Komuniti Muslim di India mungkin berasa terancam bukan sahaja secara fizikal tetapi secara psikologi apabila kewujudan mereka dilihat tidak diingini. Trauma seperti ini boleh diwarisi generasi demi generasi melalui "collective memory transmission" (Hirsch, 2008).

2. Impak Ekonomi

Negara yang berada dalam ketidakstabilan sosial dan agama akan menjadi kurang menarik kepada pelabur asing. Iklim ketidaktentuan ini akan mengakibatkan pelabur memindahkan modal ke negara yang dianggap lebih stabil seperti China, Vietnam atau Bangladesh. Selain itu, aktiviti perniagaan komuniti Muslim yang terjejas akan melemahkan rantaian ekonomi domestik.

3. Impak Psikologi dan Identiti Generasi Baharu

Generasi muda yang membesar dalam suasana kebencian dan propaganda akan mewarisi sikap pilih kasih dan trauma kolektif. Mereka mungkin percaya bahawa ekstremisme adalah sebahagian daripada agama atau patriotisme. Ini amat berbahaya kerana ia menormalisasikan keganasan sebagai norma sosial.

Kajian membuktikan bahawa apabila provokasi dilakukan secara berulang, masyarakat akan menganggapnya sebagai norma sosial (Cialdini, 2007). Bahaya terbesar bukan terletak pada ekstremisme itu sendiri tetapi ketika masyarakat “tidak lagi terkejut”.

4. Kesan Antarabangsa dan Diplomasi Global

India merupakan negara demokrasi terbesar dunia dan mempunyai hubungan diplomatik serta ekonomi dengan banyak negara majoriti Muslim termasuk di Asia Barat, Asia Tenggara dan Afrika Utara. Imej negara yang tercalar boleh mengganggu kepentingan geopolitik, ekonomi serta kerjasama tenaga buruh yang melibatkan jutaan pekerja India di luar negara.

Dalam kajian keganasan global, ekstremisme tidak pernah wujud secara tunggal. Ekstremisme satu pihak akan meningkatkan kebarangkalian ekstremisme pihak lain (Kruglanski et al., 2014).

Amnesty International (2024) menyeru kerajaan India yang diterajui NDA supaya meletakkan hak asasi manusia sebagai komponen dasar teras bagi tempoh pentadbiran seterusnya. Berdasarkan dokumentasi sejak 2014, wujud pola pelanggaran hak asasi manusia yang meningkat, merangkumi penggubalan polisi diskriminatif tanpa konsultasi demokratik, penyebaran wacana kebencian oleh aktor politik dan kumpulan supremasi Hindu, normalisasi tindakan keganasan terhadap minoriti agama, serta pelaksanaan hukuman kolektif terhadap individu yang membantah secara aman. Selain itu, berlaku penghakisan autonomi institusi serta kegagalan mekanisme penyiasatan polis bertindak secara neutral dan berkesan.

Kesimpulan

Fenomena provokasi agama yang semakin meningkat di India bukan sekadar isu tempatan tetapi adalah tanda bahaya terhadap masa depan perpaduan dan kestabilan negara itu sendiri. Tindakan sesetengah kelompok fanatik Hindu yang memanipulasi elemen keagamaan, budaya dan jentera negara demi agenda politik membawa risiko konflik jangka panjang yang sukar dipulihkan. Walaupun majoriti rakyat India daripada pelbagai agama masih memilih keamanan, tindakan minoriti ekstremis boleh memberi kesan negatif secara menyeluruh jika tidak dikawal melalui undang-undang, pendidikan dan kesedaran awam.

Penyelesaian kepada masalah ini memerlukan gabungan strategi undang-undang, pendidikan toleransi, dialog antara agama, pemantauan badan bebas serta peranan media yang bertanggungjawab. Dunia moden memerlukan demokrasi yang matang, bukan demokrasi yang dimanipulasi melalui sentimen dan provokasi. Kepelbagaian bukan ancaman sebaliknya ia adalah kekuatan jika diurus dengan nilai hormat, empati dan kemanusiaan sejagat.

Semoga masyarakat dunia dapat memahami bahawa isu ini bukan semata-mata tentang siapa benar dan siapa salah tetapi tentang bagaimana sesuatu negara memilih masa depannya iaitu sama ada hidup dalam permusuhan atau membina keamanan bersama.


Rujukan

Amnesty International. (2024). Human rights charter – India. https://www.amnesty.org/en/wp-content/uploads/2024/06/ASA2081542024ENGLISH.pdf

Cialdini, R. B. (2007). Influence: The psychology of persuasion (Vol. 55, p. 339). Collins.

Coser, L. A. (1957). Social conflict and the theory of social change. The British Journal of Sociology, 8(3), 197–207. http://www.jstor.org/stable/586859

Hirsch, M. (2008). The generation of postmemory. Poetics Today, 29(1), 103–128.

Jaffrelot, C. (2007). Hindu nationalism: A reader. Princeton University Press.

Kruglanski, A. W., Gelfand, M. J., BĂ©langer, J. J., Sheveland, A., Hetiarachchi, M., & Gunaratna, R. (2014). The psychology of radicalization and deradicalization: How significance quest impacts violent extremism. Political Psychology, 35(1), 69–93. https://www.jstor.org/stable/43783789

Pew Research Center. (2025, April 22). Teens, social media and mental health. https://www.pewresearch.org/internet/2025/04/22/teens-social-media-and-mental-health/

Said, E. (1978). Orientalism. Pantheon Books.

Sen, A. (2006). Identity and violence: The illusion of destiny. W. W. Norton & Company.

Sharma, A. (2025). Of rubble, ruins, and bulldozers: Punitive populism, popular culture, and the Indian case. Global Studies Quarterly, 5(2). https://doi.org/10.1093/isagsq/ksaf048

Staub, E. (2011). Overcoming evil: Genocide, violent conflict, and terrorism. Oxford University Press.

Tajfel, H., & Turner, J. C. (1979). An integrative theory of inter-group conflict. In W. G. Austin & S. Worchel (Eds.), The social psychology of inter-group relations (pp. 33–47). Brooks/Cole.

Wednesday, November 12, 2025

Eksperimen sosial institusi agama dalam krisis sosial


Pengenalan

Agama berperanan sebagai panduan moral dan sistem nilai yang membentuk tindakan serta perilaku pengikutnya. Dalam tradisi utama seperti Islam dan Kristian, konsep kasih sayang dan belas ihsan merupakan teras ajaran yang sering diketengahkan melalui khutbah, kitab suci dan ajaran spiritual. Namun demikian, dalam konteks realiti sosial semasa, timbul persoalan besar tentang sejauh mana institusi keagamaan menterjemahkan nilai tersebut kepada tindakan konkrit, khususnya dalam menghadapi situasi kecemasan dan keperluan mendesak.

Satu eksperimen sosial yang dijalankan oleh Nikalie Monroe di Amerika Syarikat telah menimbulkan perbincangan luas tentang ketidaksepadanan antara ajaran agama dan tindakan sebenar. Dalam eksperimen ini, Nikalie membuat panggilan kepada pelbagai gereja tempatan dengan alasan memerlukan bantuan segera berupa susu formula untuk bayi berusia dua bulan yang kononnya sedang kelaparan.

Hasilnya, kebanyakan gereja enggan memberikan bantuan secara langsung, malah ada yang menolak mentah-mentah atau merujuk pemanggil kepada agensi lain. Sebaliknya, apabila Pusat Islam Charlotte dihubungi, respons yang diberikan bersifat segera, praktikal dan penuh empati.

Artikel ini membincangkan perbezaan yang ketara antara respons institusi gereja dan masjid serta menganalisis punca perbezaan tersebut. Pendekatan ini melibatkan perbandingan struktur organisasi, prinsip teologi, budaya pengurusan dan nilai spiritual yang mendasari tindakan tersebut. Penulisan ini juga akan menyandarkan analisis kepada sumber rujukan utama seperti al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW sebagai pengukuhan terhadap penemuan dan rumusan.

Nilai Kasih Sayang dalam Ajaran Agama

Kedua-dua agama Islam dan Kristian meletakkan nilai kasih sayang dan belas kasihan sebagai landasan ajaran. Dalam tradisi Islam, sifat rahmat merupakan salah satu prinsip utama yang menjadi ciri kenabian Rasulullah SAW. Hal ini ditegaskan dalam firman Allah:

"Dan Kami tidak mengutusmu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam." (Surah Al-Anbiya’, ayat 107)

Ayat ini memperlihatkan bahawa rahmat Islam tidak terbatas kepada umat tertentu, sebaliknya bersifat universal.

Dalam konteks eksperimen sosial yang dijalankan, Pusat Islam Charlotte mempamerkan penerapan prinsip ini dengan bertindak pantas menawarkan bantuan tanpa mempersoalkan latar belakang atau kepercayaan pemanggil.

Sebaliknya, walaupun kasih sayang merupakan nilai penting dalam ajaran Kristian, eksperimen ini memperlihatkan ketidakselarasan antara ajaran tersebut dan perlakuan institusi. Tindakan gereja yang menolak memberi bantuan atau menyerahkan tanggungjawab kepada agensi luar membangkitkan persoalan terhadap keberkesanan internalisasi nilai belas kasihan dalam pengurusan mereka.

Eksklusiviti Bantuan dan Akses kepada Amal

Antara isu utama yang ditimbulkan oleh eksperimen ini adalah sifat eksklusif sesetengah institusi keagamaan dalam menyalurkan bantuan. Nikalie Monroe menyatakan pandangannya bahawa bantuan daripada pihak gereja kelihatan hanya ditawarkan kepada ahli atau mereka yang menunjukkan potensi untuk menjadi ahli.

Keadaan ini mencerminkan bentuk amal yang bersifat terpilih, yang mana tindakan membantu hanya dilakukan apabila terdapat hubungan institusional antara penerima dan pemberi bantuan.

Pusat Islam Charlotte pula menunjukkan pendekatan yang berbeza sepenuhnya. Bantuan ditawarkan secara terbuka, tanpa syarat keahlian atau komitmen terhadap institusi tersebut. Ini sejalan dengan prinsip ihsan dalam Islam iaitu melakukan kebaikan tanpa mengharapkan balasan atau ganjaran duniawi. Hadis Nabi Muhammad SAW menyebut:

"Sesiapa yang melepaskan satu kesusahan dunia daripada seorang mukmin, Allah akan melepaskan daripadanya satu kesusahan pada hari kiamat." (Riwayat Muslim)

Walaupun hadis ini merujuk kepada sesama mukmin, prinsip ihsan dalam tradisi Islam diperluas oleh para ulama kepada semua manusia berdasarkan konsep maqasid syariah yang mengutamakan penjagaan nyawa, maruah, harta dan keturunan tanpa mengira agama.

Keupayaan Institusi dalam Mengurus Krisis

Satu lagi aspek yang perlu dianalisis ialah tahap kecekapan dan keberkesanan institusi agama dalam menghadapi krisis. Berdasarkan rakaman eksperimen, gereja-gereja yang dihubungi tidak mempunyai sistem dalaman yang mampu memberi bantuan segera. Kebanyakan mereka hanya memberikan rujukan kepada organisasi kebajikan lain atau menasihatkan pemanggil supaya menghubungi penyedia makanan.

Sebaliknya, respons dari Pusat Islam Charlotte memperlihat struktur bantuan yang lebih tersusun, pantas dan efektif.

Soalan yang ditanya oleh wakil masjid ialah lokasi dan jenis susu formula yang menunjukkan pendekatan yang bersifat penyelesaian serta-merta. Ini selaras dengan hadis Rasulullah SAW:

"Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain."
(Riwayat al-Tabarani)

Hadis ini menyiratkan bahwa tindakan yang paling mulia adalah tindakan yang memberikan keuntungan atau kebaikan bagi orang lain. Hadis ini juga menekankan bahwa pemimpin atau individu yang tidak peduli dengan nasib umat atau orang di sekitarnya, mendapatkan ancaman berat, karena tidak memberikan manfaat.

Kejadian ini memperlihatkan bahawa kecekapan dalam membantu masyarakat memerlukan bukan hanya bergantung pada keikhlasan tetapi juga kepada struktur organisasi, perancangan kebajikan dan keutamaan yang diberikan terhadap misi sosial dalam pengurusan institusi.

Ketelusan dan Akauntabiliti Dalam Pengurusan Sumber

Persoalan seterusnya yang timbul ialah bagaimana dana dan sumbangan yang dikumpul oleh gereja digunakan. Ramai ahli gereja memberikan sumbangan secara tetap atas niat untuk membantu golongan yang memerlukan. Namun apabila pertolongan segera gagal diberikan kepada seorang bayi yang kelaparan, maka timbul persoalan tentang ke mana perginya sumber tersebut dan sejauh mana keutamaan diberi kepada bantuan langsung.

Islam menggariskan bahawa setiap amanah mesti ditunaikan dengan penuh tanggungjawab. Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya..." (Surah An-Nisa’, ayat 58)

Konsep amanah ini bukan sahaja terpakai kepada pemimpin politik, malah meliputi setiap pemegang tanggungjawab dalam organisasi termasuk pengurus institusi keagamaan. Kegagalan mengagihkan bantuan kepada pihak yang benar-benar memerlukan merupakan pelanggaran terhadap prinsip asas amanah dan keadilan.

Antara Retorik dan Realiti: Krisis Kepercayaan Terhadap Institusi Agama

Ketidaksesuaian antara retorik keagamaan dengan tindakan sebenar akan mewujudkan jurang kepercayaan antara masyarakat dan institusi agama. Apabila nilai belas kasihan hanya diungkap melalui khutbah atau bahan bacaan tanpa sebarang pelaksanaan praktikal, wibawa institusi tersebut mula dipersoalkan.

Krisis ini boleh membawa kepada penurunan penglibatan komuniti, pengabaian terhadap ajaran agama dan ketidakpercayaan terhadap pemimpin spiritual.

Sebaliknya, apabila masjid seperti Pusat Islam Charlotte menunjukkan keselarasan antara nilai dan tindakan, masyarakat akan lebih mempercayai dan menghormati institusi tersebut. Kepercayaan yang terbina melalui tindakan nyata akan mengukuhkan kedudukan agama dalam kehidupan sosial moden.

Firman Allah SWT:
 
"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kemurkaan Allah terhadap orang yang berkata tetapi tidak melakukannya." (Surah As-Saff, ayat 2-3)

Ayat ini secara jelas memberi amaran tentang bahaya hipokrasi dalam amalan keagamaan. Ia relevan dalam konteks analisis ini kerana menunjukkan betapa seriusnya ketidaksepadanan antara ucapan dan perbuatan.

Kesimpulan

Eksperimen sosial yang dijalankan oleh Nikalie Monroe membongkar jurang ketara antara retorik keagamaan dan pelaksanaan nilai belas kasihan dalam institusi agama. Respons negatif dan lambat daripada kebanyakan gereja mencerminkan kegagalan struktur, eksklusiviti budaya dan keutamaan yang menyimpang daripada ajaran asas.

Sebaliknya, tindakan segera dan praktikal oleh Pusat Islam Charlotte mencerminkan aplikasi nilai keagamaan yang bersifat inklusif, responsif dan berorientasikan penyelesaian.

Analisis ini mengajak institusi agama sama ada Islam, Kristian atau lainnya untuk menilai semula struktur dalaman, pendekatan kepada bantuan masyarakat dan ketelusan dalam pengurusan sumber. Sekiranya agama ingin kekal relevan dan dipercayai dalam masyarakat moden, maka tindakan mesti selaras dengan ajaran. Belas kasihan tidak seharusnya bersyarat, tidak tertangguh dan tidak terhad kepada ahli. Ia harus melampaui sempadan keanggotaan dan doktrin untuk sampai kepada mereka yang paling memerlukan.

Justeru disarankan agar pengurusan institusi agama menekankan pemerkasaan sistem bantuan kecemasan, penilaian keberkesanan agihan sumber serta penghayatan nilai belas kasihan yang bersifat praktikal dan menyeluruh.

Thursday, November 06, 2025

Pengaruh aktiviti Muslim Friendly Watch ke atas industri halal di Malaysia

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, industri halal global telah menunjukkan pertumbuhan yang pesat, mencerminkan peningkatan permintaan terhadap produk dan perkhidmatan yang mematuhi garis panduan Islam. Malaysia, sebagai salah satu negara peneraju dalam sektor halal, sentiasa berusaha bukan sahaja untuk mengekalkan malah memperkukuh integriti serta keterangkuman ekosistem halalnya. 

Antara isu kontemporari yang membentuk industri ini, kemunculan “Muslim Friendly Watch” , satu inisiatif yang bertujuan memantau, menilai dan mempromosikan amalan mesra Muslim yang muncul sebagai perkembangan yang penting. Teras kepada gerakan ini ialah peranan organisasi bukan kerajaan (NGO), khususnya Friendly Relations Initiative (FRI). 

Artikel ini meneliti asal usul dan fungsi NGO FRI, menganalisis operasi organisasi tersebut dalam ekosistem halal yang lebih luas serta menilai impaknya terhadap industri halal Malaysia berdasarkan pandangan ilmiah dan industri semasa.

Konsep “mesra Muslim” melangkaui pensijilan halal konvensional, merangkumi pelbagai jenis produk, perkhidmatan dan persekitaran yang selaras dengan nilai dan gaya hidup Muslim. Inisiatif Muslim Friendly Watch diwujudkan untuk menampung jurang dalam sistem pensijilan halal sedia ada dengan menilai aspek seperti hospitaliti, pelancongan, kewangan dan gaya hidup iaitu bidang yang mungkin tidak diliputi secara langsung oleh piawaian halal tetapi tetap penting kepada pengguna Muslim (Hashim, Murphy & Hashim, 2022). 

Di Malaysia, dengan komposisi masyarakat berbilang kaum dan sektor pelancongan yang berkembang pesat, keperluan terhadap ekosistem mesra Muslim yang menyeluruh semakin mendesak.

Salah satu isu utama yang timbul dalam sektor mesra Muslim ialah ketiadaan garis panduan yang seragam dan mekanisme pemantauan yang standard. Walaupun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah mewujudkan proses pensijilan halal yang mantap, masih belum wujud parameter jelas mengenai apa yang dimaksudkan dengan “mesra Muslim” selain makanan dan minuman (Zulkifli, 2021). 

Kekosongan ini menimbulkan cabaran kepada perniagaan, pengguna dan pengawal selia dalam memastikan kesahihan serta kebolehpercayaan tuntutan mesra Muslim. Akibatnya, timbul kebimbangan terhadap penyelewengan, kepercayaan pengguna serta kemungkinan pencairan piawaian halal. Justeru, muncul inisiatif pemantauan seperti Muslim Friendly Watch untuk menyediakan kawalan dan advokasi (Hashim et al., 2022).

Friendly Relations Initiative (FRI) ditubuhkan sebagai respons terhadap keperluan mendesak untuk sebuah badan bebas berasaskan komuniti yang dapat memantau dan memperjuangkan amalan mesra Muslim di Malaysia. Diasaskan pada tahun 2019 oleh sekumpulan ulama Islam, aktivis hak pengguna dan pihak industri, FRI bermula sebagai gerakan akar umbi untuk menangani jurang yang wujud dalam sektor halal dan mesra Muslim (Othman, 2023).

Pengasasnya menyedari bahawa walaupun agensi kerajaan seperti JAKIM menyediakan rangka kerja pensijilan penting, masih terdapat kekurangan dalam aspek pemantauan bebas dan pendidikan berterusan bagi mengekalkan standard mesra Muslim dalam konteks dunia sebenar yang dinamik.

Visi FRI ialah untuk mewujudkan ekosistem yang inklusif, telus dan dinamik di mana nilai mesra Muslim diterapkan dalam semua sektor masyarakat. Misinya termasuk memantau pematuhan terhadap standard mesra Muslim, meningkatkan kesedaran tentang hak pengguna Muslim serta menggalakkan kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi memperkukuh kredibiliti serta kebolehcapaian industri halal Malaysia (Othman, 2023).

Salah satu fungsi utama FRI ialah bertindak sebagai “pengawas” bebas terhadap amalan mesra Muslim. FRI menjalankan audit, pemeriksaan dan penyiasatan dalam pelbagai sektor seperti hospitaliti, peruncitan dan pelancongan. Organisasi ini menggunakan gabungan tinjauan lapangan, maklum balas pengguna dan pemantauan digital untuk menilai tahap pematuhan terhadap garis panduan mesra Muslim (Hashim et al., 2022). Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, FRI melaporkan penemuannya kepada umum dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi tindakan pembetulan.

FRI terlibat secara aktif dalam advokasi dasar dengan menyertai perundingan kerajaan dan industri berkaitan standard mesra Muslim. Organisasi ini mengemukakan cadangan polisi, menyokong pembangunan garis panduan menyeluruh serta bekerjasama rapat dengan JAKIM dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menyelaraskan inisiatifnya dengan objektif nasional (Zulkifli, 2021). Melalui kertas putih, seminar dan kempen media, FRI meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan amalan mesra Muslim yang autentik.

Menyedari kepentingan penglibatan awam, FRI menganjurkan bengkel, seminar dan latihan untuk perniagaan serta masyarakat. Program ini bertujuan memperjelas perbezaan antara pensijilan halal dan keperluan mesra Muslim serta membekalkan pengetahuan untuk melaksanakan amalan terbaik (Othman, 2023). FRI turut bekerjasama dengan institusi akademik untuk menyokong penyelidikan dan pembangunan kurikulum berkaitan halal dan mesra Muslim.

FRI mengamalkan pendekatan kolaboratif melalui perkongsian strategik dengan perniagaan, persatuan industri dan NGO lain. Kerjasama ini memudahkan perkongsian sumber, kepakaran dan amalan terbaik bagi memperkukuh ekosistem mesra Muslim. Sebagai contoh, FRI menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan rangkaian hotel dan agensi pelancongan bagi melaksanakan skim pensijilan mesra Muslim dan protokol pemantauan (Hashim et al., 2022).

Kesan FRI terhadap Industri Halal Malaysia

Meningkatkan Kepercayaan Pengguna dan Integriti Pasaran

Salah satu kesan paling ketara FRI ialah peningkatan kepercayaan pengguna terhadap produk dan perkhidmatan mesra Muslim. Melalui pemantauan bebas dan laporan awam, FRI meningkatkan ketelusan serta akauntabiliti industri, sekali gus memperkasakan pengguna dan menekan perniagaan untuk mengekalkan standard yang tinggi (Hashim et al., 2022). 

Kesan ini turut menarik perhatian antarabangsa dan menempatkan Malaysia sebagai penanda aras dalam amalan mesra Muslim.

Menyokong Pengembangan Ekosistem Halal

Inisiatif FRI telah memperluas ekosistem halal dengan mempromosikan amalan mesra Muslim dalam sektor yang sebelum ini diabaikan oleh pensijilan halal konvensional seperti pelancongan, hospitaliti dan gaya hidup (Zulkifli, 2021). 

Sebagai contoh, hasil audit dan advokasi FRI telah mendorong banyak hotel serta destinasi pelancongan menyediakan kemudahan mesra Muslim seperti ruang solat, makanan halal dan privasi untuk tetamu.

Mendorong Inovasi Polisi dan Reformasi Peraturan

Sebagai peserta aktif dalam wacana dasar, FRI telah mempengaruhi evolusi rangka kerja peraturan Malaysia berkaitan amalan mesra Muslim. Penyelidikan dan advokasinya telah menyumbang kepada pembangunan garis panduan baharu seperti Muslim Friendly Accommodation Recognition (MFAR) di bawah MOTAC (Othman, 2023). 

Melalui pendekatan berasaskan bukti, FRI membantu pembuat dasar memperkemas pengawasan industri.

Memperkasa PKS dan Usahawan Tempatan


FRI turut memberi impak besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan tempatan yang ingin menembusi pasaran mesra Muslim. Melalui bengkel, khidmat rundingan dan program pensijilan, FRI membekalkan alat serta ilmu bagi memastikan pematuhan standard mesra Muslim (Hashim et al., 2022). Ini membantu pertumbuhan perniagaan tempatan dan menjana peluang pekerjaan dalam negara.

Menangani Cabaran dan Kritikan Semasa

Walaupun banyak kejayaan dicapai, FRI turut berhadapan cabaran dan kritikan. Sesetengah pihak bimbang mengenai pertindihan antara fungsi pemantauan FRI dan agensi kerajaan. Selain itu, perdebatan masih berterusan mengenai keperluan penyelarasan definisi dan piawaian mesra Muslim agar tidak menimbulkan kekeliruan pengguna (Zulkifli, 2021). Sebagai respons, FRI menggesa penglibatan lebih luas daripada semua pihak berkepentingan dan penambahbaikan berterusan terhadap metodologinya.

Kajian Kes: Pengaruh FRI dalam Amalan

Sektor Hospitaliti

Satu contoh ketara ialah kerjasama FRI dengan rangkaian hotel terkemuka untuk melaksanakan protokol mesra Muslim. Pada tahun 2022, FRI menjalankan audit menyeluruh terhadap hotel di Kuala Lumpur, menilai kemudahan solat, makanan halal dan privasi tetamu Muslim. Laporan audit ini mendorong beberapa hotel menambah baik kemudahan mereka serta memohon pengiktirafan di bawah skim MFAR (Othman, 2023).

Sektor Peruncitan dan Perkhidmatan Makanan

FRI turut memainkan peranan penting dalam sektor peruncitan dan makanan melalui pemantauan pematuhan dan pendedahan kes salah tuntutan mesra Muslim. Sebagai contoh, pada tahun 2021, penyiasatan FRI terhadap beberapa premis makanan mendapati ketidakpatuhan seperti kegagalan memisahkan kawasan penyediaan makanan halal dan tidak halal (Hashim et al., 2022). Liputan media yang menyusul telah mendorong pembetulan oleh perniagaan terlibat.

Kesimpulan


Kemunculan inisiatif Muslim Friendly Watch yang diterajui NGO seperti FRI menandakan kemajuan penting dalam usaha Malaysia menegakkan integriti industri halalnya. Melalui pemantauan bebas, advokasi, pendidikan dan kolaborasi, FRI telah menangani jurang kritikal dalam sektor mesra Muslim, memperkukuh kepercayaan pengguna dan merangsang pertumbuhan industri. Kesan FRI jelas kelihatan dalam peningkatan ketelusan, akauntabiliti dan keterangkuman ekosistem halal Malaysia. Dengan permintaan terhadap produk serta perkhidmatan mesra Muslim yang terus meningkat, peranan NGO seperti FRI kekal penting dalam memastikan Malaysia bukan sahaja mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju halal dunia tetapi juga menetapkan penanda aras baharu dari segi inovasi, integriti dan keterangkuman.


Rujukan

Hashim, N. H., Murphy, J., & Hashim, N. M. (2022). Muslim-friendly hospitality services: Best practices and future trends. Journal of Islamic Marketing, 13(1), 123–139. https://doi.org/10.1108/JIMA-04-2021-0105

Othman, R. (2023). Non-governmental organizations and the halal economy: The case of Malaysia’s FRI. Asian Journal of Social Science Studies, 10(2), 34–49. https://doi.org/10.5539/ajsss.v10n2p34

Zulkifli, M. (2021). Regulatory challenges in halal and Muslim-friendly certification: Insights from Malaysia. Halal Journal of Policy and Practice, 7(4), 201–215. https://doi.org/10.1016/halaljpp.2021.201

Wednesday, November 05, 2025

Co-teaching dalam Kurikulum 2027: Satu anjakan baharu dalam pendidikan Malaysia


Pada tahun 2027, sistem pendidikan Malaysia bakal menyaksikan satu transformasi signifikan dengan pelaksanaan kaedah co-teaching atau pengajaran bersama dua guru dalam satu kelas. Inisiatif ini, yang diumumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia, bukan sekadar perubahan teknikal tetapi satu anjakan paradigma yang bertujuan untuk menyeimbangkan kecemerlangan akademik dengan pembentukan karakter pelajar. 

Saya melihat ini sebagai langkah berani yang berpotensi mengubah landskap pembelajaran jika dilaksanakan dengan persiapan yang rapi dan komitmen yang jitu.

Kaedah co-teaching yang dicadangkan bukanlah model guru dan pembantu tetapi dua tenaga pengajar yang setara, bekerjasama untuk mencipta pengalaman pembelajaran yang lebih dinamik dan menarik. 

Pendekatan ini membolehkan guru saling melengkapi, membawa kepelbagaian gaya pengajaran dan memberi perhatian lebih personal kepada setiap murid. Dalam konteks kelas yang sering padat, co-teaching berpotensi mengurangkan kadar keciciran dan meningkatkan penglibatan pelajar.

Keupayaan guru untuk melaksanakan pendekatan ini dengan efektif adalah faktor penentu kejayaan. Kementerian Pendidikan telah merancang sesi latihan penataran bermula 2025/2026 yang merupakan langkah tepat pada masanya. Namun, guru bukan hanya memerlukan latihan teknikal mereka juga perlu disediakan dari segi mental dan emosi untuk bekerjasama rapat dengan rakan sejawat. 

Selain itu, semua guru termasuk guru Sains, Matematik, dan Bahasa perlu dilatih untuk mengintegrasikan nilai nilai murni dalam pengajaran harian. Ini memerlukan bukan sekadar modul, tetapi juga sokongan berterusan dan ruang untuk refleksi dan perkongsian amalan terbaik.

Generasi murid hari ini hidup dalam dunia yang pantas dan dipenuhi teknologi. Mereka mudah terdistraksi tetapi juga cepat menyerap maklumat jika pendekatan pengajaran itu menarik dan relevan. Co-teaching berpotensi untuk menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan kontekstual terutamanya melalui pendekatan pembelajaran bersepadu contohnya, menggabungkan Bahasa Inggeris, Sains dan Muzik dalam satu sesi. Namun, murid juga perlu dibimbing untuk menyesuaikan diri dengan dinamik baru ini, terutamanya dari aspek kemahiran sosial dan kolaborasi.

Program "Pembentukan Karakter" selama 60 minit seminggu adalah satu langkah yang baik, tetapi pembinaan karakter tidak boleh terhad kepada satu slot waktu sahaja. Nilai-nilai seperti disiplin, integriti dan empati perlu diserap dalam semua subjek dan aktiviti sekolah. 

Di sinilah peranan co teaching menjadi lebih bermakna dua guru boleh memodelkan nilai kerjasama, hormat menghormati, dan komunikasi yang efektif di hadapan murid. Ibu bapa dan komuniti juga tidak boleh dipinggirkan. Sekolah perlu menjalin perkongsian yang erat dengan keluarga untuk memastikan konsistensi nilai yang diterapkan di sekolah dan di rumah.

Pelaksanaan co-teaching pasti akan menghadapi cabaran seperti kesediaan infrastruktur, peruntukan masa dan kemungkinan resistan dalam kalangan guru yang sudah selesa dengan kaedah tradisional. 

Namun, peluang untuk mencipta lingkungan pembelajaran yang lebih inklusif, kreatif, dan berpusatkan murid adalah jauh lebih besar. Inisiatif ini juga selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja pandai tetapi juga berakhlak mulia dan berdaya tahan.

Co-teaching dan penekanan terhadap pembentukan karakter bukan sekadar dasar pendidikan ia adalah satu investasi masa depan untuk melahirkan generasi yang holistik dan seimbang. Kejayaannya tidak hanya terletak di bahu guru atau Kementerian Pendidikan sahaja tetapi memerlukan komitmen kolektif daripada semua pihak: ibu bapa, komuniti, pemimpin sekolah dan juga murid sendiri.

Mari kita sambut anjakan ini dengan minda terbuka dan semangat kerjasama. Jika kita bersatu dalam misi ini, tahun 2027 bukan sahaja akan menandakan permulaan kurikulum baharu tetapi juga permulaan era baharu pendidikan Malaysia yang lebih manusiawi, relevan dan bermakna.


Tuesday, November 04, 2025

Telefon pintar: Antara disiplin, ketagihan dan anti sosial keluarga

Di bilik darjah, telefon bimbit sudah menjadi "pelajar ketiga" iaitu diam, tapi berpengaruh. Ketika guru mengajar, ada pelajar yang sibuk menatal TikTok, berbalas mesej atau bermain permainan mudah alih. Di luar pagar sekolah, remaja dilihat tidak berenggang dengan skrin sama ada berjalan, menunggu bas, malah ketika makan bersama keluarga.

Fenomena ini mendorong cadangan beberapa pihak untuk mengharamkan penggunaan telefon bimbit bukan sahaja di sekolah, malah di kawasan luar sekolah, dengan alasan mahu mengembalikan tumpuan pelajar kepada pelajaran, membentuk disiplin dan mengurangkan ketagihan digital.

Di Malaysia, larangan telefon bimbit di sekolah sebenarnya bukan perkara baharu. Kementerian Pendidikan telah lama menyekat penggunaannya di bilik darjah kecuali bagi tujuan pembelajaran di bawah pengawasan guru. Namun pelaksanaannya sering longgar, bergantung kepada budi bicara pentadbiran sekolah.

Sebaliknya, Australia telah mengambil pendekatan lebih tegas. Beberapa negeri seperti Victoria dan New South Wales telah mengharamkan telefon bimbit sepenuhnya di sekolah rendah dan menengah sejak 2020. Pelajar dikehendaki menyimpan telefon dalam loker khas dari pagi hingga tamat waktu persekolahan. Hasilnya, menurut kajian awal, gangguan disiplin menurun dan interaksi sosial meningkat.

Namun pengharaman menyeluruh  terutama jika diluaskan ke luar kawasan sekolah yang mengundang persoalan besar dari sudut keselamatan, komunikasi dan tanggungjawab ibu bapa. Dalam keadaan negara yang berdepan isu keselamatan pelajar seperti kes buli, penculikan atau bencana kecemasan, telefon bimbit sering menjadi alat penting untuk ibu bapa berhubung segera dengan anak.

Tambahan pula, dalam banyak keluarga B40, telefon bimbit adalah satu-satunya alat untuk pembelajaran dalam talian. Mengharamkannya secara meluas berpotensi membebankan keluarga dari segi kos dan pengurusan harian, terutamanya ibu bapa yang bekerja jauh atau tidak mempunyai akses kepada sistem pemantauan anak secara fizikal.

Cadangan Penyelesaian 

Sekat, bukan haram mutlak: Kawalan penggunaan di sekolah wajar diteruskan, tetapi dengan pendekatan fleksibel. Telefon boleh disimpan tetapi hanya digunakan dalam keadaan kecemasan atau sesi pembelajaran khas.

Zon bebas telefon selepas sekolah: Bina budaya komuniti seperti taman permainan, pusat komuniti atau kafe mesra remaja yang menjadi “zon bebas telefon” secara sukarela, dengan ganjaran sosial atau aktiviti menarik untuk galakkan interaksi dunia nyata.

Pendidikan literasi digital sejak awal: Bukan hanya tentang “jangan guna telefon”, tapi didik pelajar cara mengurus masa skrin, kawal emosi digital dan elak ketagihan media sosial. Ibu bapa juga perlu diberi modul pendidikan digital, bukan sekadar melepaskan tanggungjawab kepada guru.

Teknologi pemantauan pintar: Gunakan teknologi untuk membantu, bukan menakutkan. Contohnya, aplikasi yang membolehkan ibu bapa pantau penggunaan telefon anak tanpa perlu rampas atau larang terus.

Dialog terbuka dengan pelajar: Jangan hanya dengar suara dewasa. Libatkan pelajar dalam perbincangan dasar umpamanya tanya mereka bagaimana telefon bantu atau ganggu kehidupan mereka. Rasa tanggungjawab lahir bila mereka diberi ruang bersuara.

Isu telefon bimbit bukan sekadar soal peranti tetapi ia cerminan realiti sosial hari ini: ketidakseimbangan kuasa, cabaran keibubapaan moden, dan pergolakan antara teknologi dan manusia. Mengharamkan sepenuhnya mungkin tampak tegas, tetapi penyelesaian sebenar menuntut pendekatan yang tepat, bijak dan berpaksikan realiti keluarga serta perkembangan zaman.