Friday, August 30, 2013

Faktor kemunculan kongsi gelap







Geng 04, Geng 08 dan Geng 36 adalah nama-nama kumpulan kongsi gelap yang diumumkan kerajaan Malaysia. Dalam ketiga-tiga geng ini, kumpulan Geng 04 adalah paling aktif dan bergerak di Kedah, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
 
Kerajaan Malaysia mengumumkan 49 kongsi gelap yang paling berbahaya dan menjadi ancaman dalam negara. Kegiatan mereka dikesan dalam pelbagai jenayah berat seperti pembunuhan, pergaduhan, pengedaran dadah dan peras ugut. Jumlah keseluruhan ahli kongsi gelap ialah 40,313 orang. sekiranya setiap orang ahli dapat merekrut seorang ahli baru setiap bulan, jumlah ini akan meningkat sekali ganda hanya dalam tempoh 30 hari.
 
Sebanyak 28 kongsi gelap aktif di Semenanjung Malaysia khususnya Geng 35 dan Geng 303. Tiga negeri yang mencatatkan bilangan kongsi gelap paling aktif ialah Kuala Lumpur, Selangor dan Johor, justeru tidak hairanlah ketiga-tiga negeri ini mencatatkan masalah jenayah yang lebih banyak berbanding negeri-negeri lain. Pendedahan paling menarik ialah tidak ada penglibatan kongsi gelap secara aktif di Kelantan, Terengganu, Perlis dan Pahang. Jika ada pun, ia hanya melibatkan Geng Double 7 dan Geng 30 yang dikesan bergerak di seluruh Semenanjung Malaysia.
 
Daripada jumlah 28 ini, sebelas kongsi gelap menjadikan “Geng” sebagai identiti mereka yang dikaitkan dengan angka seperti Geng 30, Geng 36 dan Geng 303. Kongsi gelap Cina adalah paling banyak iaitu 15, diikuti India 5 (Geng 04, Geng 08, Geng 35, Geng 303 dan Geng Satu Hati) dan Melayu 3 (007, Tiga Line dan Geng 30). Empat kongsi gelap yang mempunyai gabungan ahli Cina dan India iaitu Geng 24, Geng 18, Geng 36 dan Geng 21.
 
Penglibatan masyarakat India adalah paling ramai dalam Geng 04 dengan jumlah ahli seramai 5,240 orang diikuti Geng 08 iaitu 4,423 orang. Kegiatan mereka sangat aktif di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.
 
Banyak faktor yang menyumbang kepada penyertaan aktif dalam kongsi gelap khususnya masyarakat Cina. Dalam artikel yang bertajuk “Sejarah Upacara Ahli Baru Kongsi Gelap Di Tanah Melayu, penulis Victor Purcell 1947 menerangkan asal-usul kewujudan kongsi gelap dan proses penerimaan ahli baru.
 
 
 
 
Persekitaran dilihat menjadi punca utama kepada tarikan kuat untuk menjadi ahli kongsi gelap. Anak-anak yang datang dari keluarga bermasalah lebih mudah terpengaruh dengan aktiviti songsang ini kerana di sini mereka dilayan dan mendapat perlindungan sosial kerana mendapat habuan dalam pelbagai bentuk.
 
Terjebak kerana hutang juga mungkin asas kepada penglibatan pelajar dan golongan remaja kerana berdasarkan laporan media, usia suspek yang ditembak mati dan ditangkap berada di bawah 30 tahun. Terjebak dengan hutang boleh berlaku di peringkat awal remaja seperti kerap berhutang dengan kedai kafe internet yang menawarkan judi haram. Oleh kerana remaja ini tidak mempunyai untuk membayar hutang bermain judi internet, mereka disuruh mencuri supaya dapat bayar hutang berkenaan. Aktiviti mencuri kecil-kecilan ini akan menjadi kebiasaan seterusnya terjebak dalam skala jenayah yang lebih besar seperti rompakan dan ragut.
 
Penguatkuasaan terhadap jenayah mencuri, merompak dan peras ugut kurang berkesan dilaksanakan di Malaysia. Penjenayah yang dibebaskan kembali melakukan jenayah yang sama dan ia menjadi kitaran ganas yang meresahkan masyarakat. Sering kali terjadi pihak polis menangkap orang yang sama dan selepas diteliti terdapat beberapa kes jenayah lampau yang dilakukan suspek. Sepatutnya pelaksanaan hukuman dapat membantu mengurangkan keresahan dan kebimbangan masyarakat.
 
Proses pencegahan yang sedang dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia melalui Op Cantas sedikit sebanyak membantu mengurangkan pergerakan anggota kongsi gelap. Kehadiran anggota polis yang lengkap bersenjata berat, uniform dan berkumpulan telah membantu meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap usaha polis ini. Strategi mengawal, melemah dan memusnahkan sel-sel kongsi gelap wajar diteruskan sehingga ketenteraman awam kembali dinikmati dan masyarakat bebas bergerak tanpa rasa takut.


Persepsi terhadap perkembangan teknologi dalam sukan bola sepak di Malaysia

 




1.0 Pengenalan
 
Pada mula muncul sejarah munculnya olahraga bola sepak masih mengundang perdebatan. Beberapa dokumen menjelaskan bahawa bola sepak lahir dari Romawi, sebahagian lagi menjelaskan dari Tiongkok. FIFA sebagai badan bola sepak dunia secara rasmi menyatakan bahawa bola sepak lahir dari daratan China iaitu berasal dari permainan masyarakat Cina abad ke-2 sehingga abad ke-3 SM. Olahraga ini dikenali sebagai “tsu chu”.
 
Tsu membawa maksud menyepak bola dengan kaki manakala Chu bola dari kulit danada isinya. Permainan bola saat itu menggunakan bola yang diperbuat daripada kulit binatang dengan peraturan menendang, mengiring dan memasukkan ke sebuah jaring yang dibentangkan diantara dua tiang. 
 
Versi sejarah kuno tetang bola sepak yang lain berasal dari negeri Jepun sejak abad ke-8. Masyarakat disana telah mengenal permainan bola. Masyarakat disana memanggilnya “kemari”. Bola yang digunakan adalah kulit kijang namun ditengahnya mempunyai lubang dan berisi udara. 
 
Menurut Bill Murray, salah seorang sejarawan bola sepak, dalam bukunya The World Games: A History of Soccer, permainan bola sepak telah dikenali sejak awal  masihi. Pada saat itu, masyarakat Mesir Kuno sudah mahir dalam teknik membawa dan menendang bola yang diperbuat dari buatan kain linen.
 
Pada tahun 1863, organisasi bola sepak Inggeris telah ditubuhkan yang digelar Football Association (FA). Badan ini yang mengeluarkan peraturan permainan bola sepak sehingga bola sepak menjadi lebih teratur, berorganisasi dan menarik perhatian penonton.
 
Selanjutnya tahun 1886, terbentuk lagi badan yang mengeluarkan peraturan bola sepak moden sedunia iaitu International Football Association Board (IFAB). IFAB dibentuk oleh FA Inggeris dengan Scottish Football Association, Football Association of Wales dan Irish Football Association di Manchester, Inggeris.
 
Sejarah bola sepak semakin teruji hingga saat ini IFAB merupakan badan yang mengeluarkan pelbagai peraturan dalam permainan bola sepak baik tentang teknik permainan, syarat dan tugas pengadil. Bahkan sampai perpindahan pemain ke kelab bola sepak yang lain.
 
Presiden FIFA, Sepp Blatter dalam laman twitternya telah mengeluarkan kenyataan, “After last night’s match #GLT is no longer an alternative but a necessity”. 
 
Adakah penggunaan teknologi garisan gol bakal digunakan pada semua perlawana bola sepak tahun depan. Kita tunggu dan lihat.Isu ini timbul semula susulan bola yang diselamatkan oleh John Terry telah berada di dalam gawang gol semasa perlawanan England menentang Ukraine. Walaupun UEFA memperkenalkan sistem pengadilan yang baru, masih dalam percubaan, dengan meletakkan dua pengadil di tepi pintu gol, masih lagi terdapat keputusan yang meragukan.Presiden UEFA, Michel Platini masih lagi suka menggunakan sistem dua pengadil tambahan di atas padang berbanding menggunakan teknologi dalam permainan bola sepak.
 
Begitu juga dengan bekas pengadil, yang kini menjadi pengarah bahagian pengadil FIFA, Pierluigi Collina, dia juga tidak suka atau menolak menggunakan teknologi dalam permainan bola sepak. Menurut statistik UEFA, terdapat 302 keputusan pengadil yang sangat meragukan dalam 24 perlawanan setakat ini. 289 daripadanya keputusan pengadil adalah tepat. Hanya 13 sahaja yang kurang tepat. Ianya memberikan jumlah 96 peratus keputusan pengadil adalah tepat.
 
Di samping itu, kontroversi gol Frank Lampard ke gawang Jerman yang tidak disahkan pada Piala Dunia 2010 melatarbelakangi lahirnya bola pintar yang dinamakan CTRUS. Berulangkali Persekutuan Bola Sepak Dunia atau FIFA mendedahkan keinginannya untuk meminimakan kontroversi dari keputusan pengadil di lapangan seperti yang terjadi pada gol Lampard. Walaupun FIFA juga mengakui kontroversi pengadil merupakan hal yang berperikemanusiaan kerana segala keterbatasan dari manusia. 
 
Mikrocip yang berukuran hanya sebesar kurang dari setengah inci (15 milimeter) akan ditanam di dalam bola yang kemudian akan memancarkan isyarat radio ketika bola melampaui garisan gawang. Isyarat tersebut akan ditangkap 12 antena yang ditempatkan di sudut-sudut lapangan yang kemudian dihantar kembali ke penangkap isyarat yang ada di tangan pengadil dalam masa kurang daripada satu saat. Pengadil hanya menggunakan teknologi ini sebaik sahaja dia meragui kehadiran gol. Apabila bola melewati garis gawang, petunjuk di tangan pengadil akan menunjukkan kata "Gol!" yang mengesahkan bola telah memasuki gawang.
 
Namun beberapa pemain bola sepak menolak teknologi seperti itu dilibatkan dalam bola sepak kerana dikhuatiri boleh merosakkan keindahan dan sifat alaminya. Namun FIFA merancang akan menggunakan revolusi teknologi terbaru ini di beberapa kejohanan, sekali gus sebagai bola masa depan.
 
Teknologi dalam bola sepak telah berkembang dari hari ke hari. Dengan perkembangan teknologi ini, sukan bola sepak telah menjadi sukan kegemaran nombor satu di dunia. Pelbagai kajian dilakukan untuk menaiktaraf teknologi bola sepak kepada yang lebih tinggi sesuai dengan bakat pemain pemain bola sepak professional dunia. Perkembangan teknologi ini dapat dilihat dari pelbagai aspek.
 
Penggunaan video -- Penggunaan video telah dicadangkan oleh banyak pihak. Banyak insiden yang dilihat semasa ulang tayang tidak sama dengan keputusan pengadil. 
 
Jersi dan kasut -- Jersi dan kasut pemain juga telah melalui evolusi seiring dengan perkembangan teknologi zaman sekarang. Kasut yang dahulunya diperbuat daripada campuran kulit kini telah berubah dengan pelbagai jenis bahan digunakan untuk menjadikan kasut lebih ringan dan sepadan dengan kaki pemain. Begitu juga dengan jersi pemain. Ada jersi yang direka agar dapat membuatkan pemain merasa sejuk dan menyerap peluh dengan cepat serta mengurangkan rintangan angin semasa berlari.
 
Bola -- Bola di era bola sepak moden kini sangat mudah dikawal. Setiap pemain mampu membuat hantaran dengan cantik dan tepat. Bola zaman sekarang juga bukan hanya diperbuat daripada jalinan kulit sintetik tetapi diperbuat daripada bahan yang lebih tahan dan ringan.
 
Padang -- Mutu padang juga telah meningkat. Rumput padang dari jenis rumput yang terbaik dan memerlukan penjagaan yang khusus. Saliran air diperbaiki agar air tidak bertakung di atas padang. Jika air bertakung ianya akan mengganggu pergerakan bola.  
 
1.1 Objektif kajian

1. Mengetahui perkembangan teknologi yang berlaku dalam dunia bola sepak.

2. Meningkatkan kesedaran pemain terhadap teknologi bola sepak.

3. Mencadangkan teknologi bola sepak yang sesuai di Malaysia.

2.0 Analisis dan dapatan kajian

Berdasarkan objektif kajian, soal selidik yang telah disediakan kepada 30 orang responden. Dapatan kajian adalah seperti dalam gambarajah.



 
Rajah 1 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa jenis  kasut bola mempengaruhi kualiti permainan pemain bola sepak . Hampir separuh responden menyatakan permainan bola sepak dipengaruhi oleh jenis kasut bola yang dipakai.
 
Rajah 2 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawapenciptaan teknologi garisan gol mampu mengelakkan kesilapan dalam permainan. Majoriti responden berpandangan kesilapan dalam permainan bola sepak boleh dielakkan melalui penciptaan teknologi garisan gol. Manakala dalam Rajah 3 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa bola sepak zaman sekarang lebih ringan. Hampir semua responden mengakui berat bola sepak pada hari ini lebih ringan berbanding dahulu.
 
 
Rajah 4 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa penjaga garisan membantu pengadil membuat keputusan yang tepat. Kepentingan penjaga garisan diambil kira dalam permainan bola sepak dan majoriti responden mengakui bahawa penjaga garisan berperanan dalam memastikan bola sepak sentiasa diminati.
 
Rajah 5 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa rawatan di Malaysia sama taraf dengan rawatan di Eropah. Sebahagian besar iaitu 26 responden tidak dapat menerima persamaan rawatan di antara Malaysia dan Eropah.
 
Rajah 6 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa peralatan bola sepak di luar negaara lebih canggih berbanding Malaysia. Majoriti responden bersetuju bahawa peralatan bola sepak di luar negara lebih canggih.
 
Rajah 7 pula menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa jersi campuran plastik mampu menambah kelajuan pemain ketika berlari. Responden yang mengatakan sangat tidak setuju seorang, tidak setuju 4 orang, tidak pasti 11 orang, setuju 7 orang dan sangat setuju ialah seramai 7 orang.
 
Rajah 8 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa latihan bola sepak di Malaysia lebih komprehensif daripada luar negara. Dapatan ini memperlihat betapa latihan bola sepak di Malaysia perlu ditingkatkan.
 
Rajah 9 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa padang stadium di Malaysia memenuhi kriteria sebagai tuan rumah Piala Dunia. Responden masih menaruh kepercayaan bahawa Malaysia mampu menjadi tuan rumah dalam kejohanan Piala Dunia pada masa hadapan.
 
Rajah 10 menunjukkan bilangan responden yang mengatakan sangat tidak setuju, tidak setuju, tidak pasti, setuju dan sangat setuju bahawa penciptaan bola berteknologi tinggi perlu digunakan di Malaysia. Responden yang mengatakan sangat tidak setuju ialah seramai 2 orang, tidak setuju seorang, tidak pasti 3 orang, setuju 15 orang dan sangat setuju ialah seramai 9 orang.
 
3.0 Kesimpulan
 
Setelah meneliti dan menganalisis maklumat yang telah dikumpul,kami telah mendapati bahawa teknologi bola sepak di Malaysia masih tidak dapat menandingi teknologi bola sepak Eropah. Walaubagaimanapun, kita janganlah memandang teknologi bola sepak Malaysia sebagai sesuatu yang tidak harus diberi perhatian kerana ia adalah sebaliknya. Teknologi bola sepak yang maju di sesebuah negara mampu menyumbang kepada peningkatan dari sektor ekonomi,pelancongan dan boleh menaikkan imej negara untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara lain di seluruh dunia yang memiliki teknologi bola sepak moden. 
 
Oleh itu, sebagai individu yang tidak mahu kemunduran berlaku di negara sendiri, kami mencadangkan agar pihak-pihak yang terlibat dalam kemajuan teknologi bola sepak Malaysia bersatupadu dan menggembleng tenaga untuk memajukan teknologi bola sepak di Malaysia. Dengan ini, banyak kajian dan penyelidikan perlu dilakukan dengan membandingkan teknologi bola sepak tempatan dengan negara asing. Selain itu, jurutera dan saintis yang bertanggungjawab perlu berfikir dengan lebih kreatif dan kritis serta inovatif tentang cara untuk memajukan teknologi bola sepak di Malaysia.
 
Rujukan
 
Diana Star ,Helmer and Tom Owens. (2000). The History of Soccer .The Rosen
      Publishing Group.

Joseph A. Luxbacher.(n.d).  Teknologi Sepak Bola. RajaGrafindo Persada (Rajawali
     Perss)

Majalah Wisel edisi Mac 2011

http://www.goal.com/newfootballtechnology


  

Thursday, August 29, 2013

Kemajuan teknologi hijau di Melaka

 
 
 
 
Durian Melaka yang enak
Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. Antara contoh penggunaan teknologi hijau ialah menggunakan teknologi suria iaitu tenaga yang dihasilkan oleh cahaya matahari contohnya kaedah fotovolan yang berfungsi menukarkan sinar radiasi daripada matahari kepada arus elektrik menggunakan bahan semikonduktor. Seterusnya, tenaga angin yang menghasilkan tenaga elektrik daripada tenaga kinetik angin (seperti kincir angin) dengan cara memutarkan bilah pemutar pada kincir angin yang menyebabkan turbin angin berputar.
 
Negeri Melaka berusaha menjadi sebuah bandar teknologi hijau melalui pelbagai strategi termasuk pembinaan projek mega Melaka World Solar Valley di kawasan Rembia yang melibatkan pelaburan melebihi RM2 bilion. Bekas Ketua Menteri Melaka iaitu Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, projek di atas tanah seluas 7246.23 hektar itu merupakan kawasan pembangunan teknologi hijau pertama di negara ini dan yang terbesar di dunia. Antara strategi yang dilaksanakan dalam mencapai visi “Bandar Teknologi Hijau” adalah pelancaran Melaka Green City, penubuhan Akademi Teknologi Hijau Melaka, melaksanakan beberapa projek kitar semula minyak masak terpakai sebagai sumber biodiesel, menjalankan kajian mengenai pengurusan sisa buangan bersama pihak Akademi Teknologi Hijau Melaka, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Sirim bagi memastikan kaedah pelupusan sisa buangan bersifat mesra alam dapat diterima pakai oleh masyarakat. 
 
Teknologi Hijau merujuk kepada pembangunan dan aplikasi produk, peralatan dan sistem untuk memelihara alam sekitar dan alam semula jadi dan meminimumkan atau mengurangkan kesan negatif daripada aktiviti manusia. 
 
Merujuk laman sesawang Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Green Technology Masterplan terbahagi kepada dua peringkat iaitu kajian baseline dan membentuk pelan tindakan yang terperinci. Pada peringkat pertama ia tertumpu pada enam sektor yang dikenal pasti seperti tenaga, bangunan, pengangkutan, pengurusan air dan sisa, industri pembuatan serta teknologi komunikasi maklumat. Tujuan kajian baseline ialah mengenal pasti kedudukan Malaysia dalam aplikasi teknologi hijau dan mengenal pasti kaedah bagi mengisi analisis jurang yang juga ditumpu dalam peringkat ini. Peringkat kedua ialah mendefinisikan teknologi hijau dan low carbon economy serta merangka Pelan Tindakan Low Carbon Economy yang merangkumi kesemua sektor utama ekonomi. 
 
Seterusnya GreenTech Malaysia yang dilantik oleh kementerian telah membantu dalam menyediakan “Roadmap Infrastruktur Kenderaan Elektrik” dengan mengemukakan tujuh bidang utama bagi pembangunan keseluruhannya. Antaranya ialah rangka institusi, sumber, teknologi, matriks prestasi industri, rantai nilai, pembangunan pasaran dan industri serta projek perintis. KeTTHA, GreenTech Malaysia dan MAI telah menganjurkan 1st Electric Vehicle Roundtable Discussion bagi mengumpulkan maklum balas dan input daripada pemegang taruh. Hasil daripada perbincangan tersebut telah memulakan fasa pertama iaitu 10 basic checklist permulaan roadmap infrastruktur kenderaan elektrik. Dalam fasa kedua projek perintis kenderaan elektrik akan dilaksanakan. Manakala dalam fasa ketiga pula melibatkan penyediaan roadmap keseluruhan kenderaan elektrik yang akan merangkumi 7 key areas yang disenaraikan dalam rangka kerja penyediaan roadmap tersebut. Fasa keempat melibatkan pembangunan infrastruktur kenderaan elektrik peringkat nasional yang ditentukan oleh output dan outcome yang diperoleh daripada fasa ketiga. 
 
Skop roadmap infrastruktur kenderaan elektrik akan merangkumi beberapa aspek utama iaitu regulatori dan pelesenan, pembangunan kod dan piawai, pembangunan stesen caj bateri, punca tenaga, smart grid, teknologi bateri atau penukaran bateri, elektronik kuasa, sistem pemanduan elektrik, keselamatan, pembekalan kenderaan dan komponen dan penyelenggaraan selepas pembelian.
 
Konsep Teknologi Hijau di Melaka
 
Matlamat Kebangsaan mengenai Dasar Teknologi Hijau adalah untuk menyediakan hala tuju dan motivasi untuk rakyat Malaysia terus menikmat kualiti kehidupan yang baik dan persekitaran yang sihat.
 
1. Matlamat Jangka Pendek (Rancangan Malaysia Ke-10)
 
Beberapa matlamat jangka pendek yang ingin dicapai. Pertama adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat melalui program-program sokongan dan komitmen untuk penerimaan dan penerapan teknologi hijau. Kedua, ketersediaan dan pengiktirafan meluas teknologi hijau dari segi produk, aplikasi, peralatan dan sistem di pasaran tempatan melalui piawaian, perkadaran dan pelabelan. Ketiga pula adalah menjadikan Pelaburan Langsung Asing (Foreign Direct Investments, FDIs) dan Pelaburan Langsung Tempatan (Domestic Direct Investments, DDIs) yang lebih besar dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan teknologi hijau. Terakhir ialah institusi-institusi penyelidikan tempatan dan institusi pengajian tinggi dapat mengembangkan penyelidikan, pembangunan dan aktiviti inovasi mengenai teknologi hijau ke arah pengkomersialan menerusi mekanisme yang sesuai.
 
2. Matlamat Jangka Sederhana (Rancangan Malaysia Ke-11)
 
Matlamat pada peringkat ini adalah untuk menjadikan teknologi hijau sebagai pilihan utama dalam memilih produk dan perkhidmatan. Selain itu, teknologi hijau dijangka akan mempunyai pasaran tempatan yang lebih besar berbanding dengan teknologi lain dan akan memberi sumbangan kepada penerimaan teknologi hijau dalam pasaran serantau. Di samping itu, pelbagai peningkatan yang dijangka seperti peningkatan pengeluaran produk teknologi hijau tempatan, peningkatan penyelidikan dan pembangunan serta inovasi teknologi hijau oleh universiti tempatan dan institusi penyelidikan yang dikomersialkan melalui kerjasama dengan industri tempatan dan syarikat multinasional, peningkatan perniagaan SME dan SMI tempatan dalam teknologi hijau ke pasaran global dan peningkatan aplikasi teknologi hijau dalam kebanyakan sektor ekonomi.
 
3. Matlamat Hangka Panjang (Rancangan Malaysia Ke-12 dan seterusnya)
 
Matlamat jangka panjang adalah penerapan teknologi hijau dalam budaya hidup rakyat Malaysia.Selain itu, masyarakat juga diharapkan dapat meluaskan pengetahuan terhadap konsep teknologi hijau dan mengurangkan penggunaan sumber secara keseluruhan di samping mengekalkan pertumbuhan ekonomi negara. Seterusnya, matlamat jangka panjang yang ketiga adalah mengurangkan signifikan dalam penggunaan tenaga negara.Di samping itu, matlamat yang lain adalah membaiki kedudukan Malaysia dalam peningkatan persekitaran seterusnya menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama teknologi hijau dalam pasaran global danserta meningkatkan kerjasama peringkat antarabangsa dengan universiti tempatan dan institusi penyelidikan dalam industri teknologi hijau.
 
Kriteria Teknologi Hijau 
 
Ia merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria-kriteria berikut iaitu, i)  meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, ii) mempunyai pembebasan Gas Rumah Hijau (GHG) yang rendah atau sifar, iii) selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, iv) menjimatkan tenaga dan sumber asli dan, v) menggalakkan sumber-sumber yang boleh diperbaharui.
 
Kepentingan teknologi hijau diyakini boleh mengatasi masalah kemusnahan alam sekitar dan sumber asli, meningkatkan tahap kesihatan dan kehidupan, memelihara ekosistem, mengatasi masalah bebanan kos kepada kerajaan di dalam usaha menangani kesan negatif daripada pembangunan dan berperanan sebagai alternatif dalam usaha meningkatkan ekonomi nagara tanpa menjejaskan alam sekitar.
 
Kerajaan Negeri Melaka melaksanakan lima langkah utama untuk menjayakan teknologi hijau. Antaranya menubuhkan Akademi Teknologi Hijau, membangunkan Bandar Hijau Hang Tuah Jaya, kempen Melaka bebas Asap Rokok dan Explorasi Hijau.
 
1. Akademi Teknologi Hijau
 
Akademi Teknologi Hijau adalah anak syarikat penuh Yayasan Melaka telah ditubuhkan pada 29 Mac 1996 (Dahulu dikenali sebagai Melaka Dairies Sdn Bhd). Akademi Teknologi Hijau merupakan satu syarikat yang menumpukan usaha penyelidikan, membentuk, membangun dan mempromosi pembudayaan teknologi hijau serta pembangunan kemahiran bidang-bidang lain yang perlu secara lestari yang dapat menyokong merealisasikan Melaka sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau 2020.
 
2. Pembangunan Bandar Hijau Hang Tuah Jaya
  
Hang Tuah Jaya merupakan kawasan pembangunan baru untuk dijadikan model pembangunan Bandar Hijau pertama di  Melaka yang dikenali sebagai “Bandar Hijau Hang Tuah Jaya”. Sejumlah seribu ekar keluasan yang terletak di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) yang terlibat. Konsep Bandar Hijau yang dirancang oleh Kerajaan Negeri Melaka merujuk kepada bandar yang dikategorikan sebagai bandar paling kurang atau cuba mengecilkan pencemaranya, sikap dan komitmen penduduknya yang mesra alam, kualiti udara yang baik, penggunaan sumber tenaga alternatif yang mesra alam, pengangkutan awamnya mesra alam, pengkalan kawasan hijaunya terancang serta melaksanakan polisi mesra alam.
 
3. Melaka bebas Asap Rokok
 
Objektif program adalah untuk mewujudkan beberapa kawasan sebagai bebas asap rokok untuk melindungi hak golongan majoriti bukan perokok dari ancaman pencemaran udara oleh asap rokok. Selain itu, ia juga untuk meggalakkan tidak merokok sebagai amalan cara hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melaka dan menggalakkan para perokok untuk berhenti merokok. Di samping itu,  objektif program ini adalah untuk membantu usaha kerajaan negeri mencapai dan mengekalkan status negeri maju dengan melaksanaka persekitaran bebas asap rokok bagi melindungi kesihatan rakyat sejagat. Seterusnya dapat membantu usaha untuk mengekalkan status “Bandaraya Warisan Dunia” dengan melaksanakan projek “Melaka Bebas Asap Rokok” supaya melindungi artifak-artifak dan bangunan-bangunan warisan tamadun sejarah Negeri Melaka daripada kesan kehakisan kepada bangunan dan artifak.
 
4. Program Explorasi Hijau
 
Perbadanan Hang Tuah Jaya mengambil langkah untuk memberi lebih pengetahuan kepada para pelajar untuk mengeksplorasi dunia Teknologi Hijau di Taman Botanikal Melaka dengan menawarkan pakej pelancongan bermanfaat khusus untuk pelajar. Pelajar dapat menimba pengalaman dan pengetahuan di samping eksplorasi ini boleh dijadikan medium pelancongan untuk melepaskan tekanan belajar.
 
Terdapat 8 pekej yang ditawarkan oleh pihak Perbadanan Hang Tuah Jaya kepada para pelajar iaitu 1) Program Kenderaan Karbon Rendah- program ini akan memberikan kesedaran tentang pelepasan karbon yang dijana daripada sektor pengangkutan. Pelajar berpeluang menaiki buggy elektrik di sekitar Taman Botanikal Melaka dan belajar untuk mengira jejak karbon yang dikeluarkan oleh asap kenderaan, 2) Program karbon sink atau pengasingan karbon- program ini akan memberi penerangan kepada proses pengiraan karbon dalam situasi sebenar.Pelajar akan bergerak melalui e-buggy ke satu kawasan yang dikhaskan di Taman Botanikal Melaka dan di sana pelajar akan melihat bagaimana proses pengasingan karbon dijalankan, 3) Lawatan Sambil Belajar Tenaga Boleh Diperbaharui- pelajar yang mengambil pakej ini di Taman Botanikal Melaka akan diberikan taklimat berkenaan tenaga yang boleh diperbaharuui dan kepentingannya.Selain itu, pelajar juga dapat melawat model Tenaga Boleh Diperbaharui dan bangunan hijau di Taman Botanikal Melaka  di mana mereka juga akan diajar cara untuk mengukur penjimatan tenaga, 4) Lawatan Sambil Belajar Pensampelan Bangunan Hijau, 5) Lawatan Sambil Belajar Pengurusan Sisa- bagi pelajar yang berminat untuk belajar cara pengurusan sisa juga boleh menyertai program ini. Mereka akan diberi taklimat mengenai konsep mengurang, mengguna serta mengitar semula (3R), mengetahui kepentingan pengurusan sisa, faedah dan pengalaman kompos di Taman Botanikal Melaka, 6) Persembahan Video Mengenai Perubahan Iklim dan Pemanasan Global- video yang mengenai isu-isu perubahan iklim dan pemanasan global ditayangkan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar,dan meraka akan diajar dengan cara untuk mengurangkan permanasan global demi kesejahteraan hidup, 7) Lawatan Sambil Belajar Permuliharaan Alam Sekitar- pelajar mendapat penjelasan mengenai kepentingan hutan, hutan biodiversiti serta berpeluang bertanding dalam  pertandingan penghasilan gambar biodiversiti terbaik dan berpeluang memenangi hadiah istimewa, dan 8) Lawatan Sambil Belajar Pengurusan Air- pelajar akan belajar mengenai pemuliharaan air serta berpeluang melihat model kitar semula air di samping dapat mengambil bahagian dalam pengiraan jejak air.
 
5. Program Biodiesel Melaka
 
Program ini adalah salah satu program bagi mengurangkan carbon footprint di sektor pengangkutan bagi mencapai matlamat Melaka Negeri Bandar Teknologi Hijau 2020. Ini adalah program komuniti hijau dimana kesedaran tentang penjagaan alam sekitar da perubahan iklim dapat disebarkan kepada seluruh rakyat Melaka.
 
Pada peringkat pemulaan, biodiesel yang dihasilkan adalah dari sumber sisa minyak masak yang dikumpulkan di seluruh negeri. Peserta yang menyumbang sisa minyak masak adalah terdiri daripada orang awam, komuniti kampung dan bandar, gerai makan, restoran, kedai makanan segera, kilang IKS,hotel, kilang makan dan lain-lain.
 
Biodiesel yang dihasilkan adalah menepati piawaian antarabangsa iaitu ASTM 6751-03 dan atau EN 14214 dan diguna pakai oleh kenderaan awam dan swasta termasuk juga jentera penjana letrik di Melaka. Semua penggunaan biodiesel akan direkodkan bagi tujuan mengiraan pengurangan carbon footprint di sektor pengangkutan yang terlibat.

Matlamat program ini adalah untuk mengurangkan carbon footprint, sebagai saluran kesedaran tentang kemudaratan kesihatan akibat penggunaan minyak masak kitar semula, menambah kesedaran tentang isu halal apabila punca minyak masak kitar semula tidak dapat dikenal pasti dan kempen kesedaran tentang penjagaan alam sekitar terutamanya kebersihkan longkang dan perparitan setempat.
 
Senarai Projek Teknologi Hijau di Melaka yang dijalankan ketika ini ialah, 1) Pembangunan masjid di Kawasan Perindustrian Rembia. Jabatan Agama Islam Negeri Melaka telah mengemukakan permohonan peruntukan kepada Pejabat Pembangunan Negeri dan reka bentuk telah disediakan oleh JKR Negeri Melaka. Masjid ini boleh memuatkan 3000 orang jemaah. Pembangunan ini akan menggunakan konsep Low Energy Buildingv dan penggunaan tenaga elektrik yang dijana oleh panel suria pada bangunan masjid, 2) lampu jalan solar hybrid di Lebuh AMJ. Cadangan projek ini melibatkan penambahbaikan bagi menggantikan 500 unit lampu sedia ada kepada lampu solar hybrid sebagai satu elemen untuk menjadikan Melaka sebagai Bandar Teknologi Hijau, 3) perhentian bas dengan pencahayaan solar hybrid. Cadangan projek ini melibatkan penambahbaikan bagi menggantikan 76 unit pondok menunggu bas konvensional sedia da kepada pondok menunggu bas solar hybrid sebagai satu elemen physical look “Negeri Bandar Teknologi Hijau” selain bertujuan pengurangan penggunaan tenaga khususnya bil utiliti pihak berkuasa tempatan, 4) projek demonstrasi BIPV (Pemasangan panel surai di bumbung rumah sedia ada untuk penjanaan elektrik dan penggunaan domestik). Pelaksanaan secara penswastaan in melibatkan pemasangan solar panel ke atas bumbung 397 unit rumah di Taman Rembia Perkasa di dalam kawasan Melaka World Solar Valley. Pemasangan panel suria di setiap bumbung rumah di Taman Rembia Perkasa membantu mengurangkan 1,327 tan pengeluaran karbon dioksida setiap tahun. Selain itu, penguna dapat mengurangkan 50 peratus bil elektrik isi rumah setiap tahun dan lebihan eletrik yang tidak digunakan dapat dikembalikan dalam bentuk keuntungan melalui Feed In Tarif (FIT), dan 5) Pembangunan RDIC Park MWSV seluas 128 ekar di Kawasan Perindustian Rembia. 
 
Pengunaan teknologi hijau haruslah digunakan seluas yang boleh dalam kalangan rakyat dan negara kerana ia memberi banyak faeda di samping dapat mengurangkan masalah- masalah pencemaran, jerebu dan sebagainya. Usaha ini juga selari dengan keputusan untuk mewujudkan dana dalam memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau. Melalui dana ini, syarikat pengeluar dan pengguna teknologi hijau dapat membuat pinjaman untuk membiayai aktiviti yang menyokong pertumbuhan industri teknologi hijau. 
 
Selain itu, kerajaan dapat mengambil langkah-langkah yang inisiatif untuk memperkukuh lagi struktur pelaksanaan dan pembangunan teknologi hijau serta mengantarabangsakan potensi penggunaannya. Misalnya, dalam Belanjawan 2014 nanti,  kerajaan boleh menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau.
 
Selain daripada itu,  dicadangkan untuk mewujudkan strategi persekitaran yang kondusif bagi pembangunan teknologi hijau. Strategi ini dapat dilaksanakan dengan dana yang mencukupi  untuk menggalakkan lagi usaha merancakkan promosi terutamanya untuk menarik pelaburan langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung domestik industri tempatan. Malah, strategi mewujudkan persekitaran yang kondusif ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia pangkalan teknologi hijau serantau khususnya bagi tenaga yang boleh diperbaharui seperti teknologi solar fotovoltanik.
 
Rujukan
 
Ahmad Ridzwan Mohd Noor, Nor Azila Ahmad, Norliah Kudus, Mahadi Abu Hassan,    
     Shahrulanuar Mohamed, Ismail Ibrahim, Radzuan Nordin,  Ali Hafizar Mohamad Rawi.
     (2012). Falsafah Sains dan Teknologi. Melaka: Penerbit Universiti Teknikal Malaysia
     Melaka.
 
Angelo A. Calvello. (2009). Environment Alpha. United State America. Penerbit Wiley.
 
Lawrence Webber and Micheal Wallace. (2009). Green Tech. USA. Penerbit American
     Management Association.
 
Michael F. Ashby. (2009). Materials And The Environment. Canada. Penerbit 
     Butterworth- Heinemann.

Osman Attmann. (2009). Green Architecture Advanced Technologies and Materials      
     Los Angeles, USA. Penerbit Mc-Graw Hill.

Wednesday, August 28, 2013

Integrasi etnik di Malaysia





Makanan menyatukan rakyat Malaysia

Integrasi bermaksud satu proses bagi mewujudkan satu identiti nasional dalam kalangan kumpulan yang terpisah. Integrasi sosial pula membawa maksud proses penyesuaian antara unsur-unsur yang saling berbeza dalam kehidupan masyarakat sehingga menghasilkan pola kehidupan masyarakat yang memiliki keserasian fungsi.
Integrasi nasional pula menerangkan suatu proses yang menyatupadukan pelbagai kelompok dalam masyarakat melalui  satu identiti bersama dengan menghilangkan perbezaan dan identiti masing-masing. 
Integrasi kaum ini terjadi dari dulu lagi disebabkan pendidikan berorientasikan kaum. Pengasingan institusi pendidikan berteraskan kaum di Malaysia juga merupakan suatu masalah besar yang dihadapi masyarakatnya. Tidak perlu dinafikan, pendidikan adalah wahana penting untuk mengintegrasikan kaum. Namun, adalah malang di Malaysia sistem pendidikannya terutama di sekolah rendah adalah berteraskan satu-satu kaum sahaja.

Perpaduan yang seharusnya diajarkan kepada masyarakat semenjak  mereka kecil telah menemui kegagalan di dalam konteks ini kerana diasingkan mengikut aliran persekolahan rendah yang berbeza. Dalam kes ini, kaum Cina dan India tidak mahu sistem pendidikan yang menggunakan bahasa ibunda mereka dihapuskan. Justeru mereka tetap berkeras untuk mengekalkan sekolah-sekolah aliran Cina dan Tamil di Malaysia. Hasilnya, perpaduan kaum yang longgar akan berlaku. 
Pendidikan yang seharusnya menjadi platform terawal ke arah penerapan nilai perpaduan di dalam jiwa rakyat Malaysia yang pelbagai kaum telah secara tidak langsung, memecahbelahkan kaum-kaum ini semenjak kecil. Bahkan, tidak keterlaluan jika dikatakan, kerana wujudnya sistem pendidikan berteraskan kaum ini, fahaman perkauman telah diterapkan di dalam minda masyarakat pelajar semenjak mereka berada di bangku sekolah rendah lagi. Justeru, apabila mereka ini berada di institusi pengajian tinggi, mereka akan terbawa-bawa dengan cara pergaulan dari sekolah rendah dan tidak hairan jika mereka berpuak-puak mengikut kaum masing-masing.
Hubungan etnik dan integrasi adalah isu yang penting dalam pembinaan negara Malaysia yang berbilang etnik. Selain etnik Melayu, Cina, dan India, terdapat etnik lain seperti Orang Asli, Kadazandusun, Bajau, Iban, Bidayuh dan lain-lain lagi. Kepelbagaian ini menuntut satu pendekatan yang membolehkan ke semua etnik ini dapat hidup bersama dan berusaha memajukan negara tanpa perasaan syak wasangka dan tidak selamat.
Dalam satu dekad kebelakangan ini, pengenalan kursus-kursus yang memfokuskan kepada pembelajaran dan pemahaman budaya yang berbeza di institusi pengajian tinggi pula cuba menimbulkan perasaan menghargai dan kefahaman yang lebih dalam kalangan mahasiswa kepada budaya dan tamadun yang berbeza yang ada di sekeliling mereka. Ini dilakukan dengan pengenalan kursus Tamadun Islam dan Tamadun Asia dan seterusnya, pengenalan konsep Islam Hadari tidak lama dulu di peringkat nasional.

Kursus Hubungan Etnik yang diperkenalkan sejak tahun 2006 di pusat pengajian tinggi pula adalah satu usaha untuk menangani masalah hubungan etnik yang sering menjadi isu dalam pembangunan negara. Ianya bukan hanya memberi pendedahan kepada konsep-konsep hubungan etnik, malah pelajar diberikan peluang untuk melakukan aktiviti bersama untuk membolehkan kefahaman yang lebih mendalam bagaimana masyarakat pelbagai etnik dapat bekerjasama dan berinteraksi.
Kajian-kajian mengenai pelbagai dimensi persoalan hubungan etnik dan integrasi nasional dilakukan kebanyakannya oleh pensyarah dan juga pelajar sarjana dan doktor falsafah dari Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Selain itu, terdapat penyelidik dari universiti-universiti lain yang menjalankan penyelidikan dalam tema yang sama termasuk universiti-universiti baru. 

Secara umum, kajian-kajian bidang hubungan etnik dan integrasi nasional boleh dianalisis menurut dua kategori iaitu Hubungan antara etnik yang merupakan satu komponen penting pembangunan sosial dalam pembinaan negara dan kajian yang bersifat dalaman etnik itu sendiri, misalnya kajian tentang ritual, budaya atau kelakuan etnik itu secara khusus, tetapi isinya mempunyai pengajaran untuk pembangunan sosial.  Kajian-kajian mengenai hubungan etnik dan integrasi nasional menunjukkan kepelbagaian tema yang agak menarik dan penting. Antaranya termasuklah integrasi dalam kalangan pelajar, toleransi agama, pendidikan, bahasa, kebudayaan dan cara hidup, sosioekonomi dan peranan media dalam menjaga dan memupuk hubungan etnik.
Pelajar dan belia merupakan pelapis kepada pembinaan dan pembangunan negara. Golongan ini yang akan menentukan tahap hubungan etnik dan integrasi nasional pada masa hadapan. Oleh itu, kajian mengenai tahap hubungan dan integrasi dilakukan dari peringkat sekolah hinggalah peringkat pengajian tinggi untuk menilai statusnya. Kajian Hazri Jamil et.al (2004) USM, berjudul “Hostiliti atau Harmoni dalam Interaksi Sosial Pelajar Budaya Majmuk di Sekolah-sekolah Menengah Pulau Pinang” menilai keharmonian dalam interaksi sosial pelajar majmuk di sekolah.
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pula cuba membangunkan para remaja agar lebih patriotik dan cinta kepada negara dengan pengisian pelbagai aktiviti yang melibatkan fizikal, menal, pembinaan karektor, kenegaraan dan kemasyarakatan. Walaupun pada awal tahun pelaksanaannya ia menerima pelbagai reaksi dan kritikan lebih-lebih lagi dari segi pengurusan, namun kini diakui oloh pelbagai pihak bahawa program ini dapat membentuk sikap yang lebih positif dalam kalangan generasi muda pelbagai kaum terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Di samping itu, pergaulan di anatara etnik juga dapat diperbaiki dengan penglibatan semua peserta dalam aktiviti kerjasama dan berkumpulan. Penemuan seperti ini terdapat dalam kajian Zaliha Hussin (2005) UiTM, berjudul “Kajian Tinjauan Mengenai Kaedah Pengurusan dan Pengendalian Program Khidmat Negara”.
Kajian tentang tahap hubungan etnik dan integrasi dalam kalangan pelajar diteruskan lagi di peringkat pengajian tinggi. Kajian Nga Lay Hui @ Janice Nga (2005) UMS, berjudul “ Integrasi Antara Kaum dalam Kalangan Penuntut-penuntut di Institusi Pengajian Tinggi” mengkaji corak pergaulan dan integrasi dalam kalangan pelajar supaya fahaman etnosentrik dan kelemahan yang dikesan dapat diminimumkan manakala perpaduan sebenar dapat dipergiat dan diteruskan. Kajian ini cuba meneliti bagaimana perbezaan ras dan kekurangan akibatnya dapat dikurangkan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini yang mungkin akan mengancam kestabilan sosial, ekonomi dan politik untuk mendorong pembinaan bangsa Malaysia.

Hal ini adalah kerana golongan pelajar inilah merupakan bakal pemimpin negara dan akan memasuki golongan kelas menengah pada masa hadapan. Sekiranya tahap hubungan dan integrasi memuaskan, maka akan wujud satu masyarakat Malaysia yang harmoni dan berperibadi tinggi, begitu juga sebaliknya.
Kajian yang dilakukan oleh Fatimah Daud (2002) UM, berjudul “Polarasi Kaum dalam Kalangan Pelajar-pelajar Universiti” pula memberi tumpuan kepada hubungan etnik dan polarisasi kaum dalam kalangan pelajar-pelajar di universiti dengan persoalan adakah ethnic maintainance masih kuat atau berkurangan dalam kalangan generasi muda sekarang.

Kajian ini dilakukan untuk melihat sejauh mana golongan pelajar ini bergaul dan berinteraksi dalam sebuah komuniti kampus dan adakah akan mempengaruhi cara pergaulan dan interaksi mereka dengan struktur masyarakat luar yang lebih kompleks. Kajian ini mendapati program yang melibatkan aktiviti bersama, pertukaran program budaya, meningkatkan tahap kefasihan bahasa, dan pemahaman antara agama dapat meningkatkan persefahaman dan perpaduan antara pelajar pelbagai kaum.
Menarik diketahui bahawa untuk meningkatkan integrasi antara kaum dan etnik, faktor penguasaan bahasa memainkan peranan yang memang penting. Bahasa sudah lama memainkan peranan sebagai satu wadah yang dapat mengeratkan integrasi dan hubungan. Kefahaman dan kefasihan bahasa yang tinggi akan memudahkan komunikasi dan seterusnya dapat memupuk perpaduan dan integrasi. Kedudukan Bahasa Malaysia sabagai bahasa kebangsaan mendorong ke arah ini. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa kaum lain memang membantu perpaduan.
Kajian Cheng Heng Huat et al., (2002) UiTM, berjudul “Attitude Towards the Learning of Chinese Characters among Students in Universiti Teknologi MARA” pula meneliti sikap pelajar di institusi pengajian tinggi khasnya di UiTM dalam proses pembelajaran tulisan Cina. Hasil kajian mendapati bahawa proses pembelajaran adalah agak sukar akibat kekangan masa pembelajaran serta sifat tulisan bahasa Cina yang agak sukar. Namun, ramai yang beranggapan bahawa bahasa Cina akan menjadi salah satu bahasa yang penting pada masa hadapan. 
Juga terdapat kajian-kajian yang mengkaji etnik minoriti peribumi seperti lajian terhadap cara hidup, amalan seharian, bahasa dan budaya mereka. Kebanyakan etnik yang dikaji adalah dalam kalangan peribumi masyarakat Borneo yang jauh dari arus pembangunan.

Sebagai contoh kajian Hanafi Hussin (2001) UM, berjudul “Ritual Moginom dalam Kalangan Masyarakat Dusun Tatana, Kuala Penyu Sabah” yang mengkaji dan mendokumentasikan ritual Monigom oleh komuniti Tatana untuk beberapa tujuan seperti jamuan tahunan kepada roh nenek moyang, pengubatan dan pembayaran niat.

Sehingga kini, ramai pengamalnya, sedikit demi sedikit mula meninggalkan amalan ritual Moginom sehingga ianya jarang dan hampir tidak dilakukan lagi kerana menganggap amalan tersebut ketinggalan zaman. Ianya satu kehilangan sekiranya kajian dan dokumentasi ritual Moginom ini lewat dilakukan. 
Media massa sama ada media cetak dan elektronik di Malaysia mempunyai kesan dan pengaruh yang tinggi terhadap masyarakat dan pembangunan sosial negara. Dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, media mempunyai tanggungjawab yang lebih besar untuk memastikan penerbitan mereka boleh mendorong perpaduan dan harmoni. Kajian Baharuddin Aziz (2003) UiTM, berjudul “Media, Patriotisme dan Pembangunan Nasional, Satu Analisa Mengenai Perana Media dan Penghayatan Hari Kemerdekaan (31 Ogos) dalam Kalangan Rakyat Malaysia” hendak mengenal pasti bagaimana media dapat memupuk semangat patriotik dalam kalangan masyarakat dengan menganalisis peranan media penghayatan Hari Kemerdekaan dalam kalangan rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum. Secara tidak langsung, hubungan antara etnik dan kaum dapat dipererat dan lebih mesra melalui kempen kesedaran dalam menyambut sambutan perayaan Hari Kebangsaan.   
Persoalan hubungan etnik dan integrasi nasional sememangnya diakui merupakan perkara yang penting, lebih-lebih lagi dengan keadaan masyarakat Malaysia yang berbilang. Kurangnya kajian tentang etnik Cina dan India dan etnik peribumi lain.

Banyak kajian yang dijalankan tentang perbandingan etnik Melayu atau Islam dengan etnik atau agama lain. Namun, kurang dilakukan kajian perbandingan di antara etnik-etnik lain atau di antara agama-agama lain dan kajian yang ada lazimnya kajian mengenai budaya atau bahasa etnik itu sahaja. Amalan, budaya dan cara hidup dan ini merupakan satu kerugian kepada khazanah warisan negara sekiranya ianya tidak didokumentasikan segera. Kajian mengenai tahap integrasi belia pelbagai etnik samada dari peringkat sekolah rendah, menengah dan IPT juga agak kurang. Kekurangan ini perlu ditampung pada masa akan datang.