Thursday, June 30, 2022

Mental positif


Jika kita perhatikan kanak-kanak yang berusia setahun dan baharu hendak belajar berjalan dengan kanak-kanak yang berusia enam tahun dan baharu hendak belajar menunggang basikal, apakah persamaan antara kedua-duanya? 

Yang seorang baru hendak berjalan dan yang seorang lagi sudah boleh berjalan tetapi mahu mencuba kemahiran baharu iaitu naik basikal. 

Ya, kedua-duanya memiliki sikap mental yang positif. Berjalan dua atau tiga tapak lalu jatuh tetapi setiap kali jatuh, bangkit kembali. Mereka bangkit semula dan terus melangkah dan mengayuh. 

Kenapa boleh berlaku seperti itu? 

Sudah tentu kerana dalam minda mereka terdapat arahan untuk terus mencuba walaupun banyak cabaran. 

Jatuh dan bangun kembali dalam masa dua hingga tiga minggu membolehkan mereka belajar sesuatu yang sangat penting untuk membaiki kemahiran sedia ada. Selepas tempoh itu mereka sudah mahir dan boleh merasai usaha yang dilakukan sebelum ini amat berbaloi. 

Bandingkan dengan diri kita, sudah berapa kali kita gagal dalam percubaan mendapat pekerjaan, membuka perniagaan sendiri atau naik pangkat. 

Selepas gagal, berapa kali pula kita bangkit dan meneruskan usaha?


Wednesday, June 29, 2022

Penyakit 'M'


Seorang rakan saya mengusahakan bisnes makanan kecergasan minda untuk kecergasan minda yang memfokuskan kanak-kanak dan pelajar sekolah. 

Kadangkala orang dewasa yang penat bekerja turut mendapatkan makanan kecergasan minda ini. 

Suatu hari, seorang ibu membawa anak lelakinya berjumpa rakan saya ini untuk membeli sebotol makanan kecergasan minda supaya anaknya lebih rajin belajar. 

Secara berseloroh, wanita itu berkata, ‘Anak saya ni aktif dan lasak tapi bila belajar, penyakit ‘M’ nya datang tiba-tiba’. 

Rakan saya bertanya, ‘Apa penyakit ‘M’ ini?’ 
Jawab wanita itu, ‘ Penyakit Malas!’ 

Memang terdapat kajian yang menyatakan masalah berkait dengan perkembangan otak, namun melalui kajian-kajian psikologi dan pembangunan diri, punca malas lebih banyak disumbangkan oleh diri sendiri yang tidak ada matlamat dalam hidup. 

Bagaimana hendak jadi pelajar cemerlang jika tidak mahu membaca buku? Bagaimana hendak berjaya dalam temuduga jika berwajah serius dan tidak mahu senyum? 

Semuanya harus ada ilmu dan kemahiran untuk mengelakkan sifat malas ini.

Tuesday, June 28, 2022

Karakter-karakter kejayaan



Dalam siri kursus pembangunan diri yang saya kendalikan, saya selalu tanyakan soalan ini kepada peserta-peserta, ‘Sekiranya kamu tahu esok adalah hari terakhir kamu dibayar gaji, apakah yang kamu hendak lakukan?’ 

Saya tanyakan soalan ini kerana kebanyakan peserta kursus berasa sangat selesa dengan kerjaya dan pendapatan yang mereka dapat setiap bulan. 

Ada di antara mereka yang tidak serius dengan kerja, apabila mendapat soalan ini, masing-masing tersentak dan mula berfikir sesuatu. 

Saya yakin, senario ini berlaku di mana-mana. Moral cerita ini adalah kit amesti sentiasa ingat dan sedar bahawa apa yang kita lakukan hari ini akan menentukan dan mencorakkan masa hadapan kita. 

Contohnya, cara komunikasi kita rakan-rakan di sekolah, restoran atau di tempat awam akan menentukan dengan siapa kita berkawan dan bekerja. Karakter atau personaliti diri akan dibawa ke mana-mana. Andainya karakter yang dibentuk ketika kecil adalah karakter-karakter kejayaan.

Insya-Allah karakter itu yang akan dibawa apabila dewasa.



Monday, June 27, 2022

Bina kerangka matlamat hidup


Zaman hidup ketika remaja adalah paling seronok, bahagia dan sentiasa dikenang. Jika kita dapat bayangkan waktu ke sekolah, bersama rakan-rakan, bergelak ketawa tanpa ada kerisauan dan kehidupan ketika itu sangat indah. 

Sebenarnya, ketika usia remajalah yang kita patut membina kerangka matlamat hidup supaya kita boleh merancang apa yang hendak dibuat dalam tahun-tahun berikutnya. 

Barangkali kerangka matlamat ini hanya angan-angan kosong yang kurang realistik. 

Namun dengan kematangan dan ilmu yang diperolehi, kita memberi dorongan kepada pencapaian matlamat melalui tindakan. 

Apabila kita yakin dengan matlamat, kita mesti mengambil langkah-langkah yang tersusun supaya jangkaan mendapat hasil dapat diramalkan. 

Jika sikap begini wujud dalam diri kita, keyakinan terhadap matlamat diri tidak akan dapat dihalang lagi seperti kata Napoleon Bonaparte, ‘Tidak ada perkataan ‘tidak boleh’ dalam hidup aku’.

Sunday, June 26, 2022

Anak kunci kejayaan


Anak kunci kejayaan diri dan kehidupan kita bermula dengan wujudnya tujuan hidup atau matlamat hidup. Melalui anak kunci kehidupan ini, kita akan dapat meneroka keseluruhan kejayaan dan kebahagiaan yang kita inginkan. 

Sebelum kita memegang anak kunci kejayaan ini, kita perlu terlebih dahulu mengenali ciri-cirinya supaya kita sedar bahawa anak kunci ini benar-benar memberi kejayaan. Ciri pertama adalah setiap tindakan berasaskan maklumat. 

Adalah sangat penting untuk mendapatkan maklumat yang betul, sahih dan tepat supaya hala tujunya nanti adalah betul. 

Ciri kedua, optimumkan masa, tenaga dan kos. 

Matlamat sepatutnya bertindak sebagai pemandu atau petunjuk laluan yang supaya jalan yang dilalui adalah lurus dan betul. 

Ciri ketiga, membentuk kerangka pemikiran yang jelas tentang apa sebenarnya yang hendak dikejar. 

Andainya kita mempunyai asas-asas pemikiran yang jelas, bersih dan mantap, insya-Allah lauan kejayaan sedang menanti kehadiran kita.

Saturday, June 25, 2022

Azam dan bertawakal


Orang bijak pandai sering memberi kata-kata nasihat dan buah fikiran yang menyuluh kehidupan orang lain. Antara nasihat yang sangat baik untuk kita hari ini ialah ‘Matlamat adalah kompas kehidupan. Hidup tanpa matlamat umpama kapal tanpa nakhoda, hanyut di tengah lautan, terumbang-ambing dipukul arus dan gelombang kehidupan’. 

Memang benar, matlamat sangat penting kerana ia bakal menentukan haluan hidup. Kita boleh memilih sama ada hendak ke universiti atau berkahwin, bekerja atau melibatkan diri dalam bisnes. Terpulang kepada diri kita sendiri. 

Sebaik sahaja kita menetapkan matlamat, kita telah pun memiliki separuh jalan ke arah tersebut. Separuh lagi adalah usaha dan tindakan. 

Tangkas, gigih dan berdisiplin adalah antara syarat penting untuk berusaha. 

Maksud ayat 129 dalam surah Ali-’Imran, ‘Apabila kamu telah berazam, maka bertawakallah. Sesungguhnya Allah swt menyukai orang-orang yang bertawakkal’.


Friday, June 24, 2022

Mahu berubah


Jika kita berpeluang untuk berjumpa dengan seorang usahawan yang telah berjaya, soalan yang terbaik adalah, ‘ Apakah rahsia kejayaan anda?’ 

Jawapannya adalah standard iaitu percaya dan yakin terhadap potensi dan kebolehan diri. 

Segala-galanya bergantung kepada diri sendiri. Orang biasa atau sesiapa sahaja boleh berjaya dan menjadi terkenal sekiranya sanggup berusaha lebih sedikit untuk mengenal diri sendiri, kedudukan diri dan mengambil langkah membina potensi diri, membetulkan sikap dan memikirkan kejayaan adalah miliknya. 

Berjuta-juta orang telah berubah selepas menyedari hakikat potensi diri. 

Kesedaran ini datang dengan pelbagai cara seperti pembacaan, pengalaman, pendedahan nasihat, teguran atau tunjuk ajar. 

Perkara yang paling penting adalah diri kita mahu berubah. Tanpa kemahuan diri, perubahan tidak mungkin berlaku.


Thursday, June 23, 2022

Jangan takut kerja sendiri


Ramai anak muda lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi takut bekerja sendiri dan lebih selesa untuk bekerja makan gaji. 

Ada dalam golongan mahasiswa yang sanggup menunggu setahun atau lebih sambil tidak pernah gagal mengisi borang permohonan kerja dalam talian. Ada juga yang memilih melakukan kerja-kerja tambahan untuk mendapatkan perbelanjaan harian keluarga. 

Barangkali rezeki belum muncul untuk mereka mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan akademik. 

Dalam dunia hari ini, ramai peniaga yang kaya-raya dan terkenal memulakan bisnes secara kecil-kecilan. Dengan sabar dan tekun, mereka membina empayar perniagaan sendiri. 

Kita harus sedar bahawa realiti dan cabaran hari ini amat berbeza. Tuhan tidak tetapkan mana-mana kaum atau kelompok untuk berjaya dalam bisnes, sebaliknya sikap disiplin dan mahu berdikari akan menentukan kejayaan.


Wednesday, June 22, 2022

Belajar dengan bermatlamat


Setiap hari kita boleh membawa surat khabar atau majalah sebagai permulaan membina proses membaca. Barangkali kita jauh berbeza daripada masyarakat Jepun yang sering kali dilihat membaca buku tidak mengira tempat. 

Bagaimanapun tidak mustahil kita boleh menjadi seperti mereka. Bangsa yang maju adalah bangsa yang memberi perhatian kepada ilmu. Semakin tinggi tahap pendidikan semakin tinggi dan majulah bangsa. 

Contoh sebuah negara yang telah berubah dengan pendidikan adalah Ireland. Sebuah negara kecil, jumlah penduduk juga kecil tetapi negara ini terkenal dengan kualiti pendidikannya. 

Finland juga sebuah negara kecil tetapi terkenal dalam teknologi komunikasi dan pengurusan negara yang cekap. 

Membaca dan belajar sangat penting khususnya semasa peringkat kanak-kanak dan remaja. Jika anda adalah seorang pelajar dan remaja, belajarlah rajin-rajin, tetapkan matlamat belajar dan berusaha bersungguh-sungguh. 

Insya-Allah berkat doa dan hidayah Allah swt, kita boleh berjaya dengan cemerlang.


Tuesday, June 21, 2022

Tajamkan kemahiran


Menjadi rutin mingguan saya untuk membersihkan rumput di laman rumah baik hari Sabtu atau Ahad, pagi atau petang. Dua hari tersebut adalah masa untuk mengambil sabit pemotong rumput dan cangkul kecil membersihkan lalang dan daun semalu. 

Kadangkala sabit untuk memotong rumput rasa seperti kurang tajam. Setiap kali hendak menebas di bahagian yang banyak rumput, saya perlu menghayun sabit dua atau tiga kali supaya rumput-rumput dapat dipangkas hingga ke akar umbinya. 

Selepas difikirkan keadaan mata sabit tersebut, saya perlu mengasah matanya supaya dengan sekali hayun rumput akan putus. 

Konsep dan falsafah hidup kita juga sama seperti sabit rumput. Sesetengah kemahiran yang kita kuasai dua atau tiga tahun lepas mungkin sudah tidak relevan pada hari ini. 

Jadi, kita mesti mencari pengetahuan baharu dan mempelajari kemahiran baharu bagi memantapkan kebolehan kita. Kalau boleh kita perbaharui ilmu dan kemahiran in setiap masa.

Jika tidak, kita akan ketinggalan.

Monday, June 20, 2022

Menyumbang walaupun sedikit


Sumbangan sangat penting walaupun sedikit. Contohnya, dalam segelas air sirap, 20 peratus adalah gula. Tanpa gula, adakah air sirap itu akan diminum juga? 

Tentulah tidak kerana air sirap itu rasanya tawar. Sumbangan gula, walaupun sedikit telah memberi kesan yang sangat besar kepada rasa air sirap.

Untuk dikenang dan dihormati, kita mesti memberi sumbangan walaupun sedikit dan kecil. Banyak jenis sumbangan yang boleh diberi seperti khidmat komuniti, membantu badan-badan kebajikan, menggalakkan pendidikan sepanjang hayat dan sebagainya. 

Kita boleh menyumbang fikiran, tenaga, masa atau wang ringgit supaya masyarakat sejahtera dan berkasih sayang. 

Kita lihat dalam masyarakat pada hari ini terdapat banyak persatuan dan institusi bukan kerajaan yang sering melaksanakan aktiviti amal dan kebajikan untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan dan dhaif bagi meningkatkan taraf hidup mereka. 

Kita tidak kenal individu-individu yang gigih ini tetapi sumbangan mereka menjadikan ramai orang bahagia.


Sunday, June 19, 2022

Hijrah untuk berubah



Pergi ke tempat orang, lihat dan balik untuk membuat perubahan pada diri. Apatah lagi internet sudah dapat diakses oleh ramai orang dan boleh dikatakan apa sahaja maklumat yang kita hendak, boleh diperolehi dengan hujung hari. 

Melihat tempat orang membuka minda kita terhadap kualiti diri sendiri. Kita boleh membandingkan sejauh mana tahap ilmu, pengetahuan dan kesedaran malah potensi diri sendiri. 

Masyarakat kita jika melawat negara luar akan membawa kamera untuk merakamkan gambar dan suasana keindahan negara tersebut. 

Masyarakat Barat agak berbeza kerana ketika keluar melancong mereka membawa kamera dan membuat catatan tentang kecantikan, budaya, makanan, reka bentuk bangunan dan berbagai-bagai jenis coretan lain. 

Semua catatan ini diolah dan disusun semula sebagai sebuah buku yang diterbitkan dan dijual ke seluruh dunia. 

Melalui tulisan ini, mereka memberikan pandangan dari sisi yang berbeza dengan masyarakat tempatan. 

Justeru, lebih baik kita mengikut kaedah pelancongan masyarakat Barat yang mencari suasana baharu di luar negara untuk mengubah diri dan masyarakat.


Saturday, June 18, 2022

Utamakan pelajaran


‘Education gives you knowledge, training enhances your skill, work provides you with experiences’. 

Sesiapa yang tidak ke sekolah akan ketinggalan pada hari ini. Jika bersekolah, pastikan anak-anak melengkapkan pendidikan awal mereka kerana ilmu dan maklumat yang diperolehi di sekolah rendah adalah asas untuk survival, maknanya ibu bapa mesti menggalakkan mereka untuk meneruskan pengajian sehingga masuk ke universiti. 

Galakkan mereka untuk belajar bersungguh-sungguh sebagai usaha menempah tiket ke menara gading. Untuk cemerlang, belajar semata-mata tidak cukup. Kita perlu memberi latihan untuk menajamkan kemahiran dalam pembelajaran mereka. 

Selepas itu boleh lah berfikir untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan minat dan kelayakan. 

Hari ini, persaingan yang tinggi membuatkan majikan boleh memilih siapa sahaja yang mereka inginkan. 

Jadi, kita perlu bersedia dengan sedikit pengalaman bekerja supaya kita berada setapak di hadapan berbanding orang lain. Insya-Allah dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman kita akan berjaya.


Friday, June 17, 2022

Siapa yang bentuk kehidupan?


‘Shaping the future’ iaitu satu slogan yang saya nampak ditulis besar-besar pada dinding sebuah trak semasa berhenti di persimpangan lampu isyarat. Lalu saya terus berfikir-fikir apakah yang saya boleh lakukan dalam hidup. 

Soalan yang bermain di fikiran saya adalah apakah yang membentuk masa hadapan? 

Banyak faktor yang menentukan hala tuju hidup kita seperti ibu bapa, saudara-mara, rakan-rakan, bos di tempat kerja, wang ringgit, persekitaran dan pendidikan yang diterima. 

Ketika kecil, katakan umur enam tahun, agak-agaknya siapakah yang menentukan masa hadapan ketika itu? 

Tentulah kedua-dua ibu dan bapa namun bagi mereka yang kehilangan ibu dan bapa, ada orang lain yang mengambil tugas berkenaan. 

Ibu bapa atau penjaga mengambil tanggungjawab menghantar anak-anak ke sekolah, menyediakan makan dan minum serta menentukan dengan siapa yang boleh dibuat kawan. 

Apabila meningkat dewasa, kita terdedah pula dengan persekitaran yang lebih besar dan mencabar. 

Sekiranya persekitaran tersebut mendorong ke arah kecemerlangan, kualiti diri yang sedia ada akan lebih kuat dan mantap. 

Jika tidak, kualiti diri akan merosot sedikit demi sedikit. Begitulah masa hadapan kita dibentuk.

Thursday, June 16, 2022

Bersedia dengan hujah


Kita tidak ada hujah kalau tidak ada strategi yang betul apabila melaksanakan tindakan. Contohnya, seorang usahawan muda diminta membentangkan proposal projek bisnes untuk mendapatkan bantuan modal. 

Sekumpulan panel yang menilai pembentangan proposal bisnes itu tentulah akan bertanya beberapa soalan untuk mengetahui dengan lebih lanjut seperti kaedah pemasaran, kumpulan sasar dan keunikan bisnes. 

Katakan usahawan muda ini kurang bersedia, apakah yang akan berlaku? 

Ketika pembentangan mungkin kelihatan semuanya dalam keadaan baik namun keadaannya tidak sama ketika sesi soal jawab. 

Tanpa strategi dan teknik menjawab yang menarik, usahawan tadi sudah tentu teragak-agak menjawab. 

Akhirnya beliau akan gagal. Dalam hidup ini, kita membuat persediaan dan tahu strategi adalah formula penting untuk mendapat apa yang kita mahu. 

Jika ditanya persediaan apa yang patut dibuat, jawabnya apa sahaja persediaan yang boleh membantu ke arah kejayaan.


Wednesday, June 15, 2022

Inovasi dan pemikiran kritikal


Pemikiran kritis menjadi salah satu kemahiran pemikiran yang perlu dikuasai pada hari ini. 

Apakah pentingnya pemikiran kritis ini? 

Jawabnya adalah banyak dan salah satu daripadanya adalah melahirkan inovasi. Jika seseorang itu memiliki pemikiran kritis dan tidak mudah menerima idea lain, ini sudah cukup untuk berada dalam alam inovasi. 

Orang yang berfikiran kritis sentiasa memikirkan secara mendalam semua perkara yang boleh dibaiki dan ditambah baik walaupun ideanya kelihatan gila-gila. Inovasi boleh berlaku dalam semua bidang, bukannya dalam bidang kepakaran kita sahaja, asalkan ia mampu mewujudkan proses penambahbaikan. 

Bagi merangsang inovasi dalam organisasi, budaya komunikasi terbuka boleh menjadi tempat perbincangan yang sihat. Tanpa perbincangan, pemikiran kaku dan sikap tidak mahu berubah akan merencatkan budaya inovasi. 

Selain komunikasi, persekitaran yang kondusif perlu wujud supaya idea-idea bernas dapat dirangsang dan dikembangkan.


Tuesday, June 14, 2022

Jangan mengalah selepas gagal


Satu kesilapan besar apabila kita bersikap mengalah dan tidak yakin pada pencapaian yang cemerlang sebelum ini. 

Tindakan mengalah yang tidak bertempat secara tidak langsung telah menunjukkan kelemahan diri sendiri. 

Jika hendak berjaya, kita perlu memiliki sikap berani kerana pada masa sekarang hanya orang yang berani dan bijak berfikir mampu menerobos sempadan-sempadan halangan dalam bentuk mental dan fizikal. 

Contohnya pencipta gajet elektronik, mereka tidak mudah mengalah walaupun ciptaan mereka gagal di pasaran. 

Sekali gagal, mereka mencuba dan melakukan inovasi yang lebih menarik supaya gajet ciptaan mereka mendapat sambutan.


Monday, June 13, 2022

Makna bahagia


Saya selalu memerhati senarai cara buku yang terlaris di surat khabar. Senarai ini dikeluarkan setiap minggu sebagai panduan kepada pembaca untuk mengetahui tajuk, tema atau penulis yang mereka inginkan. 

Daripada sepuluh buah buku yang terlaris, tiga daripadanya berkenaan dengan tema bahagia. Ini menunjukkan masyarakat sentiasa mencari bahagia supaya hati dan perasaan lebih tenang dan ceria. 

Bahagia atau gembira sentiasa dicari-cari oleh ramai orang tidak kira siapa. 

Orang yang bekerja di pejabat, bahagia dengan caranya. 

Orang yang bekerja dengan cara makan gaji, setiap hujung bulan mereka akan bahagia kerana mendapat upah atau habuan kerana hasil usaha mereka telah dihargai dan dapat digunakan untuk menyara keluarga. 

Remaja dengan caranya juga. Mereka akan bahagia dan gembira jika dapat apa yang diingini, tablet, telefon pintar, melancong atau mendapat pekerjaan yang baik-baik. 

Bahagia menjadikan hidup lebih bermakna, bebas dari keluh dan kesah serta menjadikan hidup lebih sejahtera.


Sunday, June 12, 2022

Pengorbanan masa


Kejayaan menyempurnakan tugas adalah ciri-ciri penting dalam diri individu mahu dianggap sebagai cemerlang. 

Menyempurnakan tugas ini sebenarnya mengandungi banyak maksud seperti menyiapkan laporan, minit mesyuarat atau belajar sesuatu kemahiran baharu hingga mahir. 

Tugas yang kecil ataupun besar harus diselesaikan mengikut tempoh yang dinyatakan. Kadang-kadang kita perlu berkorban masa tidur, masa dengan anak-anak, masa dengan ibu bapa dan sesiapa sahaja semata-mata untuk menyiapkan tugasan. 

Pengorbanan akan berbayar apabila kita dapat apa yang kita hendak. Lebih banyak pengorbanan, lebih banyaklah kejayaan yang akan diperolehi.


Saturday, June 11, 2022

Sempadan kebebasan



Kebebasan berakhir apabila diwujudkan sempadan kerana sempadan menandakan kedudukan lokasi dan pembinaan struktur. Kebebasan berfikir terhenti apabila meletakkan struktur operasi minda seperti ‘tidak boleh’, ‘esok sajalah’, ‘susah’ dan sebagainya. 

Untuk menggalakkan kreativiti dan inovasi pada diri kita, rakan-rakan dan sesiapa sahaja, luaskan sempadan kebebasan itu supaya lebih banyak ruang berfikir. 

Banyak tamadun pada zaman dahulu hilang pengaruh dan kekuatan kerana meletakkan struktur negatif dalam pemikiran rakyat. 

Berbeza dengan tamadun moden, kebebasan berfikir sentiasa disuburkan, meraikan perbezaan pendapat dan tidak takut mencuba. 

Jika hendakkan pelajar, pekerja atau golongan muda lebih kreatif, luaskan sempadan berfikir mereka.



Friday, June 10, 2022

Tajamkan kemahiran berfikir



Kemampuan berfikir adalah kelebihan yang boleh digilap kerana berfikir adalah proses menghadapi berbagai-bagai pengetahuan sama ada dipelajari secara formal ataupun tidak formal. 

Seorang ilmuan, Bernardus berkata, ‘Sesetengah orang yang dalam setahun berfikir dua atau tiga kali sahaja’. 

Fikiran memiliki sifat-sifat yang positif dan negatif bergantung kepada bentuk-bentuk pemikiran seperti berfikir secara produktif, kritis, menganalisis ataupun berfikir secara menyeluruh. 

Contohnya berfikir secara produktif adalah fikiran berorientasikan inovasi, cenderung menjadikan hidup lebih aktif, menyelesaikan masalah dan memudahkan kehidupan. 

Kemahiran berfikir seperti ini boleh dilatih dan dikembangkan dari semasa ke semasa.



Thursday, June 09, 2022

Belenggu minda


Kekacauan fikiran atau kecelaruan minda merupakan masalah yang sering melingkari hidup sesetengah daripada kita. Masalah hidup semakin besar setiap kali umur bertambah di samping tanggungjawab yang turut bertambah. 

Kekacauan fikiran boleh berlaku kepada sesiapa sahaja mengikut tahap umur dan tanggungjawab. Ia boleh berlaku kepada ibu bapa, guru, pelajar, lelaki atau perempuan. 

Sebab-musabab berlakunya kekacauan adalah masalah hidup yang berkait dengan keluarga, kewangan, masyarakat ataupun rakan sekerja yang menimbulkan keadaan cemas, gangguan dan konflik yang mengganggu pemikiran. 

Di samping memastikan fizikal kita sihat, fikiran atau minda kita juga perlu sihat.

Wednesday, June 08, 2022

Damailah jiwa


Jika ada kebahagiaan atau kenikmatan hidup yang benar-benar indah, tidak membosankan, memberi ketenangan, bahkan kekuatan yang tinggi, barangkali nikmat yang boleh diterima adalah ketenteraman jiwa. 

Jiwa yang aman, damai dan rasa tenang ini membuatkan sempadan hidup sangat luas, fikiran lapang dan bebas dari rasa takut dan sedih. 

Jiwa seperti inilah yang ramai orang mahukan kerana kedamaian hidup banyak ditentukan oleh hati yang tenteram. Banyak kaedah yang digunakan orang untuk mencari hati yang tenteram ini. 

Ada yang merantau ke luar negara, ada yang memencilkan diri dan ada yang meningkatkan amalan agama untuk mendapatkan jiwa yang sejahtera. 

Begitulah betapa pentingnya ketenteraman hati kepada setiap orang.


Tuesday, June 07, 2022

Hargai nikmat hidup



Setiap daripada kita diuji dengan banyak kenikmatan hidup. Sebahagian daripada kita bersemangat cekal, tabah dan berupaya menempuh ujian sebaliknya sebahagian lagi telah gagal sama sekali. 

Salah satu punca kegagalan ini adalah mempunyai tanggapan bahawa nikmat hidup yang diperolehi adalah tanpa had dan sempadan.

Antara ujian nikmat ini adalah makanan dan minuman yang enak, harta yang banyak atau kebebasan yang tidak terhingga. 

Nikmat yang kita dapat ini sebenarnya patut diambil sesuai dengan keperluan dan kegunaan kita kerana andai terlalu leka dengan makan dan minum yang berlebihan akan muncul pula penyakit-penyakit zaman moden ini seperti kencing manis, kegagalan fungsi buah pinggang dan barah. 

Jadi, hargailah nikmat yang kita ada pada masa kini.

Monday, June 06, 2022

Semangat dan lemah semangat



Ada masanya kita berasa sangat teruja dan ada masanya lemah semangat (iaitu istilah untuk menyatakan mood bosan atau malas). 

Dalam satu masa kita rasa sangat bersemangat hingga terlupa sekejap hal-hal lain. Kita sangat tekun, gigih dan sanggup pula tidak makan tetapi masa-masa bersemangat seperti ini tidak kekal lama kerana bermacam-macam alasan seperti rutin, pengaruh sekitar atau rasa penat dan letih. 

Keadaan bersemangat dan lemah semangat silih berganti supaya kita dapat menikmati hidup dengan lebih seronok, dinamik dan ceria. 

Janganlah kita rasa susah apabila tidak ada dorongan untuk menyempurnakan kerja kerana sikap itu pada setiap setiap orang. 

Apabila telah ada dorongan, kita buat kerja semula dan mestilah menunjukkan hasil ke arah kecemerlangan.


Sunday, June 05, 2022

Cabaran jadikan hidup lebih aktif


Perkembangan bandar yang pesat sedikit sebanyak memberi kesan kepada ketenangan dan kedamaian hidup. Bagi yang biasa dengan hiruk-pikuk dan kesesakan jalan raya, barangkali agak mudah untuk menyerap suasana ini tetapi bagi yang masih baharu di bandar, rasanya suasana damai dan tenang ada di kampung, persekitaran boleh membentuk watak atau karakter diri. 

Cabaran hidup di bandar lebih besar, lebih banyak dan berbagai-bagai jenis dan di kampung cabarannya agak kurang. Perbezaan kedua-duanya sangat jelas. 

Hidup serba senang menghilangkan cabaran, mengurangkan motivasi diri dan melemahkan daya usaha. 

Namun, kita perlukan cabaran kerana dengan cabaran kita boleh menghargai kenikmatan. Setiap halangan yang dihadapi dan berjaya diatasi akan menjadi suntikan semangat untuk berusaha lebih kuat dan maju kehadapan.

Saturday, June 04, 2022

Cari kawan yang bahagia


Nilai hidup dipengaruhi banyak perkara seperti persepsi, pengetahuan dan kecenderungan. Jadi, setiap orang memberi pandangan, pendapat dan fikirannya berdasarkan apa yang mereka tahu. 

Nilai hidup terbaik adalah menghargai dan meraikan nilai-nilai positif, bersikap terbuka dan bersedia dengan perubahan. 

Orang yang menjadikan nilai-nilai positif sebagai amalan hidup biasanya lebih dinamik, kuat bekerja dan ada sifat prihatin yang tinggi. Berkawan dengan orang-orang yang ada nilai-nilai ini amat membahagiakan kerana mereka biasa dengan kebahagiaan. 

Bahagia dengan bahasa, bahagia dengan ucapan-ucapan yang baik dan bahagia dengan perhatian yang diberikan. 

Jadi, untuk membentuk nilai hidup yang positif, carilah kawan-kawan yang memiliki nilai-nilai ini.

Friday, June 03, 2022

Syukur apa yang kita dapat


Kita suka semua perkara yang menyenangkan lebih-lebih lagi yang bersifat lahiriah atau boleh nampak seperti wang ringgit, harta benda, pujian, kemenangan dan sebagainya. Setiap satunya tidak mudah untuk mendapatkannya. 

Contohnya mencari wang, kadangkala usaha yang dilakukan mendapat hasil yang banyak kadangkala hasilnya sedikit malah mungkin tidak ada langsung. 

Tidak kira sama ada berjaya atau gagal dalam usaha berkenaan, pengalaman yang diperolehi sangat berharga kerana ia memberi kepuasan emosi yang sangat unik. 

Justeru, tindakan yang paling baik untuk menghadapi situasi ini adalah bersyukur dengan apa yang kita dapat. 

Rasa syukur dapat meredakan gelisah, bimbang dan fikiran tidak menentu. 

Kehebatan rasa bersyukur ini adalah menghilangkan kesan negatif atau trauma yang sedang dihadapi kerana membantu tidur lebih nyenyak dan mengurangkan kesakitan psikologi dan fizikal.


Thursday, June 02, 2022

Kesan makan berlebihan terhadap otak


Otak menjadi lemah disebabkan makan berlebihan kerana banyak makan menyebabkan banyak darah dialirkan kepada perut dan usus untuk tujuan pencernaan menyebabkan kekurangan darah yang sampai ke otak. 

Hal ini boleh menyebabkan rasa mengantuk, rasa malas dan hilang daya fokus. Jadi, banyak makan tidak bermakna menyebabkan otak menjadi semakin baik. 

Selain makan, tidur berlebihan juga turut menyumbang kepada otak yang kurang aktif dan melemahkan daya fikir. Tidur yang cukup sangat baik untuk kesihatan otak kita. 

Satu lagi adalah jarang berfikir menyebabkan otak menjadi lembap dan tidak aktif. 

Berfikir seperti menyelesaikan kira-kira, berfikir menyelesaikan masalah dan membuat keputusan mampu meningkatkan kapasiti otak untuk lebih aktif.


Wednesday, June 01, 2022

Jangan tinggalkan sarapan pagi


Satu organ yang sangat penting dalam badan kita adalah otak. Organ ini menjadi medan utama yang menggerakkan kecergasan fizikal, mental dan spiritual kita. 

Banyak peribahasa dan slogan tentang kecergasan fizikal ini seperti ‘badan cergas, otak sihat’, otak kita perlu dijaga dengan sebaik-baiknya supaya badan kita cergas dan hidup lebih sihat. 

Terdapat beberapa sebab yang boleh merosakkan otak kita. Pertama, tidak mengambil sarapan pagi. Keperluan otak kita merangkumi 25 peratus daripada tenaga badan. 

Enggan mengambil sarapan pagi menyebabkan paras gula dalam darah menjadi rendah dan mengurangkan bekalan nutrisi pada otak. 

Banyak sel otak akan mati dan keseluruhan sel-sel otak akan menjadi kurang aktif pada hari tersebut.