Friday, April 30, 2021

Relatif umur dan amal

Hakikatnya, umur kita semakin sedikit. Kalau dahulu 18 tahun, kini sudah 28 tahun. Kalau dahulu 35 tahun, kini sudah 45 tahun. 

Barangkali, hari ini terdapat saudara masa dan sahabat kita yang menyumbat hari ulang tahun ke-50.

Sebenarnya, umur kita semakin singkat. Pernahkah kita bertanya apakah amalan kebajikan yang kita buat ketika ini? 

Kematian yang mengakhiri hidup tidak membawa kereta kita, tidak membawa wang dan harta atau pangkat dan gelaran. 

Ketika umur masih panjang, ketika kesihatan masih ada, gunakan sebaik-baiknya umur kita untuk melakukan amal yang soleh supaya di akhirat kelak, kita dapat berbangga dengan amalan-amalan baik ketika hidup di dunia. 

Berikan akal fikiran untuk manfaat masyarakat dan negara, insya Allah kita akan berjaya.

Thursday, April 29, 2021

Jadikan kerja sebagai ibadah

Untuk menjadikan kerja sebagai ibadah, kita perlu kembali kepada hakikat hidup yang sebenar.

Memahami setiap perkara sama ada baik ataupun buruk, dapat membuka hati kepada tujuan hidup yang sebenar. Seorang lelaki yang lari daripada seekor harimau telah memanjat sepohon pokok. 

Malangnya batang pokok ini sedang dimakan anai-anai dan boleh tumbang pada bila-bila masa. Di bawah sedang menunggu seekor harimau yang akan membahamnya sebaik sahaja pokok itu tumbang. 

Tiba-tiba jatuh setitis madu yang manis dan terkena pada lidah sang harimau. Di dahan pokok itu terdapat sarang lebah. 

Dengan rasa manis madu, ia terlupa sejenak bahawa terdapat mangsa di atasnya. 

Seiring dengan hidup kita, kemanisan dengan hal-hal dunia ada kalanya tidak memberi manfaat dan pahala malah melalaikan kita. 

Justeru, membuat perancangan amat penting supaya setiap kerja kita adalah ibadah.

Wednesday, April 28, 2021

Komunikasi berkesan



Komunikasi berkesan amat penting dalam semua keadaan. 

Bagi peniaga, komunikasi yang jelas, padat dan mudah difahami dapat meningkatkan kadar keuntungan syarikat. 

Bagi pelajar, memahami mesej yang disampaikan oleh guru dalam kelas dapat menambahkan kefahaman untuk menghadapi peperiksaan. 

Bagi kakitangan organisasi, komunikasi berkesan boleh mengurangkan kekerapan memberi arahan berulang-ulang kali. 

Saya pernah memesan segelas air milo ais di sebuah restoran. Namun yang datang kepada saya ialah segelas teh ‘o’ ais. Arahan yang diberi sangat jelas tetapi saluran mesej menghadapi gangguan dan masalah. 

Akhirnya, restoran tersebut yang terpaksa menanggung kos teh ‘o’ ais kerana tidak ada pelanggan yang memesan minuman itu. 

Kesimpulannya, jika salah mengurus komunikasi, ia membawa beban kepada kita.

Tuesday, April 27, 2021

Monday, April 26, 2021

Integriti Umar Abdul Aziz



Integriti sangat penting, di mana-mana sahaja. 

Di tempat kerja, di rumah atau di tempat-tempat awam. Pemimpin yang berintegriti akan menjadi ikutan pengikut-pengikutnya. 

Khalifah Umar Abdul Aziz dikenali sebagai pemimpin yang percaya dengan prinsip integriti. Di pejabatnya, terdapat dua lampu iaitu satu untuk urusan negara dan satu lagi untuk urusan keluarga dan peribadi. 

Suatu hari anaknya masuk untuk berjumpa lalu Umar bertanya, ‘Engkau masuk ini untuk urusan negara atau urusan keluarga?’ 

Pada diri Umar Abdul Aziz, urusan negara atau keluarga adalah berbeza. Kalau urusan keluarga beliau akan menggunakan lampu sendiri supaya tidak dikecam kerana menggunakan hak negara. 

Integriti yang ada pada diri Umar menjadikan pentadbiran negara lebih telus dan berjaya.

Sunday, April 25, 2021

Hidup bersyukur



Allah swt memberikan kita kesempurnaan anggota fizikal ketika lahir. 

Kehidupan yang kita lalui seterusnya adalah sangat menyenangkan kerana boleh bergerak ke sana sini. Sedarkah kita, ada orang yang lahir tanpa kaki atau tangan. 

Terdapat orang yang lahir dengan cukup kaki dan tangan tetapi tidak ada penglihatan dan pendengaran. 

Ada juga yang lahir dengan jantung berada di luar badannya. Kita yang lahir dengan keadaan yang sempurna, pernahkah kita bersyukur kerana diberi tubuh badan yang sihat, boleh berfikir dan bergerak ke sana sini, dapat belajar di sekolah, mendapat pekerjaan yang sesuai dengan jiwa malah Allah swt memberi keizinan untuk cemerlang dalam banyak perkara. 

Bersyukur adalah satu mekanisme yang mudah untuk Allah swt tambahkan lagi rahmatNya ke atas kita.

Saturday, April 24, 2021

Bisnes e-mel



Suatu hari anda membuka e-mel dan tajuknya ialah ‘Perlukan perkhidmatan kami?’ 

Apa yang anda akan fikirkan? 

Sebenarnya, bentuk bisnes tidak lagi terhad kepada barangan keperluan. Ia telah berkembang seiring dengan perkembangan teknologi internet. 

Kenyataan tadi berkaitan bisnes menjual e-mel yang dikumpul sehingga melebihi 100,000 akaun. 

Andai kata hanya satu peratus yang memberi maklum balas atau membeli produk jualan yang berbeza RM100, senang-senang keuntungan mencecah RM100,000 dengan hanya satu klik.

Kepintaran mempelbagaikan bisnes terletak pada kreativiti, inovasi dan mahu berfikir lebih jauh.

Nilai-nilai kesungguhan, keyakinan diri dan daya juang akan memacu kejayaan yang lebih cemerlang.

Friday, April 23, 2021

Hemah dan ikut undang-undang



Jika kita bergerak dari satu bandar ke bandar lain di negara kita, banyak lampu isyarat yang akan ditempuh. 

Terdapat lampu isyarat yang menetapkan masa yang agak singkat untuk perubahan warna lampu dan ada yang agak lama. 

Peranan lampu isyarat adalah sebagai sistem pengaturan lalu lintas supaya jalan raya dalam keadaan lancar. 

Namun, terdapat pengguna jalan raya yang tidak sabar tetapi sangat yakin untuk melanggar warna lampu isyarat. 

Bagi mereka, tiga warna lampu isyarat tidak memberi erti kerana sudah biasa tidak menghiraukan warna lampu isyarat. Tindakan pengguna jalan raya seperti ini mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang mengikut peraturan. 

Keyakinan yang tidak bertempat bakal memberi masalah kepada orang lain lebih-lebih jika melibatkan kehilangan nyawa. 

Pengguna jalan raya yang hebat ialah yang mampu mengikut undang-undang dan berhemah.

Thursday, April 22, 2021

Tidak ada kaki dan angan



Seorang pemuda yang dilahirkan tanpa kaki dan tangan telah menjadi sumber inspirasi kepada ribuan orang. 

Namanya Nick Vujicic. 

Beliau bergerak ke sana-sini, berenang, memancing dan melakukan aktiviti harian sama seperti orang normal. 

Selain daripada kekurangan tangan dan kaki, beliau tidak ada kekurangan yang lain. Malah memiliki kelebihan yang mengatasi kita semua. 

Kehebatannya ialah tidak menyesal dengan keadaan dirinya. 

Setiap tahun Nick akan bercakap kepada ribuan orang tentang jangan takut terhadap kegagalan. 

Sekiranya Nick dalam serba kekurangan boleh berjaya melepasi rintangan minda dan fizikal, apatah lagi kita yang sempurna akal dan fikiran. 

Tentulah kejayaan akan lebih berganda.

Wednesday, April 21, 2021

Tip memberi alasan



Berbagai-bagai alasan yang diberikan untuk seseorang itu mengelak melakukan kerja yang beliau tidak minat. 

Alasan berkenaan boleh jadi logik atau tidak bukannya satu masalah kerana alasan ini bersifat logik dan tidak logik. 

Seorang rakan saya diminta membaca doa untuk sebuah majlis. Ketua jabatannya bertanya, ‘Ismi, kamu boleh baca doa untuk majlis nanti?’ 

Oleh kerana terdapat perkara penting yang beliau perlu hadiri, lalu beliau menjawab, ‘Doa yang lama atau yang baru? Doa yang lama sudah lupa, doa yang baru saya belum hafal’. 

Mendengar alasan ini, ketua jabatannnya mencari orang lain untuk membaca doa. Alasan boleh jadi serius dan juga boleh bersifat berseloroh. 

Dalam kisah ini, Ismi berjaya mengelak daripada membaca doa dalam majlis tersebut.

Tuesday, April 20, 2021

Hanya yang gigih akan berjaya



Yang membezakan seorang jurujual yang hebat dengan jurujual yang gagal adalah sifat yang terdapat dalam diri iaitu keyakinan. 

Orang yang hebat dan cemerlang memiliki keyakinan diri yang sangat kuat dan teguh, berupaya menggerakkan semangat juang dan merangsang pemikiran positif. 

Contohnya, seorang jurujual yang hebat ialah jurujual yang bangun setiap pagi dan berkata kepada dirinya, ‘Hari ini, aku akan menjual tujuh produk’. 

Beliau akan mencari jalan, berikhtiar, bertanya dan berjumpa prospek untuk mendapat tujuh transaksi jualan. Tanpa malu, dan tanpa jemu. 

Apakah beliau akan gagal? 

Mungkin gagal tetapi semangat dan daya juang semakin tinggi dan tidak menyesal kalau gagal kerana telah berusaha dengan gigih.

Monday, April 19, 2021

Lebuh raya kejayaan



Kita sering kali mendengar kejayaan dan kegagalan silih berganti namun kejayaan banyak ditentukan oleh kemahuan, bukannya pendidikan. 

Saya ambil contoh seorang usahawan automatif Amerika Syarikat, Henry Ford. Beliau seorang yang kuat semangat dan mahu meraih kejayaan. 

Ford ingin mencipta mesin V8 dan beliau bekerja bersama-sama jurutera membina sebuah mesin atau jentera yang hebat. 

Kesungguhan untuk melihat sebuah jentera V8 akhirnya tercapai selepas kemahuan tinggi mengatasi semua perkara. 

Resepi kejayaan Ford ialah memiliki matlamat dan bergerak ke arah matlamat itu dengan seribu daya.

Sunday, April 18, 2021

Yang ditanam akan dituai



Pepatah lama tetapi masih relevan sehingga kini, ‘Apa yang ditanam akan dituai’ sangat sesuai untuk kita renung bersama. 

Seorang petani yang menanam anak-anak benih padi akan mendapat padi. Jika beliau menanam jagung, tentulah jagung akan dituai bukannya terung. 

Mari kita lihat dalam diri kita. 

Apa yang kita tanam dalam minda dan jiwa kita akan lahir dalam sikap dan tindakan kita.

Andainya kita menanam semangat yang tinggi, azam yang berkobar-kobar di samping usaha keras, kita boleh jangkakan apakah hasilnya kelak. 

Nilai-nilai yang kuat akan menjadi teras kepada kesungguhan dalam setiap tindakan. 

Amat penting untuk kita menyemai nilai-nilai yang mendokong kepada kejayaan, kemenangan atau juara.

Saturday, April 17, 2021

Kekuatan fokus



Ketika mengunjungi sebuah pasar raya, saya terpandang dua jenis papan dart. Satunya bersaiz kecil, harganya pun lebih murah berbanding yang satu lagi. 

Agak lama juga membelek-belek kedua papan berkenaan sambil fikiran saya membandingkan kelebihan dan kekurangan kedua-dua saiz. 

Selepas itu saya membuat keputusan untuk tidak membeli papan dart sama ada yang kecil atau yang besar. 

Secara tidak langsung saya dapat menjimatkan wang. Fokus saya ialah membeli tiga helai seluar panjang untuk kegunaan ke tempat kerja. 

Alhamdulillah, saya dapat membeli ketiga-tiga seluar berkenaan dan menepati spesifikasi yang saya kehendaki. 

Moral daripada kisah ini ialah fokus adalah sangat penting dalam hidup. Dengan fokus, kita dapat apa yang kita mahu, menjimatkan wang dan masa serta mematangkan fikiran.

Friday, April 16, 2021

Gembira dengan penolakan



Saya tertanya-tanya kenapa sesetengah pelajar, usahawan atau kakitangan organisasi lebih berjaya berbanding rakan-rakan yang lain. 

Dari segi masa, jenis tugas atau bayaran gaji, semuanya sama sahaja. 

Dalam berfikir-fikir ini, saya mencari alasannya. 

Saya mengambil prinsip Kolonel Sanders iaitu pencetus resepi ayam terkenal, KFC. Beliau percaya, apabila melakukan sesuatu kerja, selalu berharap untuk mendapatkan lebih daripada apa yang diharapkan oleh orang lain. 

Kolonel Sanders terpaksa meyakinkan hati banyak pemilik restoran untuk mencuba resepi ayam yang dimiliki oleh ibunya. 

Banyak kali beliau mencuba dan tidak pernah kecewa dengan penolakan. Sebaik sahaja berjaya, beliau telah mengubah pola dan cara hidup masyarakat. 

Persepsi ayam goreng juga telah berubah. Hari ini banyak bisnes yang menjadikan ayam sebagai teras perniagaan.

Thursday, April 15, 2021

Ambil berat



Jika anda seorang penjual atau jurujual kereta, anda wajar mencari orang yang bernama Joe Girard. 

Namanya dicatat dalam Guiness Book of Record sebagai jurujual kereta paling banyak di dunia.

Saya telah membaca buku popular tulisannya 20 tahun lalu. Buku itu penuh dengan inspirasi, tip dan teknik menjadi jurujual yang hebat. Tetapi untuk saya mengingat semua tip ini akan menyesakkan fikiran. 

Satu-satunya tip yang saya ingat ialah memberi perhatian yang lebih banyak kepada orang yang kita kenali berbanding kepada orang ramai yang tidak semua dikenali. 

Maksud di sini ialah Joe Girard memberi perhatian yang sangat hebat kepada pelangan-pelanggannya dan dapat memenuhi selera mereka untuk mendapatkan kereta yang diminati.

Dalam bisnes, hubungan dengan pelanggan sangat penting dan mengambil berat tentang keperluan pelanggan dapat meningkatkan volum jualan dan keuntungan dalam jangka masa panjang.

Wednesday, April 14, 2021

Berani menghadapi risiko



Bagaimana kita boleh mengembalikan tenaga dan keghairahan terhadap hidup dan masa hadapan kita? 

Ia biasa berlaku dalam hidup kita, ada kalanya kita bersemangat melakukan tugasan di pejabat, sekolah, universiti, bersemangat dengan bisnes kita dan bersemangat dengan aktiviti keluarga namun ada masanya kita langsung hilang semangat, fikiran berserabut dan tidak bahagia. 

Tip untuk mengembalikan semangat dan dorongan untuk ghairah dalam hidup ialah mengambil risiko melebihi risiko yang difikirkan oleh orang lain. 

Maksudnya begini. 

Risiko atau kesan daripada sebarang cabaran atau kesukaran yang dihadapi menjadikan diri kita lebih maju selangkah di hadapan. 

Keberanian menjangkakan risiko menjadikan kita dapat melihat peluang yang lebih besar dan lebih cerah berbanding orang lain. 

Jadi, risiko wajar dihadapi, bersedia dengan strategi dan melakukan tindakan pada masa yang tepat.

Tuesday, April 13, 2021

Rancang dan bertindak



Kita telah banyak mendengar banyak ceramah, syarahan, nasihat dan kata-kata motivasi yang dapat menjadikan diri kita bersemangat dan bertenaga sepanjang hari. 

Kita juga boleh dikatakan menjadi ‘orang baru’ iaitu baru dalam bentuk fikiran, azam dan cara membuat tindakan. 

Boleh juga dikatakan sebaik sahaja kita mendapat suntikan semangat ini, membuak-buak dalam hati kita untuk terus bertindak. Malah ada yang menulis senarai tindakan yang akan dilaksanakan. 

Namun, dari hari ke minggu dan ke bulan seterusnya ke tahun, senarai yang disediakan tidak menunjukkan sebarang hasil. 

Kebanyakan orang tidak dapat mencapai kejayaan yang mereka impikan kerana tidak melakukan apa yang dipelajari. 

Tidak nampak pada diri mereka kejanggalan ketika bersusah payah, berfikir dan merancang strategi ke arah matlamat yang diimpikan. 

Ingat, untuk berjaya kita mesti bertindak.

Monday, April 12, 2021

Fahami untuk selesaikan masalah


Kefahaman adalah kunci kepada setiap persoalan dalam hidup, isu pendidikan dan kewangan, masalah tempat kerja atau konflik keluarga. 

Memahami sesuatu isu, perbahasan atau masalah menjadi punca kepada semua masalah tersebut. 

Katakan ktia menghadapi masalah komunikasi dalam keluarga seperti suami isteri bermasam muka, anak-anak yang liar dan enggan mendengar cakap, beban kewangan keluarga dan hubungan adik-beradik bermasalah. 

Apakah isu utama dalam komunikasi ini? 

Ia bergantung kepada punca masalah dan untuk mengetahui punca masalah ini, kita boleh menggunakan pelbagai pendekatan seperti berbincang, berunding, dapatkan khidmat kaunseling ataupun mewakilkan pihak ketiga. 

Dengan memahami isu, ibu dan anak yang terpisah bertahun-tahun dapat hidup bersama kembali, kasih sayang yang luntur kembali segar dan salah faham yang tidak berpenghujung dapat ditamatkan. 

Memahami adalah kunci kepada penyelesaian masalah dalam hidup.

Sunday, April 11, 2021

Contoh ikutan



Siapakah yang menjadi model ikutan kita dalam organisasi, keluarga, komuniti atau rakan-rakan? 

Apakah yang menjadikan seseorang itu berbeza daripada yang lain? Apakah pula ciri-ciri yang diperlukan jika kita ingin mencontohi model-model ini? 

Andainya kita bertanya 100 orang yang berbeza dengan soalan yang sama, kemungkinan besar kita mendapat 100 jawapan yang berbeza. 

Namun, peluang untuk setiap orang menjawab satu jawapan yang mungkin sama ada iaitu berfikir positif. 

Kajian-kajian menunjukkan berfikiran positif sangat penting dalam mencapai kejayaan dan kesejahteraan hidup. 

Biarpun belum tentu dapat menjanjikan kekayaan dan kesihatan yang hebat, sekurang-kurangnya dapat menjadikan hidup lebih ceria dan bahagia.


Saturday, April 10, 2021

Orang yang mendapat naungan Allah swt



Salah satu kelompok orang yang akan mendapat syafaat Allah swt di akhirat kelak ialah mereka yang bertemu, berhimpun dan berpisah kerana Allah swt. 

Maksud hadis Nabi Muhammad saw ini memberi ingatan kepada kita untuk bersama-sama membina hubungan persahabatan kerana hanya satu matlamat iaitu Allah swt. 

Banyak sebab kenapa kita berjumpa dan berpisah. 

Antaranya adalah kerana hal-hal keluarga, bisnes, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Namun, biar apa pun matlamat itu, yang paling penting ialah aktiviti tersebut mestilah dalam keadaan melakukan amal soleh supaya Allah swt memberi pahala kepada kita. 

Ini yang dikatakan berjumpa dan berpisah kerana Allah swt. 

Sebenarnya dalam hidup kita, kita perlu mencari dan memiliki peluang-peluang untuk mendapat naungan Allah swt ini di akhirat kelak.

Friday, April 09, 2021

Cara hidup sihat



Beberapa hari lalu yang lepas, saya menziarahi seorang saudara yang terlantar sakit. 

Beliau bukannya mendapat satu penyakit tetapi beberapa penyakit. 

Pertama, angin ahmar yang menyebabkan kedua-dua tangannya sukar digerakkan. Untuk penyakit ini, dia sukar memegang gelas air walaupun untuk minum. 

Kedua, kegagalan fungsi buah pinggang. Pemeriksaan doktor mendapati kedua-dua buah pinggangnya telah mengecut, kesan daripada pengambilan ubat yang terlalu lama iaitu selama 16 tahun. 

Akibat terlalu lama bergantung pada ubat, kerosakan pada organ penting seperti buah pinggang menyukarkan pergerakan hidupnya. 

Ketiga, gout. Punca gout yang ada pada dirinya adalah kerana sangat kerap makan makanan laut. Akhirnya gout di bahagian lutut menyukarkan perjalanannya. 

Pelbagai penyakit yang muncul ketika usia emas banyak berpunca daripada cara hidup ketika muda. 

Bagi orang-orang muda, pola hidup yang betul seperti menjaga makan dan minum, cukup tidur dan bersenam adalah sangat penting.

Thursday, April 08, 2021

Kecemerlangan



Di mana-mana sahaja hari ini, ramai yang bercakap tentang kecemerlangan. 

Di pejabat, bos akan sentiasa mengingatkan staf untuk mencapai KPI kerana itulah ukuran pencapaian dan kecemerlangan mereka. 

Di sekolah atau universiti, ukuran kecemerlangan ialah subjek yang mendapat A atau CGPA 4.0. Ukuran kecemerlangan berbeza-beza mengikut tempat, tahap umur, pendidikan ataupun pekerjaan. 

Kenapa kita hendakkan kecemerlangan? 

Kerana kecemerlangan adalah harapan, hasrat, impian atau matlamat akhir setiap usaha. Kadangkala kita menyempitkan erti kecemerlangan. 

Kita menyangka kalau mendapat semua A dalam peperiksaan atau ujian kenaikan pangkat, kita telah menjadi cemerlang untuk seluruh hidup. 

Sebaliknya tidak kerana kecemerlangan mempunyai maksud yang luas. J

ika tidak berjaya dalam pelajaran, insya Allah berjaya dalam bisnes, berjaya menjadi amal soleh, berjaya membentuk keluarga sakinah dan sebagainya.

Wednesday, April 07, 2021

Jaga kesihatan diri



Semasa saya menunggu pesanan untuk makan malam di sebuah restoran, mata saya melilau ke sana sini untuk melihat ragam pengunjung restoran. 

Lalu mata saya tertumpu kepada seorang lelaki yang saya fikir sudah separuh abad umurnya. Ketika itu beliau sedang makan nasi tetapi menyuap nasi menggunakan sudu dengan tangan kiri. 

Pada saya, situasi berkenaan cukup menarik kerana ia menimbulkan keinginan untuk mengetahui sebab-musabab keadaan begitu. 

Dari jauh saya perhatikan tangan kanan lelaki itu tidak terangkat kerana sesuatu sebab. Selepas makan, lelaki itu beredar dengan berjalan ke arah kereta. 

Fahamlah saya lelaki ini sudah hilang upaya anggota tangan kanannya. Kaki kanannya juga tidak dapat diangkat dengan sempurna. 

Berdasarkan pengalaman dan pembacaan, lelaki ini diserang angin ahmar. Kesannya ialah keupayaan anggota kaki dan tangannya menjadi lemah.

Bagi orang-orang muda, lebih baik memberi perhatian kepada kesihatan diri dengan melakukan senaman berkala, menjaga pola pemakanan harian, mencukupkan tidur malam dan menguatkan rohani diri. 

Apabila usia semakin meningkat, kesihatan kita sangat mudah terjejas kerana banyak organ yang semakin merosot. 

Penjagaan kesihatan yang berterusan dapat melambatkan kemerosotan tersebut.

Tuesday, April 06, 2021

Bentuk karisma diri



Hari ini saya hendak menerangkan bagaimana kita boleh membentuk dan membangunkan karisma diri… bukannya Karisma Kapoor. 

Mungkin ada dalam kalangan kita menyangka karisma diri hanya wujud kepada sesetengah orang yang terpilih. 

Sangkaan ini adalah salah kerana karisma boleh dibentuk dan dipupuk. Konsep karisma salah satu bentuk keupayaan dan kebolehan untuk menarik minat dan perhatian orang lain. 

Jika kita sebagai orang biasa dalam organisasi atau dalam masyarakat, bagaimana kita boleh memancarkan karisma diri kepada orang? 

Saya kongsikan dengan anda panduan mudah membentuk karisma diri. 

Pertama, sentiasa harapkan yang terbaik yang bermaksud menaikkan semangat dan keyakinan diri orang-orang di sekeliling kita supaya buat yang terbaik. 

Kedua, sentiasa berikan harapan. Jika kita dapat berikan harapan kepada orang lain, mereka akan pasti tertarik dan berterima kasih kepada kita.

Monday, April 05, 2021

Saling percaya kepada orang lain



Banyak sistem pengurusan yang kita lalui membawa erti yang berbagai-bagai. Namun, tujuannya adalah menjadikan pengurusan lebih baik dan efisien. 

Di samping itu, sistem pengurusan (dengan pelbagai cara) membentuk nilai mempercayai diri dan orang lain, seterusnya memberi input kepada bersangka baik. 

Sebuah perpustakaan menerangkan sistem pengurusan diri yang menjadikan kepercayaan dan sangka baik sebagai matlamat tertinggi. 

Kaedah peminjaman buku sangat mudah. 

Pelajar hanya perlu menulis nama, tarikh dan ambil buku. Sampai masanya, buku akan dipulangkan. 

Lalu, seseorang bertanya: kenapa pelajar hanya menulis, tidak ada sistem lain? 

Ketua pustakawan menjawab: kami sangat percaya kepada pelajar, mereka akan pulangkan buku yang dipinjam pada masanya. 

Soalan lain pula: kalau buku tidak dipulangkan bagaimana pula? 

Jawabnya: kami jangkakan buku tersebut sangat popular dan pelajar ingin memilikinya.

Sunday, April 04, 2021

Banyak cara mengesan masalah



Seorang bos sebuah syarikat automatif mengambil sebuah teksi untuk pulang ke rumahnya.

Beliau baru sahaja tiba dari luar negara dan tidak memaklumkan kepada anak buahnya untuk menunggu di lapangan terbang. 

Pemandu teksi tidak sedar yang dia sedang membawa bos kepada syarikat kereta yang dijadikan teksi itu. Jenama teksi tersebut sentiasa mendapat rungutan berkaitan ‘power window’.

Tiba di plaza tol, pemandu teksi ini tidak menurunkan cermin kereta sebaliknya membuka pintu untuk membayar tol. 

Bos tadi bertanya kenapa beliau tidak turunkan cermin kereta lalu dimaklumkan oleh pemandu teksi bahawa cermin keretanya bermasalah. 

Bila pulang ke tempat kerja, bos tadi bermesyuarat dengan stafnya bagaimana mereka boleh mengatasi masalah ‘power window’ kereta keluaran mereka. 

Selepas tiga bulan, bos itu mengisytiharkan masalah ‘power window’ kereta keluaran mereka telah diatasi.

Saturday, April 03, 2021

Pembangunan diri



Norman Vincent Peale, pakar pembangunan diri terkemuka berkata, ‘Adalah satu yang praktikal untuk belajar menyayangi diri sendiri’. 

Oleh kerana kita banyak menghabiskan banyak masa dengan diri sendiri, hubungan dengan orang lain mungkin bermasalah. 

Pembangunan diri, perkembangan diri atau apa saja istilah yang digunakan adalah bermula dari dalam diri. 

Kenyataan ini dapat dilihat dengan jelas namun hakikatnya jauh daripada itu. Jika kita menerima idea bahawa semua perkara besar bermula daripada diri kita, kita akan mula melihat kemungkinan-kemungkinan yang memberi kesan ke atas pemikiran, nilai, kepercayaan dan tindakan kita. 

Pembangunan diri adalah proses. Jadi, kita wajar mengetahui pelbagai matlamat untuk mempastikan proses ini memberi manfaat dalam hidup kita. 

Bersikap terbuka terhadap idea baru, inspirasi, peneguhan, motivasi, berfikir positif dan sebagainya.

Friday, April 02, 2021

Nilai profesional dan etika



Nilai-nilai profesional dan etika diri adalah ukuran standard diri yang memudahkan pengukuhan sesuatu sikap yang menggambarkan latar belakang diri keluarga atau kerjaya. 

Nilai profesional sangat penting dalam organisasi korporat dan perkhidmatan awam supaya suatu rupa bentuk etika yang teratur boleh dibentuk dan diikuti. 

Contohnya, agensi penguatkuasa mesti memiliki nilai profesional yang disusun menjadi etika yang perlu diikuti oleh semua staf. 

Sekumpulan nilai profesional ini memandu staf menentukan mana satu yang betul dan mana satu yang salah. 

Manakala etika ialah sekumpulan pilihan yang boleh membantu staf melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya. 

Pelaksanaan nilai profesional bergantung kepada kaedah yang selari dengan persekitaran kerja kerana ia ada kaitan langsung dengan etika dan tahap kejayaan.

Thursday, April 01, 2021

Kod nilai peribadi


Kod nilai peribadi sangat penting kepada setiap orang. 

Ia bukannya sesuatu yang kita hendakkan semata-mata kerana ikutan atau dididik begitu, sebaliknya memang menyedari keperluan kod nilai ini untuk menjadikan hidup lebih cemerlang.

Kod nilai adalah susunan nilai yang menjadi prinsip dan pegangan kita. Katakan kita ambil pengurus sebagai contoh.

Apakah kod nilai pengurus? 

Antaranya ialah jujur, bertanggungjawab dan setia. 

Jika terdapat nilai-nilai lain yang bertentangan dengan nilai-nilai ini, ia pasti ditolak. Jika diterima, pengurus tersebut pasti berhadapan dengan konflik diri yang sangat hebat. 

Nilai-nilai diri ini perlu disuburkan dari semasa ke semasa supaya orang yang berurusan dengan kita akan berasa yakin, berpuas hati dan menyanjung tinggi nilai-nilai kita tadi.