Thursday, September 30, 2021

TAKLIMAT KURSUS IPTK SESI 2021/2022

Mentaliti positif, hidup lebih aktif


Pada hari ini dan beberapa hari yang akan datang saya hendak berkongsi dengan anda tentang mentaliti positif. 

Barangkali ada yang pernah mendengar konsep ini tetapi kurang jelas. Mentaliti adalah cara kita berfikir. 

Jadi, pemikiran positif merupakan satu penekanan berfikir dari perspektif yang baik-baik dan berhikmah. Memiliki mentaliti positif sangat baik untuk kesihatan fizikal dan emosi kita.

Contohnya, mentaliti positif membantu seorang yang putus cinta melihat kegagalan bercinta dari ruang lingkup yang positif iaitu melihat kembali kelebihan dan kekurangan diri. 

Apabila dapat menerima dengan redha, kegagalan bercinta tidaklah begitu difikirkan sangat tetapi memberi tumpuan kepada bagaimana boleh membina kekuatan diri dan mungkin ada pengganti yang lebih baik. 

Mentaliti positif, hidup perlu lebih aktif.


Wednesday, September 29, 2021

Dua cara urus masa produktif


Apabila kita melaksanakan tugas yang diberi dengan jaya dan lengkap, tentulah kita berasa puas hati dan sangat gembira. 

Lebih-lebih lagi jika ketua jabatan yang puji. Pujian yang kita dapat merupakan hadiah dari segi keberkesanan pengurusan masa dan kesungguhan kita melaksanakan arahan. 

Sama ada kita sebagai pelajar atau pekerja, menguruskan masa dengan produktif akan memudahkan urusan seharian. 

Bagaimana hendak menguruskan masa yang produktif ini? 

Pertama, kenal pasti masa yang paling produktif yang kita boleh beri komitmen. Contohnya, saya suka menulis pada waktu malam, itulah masa produktif saya. 

Kedua, latih diri buat senarai yang mesti diselesaikan setiap hari. Cara ini perlukan sedikit disiplin diri tetapi kesannya amat bagus. 

Kita tidak perlu tunggu hari esok untuk kerja yang boleh diselesaikan pada hari ini.


Tuesday, September 28, 2021

Perbaharui cara fikir


Perbaharui minda adalah antara istilah yang biasa dalam mengubah cara berfikir. 

Minda yang diperbaharui ini bermaksud kita mengarahkan hala tuju pemikiran kita ke arah daya saing. Pada saya, setiap hari minda perlu diperbaharui supaya keupayaan minda sentiasa ditingkatkan. 

Bagaimana caranya hendak tingkatkan keupayaan minda ini? 

Caranya ialah pertama, aktif berfikir dengan mencari jalan penyelesaian dan aktif membaca. Semua aktiviti ini mencabar minda untuk berfikir dengan serius. 

Kedua, beriadah atau bersenam. 

Saya lihat di kawasan riadah seperti persiaran Sungai Damuan, Bukit Shahbandar dan sebagainya lengkap dengan kemudahan rekreasi. Di kawasan-kawasan ini ramai orang yang berjoging dan bersenam. 

Jadi, minda yang cekap mestilah dibina dengan berfikir dan beriadah secara fizikal.

Monday, September 27, 2021

Realisasikan niat


Tindakan dan perbuatan kita bergantung kepada niat. Niat yang hebat boleh dibentuk dan diarahkan. Contohnya hendak mengejar cita-cita, impian dan harapan. 

Ia boleh direalisasikan dengan banyak cara. Antaranya ialah mengikuti ceramah, seminar dan kursus untuk mengetahui pembangunan dan penambahbaikan diri. 

Kita juga boleh lakukannya untuk keluarga kita seperti tingkatkan kecemerlangan mendidik anak-anak melalui kursus atau seminar. 

Bagi anak-anak remaja, boleh meminta ibu atau bapa belikan cakera padat yang berkaitan dengan menjadi anak yang cemerlang atau anak yang soleh. 

Jadi, dalam hidup ini, mengurus niat juga penting selain daripada mengurus rumah tangga, mengurus pejabat dan sebagainya.


Sunday, September 26, 2021

Bijak memilih kawan


Membesar menjadi seorang anak yang membahagiakan dan membanggakan ibu bapa dan keluarga menjadi idaman setiap orang. 

Walaupun bahagia dan bangga ini bersifat subjektif tetapi kedua-dua sifat ini boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara. Antaranya ialah bijak memilih kawan. 

Di sekolah, maktab, universiti atau tempat kerja, kita boleh mencari kawan untuk bersosial. Pilihan yang kita ada ialah memilih kawan yang ‘ngam’ atau serasi dengan kita. 

Ada orang yang memilih kawan kerana hendak buat rakan bisnes dan ada juga kerana sebagai teman sosial. 

Pada saya, bijak memilih kawan ialah kesannya kita menjadi lebih baik. Baik budi pekerti, budi bahasa, nilai dan tentunya pandai bawa diri serta boleh beri kebaikan kepada orang lain.


Saturday, September 25, 2021

Tiga langkah positif perubahan


Sebagai remaja, ada kalanya kita mencari-cari panduan dalam melaksanakan tindakan yang boleh memberi dorongan kepada adik-beradik, rakan-rakan atau ibu bapa kita sendiri. 

Kali ini saya ingin berkongsi tiga panduan ringkas dan mudah untuk memotivasi orang lain dan juga diri sendiri. 

Pertama, mulakan sekarang. Jangan buang masa, buatkan persediaan untuk bertindak. Sesuatu tindakan yang baik tidak perlu menunggu lama untuk dilaksanakan. 

Kedua, fikirkan inisiatif iaitu kita yang mulakan tindakan. Semangat, keyakinan dan disiplin diri boleh membantu permulaan inisiatif ini. 

Ketiga, sedia mental, fizikal dan spiritual untuk berhadapan dengan kesukaran. 

Jika ketiga-tiga panduan ini diamalkan, insya Allah kita boleh mulakan perubahan.


Friday, September 24, 2021

Setiap masalah ada jalan keluar


Dalam pembacaan dan pemerhatian saya, orang-orang yang berjaya dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, perniagaan, sukan dan pendidikan semuanya menghadapi masalah.

Bezanya adalah berhadapan dengan masalah yang besar atau kecil. 

Saya juga berfikir orang yang lebih banyak berjaya seharusnya lebih banyak menghadapi masalah. Faktor penting di sini ialah bentuk atau kaedah yang digunakan untuk menyelesaikan masalah tadi. 

Prinsip yang digunakan ialah bijak dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan. 

Orang bijak pandai selalu berkata, ‘Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya’. 

Maknanya, kita perlu usahakan jalan-jalan penyelesaian yang dapat merungkai keserabutan masalah tadi. 

Jika asyik bergaduh atau bertengkar dengan rakan-rakan atau bermasam muka dengan adik-beradik, mencari puncanya adalah penyelesaian terbaik.


Thursday, September 23, 2021

Doa sumber kekuatan hidup


Kita harus selalu ingat iaitu kehidupan kita adalah tanggung jawab kita untuk menjaganya. Maksud tanggung jawab di sini ialah tanggung jawab dalam setiap tindakan yang diputuskan dan pada masa yang sama bertanggungjawab terhadap pencapaian dalam hidup. 

Dalam kata lain, kita sendiri yang mengambil tanggungjawab terhadap penambahbaikan ilmu pengetahuan, tahap kecekapan atau kemahiran. 

Sebenarnya, sebagai individu, ketua keluarga atau sesiapa sahaja, melaksanakan tanggungjawab adalah satu amanah yang perlu dijaga dan diselesaikan. 

Sebarang bentuk tindakan, pencapaian, harapan dan masa hadapan terletak pada usaha sendiri. 

Sumber kekuatan dalam melaksanakan tanggung jawab ini ialah doa, jadi selalulah berdoa.


Wednesday, September 22, 2021

Sudah senang hidup berkeluarga


Salah seorang suami atau isteri, ibu atau bapa mesti selalu ingat bahawa hidup yang dilalui adalah milik bersama dan bertanggungjawab memastikan keluarga dalam keadaan sempurna.

Suami atau bapa yang bertindak sebagai ketua wajar menyedari tugasnya yang paling banyak. Sebarang bentuk tindakan, pencapaian, harapan dan masa hadapan terletak pada keupayaan dan kepintarannya. 

Peranan isteri pula sebagai pembantu untuk menggerakkan hala tuju keluarga. Kadang-kadang terjadi, bapa dalam keluarga hilang upaya sebagai ketua keluarga dan dalam keadaan ini, ibu dan anak-anaklah yang memikul tanggungjawab mengemudi susah dan senang keluarga. 

Anak-anak yang bersabar dengan kesusahan keluarga, Insya Allah mereka lebih tabah menjalani kehidupan yang mencabar hari ini.

Tuesday, September 21, 2021

Keluarga cemerlang


Keluarga adalah unit asas dalam masyarakat. Cemerlang keluarga, cemerlanglah masyarakat dan negara. Bagaimana hendak bentuk keluarga yang cemerlang ini? 

Pertama, kesedaran bahawa penting membentuk sebuah keluarga yang dapat memenuhi tanggungjawab. Jika kedua-dua suami dan isteri dapat memahami tanggungjawab, separuh daripada keluarga cemerlang sudah pun tercapai. 

Kedua, pastikan setiap ahli keluarga berada dalam persekitaran yang sihat dan membina. 

Di Brunei, Malaysia dan negara-negara di Asia Tenggara, kecenderungan anak-anak tinggal bersama ibu bapa masih tinggi dan ini dapat memberi harapan kepada pembentukan persekitaran yang positif khususnya solat berjemaah ataupun makan bersama di samping dapat meleraikan konflik kekeluargaan. 

Dua cara ini jika dapat dilaksanakan sedikit sebanyak merangsang keluarga cemerlang.

Monday, September 20, 2021

Disiplin diri kunci kejayaan


Salah satu sifat yang paling penting dalam motivasi diri, rakan-rakan, keluarga dan masyarakat ialah disiplin diri. 

Sifat ini telah membantu ramai orang mencapai kejayaan dan matlamat sama ada berbentuk material seperti kekayaan harta, berbentuk intelektual seperti belajar hingga ke peringkat doktor falsafah ataupun berbentuk spiritual seperti menghafal al-quran. 

Keupayaan disiplin diri sangat hebat. 

Ia mengawal dan memantau diri ke arah kebaikan, memastikan setiap tugas dilaksanakan dengan cekap dan menggerakkan diri sendiri untuk semakin kuat bekerja. 

Selain untuk diri sendiri, disiplin boleh diterapkan kepada ahli keluarga, rakan sepejabat dan komuniti melalui pelbagai cara. 

Walaupun susah, disiplin diri sebaik-baiknya dimulakan dengan perkara-perkara yang senang dahulu.


Sunday, September 19, 2021

Beza antara janji dan tindakan


Apakah yang membezakan orang yang memberikan hasil dengan orang yang berjanji memberikan hasil? 

Kedua-duanya berbeza dalam membuat tindakan. 

Orang yang memberikan hasil ialah bertindak serta-merta berbanding yang menangguhkan kerja. Orang yang bermotivasi selalu mengingatkan dirinya untuk bertindak dari semasa ke semasa. 

Masa bukanlah masalah besar kerana menyedari masa setiap hari adalah penting.

‘Develop a sense of urgency in your life’. 

Dari semasa ke semasa, membuat penilaian diri yang berterusan dapat memperbaiki kelemahan diri. Lupakan masalah kecil dan berikan perhatian kepada daya saing dan pencapaian diri sendiri.

Salah satu petua mengekalkan amalan harian yang baik ialah memastikan ia dilakukan setiap hari walaupun dari segi kuantiti atau jumlahnya adalah kecil.


Saturday, September 18, 2021

Takut adalah normal


Takut adalah perasaan normal yang ada setiap orang, sama ada orangnya besar apatah lagi kecil. Takut menjadi sumber kepada tekanan, sedih dan rendah diri. 

Contohnya takut dalam persaingan. Barangkali punca takut bersaing ialah kurangnya pendedahan kepada aktiviti yang ada menang-kalah. 

Persaingan tidak boleh lari kerana bersaing menjadikan kita lebih maju. 

Bagaimana hendak hilangkan rasa takut dalam persaingan ini? 

Caranya ialah luangkan masa untuk memberi tumpuan kepada kaedah atau strategi untuk menang, pastikan setiap tindakan adalah betul dan membuat keputusan dengan maklumat yang cukup. 

Biasanya kalau maklumat sudah mencukupi, rasa takut akan hilang dengan sendirinya.


Friday, September 17, 2021

Sifat berani untuk berjaya


Saya selalu membaca kisah-kisah hidup orang yang telah melakukan inovasi untuk memudahkan hidup orang lain. 

Pada saya, sebahagian besar daripada hidup mereka ini penuh dengan kegagalan dan kekalahan. Namun mereka tidak pula mengaku kalah atau terus ‘give up’ sebaliknya terus berusaha dan mencuba. 

Saya melihat faktor berani sebagai aset paling berharga kerana ia mengubah fikiran negatif ‘tak boleh’, susah’ ini kepada fikiran positif. 

Sifat-sifat yang lemah menjadi kuat dan bersemangat, positif menjadi aktif, pesimis menjadi optimis, miskin menjadi kaya dan gagal menjadi berjaya. Keberanian tidak cukup dengan semangat sebaliknya disertai kesungguhan, ketegasan dan emosi gembira.


Thursday, September 16, 2021

Menangis dan ketawa silih berganti


Gagal dan kecewa adalah dua perkara yang biasa dalam hidup. Kedua-duanya perlu dihadapi dengan tenang kerana akan sampai masanya gagal akan berganti kejayaan dan kecewa berganti bahagia. 

Seseorang yang pernah mengalami kegagalan atau kekecewaan tentu mengakui kenyataan ini. Apabila bangkit kembali, berusaha dan mendapat kejayaan, nikmat kejayaan dirasai lebih hebat daripada kegagalan dan kekecewaan. 

Sabar adalah nilai penting untuk menghadapi apa sahaja bentuk kecewa- belum dapat kerja, belum naik pangkat atau belum capai cita-cita. 

Namun dalam bersabar ini, kenalah berusaha, merancang strategi dan berdoa supaya apa yang kita hajati akan tercapai.

Wednesday, September 15, 2021

Senyum untuk yakin diri


Keyakinan diri adalah sebahagian daripada talian hayat setiap orang untuk melangkah lebih jauh dalam hidup, kerjaya atau hidup bermasyarakat. 

Terdapat beberapa amalan mudah yang selalu kita lakukan tetapi kurang bersungguh-sungguh dan impaknya juga agak kurang. 

Contohnya memberi senyuman. Kekuatan senyuman ini sangat hebat kerana ia merangsang minda untuk berfikir positif. 

Cuba kita berikan senyuman terbaik setiap hari apabila berjumpa kawan-kawan, bos atau rakan sepejabat. Senyuman yang hebat kita boleh rasa kerana senyum itu sendiri menjadi penawar dan menimbulkan aura senang hati. 

Apabila hati senang, keyakinan diri lebih mudah kita dapat.


Tuesday, September 14, 2021

Pancaran imej diri


Imej diri adalah sebahagian daripada unsur penting dalam pembinaan diri yang cemerlang. Membentuk imej diri diri bukan sahaja di luaran seperti pakaian yang cantik malah perlu juga dibuat secara dalaman. 

Imej diri yang tinggi mempengaruhi keyakinan diri kerana kedua-duanya ada hubungan yang akrab. 

Di peringkat remaja, kita mudah meniru gaya berfikir atau penampilan orang lain kerana kita masih tercari-cari identiti. 

Ketika dewasa kita rasa hidup ini sangat kompleks dan sukar hendak penuhi semua perkara. 

Apabila usia meningkat dan badan semakin lemah, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan.

Fikiran juga tidak banyak berfikir. Imej diri yang dibina ketika usia muda boleh dibawa sehingga usia tua yang dapat dilihat dari pancaran cara berfikir, sifat matang dan mahir menyesuaikan diri dengan perubahan.

Monday, September 13, 2021

Ambil berat penampilan diri


Mengurus penampilan diri mesti diberi perhatian jika mahu berjaya dalam semua bidang sepertimana tidak sama orang yang memakai baju yang bergosok dengan baju yang tidak bergosok. 

Penampilan diri secara fizikal ini mesti mengambil kira perkara yang kecil hinggalah besar kerana keprihatinan terhadap perkara yang kecil-kecil akan menentukan kejayaan yang besar.

Penampilan diri ini berkaitan dengan pemakanan, kebersihan, senaman dan rehat yang cukup. Kesihatan yang baik menyempurnakan penampilan diri yang berkarismatik dan anggun. 

Selain itu, persekitaran yang bersih, selesa dan selamat turut menjadi penyambung kepada penampilan diri yang menawan.

Sunday, September 12, 2021

Bina diri bina nilai-nilai baik



Dalam siri program motivasi diri, satu istilah yang kita biasa dengar ialah bina diri. Pembinaan diri merupakan proses penambahbaikan diri daripada pelbagai sudut. 

Ia meliputi sudut mental, spiritual dan fizikal. 

Kita perlu membina nilai-nilai baik dan murni dalam kehidupan supaya penambahbaikan diri kita lebih bermakna. 

Nilai baik ini boleh disepadukan dengan bijak mengawal emosi diri dan menghormati orang lain. Tidak perlu takut kepada kritikan kerana kritikan yang diterima dengan positif tentulah membantu diri kita untuk lebih berjaya. 

Kata bijak pandai; ‘Persaingan hanyalah dengan diri sendiri. Ia adalah membina diri supaya lebih baik daripada kelmarin’.


Saturday, September 11, 2021

Hidup mesti berusaha


Setiap sesuatu perkara yang dilakukan oleh seseorang atau setiap daripada kita ada sebab musababnya. 

Kejayaan seseorang bukan hanya kerana nasib atau kebetulan tetapi mereka telah membuat persediaan, perancangan dan tindakan yang teliti dan serius. 

Dengan tidak menafikan ketentuan Tuhan dalam memberi takdir, usaha untuk mengubah dan membaiki diri adalah galakan yang dianjurkan. 

Masa hadapan tidak boleh disandarkan kepada orang lain atau membiarkan persekitaran menentukan hala tuju hidup kita. Kita sendiri yang menentukan pilihan terbaik dan mesti berusaha untuk mendapat yang terbaik. 

Walau bagaimanapun, bergantung kepada nasib tidak menentukan apa-apa kecuali sesalan dan kecewa. 

Hidup mesti berusaha, tidak boleh berdiam diri.


Friday, September 10, 2021

Usaha ketika badan masih kuat


Jika kita seorang pelajar, kita hendak berjaya dalam akademik. Kalau boleh sejauh yang mungkin. 

Jika kita sudah berkeluarga, kita hendakkan keluarga yang bahagia seperti hidup penuh keberkatan. Kalau boleh hendakkan keluarga mithali. 

Jika seorang ahli perniagaan, emosi dan pemikirannya adalah mencari strategi untuk mendapat untung. Kalau boleh setiap hari boleh dapat untung. 

Pendek kata, biar siapa sahaja kita hendakkan kejayaan. Berjaya dari segi material, mental dan spiritual. 

Jika semua orang hendak berjaya, saya rasa hidup tentu lebih mudah. Namun realitinya tidak begitu kerana setiap orang berbeza tahap pemikiran, sikap dan keupayaan. 

Bagi kita yang sihat, pintar dan rajin, teruskan berusaha menjadi seorang yang berjaya, mudah-mudahan orang yang malas dan tidak mahu berubah dapat mengikut jejak langkah kita.


Thursday, September 09, 2021

Latih diri selesai masalah


Setiap orang mengalami laluan hidup yang berbeza-beza. Walaupun laluan dan pengalaman ini berbeza tetapi kita mahukan kehidupan yang harmoni, senang, bahagia dan aman damai. 

Tidak semua orang dapat keadaan hidup seperti ini kerana kita perlu mengharungi pelbagai cabaran, dugaan dan rintangan. 

Ada kalanya sangat mudah dan ada kalanya sangat sukar. 

Kita boleh mengharungi semua cabaran hidup dengan semangat tinggi, sistematik dan memberi peluang kepada diri untuk membuktikan keupayaan diri. 

Latih diri untuk menghadapi semua suasana susah dan senang supaya kita ada idea bagaimana hendak menyelesaikan masalah. 

Kalau ada masalah, jangan merungut tetapi fikir bagaimana masalah itu boleh diselesaikan.

Wednesday, September 08, 2021

Rajin-rajin belajar


‘Lifelong Learning’ atau pembelajaran sepanjang hayat sudah menjadi trend pada hari ini. Kebanyakan orang merasakan ilmu yang mereka miliki semakin ketinggalan dan perlu dicari lagi. 

Di mana hendak dicari? 

Apabila kita mahu mempelajari bidang pengetahuan yang baru, katakan teknologi maklumat (IT), tempat yang paling mudah ialah perpustakaan. 

Hari ini proses mencari maklumat menjadi lebih mudah dengan internet. Jika ada peluang dan wang sendiri, boleh daftarkan diri untuk menyambung pembelajaran ke peringkat sarjana atau doktor falsafah di universiti. 

Hari ini tidak lagi memadai belajar sehingga mendapat sijil, sebaliknya perlu belajar sehingga peringkat diploma dan ke atas. 

Dalam tempoh sepuluh tahun lagi, persaingan dalam pekerjaan akan sengit dan mereka yang tidak bersekolah akan ketinggalan.


Tuesday, September 07, 2021

Hargai Kerja Sedia Ada


Hidup tanpa kerja amat susah digambarkan kerana kesan psikologinya amat besar. Ada pula yang bekerja tetapi kurang produktif, mungkin juga ada yang merungut kerana banyak kerja.

Setiap orang yang sihat sepatutnya melakukan kerja yang boleh menambah kenalan dan mendidik diri supaya menjadi lebih bertanggungjawab. 

Setiap pekerjaan walaupun bergaji kecil mempunyai tanggungjawab tertentu yang perlu dipenuhi. 

Jika dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, gaji yang kecil tadi boleh meningkat bertambah besar jika dilaksanakan dengan dedikasi dan utamakan kualiti. 

Orang yang gigih bekerja dan bersabar dengan keadaan kerja yang ada sebenarnya boleh hidup gembira dengan keberkatan rezeki yang diperoleh.


Monday, September 06, 2021

Niatnya yang lebih penting


Perkataan ‘PERCUMA’ atau ‘FREE’ ialah istilah yang amat berkesan dalam pemasaran dan pengiklanan. 

Ramai orang yang suka dengan barang atau produk percuma ini, dari parkir kereta hinggalah mendapat hadiah istimewa dan makan percuma. 

Namun ramaikah yang mahu memberi secara percuma? Makan percuma? Beri wang percuma? Buat kerja percuma? 

Dalam hidup ini ada pepatah yang berbunyi, ‘buat baik dibalas baik’. 

Apabila kita berniat melakukan yang baik, kita tidak perlu bimbang tentang ganjaran yang akan diperoleh. 

Apa yang lebih penting ialah kita merasa puas dan senang hati. Anugerah yang paling berharga selepas melakukan sesuatu yang percuma ialah ‘Terima Kasih’ kerana ucapan ini amat menyenangkan dan membahagiakan.


Sunday, September 05, 2021

Seni berunding sampai jadi


Hampir semua urusan boleh diselesaikan melalui perundingan. 

Kemahiran berunding boleh digilap. Jadi bagaimana memulakan teknik berunding yang berkesan? 

Membuat persediaan adalah langkah pertama yang mesti dilaksanakan. Persediaan bermaksud melakukan penyelidikan dan mengumpulkan maklumat. 

Dalam proses rundingan, bercakap dengan suara yang jelas, berdiplomatik dan berfikiran tenang. 

Matlamat berunding ialah mencapai persetujuan, bukannya ada ‘menang-kalah’ yang ekstrem.

Sebaliknya ‘menang-menang’ supaya kedua-dua pihak berpuas hati. Semasa berunding, nyatakan kemahuan kita dengan jelas dan cadangkan penyelesaian yang munasabah. 

Sebaik-baiknya ialah mencari jalan tengah supaya semua pihak senang hati.


Saturday, September 04, 2021

Kuasa senyuman


Semasa melangkah masuk ke sebuah premis perniagaan, saya disambut tanpa senyuman oleh pegawai khidmat pelanggan yang bertugas di kaunter masuk. 

Serta-merta niat berurusan di premis tersebut saya batalkan dan terus beredar. 

Selang beberapa hari, saya datang semula ke situ tetapi disambut dengan senyuman dan sapaan ‘Selamat Datang’. 

Dengan senang hati saya bersedia untuk berada lebih lama di situ. 

Dalam bisnes atau perkhidmatan, menghargai pelanggan adalah kunci kepada keuntungan. Pelanggan akan menghargai premis yang sedia menghargai kehadiran mereka. 

Sapaan dan senyuman membuatkan pelanggan merasa dirinya dihargai. 

Khidmat pelanggan memang penting dan berharga. Tanpa khidmat pelanggan yang cemerlang, anda tidak akan mendapat pelanggan dan tiada pelanggan bermakna tiada bisnes.


Friday, September 03, 2021

Bagusnya bangun awal pagi


Perubahan minda boleh berlaku melalui perubahan fizikal. 

Apakah perubahan fizikal yang kita boleh mulakan? 

Kita bermula dengan bangun awal setiap hari. Rasai nikmat hidup pada awal pagi. 

Bekerja dengan hati yang tenang dan dada yang lapang. Usahakan memberi senyuman dan layanan dengan sopan dan mesra. 

Sentiasa gerakkan hati untuk membuat kebajikan setiap hari walaupun kecil. Semua saranan yang saya nyatakan tadi melibatkan aturan fizikal. 

Jika dilakukan berulang kali, impaknya adalah kepada minda kita kerana perubahan ke arah kebaikan amat mudah apabila kita berfikir tentang manfaat atau faedah yang kita dapat. 

Sama ada bermula dengan minda atau fizikal, ianya tidak penting asalkan anda memilih untuk memulakan perubahan.


Thursday, September 02, 2021

Ilmu penyuluh hidup


Semasa kecil kita dipandu oleh ibu bapa dalam semua hal. 

Urusan pendidikan diberi perhatian oleh ibu bapa seperti sekolah pilihan, baju terbaik apabila hendak keluar rumah dan makanan yang sihat. 

Apabila kita telah dewasa, kita sendiri yang membuat keputusan. Ketika dewasa ini, kita memiliki pengetahuan dan pengalaman sebagai penyuluh jalan ke hadapan. 

Pengalaman ini sangat penting kerana membolehkan kita meneruskan perjalanan ke arah matlamat yang hendak dicapai. 

Orang yang kaya dengan pengalaman tidak mudah menyerah kalah, sebaliknya akan sentiasa mara ke hadapan. Begitu juga dengan menyelesaikan masalah. 

Orang berpengalaman boleh menggunakan banyak pilihan dan biasanya pilihan tersebut amat tepat.


Wednesday, September 01, 2021

Klasifikasi berani



Berani adalah sifat yang sangat subjektif. 

Berani boleh jadi kekuatan fizikal seperti berbadan sasa, mantap dan kuat, boleh jadi juga berani dari segi moral iaitu ketegasan pendirian, tegas menentang sikap negatif dan pemikiran tertutup ataupun bersedia memaafkan orang lain yang melakukan kesilapan. 

Dalam keadaan biasa, kehidupan normal, keberanian fizikal agak jarang diperlukan. 

Cuma bagi kes-kes yang melibatkan siasatan, kecemasan atau terpaksa sahaja digunakan keberanian fizikal ini seperti yang digunakan pasukan polis, tentera atau bomba. 

Orang yang sedang diuji dengan kesakitan fizikal berhadapan dengan kedua-dua keberanian.

Berani kerana sedia menanggung kesakitan dan berani kerana jiwa yang kuat untuk menghadapi kesengsaraan mental.