Perjalanan dari Kuala Lumpur International Airport (KLIA) 2
ke Padang, Sumatera Tengah, Indonesia mengambil
masa 50 minit. Pesawat AirAsia merentas Selat Melaka tanpa menghadapi
masalah. Masa bertolak adalah 7.50 pagi tetapi saya perlu berada di KLIA2 pada
pukul 6 pagi, manakala rakan-rakan dari Melaka bertolak jam 4 pagi.
Saya mengambil teksi Encik Rosli yang dikenali ketika
menggunakan perkidmatannya untuk ke Terminal Tambang Murah Sepang beberapa
tahun lalu. Encik Rosli pernah bekerja dengan syarikat Hitachi sebagai operator
pengeluaran selama empat tahun. DI sinilah beliau belajar budaya dan cara
bekerja orang Jepun.
Salah satu budaya kerja yang benar-benar mempengaruhi
hidupnya ialah ketepatan masa. Semasa di Hitachi, seorang penyelia bangsa Jepun
merasakan budaya pengurusan masa pekerja Malaysia tidak begitu produktif, lalu
beliau menunggu di pintu masuk tempat kerja. Dalam minggu pertama, kebanyakan
pekerja Malaysia ini beranggapan penyelia itu hanya mampu dapat mendisiplinkan
mereka hanya dalam beberapa hari, selepas itu akan berasa bosan dan jemu dengan
sikap mereka.
Namun anggapan ini meleset. Beliau masih lagi menunggu di
hadapan pintu masuk tempat kerja dan membuat pemantauan. Beliau begitu tegas.
Pekerja yang datang lewat akan dikata, “Not
good ni…” sambil menunjukkan jam tangannya.
Ungkapan “Not good ni…” terus menjadi mesej kepada
Encik Rosli untuk mempraktikkan amalan menepati masa setiap kali ada temujanji
dengan pelanggannya.
Begitu dengan saya. Selepas mendapat pengesahan akan
menggunakan perkhidmatannya, beliau mencari tempat paling hampir dengan rumah
saya untuk melelapkan mata supaya dapat datang mengambil saya sepuluh minit
lebih awal. Bagi perjalanan sehala ke KLIA2 pada pukul 5.30 pagi, bayarannya
antara RM65 hingga RM75.
KLIA2 serba selesa, mudah dan lebih canggih. Deretan kedai
makan juga banyak. Kaunter untuk check-in
juga banyak dan pantas.
Kemudahan awam seperti surau agak selesa walaupun kecil.
Bilik air ada di mana-mana.
Susun atur kaunter imigresen dan laluan ke pintu berlepas
lebih kurang sama dengan KLIA. Namun jarak dari kaunter imigresen ke pintu
berlepas, saya perlu berjalan agak jauh. Saya perlu berhati-hati melihat huruf
pintu berlepas kerana papan tanda masih belum siap sepenuhnya. Laluan ke pintu
berlepas P12 melalui laluan yang bersimpang-siur.
Jika kaunter pemeriksaan keselamatan pertama selepas cop
keluar imigresen kurang terperinci, pemeriksaan di kaunter masuk pintu
perlepasan sangat ketat. Semua aksesori pakaian yang sensitif dengan alat
pengesan perlu dibuka lebih awal. Terdapat notis yang mengingatkan penumpang
untuk membuka tali pinggang, menanggalkan jam tangan, mengeluarkan kunci atau
duit syiling dari pakaian mereka. Saya sendiri terpaksa membuka tali pinggang
dan mengeluarkan telefon pintar dari poket seluar untuk diletakkan dalam bekas
yang disediakan. Semua benda ini perlu diimbas.
Semasa melangkah masuk melalui mesin pengimbas keselamatan,
alat tersebut mengeluarkan bunyi yang menandakan terdapat bahan larangan yang
masih ada pada bahagian badan saya. Saya undur ke belakang dan cuba sekali.
Masih terdapat bunyi. Selepas diperiksa oleh petugas keselamatan, beliau
meminta saya buka kasut dan masukkan dalam bekas untuk diimbas.
Selepas iatu saya melangkah semula melalui mesin pengimbas
keselamatan dan tidak ada lagi bunyi yang dikeluarkan. Maknanya, kasut juga
perlu dibuka kerana tapak kasut yang saya pakai hari itu telah digantikan
dengan tapak baru. Tukang kasut telah melekatkan tapak yang baru ini
menggunakan paku, itulah sebabnya bunyi dikeluarkan semasa saya melintas mesin
pengimbas keselamatan.
Selepas itu saya berjalan ke balai berlepas P12 untuk
menaiki pesawat.
Penumpang dalam pesawat tidak begitu ramai. Saya ingat
majoriti adalah rakyat Malaysia yang mahu bercuti ke Bukit Tinggi sambil membeli-belah.
Ada juga sekumpulan lima orang “mat salih” yang turut serta. Rupanya mereka
hendak ber’surfing’ di Padang.
Lapangan terbang Padang lebih baik berbanding kali pertama
saya sampai pada tahun 2009 lalu. Lebih selesa, luas, dan lapang. Cuma ketika menuju
ke kaunter imigresen, barulah petugas menghulurkan borang masuk imigresen, oleh
kerana penumpang sampai serentak, terpaksalah saya mencari ruang untuk mengisi
maklumat.
Kaunter imigresen dibahagi dua iaitu satu untuk warganegara
dan satu lagi untuk warga asing. Semua penumpang warga asing yang kali pertama
masuk ke Indonesia perlu meletakkan tapak tangan di atas alat pengimbas dan
menghalakan muka ke kamera. Saya fikir tujuannya untuk rekod kemasukan. Antara
negara yang melakukan kaedah yang sama ialah China.
Selepas melepasi kaunter imigresen, ruang bagasi amat dekat,
di belakang kaunter sahaja. Itu pun hanya satu mesin. Pada masa yang sama,
borang perisytiharan kastam diberi untuk diisi. Masa mengisi juga mengambil
masa.
Bagasi yang diambil perlu diimbas sekali lagi untuk
pemeriksaan kastam. Sekali lagi saya beratur panjang. Ingatkan selepas beg
diimbas, saya boleh terus keluar tetapi tidak. Ada satu kaunter iaitu
pengesahan barang dibawa berdasarkan pelekat di tiket yang mesti sama dengan
pelekat di bagasi. Sekali lagi saya perlu melihat betul-betul pelekat untuk
diberikan kepada petugas.
Berdasarkan pengalaman kali ini, saya jangkakan proses
pelepasan penumpang sebaik sahaja turun kapal terbang sehinggalah melepasi
kaunter pelekat bagasi mengambil masa hampir setengah bagi setiap penumpang.
Bagaimanapun masa yang panjang ini agak terubat dengan layanan mesra dan
senyuman dari setiap petugas. Jika sistem yang dipraktikkan ini dapat diubah,
kepantasan masa memproses cop masuk dan pengesahan kastam ditambah, tentu
penumpang akan berasa puas hati.
Perjalanan dari lapangan terbang atau bandar udara (bandara)
ke Bukit Tinggi mengambil masa hamper dua jam. Saya singgah minum pagi di
Restoran Lamun Ombak untuk menikmati roti canai, murtabak mesir dan jus apokat.
Ingatkan roti canai sama seperti di Malaysia tetapi sangkaan saya meleset.
Roti canainya berbeza, mirip roti keping yang digoreng dan
dipotong-potong segi empat. Seolah-olah keropok kering dan ada kuah kari,
mungkin kari ayam. Murtabak mesir lebih kurang murtabak di Malaysia tetapi
kulit luar digoreng garing. Untuk pemanis mulut, restoran ini menyediakan buah
betik yang diisi dengan agar-agar di tengah lubang. Kita boleh ikut inovasi
ini.
Padang dihuni oleh masyarakat Minang yang mengamalkan adat
Minangkabau, sama seperti di Negeri Sembilan. Budaya, adat, bahasa dan makanan
tidak banyak beza. Semua maklumat berkaitan masyarakat Minang boleh diperolehi
di Pusat Dokumentasi dan Informasi Kebudayaan Minangkabau, Padang Panjang. Di
sini saya diterangkan sejarah dan asal-usul masyarakat Minang, Adat Temenggung
dan Adat Perpatih, cara hidup orang Minang dan perkembangan masyarakat Minang
dari dahulu hingga sekarang.
Bagi masyarakat Minang, reka bentuk rumah yang dibina ada
kaitan dengan keakraban keluarga, persediaan bencana dan kehalusan budi.
Contohnya, reka bentuk rumah dibina dengan tiang yang senget
dan tiang rumah diletakkan di atas batu. Sebabnya ada kaitan dengan bentuk muka
bumi Padang ini sendiri yang bergunung-ganang dan kerap kali dilanda gempa
bumi. Tiang senget untuk menstabilkan keadaan rumah ketika bergegar manakala
tiang diletakkan pada batu supaya rumah tidak gelongsor sebaliknya tiang
berpusing di atas batu ketika berlaku gempa.
Begitu juga sambungan tiang dan alang dalam rumah menggunakan
pasak, bukan paku. Kaedah ini menjimatkan kos.
Motif pada dinding luar rumah, di sekitar tiang dalam rumah
dan di tingkap ada maksud tertentu yang melambangkan ketinggian budi dan adat
Minangkabau.
Struktur bilik dalam rumah juga disusun dengan sebab-sebab
tertentu. Saya dapati setiap bilik dalam rumah bersaiz kecil. Rupa-rupanya
adalah bagi memastikan golongan lelaki keluar bekerja dan berusaha mencari
rezeki membina rumah untuk keluarga.
Di sebelah rumah ini di buat pondok kecil dengan bilangan
tiang yang berbeza. Ada tiang empat dan ada tiang sembilan. Fungsi pondok kecil
dengan tiang berbeza adalah menyimpan padi. Pondok tiang empat ada fungsi,
tiang sembilan ada fungsi yang lain. Namun, tujuan pondok ini dibina jauh dari
rumah ialah supaya ada bekalan makanan jika rumah utama terbakar.
Dari segi cara hidup, anak lelaki disuruh tinggal di masjid
apabila mencapai umur sepuluh tahun. Mereka belajr agama dan kemahiran hidup di
sini. Hal ini kerana anak lelaki perlu berusaha dan berdikari untuk meneruskan
hidup, justeru ramai anak-anak muda Minang merantau dan membina perniagaan
sendiri. Rantauan mereka ini sehinggalah ke Negeri Sembilan dengan mewujudkan
masyarakat yang berpengaruh.
Kisah masyarakat Minang dan Minangkabau boleh kita peroehi
daripada buku dan dokumen yang disimpan di perpustakaan dan juga dokumentasi
umum. Ternyata masyarakat Minang mempunyai daya fikir yang tinggi untuk masa
hadapan mereka.
Paling menarik ialah makanan yang disediakan. Sepanjang
jalan ke Bukit Tinggi, banyak restoran masakan Minang. Saya singgah di sebuah
restoran yang menjadi tumpuan. Di sini telah disediakan masakan Minang dan
konsep hias Minang.
Saya dihidangkan dengan pelbagai jenis masakan dalam piring
kecil yang bertindan lapis. Masakan ikan, ayam, daging dan sayur disediakan.
Ulam-ulaman juga ada. Semuanya sedap. Semasa kali pertama merasa nasi, rasanya
agak lain dengan nasi yang biasa dimakan.
Nasi di sini rasa lembut, agak manis dan tidak melekit
seolah-olah terasa baru kali pertama makan nasi. Kemungkinan besar nasi
dihasilkan sendiri di Padang begitu juga dengan sayur-sayuran kerana sepanjang
jalan, banyak kawasan tanaman. Semuanya kelihatan subur kerana tanah di kawasan
ini merupakan tanah subur kesan daripada muntahan lahar gunung berapi. Ciri fizikalnya
ialah berwarna hitam.
Saya singgah di sebuah bangsal kecil selepas ternampak
kincir air yang didirikan bersebelahan bangsal itu. Mengambil gambar dan
melihat bagaimana kincir air ini digerakkan. Oleh kerana ingin tahu, saya
mencari pintu bangsal ini apa yang ada di dalamnya.
Rupanya kincir air ini bukan setakat hiasan tetapi
digunakan untuk menghasilkan tepung beras. Struktur dalaman kincir angin ini
diubah suai untuk menghancurkan beras secara manual seterusnya menghasilkan
tepung. Idea lama tetapi dapat menjana pendapatan.
Saya mengambil gambar dan video keadaan dalam bangsal ini
dan proses menghasilkan tepung beras. Pengusahanya seorang lelaki bernama
Ilham, berusia 35 tahun dan masih bujang. Beliau memberitahu bahawa
perusahaannya telah dilakukan sejak tiga generasi. Maksudnya telah lama
keluarga Ilham melakukan usaha ini secara tradisi. Tepung beras menjadi
pendapatan utama untuk beliau menjana pendapatan hidup.
Beliau tidak mendapat pembiayaan dari mana-mana institusi
kewangan, tidak pernah berkursus dan tidak menyertai sebarang persatuan. Beliau
hanya tahu bekerja mencari wang dan tidak berminat dengan aktiviti komuniti.
Pendidikan Ilham hanya sekolah dasar.
Saya berhenti makan tengah hari menu Padang. Masakan Padang
berbeza kerana kita dihidangkan dengan banyak pilihan lauk dan sayur. Saya
ingat tujuh hingga sepuluh piring lauk untuk diambil. Setiap piring tidak dapat
ditambah kalau sudah habis. Tema lauk juga berubah-ubah, ada yang lebih pada
ikan atau daging tetapi sayur sangat kurang. Menu yang mesti ada ialah sambal
berlada, sama ada lada hijau atau merah.
Pekan Bukit Tinggi tidaklah sejuk kerana saya dapati penduduk di kawasan ini agak padat.
Banyak kemudahan asas yang disediakan seperti hospital, sekolah, universiti dan
hotel. Bukit Tinggi pernah menjadi ibu kota Indonesia selama dua tahun
semasa hendak membebaskan diri dari
penjajah Belanda. Justeru, bangunan dan struktur rumah di sini masih ada
pengaruh Belanda berselang-seli dengan reka bentuk moden. Tokoh terkenal di
sini ialah Mohamad Hatta.
Hotel Royal Denai menyediakan sarapan pagi pukul lapan.
Tidak banyak pilihan. Saya mencari buah-buahan untuk makan pagi ini tetapi
tidak pula dihidangkan cuma ada nasi goreng, bihun goreng, lontong, serawa
labu, kuih-muih dan telur dada. Air pilihan adalah kopi atau teh, tidak ada jus
oren atau jambu disediakan.
Saya bertolak ke Rumah Buya Hamka pagi ini. Semasa keluar
dari hotel untuk naik bas, dihadapan hotel sudah ada beberapa orang peniaga
pakaian sedang menyusun barangan mereka. Dari jauh mereka menunjukkan baju dan
kain untuk menarik perhatian. Harganya perlu diletakkan serendah-rendahnya
kerana memang harganya murah.
Sebaik-baiknya kita beli semasa bas hendak bertolak kerana
pada masa itu penjual akan menawarkan harga yang lebih kompetitif.
Melalui jalan berliku dengan 44 lekok (corner) sangat
mencemaskan. Laluan sempit dan curam menjadikan suasana lebih menyeramkan.
Laluan ke Rumah Buya Hamka penuh cabaran dan pengalaman baru.
Hari minggu merupakan hari memburu babi bagi kebanyakan
penduduk di Bukit Tinggi. Penduduk yang bekerja sebagai petani dan pekebun
biasanya memiliki anjing buruan kerana di sini tidak dibenarkan penggunaan
senjata api. Saya dapati di satu kawasan ini terdapat puluhan petani yang
berkumpul untuk sama-sama berburu.
Masing-masing memegang tali anjing dengan pakaian ala koboi.
Ada juga yang meletakkan anjing di bahagian hadapan motosikal. Kawasan yang
menjadi tempat berkumpul ini merencatkan sedikit perjalanan kerana mereka
meletakkan kenderaan di kiri dan kanan jalan.
Setiap selekoh dicatatkan nombor dan selekoh paling atas
ialah 44. Maknanya terdapat 44 selekoh. Setiap selekoh ini diletakkan penanda
pelbagai agensi yang menjadi penyumbang kepada pembangunan Indonesia seperti
bank, agensi kerajaan dan institusi kemasyarakatan. Dipacak juga papaan tanda nama-nama
Allah sebagai sebahagian daripada proses memberi ingatan kepada pemandu dan
penumpang untuk berzikir.
Keadaan selekoh sungguh tajam malahan ada yang hampir 75
darjah. Ketika inilah kecekapan pemandu diuji. Dengan kadar kelajuan hanya 30
hingga 40 kilometer sejam, saya sampai ke Rumah Buya Hamka selama dua jam
setengah.
Di selekoh 39, saya berhenti di Lake Maninjau untuk melihat pemandangan
tasik yang luas, terjadi akibat letusan gunung berapi. Ada kisah di sebalik
kejadian tasik ini iaitu berkaitan sembilan pendekar. Sekitar kawasan tempat
meninjau terdapat sebuah gerai menjual barangan cenderamata dan baju, harganya
kena tawar-menawar. Untuk menggunakan tandas, bayar Rp2000 sahaja.
Pemandangan tasik sangat indah. Sekitar tasik ini diusahakan
penanaman padi dan sayur-sayuran serta ikan sangkar. Padi ditanam menggunakan
sistem tingkat di mana air gunung digunakan untuk mengairi setiap petak sawah
padi. Terdapat juga petak sawah yang dijadikan tempat pembiakan ikan air tawar.
Saya dapati proses menanam padi tidak sekata. Ada yang baru
menanam anak semai, ada yang sedang tumbuh dan ada yang sudah menguning dan
dituai. Maknanya, petani di sini boleh mengusahakan sawah padi bila-bila masa
sepanjang tahun dan biasanya sebanya tiga kali tuaian. Penggunaan bahan-bahan
semula jadi dan keadaan tanah yang subur menjadikan rasa beras lebih enak.
Perjalanan ke muzeum rumah kelahiran Buya Hamka memang
berliku-liku tetapi di sinilah lahirnya seolang ulamak besar nusantara.
Pembiayaan muzeum yang kemas ini sebahagiannya dibiayai oleh Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) di kawasan yang aman dan damai. Di sebelahnya sedang
didirikan binaan juga sebahagian daripada muzeum ini tetapi dibiayai oleh
kerajaan Indonesia.
Dalam muzeum dipamerkan koleksi buku tulisan Hamka dan
gambar-gambar yang menunjukkan aktivitinya sepanjang hidup. Banyak juga potret
Hamka yang digantung di dinding rumah.
Terdapat sebuah bilik yang menempatkan katil tidur. Di
sebelahnya ada sejadah yang boleh digunakan oleh pengunjung untuk solat. Ada
juga sebuah kerusi antik yang digunakan oleh Hamka untuk menulis dan mentelaah.
Bertentangan muzeum terdapat sebuah rumah yang menjual
koleksi buku berkaitan Hamka seperti yang ditulis oleh anaknya, Irfan Hamka
yang bertajuk “Ayah”. Harganya lebih kurang Rp50,000. Buku ini sangat menarik
kerana banyak menggunakan bahasa Melayu dan cara penulisan yang ringkas.
Prinsip Hamka ialah tidak menyalahkan seseorang sebaliknya
meletakkan sangkaan baik. Contohnya jika dikatakan seseorang itu tidak solat,
bagi Hamka bukannya orang itu tidak mahu bersolat tetapi belum bersolat.
Mungkin sekejap lagi dia akan bersolat. Saya rasa kaedah berfikir seperti ini wajar
ada dalam diri pendakwah.
Sebelah rumah ini ada gerai jualan kecil. Ia diusahakan oleh
Pak Zaini yang berumur 78 tahun bersama isterinya. Mereka berdua menjual
sandal, cenderamata, baju-t dan kraftangan (bahasa Indonesia digelar kerajinan
tangan).
Selapas melawat rumah Hamka, saya bergerak ke Rumah Puisi
dan Rumah Kebudayaan di “The are angek cottage”. Puisi yang ditulis oleh Taufik
sangat banyak dan dijadikan koleksi kerana mempunyai maksud dan makna yang kuat
untuk peradaban Indonesia. Kewujudan rumah seperti ini secara tidak langsung
mengenengahkan kekuatan puisi sebagai elemen perpaduan dan nasionalisme.
Dalam ruangan rumah, digantung potret pemimpin-pemimpin
besar Indonesia dan pemimpin yang ada kaitan dengan Indonesia seperti Barack
Obama. Idea potret ini sangat menarik kerana ia memberi gambaran bahawa Indonesia
memiliki barisan kepimpinan yang hebat.
Di Rumah Puisi hanya sekejap lalu saya bergerak ke pasar
untuk mencari kain kapas untuk dibuat baju kurung dan baju batik. Pilihan corak
yang dengan harga yang murah. Saya dapat membeli empat meter kain kapas dengan
harga Rp120,000 sahaja atau RM40 manakala kain kapas batik dengan harga
Rp160,000 atau RM53. Kedai kepunyaan Pak Hadi ini terletak di aras dua
berhampiran Plaza Bukit Tinggi. Beliau dan isteri kerap ke Malaysia menghadiri
ekspo dan makan angin. Ramai pelanggannya datang dari Malaysia.
Di hadapan plaza ini memang menjadi tumpuan orang ramai pada
hari minggu. Pelbagai jenis barang yang dijual oleh anak-anak muda seperti beg
kertas, alat mainan, gelang nama, pakaian, pertunjukan binantang (ular sawa) dan
makanan.
Bertentangan dengan kawasan ini adalah Istana Bung Hatta.
Bung bererti saudara. Bung Hatta memang terkenal di Indonesia dan beliau
merupakan anak jati Bukit Tinggi, Padang.
Selepas penat berjalan, saya singgah di Restoran Sederhana,
masih lagi masakan Minang. Kali ini temanya ialah ikan, jadi semua lauk adalah
ikan.
Hari ketiga di Bukit Tinggi, saya bergerak ke Lobang Jepang
iaitu sebuah kawasan sejarah yang berkaitan penjajahan Jepun di Bukit Tinggi.
Lubang ini mengandungi sebelas tempat iaitu pintu masuk, ruang amunisi
(penyeksaan), pintu pelarian, berek askar Jepun, ruang sidang, ruang makan,
penjara, dapur, pintu penyergapan, pintu keluar dan pintu penghubung.
Pengunjung dibawa masuk ke dalam lubang atau lebih tepat
lagi adalah gua oleh dua orang petugas. Saya dibawa masuk oleh Fitris, berusia
41 tahun, orang tempatan dan mempunyai dua orang anak. Anak pertama berumur empat
tahun dan kedua baru hampir dua bulan. Kedua-dua anaknya adalah perempuan.
Di dalam gua, binaan asal dikekalkan, penambahan yang dibuat
ialah membesarkan ruang masuk untuk laluan pengunjung. Ruang asal lebih kurang
lima kaki, hanya muat untuk berdiri.
Bahan binaan terdiri daripada pasir dan batu yang dikerjakan
oleh ribuan buruh paksa. Tidak tahu berapa bilangannya tetapi jumlah tentulah
ramai kerana ia disiapkan dalam tempoh dua tahun lapan bulan. Buruh diperolehi
secara paksa dan dibawa ke sini melalui beberapa ruang. Ramai yang mati dan
dikuburkan di situ juga. Buruh yang sakit dimasukkan ke ruang khas dan dikurung
sehingga mati. Proses mengorek lubang gua agak unik kerana tanah yang
dikeluarkan tidak dapat dikesan oleh penduduk tempatan. Dikatakan tanah
berkenaan dibuang ke laut kerana lubang itu berakhir di pantai.
Fitris mengatakan terdapat banyak lubang gua di sekitar
Bukit Tinggi ini yang dibuat oleh Jepun. Teknologi yang digunakan juga canggih
kerana gua ini tidak dipenuhi air, tidak panas dan tidak dapat dikesan. Lubang
angin menghalang kepanasan, begitu juga air digunakan untuk menghilangkan asap.
Dinding gua dibina lekuk demi lekuk untuk mengelakkan gema.
Struktur binaan dapat menampung gempa sehingga lapan skala Richter, justeru
semasa gempa besar tahun 2007, gua ini masih tahan dan tidak ada kerosakan
ketara. Sebaliknya bertentangan denga gua ini terbentuk “canyon” besar yang
dapat dilihat dengan jelas. Gempa bumi menyebabkan bukit terbelah dan terbentuk
celahan yang besar.
Sebelum balik, saya berbual-bual dengan Fitris tentang
kerjanya. Dalam sebulan beiau memperoleh lebih sejuta rupiah. Penddidikan setakat
sekolah dasar tidak dapat membantunya pergi lebih jauh atau menambah
pendapatan. Tambahan pula kerja sebagai petugas pelancong sepertinya tidak
mendapat peluang menambah pengetahuan atau kemahiran kerana beliau sendiri
tidak pernah menghadirkan diri dalam kursus atau program peningkatan kerjaya.
Beliau juga tidak melibatkan dalam persatuan apatah lagi
menjadi sebahagian daripada jaringan sosial komuniti setempat kerana sudah
tentu berfikir tentang menambah pendapatan keluarga.
Sebelum beredar saya menghulurkan sumbangan untuk anaknya
yang baru lahir dan berdoa semoga Allah swt memberkatinya dengan rezeki yang
banyak.
Destinasi seterusnya ialah Istana Pagar Ruyung, sebuah
replika istana yang dibanggakan oleh masyarakat Minang. Istana asal telah
terbakar pada tahun 2007 akibat petir. Istana yang baru ini sebahagiannya
dibiayai oleh kerajaan Negeri Sembilan bagi memastikan warisan Minangkabau
terpelihara.
Pengunjung diminta membuka kasut dan meletakkannya di dalam
beg palstik yang disediakan. Cara ini menyebabkan ruang tangga lebih kemas.
Alasan membuka kasut dan menyimpan dalam beg plastik ialah supaya kasut tidak
hilang. Secara tidak langsung pengunjung diminta membayar perkhidmatan ini
dengan memasukkan rupiah ke dalam tabung yang disediakan.
Untuk masuk ke sini, pengunjung dikenakan bayaran dan untuk
naik ke rumah juga, secara teknikalnya perlu membayar.
Jika berkumpulan, jurufoto sambilan akan memujuk kita untuk
bergambar beramai-ramai dengan sekeping gambar dijual RM10 sekeping.
Keadaan istana amat menarik. Susunan ruang dalaman seperti
rumah gadang cuma di sini lebih warna-warni dan hidup. Di hadapan setiap bilik diletakkan barangan
istana seperti keris, tengkolok dan arca lama. Barangan yang terjejas semasa
kebarakan turut dipamerkan.
Di kawasan istana ini disediakan surau dan bilik air.
Petugas surau dan bilik air hari ini ialah Pak Anuar, berusia 64 tahun dan
merupakan anak tempatan. Beliau bekerja di situ sudah 30 tahun. Walaupun
mempunyai kerja seperti petani, beliau masih bekerja di situ.
Anuar memiliki dua orang anak perempuan yang telah
berkeluarga. Seorang tinggal di Batam dan seorang lagi di Pagar Ruyung. Beliau
tidak pernah ditawarkan kursus peningkatan kerjaya seperti ilmu pengetahuan
atau kemahiran. Jadi, kehidupan Pak Anuar tidak ke mana. Dia juga tidak tahu
bagaimana menggunakan internet, website dan
e-mel.
Tak mengapalah, kita tinggalkan Anuar dengan kehidupannya.
Seterusnya saya bergerak ke Lembah Anai, kawasan air terjun
yang tinggi. Kedudukannya di tepi jalan memudahkan pengunjung datang ke sini.
Masuknya juga berbayar. Pada saya tidak masuk pun tidak ada masalah.
Sepanjang jalan berhampiran air terjun ini didirikan gerai
cenderamata. Saya singgah untuk mencari beg telekung. Ada satu jenis yang
menarik, Pengusaha kedai ini seorang wanita tempatan yang telah berniaga selama
enam tahun. Beliau menawarkan harga beg tersebut dari Rp150,000 kepada
Rp125,000 tetapi saya minta diturunkan kepada Rp120,000 (RM40). Oleh kerana
hendak cepat, saya dapat apa yang saya minta.
Kembali ke Padang untuk makan malam di kedai ikan bakar.
Ternyata ikan bakar adalah asli. Isi ikan terasa lembut dan manis. Kami
dihidangkan sepinggan seorang ikan bakar bersama sotong dan udang. Jus apokat
sentiasa menjadi keutamaan saya untuk dipesan.
Saya bermalam di HW Hotel, sebuah hotel baru dengan
kedudukan yang menghadap laut. Biliknya agak ringkas tetapi kemas.
Kesempatan di hari terakhir di Padang, saya mengadakan
lawatan ke Universitas Andalas untuk melilhat peluang-peluang dalam akademik
dan penyelidikan. Banyak isu yang dibincangkan dengan ahli akademik di sana
yang boleh diketengahkan untuk manfaat masyarakat Malaysia dan Indonesia.
Berkunjung ke Bukit Tinggi dan Padang menjadikan saya lebih
insaf dengan kemajuan yang saya nikmati di Malaysia. Jika dibandingkan keadaan
pembangunan dan masyarakat Padang dan Malaysia, saya boleh katakan pembangunan
di Padang jauh 20 atau 30 tahun di belakang. Malahan di sesetengah tempat
mungkin 50 tahun.