|
Belajar di universiti menjadi harapan setiap pelajar |
oleh Norliah Kudus
Baru-baru ini, kejayaan para pelajar yang membanggakan
dalam keputusan ujian SPM dan STPM turut dikongsi bersama seluruh warga Melaka
dan Malaysia. Tahniah, penulis ucapkan kepada semua pelajarpelajar yang telah berjaya di dalam keputusan tersebut
dan buat yang tidak berjaya janganlah putus asa.
Apa yang menarik ingin penulis kongsikan
seperti yang terpapar kejayaan para pelajar dalam akhbar-akhbar utama tanah
air. Malah turut berkongsi kejayaan pelajar-pelajar ini termasuk para guru
serta ibu bapa mereka. Penulis merasa sejuk hati dan sungguh teruja membaca
kisah di sebalik kejayaan dan kesungguhan mereka yang mendapat keputusan
cemerlang.
Pertamanya, melalui keputusan SPM dan
STPM yang telah diumumkan minggu lepas, marilah kita sebagai ibu bapa
mengucapkan TERIMA KASIH buat semua guru-guru Malaysia kerana telah mendidik
dan membimbing anak bangsa kita ke arah kejayaan yang terbilang.
Buat para pelajar pula marilah kita
ucapkan TERIMA KASIH CIKGU. Ini adalah ungkapan signifikan dari murid kepada
guru atau dari ibu bapa kepada para guru sebagai tanda penghormatan dan
penghargaan bermakna dalam mencurahkan kepayahan dan keperitan mendidik,
membimbing, memecahkan kegelapan dan kejahilan yang menyelubungi pemikiran dan
hati para pelajar sehingga berjaya.
Penulis amat bersetuju
bahawa guru juga diibaratkan seperti sebatang lilin, sanggup membakar diri
untuk menerangi sekelilingnya. Sumbangan dan jasa guru begitu banyak sekali. Kalau
tanpa guru mungkin tidak akan lahirnya seorang
doktor, pensyarah, jurutera, peguam, hakim, wakil rakyat, Perdana Menteri,
negarawan ulung dan banyak lagi.
Begitu juga marilah para pelajar ucapkan TERIMA
KASIH IBU AYAH, yang mana mereka juga telah banyak bersusah payah memastikan
kejayaan itu adalah milik kita bersama. Bagi pelajar yang tidak berjaya jangan
putus asa, anggaplah ia sebagai satu ujian dan cabaran untuk mengecapi kejayaan
pada masa hadapan.
Jom Masuk U
Karnival Pengajian Tinggi
2013 anjuran Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diadakan di selurh negara.
Baru-baru ini juga ianya telah dianjurkan di MITC, Ayer Keroh juga merupakan contoh
perkongsian maklumat berkaitan kelestarian ilmu yang terbaik dan telah mendapat
sambutan di kalangan pelajar sekolah serta menjadi pilihan ibu bapa.
Dengan tagline “JOM
MASUK U” bertema ‘Impian Ke Menara Ilmu’ ini adalah merupakan Program Turun
Padang KPT yang berkonsepkan mesra rakyat ini adalah sebagai menyahut seruan
kerajaan dengan meletakkan pembangunan modal insan salah satu daripada empat
strategi utama dalam membangun negara melalui pendidikan tinggi.
Bagi penulis Karnival
Jom Masuk U ini juga bertujuan untuk mendedahkan kepada kumpulan sasaran
seperti pemohon, ibu bapa, guru dan komuniti setempat mengenai maklumat terkini
dan program pengajian terbaru yang ditawarkan oleh semua IPT di negara ini.
Dalam masa yang sama
juga program ini juga disi dengan slot Forum Halatuju Lepasan SPM/STPM, Khidmat
Kaunseling dan Kerjaya yang bertujuan untuk mendidik dan memupuk pelajar, guru
dan ibu bapa serta komuniti setempat tentang peranan masing-masing di dalam
memastikan tempat pengajian terbaik di IPT dalam negara.
Modal insan yang mahu
dilahirkan oleh negara kita ialah mereka yang mempunyai pengetahuan tinggi,
berkemahiran, inovatif, memiliki jatidiri, berterika, terlatih serta mempunyai
minda kelas pertama. Tema ini juga menunjukkan keprihatian KPT untuk sama-sama
mendukung hasrat kerajaan melahirkan modal insan yang cemerlang dan bersifat
glokal.
Memetik juga hasrat yang pernah diutarakan oleh
Y.A.B Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam, ‘agenda kecemerlangan bangsa adalah satu
gagasan besar yang melibatkan pelan tindakan untuk menjadi hebat dalam
pendidikan, kuat ekonomi, mantap dalam aspek sosial dan terbilang di pentas
dunia’.
Ini termasuk juga hasrat para ibu bapa yang
mahukan anak-anak mereka melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi
dengan harapan anak-anak mereka nanti adalah merupakan generasi pewaris yang berjaya dan berkerjaya
pada masa akan datang.
Transformasi
Glokal
Penulis juga pernah mendapat inspirasi dari
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin untuk berkongsi
pengalaman dan kepakaran sebagai akademia melalui penerbitan beberapa buah buku
hebat dalam menjayakan agenda transformasi pembangunan mahasiswa negara melalui
penulisan buku-buku bertajuk “Pelaksanaan Kemahiran Insaniah Di IPT”,
“Kemahiran Insaniah: 7 Citra Unggul Mahasiswa” dan terkini buku bertajuk
“Refleksi Kecemerlangan : Permata Hati Ayah Bonda” yang telah diterbitkan oleh
Penerbit UTeM.
Ini
termasuk buku yang bakal diterbitkan oleh penulis bertajuk “Refleksi Kejayaan :
Mengangkasa Impian Ke Menara Ilmu” akan turut berada di pasaran tidak lama lagi
khas buat tatapan para pelajar, ibu bapa dan seluruh masyarakat yang mencintai budaya
ilmu.
Penulis
percaya bahawa di IPT ini juga para pelajar akan dapat membawa satu transformasi
dalam membangunkan pelbagai potensi diri mereka dengan penglibatan dan
pengembangan diri meliputi kemahiran berinteraksi, berkomunikasi, kepimpinan
serta berorganisasi.
Di
IPT inilah juga bakat digilap dan ditajamkan segala macam kemahiran termasuk kemahiran
insaniah atau kemahiran generik. Hasilnya akan memberi perbezaan diri
mereka dengan kelompok pelajar yang hanya mengembangkan dapatan ilmu, tetapi
kurang dalam aspek skill development yang menyebabkan mereka nanti tidak boleh dipasarkan apabila menembusi
persaingan kerjaya.
Bagi penulis juga di universiti inilah juga para
pelajar akan dapat melengkapkan diri dengan input-input yang positif dan
berpaksikan mencintai kebijaksanan dan kecemerlangan. Di sini juga para pelajar dapat membangunkan
pelbagai potensi diri mereka dengan penglibatan dan pengembangan diri meliputi
kemahiran berinteraksi, berkomunikasi, kepimpinan serta berorganisasi.
Kejayaan dan pencapaian dalam mencintai hikmah
atau kebijaksanaan (to love wisdom) ini amat penting untuk direkodkan kerana
ianya berkait rapat di dalam menobatkan jatidiri generasi muda dengan
pembangunan modal insan yang dilahirkan oleh universiti.
Universiti
Pilihanku
Penulis yakin bahawa di Melaka kita mempunyai beberapa universiti yang
mempunyai program pengajian yang hebat dan terbaik seperti Universiti Teknikal
Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Multimedia
Melaka, Open University Melaka dan MCET UniKL Alor Gajah.
Ini termasuk beberapa institusi pengajian tinggi lain yang menawarkan
pengajian yang terbaik kepada lepasan SPM dan STPM seperti Kolej Universiti
Islam Melaka (KUIM), Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM), Kolej
Antarabangsa Sains dan Teknologi Melaka (MiCOST), Kolej Antarabangsa DMDI,
Kolej RISDA, Kolej Stamford Politeknik, Kolej Komuniti dan banyak lagi.
Dari sudut perkembangan ekonomi negara, KPT juga telah
menetapkan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan
pendidikan di rantau ini. Kita perlu berbangga dengan perkembangan pengajian
tinggi dalam negara ini yang sudah menjangkau sebanyak 20 buah IPTA. Malah kerajaan
juga menggalakkan pendemokrasian pendidikan tinggi melalui penubuhan IPTS
dengan tujuan membuka peluang dan ruang pendidikan untuk semua rakyat.
Penulis juga yakin bahawa universiti atau
institusi pengajian tinggi (IPT) ini juga dapat dilihat sebagai satu organisasi
yang melambangkan keunggulan kepada apa yang dimaksudkan dengan institusi
pengajian tinggi. IPT ini juga merujuk
kepada suatu tempat untuk ahlinya memaksimakan pembelajaran mereka, potensi dan
juga pencapaian organisasi itu sendiri.
Penulis yakin bahawa objektif dan peranan
universiti adalah untuk melahirkan siswazah yang bekelayakan tinggi dalam
bidangnya, menghasilkan siswazah yang bersedia untuk pembelajaran sepanjang
hayat, menghasilkan siswazah yang boleh berkomunikasi dengan berkesan dalam
persekitaran berkumpulan, meluaskan pengetahuan berdasarkan kepada bidangnya
untuk memenuhi keperluan masyarakat dan mengembangkan pengetahuan berterusan
melalui pendidikan, bengkel dan seminar.
Penulis juga bersetuju bahawa bagi sesetengah
remaja atau pelajar yang menggunakan masa cuti sekolah ini atau tempoh menunggu
keputusan peperiksaan ini dengan bekerja secara sambilan. Buat para pelajar
anggaplah ianya sebagai persinggahan bagi mendapatkan sedikit pengalaman dan
cabaran untuk mempertingkatkan kerjaya diri. Janganlah terlalu leka mengejar
wang ringgit sehingga boleh melalaikan tugas sebagai pelajar.
Selagi ada kekuatan dan keinginan, teruskan
usaha murni ini untuk mengejar dan mencari peluang untuk mempertingkatkan ilmu.
Yang bulat tidak datang bergolek dan yang pipih tidak datang melayang. Individu
yang berjaya mempunyai prinsip diri yang kuat dan keazaman yang utuh.
Akhir bicara, kepada mereka yang berjaya
diharapkan usaha murni pelajar ini akan berkekalan dan bakal beroleh tempat
pengajian yang terbaik sama di IPTA atau IPTS dalam dan luar negara. Di doakan pelajar-pelajar
semuanya akan menempa kejayaan yang lebih besar dan mencontohi kecemerlangan
mereka yang telah berjaya. Malaysia
Boleh, Anda Boleh. Jom Kita Masuk
Universiti.
*Penulis adalah pensyarah kanan dan perunding motivasi, Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka.