Monday, October 07, 2019

Duit syiling Brunei





Duit syiling di Brunei terdapat dalam bentuk 50 sen, 20 sen, 10 sen, 5 sen dan 1 sen. Semuanya mempunyai wajah Sultan Brunei iaitu Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan pelbagai motif di sebelahnya.

Motif-motif ini menunjukkan budaya Brunei yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat. Syiling 50 sen menunjukkan jata negara iaitu dua tangan yang sedang berdoa dan gabungan unsur perlambangan kedaulatan Brunei iaitu bendera, payung diraja, sayap dan bulan sabit. Jata ini telah digunakan sejak tahun 1940.

Terdapat tulisan jawi yang bermaksud 'Sentiasa membuat kebajikan dengan petunjuk Allah' dan 'Brunei Darussalam'.

Duit syiling 1 sen memaparkan gambar payung di raja. Ia berwarna keemasan dan kelihatan besar. Manakala syiling 10 sen dan 20 sen memaparkan motif khusus yang jarang diketahui sebagai pendekatan paling mudah bagi masyarakat masyarakat luar untuk mengetahui lebih lanjut tradisi kebruneian.

Saturday, October 05, 2019

Beribi 'Auto City'








Di kawasan perindustrian Beribi, deretan bilik pameran kereta disediakan kepada bakal pelanggan yang mahu memilih kereta idaman. Antaranya jenama Ford, Nissan dan Mitsubishi manakala di sebelah jalan pula ada jenama Jaguar. Jenama Renault dan Proton berada agak jauh dari deretan ini. 

Bilik pameran kereta dari Korea Selatan, Hyundai terletak bersebelah stesen minyak Taib. Bilik pameran kereta berjenama Audi dan Porche berada di bahagian dalam kawasan ini iaitu bertentangan dengan pejabat surat khabar Borneo Bulletin dan Media Permata. 

Sejak 20 tahun lalu, kawasan ini menjadi tumpuan masyarakat Brunei untuk membeli kereta yang relatifnya lebih murah. Data dari Sekretariat ASEAN tahun 2005 hingga 2017 mencatatkan Brunei adalah negara paling banyak memiliki kenderaan berbanding nisbah penduduk iaitu 971 kenderaan berbanding 1000 penduduk. 

Umumnya jalan raya diisi oleh kereta import pelbagai jenis seperti Toyota, Nissan, Mazda, Hindari atau Kia. Jenama yang popular ketika ini adalah Suzuki yang memberikan pelbagai pilihan saiz kereta. 

Oleh kerana jumlah kenderaan semakin bertambah, jalan raya menghala ke arah pusat bandar sentiasa sesak ketika waktu puncak sebelah pagi dan petang. 

Laluan Kilanas ke Sengkurong dan Berakas ke  Serusop atau Lambak Kanan mengambil masa lebih lama untuk kenderaan bergerak pada waktu puncak. Jika tidak banyak laluan alternatif dibuka, keadaan laluan sedia ada dijangka bertambah sesak.


Wednesday, October 02, 2019

Pasar raya penuhi keperluan







Pasar raya besar di Brunei adalah Hua Ho, Supa Save, First Emporium, Sim Kim Huat, Soon Lee, Jaya Hypermart dan Milimewah. Di samping pasar raya besar ini terdapat puluhan pasar raya kecil dan sederhana yang dibuka sepanjang jalan. 

Tumpuan ketika ini ialah di Gadong, Kiulap, Serusop dan Tanjung Bunut. Pasar raya besar ini memenuhi keperluan masyarakat Brunei yang semakin bertambah seiring dengan peningkatan penduduk. Ia memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan khususnya golongan remaja dan lepasan sekolah untuk mencari pengalaman kerja.

Namun begitu, kita akan dapati masih ramai pekerja dari Filipina, Thailand atau Malaysia yang bekerja sebagai penjaga kaunter dan pekerja am seperti pencuci, buruh dan penjaga stor. Manakala rangkaian pasar raya kecil dan sederhana, ia dikuasai oleh pekerja-pekerja dari India. 

Saya merasakan terdapat pertambahan bilangan kedai runcit yang dioperasi oleh pekerja India apabila melalui Jalan Tutong ke Sengkurong dan melalui jalan-jalan ke Mulaut, Kilanas, Bengkurong atau Limau Manis.

Biarpun kedai-kedai ini kecil, ia mengambil pekerja dari India walaupun ada sebilangan kecil yang mengambil pekerja tempatan. Faktor utama pekerja India menjadi pilihan adalah kos upah yang murah kerana majikan menyediakan tempat tinggal dan makanan.

Tuesday, October 01, 2019

Beradab dengan lagu kebangsaan







Warganegara yang patriotik menjadi kebanggaan negara. Aspek patriotik ini ditunjukkan melalui simbol seperti mengibarkan bendera di hadapan rumah, meletakkan bendera kecil di kereta atau berdiri tegak ketika lagu kebangsaan dimainkan.

Patriotisme dan nasionalisme mempunyai maksud yang berbeza. Patriotisme adalah perasaan sayang, pengabdian dan rasa terikat kepada negara yang dikongsi bersama-sama dengan orang lain. Keterikatan ini boleh jadi kombinasi pelbagai perasaan yang merujuk kepada tanah air termasuk bangsa, budaya, politik atau sejarah. Ia bermaksud pengabdian kepada tempat dan hidup tertentu yang mana seseorang percaya ia merupakan yang terbaik di dunia tetapi tidak ada keinginan untuk memaksa orang lain mengikut idea tersebut.

Nasionalisme pula tidak dapat dipisahkan daripada keinginan untuk berkuasa. Setiap orang nasionalis berusaha mendapat lebih banyak kuasa dan prestij untuk negaranya (Orwell, 1953).

Apabila seseorang warganegara memiliki sifat patriotisme, beliau akan menyayangi negara dan ditunjukkan melalui sumbangan kepada negara atau mengibarkan bendera negara.

Sebenarnya banyak kaedah yang boleh diguna pakai untuk menunjukkan patriotisme kepada negara. Antaranya ialah berdiri semasa mendengar lagu kebangsaan, mendaftar nama sebagai pengundi, mengikut peraturan, undang-undang dan membayar cukai serta memahami hak, kebebasan dan tanggungjawab yang termaktub dalam perlembagaan.

Menyentuh soal adab ketika mendengar lagu kebangsaan, seseorang warganegara mesti menunjukkan adabnya apabila lagu kebangsaan dimainkan lebih-lebih lagi dalam majlis yang dirancang seperti majlis perhimpunan, keraian atau sebelum perlawanan bola sepak di stadium.

Adab ini wajar dididik ketika masih kecil supaya sepanjang proses membesar mereka dapat memahami kepentingan menjadi warganegara yang beradab dan sayang kepada negara.

Apabila anak-anak menjadi dewasa dan berkeluarga, mereka akan mendidik generasi muda menjadi seorang warganegara beradab di dalam negara berdaulat.

Justeru tindakan sekumpulan warganegara Malaysia di Sarawak yang tidak berdiri sebagai tanda hormat lagu kebangsaan boleh dikatakan sebagai tidak beradab dan tidak patriotik biarpun pelbagai alasan diberikan. Mereka menunjukkan contoh kebiadapan seorang waganegara yang tidak sayang kepada negara sendiri. Perbuatan mereka harus dihukum supaya menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia yang sayang kepada negara.


Rujukan

Orwell, G. (1953). Notes on Nationalism. Diakses dari http://www.orwell.ru/library/essays/nationalism/english/e_nat