Tuesday, December 24, 2024

Mengatasi krisis imej dalam pengurusan konflik

Baru-baru ini heboh tentang kematian seorang bayi yang dikebumikan selepas 16 hari disimpan dalam peti sejuk mayat di sebuah hospital bersalin di Klang, Selangor. Bapa bayi berkenaan dibenarkan mengambil jenazah anak dan isterinya selepas membayar sejumlah baki wang yang dikenakan yang sebahagiannya disumbangkan oleh seorang dermawan yang bersimpati dengan keluarga ini.

Penderma berkenaan kekal misteri sehingga sekarang.

Hospital bersalin tersebut telah mengeluarkan pemberitahuan kepada masyarakat awam berkenaan isu ini. Penjelasan yang dikeluarkan tidak menyentuh soalan yang menjadi pertanyaan iaitu ‘kenapa perlu menyimpan jenazah selama 16 hari?’

Kejadian ini menarik perhatian banyak pihak termasuk kerajaan Selangor dan Kementerian Kesihatan Malaysia sendiri. Mereka juga ingin mengetahui kisah sebenar bagaimana ia bermula dan bagaimana yang berakhir.

Namun, selepas mendapat laporan, pihak polis telah memulakan siasatan yang melihat dari pelbagai sudut.

Ketika sesi siasatan dan pembongkaran kes ini berlaku, orang ramai telah maklumkan nama hospital tersebut. Lalu muncul ajakan untuk orang ramai memboikot perkhidmatan yang disediakan. Di sinilah bibit-bibit awal kemerosotan imej sesebuah organisasi penyedia perkhidmatan kesihatan jika tidak bijak menguruskan konflik yang sedang berlaku.

Imej yang diulang-ulang ini membina persepsi yang dapat merosakkan apa saja yang dikaitkan dengan organisasi seperti kakitangan dikeji, ruangan komen di media sosial dipenuhi kata-kata makian dan gambar pemilik didedahkan. Antara ulasan yang banyak dikongsi adalah ‘kejam’, ’zalim’, ’tiada perikemanusiaan’.

Pengguna yang pernah mendapatkan permatan di hospital ini turut berkongsi pengalaman masing-masing yang rata-ratanya tidak berpuas hati.

Memusnahkan reputasi sesebuah organisasi adalah lebih mudah daripada membina. Kegagalan menangani konflik dan kecaman akan mempercepat kemerosotan imej dan pemecahan kepercayaan. Mengguna pakai kaedah sendiri untuk berhadapan dengan konflik dari pelbagai arah hanya mengundang kemusnahan imej.

Bagi mengurangkan imej yang semakin tercalar, organisasi wajar mengguna khidmat syarikat profesional dalam perhubungan awam untuk membantu mengurus konflik yang dihadapi. Mereka dapat membantu organisasi untuk menggunakan teknik yang berkesan bagi menghadapi krisis dengan lebih baik, merapatkan jurang perbezaan pendapat dan membina kembali hubungan yang keruh dengan oramg ramai.

Syarikat seperti ini juga dapat membantu organisasi menyediakan siaran media yang lebih berkesan terutama dalam memilih perkataan dan pembinaan ayat yang dapat memberi kefahaman kepada orang ramai.

Semua tindakan ini bagi memenuhi objektif iaitu pengurusan mengurangkan kemerosotan imej dan memastikan organisasi mempamerkan sifat bertanggungjawab.

Orang ramai akan menghormati mana-mana organisasi jika tindakan-tindakan yang menyalahi nilai moral masyarakat diakui dan berjanji untuk mengambil tindakan yang lebih berperikemanusiaan supaya tidak berulang pada masa hadapan.

Terdapat kajian kes yang berlaku di melibatkan hospital dan pesakit. Salah satunya berlaku di Guangdong, China yang melibatkan pertikaian antara pesakit dan hospital. Penyelesaian yang dilakukan adalah melalui mediasi iaitu bentuk penyelesaian tanpa melalui proses perbicaraan penuh yang diiringi faedah-faedah tertentu. Proses mediasi ini berjaya menyelesaiakan pertikaian dan memberikan pampasan yang adil. Selepas selesai, kedua-dua pihak dapat mengendurkan ketegangan dan memberikan kepuasan kepada pihak-pihak yang bertikai.

Reputasi organisasi sangat penting dalam bisnes berorientasi perkhidmatan. Testimoni kepuasan pelanggan yang diberikan dapat mempengaruhi bakal pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan yang ditawarkan. Di sini, kemahiran mengurus adalah yang sangat diperlukan.

Strategi Mediasi yang Berkesan dalam Konflik

Untuk mediasi konflik yang berkesan, penyedia perkhidmatan kesihatan boleh menggunakan pelbagai strategi bagi memudahkan komunikasi yang produktif dan penyelesaian masalah secara kolaboratif.

Salah satu strategi yang berkesan ialah penggunaan teknik mendengar secara aktif. Hal ini melibatkan penumpuan dan perhatian penuh terhadap kebimbangan dan perspektif semua pihak yang terlibat dalam konflik. Dengan mendengar secara aktif, penyedia perkhidmatan kesihatan dapat mengiktiraf perasaan dan pengalaman setiap pihak yang boleh membantu meredakan ketegangan dan menggalakkan empati.

Strategi lain ialah menggalakkan komunikasi yang terbuka dan jujur. Mewujudkan persekitaran yang selamat dan bebas daripada penilaian rawak, di mana setiap pihak berasa selesa untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka adalah sangat penting. Tindakan ini boleh dicapai melalui pertemuan secara berkala atau perbincangan yang dimudah cara. Dengan menggalakkan dialog terbuka, penyedia perkhidmatan kesihatan dapat mengenal pasti isu asas dan bekerja ke arah penyelesaian yang menguntungkan semua pihak.

Selain itu, memupuk semangat kerjasama sangat penting dalam menguruskan konflik ini. Memberi penekankan kepada kepentingan kolaborasi dan menonjolkan matlamat dan nilai bersama pasukan harus menjadi keutamaan pihak yang terlibat. Dengan memupuk rasa perpaduan dan tujuan bersama, individu lebih cenderung untuk bekerjasama dalam menyelesaikan konflik dan mencapai hasil yang positif.


Rujukan

https://esoftskills.com/healthcare/case studies on successfully resolved inter-team conflicts in healthcare settings—healthcare online training

Thursday, December 19, 2024

Kejatuhan Bashar al-Assad: Era baharu Syria di bawah kepimpinan HTS


Kerajaan Bashar al-Assad di Syria telah tumbang. Beliau sekeluarga dilaporkan telah melarikan diri meninggalkan tentera kerajaan yang setia kepadanya. Bandar-bandar utama seperti Aleppo dan Hom telah dikuasai oleh pasukan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) yang menentang kezaliman dan ketidakadilan sejak lebih sedekat yang lalu. Kepimpinan HTS, Ahamd al-Sharaa atau lebih dikenali dengan nama Abu Mohammed al-Jolani menegaskan kekuasaan Bashar telah berakhir dan penderitaan rakyat Syria telah sampai ke penghujung.

Pertempuran telah sampai ke kemuncak penentangan pada tahun 2011 apabila kerajaan Bashar mengambil pendekatan yang keras ke atas kanak-kanak yang membantahnya ketika itu. Semenjak itu, pengeboman berterusan telah memusnahkan bandar dan penduduk melarikan diri. Suasana ini mengundang kemasukan kuasa-kuasa besar untuk mengekalkan kerajaan Bashar khususnya Rusia, Iran dan Hizbullah.

Seterusnya tentera Amerika Syarikat dan Turkiye masuk ke Syria untuk menyokong kelompok yang berpengaruh menjadikan keadaan politik di kawasan itu tidak seimbang.

Penguasaan HTS ini menjadikan konflik di Timur Tengah kembali memanas dan semakin kompleks kerana tidaktentuan politik yang boleh mencetuskan pertempuran baharu. Ketakutan puak-puak yang berkepentingan dalam menghadapi kemaraan pasukan penentang menjadikan kawalan ke atas kawasan-kawasan pertempuran semakin mencengkam.

Dua negara yang menyokong kerajaan Bashar iaitu Rusia dan Iran telah menggerakkan aset ketenteraan menjauhi kawasan utama pertempuran supaya tidak jatuh ke tangan pasukan HTS. Iran membawa keluar diplomat dan pegawai kedutaan dari Damsyik.

Hilangnya penguasaan dan pengaruh Rusia dan Iran ke atas Bashar menandakan berakhirnya satu dominasi kuasa utama yang menjadi proksi Syria sejak beberapa tahun lalu. Pentadbiran kerajaan baharu sudah tentu akan melenyapkan pengaruh kedua-dua negara ini dan juga negara-negara lain.

Kebebasan yang dinikmati ketika ini akan mengundang keinginan rakyat Syria untuk hidup dengan aman, tenteram dan bebas daripada cengkaman dan penindasan.

Semakin banyak perubahan sedang berlaku di kawasan yang ditawan. Masjid-masjid tidak henti melaungkan takbir dan tahmid yang bergema di Damsyik, manakala orang awam keluar ke jalan-jalan raya sambil membawa bendera Syria.

Tentera pasukan pembebasan telah membuka pintu besi di penjara dan mula membebaskan tahanan yang bertahun-tahun berada di penjara.

Suasana kegembiraan terpancar di seluruh Damsyik dan kota yang ditawan. Orang ramai dilihat meraikan kejayaan ini tanpa had. Detik-detik kegembiraan ini turut dikongsi oleh orang ramai di media sosial masing-masing.

Hala tuju kejayaan kerajaan HTS masih belum jelas. Di sebalik laluan keluar tentera Rusia dan Iran, negara-negara Arab masih menunggu dan lihat untuk memberi sokongan kepada HTS. Mereka berbelah bahagi sehingga ada yang meminta Bashar menubuhkan kerajaan buangan. Idea iini menunjukkan mereka masih lagi sangsi dengan keupayaan kerajaan baharu.

Syria tidak perlu lagi berada dalam konflik yang berpanjangan. Penderitaan perang yang dilalui menjadikan negara itu berpecah belah. Kesediaan HTS untuk bekerjasama dengan semua pihak menjadikan peralihan kuasa lebih lancar dan dapat mengekalkan fungsi kerajaan sementara.


Wednesday, December 18, 2024

Mencari makanan halalan tayyiban


Dalam seminggu dua ini, media sosial berkongsi kegembiraan rakyat Syria menikmati kebebasan hidup selepas kerajaan Bashar Al-Assad dijatuhkan. Di pasar dan jalan raya, masyarakat aktif melakukan aktiviti masing-masing tanpa rasa takut lagi, takut disergap atau takut diambil tindakan.

Masjid didatangi jemaah yang berasa puas dengan bacaan imam yang memimpin solat maghrib, isyak dan subuh.

Kini, baharulah mereka dapat menikmati erti kebebasan selepas satu dekad berada dalam zon konflik dan peperangan. Kegembiraan terpancar pada setiap orang yang pernah terkesan dengan suasana tekanan peperangan ini.

Kedai-kedai makan mulai dibuka dan pengunjung dapat menikmati makanan kegemaran mereka yang sudah tentunya sedap dan menyelerakan. Ketika perang, suasana ini sukar dilihat kerana aktiviti harian sukar dilakukan, pergerakan yang terhad dan bekalan makanan mungkin tidak cukup.

Di negara kita, makanan halal sangat mudah diperoleh kerana ramai penjual yang memastikan produk yang diproses adalah suci dan menyucikan. Pengeluar dan pembuat makanan menjaga batas dan sempadan halal bermula dari penyediaan dan proses memasak serta menghidangkan makanan. Peralatan yang digunakan untuk menghidangkan makanan juga harus halal khususnya material untuk menghasilkan pinggan atau gelas.

Sudah tentu semasa menyediakan makanan, tukang masak beragama Islam dapat memastikan proses memasak dari awal hingga akhir berada dalam keadaan suci. Menyediakan tukang masak beragama Islami menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi untuk mendapatkan pahala dalam menyediakan makanan.

Institusi yang bertanggungjawab dalam menguruskan halal di Malaysia telah diberikan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak tahun 1974 melalui penglibatan Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya pengesahan halal diperkenalkan dalam persijilan dan logo pada tahun 1994.

Dalam tempoh 20 tahun, jakim telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Syarikat dan organisasi yang mendapat logo halal akan berasa puas dan bangga kerana proses mendapatkan pengesahan halal Jakim bermakna penyediaan perkhidmatan yang diberikan adalah 100% halal.

Produk halal Jakim yang telah diperoleh ini boleh dipasarkan ke seluruh dunia lebih-lebih lagi di negara Islam kerana tahap keyakinan pengguna di negara-negara ini lebih tinggi. Antara faktor penyumbang kejayaan kepada keyakinan yang tinggi untuk pengesahan logo halal Jakim ialah pendedahan yang berterusan mengenai kejayaan Malaysia sebagai negara Islam yang maju berbanding negara-negara Islam yang berada di Timur Tengah ataupun di Asia.

Contoh pengiktirafan ini sangat jelas semasa Sukan Olimpik 2020 lalu di Jepun. Pihak penganjur telah memilih Jakim untuk menyelia makanan halal yang disediakan kepada atlet dari negara-negara Islam yang mengambil bahagian. Hal ini kerana sudah 41 buah negara yang menggunakan pengesahan halal Jakim setakat ini. Kesannya sehingga kini ialah restoran yang mendapat logo hala di jepun semakin bertambah digalakkan oleh kemasukan pelancong-pelancongan daripada negara-negara Islam.

Dalam pengurusan pengesahan halal Jakim, perkara yang diberikan perhatian ialah mematuhi piawaian halal di samping mengemukakan dokumen sokongan yan gjelas menyatakan sumber bahan.

Golongan yang ragu-ragu dengan proses penyediaan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam wajar mencari restoran atau tempat makanan yang diyakini kehalalannya dan dimasak oleh orang Islam. Manakala golongan yang berpendapat ‘asalkan masakan dan makanan halal sudah memadai’ perlu melihat kembali keyakinan mereka.

Penyediaan makanan yang tidak Islamik tetapi dimakan oleh orang Islam boleh menimbulkan suasana tidak harmoni kerana masyarakat sedang keliru dengan tindakan tersebut. Membiarkan situasi itu berlaku tanpa ada penjelasan akan menjadikan persepsi negatif lebih menebal, seterusnya masyarakat kekal dengan persepsi negatif untuk tempoh yang lebih lama.

Sensitif

Isu halal adalah sensitif kepada masyarakat, memberikan maklumat yang tepat dan dipercayai adalah sangat penting. Maklumat yang disampaikan dapat mengelak spekulasi, kepercayaan tanpa asas, menimbulkan respon secara melulu dan bertindak tanpa asas.

Dalam hal pemimpin atau orang awam yang beragama Islam menikmati hidangan makanan di restoran bukan Islam tanpa diketahui status halal ataupun halam, tindakan ini wajar ditegur dan diberi panduan supaya status halal dihormati. Peringatan yang jelas dan tegas boleh dikeluarkan supaya pandangan serong dan buruk dapat diatasi. Membuat keputusan untuk menunggu lama bagi menangkis maklumat yang kabur dan tidak berasas hanya meresahkan orang ramai. Tidak perlulah mengeluarkan kenyataan ‘tidak terima laporan’ kerana laporan yang ditunggu-tunggu mungkin tidak akan muncul selama-lamanya.

Al-Quran banyak kali menyebut mengenai makanan halal dan konsep halalan toyyiban (halal lagi baik). Makanan halal adalah makanan yang dibenarkan oleh Allah SWT untuk dimakan oleh umat Islam, sementara makanan haram adalah yang dilarang. Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran yang menyentuh tentang makanan halal.


"Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi ini yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu." (Al-Baqarah, 168)

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik (halal) yang telah Kami berikan kepadamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah." (Al-Baqarah, 172)



Konsep halalan tayyiban bererti bersih, berkualiti dan berfaedah untuk tubuh badan dan tidak memudaratkan. Pentingnya memilih restoran yang menyediakan makanan mengikut konsep halalan tayyiban kerana menjaga kesucian hati dan iman, membentuk akhlak dan peribadi yang baik serta menjauhi makanan haram membantu mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhkan diri daripada perkara syubhah (meragukan).

Al-Quran memberikan panduan jelas tentang pemilihan makanan halal, menghindari makanan haram, dan pentingnya bersyukur atas nikmat rezeki. Makanan yang halal lagi baik bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal, tetapi juga memelihara rohani dan hubungan kita dengan Allah SWT.


Rujukan

Bahagian Pengurusan Halal, https://www.islam.gov.my/ms/bahagian-pengurusan-halal/profil

Jakim: We’re ready to offer halal expertise for Tokyo Olympics, https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/11/16/jakim-were-ready-to-offer-halal-expertise-for-tokyo-olympics/



Friday, December 13, 2024

Perkukuh hubungan guru dan murid di sekolah


Perjalanan kes perbicaraan seorang guru di Sulawesi Tenggara, Indonesia telah berakhir dengan pembebasan tertuduh, Cikgu Supriyani. Keputusan ini menjadi hadiah istimewa kepada semua guru Indonesia sempena Hari Guru Nasional negara itu.

Perbicaraan yang menjadi tumpuan hampir dua bulan ini melibatkan pihak guru dan ibu bapa pelajar. Tuduhan yang dikenakan ke atas Cikgu Supriyani adalah berkenaan luka yang dialami oleh anak pengadu ketika waktu persekolahan.

Ayah mangsa merupakan seorang anggota polis yang tidak berpuas hati dengan keadaan luka di paha anaknya lalu membuat laporan polis dengan menuduh Cikgu Supriyani sebagai suspek utama.

Kes ini berpunca selepas murid berkenaan mengadu kepada ibu bapanya tentang kesan luka pada belakang pahanya akibat dipukul Cikgu Supriyani dengan menggunakan penyapu panjang berwarna hijau.

Pada awalnya murid ini memnberitahu bahawa luka berkenaan disebabkan jatuh di sawah. Bagaimanapun keterangannya berubah selepas ditanya oleh bapanya. Berdasarkan analisis berita, kronologi kes berkenaan boleh difahami seperti berikut.


25 April 2024

Aipda WH dan isteri telah membuat laporan polis berkaitan penganiayaan ke atas anak mereka. Pihak polis bertindak segera membuat siasatan dan mengambil barang bukti di sekolah di samping menemubual saksi.

16 Oktober 2024

Cikgu Supriyani ditahan di Lembaga Pemasyarakatan Perempuan (Lapas), Kendari. Penahanan ini telah menimbulkan kekecohan umum khususnya warga pendidik. Mereka telah memberikan sokongan moral kepada Cikgu Supriyani untuk terus kuat dan bertahan untuk menghadapi pertuduhan tersebut.

22 Oktober 2024

Tekanan berterusan masyarakat awam telah menyebabkan Kejaksaan Agung Republik Indonesia (Kejari) Kanowe Selatan di Sulawesi Tenggara dan Pengadilan Negeri Andoolo memberi penangguhan penahanan kepada Cikgu Supriyani.

24 Oktober 2024

Cikgu Supriyani dituduh menganiaya kanak-kanak Sekolah Dasar kelas 1 yang juga merupakan anak polis.

28 Oktober 2024

Proses perbicaraan dengan soal balas saksi.

29 Oktober 2024

Lapan orang saksi ditampilkan termasuk kanak-kanak yang terlibat.

30 Oktober 2024

Pemeriksaan ke atas saksi tambahan iaitu dua guru, pengetua sekolah dan ibu bapa kanak-kanak.

4 November 2024

Pihak peguam bela membawa saksi pakar dari hospital untuk memberikan pandangannya berkenaan luka pada paha mangsa. Berdasarkan pengamatannya, luka tersebut tidak disebabkan oleh batang penyapu tetapi kemungkinan besar dari geselan dengan permukaan kasar atau terdapat faktor-faktor lain. Hal ini kerana jika disebabkan oleh penyapu, bentuk luka berkenaan akan berbeza. Seorang lagi saksi merupakan guru kelas mangsa yang menyatakan pada hari kejadian beliau bersama Cikgu Supriyani yang mengajar di kelas 1B sedangkan mangsa berada di kelas 1A.

7 November 2024

Cikgu Supriyani dibicara sebagai terdakwa.

11 November 2024

Permintaan jaksa untuk membebaskan Cikgu Supriyani tetapi masih menganggap tertuduh telah melakukan kesalahan.

14 November 2024

Cikgu Supriyani menolak tuntutan Jaksa kerana tetap berkeras bahawa beliau tidak melakukan perbuatan tersebut.

25 November 2024

Cikgu Supriyani dibebaskan selepas tidak terbukti secara sah dan melakukan tindakan kekerasan fizikal ke atas kanak-kanak.

Dalam proses untuk mendapatkan faedah untuk diri, Aipda WH telah membawa kes ini mahkamah. Pihak polis melakukan siasatan namun meletakkan pegawai penyiasat yang berat sebelah. Antara kejadian luar biasa ketika siasatan ialah pemerasan wang Rp50 juta untuk menyelesaikan kes dan Rp2 juta untuk penangguhan penahanan. Anggota polis yang terlibat telah dikenakan tindakan serta-merta.

Perundingan ini gagal dan ia dibawa ke mahkamah.

Semasa perbicaraan, peguam Cikgu Supriyani telah membawa beberapa orang saksi bagi menolak pertuduhan yang dikenakan. Antara saksi yang dibawa ialah pakar perubatan yang menyatakan bahawa luka yang terdapat pada paha murid tidak sepadan dengan barang kes iaitu sebatang penyapu. Melihat kepada kecederaan pelajar ini sememangnya ia disebabkan oleh benda tumpul yang kesat dan menyebabkan sebahagian kecil daripada pahanya terluka.

Merujuk kepada kronologi kes ini, kita boleh membuat tindakan penambahbaikan bagi meleraikan konflik pada masa hadapan.

Pertama, wujudkan dialog terbuka dan sesi mudah cara.

· Adakan sesi pertemuan yang melibatkan ibu bapa, guru, dan pihak sekolah (contohnya kaunselor atau pentadbir) untuk membincangkan isu dengan tenang.

· Pastikan semua pihak diberi peluang untuk menyuarakan pandangan dan kebimbangan mereka tanpa prejudis.

· Gunakan fasilitator atau mediator profesional jika perlu untuk memastikan perbincangan berjalan secara adil dan terkawal.


Kedua, perkenalkan dasar komunikasi yang jelas.

· Tetapkan garis panduan tentang cara komunikasi antara ibu bapa dan guru, seperti penggunaan saluran rasmi (e-mel, aplikasi sekolah) dan waktu yang sesuai.

· Elakkan emosi menjadi pendorong utama dengan memastikan isu-isu disampaikan secara bertulis untuk lebih jelas dan tidak salah faham.


Ketiga, fokus pada kepentingan pelajar.

· Sentiasa rujuk kepada kepentingan pelajar sebagai keutamaan utama dalam perbincangan.

· Bantu semua pihak menyedari bahawa matlamat bersama ialah perkembangan dan kesejahteraan pelajar, bukan mencari kesalahan.


Keempat, tawarkan penyelesaian kreatif dan fleksibel

· Contohnya, jika terdapat ketidaksefahaman mengenai pendekatan pengajaran, pertimbangkan cara alternatif seperti menyesuaikan kaedah pembelajaran atau menambah sokongan individu kepada pelajar.

· Berikan pilihan kepada kedua-dua pihak untuk berkompromi dalam aspek yang tidak terlalu kritikal.


Kelima, pantau dan tinjau keputusan yang dipersetujui.

· Rekodkan keputusan yang dicapai semasa perbincangan dan pastikan ia dipersetujui secara bersama.

· Jadualkan pertemuan susulan untuk menilai keberkesanan penyelesaian dan membuat penyesuaian jika perlu.


Pendekatan ini bukan sahaja menyelesaikan konflik tetapi juga membina hubungan jangka panjang yang lebih baik antara ibu bapa dan guru, demi manfaat pelajar.

Friday, November 15, 2024

Jejak Ibnu Battuta


Buku Jejak Ibnu Battuta karangan Rosse E. Dunn yang dibeli semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun lepas baru sahaja saya selesai baca. Itu pun mengambil masa beberapa bulan kerana mencari masa lapang. Ada ketikanya dua muka surat dan ada kalanya sehingga sepuluh sehari. Biasanya masa lapang ialah selepas solat maghrib atau isyak.  




Buku ini bukanlah karya Ibnu Battuta iaitu Rihla ataupun My Travel sebaliknya karangan Dunn iaitu seorang profesor sejarah di San Diego State University yang telah mengupas pengembaraan Ibnu Battuta secara kritis.

Kembara Ibnu Battuta bermula pada usia 21 tahun (1325 masihi) di Tangier, Maghribi merentas Afrika, India, Sumatera hingga ke China. Beliau menggunakan pengetahuannya untuk menikmati status sosial yang tinggi di setiap tempat kembaranya seperti yang dilakukannya ketika berada di India dan Maldives.

Buku ini banyak menonjolkan peranan Ibnu Battuta sebagai penasihat, tokoh agama dan orang kepercayaan kerajaan. Catatan kembaranya kerap kali memperlihatkan dirinya berada dalam lingkungan pegawai kerajaan atau ketua masyarakat yang berpengaruh, diberi banyak kemudahan dan akses yang istimewa ke istana.

Hubungan sosial yang istimewa dengan pemerintah menyebabkannya kerap diberikan hadiah seperti emas, kuda dan hamba. Kesusahan yang beliau alami tidak berpanjangan kerana sering kali mendapat bantuan dan berada di pihak ‘nasib yang baik’.

Ia dapat dilihat dalam perjalanan laut dan darat yang berhadapan dengan ancaman lanun, laut bergelora dan perompak yang bengis. Banyak kali beliau mengalami kesukaran untuk melepasi masalah tetapi nasib baik sentiasa bersamanya.

Di setiap tempat yang dikunjunginya, beliau berkongsi budaya, sosial, ekonomi dan amalan agama Islam masyarakat setempat. Antaranya ialah suasana kehidupan masyarakat di Sumatera dan pulau Jawa.

Dalam kata pengantar buku ini, pakar sejarah dari Universiti Cornell, Taufik Abdullah, menyatakan pandangan Ibnu Battuta terhadap Sultan Jawa Samudra iaitu Al-Malik Az-Zahir yang merupakan pemerintah paling hebat, terkemuka dan pencinta ulama. Ibnu Battuta menyifatkan sultan itu dengan menyatakan baginda seorang yang rendah diri dan selalu berjalan kaki ke masjid untuk solat Jumaat.

Samudera di sini bermaksud Sumatera. Ibnu Battuta berada di situ selama dua minggu. Pada hari keempat iaitu hari Jumaat, beliau berpeluang menemui sultan di beranda masjid selepas solat. Sultan mempelawanya duduk sebelah kiri dan bertanyakan perjalanan kembaranya.

Kisah ini menunjukkan Ibnu Battuta pernah sampai ke nusantara untuk melihat masyarakat Islam. Pertemuan dengan pembesar dan pemerintah setempat telah diabadikan bersama dengan pengalaman menerima penghormatan negara.

Nampaknya lebih mudah bagi Ibnu Battuta memperkenalkan diri sebagai ilmuan berbanding orang awam yang tidak dikenali. Kelebihan di sini ialah menjadi orang yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran lebih mudah mendapat akses ke istana..

Pengalaman saya membaca buku ini seolah-olah berada dalam kembara Ibnu Battuta tetapi tidak merasai kepuasan emosi untuk menjiwai setiap kejadian yang dilaluinya. Barangkali penulis sejarah seperti Dunn ini yang hanya mengambil beberapa aspek utama kembara Ibnu Battutah tetapi tidak menulis perubahan emosi dan rasa jiwanya. Akhirnya, penulisan ini hanya dapat mengetahui proses pengembaraan tanpa dapat menjiwai bagaimana situasi dan pahit getir yang dilalui Ibnu Battutah.

Selepas selesai membaca buku ini, ternyata Ibnu Battuta telah menghabiskan tempoh 30 tahun kembara ke 44 buah negara. Beliau kembali ke Tangier pada tahun 1354 masihi dan bersahabat dengan Sultan Abu Inan. Di sinilah munculnya Rihla atau My Travel apabila sultan menitahkan beliau perlu menyiapkan sebuah laporan perjalanan yang memuatkan pengalamannya.

Antara perintah lain ialah laporan berkenaan diubah menjadi suatu bentuk penulisan seperti sebuah travelog. Tugas ini diberikan kepada Ibnu Juzayy iaitu seorang yang mahir dalam seni syair, filologi, sejarah, hukum dan gaya kaligrafi halus. Kandungan yang perlu dimuatkan dalam travelog ini ialah “Ibnu Battuta perlu melakukan catatan berkenaan kota-kota yang pernah beliau lihat dalam setiap perjalanan dan berkenaan peristiwa-peristiwa menarik yang terakam dalam ingatan beliau. Ibnu Battuta perlu bercakap berkenaan pemerintah negeri-negeri yang pernah beliau jumpai, golongan terpelajar dan orang soleh. Bersesuaian dengan hal itu, Ibnu Battuta perlu mencatatkan perkara-perkara itu dalam sebuah kisah yang menghiburkan fikiran dan memberi kenikmatan kepada telinga dan mata”.

Untuk mendapatkan maklumat, Ibnu Battuta dan Ibnu Juzayy bertemu dan berbincang di banyak tempat seperti rumah lelaki tua, rumah orang muda, serambi Fed Jadid atau serambi masjid yang mendamaikan.

Lalu terhasillah Rihla iaitu sebuah catatan kehidupan yang dialami Ibnu Battuta yang mengungkap keperibadian seorang musafir yang tabah, bersemangat tinggi, lantang mengkritik, soleh dan mesra.


Tuesday, November 12, 2024

Inisiatif pendidikan dan sokongan untuk menangani kehamilan remaja luar nikah


Kehamilan di luar pernikahan kembali mendapat perhatian kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan. Statistik menunjukkan trend ini semakin meningkat dan menimbulkan rasa bimbang dan cemas kepada orang ramai.

Data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, terdapat 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan dalam temph lima tahun lepas yang mana 17,646 remaja hamil tanpa nikah.

Justeru, pihak kementerian bersetuju melakukan satu tindakan segera sesuai dengan peranan kementerian iaitu memberi tindakan advokasi dalam kokurikulum dan silibus pendidikan di sekolah.

Pengenalan Modul Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) pada tahun 2027 adalah inisiatif tepat untuk membantu remaja khususnya di sekolah mendapatkan maklumat lebih meluas dan tepat. Pada masa yang sama memperkasa pengetahuan dan kemahiran guru untuk berhadapan dengan isu kehamilan luar nikah ini.

Risau dan cemas ini sangat baik untuk melaksanakan tindakan pencegahan Dan rawatan. Di Malaysia, banyak pihak yang turut serta memberi bantuan dan sokongan terhadap isu ini bagi memastikan kesejahteraan keluarga dan masyarakat terus dipelihara.

Kita ada Majlis Agama Islam negeri, pertubuhan bukan kerajaan, institusi penguatkuasaan dan penggubal silibus pendidikan yang bersama sama memberi fikiran ke arah memastikan kehamilan luar nikah ini dapat dibendung. Setiap agensi, pertubuhan dan institusi ini bergerak mengikut peranan dan keupayaan masing masing. Contohnya pertubuhan bukan kerajaan yang berorientasikan kesukarelaan hanya dapat bertindak sebagai pemudah cara untuk menempatkan mangsa di tempat yang dikhususkan kepada mangsa yang terlibat supaya rawatan dan perlindungan dapat diberikan. Manakala agensi penguatkuasaan bertindak membela bangsa dan mengheret pelaku ke mahkamah.

Awal tahun 2000-an dahulu, ketika isu pembuangan bayi menjadi tumpuan masyarakat, cadangan pebinaan rumah perlindungan mangsa hamil luar nikah telah menarik perhatian orang ramai. Antara tempat yang dicadangkan ialah klinik dan hospital iaitu mangsa boleh meletakkan anak yang dilahirkan tanpa nikah ini di ruang khas. Kaedah ini lebih baik daripada membiarkan lelaki yang tidak bertanggungjawab meletakkan anak kecilnya di tangga surau, atas tangga masjid atau kawasan pembuangan sampah terbiar.

Dalam hal ini, kerajaan Melaka telah bertindak lebih jauh dengan menyediakan tempat penginapan supaya mangsa dapat memulihkan emosi dan kembali bersemangat untuk membuka dimensi baru kehidupan. Pembukaan Sekolah Harapan dapat membantu mangsa untuk membuat perubahan melalui bimbingan agama dan bantuan kaunseling.

Selain itu terdapat banyak agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan yang menyediakan pelbagai bentuk sokongan pemulihan kepada mangsa.

Maksud kehamilan remaja ialah keadaan remaja perempuan yang hamil dalam tempoh umur 10 hingga 19 tahun. Terdapat tiga kesan utama kehamilan ini iaitu kesan dari sudut perubatan, psikologi dan sosial.



Sumber: Kementerian kesihatan Malaysia: 11_buku_kecil_remaja_dan_kehamilan


Kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja menunjukkan peningkatan dan membimbangkan masyarakat. Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan inisiatif untuk mendidik remaja di sekolah. Selain itu, pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan turut memberikan sokongan melalui perlindungan, bimbingan agama, dan pemulihan. Masyarakat awam juga wajar memebrikan sokongan untuk pelaksanaan modul dan apa juga aktiviti yang dapat mengurangkan kehamilan luar pernikahan dan membina sifat cakna kepada sebarang perubahan emosi dan fizikal remaja.

Saturday, November 09, 2024

Pengaruh media sosial terhadap pilihan pengundi


Kemenangan Donald Trump menewaskan Kamala Harris menandakan dasar luar Amerika Syarikat yang lebih tegas dan 'menggigit' terhadap beberapa negara khususnya China. Sebelum ini Trump telah berjaya melumpuhkan penjualan telefon pintar Huawei di seluruh dunia. Sehingga kini, dasar-dasar terhadap China masih kekal seperti dahulu.

Kemenangan Trump sudah pasti membuatkan China lebih berhati-hati dan perlu mencari pelbagai strategi untuk kekal mendapatkan sumber teknologi telekomunikasi dan semikonduktor dari pelbagai negara.

Trump mencipta sejarah untuk menjadi presiden kali kedua melalui pelbagai kempen yang sengit dan mencabar. Media perdana di Amerika Syarikat menunjukkan kecenderungan mempromosi Harris dengan ketara namun penggunaan media sosial yang berkesan telah menarik lebih undi popular kepada kem Trump.

Pengundi muda yang lebih terdedah kepada kandungan dan mesej dalam TikTok dan seumpamanya telah mempengaruhi kecenderungan pengundi kepada aspirasi dan cita-cita Trump untuk mengangkat kembali kemegahan kulit putih.

Peranan media sosial bukan setakat mempengaruhi minda malah menentukan sikap dan tingkah laku pengundi yang terdedah kepada sebarang bentuk kempen yang dijalankan.

Inilah hakikat yang sedang berlaku dalam media sosial. Apabila setiap pengguna memiliki akses kepada proses kebebasan membuat pilihan, mereka akan menentukan maklumat yang dipilih dan akan terus mengukuhkan maklumat tersebut melalui bantuan kepintaran buatan (AI) yang digunakan dalam teknologi media sosial.

Pengukuhan ini menguatkan pilihan mereka dan ditunjukkan dalam pembuangan undi ketika pilihan raya. Keyakinan mereka dianggap betul tanpa menilai pertimbangan yang lebih mendalam.

Analisis sesuatu isu tidak dibuat oleh pakar sebaliknya ditentukan oleh persepsi yang bersifat berat sebelah. Ruangan maklum baas oleh pengguna menjadi rujukan yang lebih dipercayai biarpun wujudnya elemen falasi.

Walau bagaimanapun fenomena ini akan terus berlaku dalam semua bentuk pilihan raya sesebuah negara yang boleh menyebabkan jatuh bangun sesebuah kerajaan. Akses langsung kepada sumber berita melalui penyiaran langsung berupaya mematahkan sebarang maklum balas yang diberikan oleh media arus perdana.

Cabaran pada masa hadapan lebih besar. Organisasi yang mempunyai kempen dan iklan yang berbajet besar mampu menguasai pemikiran pengguna sekali gus menentukan hala tuju kewujudannya. Namun, kesungguhan dan kerjasama dapat mengatasi penguasaan ini seperti mana yang ditunjukkan oleh kempen BSD yang digerakkan seluruh dunia untuk memboikot entiti yang menyokong Yahudi.

Friday, November 08, 2024

Kesihatan metal perlukan kajian khusus


Kematian dua beranak kerana ditikam merupakan peristiwa sedih kepada masyarakat kita. Keengganan menerima Lamara di katakan sebagai punca utan kenapa suspek bertindak demikian.

Kejadian yang tidak disangka-sangka ini menjadikan kita tertanya-tanya apakah yang berlaku dalam masyarakat. Apakah dengan tidak menerima lamaran, hukuman yang patut diterima ialah kecederaan dan kematian? Adakah nyawa begitu murah sehingga boleh diambil begitu mudah?

Seseorang yang mudah marah dan paras baran perlukan bantuan dan rawatan supaya dapat hidup normal seperti orang lain. Proses rawatan yang baik dapat menjadikan fikiran dan sikap seseorang itu lebih positif dan menghargai kehidupan sendiri dan orang lain.

Sudah banyak kejadian yang melibatkan emosi marah dan tingkah laku ganas yang tidak terkawal. Ia tidak sahaja terjadi dalam kalangan lelaki Kerala wanita yang menghadapi masalah yang sama turut bertindak sehingga menyebabkan kematian. Satu kes di Pulau Pinang suatu masa dahulu melibatkan seorang wanita yang terganggu fikiran telah bertindak mencederakan leher dua orang anaknya kerana tidak dapat menerima berita bahawa suaminya berkahwin dua.

Selepas proses pengadilan dilaksanakan, mahkamah memutuskan pesalah diletakkan dibawah pengawasan di hospital mental untuk tempoh yang tidak ditetapkan.

Juga terdapat kejadian seorang anak lelaki yang memenggal kepala ibunya sendiri kerana gagal mengambil ubat-ubatan yang telah ditetapkan.

Kisah-kisah ini mengundang lebih banyak kajian dari sudut kesihatan mental supaya pelbagai punca dan kaedah penyelesaian dapat di kemukakan. Penyelidik dari pelbagai later belakang berupaya melihat isu daripada ilmu dan kemahiran masing-masing. Di akhir kajian, mereka boleh mencadangkan langkah-langkah praktikal untuk tindakan susulan.

Sejumlah peruntukan boleh di berikan kepada penyelidik-penyelidik yang berminat supaya isu kesihatan mental dapat difahami dan diselesaikan mengikut kes dan latar belakang kejadian.

Friday, October 25, 2024

Kesedaran global terhadap penderitaan rakyat Palestin

Sejauh mana kehancuran rumah, hospital dan bangunan komersial di Gaza, Palestin memberi kesan kepada masyarakat antarabangsa khususnya mereka yang bersimpati dengan penderitaan dan kesusahan?

Soalan ini harus diberi perhatian kerana intipati pertembungan yang berlaku adalah hasil daripada rentetan peristiwa panjang yang bermula sejak 1948. Orang-orang Palestin yang tinggal di tanah air mereka telah dihalau dari rumah oleh kuasa-kuasa Barat yang mahu menjadikan tanah Palestin sebagai tempat baharu bagi orang-orang Yahudi yang diusir dari Eropah.

Tanah milik orang Palestin dirampas, perkampungan mereka diceroboh dan semua orang Palestin diarahkan ke tempat tinggal baharu kerana tempat mereka sebelum ini akan diberikan kepada pendatang Yahudi yang datang dari seluruh dunia.

Peristiwa ini berlaku secara paksa dan berterusan, menggunakan ketenteraan dan polis. Setelah tanah mereka dikosongkan, jentolak meratakan rumah dan melapangkan kawasan kampung untuk pembangunan semula. Pembinaan penempatan baharu diuruskan oleh syarikat-syarikat yang bersedia membina rumah bagi ditawarkan kepada pendatang Yahudi dari seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat.

Syarikat hartanah di Israel seperti ‘My Israel Home” telah mengadakan ekspo di Los Angeles untuk menarik pelanggan baharu, khususnya Yahudi Amerika yang ingin mencari rumah di kawasan penempatan haram. Selain itu, syarikat Harrey Zahav juga mengumumkan pembentukan kawasan kediaman baharu di Khan Younis, Gaza dengan harga yang murah pada penghujung tahun 2023.

Pada Julai 2024, kerajaan Israel meluluskan 5,295 unit perumahan baharu di kawasan haram yang diceroboh di Tebing Barat. Ini adalah kelulusan terbaru di kawasan yang dirampas selama lebih 30 tahun lalu.

Pembinaan kediaman pendatang Yahudi di kawasan ini merupakan satu kesalahan dan dilarang di bawah undang-undang antarabangsa. Bagaimanapun pembinaan kediaman di kawasan ini sebenarnya menjadi strategi Israel untuk menghalang penubuhan negara Palestin.

Gaza ditadbir oleh Hamas sejak 14 Jun 2007 sehingga berlakunya pertempuran dengan tentera Israel pada 27 Oktober 2023. Konflik ketenteraan antara Hamas dan Israel yang bermula pada 7 Oktober 2023 adalah perang kelima sejak tahun 2008 dan ia juga menjadi pertempuran paling hebat selepas Yom Kippur tahun 1973.

Hamas dipimpin oleh Ismail Haniyah dari 2007 hingga 2017 selepas mengambil alih pentadbiran dari Parti Fatah. Selepas Ismail Haniyah, Hamas dipimpin oleh Yahya Sinwar.

Pertempuran Israel ke atas Gaza bermula pada 27 Disember 2008 apabila Israel melancarkan kempen ketenteraan berskala besar yang dikenali sebagai Operasi “Cast Lead” sehingga 18 Januari 2009. Kempen in telah membunuh lebih 1,400 orang yang kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita.

Tanggal 7 Oktober 2023 menjadi hari penting kerana pertempuran besar bermula pada hari ini yang mengakibatkan lebih daripada 40,000 orang terbunuh termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua, terkorban. Hampir sejuta orang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa meninggalkan rumah mereka.

Selama tempoh setahun berperang, Gaza telah menjadi medan kemusanahan bersar-besaran tentera Israel. Rumah dan bangunan dibom, kawasan khemah yang menempatkan ratusan pelarian turut diserang dengan senjata berat sehingga mangsa terbunuh dan mayat bergelimpangan.

Tidak cukup dengan tembakan rambang dan bersasar, rumah kosong dan bangunan usang yang itinggalkan turut dimusnah dengan peluru kereta kebal supaya kemusnahan dilihat lebih ekstrem supaya ia tidak dapat dibangunkan kembali.

Kereta kebal Israel bergerak dari satu kawasan ke satu kawasan untuk mencari pejuang Palestin yang berselindung di sebalik runtuhan bangunan dan celah-celah lorong yang muncul dari terowong.

Aksi-aksi pertempuran antara pejuang Palestin dan tentera Israel boleh dilihat di media sosial sama ada di bawah organisasi antarabangsa atau individu. Aksi-aksi ini tidak dipaparkan dalam media kawalan Barat yang memihak kepada Israel.

Selepas setahun pertempuran dan masih berlangsung sehingga kini, apakah yang kita jangka akan berlaku selepas ini?

Kematian dua orang tokoh Hamas iaitu Ismail Haniyah dan Yahya Sinwar tidak mematahkan daya juang pasukan Hamas. Khalid Meshaal yang menggantikan Ismail berkata Hamas tidak akan menghentikan pertempuran walaupun ketiadaan Yahya. Biarpun Benyamin Netanyahu mengistiharkan pembunuhan Yahya adalah pencapaian utama namun peperangan belum berakhir kerana masih ramai tebusan yang belum dibebaskan.

Penganalisis meihat beberapa nama yang bakal menggantikan Yahya untuk menggerakkkan momentum perang seperti timbalan Yahya iaitu Khalil Al-Hayya, Khaled Meshaal iaitu pengganti Ismail dan mohammad Darwih iaitu tokoh pimpinan yang mengetuai Majlis Shura.

Kata sepakat untuk lantikan ketua baharu bergantung kepada Majlis Shura yang diwakili oleh semua wakil Hamas di Gaza, Tebing Barat, penjara israel dan diaspora Palestin. Secara tidak langsung, ketua baharu nanti perlu mempunyai kuasa untuk berada dalam kelompok perbincangan gencatan senjata walaupun beliau tidak tinggal di Gaza atau dalam medan konflik.

Sukar untuk menentukan sejauh mana perang ini akan berlarutan apabila peneraju Hamas telah terkorban manakala Netanyahu berhadapan dengan desakan pembebasan tebusan di Tel Aviv. Gesaan China di Sidang Kemuncak BRICS 2024 di Rusia supaya peperangan ini diakhiri segera juga menunjukkan kebimbangan dan kerisauan kumpulan itu terhadap kemusanahan dan kematian yang semakin meningkat.

Pertempuran dilihat belum lagi mengendur di sebalik saban hari peluru menerjah utara Israel. Aktiviti ekonomi di kawasan tersebut semakin merosot dan sukar untuk dibangunkan semula.

Kematian lebih ramai penduduk khususnya kanak-kanak dan wanita bukan lagi dianggap sebagai pertempuran melawan tentera sebaliknya pembunuhan beramai-ramai. Tindakan ini mesti dihalang dan dielakkan.

Palestin adalah medan amal yang paling utama ketika ini. Di sinilah nilai-nilai yang kuat seperti sabar, bertenang dan mengharapkan bantuan Allah SWT boleh dilihat jika kita mahu beramal. Kesengsaraan dan kesukaran hidup di sebalik puluhan peluru dan bom adalah ujian yang memisahkan antara kekentalan hati dan menggerunkan hati. Pejuang yang kental akan terus berjuang sehingga mendapat kemenangan atau terkorban sebagai syuhada.

Kepada kaum yang melampuai batas dan menzalimi orang, Allah SWT ingatkan dalam al-quran, Surah Al-Isra’ ayat 5 yang bermaksud, “Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku”.


Monday, September 09, 2024

Faktor penyumbang kepada kemuflisan penjawat awam


Penjawat awam merupakan tulang belakang pengurusan agensi dan jabatan sektor awam negara. Pendapatan yang diperoleh sebagai penjawat awam di Malaysia telah membantu meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan menghalang kitaran ganas kemiskinan dalam tempoh satu generasi.

Individu yang bertuah dan menerima jawatan dalam sektor awam di pelbagai gred perjawatan sudah pasti bergembira kerana sektor awam menyediakan lebih banyak pilihan kenaikan pangkat, peluang mengubah hidup di samping pelbagai keistimewaan lain seperti skim pinjaman dan kebajikan persaraan. Ia menjadikan kerjaya mereka lebih menarik dengan pendapatan yang stabil.

Keistimewaan utama ialah jaminan pekerjaan iaitu penjawat awam jarang diberhentikan kerja walaupun keadaan ekonomi yang meleset atau tidak menentu. Justeru ia menawarkan kestabilan kerja dalam jangka panjang, mungkin sehingga bersara. Selain itu, penjawat awam mempunyai peluang yang lebih jelas untuk kenaikan pangkat berdasarkan prestasi kerja dan tempoh perkhidmatan yang mengutamakan kekananan.

Selain itu, mereka layak menerima pendapatan pencen selepas bersara sebagai sokongan kewangan. Dari segi kebajikan, rawatan di hospital kerajaan adalah pada kadar yang rendah, murah atau percuma.

Selain itu, mereka mendapat manfaat daripada pelbagai elaun yang mengurangkan kos hidup mereka seperti sara hidup, perjalanan dan elaun rumah. Contohnya, Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) diberikan berdasarkan gred perjawatan. Bantuan Sara Hidup (Cost of living Assistance- COLA) turut diberikan mengikut kadar kos hidup bandar dan luar bandar. Tambahan kepada gaji pokok ini menunjukkan jumlah pendapatan yang lebih besar sektor awam.

Berbanding dengan sektor swasta, penjawat awam mendapat jumlah maksimum cuti bersalin bagi setiap kelahiran adalah selama 90 hari. Di samping itu mereka juga mendapat cuti kecemasan, cuti tahunan dan cuti sakit yang lebih tersusun.

Selain itu, penjawat awam diberi keutamaan dalam beberapa inisiatif kerajaan seperti pinjaman dengan kadar faedah rendah dan peluang perumahan melalui skim Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM). Tambahan lagi, sesetengah institusi kewangan menyediakan pinjaman peribadi dengan kadar faedah yang lebih rendah.

Secara keseluruhan, faedah ini menjadikan sektor awam sebagai pilihan kerjaya yang stabil dan memberikan perlindungan sosial yang menyeluruh kepada pekerja dan keluarga mereka.

Di sebalik pelbagai faedah, kemudahan dan tumpuan yang diberikan untuk memperkasa produktiviti kerja dan kesejahteraan hidup, kenapa masih terdapat penjawat awam yang diisytihar muflis?

Laporan akhbar menyatakan terdapat sepuluh hingga 13 peratus penjawat awam di negara ini telah muflis dalam tempoh empat tahun lalu. Seseorang penjawat awam boleh dikenakan perintah muflis melalui tindakan mahkamah apabila mempunyai hutang tertunggak melebihi RM100,000. Ia dinyatakan di bawah Akta Insolvensi 1967 (Pindaan 2023).

Ketua Pengarah Jabatan Insolvensi, Datuk M Bakri Abd Majid berkata, kesan diisytiharkan muflis ialah menjejaskan ekosistem perkhidmatan awam, menerima hukuman tatatertib, menjejaskan peluang kenaikan pangkat, pembayaran bonus, bantuan kewangan dan sebagainya (Tuty Haryanti, 2024).

Penyelidikan menunjukkan beberapa faktor utama yang menyumbang kepada kemuflisan dalam kalangan penjawat awam, khususnya di Malaysia. Antara punca utama ialah pengurusan kewangan yang lemah, pemilikan aset dan sikap terhadap hutang yang meningkatkan risiko muflis.

Kajian oleh Yasotha Nair et al. (2016) menekankan bahawa faktor-faktor ini sangat mempengaruhi kemuflisan dan pendidikan kewangan adalah penting untuk mengurangkan masalah ini. Selain itu, satu lagi kajian menunjukkan bahawa penjawat awam yang gagal memenuhi penanda aras kewangan seperti kecairan dan keberhutangan mempunyai risiko yang lebih tinggi.

Isu yang lebih luas seperti cabaran pekerjaan dalam sektor awam dan tekanan ekonomi turut memburukkan risiko ini. Sebagai contoh, penswastaan perkhidmatan awam telah meningkatkan tekanan fiskal yang menambah kerentanan pekerja awam terhadap kemuflisan (McEntee, 2006). Tambahan pula, kepentingan awam boleh membentuk keputusan undang-undang dalam kes muflis di mana matlamat awam sering mengatasi kepentingan pemiutang (Kantor, 2023). Di sektor khusus seperti kesihatan awam, salah urus oleh syarikat yang menggunakan undang-undang muflis untuk mengelak liabiliti telah memberi kesan besar kepada kesihatan awam (Boden & Pierce, 1990).

Berdasarkan huraian dan sorotan kajian ini, kesimpulan utama yang kita boleh berikan ialah kerjaya di sektor awam memberikan kestabilan pendapatan dan faedah kebajikan yang besar namun menjadi risiko muflis jika gagal menguruskan kadar keberhutangan.

Penjawat awam di Malaysia menikmati kestabilan kerjaya yang tinggi dan pelbagai faedah seperti gaji yang stabil, peluang kenaikan pangkat, jaminan persaraan, kemudahan rawatan kesihatan dan pelbagai elaun yang dapat mengurangkan kos hidup. Namun pada masa yang sama, pengurusan kewangan yang lemah dan sikap terhadap hutang boleh menyebabkan mereka berhadapan dengan masalah kewangan. Justeru ketua jabatan dan agensi kerajaan perlu memantau jumlah hutan kakitangan di bawah seliaan supaya kekal berada di bawah paras kadar hutang yang dibenarkan.



Rujukan

Gerald, W., McEntee. (2006). The New Crisis of Public Service Employment. Public Personnel Management, 35(4), 343-346. doi: 10.1177/009102600603500407

Leslie, I., Boden., Joan, W., Pierce. (1990). Public health bankruptcy. New Solutions: A Journal of Environmental and Occupational Health Policy, 1(1), 51-59. doi: 10.2190/NS1.1.J

Natalia, E., Kantor. (2023). Influence of the Public Element in Bankruptcy Cases on the Development of Judicial Law-Making. Закон, doi: 10.37239/0869-4400-2023-20-12-67-78

Rahma, Widya, Swastiningsih., Endang, Prasetyawati. (2022). Kewenangan menteri.keuangan dalam.mengajukan permohonan pailit bumn. Bureaucracy Journal: Indonesia Journal of Law and Social-Political Governance, 2(1), 641-653. doi: 10.53363/bureau.v2i1.158

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi. (2024, 9 September). 10 hingga 13 peratus penjawat awam bankrap sejak 2021 hingga tahun ini. Berita Harian. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/09/1295973/10-hingga-13-peratus-penjawat-awam-bankrap-sejak-2021-hingga-tahun

Yasotha, Nair., Laily, Paim., Mohamad, Fazli, Sabri. (2016). Financial ratios and the probabilistic prediction of bankruptcy among Malaysian civil servants. Journal of Emerging Economies and Islamic Research, 4(2), 21-33. doi: 10.24191/JEEIR.V4I2.9084