Thursday, January 23, 2020

Kebaikan e-dompet







E-Tunai Rakyat yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia pada 15 Januari lalu merupakan inisiatif bagi menggalakkan budaya digital dan menyediakan masyarakat tanpa tunai. Kerajaan memilih tiga platform pengendali iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet bagi menggalakkan perbelanjaan dan pertumbuhan ekonomi.

Inisiatif ini juga menggalakkan sektor industri kecil dan sederhana menggunakan e-dompet dalam urusan harian. Kaedah ini dapat menarik pelaburan yang lebih berkualiti dan menjana nilai lebih tinggi supaya jurang pendapatan dapat dirapatkan.

Peruntukan sebanyak RM450 juta kepada rakyat Malaysia melalui e-Tunai Rakyat telah menggalakkan pertambahan pelanggan kepada ketiga-tiga penyedia platform ini. Penerimaan wang RM30 melalui e-dompet meningkatkan kesedaran masyarakat untuk mendaftar di ketiga-tiga platform tersebut.

Touch ‘n Go mencatat pertambahan sepuluh kali ganda kepada 7.3 juta pengguna, Boost mencatat 25 kali ganda manakala GrabPay mencatat enam kali ganda.

Selain daripada tiga syarikat di atas, terdapat penyedia lain yang menawarkan e-dompet di Malaysia seperti Lazada Wallet, Samsung Pay, Vcash, WeChat Pay, BigPay, Maybank Pay, Setel, AEON Wallet dan Razer Pay.

E-dompet atau e-wallet merupakan devais elektronik atau dalam talian yang membenarkan transaksi dilakukan melalui komputer atau telefon pintar. Kebanyakan e-dompet seperti kad kredit atau debit dihubungkan kepada akaun bank pengguna untuk membuat pembayaran. Selain itu, pengguna dihubungkan melalui imbasan kod QR. Penggunaannya dilindungi oleh kata kunci atau pengenalan peribadi. Transaksi melalui teknologi Near Field Connection (NFC) juga digunakan tetapi kebanyakannya tidak disokong telefon pintar.

Di Malaysia, penggunaan e-dompet adalah untuk bayaran bil, makanan, tol, petrol, barangan peribadi dan perbelanjaan runcit. Bank Negara Malaysia menganggarkan nilai transaksi e-dompet sebanyak RM10.6 bilion dari Januari hingga Ogos 2019. Syarikat perkhidmatan profesional PricewaterhousesCoopers Malaysia menganggarkan pertumbuhan e-dompet di Malaysia akan meningkat kepada US$20 bilion atau RM83.8 bilion pada tahun 2024.

Kelebihan penggunaan e-dompet berbanding tradisional adalah lebih laju, lebih selesa, lebih mudah, selamat, terkawal dan jaminan perlindungan data.

Dalam dunia internet hari ini, perkhidmatan yang pantas dan segera menjadi keutamaan pengguna. Kita sudah tentu tidak mahu menunggu dua atau tiga hari untuk melihat transaksi kewangan ketika membeli barang yang kita mahu, sebaliknya kita mahukan barang tersebut sampai ke rumah dalam masa satu atau dua hari selepas pembayaran. Begitu juga beratur membeli barang. Kita tidak perlu menghabiskan masa semata-mata beratur panjang di kaunter untuk membayar bil, tiket parkir atau barangan lain.

E-dompet menjadikan proses membawa wang lebih mudah dan selesa kerana tidak perlu membawa tunai. Nilai tunai RM1000 yang diletakkan di dalam dompet menjadikan dompet lebih tebal dan sukar dimasukkan ke dalam poket seluar. Keadaan ini boleh memberikan peluang kepada pencuri mengintai dan mencari masa menyeluk saku dan mengambil wang tanpa izin.

Penggunaan digital piawaian tinggi menjadikan data lebih selamat. Andainya kita kehilangan kad, telefon atau devais yang menyimpan maklumat perbankan, kita boleh menghalang penggunaan kad tersebut melalui bank. Agensi penyedia e-dompet juga boleh menghalang penggunaan tidak sah melalui kawalan kata kunci yang disahkan melalui mesej yang dihantar kepada telefon berdaftar. Penggunaan Transaction Authorization Code (TAC) yang mengandungi enam digit kod pengesahan adalah pelindung tambahan keselamatan untuk mengesahkan tuan punya nombor telefon.

Biasnya pengguna tidak dapat mengingati transaksi pembelian lepas, justeru melalui e-dompet mereka dapat melihat kembali semua transaksi pembelian kerana setiap transaksi akan direkodkan. Cara ini dapat membantu mereka menguruskan aktiviti pembelian dengan berhemah. Pengguna sendiri yang mengawal dan menentukan tabiat pembelian supaya dapat mengurus kewangan dengan lebih berhemat.

Agensi penyedia e-dompet terikat dengan undang-undang yang menghalang mereka daripada mendedahkan identiti pelanggan. Malahan sebelum sesuatu penyedia e-dompet dibenarkan beroperasi, mereka akan menguji tapisan tahap keselamatan dan membuktikan keupayaan teknologi untuk menguruskan sistem ini.

Penggunaan e-dompet turut menjimatkan wang perbelanjaan. Melalui kaedah tradisional, pengguna yang hendak membayar bil atau membeli barang perlu menggunakan kenderaan, membayar parkir dan beratur untuk pembayaran. Apabila sampai ke tempat yang dituju, mereka telah menggunakan perbelanjaan yang menyedut wang mereka. Dengan kaedah e-dompet, mereka hanya menggunakan telefon pintar atau komputer di rumah untuk membuat pembayaran atau memesan barang yang akan dihantar ke rumah.

Sistem ekologi e-dompet akan berkembang dan meluas di Malaysia. Orang ramai yang semakin kritikal dalam pengurusan perbelanjaan kewangan akan mencari platform yang dapat mengurangkan pengaliran keluar wang mereka untuk aktiviti pasif seperti beratur panjang untuk membayar bil elektrik. Masyarakat yang celik internet tidak akan menunggu lama untuk beralih menggunakan e-dompet berbanding wang tunai dalam urusan pembelian dan pembayaran, menjadikan kad kredit dan kad debit tidak lagi penting. Hanya dengan memiliki sebuah akaun bank, pengguna dapat mengoperasi e-dompet dalam tempoh yang singkat.


Sunday, January 19, 2020

Pelbagaikan jenis penyedut minuman






Setelah straw plastik tidak digalakkan penggunaannya di restoran dan kedai makan, pelbagai idea diutarakan sebagai ganti penyedut minuman plastik itu. Idea-idea ini kebanyakannya menyasarkan tekologi hijau sebagai penyelesaian.

Antara idea ini adalah serai, kercut, kertas kitar semula, kaca, agave (tumbuhan kaktus), mee kering, rumpai laut, buluh, besi dan silikon.

Di Vietnam, terdapat idea yang mesra alam iaitu menggunakan rumput liar 'gray's sedge'. Di negara kita ada juga warung yang menyediakan gelas minuman plastik yang tersedia sekali penyedut minuman.

Di seluruh dunia, terdapat keinginan yang kuat daripada orang ramai untuk mengurangkan penggunaan plastik seperti tidak menggunakan beg plastik di pasar raya. Jika ada pun ia digantikan dengan beg plastik yang mudah terurai seperti dilakukan di pasar raya Mydin,

Pengguna yang mahukan beg plastik mereka perlu membayar 20 sen. Namun kebanyakannya membawa beg sendiri untuk mengisi barangan.

Perubahan sikap sesebuah masyarakat terhadap idea baru perlukan sedikit masa. Ia bermula dengan pertembungan idea baru dan amalan lama yang sudah berakar umbi dalam masyarakat. Penggunaan penyedut minuman plastik sudah lama. Seruan supaya meninggalkan amalan ini sangat sukar kerana kita belum biasa minum tanpa straw.

Pengusaha restoran makanan dan minuman menyambut baik saranan ini kerana mereka dapat mengurangkan kos operasi. Namun, pengunjung sudah tentu tidak selesa apabila minum dalam gelas tanpa straw. Jika diberi masa, masyarakat akan sedia menerima budaya baru ini dan tidak menghadapi masalah menggunakan penyedut minuman serai.

Tuesday, January 14, 2020

Keberkesanan program pembasmian kemiskinan di Brunei







Pembasmian kemiskinan di Brunei memberi tumpuan kepada kelompok miskin relatif yang diusahakan melalui pelbagai agensi. Antara faktor kemiskinan di Brunei adalah hilang pekerjaan, kehilangan ketua isi rumah dan pengangguran.

Di Brunei tidak terdapat Pendapatan Garis Kemiskinan yang khusus bagi menentukan tahap kemiskinan, namun dalam satu kajian pada tahun 2014 menyatakan purata pendapatan bagi sepuluh peratus isi rumah termiskin ialah B$994 sebulan. Anggaran perbelanjaan untuk sehari ialah sekitar B$30 hingga B$35 sehari.

Agensi yang terlibat secara langsung dalam pembasmian kemiskinan dan bantuan kebajikan di Brunei adalah Jabatan Pembangunan Masyarakat (Japem), Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB). Ketiga-tiga agensi ini diuruskan secara profesional dan mempunyai kumpulan sasar masing-masing. Model pengurusan juga berbeza kerana penerima bantuan terdiri daripada pelbagai latar belakang.

Pertubuhan bukan kerajaan juga membantu agensi kerajaan dan institusi yayasan mengurangkan kemiskinan seperti Majlis Keselamatan Masyarakat (MKM), Society for Community Outreach and Training (SCOT), Projek Bina Ukhwah dan Katakijau Humanitarian Relief Support Group (KatakIjau). Institusi bank seperti BIDB dan syarikat korporat seperti DST turut melaksanakan program bantuan mereka sendiri.

Jabatan Pembangunan Masyarakat (Japem), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Brunei mempunyai skop perkhidmatan dan bantuan yang lebih umum dan meluas. Kumpulan sasar juga merangkumi kelompok miskin, orang susah, warga emas, kanak-kanak, kurang upaya dan yang ditimpa musibah.

Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Kementerian Hak Ehwal Ugama Brunei yang bertanggungjawab menguruskan bantuan zakat kepada kumpulan yang dikenal pasti khususnya asnaf. Pelbagai program pembangunan dan keusahawanan diperkenal seperti Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) yang dikategorikan sebagai Propaz-PPB, Propaz-Perantis, Propaz-Ziraah dan Propaz-Keusahawanan.

Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) adalah entiti langsung daripada Kebawah Duli yang Maha Mulia Sultan Haji Hassanal Bolkiah yang membantu kelompok sasar melalui aktiviti pemerkasaan dan kebajikan. Fokus YSHHB adalah membantu penerima bantuan berdikari dan keluar dari kelompok miskin dengan menyalurkan dana untuk perniagaan, pendidikan dan pelbagai jenis bantuan. Pihak YSHHB juga menyediakan perkhidmatan intervensi seperti kelas tambahan kepada pelajar sekolah yang dikenal pasti dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah.

Bagi mengetahui keberkesanan program dan impak bantuan perniagaan ke atas penerima bantuan dari Japem dan YSHHB, satu sesi temubual telah diadakan bersama tiga orang responden. Penerima bantuan ini terdiri daripada dua orang wanita dan serang lelaki. Temubual ini bagi mengenal pasti sejauhmana perubahan sosial dan ekonomi sebelum dan selepas menerim bantuan perniagaan. Antara aspek yang ditanya adalah mengenai transformasi hidup, pengumpulan aset dan peranan melibatkan diri dalam persatuan.

Responden pertama, Encik A, merupakan seorang peniaga perabot rehal dan kabinet rumah. Beliau menerima bantuan dari YSHHB dalam bentuk peralatan mesin sejak tahun 2017. Perniagaan yang diusahakannya telah bermula lebih awal lagi dengan membuat tongkat namun menukarkannya kepada produk sekarang kerana permintaan tongkat tidak begitu menggalakkan. Kini beliau mempunyai tiga orang pekerja dengan keuntungan bersih sehingga seribu ringgit sebulan. Beliau tinggal di Rancangan Perumahan Negara Meragang.

Responden kedua, Puan D, mengusahakan perniagaan biskut, jahitan dan kraf manik di Kampung Salambigar dan Kampung Selayun. Beliau menerima bantuan pembelian peralatan memasak dari YSHHB bagi menghasilkan lebih banyak kuih. Sebelum itu beliau penerima bantuan dari Japem bagi meringankan beban kewangan kerana menguruskan seorang anaknya yang dimasukkan ke rumah kebajikan Kanak-Kanak Cacat (KACA). Di sini beliau mendapat tahu tentang bantuan perniagaan yang disedakan oleh YSHHB bagi membantu perniagaan. Melalui perniagaan, beliau mampu menjana pendapatan sehingga B$3000 sebulan khususnya pada musim perayaan.

Responden ketiga, Puan J, pengusaha makanan di Berakas. Beliau menerima bantuan modal perniagaan peti ais sejuk beku dari YSHHB sejak awal tahun 2019. Sebelum itu beliau hanya menyimpan bahan mentah dan ayam di dalam peti ais yang kecil. Puan J memulakan perniagaan sendiri sejak tahun 2009 dengan menjual nasi katok dan ayam goreng dari rumah ke rumah di Berakas kerana mahu menampung perbelanjaan suami yang sering berkurangan. Gaji bulanan suaminya pernah berbaki hanya B$14 selepas ditolak semua perbelanjaan. Kini beliau mengusahakan masakan pizza, mee goreng dan ayam goreng.


Transformasi Sosial

Ketiga-tiga responden menyatakan sebelum ini mereka berhadapan dengan kesukaran kewangan untuk perbelanjaan keluarga.

Encik A berkongsi kesusahan hidup bersama keluarga kerana wujud persepsi negatif terhadap latar belakang beliau sebagai bekas penagih dadah dan pernah dipenjarakan selama lapan tahun. Oleh kerana tidak memiliki pekerjaan, beliau bergantung kepada pendapatan isteri yang bekerja di sebuah bank. Walau bagaimanapun penagihan dadah telah merosakkan pengurusan kewangan keluarga kerana perbelajaan digunakan untuk membeli dadah berbanding keperluan keluarga.

Selepas ditahan atas kesalahan dadah, beliau dimasukkan ke penjara selama lapan tahun. Beliau mendapat kemahiran membuat perabot semasa di penjara seterusnya mempraktikkan kemahiran tersebut selepas dibenarkan keluar. Mengenai bantuan modal perniagaan YSHHB, beliau mendapat maklumat berkenaan ketika wakil agensi tersebut memberi taklimat kepada banduan di penjara.

Selepas dibebaskan, beliau memulakan perniagaan tongkat namun bertukar kepada rehal dan kabinet rumah kerana permintaan yang lebih banyak daripada pelanggan. Bantuan perniagaan yang diterima dari YSHHB ialah peralatan mesin yang membantu mempercepatkan penghasilan produk perabot. Beliau juga melihat syarikatnya mula berkembang dan menggajikan tiga orang pekerja untuk membantunya menyiapkan tempahan yang semakin bertambah.

Kini, kehidupan Encik A telah banyak berubah. Pendapatan yang dijana melalui perniagaan perabot telah mengurangkan bebanan perbelanjaan harian dan bulanan keluarga. Beliau juga dapat menambah jaringan rakan-rakan sama ada dalam kalangan peniaga perabot atau pelanggan yang sentiasa menyokong perniagaannya melalui sokongan peribadi atau galakan menghasilkan produk yang lebih berkualiti.

Sebelum menerima bantuan modal perniagaan, Puan D menerima bantuan kebajikan bulanan dari Japem bagi mengurangkan kesusahan hidup keluarga. Kehidupan yang sukar tanpa pendapatan tambahan menjadika hidupnya sentiasa dihimpit masalah kewangan. Namun, maklumat daripada rakan-rakan yang menghantar anak-anak ke rumah kebajikan KACA telah membuka fikirannya untuk mencuba mendapat bantuan modal bagi perniagaan kuih dan kraf manik.

Sebelum mendapat peralatan mesin, beliau membuat kuih dengan perkakas tradisional yang tidak dapat dihasilkan dalam kuantiti yang banyak. Jenis kuih juga tidak banyak kerana proses menyediakan satu jenis kuih mengambil masa. Selepas menerima peralatan mesin membuat kuih dari YSHHB, beliau dapat menyediakan lebih banyak jenis kuih dan memenuhi tempahan pelanggan khususnya ketika musim perayaan. Penjanaan pendapatan dari hasil jualan juga meningkat dengan keuntungan bersih di antara B$300 hingga B$400 sebulan. Jumlah ini turut disumbangkan melalui perniagaan kraf manik dan jahitan yang dijalankan.

Puan J, pengusaha makanan yang gigih dan mahu mengubah hidup keluarga. Beliau memiliki tujuh orang anak dan mengusahakan nasi katok dan ayam goreng di sekitar kawasan tempat tinggalnya. Beliau melakukannya sendirian iaitu dari proses menerima tempahan, memasak, membungkus dan menghantar makanan kepada pelanggan. Bagi pelanggan yang berdekatan, mereka akan datang mengambil sendiri makanan yang telah dimasak.

Kesukaran berbelanja untuk keluarga kerana kekangan kewangan menjadikan Puan J lebih gigih untuk mencari pendapatan. Kesusahan hidup ini menyebabkan beliau mencari agensi bantuan yang dapat menyediakan peralatan menyimpan makanan sejuk beku. Justeru beliau memohon bantuan modal perniagaan dari YSHHB untuk membeli peralatan berkenaan. Dengan peti sejuk beku ini beliau dapat menyimpan stok barang yang diperlukan dengan lebih baik, dapat mengurus belanja pembelian yang lebih sistematik dan memenuhi tempahan pelanggan dengan teratur. Ketika ini beliau semakin sibuk mengurus tempahan masakan melalui media sosial.


Transformasi Ekonomi

Encik A menyatakan perniagaannya ketika ini telah dapat menjana pendapatan keluarga. Jika sebelum ini beliau kerap memikirkan perbelanjaan keluarga kerana kekurangan wang sedangkan keperluan membeli barangan rumah semakin bertambah. Sejak menerima bantuan modal memberi peralatan perniagaan, beliau dapat menyimpan wang simpanan dan sedang menambah modal untuk membeli harta sebagai pelaburan masa hadapan.

Cabaran utama Encik A dalam perniagaan adalah meluaskan produk ke peringkat serantau dengan menjadikan produk pengeluarannya terkenal dan berkualiti. Ketika ini beliau kerap menyertai kursus dan pameran di dalam dan luar negara supaya dapat memperkenalkan syarikatnya kepada lebih ramai pelanggan.

Puan D juga melihat perniagaannya telah menjana pendapatan sehingga dapat menghantar anak-anak ke universiti. Beliau juga dapat membayar kembali hutang yang dipinjam daripada saudara-mara. Namun cabaran utama yang dihadapi ketika ini ialah memenuhi tempahan kuih, kraf manik dan jahitan yang diterima. Oleh kerana belum dapat mengambil pekerja, beliau perlu membahagikan masa menyiapkan tempahan mengikut jumlah tempahan yang lebih banyak. Contohnya, jika tempahan kuih yang banyak, beliau akan memberi tumpuan kepada pembuatan kuih dan begitu juga sebaliknya jika menerima tempahan untuk jahitan pakaian, beliau akan memberi tumpuan kepada jahitan.

Penjanaan pendapatan daripada jualan bulanan disimpan sebanyak 40 peratus kerana beliau bercita-cita membesarkan perniagaan, menambah peralatan memasak dan jahitan serta mengambil pekerja.

Perubahan ekonomi Puan J sangat jelas. Daripada baki wang gaji suami sebanyak B$14, beliau telah dapat menjana sehingga B$2000 sebulan. Beliau juga dapat merancang simpanan untuk perbelanjaan keluarga dan perniagaan. Dari segi cabaran, beliau masih lagi menguruskan perniagaannya secara sendirian di samping menggunakan media sosial bagi mempromosi masakannya. Dari segi pengumpulan aset, beliau berhasrat memiliki premis perniagaan sendiri pada masa hadapan.


Jaringan Sosial

Encik A dan Puan D melihat perubahan yang ketara apabila mereka mendapat bantuan modal dan menjalankan perniagaan. Puan J pula belum lagi melihat keperluan melibatkan diri dalam persatuan kerana belum merasakan ia satu keperluan.

Encik A merupakan pentadbir kepada kumplan media sosial penerima bantuan modal perniagaan YSHHB ketika ini yang mengumpulkan ahli seramai 49 orang. Di samping itu beliau juga menjadi ahli jawatankuasa masjid di kawasan tempat tinggalnya, ahli peratuan bekas penagih dadah dan beberapa buah persatuan di peringkat daerah. Di peringkat kebangsaan, pencapaian besar beliau adalah pernah dicalonkan bagi Anugerah Belia Negara.

Beliau melihat perubahan dalam tempahan produk jualannya sejak menyertai persatuan dan terlibat dalam aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Di sini beliau mengembangkan lebih ramai kenalan, membantu masyarakat dan cakna terhadap keperluan orang lain.

Puan D tidak menyertai persatuan sama ada di peringkat komuniti atau daerah kerana lebih selesa dengan konsep perniagaan yang dijalankan ketika ditambah pula sibuk menguruskan tiga aktiviti perniagaan secara serentak. Namun, aktiviti perniagaan ini telah mengubah sikap introvert beliau kepada seorang yang berani bercakap, lebih yakin dan sedia berbincang. Biarpun tidak menyertai persatuan, jaringan sosialnya bertambah melalui pertambahan rakan niaga dan pelanggan.


Kesimpulan

Kesejahteraan hidup penerima bantuan perniagaan di bawah model YSHHB menjadi lebih baik kerana mereka dapat merasai transformasi sosial dan ekonomi. Kehidupan mereka juga tidak lagi bergantung kepada bantuan kebajikan sebaliknya memiliki keinginan yang kuat untuk berdikari mengubah hidup.

James Midgley yang memperkenalkan model piawaian pembangunan sosial menyatakan pelaburan sosial dan pelaburan ekonomi menjadi petunjuk bahawa kemiskinan dan kesusahan hidup boleh diubah melalui jaringan komuniti, peluang dalam perniagaan dan pembinaan aset. Bagaimanapun kedua-dua pelaburan ini perlukan penyertaan aktif daripada agensi kerajaan dan swasta yang menyediakan pelbagai sumber sokongan ke arah pembasmian kemiskinan berkekalan.


Sunday, January 12, 2020

Hubungan kaum: Resah menjadi lelah






Semasa isu dekorasi Tahun Baru Cina di sebuah sekolah, tujuh orang menteri kabinet melawat sekolah berkenaan sebagai tanda sokongan. Mereka bergambar sambil memegang tanglung, senyum dan menggesa tanglung dipasang kembali.

Semasa isu tulisan Jawi mahu diperkenalkan di sekolah vernakular Cina dan Tamil seluruh negara, persatuan yang mewakili kepentingan 
pendidikan Cina di Malaysia bangkit membantah. Pengajaran Jawi ditentang oleh Dong Zong dan pemimpin Pakatan Harapan yang bukan Islam. Tidak ada seorang pun menteri kabinet yang mempertahankan tindakan berkenaan sebaliknya tekanan persatuan Cina ini telah berjaya mengurangkan enam helai tulisan khat Jawi kepada tiga helai.

Kesudahannya?

Menteri pendidikan diminta melepaskan jawatan. Sebahagian daripada perletakan jawatan itu disebabkan isu tulisan khat Jawi di sekolah vernakular.

Isu ini menjadi topik hangat dalam masyarakat Melayu kerana ia menyentuh fikiran dan jiwa mereka secara langsung. Tulisan Jawi adalah sebahagian daripada elemen Bahasa Melayu selepas pandangan semesta (worldview) mereka berubah dari Hindu-Buddha kepada Islam.

Kemajuan dan perkembangan tamadun Melayu bergerak seiring dengan pandangan semesta Islam sehingga mereka tidak lagi memerlukan akidah lain untuk menyuluh kehidupan. Mereka meninggalkan ajaran pluralisme dan mengambil tauhid sebagai pegangan hidup sehingga kini.

Isu ini diangkat ke arus perdana apabila tokoh media, Datuk Hussamuddin Yaacub dari Karangkraf melancarkan kempen "Uninstall Hatred dan Reboot Malaysia' kerana menyifatkan suasana hubungan kaum dan agama di Malaysia semakin parah sejak 20 tahun lalu dan boleh menghancurkan negara. Beliau membangkitkan beberapa isu bagi menyokong pandangannya.

Tajuk akhbar Sinar Harian pada 10 Januari 2020 adalah "Jangan hancurkan negara ini dengan kebencian" menarik perhatiankerana berwarna merah dan huruf besar. Ia memberi mesej bahawa terdapat sesuatu yang tidak menyelesakan hubungan kaum di negara ini.

Selepas 63 tahun merdeka, hubungan kaum masih menjadi sebahagian daripada kisah duka masyarakat. Ia kembali menjadi tumpuan selepas Pilihan raya Umum ke-14 lalu yang dilihat menghakis dominasi kuasa politik kaum Melayu. Era ini mencetus sengketa minda dalam kalangan ahli politik Melayu dan bukan Melayu di parlimen sehingga menjadi sentimen untuk meraih sokongan pengundi.

Respon dari masyarakat Islam sangat pantas, sama ada parti politik, pertubuhan bukan kerajaan atau individu.

Respon pertama adalah gabungan penuh dua parti Melayu iaitu Umno dan Pas membentuk Muafakat Nasional di penghujung tahun lepas. Ahli-ahli parti ini tidak tunggu lama untuk bekerjasama dalam setiap pilihan raya kecil yang diadakan. Kebanyakan pilihan raya kecil di Semenanjung Malaysia dimenangi oleh Barisan Nasional manakala Dap menang di Sandakan.

Gabungan ini juga meleraikan permusuhan dan sengketa sesama masyarakat Melayu yang berbeza fahaman politik khususnya di kawasan kampung dan luar bandar.

Sebuah parti kecil yang memperjuangkan kepentingan kaum Melayu, Putra, turut menjadi lebih agresif membangkitkan isu-isu yang dilihat mengenepikan kaum Melayu seperti peminggiran pelajar Melayu dalam biasiswa kerajaan.

Pertubuhan bukan kerajaan yang diterajui kaum Melayu semakin aktif menonjolkan kekuatan ekonomi Melayu. Kumpulan Facebook yang menamakan diri mereka Persatuan Ekonomi Muslim Malaysia melancarkan kempen 'Buy Muslim First' sebagai tindak balas terhadap bantahan tulisan Jawi di sekolah vernakular. Ahli kumpulan ini lebih daripada dua juta. 

Kempen ini memberi kesedaran betapa kekuatan ekonomi kaum Melayu boleh dijana bersama-sama kerana semua jenis perniagaan sememangnya diusahakan oleh masyarakat Melayu, cuma tidak diketahui secara meluas kerana berskala kecil.

Apabila kita meneroka alam media sosial, kita akan dapati krtikan demi kritikan sama ada terang atau tersembunyi ditujukan kepada kepimpinan Pakatan Harapan. Di laman Facebook Najib Razak, kita dapati pendedahan banyak perkara khususnya prestasi ekonomi. 

Begitu juga dengan siri komedi dalam dunia hiburan yang mengkritik prestasi kerajaan.

Kata-kata cacian dan makian secara individu sudah menjadi perkara biasa dek kerana kemarahan dan kebencian.

Situasi yang sedang dihadapi dalam masyarakat Malaysia ketika ini mesti diselesaikan. Ahli politik dilihat gagal membendung keresahan ini dan tanggungjawab beralih kepada pertubuhan bukan kerajaan, agensi kerajaan dan komuniti untuk memastikan hubungan kaum kekal harmoni.

Friday, January 10, 2020

Rencana hidup 2020







Permulaan tahun baru 2020 dibayangi pelbagai kisah dan cerita yang menggelisahkan. Sengketa dan mala petaka alam silih berganti membayangi cabaran besar tahun ini.

Di sebalik keghairahan sambutan bunga api dan sorak-sorai gembira tengah malam 31 Disember 2019, perjalanan tahun 2020 belum tentu segembira rakyat Malaysia melihat letusan dan letupan bunga api di angkasa raya Kuala Lumpur.

Bagi kita yang dapat merasai fajar dan sinaran matahari 1 Januari 2020, Allah swt masih sayangkan kita dan memberi rahmat untuk beramal ibadah. Allah swt mahukan kita melihat dunia sebagai tempat subur untuk melaksanakan kewajipan sebagai hambaNya. Kehidupan yang kita lalui sama ada 10 tahun, 20 ataupun 50 tahun, bukannya untuk bersuka-ria, sebaliknya untuk kita mengejar taqwa.

Ingatan terhadap hidup dunia yang bersifat sementara dan mengutamakan taqwa kerap dinyatakan secara tegas dalam al-quran.


"Dan tidaklah kehidupan dunia ini selain daripada main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa, maka tidakkah kamu memahaminya". (Surah Al-An'am ayat 32)

"Dan tidaklah kehidupan dunia ni melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan kalau mereka mengetahui". (Surah Al-Ankabut ayat 64)

"Sesungguhnya kehidupan dunia hanyalah permainan dan senda gurau. Dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan pahala kepadamu dan Dia tidak akan memnita harta-hartamu". (Surah Muhammad ayat 36)


Apakah pilihan yang kita ada untuk mengelak daripada menidakkan peranan taqwa dalam meneruskankehidu pan? Hanya orang yang enggan tunduk dan menerima mesej ilahi ini akan memperkecil dan memperlekeh kehidupan akhirat yang diberikan kepada orang bertaqwa.

Saban tahun juga kita melihat dan membaca senarai orang kaya. Kekayaan harta adalah lambang kesenangan hidup, kemewahan, status, penting dan berpengaruh. Hidup sebagai orang kaya sudah pasti berada dalam lingkungan kemewahan. Namun, kesenangan yang diperoleh hanyalah memperdaya.


"Kehidupan dunia hanyalah kesenangan (al-mataa') yang memperdaya (al-ghuruur)".
(Surah Ali Imran ayat 185)


Melihat kembali tahun 2019, ada rakan dan sahabat kita yang telah berubah keadaan hidup mereka. Barangkali ada yang semakin sihat, kerap bersenam dan kembali mengekalkan bentuk badan yang praktikal. Namun ada juga yang sudah mula menelan ubat pahit setiap hari kerana bacaan gula dalam darah yang mulai meningkat, mula menelan ubat mengurangkan paras kolestrol dan ada yang mula berkira-kira untuk berjumpa doktor pakar dalam tempoh tiga bulan.

Kehadiran pagi 1.1.2020 juga bermaksud umur fizikal semakin bertambah tetapi belum tentu menambahkan umur biologi. Ada yang berumur 94 tahun tetapi fizikal dan mental umpama 54 tahun tetapi ada berumur 40 tahun namun sudah tidak larat lagi menanggung derita fizikal kerana pelbagai jenis penyakit dalam badan.

Hati yang tenang dan tenteram akan redha dengan takdir yang menentukan setiap peristiwa kerana tiga perkara tidak dapat dielakkan iaitu ajal, jodoh dan rezeki. Ketiga-tiganya tidak dapat diketahui dengan tepat, tidak dapat ditolak dan tidak dapat dijemput tanpa masanya.

Oleh kerana masa hadapan tidak dapat dijangka, kita perlu merancang dan berdoa. Kekuatan utama untuk mencapai sasaran tahun 2020 adalah doa kerana doa akan menarik rasa kasih dan sayang Allah swt.

Contohnya, jika kita mahu selesaikan hutang kad kredit, banyakkan berdoa, solat hajat, solat dhuha dan sedekah yang berterusan. Keterikatan hati dengan talian hayat Allah swt ini membuka ruang kepada rezeki yang tidak disangka-sangka dalam pelbagai bentuk dan saluran. Minta sahaja apa yang hendak diminta sama ada rezeki dalam bentuk wang tunai, projek yang lebih banyak dan harta yang mencukupi.

Selepas itu berusaha dan bertawakkal sepenuh hati.

Saban hari orang mengeluh kerana barang-barang naik harga. Gaji yang diperoleh habis digunakan untuk membayar perbelanjaan rumah dan keluarga tanpa ada baki. Simpanan sendiri tidak pernah ada kerana perlu membayar lebih. Inilah cabaran besar tahun 2020 kerana pendapatan tidak meningkat sedangkan belanja bertambah dengan cepat. 

Jika ada bantuan dari kerajaan, ia dalam bentuk subsidi dan galakan mengurangkan belanja. Pemberian wang bantuan hidup, penyediaan pengangkutan awam yang canggih dan kemudahan berniaga menjadikan keluarga memiliki wang simpanan. Namun ia perlu digandakan supaya keluarga tidak terbeban dengan tekanan hidup dan penyakit.

Malaysia, sebuah negara yang sedang menuju sebuah masyarakat berpendapatan tinggi, sedang giat dengan pelbagai pelaburan dalam dan luar negara. Aktiviti ekonomi yang rancak merentas semua kawasan dan menggesa setiap orang untuk bekerja dan berusaha mencari pendapatan. Jika duduk dan diam, ia akan ditinggalkan. Pencarian wang ringgit dan harta ini menjadikan masyarakat lupa kepada tugas hakiki yang sepatutnya diberi tumpuan.


"Dan tidak Aku menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKu". (Surah Az-Zariyat ayat 56)


Inilah tujuan hidup dan tindakan akhir kehidupan kita. Bekerja siang dan malam seharusnya melalui laluan dan prespektif ketuhanan supaya memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Perspektif tujuan hidup kerana bermatlamat Allah swt dapat meleraikan masalah hidup yang kusut-masai dan sukar diselesaikan. Di akhirat juga dapat membebaskan diri dan keluarga dari azab api neraka.


"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras dan tidak menderhaka kepada Allah apa yang diperintahkanNya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan". (Surah At-Tahrim ayat 5)


Meletakkan persepktif ketuhanan dalam merangka azam dan matlamat dapat menyelamatkan masa dan tenaga kita setiap masa kerana kita tidak tahu bila masanya ajal akan datang menemui kita. 

Pada hari ini, kematian dilihat tidak mengenal masa, usia dan keadaan. Ada orang yang kali terakhir kita lihat sentiasa senyum dan ceria pada sebelah pagi, namun pada sebelah petangnya sudah berada di hospital dan malamnya telah meninggal dunia.

Begitu mudah kematian datang kepadanya.

Bersedia dan merancang untuk hari akhirat yang pasti tidak merugikan apa-apa. Bersedia dengan amal soleh supaya kita menghadapnya dengan hati yang bersih.


"(Iaitu) pada hari (ketika) harta benda dan anak-pinak tidak berguna kecuali orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang bersih". (Surah Asy-Syu'raa ayat 88 hingga 89)


Kebahagiaan dan ketenteraman hati perlukan usaha dan insiatif yang berterusan. Hasil akhirnya adalah membawa amal soleh ketika bertemu dengan Tuhannya.


"Katakanlah (wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu, oleh itu sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapapun dalam ibadat kepada Tuhannya". (Surah Al-Kahfi ayat 110)