Monday, May 29, 2017

Republik Sungai Golok







Penulis: Isma Ae Mohamad
Tahun: 2016
Penerbit: DuBook Press Sdn Bhd, Bandar Baru Bangi, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 328

Isma Ae Mohamad seorang rakyat Thailand, lahir di Muang Pattani, di selatan negara itu. Walau bagaimanapun sebahagian besar zaman remajanya dihabiskan di Kelantan, Malaysia. Hari ini beliau membahagikan masa berulang-alik antara Kelantan dan Bangkok. 

Buku ini umpama cerpen pendek yang diceritakan dalam situasi sebenar. Sebagai orang Islam, orang Pattani dan orang Thai, sukar bagi Ramlee untuk membuat keputusan yang mana satu.

Pengalaman sebagai penghuni tanpa izin di Sungai Golok memberikan perspektif tersendiri kepada Isma Ae untuk berkongsi pengalaman hidup. Seperti gambar pasport pada kulit buku ini, kisah-kisah yang dikongsikan ini membuka mata kita seluas-luasnya untuk melihat bagaimana kehidupan rakyat di sempadan.

Namun, apakah mereka punya identiti sendiri?

Buku ini bakal memberikan jawapan kepada persoalan hidup yang sering kali menjadi pertanyaan dalam dada orang Islam, orang Pattani dan orang Thai ini.


Saturday, May 27, 2017

10 aktiviti Ramadhan








Kehadiran ramadhan pada tahun ini amat bermakna kepada orang-ornag beriman. Peluang melakukan pelbagai aktiviti yang menambah pahala boleh dikatakan wujud setiap masa. Bermula dari waktu sahur hingga berbuka dan berterawih, pahala kebaikan itu sentiasa ada asalkan kita melakukannya secara berterusan walaupun sedikit.

Berikut sepuluh aktiviti yang dapat dilaksanakan secara berterusan biar pun sedikit dengan harapan pahalanya dapat diperoleh.

Pertama, membaca al-quran. Saya berpendapat membaca al-quran boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi harus ada disiplin. Contohnya, peluang mengkhatam al-quran amat luas terbentang pada bulan ini jika kita dapat menyusun jadual pembacaan. Jika kita ingin menghabiskan 30 juzuk al-quran sepanjang bulan ramadhan, lebih baik kita membaca lima muka surat setiap kali selepas solat fardhu. Jika terlepas, ia perlu digandakan kepada sepuluh muka surat.

Kedua, banyak berdoa. Doa adalah otak ibadah. Lebih baik kita berdoa untuk kebaikan hidup di dunia dan akhirat dengan memberi keutamaan kepada harapan supaya Allah menerima amalan kita dan menjauhi azab kubur. Kita menambah baik adab dan tertib berdoa di samping terus berdoa dalam solat-solat malam yang kita lakukan. Sekiranya kita mempunyai hajat khusus, berdoalah dengan sepenuh hati.

Ketiga, bersahur di hujung waktu atau melewat-lewatkan sahur. Kekuatan berpuasa sepanjang hari terletak pada jumlah makanan yang ada di dalam tubuh badan kita. Kebaikan melewatkan sahur antaranya adalah memberi lebih tenaga untuk bergerak sepanjang hari. Amalan ini juga menjadikan kita dapat mengerjakan solat subuh secara berjemaah di masjid. Justeru, ketika ramadhan inilah keadaan orang ramai yang bersolat subuh seolah-olah seperti keadaannya bersolat jumaat.

Keempat, masa menghafal surah-surah pilihan. Waktu rehat tengah hari adalah masa terbaik untuk memulakan hafalan surah-surah yang digalakkan untuk menghafal seperti al-kahfi, al-mulk dan al-waqiah. Baik juga jika kita dapat menggunakan teknik hafalan yang mudah iaitu mengulangi setiap ayat yang hendak dihafal itu sebanyak 19 kali. Saya telah mencuba kaedah ini dan berjaya menghafal surah al-kahfi biar pun mengambil masa agak lama.

Kelima,  ziarah kubur. Kita yang sempat menyambut ramadhan harus bersyukur sebanyak-banyaknya kerana dapat melakukan amalan yang mana pahalanya digandakan. Ada rakan-rakan kita yang tidak sempat bersama ramadhan kali ini kerana Allah menjemput mereka lebih awal. Dua orang rakan saya yang masih muda turut dijemput Allah hanya beberapa hari sebelum ramadhan tiba. Menziarahi kubur dapat menginsafkan kita di samping memberi motivasi ke arah melakukan amalan yang baik-baik sahaja.

Keenam, banyakkan syukur. Konsep syukur ini berbeza-beza. Orang  yang banyak wang mereka boleh meraikan majlis berbuka di surau atau masjid, orang yang kurang mampu boleh bersyukur dengan bertasbih dan beristighfar sepanjang masa yang terluang sebelah pagi dan petang.

Ketujuh, jangan lupa terawih di masjid berhawa dingin. Hari ini, rata-ratanya surau dan masjid sudah memasang pendingin hawa untuk memberi keselesaan kepada jemaah. Ia juga sebagai daya penarik kepada orang-orang muda untuk datang ke masjid dan mengimarakan ibadah. Jika tidak ada pendingin hawa, kipas gergasi sudah memadai kerana ia juga dapat memberi keselesaan. Di samping mendinginkan, imam hafiz yang dijemput dapat meningkatkan kemanisan bersolat lebih-lebih lagi jika dibuat 20 rakaat. Lepas terawih jangan lupa pula makan moreh yang disediakan.

Kelapan, bersedekah tidak kira masa. Ganjaran orang yang bersedekah ketika ramadhan amatlah banyak. Jadi, sedekahlah apa sahaja yang kita ada dari wang ringgit kepada ilmu dan kemahiran. Jika tidak dapat buat pada waktu siang, buatlah pada waktu malam atau pada masa yang kita senang. Kalau ada wang lebih, sedekahkan seikhlas-ikhlasnya kepada pembinaan masjid atau tempat mencari ilmu kerana kedua-dua tempat ini merupakan lubuk amal jariah paling hebat.

Kesembilan, rajin solat malam. Inilah ketikanya kita dapat mendirikan solat tahajjud yang memberi pelbagai kelebihan khususnya kekuatan jati diri muslim. Pemimpin yang bersolat malam akan menjadikan kepimpinannya dalam keadaan mendapat bantuan Allah, mendapat ilham untuk mengatasi masalah masyarakat dan menambat hati setiap rakyat, bukannya melalui wang yang banyak atau kedudukan pangkat yang tinggi.

Kesepuluh, memberi sebanyak-banyaknya maaf. Maafkan sesiapa sahaja yang kita pernah bertelingkah, tidak setuju atau menyampah. Maaf memberi kelebihan kepada kita kerana di hati kita sudah tidak ada perasaan dendam yang menyakitkan hati. Maaflah setiap malam sebelum kita tidur supaya ketika bangun keesokan harinya fikiran dan kehidupan kita dalam keadaan tenang dan tenteram.


Monday, May 15, 2017

Al-quran memartabatkan ilmu, membumikan titah wahyu







Penyunting: Siti Rohana Omar, Nooraini Sulaiman
Tahun: 2017
Penerbit: Penerbit UTeM, Universiti Teknikal Malaysia Melaka.
Muka Surat: 330



Hari ini, sama ada kita sedar ataupun tidak, teknik dan strategi pendidikan al-quran telah berkembang, tidak lagi terhad kepada perbahasan berkaitan kaedah untuk membacanya ataupun kaedah melagukannya sahaja. Interaksi kita dengan al-quran semakin menjelekit dan akrab, sesuai dengan fungsi al-quran sebagai penawar dan rahmat (surah al-Isra’ ayat 82).

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ ۙ وَلَا يَزِيدُ الظَّالِمِينَ إِلَّا خَسَارًا


“Dan kami turunkan dari al-quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman dan al-quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian”.
  
Sejarah telah membuktikan bahawasanya al-quran adalah satu-satunya kitab yang luar biasa pengisiannya. Ia adalah satu-satunya mukjizat yang diturunkan ke atas nabi muhammad saw yang kekal berada di tangan kita pada hari ini. Pada saat keterbatasan manusia mencari dan menggali teori ilmu sains, teknologi, perubatan, kejuruteraan dan pelbagai ilmu keduniaan.

Al-quran telah membicarakan secara meluas tentang asas-asas teori ilmu berkenaan dengan begitu terperinci melalui pelbagai ayat sebagai membuktikan kemukjizatannya.

Saya memetik sebahagian kecil daripada tulisan Syed Qutb dalam bukunya, “fi zilalil quran” iaitu tentang perasaannya terhadap al-quran. Beliau berkata, “Aku hidup seolah-olah mendengar allah bercakap kepadaku dengan al-quran ini…”

Maksud Syed Qutb ialah hidup dengan al-quran ini merupakan “nikmat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia”. Tidak ragu-ragu lagi bahawa kehidupan bersama al-quran mencetuskan perasaan untuk mewujudkan keseimbangan yang indah antara kehidupan manusia dengan kehidupan alam.

Buku ini merupakan cetusan pemikiran beberapa penulis yang membentuk 19 rencana berkaitan al-quran sempena Karnival Kemukjizatan Al-Quran Kebangsaan 2017 yang dianjurkan oleh Pusat Islam UTeM dan Pusat Bahasa dan Pembangunan Insan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka, Jabatan Mufti Negeri Melaka, Jabatan Agama Islam Melaka, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Jawatankuasa Hal Ehwal Islam IPT Malaysia (Jaheis).




Sunday, May 14, 2017

Tambah baik kempen anti-rasuah








Tarikan terhadap wang, harta dan kenderaan mewah sukar ditolak oleh mana-mana individu yang terliur dengan tawaran berkenaan. Kereta BMW lima siri, tiket penerbangan bercuti ke luar negara dan wang tunai menjadi tarikan untuk hidup mewah. Sogokan bagi mendapatkan projek yang berjumlah ratusan ribu ringgit ini sudah menjadi lumrah dalam dunia perniagaan, sama ada diterima atau tidak bergantung kepada kekuatan diri individu yang disogok atau tahap integriti diri yang ada padanya.

Ada juga sogokan yang berbentuk barang seperti telefon pintar, penyelesaian hutang, wang perlindungan atau ‘token’ bayaran keperluan harian.

Dakwaan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap rasuah, pemberi dan penerima rasuah sedang merangkumi pelbagai peringkat. Ada orang politik (kes di Johor), pegawai kerajaan (kes ketua setiausaha sebuah kementerian), orang korporat (kes di Petronas) dan penguatkuasa (kes melibatkan agensi imigresen, polis dan anggota JPJ).

Pendedahan terhadap dakwaan-dakwaan ini menunjukkan aktiviti rasuah, pada hakikatnya, sangat banyak. Mereka yang terlibat dilihat memiliki satu kekuatan untuk merasuah kerana wujud persaingan untuk mendapatkan projek atau tamak melihat wang di hadapan mata.

Rasuah didefinisikan sebagai salah guna kuasa yang diberikan untuk mendapatkan keuntungan peribadi (UNDP, 2010). Fenomena ini dapat dilihat di sesetengah negara dan aktiviti rasuah ini berbeza-beza mengikut negara.

Rasuah memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara seperti kemasukan pelaburan asing (Powell, 2011; Evrensel, 2010; Aidt et al. 2008).  Anokhin dan Schulze (2009) merumuskan kegiatan rasuah melemahkan inovasi. Justeru, rasuah menjadi instrumen penting yang muncul akibat daripada keadaan sosial dan budaya masyarakat. Puncanya boleh dipecahkan kepada faktor ekonomi dan bukan ekonomi (Shadabi, 2013). Sebelum itu, Dreher et al. (2007) memecahkan empat aspek yang menyebabkan rasuah berlaku iaitu politik, sejarah, sosiobudaya dan ekonomi.

Pinto et al. (2008) membahagikan rasuah kepada dua jenis iaitu organization of corrupt individuals (OCI) dan corrupt organization (CO). Dalam kedua-dua jenis rasuah ini, organisasi adalah unit utama. Bentuk rasuah yang terlibat menentukan sama ada individu yang mendapat manfaat atau organisasi yang mendapat manfaat.

Kajian oleh Cameron et al. (2009) menunjukkan tidak terdapat hubungan antara tahap rasuah dengan kewarganegaraan yang bererti rasuah tidak ada kaitan dengan kenegaraan. Contohnya, walaupun ada negara yang memiliki indeks persepsi rasuah yang baik, namun tidak semestinya rakyat negara itu semuanya tidak melakukan rasuah.

Kajian oleh Shadabi (2013) juga menunjukkan agama tidak ada pengaruh signifikan terhadap rasuah, ertinya ialah keagamaan adalah penghalang dalaman bagi menghindari amalan-amalan rasuah namun tegahan-tegahan yang terdapat dalam agama tidak cukup kuat bagi mengelakkan berlakunya rasuah. Beliau mencadangkan usaha-usaha wajar diberikan ke atas faktor-faktor budaya seperti media untuk menambah baik program dan kempen anti-rasuah.


Rujukan

Aidt, Toke, Dutta Javasri & Sena Vania. (2008). Governance regimes, corruption and growth: Theory and evidence. Journal of Comparative Economics36(2): 195-220.

Anokhin, Sergey & William S. Schulze. (2009). Entrepreneurship, innovation, and corruption. Journal of Business Venturing, 24(5): 465-76.

Cameron, Lisa, Ananish Chaudhuri, Nisvan Erkal & Lata Gangadharan. (2009). Propensities to engage in and punish corrupt behavior: Experimental evidence from Australia, India, Indonesia and Singapore. Journal of Public Economics93(7-8): 843-51.

Pinto, J,  Leana, C.R & Pil, F.K. (2008). Corrupt organizations or organizations of corrupt individuals? Two types of organization-level corruption. Academy of Management Review, 33(3): 685–709.

Shadabi, L. (2013). The impact of religion on corruption. The Journal of Business Inquiry12: 102−117.

Evrensel, Ayşe Y. (2010). Corruption, growth and growth volatility. International Review of Economics and Finance, 19(3): 501-14.

UNDP. (2010). Human Development Report, Published for the United Nations Development Programme. Retrieved from: http://www.hdr.undp.org.


Monday, May 08, 2017

Memoir Imam Hasan Al-Banna







Penterjemah: Solehan bin Ayub
Tahun: 2014
Penerbit: Pustaka Salam, Batu Caves, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 386

Buku ini sudah tentu tidak sama seperti buku-buku lain. Penulisnya juga tidak sama seperti penulis-penulis lain. Kandungannya tidak sama seperti kandungan yang ditulis dalam buku lain oleh penulis lain atau oleh pakar lain, pada bila-bila masa walau di mana sahaja.

Abu Hasan Ali al-Nadwi, pemimpin Nadwah Ulama dari India berkata buku ini merupakan kunci utama untuk memahami dakwah dan peribadi Hasan Al-Banna.

Buku ini mengenengahkan faktor-faktor kekuatan dan kehebatan beliau sebagai pendiri jemaah Islamiah. Kedua-dua faktor yangmempengaruhi ramai manusia ini terletak pada fitrah yang murni, jiwa yang suci, rohani yang bercahaya, kepekaan pada agama dan semangat pada Islam.

Justeru, pendokong dan peneraju dakwah Islamiah amat perlu mengkaji buku ini dan menjadikannya sebagai sentral perbincangan usrah dan halaqah mereka supaya wujud keinginan dan keazaman membentuk jiwa pemuda yang serba boleh merangkumi pelbagai dimensi hidup.


Sunday, May 07, 2017

Bina standard dalam hidup







Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 kelihatan lebih meriah kali ini. Ruang dewan pameran padat dengan pengunjung yang mahu mendapatkan buku pada harga promosi.

Seroang pengunjung dari Melaka ingin mendapatkan set buku Fiqh Sunnah. Dari satu gerai ke satu gerai beliau mencari akhirnya terjumpa gerai yang menawarkan sehingga 50 peratus diskaun untuk set buku berkenaan.

Di tingkat atas, syarikat buku gergasi PTS penuh dengan pengunjung dari pelbagai latar belakang. Ada pelajar, ibu bapa, kakitangan awam dan orang ramai yang berpusu-pusu mendapatkan buku yang dijual sehingga RM3 senaskah. Buku-buku ini yang diletakkan di dalam sangkar tidak sunyi daripada orang ramai yang membelek-belek kulit luar buku yang dipamerkan.

Dengan menawarkan harga yang rendah dan murah, pengunjung pesta buku dapat membeli lebih banyak buku untuk dijadikan bahan bacaan, rujukan atau dihadiahkan kepada rakan-rakan atau perpustakaan sekolah.

Pesta buku ini juga menjadi tempat penulis-penulis mempromosi buku baru mereka. Biasanya novel atau buku motivasi menjadi pilihan. Di samping itu, buku terjemahan turut memenuhi rak-rak yang disediakan. Jika dulu kita sering mendengar nama Anthiny Robbins melalui buku bahasa Inggeris, kini karyanya ‘Unlimited Power’ sudah boleh dibaca dalam bahasa Melayu. Muka hadapan buku ini masih dalam bahasa Inggeris tetapi kandungan dalamnya telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Syabas kepada PTS yang mengambil inisiatif ini seiring dengan semangat kerja mereka iaitu ‘memandaikan bangsa”.

Karya terjemahan dapat memberi peluang kepada pembaca yang kurang memahami bahasa Inggeris untuk memulakan langkah membaiki diri dan mencuba nilai-nilai baru dalam hidup mereka. Sekurang-kurangnya mereka mendapat idea tentang bagaimana hendak menguasai kemahiran-kemahiran baru yang dapat memberikan hala tuju dalam hidup masing-masing.

Selari dengan Anthony Robbins adalah buku terjemahan Donald Trump.

Salah satu buku beliau saya belek dari hujung ke hujung dan terbaca pada satu muka surat yang berkaitan dengan prinsip hidupnya. Trump berkata, beliau mempunyai standard hidup tertentu dan mahukan orang yang bekerja dengannya tahu standard berkenaan dan berusaha untuk mencapainya.

Berkaitan dengan hidup kita, sebaik-baiknya kita juga memiliki standard hidup tertentu dan berusaha memastikan kita dapat memenuhi kriteria dalam standard berkenaan. Contohnya, kita mewakili satu matlamat utama dalam kerjaya, katakan mahu menjadi profesor sebelum berumur 45 tahun. Sasaran ini bukannya mudah kerana banyak kriteria yang perlu dipenuhi seperti memenuhi bilangan penerbitan artikel, mempunyai sejumlah penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran, melakukan khidmat masyarakat dan sumbangan kepada universiti. Semua kriteria ini mempunyai standard tertentu untuk dicapai. Apabila semua kriteria dipenuhi dan tercapai, barulah jawatan profesor akan diberi.

Begitu juga dalam kerjaya lain, ada standard tertentu yang perlu dicapai untuk mendapat habuan dan ganjarannya.


Wednesday, May 03, 2017

6 petua terbit artikel di jurnal










Dalam dunia akademik, suka ataupun tidak, seseorang pensyarah perlu menerbitkan seberapa banyak artikel berkaitan bidangnya. Cabaran yang dihadapi wajar ditangani, dirancang dan diselesaikan. Kata kuncinya adalah mengurus. Jika kita dapat mengurus sumber yang sedia ada, yang lainnya menjadi lebih mudah.

Justeru, slogan yang patut digunakan adalah ‘yang susah menjadi senang, yang senang menjadi mudah dan yang mudah membuahkan hasil’.

Masalahnya adalah sikap kita sendiri yang memberikan pelbagai alasan.

Ada seorang rakyat Amerika Syarikat yang belajar seni pertahanan diri aikido. Beliau mempelajari aikido ini sehingga mampu membuka pusat latihan sendiri dan melatih ramai orang. Suatu hari beliau bercadang ke Jepun untuk bertemu jurulatih berbangsa Jepun kerana beliau hendak menambah kemahiran dan kepakarannya.

Sampai di rumah jurulatih berkenaan, beliau dijemput minum teh hijau. Di sini beliau melihat adat dan tertib minum teh orang Jepun. Sambil berbual-bual, jurulatih Jepun tadi menuang teh hijau ke dalam cawan orang Amerika ini sehingga melimpah dan membasahi meja tempat letak teh tadi.

Pengajarannya ialah kalau kita hendak belajar tetapi bersikap sombong dan ‘tujuk pandai’, sampai bila-bila pun sukar hendak menerima idea-idea baru. Ilmu yang bakal diperolehi tidak sampai ke hati sebaliknya ditolak keluar oleh kerana sikap sombong dan meninggi diri. Justeru, wajar sekali kita mengambil sikap berfikiran terbuka untuk menerima pelbagai jenis imu dan pengalaman.

Dalam dunia akademik, salah satu perkara yang seringkali menjadi perhatian ialah bilangan artikel yang diterbitkan di jurnal atau buku yang dihasilkan. Barangkali banyak alasan yang diberikan untuk menjustifikasi dua pertanyaan ini namun hakikatnya adalah ‘penat menulis dan penat memberi alasan adalah sama’.

Baru-baru ini Coach Jai bermurah hati memberikan tips kepada sekumpulan ahli akademik tentang formula untuk menghasilkan lebih banyak artikel dan penulisan. Kita namakan ia sebagai tips untuk survive dalam dunia akademik.

Pertama, mesti ada kumpulan penyelidikan sendiri, jangan sekali-kali bekerja seorang diri. Beliau memetik kata-kata Menteri Pendidikan Tinggi yang memaklumkan bahawa era hari ini adalah era translational research iaitu penyelidikan yang memberi faedah kepada masyarakat.

Bagaimanapun, ada yang berkata bagaimana mahu menerbitkan artikel sedangkan di sini keutamaan lebih kepada penyelidikan teknikal. Namun, beliau melihat keadaan itu sebagai satu kelebihan kerana setiap kajian perlu ada elemen sains sosial.

Biarlah dalam kumpulan ini ada ahli yang berbeza dan susah hendak dibuat kawan. Lebih baik kita belajar mengurus persahabatan, merendah diri dan jadikan diri kita boleh berada dalam kalangan ahli akademik yang terdiri daripada pelbagai disiplin pengajian.

Oleh kerana sikap manusia suka dipuji, wajar bagi kita untuk belajar memuji orang lain dan elakkan berasa jemu atau ‘menyampah’ dengan ahli yang tidak sehaluan dengan kita.

Setiap orang ada kelemahan dan belajar bagaimana bersikap toleransi dengan rakan-rakan baru dalam kumpulan.

Dalam kumpulan, agihkan tugasan mengikut keupayaan setiap orang kerana pasti ada ahli yang mahir memulakan tulisan bahagian pengenalan, jadi, biarlah beliau yang memulakan dahulu. Ada ahli yang bijak membuat analisis, jadi biarlah beliau menganalisis data yang ada.

Akhirnya, satu data yang sama boleh dipecahkan kepada lima hingga lapan artikel. Sudah tentu bilangan ini dapat menaikkan rating kita untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi dalam tempoh yang singkat.

Ada pepatah India yang berbunyi ‘kalau tak boleh hidup bersama, akan mati bersama ‘ iaitu hidup perlu berkompromi, lama-kelamaan kehadiran kita pasti akan diterima.

Begitu juga dengan sifat keihklasan dan tidak merungut. Jika orang lain tahu yang kita memang ikhlas dalam memberi pandangan dan sanggup berkorban bersama-sama, satu hari nanti mereka akan menerima kita.

Jika artikel yang telah siap dan dihantar tetapi ditolak, anggaplah ia sebagai proses pembelajaran dan berikan usaha ke arah membaiki sebarang kelemahan.

Kedua, ada mentor. Mentor ada di mana-mana dan kita perlu mencari mentor. Bekerjasama dengannya dan peruntukkan masa untuk belajar membuat artikel yang berkualiti. Kadang kala mentor ini (biasanya profesor) mempunyai idea yang banyak tetapi mereka tidak sempat menulis. Apabila nama kita sudah ada bersama-sama mentor, mudah bagi pihak jurnal untuk menerima artikel kita. Cara mendapat nama ialah merapatkan diri dengan pelbagai aktiviti profesor tadi dan kecilkan jurang perbezaan antara penyelidik.

Begitu juga para profesor ini memiliki banyak idea tetapi tidak ada masa, justeru, tugas kita ialah paksa diri untuk menyusun semua dokumen. Cari masa dan tempat untuk merapatkan diri dengan mereka, cari jalan mengurangkan jurang komunikasi, seterusnya belajar cara mereka berkawan.

Oleh kerana profesor ini mempunyai ego sendiri, lebih eloklah kita yang memulakan langkah melakukan tugasan kecil-kecilan di samping memahirkan diri seni berkomunikasi dan mengurus penulisan.

Ketiga, meletakkan sasaran dalam hidup. Jika tidak ada kompas hidup, ke mana hendak mengarahkan hidup kita? Bila hendak menjadi seorang profesor, dekan? Bila masa hendak memulakan penulisan?

Sasaran seorang ahli akademik ialah tidak lain dan tidak bukan menulis artikel dan menerbitkannya sama ada sebagai buku atau artikel di jurnal. Peruntukkan masa satu jam untuk menulis.

Keempat, motivasi diri. Motivasi ini mungkin datang dari diri sendiri, keluarga atau rakan-rakan. Kita perlu mengenal pasti motivasi diri supaya dapat mencapai matlamat. Kita harus sedar bahawa tidak ada yang kebetulan, ia mesti dirancang. Jika yang dirancang itu tidak menjadi, sudah pasti ada hikmahnya.

Kelima, cari ilmu dan kemahiran. Jangan berhenti belajar. Jika berhenti, itulah permulaan untuk gagal dalam hidup. Dalam hal ini, ilmu dan kemahiran adalah dua perkara yang berbeza. Ilmu ditambah dengan pengalaman dan kemahiran akan membuahkan keterampilan (competent). Barangkali kita tidak tahu apa yang kita akan dapat pada masa depan.

Jika kita meletakkan diri kita sebagai seorang pelajar, in-sya Allah kita akan mendapat pahala yang berpanjangan iaitu Allah memberi habuan sepanjang perjalanan kita sebagai pelajar. Dalam hal ini, bukan sahaja sampai ke destinasi akan mendapat habuan, malah liku-liku dalam perjalanan tersebut sudah pun diberi habuannya. Begitu juga para malaikat mendoakan kita.

Keenam, cari sokongan sama ada sokongan dalaman atau luaran. Sokongan ini sebaiknya yang kita nampak tetapi tidak pula kita mengabaikan sokongan yang tidak nampak. Tidaklah salah untuk kita merendahkan diri dalam apa juga keadaan kerana sifat merendah diri ini menjadikan diri kita lebih dihormati.

Keenam-enam panduan ini boleh menjadi dorongan kepada ahli akademik memulakan langkah awal menulis dan menerbitkan artikel masing-masing. Kejayaan kaedah ini menjadikan ahli akademik yang aktif menghasilkan 30 hingga 40 artikel setahun dalam pelbagai isu.

Usaha ini perlukan kesungguhan untuk memulakan aktiviti menulis. Ahli akademik perlu memaksa diri untuk menerima cabaran, lawan diri sendiri untuk menempuh kesukaran dan bersedia dengan pelbagai halangan.

Cabar diri sendiri dengan bertanya dan memberi jawapan kepada 18 soalan ini. Dapatkan jawapan dan mulakan perubahan dalam dunia akademik kita hari ini. Cari seorang rakan untuk beliau tanyakan soalan ini kepada kita dan rakamkan jawapan yang kita sendiri berikan.

1. Apa yang saya mahu?
2. Kenapa saya mahukannya?
3. Apa yang saya dapat lihat, dengar dan rasa apabila saya dapatkannya?
4. Di mana saya mahukannya?
5. Bila saya mahukannya?
6. Dengan siapa saya mahukannya?
7. Apa tindakan yang saya akan ambil?
8. Adakah saya sendiri akan buat?
9. Adakah ia dikawal sepenuhnya oleh saya?
10. Apakah langkah awal saya?
11. Apa fasa pelaksanaannya?
12. Apa strategi dan pelan saya?
13. Apa maklum balas yang akan diperolehi?
14. Apa halangan yang bakal dihadapi?
15. Apa sumber daya yang dimiliki (dalaman dan luaran)?
16. Adakah berekologi/seimbang?
17. Kenapa saya betul-betul mahu?
18. Apa bukti-bukti yang saya telah milikinya?

Tuesday, May 02, 2017

Cara berkesan hapus semut merah di rumah







Keselesaan berada di dalam rumah bersama keluarga pasti terganggu apabila deretan semut merah bersaiz kecil merumuti sisa makanan di dalam plastik sampah atau menebuk mee maggi yang kita letakkan di atas para. Semut ini akan muncul entah dari mana dan membuat laluan yang tidak ada penghujungnya.

Kehadiran semut ini memeningkan kepala, namun banyak cara yang kita boleh lakukan untuk mengurangkan atau menghapuskan jejaknya sama sekali.

Cara yang mudah ialah memastikan semua sisa makanan dimasukkan ke dalam plastik sampah seterusnya diletakkan di luar rumah khususnya di dalam tong sampah. Jika dibiarkan, biar pun sebentar, rombongan semut akan mula melingkari makanan berkenaan.

Meja tempat makan perlu dilap sehingga bersih manakala bekas makanan, gula, madu, susu tepung dan makanan berbungkus perlu ditutup rapat. Manakan tidak, beras yang berada di dalam bungkusan plastik boleh ditebuk untuk dimakan. Beginilah hebatnya semut merah melakukan kerja mereka.

Cara lain ialah membiarkan sedikit air bergenang di laluan semut ini. Genangan air ini tidak perlu banyak kerana ia mengambil masa untuk kering. Fungsi air ialah memutuskan laluan perjalanan semut khususnya di laluan yang kerap menjadi pilihannya.

Cara yang lebih praktikal dan sangat berkesan ialah mendapatkan ubat semut serbuk jenama "Shang Jia Ants Clean" yang boleh dibeli di kedai barangan logam (hardware shop) dengan harga dua ringgit untuk tiga peket.

Taburkan serbuk ubat ini pada laluan semut di dua atau tiga tempat supaya lebih banyak semut yang membawa balik serbuk ini ke sarangnya.

Perubahan awal yang kita dapat lihat adalah banyak semut yang berebut mendapatkan serbuk ini. Jika kita tabur pada sebelah pagi, keesokan harinya laluan berkenaan sudah hilang. Tidak ada lagi semut yang muncul biar pun seekor.

Jika masih terdapat banyak laluan semut, kita boleh menggunakan lebih banyak peket dan memerhati perubahan yang berlaku setiap hari.

Risiko membiarkan semut melata di dalam rumah lebih ketara pada kanak-kanak. Semut merah boleh menggigit kulit badan sehingga kemerah-merahan dan melepuh. Justeru, langkah awal wajar diambil supaya semut merah tidak bermaharajalela di dalam rumah kita.


Monday, May 01, 2017

Imam-imam yang benar






Penulis: Abdul Latip Talib
Tahun: 2011
Penerbit: PTS Litera Utama Sdn Bhd, Batus Caves, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 688

Buku yang tebal ini menghimpunkan kisah imam yang empat iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafie dan Imam Hanbali. 

Pada muka surat awal, terdapat kisah ringkas setiap imam ini bersama pengaruh mereka di seluruh dunia. Imam Hanafi berpengaruh di kawasan Timur Tengah sehingga ke benua kecil India, Imam Malik tertumpu di benua Afrika, Imam Syafie pula di kawasan tengah Afrika, sebahagian Semenanjung Arab dan India sehingga ke Asia Tenggara. Imam Hanbali mendapat pengaruh di kawasan Semenanjung Arab sahaja.

Keempat-empat imam ini memberi sumbangan yang besar kepada umat Islam sepanjang zaman. Pandangan mereka mewakili kefahaman yang mendalam terhadap fiqh Islam.  

"Sesungguhnya ulama adalah pewaris para nabi. Sungguh para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Sungguh mereka hanya mewariskan ilmu maka barang siapa mengambil warisan tersebut dia telah mengambil bahagian yang banyak" (Hadis Riwayat At Tirmidzi)

Inilah kisah ulama pewaris nabi, mereka adalah imam-imam yang benar.

Imam Abu Hanifah
"Abu Hanifah adalah bapa dan pemuka seluruh ulama fiqh" - Imam Syafie

Imam Malik
"Seandainya tidak ada Malik dan Sufyan maka sungguh akan hilanglah ilmu Hijaz" - Imam Syafie

Imam Syafie
"Setiap ahli hadis yang memegang tinta adalah terhutang budi kepada Imam Syafie" - Imam Ahmad bin Hanbal

Imam Ahmad bin Hanbal
"Ahmad bin Hanbal imam dalam lapan hal, imam dalam hadis, imam dalam fiqh, imam dalam bahasa, imam dalam al-quran, imam dalam kefakiran, imam dalam kezuhudan, imam dalam warak dan imam dalam sunnah" - Imam Syafie

Petikan nasihat Imam Hanbali iaitu dunia ini adalah tempat beramal sementara akhirat tempat menerima balasan. Sesiapa yang tidak beramal di sini akan menyesal di sana.