(nst.com.my) |
Kesediaan Kontinjen Polis Pulau Pinang menjadikan ibu tua berusia 100 tahun, Meliah Md Diah dan Abd. Rahman Saud yang berusia 62 tahun yang juga orang kurang upaya sebagai keluarga angkat amat menyentuh hati. Kisah kedua-dua beranak ini pernah disiarkan oleh akhbar.
Mereka berdua tinggal di Kampung Bukit Nambua, Belimbing Kanan, Padang Terap, Kedah. Tentu ada kisah di sebalik kesediaan Datuk Abdul Rahman Hanafi, Ketua Polis Pulau Pinang membuat keputusan itu selepas yang melawat keluarga berkenaan.
Kita boleh bayangkan ketabahan ibu menjaga anaknya yang perlukan jagaan rapi ini. Mungkin ada orang kampung yang mengambil berat keluarga ini namun tentulah bantuan berkenaan terhad kerana orang kampung juga perlu menjaga keluarga masing-masing.
Huluran tangan kontinjen polis ini sedikit sebanyak membantu kedua-dua beranak menguruskan hidup dengan lebih baik. Contohnya dari segi keperluan makan minum dan pakaian. Perhatian ke atas pemakanan sangat penting kerana si ibu tentu perlukan makanan yang sesuai dengan tahap umur manakala anaknya perlukan makanan khusus untuk perkembangan fizikal.
Begitu juga dengan pemeriksaan kesihatan. Selepas ini kesihatan kedua-duanya akan lebih diberi perhatian kerana pihak polis sudah tentu ingin melihat mereka berdua dalam keadaan sihat dan ceria. Mungkin si anak perlu disediakan kerusi roda, tempat mandi yang istimewa dan juga peralatan mandian yang sesuai. Jika semua dapat disediakan, kehidupan Makcik Meliah dan anaknya akan lebih bererti.
Bagi masyarakat awam, mereka juga boleh membantu dengan memberi pelbagai bantuan memenuhi keperluan harian seperti beras, pakaian, lampin pakai buang dan tambah baik infrastruktur rumah supaya sesuai dengan keadaan kedua-dua beranak.
Kontinjen Polis Pulau Pinang boleh dijadikan contoh dalam mendekatkan keprihatinan polis terhadap golongan masyarakat yang kurang berkemampuan. Walaupun akan melibatkan kos kewangan dan masa untuk memberi perhatian kepada kedua-dua beranak ini, kita yakin Datuk Abdul Rahman dan semua anggota polis Pulau Pinang akan berasa puas selepas melihat kehidupan keluarga angkat mereka bertambah baik dan sejahtera.