Sunday, August 30, 2015

Bangsatkah kita?







Kamus Dewan mentakrifkan bangsat kepada tiga iaitu orang jahat seperti pencuri, kutu busuk dan mengembara. Perkataan lain yang memberi maksud bangsat ialah keparat dan sengkek.

Dalam konotasi umum, menyebut bangsar memberi gambaran yang negatif kerana kita sudah biasa dengan maksud negatif tersebut. Perkataan “kau bangsat, hang bangsat” dan sebagainya biasa kita dengar apabila menzahirkan sesuatu yang tidak disukai dalam keadaan marah.

Ia menjadi perkataan negatif yang telah melekat kuat dalam fikiran kebanyakan masyarakat kita.

Maksud lain bangsat, jika dilihat dari maksud di atas, membawa maksud mengembara atau merantau. Penulis novel terkenal, Shahnon Ahmad, menjelaskan maksud bangsat ini dalam novel Detik-Detik Diri Di Daerah Daif sebagai “ayahnya adalah bangsat dari tanah seberang”.

Bangsat dari perspektif ini ada dua iaitu orang yang berasal dari sesuatu tempat ke tempat lain dan menumpang sesuatu tempat. Bangsat tidak boleh dikatakan kepada penduduk peribumi yang tinggal di sesuatu tempat.

Dunia global abad ini menyaksikan migrasi beramai-ramai masyarakat dari dunia ketiga ke negara-negara maju. Migrasi ini memberi implikasi ke atas masyarakat negara yang dituju kerana memberi persaingan hidup. Kealpaan dan kebodohan penduduk asal kerana leka dengan kehidupan yang senang boleh menjadikan mereka merempat di bumi sendiri. Akhirnya, anak cucu peribumi ini menjadi penumpang di negara sendiri.

Justeru, dikatakan anak cucu dikatakan menjadi bangsat di negara sendiri.

Tindakan seorang pemimpin yang menggelar orang Melayu yang tidak menyokongnya sebagai “terbangsat” boleh dilihat dari dua perspektif.

Pertama, barangkali beliau bersungguh-sungguh mengatakan Melayu itu memang bangsat iaitu jahat kerana tidak menyokongnya.

Kedua, barangkali beliau bermaksud Melayu merempat di negara sendiri.

Bagi menyokong kata-kata pemimpin ini, ada pengikutnya yang menyifatkan “terbangsat” itu sebagai menggegarkan jiwa orang Melayu.

Biar apa pun maksud pemimpin itu, menggelar bangsanya sendiri sebagai bangsat menunjukkan pemikirannya bermasalah dalam menilai jati diri bangsa Melayu. Pemimpin seperti ini wajar dijauhi kerana tidak ada lagi keinginan untuk membantu meningkatkan maruah Melayu.

Contoh terbaik pemimpin yang dikenali oleh Melayu ialah Nabi Muhammad saw kerana baginda telah menunjukkan jalan untuk mengenali Tuhan. Dalam sirah,tidak pernah kita mendengar baginda menggelar orang Arab dengan kata-kata buruk seperti itu.



Saturday, August 29, 2015

Tegas dengan pelawat hospital







Kisah pelawat membelasah seorang pengawal keselamatan di sebuah hospital kerana enggan membenarkan kanak-kanak dibawa bersama ke dalam wad mengundang simpati orang ramai. Dalam gambar yang dimuatkan dalam media, tangan kiri dan kanan pengawal keselamatan tersebut dipegang oleh dua lelaki sementara seorang lelaki lagi menendangnya di belakang.

Motifnya tiga lelaki tersebut adalah kerana tidak puas hati.

Kita melihat pengawal keselamatan berkenaan telah membuat keputusan yang betul. Tidak membenarkan pelawat dewasa membawa kanak-kanak menjadi polisi sebahagian daripada hospital di negara ini. Kebanyakan pelawat memahami peraturan ini namun ada segelintir yang tidak mahu menerima larangan tersebut.

Pihak hospital tentu mengambil prosedur khusus bagi memberi penerangan kepada syarikat keselamatan yang dilantik untuk menjaga pintu masuk ke wad. Ketegasan pengawal menjadi tunjang kelancaran masa melawat dan membantu pelawat mengambil berat keadaan pesakit.

Banyak cara yang boleh digunakan oleh pihak hospital untuk berkongsi peraturan melawat ini. Antaranya ialah meningkatkan bilangan poster di sekitar kawasan hospital supaya pelawat memahami peraturan dan masa melawat. Selain itu, pengawal keselamatan juga wajar diberi pendedahan kepada kaedah mesra perkhidmatan pelanggan supaya pelawat tidak rasa seperti kena marah.

Pelawat seharusnya memberi kejasama kepada pihak hospital supaya tidak menimbulkan banyak masalah kepada semua pihak. Dalam kes ini, laporan polis yang dibuat diharap menjadi pengajaran kepada semua pihak bagi memastikan kebajikan pesakit diberi keutamaan.


Friday, August 28, 2015

Sebatang paku







Marah adalah sikap kebiasaan manusia , namun sikap pemarah yang berlebihan akan mendatangkan kebinasaan. Kita semua pasti  pernah melaluinya di mana kemarahan kita tidak tertahan lagi. Lalu kita lepaskan kemarahan itu dengan pelbagai cara. Antara cara yang amat mudah dan amat melegakan ialah dengan lisan, iaitu mengeluarkan pelbagai kata-kata sama ada kata-kata kesat, kata perli dan biadap, atau penghinaan terhadap seseorang atau sesiapa sahaja yang menyebabkan kemarahan. Justeru bagi mengetahui betapa dasyatnya implikasi marah ini mari bersama kita hayati kisah dibawah ini.

Si anak yang pemarah itu disuruh oleh bapanya untuk memaku ke dinding setiap kali dia merasa marah. Si anak merasa penat kerana setiap kali marah dia perlu untuk memaku ke dinding hingga akhirnya secara tidak langsung mendidik anak tadi untuk bijak mengendalikan amarah. Lantas si anak berjumpa dengan bapanya dengan penuh rasa bangga memberitahu perubahan dirinya.

Lalu bapa tersebut dengan lembut berkata “Kamu telah berhasil dengan baik anakku, tapi lihatlah lubang-lubang di pagar ini. Pagar ini tidak akan boleh sama seperti sebelumnya begitulah juga ketika kamu mengatakan sesuatu dalam kemarahan. Kata-katamu akan meninggalkan bekas di hati orang lain seperti lubang-lubang ini.
Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Orang kuat itu bukanlah yang menang dalam berdebat tetapi orang kuat adalah yang mampu menahan nafsu amarahnya.”
(H.R. Bukhari & Muslim)

Analogi diatas sangat signifikan, dalam sehari dua mungkin saja kita memohon maaf pada mereka yang telah kita marahi, namun adakah kata nista yang berbau penghinaan yang telah dilemparkan pada mereka mampu dipadam dalam tempoh yang singkat. Ramai diantara kita sering berhujah “sedangkan nabi ampunkan umat” saat kita memohon maaf pada orang lain namun sejauh mana pengaplikasian sikap insan mulia ini dalam diri kita. Introspeksi diri dan berhentilah menunding jari.

Solusi masalah ini baginda Muhammad s.a.w telah pun memberikan teknik kepada kita semua melalui hadis yang diriwayatkan antaranya oleh Imam Ahmad dalam 'al-Musnad' dan juga Imam al-Bukhari dalam 'al-Adab al-Mufrad':


وإذا غضبتَ فاسكت   
Maksudnya: Dan apabila kamu marah, maka diamlah.

Ditangan kita telah pun punya pilihan, amalkan atau tinggalkan, Pepatah Melayu sering ingatkan “Terlajak perahu boleh diundur terlajak kata buruk padahnya” Jangan kerana lidah yang tidak bertulang  kita kehilangan orang yang kita sayang.

Pusat Islam UTeM



Wednesday, August 26, 2015

Cuba yang baru









Cuba kita renung dan ingat kembali bila kali terakhir kita membuat sesuatu bagi kali yang pertama? Mungkin kelmarin, minggu lepas atau tahun lepas. 

Mungkin kali pertama naik kereta pemanduan sebelah kiri, kali pertama guna laluan alternatif selepas berbulan-bulan bersesak ke tempat kerja dan sebagainya. Mungkin kali pertama memesan hidangan baru di restoran baru. 

Pengalaman awal kali pertama ialah kita rasa kekok atau janggal kerana tidak biasa. Rasa janggal atau kekok inilah cara terbaik untuk melakukan inovasi, melakukan perkara-perkara baru dengan pendekatan baru dan pengalaman baru. 

Bagaimana kita memilih bagi melakukan sesuatu yang baru dengan cara yang baru adalah tidak penting, asalkan kita bertindak melakukannya. 

Cubalah sesuatu yang baru hari ini.

Tuesday, August 25, 2015

Kefahaman pelajar terhadap subjek Tamadun Islam








1.0 Pengenalan

Secara umumnya pengertian tamadun dan Tamadun Islam mempunyai perkaitan daripada aspek bahasa dan istilah. Pengertian tamadun atau peradaban secara keseluruhannya dapat dilihat melalui sudut bahasa Arab, sudut epistemologi bahasa Inggeris dan Latin. Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang dirujuk dalam konteks tamadun antaranya ialah madaniah, tamadun dan hadarah. Ibn Khaldun, seorang sarjana Islam yang unggul dalam bidang ilmu kemasyarakatan Islam dalam karyanya Muqaddimmah telah menggunakan istilah umran. Umran digunakan dalam kajian tentang bandar-bandar atau ibu kota yang memiliki kawasan tanah yang didiami dan penempatan, keadaan tinggal menetap, berkembang subur dan maju. Selain itu, Ibn Khaldun juga menggunakan istilah hadarah sebagai berlawanan dengan istilah badi atau badiah. Hadarah ialah suatu daerah, kota, bandar, kampung atau tanah yang riinsahakan. Dalam penggunaan bahasa Arab moden masa kini, perkataan tamadun bererti memiliki ciri-ciri hidup bandar, dan kota-kota dipanggil mudu.n yang memiliki ciri-ciri tamadun. Dari sudut epistemologi, istilah civilization dalam bahasa Inggeris berhubung kait dengan kemajuan dalam kehidupan manusia yang membentuk peradaban dan tamadun. Ini menunjukkan, bahawa istilah civilization yang dimaksudkan sebagai tamadun manusiawi lebih merujuk kepada kemajuan jati diri manusia di dalam membangunkan kehidupan dalam pelbagai peringkat terutamanya di peringkat negara. Selain daripada definisi di atas, terdapat di kalangan sarjana Islam yang memberikan definisi berhubung dengan Tamadun Islam . Di antara sarjana tersebut ialah Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang telah memberikan takrif Tamadun Islam  sebagai "keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya".

1.1 Objektif Kajian

Objektif yang diperolehi daripada kajian ini adalah mengenal  pasti  asas  dan   matlamat  sebenar subjek Tamadun Islam. Selain itu, kajian ini juga ingin mengetahui tahap pemahaman pelajar tentang Tamadun Islam  khususnya  di  UTeM  yang  terdiri  daripada  pelajar  atau  responden  berbilang  bangsa  dan  agama.


2.0 Sorotan Literatur

Secara umumnya pengertian tamadun dan Tamadun Islam  mempunyai perkaitan daripada aspek bahasa dan istilah. Pengertian tamadun atau peradaban secara keseluruhannya dapat dilihat melalui sudut bahasa Arab, sudut epistemologi bahasa Inggeris dan Latin. Dari sudut bahasa Arab, terdapat beberapa istilah yang dirujuk dalam konteks tamadun. Antara istilah-istilah tersebut ialah madaniah, tamadun dan hadarah

Tokoh Abd Al-Rahman Ibn Muhammad IbnKhaldun (عبدالرحمنبنمحمدبنخلدونالحضرمي) ataupun lebih dikenali dengan Ibn Khaldun merupakan salah seorang pakar sains Islam yang hidup antara tahun 1332 – 1395 Masihi. Nama penuh beliau adalah Abd al-Rahmani bn Muhammad ibn Abi Bakar Muhammad ibn al-Hasan Ibn Khaldun.Beliau lahir pada tahun 732 Hijrah bersamaan dengan tahun 1332 Masihi di Tunisia dan meninggal pada 17 Mac 1406 di Kaherah, Mesir.

Ibn Khaldun berasal daripada keluarga berada dan beliau diberi pendidikan yang terbaik oleh keluarganya. Beliau yang unggul dalam bidang ilmu kemasyarakatan Islam dalam karyanya Muqaddimmah telah menggunakan istilah umran, Umran digunakan dalam kajian tentang bandar-bandar atau ibu kota yang memiliki kawasan tanah yang didiami dan penempatan, keadaan tinggal menetap, berkembang subur dan maju. Selain itu, Ibn Khaldun juga menggunakan istilah hadarah sebagai berlawanan dengan istilah badi atau badiah. Hadarahialah suatu daerah, kota, bandar, kampong atau tanah yang usahakan. Dalam penggunaan bahasa Arab moden masa kini, perkataan tamadun bererti memiliki ciri-ciri hidup bandar dan kota-kota dipanggil mudun yang memiliki ciri-ciri tamadun.

Dari sudut  epistemologi, istilah civilization dalam bahasa Inggeris berhubungkait dengan kemajuan dalam kehidupan manusia yang membentuk peradaban dan tamadun. Ini menunjukkan, bahawa istilah civilization yang dimaksudkan sebagai tamadun manusiawi lebih merujuk kepada kemajuan jati diri manusia di dalam membangunkan kehidupan dalam pelbagai peringkat terutamanya di peringkat negara. Selain daripada definisi di atas, terdapat dalam kalangan sarjana Islam yang memberikan definisi berhubung dengan Tamadun Islam .

Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Beliau telah memberikan takrif Tamadun Islam   sebagai "keadaan kehidupan insan bermasyarakat yang telah mencapai taraf kehalusan tatasusila dan kebudayaan yang luhur bagi seluruh masyarakatnya".                                                            

3.0 Kaedah Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif iaitu dengan menggunakan borang soal selidik yang diedarkan kepada 50 responden mahasiswa dan mahasiswi Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Edaran boring ini menggunakan Google doc dan laman sosial Facebook.


4.0 Hasil  Kajian


Rajah 1: Peratusan responden

Rajah 1 di atas merujuk pada jumlah peratus jantina, peratus jantina perempuan melebihi peratus jantina lelaki iaitu 56% manakala peratus jantina lelaki ialah 44%. Kesimpulannya carta tersebut menunjukkan responden jantina perempuan lebih berminat untuk menjawab soal selidik berkaitan perkembangan Tamadun Islam   berbanding responden lelaki. Ini membukti majoriti perempuan lebih memberi perhatian dan berminat untuk mengembangkan ilmu pengetahuan mereka dalam perkembangan Tamadun Islam   berbanding lelaki.


Rajah 2: Peratusan bangsa responden

Rajah 2 di atas merujuk pada peratus bangsa para pelajar di Universti Teknikal Malaysia Melaka yang telah menjawab soal selidik tentang perkembangan Tamadun Islam. Peratus kaum melayu lebih tinggi berbanding kaum lain. Peratus kaum Melayu ialah 64%, manakala diikuti kaum Cina iaitu 35%, kemudian kaum India iaitu sebanyak 1%. Kesimpulan yang dapat dihuraikan ialah tedapat lebih ramai kaum Melayu yang lebih memberi kerjasama, sokongan serta minat untuk mendalami berkaitan perkembangan Tamadun Islam berbanding kaum lain.


Rajah 3: Peratusan agama responden

Rajah 3 di atas merujuk pada jumlah peratus agama para pelajar di Universti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM) yang telah menjawab soal selidik tentang perkembangan Tamadun Islam. Carta di atas jelas menunjukkan bahawa peratus agama yang paling tinggi iaitu agama Islam dengan 65%, kemudian agama Buddha dengan 29%, kemudian diikuti agama hindu dengan sebanyak 4%, dan yang paling rendah ialah agama Kristian.


Rajah 4: Peratusan tahun pengajian responden

Rajah 4 di atas merujuk kepada jumlah peratus tahun pengajian di Universti Teknikal Malaysia Melaka yang melibatkan diri dalam kajian ini. Carta berikut jelas menunjukkan bahawa peratus pengajian yang paling tinggi ialah dari tahun 1 iaitu sebanyak 75% diikuti dari pengajian dari tahun 3 iaitu sebanyak 13%, kemudiannya dari tahun 4 iaitu 7% dan yang paling rendah ialah peratus pengajian dari tahun 2.


Rajah 5: Peratusan responden yang memberi pendapat

Rajah 5  di  atas  menunjukkan  peratusan  responden  yang  memberi pendapat  tentang pengetahuan  mereka  mengenai  maksud  Islam. 80%  responden  menyatakan YA  dan  tahu 
apa  itu  maksud  Islam, 17% responden pula menyatakan TIDAK  manakala  3%  lagi TIDAK  PASTI. Ini  menunjukkan  bahawa  majoriti  daripada  responden  yang  berbilang kaum  di  UTeM  mengetahui  maksud  Islam.


Rajah 6: Peratusan  responden  yang  yakin  terhadap  kandungan subjek Tamadun  Islam

Rajah 6 di  atas  menunjukkan  peratusan  responden  yang  yakin  kandungan subjek  Tamadun  Islam.  Sebanyak  78%  responden  bersetuju  dan  yakin, 8%  mengatakan  tidak yakin  manakala  14%  daripada  mereka  tidak  pasti  tentang  kandungann  tersebut. Majoriti  responden  yakin  tentang  kandungan subjek Tamadun  Islam, segelintir  daripadanya  tidak  yakin  mungkin  disebabkan  faktor  pegangan  atau  kepercayaan  agama  masing-masing.


Rajah 7: Peratusan  responden  mengenai  pandangan  mereka 
berkaitan  dengan  semesta  alam  yang  diajar  menerusi  Al-Quran

Rajah 7 menunjukkan  peratusan  responden  mengenai  pandangan  mereka  yang  berkaitan  dengan  semesta  alam  yang  diajar  menerusi  Al-Quran.  Analisis di  atas menunjukkan sebanyak  69% responden  bersetuju  dan  tahu, manakala 14%  dan  17%  daripadanya  mengatakan  tidak  tahu  langsung  dan  tidak  pasti. Keseluruhannya, majoriti responden  bersetuju  dan tahu  bahawa  pandangan  semesta  alam  ada  diajar Al-Quran.


Rajah 8: Menunjukkan  peratusan  responden  mengenai  pengetahuan  mereka
tentang  asas  utama  dalam  Tamadun  Islam

Rajah 8 di  atas  menunjukkan  peratusan  responden  mengenai  pengetahuan  mereka tentang  asas  utama  dalam  Tamadun  Islam. 95% atau  majoriti  responden  tahu  bahawa akidah, syariah dan akhlak  merupakan  tiga  asas  penting  dalam  Tamadun  Islam. Hanya  3% dan 2%  atau  minoriti  responden  tidak  tahu  dan tidak  pasti.


Rajah 9: Peratusan reponden yang yakin tentang kefahaman konsep Tamadun Islam

Rajah 9 di atas menunjukan peratusan reponden yang yakin tentang kefahaman konsep Tamadun Islam. Sebanyak 64% responden menyatakan mereka memahami konsep Tamadun Islam manakala 4% menyatakan mereka tidak faham tentang konsep ini. Selebihnya 32% lagi tidak pasti sama ada mereka faham atau tidak konsep Tamadun Islam. Ini menunjukkan responden yang memahami konsep Tamadun Islam ini lebih banyak berbanding dengan mereka yang tidak faham. Kemungkinan mereka yang menyatakan YA itu memahami dan mengetahui konsep ini melalui laman web ataupun media massa yang sekarang banyak diterbitkan untuk tatapan golongan yang ingin mengetahui lebih dalam lagi tentang sejarah.


Rajah 10: Responden yang mengenali mana-mana tokoh Islam yang
menyumbangkan kepada Tamadun Islam

Rajah 10 di atas menunjukkan responden yang mengenali mana-mana tokoh Islam yang menyumbangkan kepada Tamadun Islam. Sebanyak 77% responden menyatakan mereka mengenali tokoh-tokoh Islam ini. Manakala selebihnya iaitu sebanyak 23% tidak mengenali tokoh-tokoh yang menyumbangkan terhadap Tamadun Islam. Sumbangan tokoh-tokoh Islam pada masa Tamadun Islam terdahulu memberi kesan sehingga sekarang kepada seluruh umat Islam. Banyak ciptaan dan sumbangan mereka dapat dilihat sehingga hari ini.


5.0 Kesimpulan

Tamadun Islam   ini merupakan zaman penanaman benih Tamadun Islam di mana buah dan hasilnya dapat dinikmati oleh umat Islam terkemudian. Rasulullah saw telah diutuskan oleh Allah untuk membawa manusia ke jalan yang benar, yang dapat menjamin kebahagian hidup manusia di dunia dan akhirat. Tamadun yang dibina adalah berasaskan wahyu yang diturunkan oleh Allah swt kepadanya selama 23 tahun yang dapat dibahagikan kepada dua zaman iaitu Zaman Makki (Mekah) selama 13 tahun dan Zaman Madani (Madinah) selama 10 tahun. Sesungguhnya zaman inilah yang merupakan detik awalan dan penentuan kepada kegemilangan dan kecemerlangan Tamadun Islam. Secara kesimpulannya, setiap tamadun  yang pernah wujud mempunyai keistimewaan dan ciri-ciri tersendiri dalam memastikan kemajuan  dan perkembangannya.

Kesinambungan dari perkembangan sesebuah tamadun itu sebenarnya hasil sikap terbuka dalam menerima sebarang perubahan dan pengaruh tamadun lain. Sesungguhnya wujud saling hubungan atau interaksi antara tamadun sama ada di peringkat perkongsian nilai, pemikiran, institusi dan keinsanan yang berlaku sepanjang sejarah. Saling hubungan seperti ini dilihat telah melahirkan kesan-kesan positif dan negatif. Perkara yang paling penting sekali, setiap tamadun sebenarnya memainkan peranan penting dalam memberi sumbangan kepada dunia serta membawa dunia ketaraf yang lebih tinggi lagi. Setiap tamadun mempunyai ciri-ciri dan dan sejarah yang tersendiri yang perlu diketahui oleh kita semua bagi memberi kefahaman yang mendalam tentang ketamadunan. Akhir sekali, kemunculan dan kejatuhan sesuatu tamadun itu mempunyai sebab yang tersendiri dan menjadi tugas kita sebagai generasi sekarang untuk mengambil pengajaran dari pengalaman dahulu bagi menjaga ketemadunan negara dan agama kita.


Rujukan

Azhar Md Aros & Ahmad Zaki Haji Latif. (2012). Tamadun Islam dan Tamadun Asia 
(TITAS). Edisi Kedua. Kuala Lumpur: Penerbit UTeM.

Mashitah Sulaiman & Adibah Sulaiman @ Mohamad. (2009). Tamadun Islam dan Tamadun Asia (TITAS). Edisi Lengkap. Kuala Lumpur: Penerbit UPSI.

Mohd Liki Hamid. (2002). Pengajian Tamadun Islam. Edisi Kedua. Siri Teks Pengajian Tinggi. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

Muhammad Hafiz Mat Tajudin. (2012). Personaliti Ilmuwan Islam Berjaya. Putrajaya: Penerbit Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mustafa Hj. Daud. (1989). Tamadun Islam. Edisi Ketiga. Petaling Jaya: Penerbit Badan Dakwah dan Kebajikan Islam Malaysia.

Osman Bakar, Azizan Baharudin & Zaid Ahmad. (2000). Modul Pengajian Islam dan    Tamadun Asia. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.

http://ms.wikipedia.org/wiki/Tamadun_Islam
https://docs.google.com/forms/d/1LYQ9GCCW8bvsWYRh7JqMtDGmwkG1zlBGBQZKbSVEek/viewanalytics


MZ Zainudin


Friday, August 21, 2015

The one minute reprimand







You are nothing! Pernahkah anda mengalami atau mendengar dialog seperti ini sama ada dari rakan setugas mahupun dari majikan. Pastinya ucapan tadi mampu memberikan implikasi yang sangat mendalam kepada pendengar ucapan ini. Menegur bukanlah suatu yang salah tetapi apabila teguran itu disulami dengan kata-kata yang berbau penghinaan dan cacian ia mampu mendatangkan masalah. Firman Allah dalam surah Taha: 44,


‫فَقُولَا لَهُ قَوْلًا لَيِّنًا لَعَلَّهُ يَتَذَكَّرُ أَوْ يَخْشَى

"Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang
lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut". 


Ayat di atas tidaklah menjadi dalil bahawa para ibu bapa, guru, majikan dan sebagainya tidak boleh menegur orang bawahan tetapi sebagai piawaian dan etika yang perlu kita fahami dalam berdakwah atau pun menegur.

Di dalam buku The One Minute Manager antara mekanisme penting yang perlu dititikberatkan oleh seorang pengurus (orang yang berkuasa) ialah  The One Minute Reprimand”, reprimand diterjemahkan sebagai menegur dalam konteks di atas. Ini membawa maksud kuasa menegur seorang pengurus samada teguran kepada pekerja itu mampu meningkatkan prestasi ataupun menjejaskan reputasi.

Kaedah ini mengandungi dua aspek berkembar yang sama penting: menegur dan memperteguh. Jika anda hanya menegur tanpa memperteguh emosi orang yang mendengar teguran tersebut, anda mungkin akan tidak digemari oleh ramai individu manakala motivasi mereka yang ditegur makin merosot lantaran tiada susulan bagi teguran anda.

Konklusinya memetik kata-kata Sayidina Ali r.a.

“ Bercakaplah kepada manusia mengikut kemampuan akal mereka”.

Terkadang menegur itulah perlu juga dilakukan dengan tegas mengikut tindak tanduk dan gaya orang yang ditegur namun teguran perlu dibuat serta-merta dan secara profesional dan spesifik. Selesai teguran, berjabatlah tangan dan nyatakan kepada pekerja tersebut sejauh mana kepentingannya terhadap kejayaan matlamat organisasi tersebut. Amalan tegur menegur ini perlu dan sangat baik diaplikasikan namun ia perlu diimbangi dengan rasional dan penghargaan supaya matlamat teguran dicapai.

Apalah gunanya akal dan ilmu kalau kita tidak pandai menilai dan menghargai? Apresiasi merupakan satu asas yang utama dalam psikologi khususnya bidang changing human behavior. Kalau asyik memandang negatif, sudah pasti ‘semua’ perkara dalam dunia ini ‘tidak patut, tidak lengkap, tidak bagus’.



Sumber: Pusat Islam UTeM