Saturday, November 30, 2013

Kasih tidak pernah pudar




Kasih sayang sentiasa mekar


Pelarian selama 30 tahun aktivis politik, Siti Aishah Abdul Wahab berakhir apabila doa dan harapan keluarganya dimakbulkan Allah swt. Dikatakan menjadi hamba kepada pasangan suami isteri berketuruan India di Britain, Siti Aishah sudah pun berusia 69 tahun dan tidak lagi menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Malah pihak polis tidak berminat untuk menghalangnya kembali ke kampung halaman di Jelebu, Negeri Sembilan. Masyarakat Malaysia juga tidak menunjukkan minat yang sungguh untuk menyambut kepulangan beliau kerana ideologi komunis tidak lagi menjadi ikutan.

Peristiwa lepas telah berlalu dan Siti Aishah wajar melihat masa depan beliau masih ada sinar di negara sendiri khususnya dapat berjumpa dengan adik-beradik dan sanak-saudara yang merindui kehadirannya.

Pengajaran paling istimewa dalam kes ini ialah kasih sayang keluarga tidak pernah putus walaupun 30 tahun berpisah. Kisah hilang dan jumpa ini akan menjadi iktibar kepada masyarakat khususnya berkaitan perjuangan untuk mencari ahli keluarga tidak pernah padam. Usaha dan ikhtiar tetap dilakukan dengan harapan akan bertemu suatu hari nanti.

Kasih sayang adalah anugerah Allah swt yang sangat unik kepada manusia lebih-lebih yang ada hubungan saudara. Kasih sayang mengikat dua hati malah jutaan hati untuk bersatu dan hormat-menghormati. Beruntunglah orang yang memiliki kasih sayang ini yang disandarkan dengan iman dan taqwa kepada Allah swt.

Siti Aishah dikatakan seorang pelajar pintar namun kepintaran itu telah melorongnya memilih pendekatan yang salah. Kehidupannya tidak ke mana berbanding rakan-rakan yang sederhana pencapaiannya, menikmati kehidupan berkeluarga dan tahu matlamat hidup. Tindakan Siti Aishah sukar dicari jawapannya kecualilah beliau sendiri yang mahu berkongsi inspirasi dan sebab-musababnya.

Kelompok yang memperjuang fahaman komunis dan sosialis tidak lagi mendapat tempat dalam masyarakat dunia hari ini. Selepas menolak komunis pada tahun 1989, negara-negara terlibat mula menukar rejim dan mengambil pendekatan baru dalam mengurus masyarakat dan negara. Sedikit demi sedikit kebebasan beragama mula muncul dan seiring dengan masa, fahaman komunis berkubur.

Golongan pejuang komunis hilang ruang untuk mengembangkan ideologi mereka. Di Malaysia, abu mayat pemimpin komunis yang telah mati tidak dibenarkan berada di tanah air kerana kezaliman dan kekejaman yang dilakukan ketika era 40-an hingga 60-an dahulu.

Dalam kes Siti Aishah, menjadi hamba kepada ideologi yang berlawanan dengan fitrah manusia bukanlah satu pengalaman yang hebat untuk dikenang seumur hidup.

Friday, November 29, 2013

Gadis penjual susu yang jujur





Masak makanan sendiri


Khalifah Umar al Khatab terkenal sebagai pemimpin yang gemar meronda pada waktu malam. Sebagai pemimpin negara, beliau perlu mengetahui apakah aktiviti rakyatnya pada malam hari. Umar berjalan-jalan di tepi sebuah rumah yang usang, lantas telinganya tertangkap akan perbualan si penjual susu yang miskin dan anak gadisnya.

“Wahai anakku, hari ini kita memperoleh bekalan susu yang sedikit, apa kata jika campurkan ia dengan air supaya kelihatan banyak sebelum matahari terbit,” kata si ibu.

Terkejut gadis itu, lantas dia menjawab, “kita tidak boleh berbuat seperti itu wahai ibuku, sesungguhnya Amirul Mukminin melarang berbuat demikian,”.

Penjual susu itu berkata lagi, “tidak mengapa anakku, jika di antara kita tidak membocorkan rahsia ini kepada sesiapa tentunya Amirul Mukminin tidak akan tahu,”.

“Benar, biarpun beliau tidak tahu, tetapi tuhan kepada Amirul Mukminin mengetahuinya,” jawab si gadis sunti itu.

Sebaik mendengar jawapan gadis itu, mengalir air mata Umar, terdetik di hati jujurnya anak gadis itu. Sampai di rumahnya, Umar meminta anaknya, Asim menikahi gadis tersebut. Umar mengatakan, akan lahir daripada keturunan gadis ini bakal pemimpin Islam yang hebat, disegani yang bakal memimpin orang-orang Arab dan Ajam.

Asim, seorang anak yang menurut perintah, maka berkahwinlah Asim dan gadis anak si penjual susu yang miskin itu. Hasil pernikahan tersebut mereka beroleh anak perempuan dinamakan Laila dikenali sebagai Ummu Asim. Kemudiannya Ummu Asim dinikahkan dengan Abdul Aziz bin Marwan. Perkongsian hidup itu lahirlah pembesar negara yang ulung, Umar bin Abdul Aziz.

(Sinar Harian, 22 November 2013)

Thursday, November 28, 2013

Rakyat yang menghayati nilai





Pupuk nilai mulia melalui hubungan formal dan tidak formal


 
oleh Sidek Baba

Nilai adalah sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia. Ia adalah ukurtara memandu manusia membuat pilihan. Nilai yang diambil daripada sumber agama, tamadun, budaya dan etika adalah penting kerana manusia memerlukan pedoman terbaik dalam kehidupan.

Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) memerlukan setiap murid sekolah rendah dan menengah melibatkan diri dalam khidmat komuniti.

Bagi murid sekolah menengah, elemen khidmat komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan sekolah menengah. Kurikulum Pendidikan Agama Islam bagi murid Islam dan Kurikulum Pendidikan Moral bagi murid bukan Islam akan diperkukuhkan supaya akan merangkumi tumpuan yang lebih kepada pemahaman tentang nilai-nilai perpaduan dan hubungan baik sesama insan.

Pada asasnya nilai bagi Pendidikan Islam merujuk kepada nilai paling utama (supreme values) yang sifatnya tauhidik. Nilai tauhid ini merentasi asas ibadah dan syariah supaya terbangun pekerti teladan yang baik. Pelajar yang insaf-ketuhanan (God-conciousness) akan sentiasa terpedoman dan tidak terkeluar dalam landasan yang bercanggah dengan aqidah, ibadah dan syariah.

Bagi pelajar bukan Islam nilai-nilai interaktif (interactive values) yang diambil daripada sumber agama, budaya, falsafah dan tradisi yang sifatnya sejagat perlu dipupuk supaya ia memberikan pedoman terhadap amalan moral dan etika yang baik.

Nilai yang telah dipelajari akan diamalkan dalam kehidupan harian yang sepatutnya menghasilkan tingkah laku sivik, seperti peningkatan dalam aktiviti sukarela, penerimaan individu berlainan bangsa, agama dan etnik, menghindari perbuatan rasuah dan jenayah serta menunjukkan tingkah laku amanah dan berintegriti.

Selain itu, setiap murid yang tamat persekolahan bersedia menjadi pemimpin bagi diri dan keluarga mereka atau sebagai sebahagian daripada komuniti yang lebih besar serta negara.

Isu nilai ini mempunyai kaitan rapat dengan contoh teladan yang dimiliki oleh penjaga dan pendidik. Di rumah ibu bapa menjadi sumber teladan yang menghasilkan nilai kepada anak-anak dan di sekolah guru menjadi sumber ikutan bila melakukan
pengajaran dan pendidikan.

Satu hal yang penting dalam pendekatan pengajaran dan pembelajaran ialah kesan penghayatan. Pendidikan bukan sekadar suatu proses memindahkan maklumat, ilmu dan kemahiran tetapi ianya adalah suatu proses transformasi insan.

Justeru ilmu yang benar dan bermanfaat dan terkandung nilai dan etika yang tinggi bakal menyuburkan akal budi insan. Maklumat yang sifatnya mekanistik dan bebas nilai (value free) mungkin berguna untuk keperluan tertentu tetapi tidak menjadi pedoman untuk membentuk watak manusia yang mendukung nilai-nilai luhur.

Sebab itu corak kehidupan yang pragmatik tanpa nilai boleh menyebabkan anarki terjadi. Meraikan realiti tanpa idealisme tinggi boleh menyebabkan kehidupan hilang arah dan celaru. Nilai agama dan moral menjadi batasan menentukan sesuatu tindakan atau sebaliknya.

Bagi masyarakat Islam nilai tauhidik menjadi nilai paling utama (supreme values) kerana ada asas kesatuan di dalamnya. Keyakinan terhadap Pencipta dan hubungannya dengan alam dan kehidupan sifatnya saling berhubung dan tidak boleh dipisahkan.

Bila hal ini difahami manusia memiliki jiwa ruku dan sujud yang membawa kepada sifat kehambaan yang tinggi dan menyebabkan manusia memiliki sifat taat, patuh, akur dan tunduk. Inilah juga gambaran sunnatullah di mana semua faktor alamiah tunduk atas ketentuan Pencipta.

Hal yang sama nilai-nilai interaktif menjadi landasan hubungan manusia sesama manusia atas pertimbangan nilai dan etika supaya ada keserasian nilai-nilai sejagat dengan nilai-nilai yang lain dan sifatnya tidak bercanggah tetapi melengkapi.

Inilah asas litaarrafu iaitu kekenalan dan kesalingan yang terungkap dalam al-Quran (al Hujurat:13) dalam erti kata yang luas supaya wujud manfaat berbanding antara agama, falsafah, budaya dan tradisi yang sifatnya saling mengukuhkan pegangan diri yang coraknya tidak indoktrinatif atau bercanggah.

Nilai amanah, adil, telus dan telus umpamanya adalah nilai-nilai agama, falsafah dan budaya. Ianya bersifat sejagat. Sekiranya nilai ini menjadi sumber amalan ia bakal menghasilkan persefahaman yang tinggi dan manusia dididik untuk mengamalkan persamaan dan bertolak ansur mengenai perbezaan dan menghormati orang lain.

(Sinar Harian, 28 November 2013)

Wednesday, November 27, 2013

Media sosial jana pendapatan




Lebih mudah promosi dengan internet


Penggunaan internet sebagai penjana pendapatan mula mendapat perhatian di peringkat negara. Usahawan yang menjual rumpai laut di Sabah mampu menarik pelanggan dari Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun melalui Youtube, Facebook, Twitter dan Instagram kerana konsep berniaga dan mencari pasaran telah berubah.

Perubahan ini disebabkan minda masyarakat peniaga dan pembeli telah berubah dan menolak pendekatan tradisional secara beransur-ansur. Tokoh Anugerah Nobel, Muhammad Yunus pernah berkata iaitu corak pemikiran seseorang menentukan tindak-tanduknya dan jika dia bersedia menerima pembaharuan dan pembangunan, ia pasti boleh dilaksanakan. Seseorang juga tidak boleh statik atau beku dengan pemikiran tradisional kerana tentu sukar menerima kemajuan.

Dalam konteks negara, Malaysia memberi peluang yang banyak kepada generasi muda khususnya untuk membuka minda meneroka bidang-bidang baru yang dapat menjana pendapatan dan mengurangkan pengangguran. Justeru dari semasa ke semasa ita dapat melihat anak-anak muda yang baru menamatkan pengajian di universiti telah menunjukkan ciptaan yang kreatif dan inovatif bagi melahirkan produk baru atau pasaran baru.

Media sosial telah menggerakkan banyak perubahan positif dalam masyarakat. Generasi muda hari ini tidak kekok menggunakan telefon pintar atau tablet sesentuh malahan kanak-kanak dua atau tiga tahun sudah dibiasakan dengan gajet ini. Terdapat kajian yang merumuskan bahawa generasi baru era ini lebih dinamik dan berfikiran positif serta berani membuat perubahan supaya beredar daripada takuk lama.

Masalah pengangguran yang menjadi perencat kepada ekonomi negara boleh diatasi melalui galakan perniagaan melalui media sosial. Galakan ini merangkumi bantuan kewangan, kepakaran teknikal dan bimbingan keusahawanan supaya mereka yang terlibat dalam industri ini dapat mengembangkan perniagaan walaupun dengan modal kecil. Kerajaan boleh menggerakkan bantuan dana supaya penerokaan bidang baru dapat dilakukan. Institusi pengajian tinggi boleh menyediakan tenaga pakar dalam pelbagai bidang di samping sebagai sebahagian daripada khidmat kepada komuniti.

Kepentingan media sosial sebagai sumber pendapatan masih boleh ditingkatkan di negara ini. Promosi dan bantuan yang bersesuaian khususnya kepada pelajar di insitusi pengajian tinggi perlu dilakukan secara tersusun supaya mereka berminat menjadi usahawan dan membantu mengurangkan pengangguran di samping meningkatkan aktiviti ekonomi negara.

Tuesday, November 26, 2013

7 panduan realisasi agenda perpaduan





Aras perpaduan kaum boleh dikaji

Datuk Seri Najib Razak menggariskan tujuh panduan yang perlu patuhi bagi menjayakan agenda perpaduan nasional rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, paling utama ialah menjadikan Perlembagaan Persekutuan yang diasaskan pemimpin terdahulu sebagai panduan, selain tidak melakukan perkara yang boleh mencabar undang-undang tertinggi negara. 
 

Panduan lain yang perlu dijadikan asas ialah keamanan dan keharmonian negara, Rukun Negara dan gagasan 1Malaysia.

Jadi landasan

Dalam soal keamanan dan keharmonian negara, kerajaan memberi sepenuh komitmen. Apa pun kita lakukan mestilah berlandaskan kepada peruntukan Perlembagaan.

Sebarang percubaan untuk mencari keputusan yang melanggar prinsip Perlembagaan pasti akan mengundang permasalahan besar kepada kita.

Rukun Negara juga dijadikan panduan kepada kita walaupun wujud sekian lama tetapi sampai sekarang masih relevan.


Jangan apa yang kita lakukan menyakiti orang lain dan jangan orang lain pula menyakiti kita. Kalau kita boleh terima perkara ini, selamatlah kita, katanya ketika pelancaran Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (MKPN), di sini, semalam.

Ketepi lensa kaum, agama

Beliau berkata, jika tujuh panduan itu dapat dihayati dan dipatuhi, kemuncak pembangunan negara boleh dicapai apabila rakyat tidak lagi melihat satu sama lain melalui lensa agama atau kaum.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyerahkan watikah Ahli Majlis MKPN, antaranya Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye; Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa; aktivis sosial, Datin Paduka Marina Mahathir dan personaliti televisyen, Wardina Saffiyah Fadlullah Wilmot.

MPKN diberi masa enam bulan untuk mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung agenda penyatuan nasional dan ia akan dibincang oleh Kabinet sebelum membuat sebarang keputusan.


(Berita Harian, 27 November 2013)

Monday, November 25, 2013

Unstoppable






Penulis: Nick Vujicic
Tahun: 2012
Penerbit: WaterBrook Press, Colorado, Amerika Syarikat.
Muka Surat: 240


Nick Vujicic merupakan seorang penceramah motivasi, pendakwah, penulis dan pengarah kepada pertubuhan bukan kerajaan Life Without Limbs. Nick menjadi sumber inspirasi yang hebat kepada ramai orang di seluruh dunia, berucap di khalayak tentang menghadapi cabaran dan mencapai impian hidup.

Beliau tinggal agak lama di Australia namun kini menjalani kehidupan di Selatan California bersama isteri, Kanae. Jutaan orang seluruh dunia mengenali Nick melalui senyumannya dan mesej-mesej motivasi yag disampaikan.

Di sebalik kelahiran tanpa lengan atau kaki, cabaran hidup Nick yang dilalui tidak pernah menghalangnya untuk merasai nikmat hidup sepertimana orang normal lain, mendapat kerjaya yang sesuai dan juga merasai nikmat bercinta.

Nick menghadapi semua ujian dan kesusahan hidup dengan memberi tumpuan kepada kenyataan bahawa dirinya diciptakan dengan keunikan untuk tujuan tertentu iaitu hidupnya ada nilai dan merupakan hadiah kepada orang ramai. Biar apa pun kekecewaan dan masa-masa sukar dalam hidup, Tuhan sentiasa bersama.

Dalam buku Unstoppable ini, Nick berkongsi pelbagai cabaran dan kesusahan hidup merangkumi krisis peribadi, perhubungan, cabaran kerja dan kerjaya serta keprihatinan terhadap kesihatan dan kecacatan.

Melalui kisah sebenar kehidupannya dan pengalaman pelbagai orang, Nick menerangkan bagaimana kita dapat memberi reaksi kepada pelbagai isu di atas.

Memiliki buku ini memberi inspirasi kepada kita untuk menghadapi isu-isu peribadi yang mungkin tidak dapat difahami oleh orang lain, yang tidak difahami oleh isteri, rakan-rakan, ketua ataupun kejiranan.


 

Thursday, November 21, 2013

PPPM: Kemahiran berbahasa




Kemahiran bahasa boleh dipupuk sejak kecil


oleh Sidek Baba

Bahasa adalah medium pengajaran dan pembelajaran. Kurikulum tidak boleh disampaikan tanpa kemahiran berbahasa dan kefahaman tidak akan berlaku tanpa murid-murid menguasai bahasa dengan baik.

Anjakan kedua memastikan setiap murid menguasai kemahiran dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris dan digalakkan mempelajari bahasa tambahan.

Pendekatan memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) adalah strategi yang dirancang dengan baik supaya kedua-dua bahasa itu menjadi medium menguasai ilmu pengetahuan dan kemahiran.

Bahasa mempunyai kaitan dengan ilmu supaya sifat bahasa itu memiliki kebakuan dalam istilah dan sebutan tetapi terkandung isi yang mampu mengangkat martabat insan.

Bahasa dalam status tinggi mengungkapkan nilai-nilai falsafah, kemanusiaan dan saintifik supaya ia terus hidup dan berfungsi untuk menyuburkan pemikiran dan amalan.

Sebab itu bahasa yang mati dan terpinggir sebagai bahasa basahan dan sukuan tidak mampu mengungkap ide-ide besar yang sifatnya sezaman, melainkan bahasa itu diaplikasi dalam sistem pendidikan di setiap tahap dan sentiasa terbuka untuk menerima pengaruh dari sumber-sumber lain.

Bahasa Melayu adalah bahasa rasmi negara dan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua yang penting untuk memanfaatkan perkembangan global terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Telah terbukti pendekatan memartabatkan bahasa Melayu di setiap tahap pendidikan negara menghasilkan ribuan graduan yang berkualiti dan mampu ke luar negara mempelajari ilmu yang bersifat kepakaran.

Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu harus dimartabatkan penggunaannya di setiap peringkat supaya asas fundamental bagi Malaysia seperti yang diperuntukkan dalam perlembagaan (Perkara 152) tidak sahaja menjadi bahasa komunikasi untuk hubungan sosial yang lebih baik tetapi menjadi bahasa ilmu dan rujukan untuk kemajuan negara.

Menjelang 2016, Kementerian Pelajaran akan menjadikan mata pelajaran Bahasa Inggeris wajib lulus peringkat Sijil Pelajaran Malaysia. Tambahan penyediaan mata pelajaran bahasa lain di semua sekolah rendah dan menengah akan diperkukuh supaya setiap murid berpeluang mempelajari bahasa tambahan menjelang 2025.

Dalam tradisi Islam tidak ada apa yang dikatakan linguistic chauvinisme atau kefanatikan berbahasa. Lebih banyak bahasa yang dikuasai secara jangka panjang adalah lebih baik kerana ruang untuk ilmu pengetahuan berkembang adalah bertambah baik.


Ilmuwan Islam seperti Ibn Sina, Al Biruni, Al Khawarizmi, Abu Qasim az Zahrawi dan ramai lagi menguasai berpuluh-puluh bahasa dan menjadikan mereka ilmuwan tersohor dalam bidang masing-masing.

Literasi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris diperkasa dan murid yang ketinggalan akan mengikuti kelas pemulihan sehingga mereka dapat mengikuti kurikulum aliran perdana. Guru yang mengajar murid lemah ini akan menerima bimbingan khusus daripada pembimbing guru peringkat daerah.


(Sinar Harian, 21 November 2013)

Tuesday, November 19, 2013

Penyatupaduan kaum perkasa ketahanan nasional





Perkukuh kefahaman agama elak perpecahan
 


Minggu lalu berlangsung Kongres Profesor Negara yang Kedua yang mana tema utamanya ialah gagasan penyatupaduan nasional. Wujud kebimbangan cerdik pandai tanah air bahawa isu perpaduan nasional khususnya selepas tamatnya Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 
 

Pada sebelum dan selepas PRU-13 lalu, kita dapati banyak isu sensitif perkauman dan agama dibangkitkan secara terbuka di ruang awam khususnya media massa. Rakyat Malaysia pelbagai kaum memperdebatkan isu itu secara terbuka juga melalui media baru seperti Facebook dan Twitter yang dilihat boleh menjejaskan hubungan antara dan sesama kaum itu sendiri.


Perdebatan, misalnya berkenaan isu mempergunakan kalimah Allah, Syiah, rumah ibadat dan hak asasi manusia sekiranya tidak ditangani secara rasional boleh menjejaskan hubungan keharmonian dalam negara.

Akibat perbalahan politik

Malah, perbalahan politik negara antara kerajaan dan pembangkang masih tidak kunjung padam pada pasca PRU-13 ini. Tidak salah perdebatan ini membawa kepada bentuk dasar negara yang konstruktif demi kebaikan umum kepada negara. Namun, sekiranya perdebatan ini membawa kepada kelemahan kepada daya ketahanan negara, ini sudah pasti akan menjejaskan kewibawaan negara nanti.

Isu luar negara seperti pengintipan Amerika Syarikat dan Australia terhadap Malaysia perlu ditangani semua pihak kerana ia membabitkan kedaulatan negara yang dicabuli oleh pihak luar.

Kepentingan kepada perpaduan nasional digarap dengan menarik sekali oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah ketika menyampaikan titah ucapan pada Kongres Profesor Negara Kedua, Ahad lalu. Baginda menyatakan bahawa dinamik politik yang sedang berlaku hendaklah dijadikan cerminan kepada usia negara yang menjangkau umur 56 tahun sejak merdeka pada 1957. Maka, masyarakat majmuk yang wujud memerlukan kepada kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi dalam menentukan kelangsungan negara pada masa hadapan.

Raja Nazrin dengan indah sekali berhujah bahawa ‘subjek penyatupaduan nasional, kini begitu terapung di laut fikir, menggerak lidah ke tasik kata. Penyatupaduan nasional ketika ini bagaikan rangkai kata yang kalut berlegar di minda warga, semakin diperkatakan, semakin dijadikan subjek perbualan, semakin dijadikan tema seminar - tema diskusi.

“Penyatupaduan nasional pada hakikatnya adalah satu kemestian bagi sesebuah negara demi memastikan kelangsungan hayat sesebuah negara, seperti perlunya kehadiran oksigen di atmosfera untuk meneruskan talian hayat, kehadirannya diambil secara lewa, tetapi ketiadaannya akan menyemputkan nafas.”

Pelbagai cabaran menunggu

Kita tahu bahawa cabaran besar sedang menghadapi negara pada masa hadapan. Di dalam Kongres Profesor Negara Kedua itu menggariskan lima cabaran atau gagasan yang perlu diberikan tumpuan khusus oleh kerajaan dalam usaha ke arah penyatuan nasional iaitu mewujudkan konsep penyatupaduan nasional yang sebenar dan terkini, penekanan kepada keadilan sosioekonomi, pemantapan sains dan pendidikan, pengukuhan jati diri dan patriotisme serta keteguhan menghadapi globalisasi melalui ketahanan nasional.

Cabaran yang terakhir iaitu globalisasi dan ketahanan nasional dilihat amat penting masa kini.

Kita tahu bahawa kemenangan Vietnam di dalam perangnya dengan Perancis dan Amerika Syarikat pada abad ke-20 lalu bukan disebabkan kekuatan ketenteraan Vietnam, tetapi kekuatan ketahanan nasional rakyatnya yang kukuh mempertahankan maruah dan jati diri negara daripada dicabuli oleh bangsa asing.

Adakah rakyat Malaysia sudah bersedia mempertahankan negara sekiranya negara dicabuli atau diceroboh oleh pihak luar? Kekukuhan dan ketahanan negara menghadapi anasir luar adalah bergantung kepada perpaduan yang wujud di kalangan rakyat Malaysia untuk sama-sama menentang anasir luar itu.

Kejutan melalui pencerobohan Sulu pada awal tahun ini sudah membuatkan rakyat Malaysia tersentak kerana tidak menyangkakan yang kedaulatan Malaysia akan dicabuli pada masa itu. Isu jenayah antarabangsa melangkaui sempadan dan pemerdagangan manusia, selain jenayah bersenjata di dalam negara menjadikan unsur ketahanan negara sebagai keperluan mendesak untuk diterapkan di dalam minda rakyat Malaysia.

Malah, proses globalisasi yang datang bersamanya pengaruh ekonomi dan perdagangan dominasi kapitalisme, penyebaran ideologi khususnya liberalisme dan extremisme melalui media baru internet dan penyebaran budaya luar yang kuat dari Hollywood, Bollywood dan K-Pop menjadikan kita bimbang identiti dan ketahanan jati diri dalam negara.

Apa yang pasti, Malaysia sudah membuktikan melalui sejarah bahawa perpaduan nasional boleh wujud. Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui ucapan beliau di kongres yang sama juga menegaskan bahawa konsep ‘1Malaysia’ sebenarnya merujuk kepada matlamat penyatupaduan nasional yang juga agenda kesinambungan pemimpin terdahulu. Meskipun agenda kepelbagaian budaya dalam negara masih tidak sempurna, perbalahan dan peperangan antara kaum seperti yang berlaku di Sri Lanka, Rwanda dan Bosnia Herzegovina dapat dihindari.

Maka, jaminan kepada perpaduan nasional ialah ketahanan nasional pemimpin dan rakyat Malaysia untuk menghadapi cabaran dan dugaan dalam memastikan kemakmuran negara terpelihara.

Penulis ialah Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia 

 
(Berita Harian, 19 November 2013)


Monday, November 18, 2013

Solat Rasulullah



Susunan: Mustaffa Suhaimi
Tahun: 2002
Penerbit: Progressive Publishing House Sdn Bhd, Kuala Lumpur, Malaysia
Muka Surat: 163


Sembahyang atau solat adalah ibadah yang paling penting dalam Islam. Setiap orang mukmin baik kanak-kanak atau orang dewasa wajib menunaikannya. Namun ramai juga orang mukmin masih kurang mendapat panduan yang betul dalam ibadat solat mereka.

Buku panduan solat ini disusun berdasarkan hadis Rasulullah saw yang diamalkan oleh para sahabat dan disahkan oleh para ulama mujtahidin dalam kitab-kitab mu'tabar mereka.

Setiap orang mukmin wajib mempelajari kaedah solat yang betul seperti yang dikerjakan oleh Rasulullah kerana baginda telah bersabda,

"Solatlah seperti kamu lihat aku solat".

Justeru tajuk buku ini diberi nama Solat Rasulullah.

Isi kandungan buku ini dibahagikan kepada dua iaitu solat Rasulullah dan Himpunan Solat Sunnat di mana kedua-dua tajuk ini sangat penting dibaca dan dipelajari oleh setiap orang mukmin kerana kedua-duanya dapat memimpin ke arah ibadat yang sempurna.

 

Saturday, November 16, 2013

Pulihkan imej imigresen




Lambang disiplin dan tegas


Jabatan Imigresen Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan korupsi dan rasuah. Pendedahan sebuah akhbar mengenai kejelikan segelintir anggota jabatan tersebut mencemarkan imej dan reputasi sebagai sebuah organisasi di barisan hadapan pintu masuk negara. Kejadian di lapangan terbang antarabangsa yang menerima kemasukan pelancong tentulah meresahkan promosi Tahun melawat Malaysia 2014 nanti.

Bukan sekali jabatan itu merosakkan imej organisasi sebaliknya ini kali ketiga. Kali pertama berlaku apabila ketua mereka didapati bersalah kerana rasuah yang melibatkan pekerja asing, kali kedua pula melibatkan sepasukan anggota yang ditukarkan dan sebahagiannya dihadapkan ke mahkamah kerana rasuah dengan cara membenarkan pekerja asing tanpa dokumen keluar dari negara ini.

Jabatan Imigresen sentiasa dilihat bermasalah kerana mereka kuang peka dengan usaha kerajaan untuk menghapuskan rasuah dan korupsi. Bagaimana persepsi orang ramai terhadap setiap orang staf jabatan itu ketika ini? Kita tentu boleh agak bahawa mereka kurang bermotivasi akibat tindakan segelintir anggota yang bermasalah ini.

Tidak semua staf jabatan terlibat dalam kegiatan tidak berintegriti ini namun ia sudah cukup untuk merosakkan imej dan reputasi sebagai sebuah jabatan yang tegas dan berdisiplin. Kakitangan yang lain begitu bersemangat dan memberi sepenuh komitmen untuk membantu meningkatkan tahap kecekapan kerja berbanding segelintir ini yang dahagakan wang ringgit dan kemewahan hidup.

Banyak usaha yang perlu dilakukan oleh ketua jabatan sedia ada di samping peranan persatuan jabatan supaya imej dan kemegahan uniform imigresen sentiasa dipelihara. Mereka tidak perlu membiarkan segelintir anggota yang rakus tadi merosakkan keseluruhan organisasi dan mengulangi sejarah lama.

 

Wednesday, November 13, 2013

Bisnes musim cuti sekolah




Tempat melancong di Melaka
 

Cuti sekolah yang akan tiba pada minggu hadapan membuka peluang kepada usahawan-usahawan baru untuk mencari wang. Musim cuti sekolah tidak patut dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa memberikan sebarang keuntungan kepada usahawan khususnya "usahawan segera".

Ada beberapa jenis bisnes yang boleh diusahakan. Pertama, menyediakan perkhidmatan sewa kereta dan pemandu. Bisnes jenis ini perlukan komitmen yang tinggi di samping pengetahuan yang mendalam tentang jalan raya dan tempat-tempat pelancongan tumpuan. Caj yang dikenakan bergantung kepada jenis kereta dan tempat yang hendak dituju. Biasanya RM120 hingga RM200 adalah caj yang boleh diterima.

Kedua, pemandu pelancong sampingan. Walaupun pemandu pelancong perlukan lesen khusus, menjadi pemandu pelancongan sampingan ini dapat menambah pendapatan, cuma perlu tingkatkan pengetahuan tentang sejarah dan kemahiran komunikasi. Usahawann jenis ini boleh dapatkan pelancong yang mahukan perkhidmatan dengan harga yang murah dan cepat. Bagaimanapun bisnes ini perlukan beberapa kemahiran yang lebih baik. 

Ketiga, bisnes inap desa atau homestay. Bisnes ini sangat menguntungkan waktu cuti sekolah kerana biasanya satu keluarga yang bergerak serentak. Mereka inginkan tempat tinggal yang besar, mudah meletakkan kenderaan dan boleh bersantai bersama. Inap desa adalah pilihan terbaik kerana biasanya rumah yang disediakan terdapat tiga hingga lima bilik dengan kemudahan asas yang sempurna. Harganya bergantung kepada keadaan rumah, jarak dari bandar dan akses jalan raya.

Keempat, bisnes jual barangan mainan kanak-kanak. Bisnes jenis ini sangat popular di kawasan tumpuan pelancong, contohnya di kawasan bulatan Masjid Putra, Putrajaya. Sebelah malam akan ramai dengan pelancong yang membawa anak-anak bersiar-siar dan di sinilah kesempatan kepada usahawan untuk menjual pelbagai jenis mainan. Harga serendah lima ringgit masih menguntungkan kerana pelanggan akan ada pada setiap malam. Jika dijual di Bandar Hilir, Melaka, tentulah lebih banyak keuntungannya kerana musim cuti sekolah menjadikan laluan dari Tol Ayer Keroh hingga ke Bandar Hilir sentiasa sesak dengan pelancong.  


Cari wang dengan menghiburkan pengunjung


Kelima, menjadi badut. Bisnes ini sangat mudah tetapi lebih baik berkumpulan supaya tidak bosan. Usahawan boleh tawarkan diri untuk menjadi maskot kepada mana-mana organsasi untuk promosi atau perkenalkan produk syarikat. Di samping badut, boleh juga dibuat persembahan silap mata.

 

Tuesday, November 12, 2013

Cabaran politik berkoalisi







oleh Karim Raslan

Koalisi politik boleh diibaratkan seperti satu ikatan perkahwinan. Sebuah koalisi akan harmonis (sama seperti ikatan perkahwinan yang baik) apabila setiap pihak dapat bekerjasama tanpa terlalu banyak mengkompromikan agenda perjuangan mereka.

Apabila pasangan lebih banyak bertengkar, hubungan akan menjadi keruh dan boleh bawa kepada keruntuhan rumah tangga. Hal sama boleh berlaku dalam sebuah koalisi politik.

Tidak dapat dinafikan, pembentukan sebuah koalisi adalah suatu proses yang rumit di mana setiap pihak akan melalui proses rundingan panjang bagi mendapatkan hasil terbaik.

Di Jerman, Parti Demokrat Kristian pimpinan Angela Merkel masih dalam proses rundingan membentuk kerajaan walaupun telah memenangi pilihan raya umum pada September lalu.

Di Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) pada tahun 2009, berjaya membentuk sebuah koalisi kerajaan yang diberi nama “Sekretariat Gabungan” (Setgab). Terdapat enam parti tergolong dalam Setgab tersebut di mana gabungan mereka menguasai lebih kurang 75.5% dari jumlah keseluruhan kerusi Parlimen.

Perlu diketahui koalisi politik adalah suatu perkara yang biasa di Indonesia memandangkan negara ini mempunyai jumlah populasi yang cukup besar dan masing-masing mewakili kepentingan dan agenda politik berbeza-beza.

Namun, menjelang pilihan raya umum 2014 tidak lama lagi, hubungan antara parti dalam Setgab menjadi semakin tegang. Antara sebab utama, faktor SBY yang semakin hampir menamatkan penggal kedua dan terakhir beliau sebagai presiden.

Untuk itu, kita harus bertanya adakah koalisi yang dibina SBY itu mampu bertahan apabila dia turun dari tampuk kuasa? Dengan berakhirnya era pemerintahan SBY, adakah koalisi Setgab akan mengalami suatu krisis genting yang kemudiannya dapat dipulihkan atau adakah ia akan mencetuskan sebuah kemelut yang boleh menjurus kepada perpecahan dan kehancuran?

Sebenarnya, masalah dalam Setgab bukanlah perkara baru. Misalnya pada Februari 2011, dua ahli Setgab iaitu parti Golkar dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS) ambil pendirian untuk tidak menyebelahi kerajaan dalam usaha menyokong cadangan menubuhkan sebuah jawatankuasa dalam siasatan kes rasuah cukai. Namun tiada sebarang tindakan dikenakan kepada kedua parti ini. Selain itu, PKS baru-baru ini turut menentang keputusan bersama Setgab untuk naik harga minyak.

Malah, ketegangan dalam Setgab menjadi semakin ketara apabila Parti Demokrat dan Golkar, dua parti terbesar dalam Setgab, mengumumkan secara terbuka mereka membuka pintu bagi membentuk sebuah koalisi bersama Parti Demokratik Indonesia-Perjuangan (PDI-P) pimpinan Ibu Megawati selepas pilihan raya legislatif pada 2014. PDI-P kini parti pembangkang utama di Indonesia.

Tambahan pula, hubungan antara Parti Demokrat dan Golkar bertambah parah dengan kontroversi penangkapan Akil Mochtar, Ketua Mahkamah Konstitusi Indonesia. Masing masing saling menuduh akan punca wujudnya dinasti politik yang berleluasa di Indonesia.

Di Malaysia, politik berkoalisi mempunyai masalah berbeza.Contohnya, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah memerintah sebagai koalisi sejak Merdeka lagi, perlu mengimbangi pengaruh dominan Umno memandangkan MCA dan MIC, dua parti komponen utama BN, mengalami kekalahan teruk dalam pilihan raya umum lalu.

Sebagai tunjang BN, Umno  berada dalam kedudukan selesa untuk menentukan hala tuju sesuai bagi parti komponen walaupun ini tidak semestinya perkara terbaik bagi sebuah koalisi. Dominasi Umno menggugat kestabilan koalisi BN.

Buat masa ini, koalisi pembangkang Pakatan Rakyat tampak lebih seimbang tanpa satu parti mendominasi yang lain. Setelah berjaya menafikan kemenangan 2/3 majoriti kerusi
Parlimen bagi BN buat dua pilihan raya umum berturut-turut, PR dilihat mampu bertahan untuk suatu jangka panjang.

Walau bagaimanapun, perbezaan ideologi yang ketara antara Pas dan DAP tidak boleh diketepikan. Biarpun Pas sudah mengurangkan tekanan terhadap agenda Islam mereka, golongan konservatif dalam parti masih tidak selesa dengan kedudukan Pas “bersekongkol” dengan parti komponen PR lain.

Kembali kepada perbincangan tentang Indonesia, dalam beberapa bulan ke depan menjelang pilihan raya umum 2014, kita bakal menyaksikan pelbagai aktiviti pra-gabungan koalisi berlaku antara parti-parti politik di mana masing-masing akan mencuba mencari ‘rakan politik’ baharu. Jika ini berlaku di Malaysia, semestinya pihak penguat kuasa agama akan memantau keseluruhan aktiviti dengan penuh teliti.


(Sinar Harian, 12 November 2013)

 

Monday, November 11, 2013

Kontrak sosial

 



Penulis: Abd. Manaf Haji Ahmad
Tahun: 2009
Penerbit: Utusan Publications & Distributors, Kuala Lumpur, Malaysia
Muka Surat: 355


 
Berbicara tentang kontrak sosial sudah semestinya mengingatkan kita akan masa lampau iaitu bagaimana Malaya dapat direalisasikan menjadi sebuah negara yang merdeka, dapat mewujudkan demokrasi dan akauntabiliti hak pelbagai kaum. Buku ini bukanlah sebagai polemik tetapi sebagai “ekspresif negara” untuk pemahaman betapa pentingnya perpaduan yang dicapai sehingga ke hari ini.
 
Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mengungkapkan kontrak sosial dengan pengertian yang mendalam iaitu,
 
“Sejarah telah membuktikan bahawa orang Melayu berjiran dengan orang bukan orang Melayu lebih daripada 200 tahun yang lalu. Kita duduk bersama-sama dan berjiran dengan pelbagai kaum di negara ini. Bagi saya, kejayaan itu memerlukan kepada beribu-ribu kepala, beribu-ribu hati dan beratus-ratus ribu tangan yang perlu digabungkan menjadi satu dan tunggal supaya faedah-faedah dan cita-cita kita tercapai dengan sempurna”.
 

Sunday, November 10, 2013

Jejak penjenayah asing






Kejayaan pasukan polis menjejak, menahan dan menangkap penjenayah paling kejam tahun ini amat membanggakan. Penjenayah yang tidak rasa bersalah menembak sehingga mati pegawai operasi sebuah bank pada bulan lepas dikesan berada di Kota Tinggi dan disyaki cuba meloloskan diri ke negara jiran.

Penangkapan ini menjadi amaran kepada mana-mana penjenayah, penyamun dan perompak asing yang cuba menjadikan rakyat Malaysia sebagai mangsa kerakusan mereka. Selagi mereka berada di dalam negara ini, pasukan polis akan mencari sehingga dapat.

Umum mengetahui bahawa penjenayah yang ditangkap ini menggunakan kad pengenalan palsu, suatu tanda yang menunjukkan dengan jelas betapa penguatkuasaan undang-undang amat lemah di agensi kerajaan. Bagaimana kad pengenalan boleh dipalsukan? Kita tidak pula mendengar kad pengenalan rakyat asing menjadi palsu.

Di Malaysia, kita biasa dengar wang palsu, mata palsu atau geran tanah palsu namun orang palsu adalah fenomena baru kerana wujudnya kad pengenalan palsu. Akibat kad pengenalan palsu ini, imej agensi kerajaan dan negara mudah tercemar.

Kerjasama orang ramai dan polis untuk menangkap penjenayah palsu itu walaupun hampir tiga minggu tetap membanggakan kerana penyaluran maklumat sentiasa dikemaskini. Apatah lagi anggota keluarga penjenayah sudah pun ditahan dan mereka menjadi pemberi maklumat yang sangat berkesan.

Polis masih ada dua kes yang perlu diselesaikan iaitu perancang pembunuhan sebuah bank di Kuala Lumpur dan penculikan 19 jam kanak-kanak Britain.

Kita ingin melihat pihak polis segera menyelesaikan pemburuan mereka supaya keyakinan masyarakat terhadap pasukan polis sentiasa meningkat dan boleh diberi kepercayaan.
  

Saturday, November 09, 2013

Usah lupa Tokoh Maal Hijrah







oleh Nizam Yatim

Sejak 26 tahun lalu, boleh dikatakan saban tahun akan ada individu berjasa yang dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan.

Individu berkenaan yang diiktiraf sebagai ikon umat Islam akan menerima hadiah wang tunai yang kini berjumlah RM100,000, pingat, plak dan sijil penghargaan.

Tetapi yang menjadi persoalan kepada kita, setakat itu sahajakah penghargaan yang diberikan kepada tokoh berkenaan? Adakah terdapat langkah lain yang dibuat supaya jasa mereka terus dikenang generasi akan datang.

Walaupun telah ada usaha Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mendokumenkan biografi sebahagian daripada tokoh berkenaan dalam buku khas yang diterbitkan pada 2006, tetapi ia tidak memadai kerana apa yang diceritakan hanya sebahagian kecil sumbangan tokoh terbabit.

Sebuah buku dengan 559 halaman untuk menceritakan segala jasa tokoh yang telah memberikan sumbangan bakti yang begitu besar kepada umat Islam adalah tidak memadai.

Sehingga tahun ini, jumlah tokoh berkenaan bertambah lagi menjadi 26 orang dan sepatutnya pihak berkenaan menerbitkan 26 buku yang masing-masing memuatkan biografi setiap tokoh terbabit.

Bagi menguji pembaca, berikut disenaraikan enam tokoh terawal yang menerima anugerah tersebut dan tanyalah diri sendiri adakah anda mengenali mereka sebelum ini.

AL-SYEIKH MUHAMMAD IDRIS ABDUL RAUF AL-MARBAWI

Individu pertama yang menerima anugerah berkenaan pada 1408 Hijrah atau tahun 1987 amat berjasa kepada pelajar-pelajar di alam Melayu terutamanya mereka yang mengikuti pengajian di negara-negara Arab.

Kamus Arab-Melayu karangan beliau yang dikenali sebagai Qamus al-Marbawi adalah rujukan tetap pelajar-pelajar terbabit sehinggalah mereka dapat menguasai bahasa Arab dengan baik.

Ulama yang berasal dari Kampung Merbau yang terletak tidak jauh dari Bandar Diraja Kuala Kangsar, Perak dilahirkan pada 1893 di Mekah.

Allahyarham yang meninggal dunia pada 1989 ketika berusia 96 tahun turut meninggalkan banyak karya-karya lain termasuk Bahrul Mazi yang merupakan terjemahan kitab Sahih Tarmizi yang pertama dalam bahasa Melayu.

PROF. EMERITUS TAN SRI AHMAD MOHAMED IBRAHIM

Beliau adalah penerima anugerah yang kedua pada 1409 Hijrah atau tahun 1988. Sumbangan Allahyarham adalah dalam memperkemaskan sistem pentadbiran undang-undang Islam Malaysia selaras dengan usaha kerajaan menerapkan nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya.

Antara jawatan yang pernah disandangnya adalah Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Penyelarasan Penggubalan Undang-undang Islam dan Sivil, Jabatan Perdana Menteri dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Syariah Bank Islam Malaysia Bhd.

Beliau yang meninggal dunia pada 1999 ketika berusia 83 tahun telah menghasilkan puluhan judul buku yang kebanyakannya berhubung dengan undang-undang keluarga dan pentadbiran Islam.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1916 di Singapura adalah berkelulusan undang-undang dari Kolej St. John's, Universiti Cambridge.

Sekembalinya ke Singapura, beliau menjadi peguam bela pertama dilantik di republik itu dan kemudiannya sebagai Peguam Negara Singapura yang pertama.

Antara jasa beliau ketika di republik itu adalah menggubal Akta Undang-Undang Pentadbiran Islam (AMLA) 1966 yang meliputi penubuhan Majlis Agama Islam, mahkamah syariah, peruntukan kewangan untuk masjid dan sekolah agama, undang-undang mengenai perkahwinan dan perceraian, harta serta penukaran agama.

Pada 1968, Allahyarham bersara daripada perkhidmatan awam Singapura dan berhijrah ke Malaysia.

Beliau kemudiannya berperanan menubuhkan pengajian undang-undang di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

TAN SRI S.O.K. UBAIDULLA KADIR BASHA

Beliau yang meninggal dunia ketika berusia 90 tahun pada 2009 adalah tokoh politik veteran dan ahli perniagaan terkemuka.

Allahyarham yang dikenali sebagai seorang pemimpin dan dermawan yang sentiasa merendah diri telah memegang pelbagai jawatan semasa hayatnya termasuk sebagai pengasas Yayasan Ubaidi, menjadi senator pada 1975 dan pengarah Bank Bumiputra Commerce Bhd.

Beliau merupakan ahli MIC yang terawal sejak ditubuhkan pada 1946 dan kesetiaan beliau membolehkannya memegang beberapa jawatan penting di dalam parti itu termasuk sebagai Pengerusi Tetap.

Allahyarham juga merupakan antara pengasas dan Presiden kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) dan Pengerusi Persatuan India Muslim Malaysia (Permim).

Semasa hayatnya, Allahyarham banyak membantu mempromosikan kesusasteraan Tamil dan menyertai aktiviti berunsur keagamaan sehingga melayakkan beliau menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah pada 1989.

PROF. TAN SRI DR. MUHAMMAD ABDUL RAUF

Beliau lahir pada 1917 di bandar Abu Sir Gharbieh, Mesir dan mendapat pendidikan tinggi berkaitan pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Universiti Cambridge dan University of London.

Beliau dihantar ke Malaya oleh Universiti Al-Azhar pada 1955 untuk membuka Kolej Islam di Klang dan kemudian, mengetuai Jabatan Pengajian Islam di Universiti Malaya.

Allahyarham juga dikenali sebagai arkitek yang membentuk sukatan pelajaran Pengetahuan Agama Islam sekolah rendah dan menengah dan sukatan pelajaran Bahasa Arab bagi sekolah menengah.

Dari 1970 hingga 1980, beliau dilantik sebagai Pengarah Pusat Islam di Washington, Amerika Syarikat (AS).

Beliau kemudian dijemput kembali ke Malaysia untuk menjadi Rektor pertama UIAM dari 1983 hingga 1988 dan kemudian berpindah ke Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (Kusza) di Terengganu sebagai Penasihat Akademik sebelum bersara pada 1992.

TAN SRI MOHD. ASRI MUDA

Beliau yang meninggal dunia pada 1992 ketika berusia 69 tahun adalah Presiden Pas dari 1969 hingga 1982 sebelum digantikan oleh Yusof Rawa.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Masjid, Kota Bharu, Kelantan mendapat pendidikan awal di Sekolah Majlis Ugama Islam, Kota Bharu dan Pondok Masjid Muhammadi.

Allahyarham pernah menjadi guru agama di Madrasah Al-Ihya Asy-Syariff, Gunung Semanggol, Perak. Antara jawatan tinggi yang pernah disandangnya adalah Menteri Besar Kelantan dari 1964 hingga 1974.

Beliau adalah tokoh yang membawa Pas menyertai Barisan Nasional (BN) pada 1973 yang menyaksikannya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Tanah dan Kemajuan Wilayah sehingga 1977.

RAJA TUN MOHAR RAJA BADIOZAMAN

Beliau meninggal dunia pada 2003 ketika berusia 81 tahun. Dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak dan berkelulusan dalam bidang ekonomi dari Universiti Cambridge.

Allahyarham pernah menjadi Penasihat Khas Ekonomi kepada tiga Perdana Menteri iaitu Tun Abdul Razak Hussain, Tun Hussein Onn dan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau dikenali sebagai seorang yang berintegriti tinggi bertanggungjawab menubuhkan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan turut terbabit sebagai perunding bagi membolehkan Malaysia menandatangani perjanjian perdagangan dengan Kesatuan Soviet.

Antara jasa beliau ketika menerajui Petronas pula adalah untuk mendapatkan kawalan semula hasil minyak mentah negara yang pada masa itu dikuasai oleh Shell dan Exxon.
 
(Utusan Malaysia, 9 November 2013)

Friday, November 08, 2013

Majulah Universiti Malaya






Hari ini Universiti Malaya menerima Naib Canselor yang baharu, Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin menggantikan Tan Sri Dr Ghauth Jasmon. Perlantikan Mohd Amin berdasarkan kepada kriteria ditetapkan kementerian, di samping pengalaman beliau dalam aspek pembangunan akademik UM.

Pemergian Gauth Jasmon dan kehadiran Mohd Amin diraikan oleh sebilangan warga universiti itu melalui majlis kesyukuran seperti yang diumumkan oleh sebuah blog “taknakghauth”. Blog ini dipenuhi dengan artikel berkaitan gaya kepimpinan Ghauth Jasmon sepanjang berkerjaya sebagai naib canselor, tindakan dan kecenderungan pensyarah dan staf Universiti Malaya terhadap keputusan-keputusan yang dilakukannya.

Gauth Jasmon telah diberi peluang untuk menaikkan kedudukan universiti tersebut selama dua penggal namun amat mengecewakan. Ranking UM belum mencapai 100 terbaik dan prestasinya juga tidak sehebat mana. Kenapa perancangan dan tindakan oleh Gauth Jasmon tidak menjadi sedangkan beliau didatangkan khusus untuk menjadikan UM sebuah universiti bertaraf dunia?

Menilai kandungan blog “taknakghauth” barulah kita sedar bahawa pemimpin yang tegas dengan keputusan sendiri tidak akan mendapat sokongan bulat daripada pengikut. Mengguna kaedah “aku betul, kau salah” hanya mengundang rasa meluat dan memberontak dalam kalangan pengikut di semua peringkat.

Gauth Jasmon telah berlalu dan semoga kejayaan mengiringinya. Kini staf dan pelajar UM menantikan tindakan yang lebih mesra dan pro kepada kerja berkumpulan daripada Mohd Amin supaya Universiti Malaya dapat berada dalam kelompok 50 terbaik dunia.

Sunday, November 03, 2013

Makan angin di Bandung




Kawasan kawah di Tangkuban Parahu


Perjalanan ke Bandung, Indonesia mengambil masa selama dua jam. Pesawat Air Asia Indonesia sangat lancar. Ini merupakan kali pertama saya ke kota Bandung walaupun pernah diajak oleh rakan-rakan sebelum ini.

Lapangan Terbang Husein Sastranegara agak kecil. Perjalanan dari KLIA pukul 9.50 malam dan tiba di Bandung hampir jam 11.30 malam waktu setempat. Pesawat sangat lancar dan pendaratan dilakukan dengan sempurna. Pilihan makanan yang disediakan kurang menepati citarasa saya namun dijamah juga.

Kaunter imigresen ada tiga sahaja tetapi pelepasan pelancong agak pantas. Masalah utama ialah menunggu bagasi. Tempat mengambil bagasi sangat sempit dan setiap orang perlu sabar menunggu beg masing-masing.

Selepas mendapatkan beg, saya masih perlu mengimbas beg yang dibawa. Sekali lagi terpaksa beratur panjang. Keramahan petugas meredakan sedikit gelisah menunggu bagasi dan barisan penumpang yang panjang.

Saya memilih teksi di lapangan terbang ke hotel penginapan. Teksi warna biru adalah teksi rasmi di sini. Bayarannya Rp50,000 atau RM18. Masa yang diambil ke hotel lebih kurang 15 minit kerana jalan raya yang lengang. Nama pemandu teksi ialah Osama, punya tiga orang anak dan sembilan cucu, tinggal di Pasteur. Dia juga ada buat kereta sewa dengan bayaran Rp600,000 sehari. Bayaran ini sangat mahal kerana saya boleh dapat kereta sewa dengan pemandu hanya Rp400,000 sehari.

Sebenarnya di hadapan kaunter pintu keluar lapangan terbang terdapat beberapa orang pemandu teksi persendirian yang bertanya sama ada hendak teksi atau tidak. Dari kaunter tadi hingga hampir ke parkir teksi, ada yang mengekor termasuk yang menjual kad sim simPATI. Lebih baik kita membeli kad ini kerana murah dan jimatkan kos.

Saya tiba di Hotel Citarum, Jalan Citarum No. 16 untuk bermalam. Hotel ini agak kecil tetapi selesa. Satu malam ialah Rp450,000 bagi bilik keluarga. Paling bagus hotel ini ada arah kiblat. Naik tingkat tiga tanpa lif adalah pengalaman menarik. Kafe di tingkat empat. Di sebelahnya ada bangunan tambahan hotel.

Oleh kerana waktu subuh masuk lebih awal, loceng jam juga dikunci awal. Awalnya ialah 15 minit, jadi jam perlu dikunci 15 minit awal supaya tidak terlepas waktu subuh kerana doa orang yang bermusafir sangat mustajab. Peluang melancong dan berjalan-jalan adalah baik untuk banyakkan doa.

Selepas di Hotel Citarum, saya ke Hotel Amaris, lebih kurang 5 minit berkereta kerana memang hotel itu yang ditempah. Bilik hotel agak kecil tetapi bolehlah dikatakan selesa. Dalam bilik tidak ada arah kiblat, jadi kenalah rujuk pada kompas telefon bimbit. Kain sejadah boleh diminta di kaunter. Kelebihan bilik ialah sinki air di luar kerana mudah untuk mencuci tangan atau muka. Walaupun tidak ada cerek, di hadapan pintu bilik terdapat "water cooler" yang sentiasa diisi air sejuk dan panas.

Bandung penuh dengan kedai menjual pakaian dan barangan kulit seperti Rumah Mode, One World. dan Rumah Tas. Reka bentuk penempatan di Bandung adalah bertompok-tompok iaitu satu tompok kawasan dipenuhi dengan rumah dan tempat perniagaan menjadikan bandar ini terlalu banyak jalan pintas dan simpang. Cuma di bahagian yang berkaitan dengan perusahaan dan tumpuan, kawasannya padat dengan rumah kedai, bangunan dan tempat tinggal. tidak banyak bangunan tinggi dan moden di sini. Persekitaran yang sentiasa ditanam pokok menjadikannya teduh.

Pasar Baru adalah kawasan jualan tekstil yang menjadi pilihn kerana kainnya yang murah dan pelbagai jenis. Kemahiran menawar sangat penting di sini kerana harganya berbeza jika pelancong yang membelinya. Di tingkat atas pasar adalah masjid manakala tujuh tingkat lainnya adalah kedai, medan selera dan kawasan parkir. Oleh kerana Pasar Baru menjadi tumpuan, keselamatan dompet dan beg duit sangat penting. Sebaiknya di poket seluar depan diletakkan dompet manakala bagi wanita, lebih baik beg duit dialihkan ke hadapan kerana penyeluk saku di sini menggunakan pisau kecil untuk menebuk beg dan mengambil wang.

Bangunan di sekitar Pasar Baru masih mengekalkan bangunan lama yang berselerak dan kurang terurus. Kebersihannya juga jauh daripada standard kerana pelbagai ragam manusia yang ada di sini. Menariknya ialah terdapat syarikat teksi yang menggunakan Proton Waja sebagai teksi utama.

Kereta bersimpang-siur dengan beca dan motosikal. Di kiri dan kanan jalan terdapat puluhan motosikal yang menjadi nadi pengangkutan penduduk Bandung.

Di perhentian lampu isyarat, kedapatan penjual surat khabar dan pelbagai jenis peralatan berjalan dari kereta ke kereta mengharapkan barang mereka dibeli. Penjual ini pula masih muda dan tidak ada rasa malu menghulurkan barang untuk dibeli.

Antara nama-nama menarik yang sempat saya tulis ialah Malacca Trust Insurance, Bebek Setan, 5aSec, Dapur Iga, Ayam Goreng Suharti, Toko Tiga dan Pasar. Pasaraya Giant juga ada di sini tetapi agak kecil.

Berhampiran hotel, terdapat sebuah rumah makan Sunda yang bernama Ampera. Hidangan Sunda sangat sedap itu pun sekali-sekala makan. Kalau selalu makan, pasti rasa jemu kerana tidak banyak pilihan.

Sekitar Bandung, reka bentuk rumah dan bangunan masih mengekalkan ciri-ciri kebelandaan. Parabola juga besar dan ada di setiap rumah.






Keunikan jalan raya di Bandung ialah di setiap simpang yang sibuk akan terdapat seorang "traffic man" yang menguruskan lalu-lintas. Biasanya pengguna jalan raya akan meghulurkan duit kerana menghargai usahanya melancarkan perjalanan. Siapa-siapa sahaja boleh menjadi "traffic man" ini.

Tempat paling menarik di Bandung ialah Tangkuban Parahu iaitu kawasan kawah gunung berapi. Nasib saya agak baik kerana ketika menjejakkan kaki di kawasan berkenaan, ia baru empat hari dibuka selepas ditutup hampir sebulan kerana kawahnya mengeluarkan gas beracun dan tidak selamat.

Sepanjang perjalanan ke kawah berkenaan, saya melalui Universitas Pendidikan Indonesia, Kampung Daun dan beberapa buah hotel. Perjalanannya umpama ke Ranau, Sabah kerana di kiri dan kanan banyak dijadikan pusat perniagaan dan resort. Aktiviti lain ialah menjual arnab, buah-buahan khususnya strawberry, rumah urut, Rumah Kasih dan jualan tepi jalan.

Di sekitar kawah ini didirikan pagar supaya orang ramai tidak turun ke dasar kawah. Bau belerang agak kuat ketika ini walaupun suhu di kawasan gunung tidaklah terlalu panas. Deretan kedai cendera mata menjual pelbagai jenis barangan termasuklah rantai dan gelang yang dibuat daripada batu kawah gunung. Penjual kecil-kecilan turut berkeliaran mencari pelanggan dan pelancong yang rata-ratanya teruja dengan suasana sekitar.

Gerai menjual makanan dan minuman menjual menu yang sama iaitu jagung bakar dengan harga Rp10,000 setongkol. Menu lain ialah nasi rames, bandrek susu, teh susu dan bajigur.

Bandung sesuai untuk membeli-belah khususnya pakaian kerana banyak pilihan dan menarik. Perjalanan dua jam dari KLIA tidaklah lama. Jika dua atau tiga kali di  Bandung, kita sudah biasa dengan keadaan masyarakat di sini dan boleh menyesuaikan diri dengan baik asalkan ada wangnya.