1.0 Pengenalan
Perniagaan yang dipilih ialah C IN Beriani Steam Catering. Walaupun ia
merupakan perniagaan yang tidak begitu besar tetapi C IN Beriani Steam Catering turut
menyumbang kesan terhadap masyarakat mahupun negara. Tugasan ini mendedahkan bidang
keusahawanan yang merupakan satu kerjaya yang digalakkan oleh kerajaan.
Kemajuan dalam bidang keusahawanan adalah satu kebanggaan bagi sesebuah negara.
Kini, kerajaan telah pun mewujudkan kementerian berkaitan keusahawanan untuk
membantu golongan bumiputera menceburi bidang perniagaan dan memajukan lagi
sektor keusahawanan. Malah, MARA juga telah memperuntukkan pinjaman kepada
usahawan-usahawan baru bumiputera untuk memulakan perniagaan.
Di samping itu juga, ia dapat menarik minat golongan
belia untuk menceburi bidang keusahawanan. Bidang keusahawanan adalah bidang
yang mencabar. Hal ini kerana, seseorang usahawan perlu menempuh pelbagai
risiko untuk berjaya. Risiko yang ditanggung oleh seseorang usahawan adalah
besar. Walau bagaimanapun, risiko sebegini telah dipertimbangkan terlebih
dahulu sebelum melibatkan diri dalam kerjaya ini. Usahawan menjadi majikan
kepada dirinya, hal ini kerana setiap usahawan menggunakan cara sendiri untuk
merebut peluang dalam perniagaan.
Seseorang usahawan juga perlulah kreatif dan optimistik
bagi merebut peluang yang ada. Seseorang usahawan yang berjaya mesti memikirkan
idea-idea yang bernas untuk menghasilkan produk-produk yang memenuhi keperluan
harian pengguna. Bidang keusahawanan memerlukan seseorang menyelesaikan masalah
yang dihadapi masyarakat dengan mencipta satu produk yang memenuhi kehendak
masyarakat. Seseorang usahawan juga perlu mengkaji tentang perkembangan
perniagaan bagi meningkatkan lagi mutu servis yang dijalankan. Hal ini kerana
kejayaan seseorang usahawan bergantung pada usahanya. Pengurusan yang
sistematik juga amat penting dalam sesebuah perniagaan. Pengurusan yang tersusun dan pentadbiran yang adil kepada pekerja-pekerja
juga akan menarik minat pekerja untuk melaksanakan tugas masing-masing.
Kesimpulannya, bidang ini memerlukan kesabaran yang
tinggi untuk mencapai kejayaan yang diinginkan. Semangat tidak putus asa
merupakan pakej kepada usahawan yang berjaya.
2.0 Sorotan Literatur
C IN Beriani Steam Catering merupakan sebuah perniagaan berbentuk katering. Nama C IN Beriani Steam
diambil bersempena nama timangan pemilik terkini perniagaan katering ini iaitu
Encik Shalehen yang pada mulanya dimiliki oleh ayah beliau iaitu Encik Zainal
Omar. C IN Beriani Steam pada awalnya merupakan sebuah restoran di
bandar Melaka. C IN Beriani Steam ialah sebuah perniagaan francais yang
diwujudkan hasil dari perkembangan sebuah restoran yang dikenali sebagai
Restoran Mata Kucing. Perniagaan C IN Beriani Steam Catering mula
ditubuhkan pada empat tahun yang lalu iaitu pada tanggal 18 September 2009.
Walau bagaimanapun, Restoran Mata Kucing ini telah dibina di Jalan Taming Sari
berhadapan JKR selama hampir 40 tahun dan kekal hingga ke hari ini. Pengasas
perniagaan Restoran Mata Kucing ialah datuk kepada Encik Shalehen dan
diturunkan kepada bapa saudara beliau iaitu Encik Zahari. Malah, resipi
perniagaan yang berbentuk katering ini diambil dari resipi turun-temurun
keluarga Encik Shalehen sahaja.
Jenis perniagaan katering yang dijalankan oleh C IN
Beriani Steam Catering bersifat umum. Katering ini bersifat umum dan lebih
fleksibel kerana mereka turut menyediakan perkhidmatan katering untuk pelbagai
majlis sama ada majlis perkahwinan, majlis rasmi, majlis VIP, majlis VVIP dan
pelbagai program dengan hanya bergantung kepada bajet pelanggan. Namun begitu, C
IN Beriani Steam Catering turut menyediakan pakej yang berpatutan sesuai
dengan selera pelanggan. Malah, mereka turut menyediakan pakej tambahan seperti
hantaran dan andaman pengantin dengan harga yang berpatutan bagi pakej
perkahwinan. Sebagai tambahan, pelanggan juga boleh mendapatkan perkhidmatan
penyewaan khemah, kerusi dan meja untuk program yang dijalankan. Malah, segala
keputusan penyediaan kuantiti dan jenis makanan adalah berdasarkan permintaan
pelanggan.
C IN Beriani Steam Catering menjalankan perkhidmatan katering di rumah kerana pemesanan boleh
dilakukan melalui telefon atau dari mulut ke mulut. Perniagaan perkhidmatan
katering dari rumah merupakan satu karier perniagaan yang sesuai terutama
kepada keluarga Encik Shalehen yang menggunakan ahli keluarga sebagai pekerja
yang mampu berhubung dengan orang ramai. Perkhidmatan katering ini seratus
peratus dikendalikan oleh keluarga Encik Shalehen sendiri iaitu ayah, ibu ,
adik beliau Encik Taufiq yang mempunyai kelulusan dari bidang kulinari KLMU
serta dibantu oleh pekerja sambilan yang terdiri dari masyarakat luar mahupun
setempat. Beliau tidak mengambil pekerja tetap kerana kadar permintaan
pelanggan untuk menggunakan perkhidmatan katering tidak menentu. Jadi, beliau
hanya menggunakan perkhidmatan masyarakat setempat bagi membantu menjalankan
perniagaan. Ini sekali gus dapat membantu menambahkan pendapatan masyarakat sekeliling.
Namun, keluarga beliau sendiri yang menjadi tunggak utama dalam mengusahakan
perniagaan ini bagi menguruskan segala kerja sama ada perkhidmatan secara
kecil-kecilan ataupun berskala besar yang merangkumi penghantaran makan tengah
hari dari rumah ke rumah, pejabat,
majlis-majlis keraian hari lahir, majlis keagamaan seperti kenduri tahlil atau
baca doa selamat, seminar perniagaan atau kursus-kursus, mesyuarat dan sehingga
kepada majlis-majlis besar seperti majlis perkahwinan.
2.1 Objektif Penubuhan
1. Menyediakan perkhidmatan katering berasaskan produk
tempatan.
2. Menjadi antara pengeluar nasi beriani dalam kalangan
masyarakat Melayu.
3. Mengembangkan lagi perniagaan keluarga dan resepi
turun-temurun.
4. Menambahkan pendapatan masyarakat setempat.
2.2 Matlamat Perniagaan
1. Membawa produk dan
perkhidmatan terus kepada pelanggan.
2. Mewujudkan jaringan
perniagaan dengan pelanggan dan bakal pelanggan.
3. Menjadikan perniagaan C IN Beriani Steam Catering sebagai pengeluar utama produk nasi
beriani kepada pengguna.
4. Mewujudkan lebih banyak
cawangan perniagaan C IN Beriani Steam Catering di sekitar Melaka dan
seterusnya Negara.
Visi perniagaan C IN Beriani Steam Catering ialah menjadi
pengeluar nasi beriani yang terkemuka dan berdaya saing di pasaran negeri dan
negara. Manakala misi perniagaan pula adalah menyediakan nasi beriani warisan
keluarga serta memperkenalkan makanan tradisional negeri Melaka pada kos yang
rendah namun dengan kualiti yang terjaga.
2.3 Projek Pembangunan Perniagaan
Memegang prinsip ‘customer is always right’, perniagaan C
IN Beriani Steam Catering mula bertapak sebagai perniagaan yang menyediakan
perniagaan katering di sekitar Melaka. Perniagaan ini yang mengkhususkan menu
tradisi negeri Melaka mempunyai produk keutamaan iaitu nasi beriani steam
yang menjadi warisan En. Shalehen sekeluarga. Perniagaan yang dikendalikan
sepenuhnya oleh keluarga En. Shalehen ini mula bertatih melalui tender-tender
kerajaan dan swasta seperti Pusat OKU (Ghafar Baba), Hang Tuah Jaya dan majlis
berbuka puasa serta tilawah al-quran di Masjid Saidina Ali, Bukit Katil yang
dihadiri golongan VVIP. Antara majlis persendirian terbesar yang telah
dikendalikan oleh perniagaan ini pula ialah majlis kenduri kahwin di ILP Ayer
Keroh.
2.4 Operasi Perniagaan
Demi memenuhi permintaan dan kemampuan pelanggan, C IN
Beriani Steam Catering sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan pada kadar
yang rendah. Justeru antara langkah yang diambil oleh En. Shalehen sekeluarga
adalah dengan mendapatkan sumber bahan mentah daripada pembekal tetap. Jaringan
yang sedia ada memudahkan En. Shalehen mendapatkan kepercayaan pembekal
seterusnya membeli bahan mentah pada kos yang rendah. Antara lokasi pembekal
perniagaan C IN Beriani Steam Catering
ialah Pasar Besar dan Pasar Borong Melaka. Strategi lain adalah sentiasa
memastikan produk perniagaannya dapat disediakan dengan kos yang rendah iaitu
menyediakan sendiri produk tersebut tanpa mengupah pekerja luar. Meskipun
kaedah ini mungkin dikhuatiri kualitinya namun dengan memegang prinsip
‘customer is always right’, C IN Beriani Steam Catering akan menyediakan
produk mereka di lokasi majlis jika terdapat permintaan pelanggan.
3.0 Kekuatan dan Kelemahan
Projek
Nasi beriani adalah antara salah satu makanan tradisional masyarakat Melayu sejak
turun-temurun lagi. Maka, tidak hairanlah sekiranya nasi beriani tetap menjadi
pilihan bagi masyarakat Melayu untuk dijadikan hidangan di dalam majlis
keramaian dan sebagainya. Hal ini telah menjadi antara salah satu kekuatan
kepada C IN Beriani Steam Catering kerana sambutannya yang menggalakkan
daripada pelanggan. Selain daripada nasi beriani, C IN Beriani Steam
Catering juga turut menyediakan beberapa juadah yang lain. Sebagai contoh,
lauk-pauk seperti asam pedas, kari ayam dan sebagainya. Bukan itu sahaja,
pencuci mulut contohnya seperti buah-buahan dan kuih-muih juga turut
disediakan. Pemilik katering ini juga memiliki beberapa orang pekerja yang
berkebolehan untuk memasak pelbagai jenis lauk-pauk dan kuih-muih tradisional
Melayu.
Perniagaan yang dibuka pada tahun 1993 ini merupakan
perniagaan turun–temurun dan diwarisi oleh anak pengasas katering ini iaitu
Encik Zainal Omar. Beliau telah belajar banyak mengenai selok-belok perniagaan
katering melalui ayah beliau. Perniagaan beliau juga mempunyai beberapa orang
pelanggan tetap yang sering menggunakan khidmat beliau untuk majlis mereka.
Setelah beberapa tahun mengambil alih katering tersebut, beliau kini telah
menyerahkan tugas menguruskan katering tersebut kepada dua orang anak beliau
yang berumur dalam lingkungan 20-an iaitu Encik Muhamad Shalehen dan Encik
Taufiq. C IN Beriani Steam Catering menyediakan perkhidmatan katering
untuk pelbagai jenis majlis contohnya majlis perkahwinan, akikah, berbuka
puasa, perasmian, jamuan dan sebagainya. Bukan sahaja katering, malahan
perkhidmatan sewa khemah, sistem siaraya, gubahan hantaran, fotografi dan
andaman juga turut ditawarkan kepada pelanggan bagi memudahkan kerja mereka
dalam mengadakan majlis perkahwinan dan sebagainya.
Selain daripada tempahan, beliau juga turut mendapat
tender untuk menguruskan beberapa majlis keramaian di sekitar kawasan Melaka.
Contoh organisasi yang menggunakan perkhidmatan beliau ialah pusat kebajikan
OKU di Melaka. Hal ini lebih menguntungkan bagi beliau apabila pelanggan mula
memberi kepercayaan kepada beliau dalam menyediakan makanan untuk majlis
mereka.
Setiap perniagaan memiliki beberapa kelemahan dan masalah
yang perlu diatasi. C IN Beriani Steam Catering juga tidak terkecuali.
Antara kelemahannya ialah kekurangan pekerja apabila banyak tempahan diterima.
Hal ini memaksa beliau untuk mengupah pekerja tambahan yang biasanya terdiri
daripada orang kampung dan masyarakat setempat. Hal ini menyebabkan pekerja
yang kurang pengalaman dan tidak mahir turut sama terlibat dalam penyediaan
makanan.
Kelemahan yang seterusnya ialah tiada pekerja yang tetap
dan sering bertukar ganti untuk menguruskan majlis. Sekiranya banyak tempahan
diterima, kekurangan pekerja akan berlaku dan ini menyebabkan pelanggan sering
mengadu tentang ketidakcekapan pekerja dalam memberi perkhidmatan untuk majlis
mereka. Seterusnya ialah persaingan antara perniagaan katering lain untuk
mendapatkan pelanggan. Restoran-restoran
yang kian bertambah ibarat cendawan tumbuh selepas hujan ini menyebabkan
perniagaan beliau sedikit terjejas. Hal ini tidak melemahkan semangat beliau
malah membuatkan beliau bertambah bersemangat lagi untuk memastikan
perkhidmatan katering beliau sentiasa memuaskan hati pelanggan.
4.0 Impak Sosioekonomi kepada Masyarakat Tempatan
dan Negara
Sosioekonomi bermaksud sesuatu yang melibatkan
masyarakat, ekonomi atau kedua-duanya. Selain itu, sosioekonomi mesti mempunyai
unsur-unsur ekonomi dan sosial (Hugo F. Reading, 1976). Kamus Dewan Edisi
Ketiga (1994), sosioekonomi dimaksudkan sebagai sesuatu yang berkaitan dengan
masyarakat dan ekonomi yang melibatkan unsur-unsur atau faktor-faktor yang
berhubung dengan kemasyarakatan dan ekonomi.
Berdasarkan hasil yang kami peroleh dari tugasan ini, C
IN Beriani Steam Catering turut memberi beberapa sumbangan terhadap impak
sosioekonomi kepada masyarakat tempatan mahupun negara. Antaranya ialah C IN
Beriani Steam Catering telah memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat
setempat mahupun luar. Seperti yang kita dapat lihat kini, Malaysia mengalami
masalah lambakan penganggur. Pengangguran yang
berlaku dalam sesebuah negara akan menimbulkan kesan kepada ekonomi dan sosial.
Kesan ekonomi termasuk mengurangkan keluaran negara, merendahkan taraf hidup
dan ini sekali gus melambatkan pembangunan sesebuah negara.
Pengangguran yang tinggi juga boleh
meningkatkan kadar kemiskinan dalam sesebuah negara. Kesan pengangguran terhadap sosial termasuk
pengaruh negatif dalam keluarga dan mewujudkan ketidaktenteraman yang boleh
membawa kepada pergaduhan dan penceraian. Ia juga boleh membawa kepada
peningkatan jenayah akibat masalah kewangan dan masalah tekanan jiwa dan tiada
keyakinan diri. Meskipun masalah pengangguran selalu terjadi akibat
siswazah itu sendiri yang terlalu memilih pekerjaan mahupun kekurangan dari
segi kemahiran insaniah.
Penawaran kerja oleh C IN Beriani Steam Catering
sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar pengangguran itu. Dengan kurangnya
kadar pengangguran keluaran negara dapat ditingkatkan, kadar kemiskinan dapat
dikurangkan, mengurangkan kegiatan jenayah, meningkatkan taraf hidup seseorang,
masyarakat hidup dengan tenteram serta meningkatkan kadar pembangunan negara.
Antara pekerjaan yang ditawarkan oleh C IN Beriani
Steam Catering ialah pembantu tukang masak dan pelayan. Dengan adanya
peluang pekerjaan yang ditawarkan ini, kemahiran mereka tidak kira dari segi
kemahiran insaniah mahupun kemahiran memasak dapat ditingkatkan. Ini adalah
kerana pekerja katering selalunya akan berinteraksi dengan masyarakat
sekeliling. Oleh itu dengan adanya peluang pekerjaan walaupun gaji yang
ditawarkan tidak begitu tinggi, tetapi ia dapat membantu seseorang meningkatkan
taraf hidup mereka serta menimba pengalaman.
Selain itu juga impak sosioekonomi C IN Beriani Steam
Catering terhadap masyarakat setempat adalah mereka juga dapat membantu
menambahkan sumber pendapatan bagi mereka yang sudah mempunyai pekerjaan,
contohnya adalah golongan pembekal. Sesebuah katering sememangnya tidak dapat
beroperasi tanpa bekalan bahan mentah. C IN Beriani Steam Catering
memerlukan bekalan bahan mentah secara berterusan untuk memasak. Bekalan secara
terus dari pembekal dapat mengurangkan perbelanjaan yang terpaksa mereka
tanggung dan terjamin halal serta kualitinya.
5.0 Permasalahan yang Dihadapi dan
Penyelesaiannya
Masalah yang selalu dihadapi oleh perniagaan C IN
Beriani Steam Catering ialah kekurangan pekerja (staff) yang tetap. Seperti
yang kita sedia maklum, perniagaan C IN Beriani Steam Catering ialah
salah satu perniagaan keluarga. Ianya diambil alih oleh ahli keluarga pemilik
tersebut. Kekurangan pekerja yang tetap menjadi salah satu masalah utama kepada
mereka. Ini kerana pekerja yang sedia ada adalah dari kalangan ahli keluarga
terdekat mereka sahaja. Sebagai contoh
tukang masak ialah ibu mereka sendiri iaitu Puan Asiah. Manakala anak-anak
mereka akan menolong apa sahaja yang diperlukan. Bagi menghadapi masalah
kekurangan pekerja tetap seperti ini, En. Shalehen, iaitu pemilik restoran akan
mengupah masyarakat setempat mereka untuk melakukan kerja-kerja memasak seperti
memotong bawang dan sebagainya. Di samping itu, ianya juga dapat mengeratkan
lagi hubungan silaturrahim di antara masyarakat setempat.
Masalah seterusnya adalah dari segi kewangan. Perniagaan katering
seperti ini memerlukan modal yang sangat besar serta berterusan. Bagi mengatasi
malah seperti ini, En. Shalehen mendapatkan bantuan kewangan daripada pihak
Industri Kecildan Sederhana (IKS). Bantuan yang diterima akan digunakan untuk
perkhidmatan katering seperti membeli bahan-bahan mentah untuk memasak serta
peralatan-peralatan yang diperlukan. Pemantauan yang dilakukan oleh pihak IKS
juga turut membantu meningkatkan perkhidmatan katering mereka. Kursus-kursus
yang telah dijalankan oleh pihak IKS seperti cara-cara untuk menguruskan
perniagaan banyak membantu dalam meningkatkan lagi pengurusan perniagaan
mereka.
Pada masa kini, perniagaan nasi beriani majoritinya telah
dikuasai oleh golongan bukan bumiputera, terutamanya masyarakat India dan
mahupun India muslim. Dengan wujudnya pesaing-pesaing seperti ini telah
mendorong En. Shalehen untuk lebih memajukan lagi perniagaan nasi beriani
mereka. Bagi menandingi pesaing-pesaing tersebut, pelbagai cara telah dilakukan
oleh beliau untuk menarik lebih ramai lagi pelanggan. Antaranya adalah dengan
mengekalkan makanan tradisional Melayu ini dengan cara-cara masakan orang
Melayu dan menggunakan cara steam untuk memasak nasi beriani yang barang
kali jarang-jarang kita dengar. Beliau juga turut menyediakan makanan-makanan
tambahan seperti buah-buahan, kuih-muih mengikut cita rasa dan kemampuan para
pelanggan.
Masalah lain yang sering dihadapi oleh perniagaan mereka
adalah kerana mereka kurang dikenali.
Oleh itu, En. Shalehen telah mengambil pelbagai inisiatif bagi mempromosikan
lagi perniagaan mereka dengan cara mengadakan promosi-promosi tertentu
terutamanya pada waktu-waktu cuti
sekolah kerana pada waktu tersebut terdapat banyak tempahan katering bagi
majlis perkahwinan. Beliau juga telah mempromosikan perniagaan mereka dengan
menguar-uarkannya melalui laman web sosial Facebook dan juga blog
persendirian. Ini juga dapat memudahkan lagi para pelanggan yang ingin
memerlukan perkhidmatan katering nasi beriani beliau.
6.0 Cadangan dan Potensi Masa Hadapan
Setiap perniagaan mempunyai cadangan dan potensi yang
tersendiri dalam memajukan perniagaan mereka. C IN Beriani Steam Catering
juga mempunyai beberapa cadangan untuk menambah baik perkhidmatan dalam
perniagaan mereka. Antaranya ialah berhasrat untuk menjadi sebuah katering yang
memonopoli perniagaan nasi beriani yang biasanya diusahakan oleh kaum India
Muslim. Hasrat untuk menguasai perniagaan katering nasi beriani di Melaka
adalah tidak mustahil bagi Encik Zainal Omar dan Encik Muhamad Shalehen iaitu
pemilik C IN Beriani Steam Catering kerana di mana ada kemahuan di situ
ada jalan. Mereka akan lebih berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik
dan berkualiti. Selain itu, mereka juga akan sentiasa memastikan kehendak pelanggan dipenuhi. Setiap keinginan
pelanggan dalam penyediaan hidangan untuk majlis mereka akan dilakukan dengan
sebaik yang mungkin untuk memastikan mereka berpuas hati dengan perkhidmatan
katering C IN Beriani Steam Catering.
Di samping itu, mereka juga akan berusaha untuk memastikan
tenaga pekerja sentiasa mencukupi agar kerja-kerja dalam penyediaan makanan
berjalan dengan lancar. Setiap perniagaan bergantung pada pekerjanya. Pekerja
ibarat jentera yang menggerakkan sesuatu perniagaan. Kekurangan pekerja akan
menyebabkan pelanggan tidak berpuas hati dengan perkhidmatan C IN Beriani
Steam Catering. Pelanggan sering mengadu tentang sikap pekerja C IN
Beriani Steam Catering yang kurang mahir dalam melakukan kerja. Hal ini
disebabkan oleh pekerja yang selalu bertukar ganti dan tidak tetap. Oleh itu,
mereka berhasrat untuk menubuhkan satu kumpulan pekerja yang mahir dan
berpengalaman dalam menyediakan makanan dan melayan pelanggan.
Masalah pekerja yang kurang mahir dapat diatasi melalui
penubuhan kumpulan ini kerana pekerja akan menjadi lebih berpengalaman,
berkemahiran dan berdisiplin sekiranya mereka bekerja secara tetap. Pelbagai
kemahiran dan pengalaman dapat ditimba sekiranya pekerja-pekerja baru dilatih
melalui penubuhan kumpulan ini. Sudah tentu hal-hal dalam menguruskan hidangan,
hiasan, dan melayan pelanggan akan menjadi lebih mudah, teratur dan efisien
kerana mereka sudah dilatih dan diajar dalam kumpulan tersebut. Kualiti perkhidmatan juga dapat ditingkatkan,
sekali gus dapat mengurangkan kritikan daripada pelanggan-pelanggan yang tidak
berpuas hati dengan perkhidmatan C IN Beriani Steam Catering. Sikap yang
ditunjukkan oleh pekerja-pekerja menggambarkan corak tunjuk ajar pemilik
sesebuah perniagaan dan juga mencerminkan imej perniagaan tersebut. Oleh sebab
itulah beliau sangat menitikberatkan kemahiran dan disiplin pekerja dalam
melakukan pekerjaan.
Beliau berharap melalui penubuhan kumpulan ini, katering
beliau berpotensi untuk dimajukan ke peringkat yang lebih tinggi lagi.
Seterusnya, beliau juga bercadang untuk membuka beberapa cawangan di sekitar
Melaka. Sekiranya perniagaan beliau bertambah maju, beliau tidak akan
teragak-agak untuk mencuba nasib untuk membuka cawangan yang baru. Sebagai
jaminan untuk memastikan impian beliau menjadi kenyataan, beliau akan cuba
sedaya upaya untuk memastikan pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan beliau
kerana bagi beliau pelanggan adalah aset yang sangat penting yang akan menentukan
turun naik sesebuah perniagaan. Tidak mustahil sekiranya C IN Beriani Steam
Catering dapat dikembangkan lagi ke negeri lain seterusnya ke seluruh
negara.
Rujukan
C IN BERIANI STEAM CATERING. Temu bual bersama Encik Muhamad Shalehen Bin Zainal & Encik Taufiq bin
Zainal sekeluarga.
FACEBOOK: c in beriani steam
WEBSITE : http://www.c-inberianisteam.com
MZ Zainudin,
Nurul Husnina Anuar, Nik Noor
Shamimi Nik Hussain, Nurul Huda Shahrom, Nur Hayati Hassan, Wan Roshalawati Wan
Roni