Tuesday, December 25, 2012

Kumi Naidoo dan Greenpeace






oleh Karim Raslan

Memang tidak dapat dijangka bahawa kritikan terhebat ke atas Pengarah Eksekutif Greenpeace International, Kumi Naidoo, dilemparkan oleh penggerak alam sekitar itu sendiri.

Hal ini mencerminkan bahawa pembaharuan operasi dilaksanakan Greenpeace, biarpun kecil, adalah penting. Sedangkan sebelum ini, pergerakan tersebut bersikap anti-korporat dan anti-pembangunan.

Begitu pun, pendekatan yang lebih menjurus ke arah negara-negara maju kini dilihat kurang sesuai tatkala pasaran ekonomi global – khususnya China, India, Indonesia dan Brazil – semakin pesat membangun.

Apatah lagi, kesanggupan Greenpeace untuk mendekati bekas “musuh” mereka adalah suatu perkembangan menarik bagi sebuah negara seperti Malaysia yang kini rancak membangun dan masih menekankan aspek keseimbangan alam sekitar.

Namun demikian, Kumi Naidoo, warga Afrika Selatan dengan retorik anti-kemiskinan, telah dikritik hebat oleh sebilangan pemimpin Greenpeace sebelumnya seperti Paul Watson, bekas Pengarah dan Pengasas Greenpeace yang merasakan bahawa Kumi tidak cocok dengan Greenpeace.

Tentu sekali ia bukanlah suatu yang mudah untuk mengimbangi perbezaan realiti dunia. Sewaktu pertemuan kami di United Nations Environment Programme di Abu Dhabi awal Disember lalu, beliau berkongsi dengan saya tentang betapa pentingnya pelaksanaan game-plan beliau.

Sejak tiga tahun lepas, Kumi menjadi perwakilan tetap di pelbagai persidangan global, dari Copenhagen hinggalah ke Doha.

Dalam usia mencecah lewat 40-an, Kumi menerapkan segala pengalaman aktivis beliau selama lebih 30 tahun dalam usahanya menggiatkan Greenpeace.

Sesungguhnya, pendekatan Greenpeace yang bersifat aman dan harmoni – ditambah lagi dengan pengalaman beliau yang cukup luas dalam menyemarakkan semangat aktivisme masyarakat semasa era perjuangan anti-Apartheid serta pengalaman menjadi Setiausaha Agung CIVICUS (World Alliance for Citizen Participation) – menjadi unsur penting dalam mengubah persepsi terhadap Greenpeace di kalangan penduduk Dunia Ketiga.

Justeru, Greenpeace kini sekurang-kurangnya memperoleh “suara” di beberapa negara seperti Rusia, Brazil dan India.

Beliau menjelaskan: “Di Greenpeace, kami berpandangan kemusnahan dan kepupusan hutan menjejaskan masyarakat, terutama penduduk miskin. Kami telah bekerjasama dengan penduduk tempatan memperjuangkan aspirasi mereka dalam meningkatkan taraf kehidupan.”

Pengalaman formatif Kumi di Afrika Selatan (beliau dibuang dari sekolah pada usia 15 tahun kerana terlibat dengan demonstrasi) jelas membentuk pandangan beliau tentang dunia, sekali gus jadikan beliau seorang yang petah dan cekap dalam berkomunikasi.

Selain itu, keupayaan beliau menerapkan kemahiran aktivisme beliau di peringkat tempatan dan global telah membuatkan Greenpeace lebih dikenali masyarakat – tidak kira di Kenya, Greenland atau Ecuador.

Kumi, amat berbangga dengan pencapaian Greenpeace di negara tetangga kita iaitu Indonesia, namun akur masih ada kelemahan di sebalik pencapaian itu.

Apabila saya bertanya mengenai Malaysia kepada Kumi, beliau tampak kurang pasti. Namun menjawab melalui e-mel: “Kami mengalu-alukan komitmen Malaysia untuk mengurangkan paras pembebasan karbon kepada 40 peratus berbanding paras pada 2005; komitmen tambahan untuk mengisytiharkan 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai hutan simpan; enakmen undang-undang pemeliharaan tenaga pada 2011; dan pelaksanaan carbon disclosure project (CDP).”

Namun, beliau sedar akan batasan yang wujud apabila berkempen di negara-negara membangun: “Pada hakikatnya, sejak kejatuhan Tembok Berlin, kebanyakan negara mengamalkan demokrasi tanpa sebarang elemen kukuh serta adanya pelbagai cabaran yang harus ditempuh.”

Walau bagaimanapun, beliau masih yakin dan dapat melihat perubahan ketara di kalangan masyarakat - sama ada di Sao Paulo, Jakarta atau Amsterdam – dalam menangani isu-isu alam sekitar.

Jelas Kumi: “Anda harus sedar Greenpeace mendapat peningkatan sokongan daripada penduduk tempatan Indonesia. Hal ini menjadi suatu bukti yang menepis pandangan stereotaip masyarakat yang beranggapan bahawa hanya penduduk negara maju prihatin terhadap alam sekitar.”

Sebagai negara yang beraspirasi menjadi maju, Malaysia harus lebih peka terhadap alam sekitar, dan pasti satu hari nanti akan muncul tokoh-tokoh 'hijau' yang menjadi penggerak politik arus perdana.


(Sinar Harian, 25 Disember 2012)

 

Friday, December 21, 2012

Tujuan bekerja







Saya ingin bertanya kepada anda- apakah tujuan kita bekerja? Ramai di antara kita yang membebani diri dengan banyak tujuan kerja yang hebat-hebat tetapi akhirnya menyesal.
 
Kenapa menyesal?
 
Kesudahannya menyesal kerana tidak berusaha bersungguh-aungguh untuk merealisasikan tujuan bekerja dalam hidup. Ada orang yang berusaha bersungguh-sungguh, rajin dan memberikan sepenuh masa untuk mengejar impian, namun ada juga yang bermalas-malasan dan disibukkan dengan hal-hal yang melalaikan.
 
Lebih teruk daripada itu ialah kesibukan tadi menyebabkan tujuan kerja terabai. Mengejar cita-cita dan impian tidak akan tercapai selagi tidak mahu berusaha.
 
Bagi mencapai tujuan dengan cepat, bekerja dan berusaha bersungguh-sungguh adalah prasyarat kepada kejayaan ini.

 

Thursday, December 20, 2012

Ahli akademik akan jalankan R&D berkaitan sosial




Pelajar antarabangsa mengagumi perpaduan rakyat Malaysia


Satu pasukan ahli akademik akan ditubuhkan bagi menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan isu sosial di negara ini bagi membantu usaha kerajaan memperkasa perpaduan dan merealisasikan Wawasan 2020.
  
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri berkata pasukan penyelidik itu, yang turut disertai beliau, akan diketuai Pengerusi MPN Prof Emeritus Datuk Seri Dr Zakri Abdul Hamid.

Pasukan penyelidikan itu juga akan berfungsi sebagai pemantau mengenal pasti masalah atau ketidakpuasan hati rakyat hingga ke peringkat akar umbi, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama bertajuk 'Wawasan 2020: Negara Teguh, Bangsa Terus Dibina' pada Konvensyen Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad di sini hari ini

Beliau berkata sudah sampai masanya "Malaysia, kalau benar-benar ingin melanjutkan kelangsungan Wawasan 2020, memikirkan bagaimana kita boleh memantau kejayaan kita dari segi perpaduan."

Shamsul turut mengambil contoh pendekatan untuk menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sebagai satu kejayaan kerana setiap pandangan dan cadangan rakyat diambil kira sebelum pelan itu dilancarkan

Dalam ucapannya Shamsul berkata situasi ketegangan dan konflik terbuka tidak lagi menjadi dominan dalam kalangan rakyat Malaysia selepas tragedi 13 Mei 1969.

"Memang benar, sekali-sekala ketengangan itu menjelma dalam wacana umum. Tetapi ia tidak dominan dan tidak mencorakkan kehidupan kita di Malaysia. Yang dominan adalah suasana aman dan tenteram.

"Apa yang lebih kerap berlaku adalah konflik bersifat lisan atau bertikam lidah sesama sendiri. Ada ketikanya secara terbuka dan kebanyakannya pada peringkat individu atau kelompok," katanya.

Beliau juga berkata hasrat untuk mencapai perpaduan tetap diteruskan dan dipertingkat walaupun pemimpin negara bertukar ganti, bermula dengan konsep perpaduan dan integrasi nasional kepada konsep sebuah bangsa Malaysia yang bersepadu.

"Dan ia terus dijayakan melalui konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya. - Bernama

(Sinar Harian, 20 Disember 2012)


Wednesday, December 12, 2012

Analogi nasi lemak orang muda, saling melengkapi






oleh Zulkifli Jalil

THEODORE Roosevelt (27 Oktober 1858 - 6 Januari 1919), Presiden Amerika Syarikat ke-26 pernah mengungkapkan: "Kita tidak boleh sediakan masa hadapan untuk orang muda, tetapi kita boleh sediakan orang muda untuk masa hadapan."

Sebenarnya sudah menjadi rahsia terbuka bahawa penentu kejayaan semua parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah anak muda. Mereka mewakili 40 peratus (di bawah usia 40 tahun) daripada keseluruhan 3.1 juta pengundi berdaftar yang disahkan setakat September 2012.

Adakah sesuatu parti itu mampu menang bergaya atau menang 'handsome' dalam pandangan anak muda? Ini nanti antaranya terletak pada sokongan majoriti orang muda.

"Anak muda umpama air dalam cawan atau boleh saya umpamakan sebagai nasi lemak. Cuba saudara (penulis) perhatikan gelas berisi separuh air ini. Adakah separuh kosong atau setengah penuh?

"Kalau kita lihat separuh kosong, kita sebenarnya melihat anak muda sebagai penentang. Kalau lihat setengah penuh, kita melihat mereka ini sebagai peluang.
 
Maknanya, sesuatu parti boleh ada perasaan pesimistik atau opitimistik," kata Datuk Idris Haron yang mengetuai Pertubuhan Belia Sedunia (WAY), badan yang disertai pertubuhan-pertubuhan belia seluruh dunia kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Demikian juga dengan analogi nasi lemak. Kata Idris yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ada satu kisah berkisar interaksi dua orang, masing-masing berusia 56 tahun dan seorang lagi 20-an berebutkan sebungkus nasi lemak.

"Kalau yang berusia 50-an itu seorang yang optimistik, dia akan kata, anak ambillah nasi lemak tu, pakcik dah puas makan (sebelum-belumnya). Dan kalau anak muda tadi juga ada nada sedemikian, dia pula akan kata, tak apa pakcik, pakcik ambillah...saya ada banyak masa lagi (lepas-lepas ni boleh makan).

"Kalau ada dua situasi ini yang bernada optimistik, maka kita akan menjadi sumber yang saling lengkap melengkapi," kata beliau.

Idris bagaimanapun lebih gemar memberikan input-input berikut untuk dijadikan renungan ahli-ahli parti Barisan Nasional (BN) dalam 'tempoh kritikal' lima bulan mendatang ini. Ini berdasarkan pengalaman luas beliau dalam WAY mendekati denyut nadi anak muda:

Tambat hati anak muda

Kita tidak boleh menjala angin atau serkap jarang. Maknanya agak-agak sahaja apa yang anak muda hendakkan. Perlu terus dekati mereka. Program-program yang dianjurkan mesti mesra orang muda. Dalam konteks ini, program-program biro-biro pemuda dan pemudinya jangan nampak rigid, tak eksklusif tetapi mesti inklusif. Ini ditunjukkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin malah Datuk Seri Mohd. Ali Rustam sendiri yang meskipun anak muda sekarang tidak setara dengan kehendak era anak muda semasanya, - dengan tidak ada fotostat, hologram, cuma mesin taippun - tiga pemimpin tadi akan tetap menyesuaikan diri.

Di sini ada jurang perbezaan 'peta minda'. Anak muda sekarang pakai telefon bimbit, barangkali tak tahu pun ada public phone. Di Klebang Kecil, Melaka tak ada satu pun telefon awam. Di sini, orang muda secara semulajadi menolak sistem tersedia ada yang tidak mesra dengan mereka. Apabila ada unsur penolakan ini, secara automatik tidak ada magnetik. UMNO mesti perhebatkan pola magnetik anak muda dengan memberikan sentuhannya.

Bukan pencabar tapi peluang

Orang muda tidak boleh dilihat sebagai pencabar sebaliknya peluang. Kalau boleh tukar masalah yang dihadapi mereka kepada peluang. Antaranya beri peluang kepada mereka memegang jawatan-jawatan yang perlukan ketekunan. Contohnya, penolong setiausaha dan ahli-ahli jawatankuasa biro selain penggerak kepada pengurusan masyarakat seperti belia dan keagamaan.

Macam mana caranya? Dia (anak muda itu) mesti hendak sesuatu sebagai pulangan. Tidak boleh segalanya percuma. Apa akan saya dapat kalau saya buat? Antaranya, kita berikan pemikiran dalam konteks program keusahawanan, kemahiran dan kraftangan.

Bagi juga peluang menggalakkan kegiatan berfaedah di kawasan kita seperti menghasilkan bunga manggar secara massa, dijadikan produk untuk dibeli; persatuan kompang, komersialkan dengan membayar RM200 untuk satu persembahan. Perdagangkan kebolehan mereka. Kalau mereka minat menyanyi, kita sediakan alat-alat kugiran seperti gitar, dram.

Pada masa sama, lihat sukan bukan hanya pengisian masa lapang semata-mata. Contohnya, gunakan lapangan di KLCC, Kuala Lumpur sebagai acara tetap anjuran program sukan dan hiburan.
 
Jangan terlalu protokol

Kalau BN masih nak utamakan protokol, nescaya akan hilanglah sokongan anak muda. Antaranya pakai jeans, bukan bush jacket. Namun, kalau turun padang walaupun tidak boleh sangat ikut lenggok mereka misalnya mengungkapkan 'apa khabar, sihat ke bro', tak usahlah kita kaku. Tapi cukup sekadar kita tunjukkan keluhuran kita walaupun tidak boleh melakonkan perlakuan sedemikian. Katakan pada mereka "Kalau saya diberi peluang, saya nak jadi macam saudara...pakai jeans." Dengan turunkan 'darjat' kita, kita akan kuasai mereka. Kalau terus kekalkan protokol, habislah!

Jangan keluarkan amaran?

Orang muda tak gemar kita beri amaran kepada mereka seperti 'Hei, anda jangan lupa jasa kami pada anda'. Itu bukan cara yang betul. Orang muda tidak boleh ditunjukkan sedemikian. Orang muda lebih terbuka dengan media sosial mereka dan lebih bermaklumat. Lazimnya sebelum kita hadir dalam program mereka, mereka sudah ada pola pemikiran sendiri tentang siapa dan program apa yang diatur. Malah, mereka juga sedar siapa yang ada dalam kumpulan itu. Anak muda lebih sukakan elemen penyertaan - sama-sama tengok apa yang terjadi.

Tolak cara diktatorial dan autroktratik

Dua elemen ini amat tidak digemari orang muda. Sewajarnya perlu lebih banyak 'laissez faire' atau cara santai. Namun kena tahu juga caranya dengan menganjurkan mereka bersama-sama kita untuk menjalankan sesuatu. 'Let's go' dan anak muda akan merasakan mereka juga penyumbang kepada kejayaan.

Pendirian politik

Dari segi pemerhatian, lebih 75 peratus anak muda negara belum ada pendirian politik. Mereka meliputi 12 juta daripada 29 juta rakyat di negara ini. Yang ada pendirian politik tidak sampai pun tiga juta. Namun anak muda meletakkan perkembangan politik sama taraf dengan perkembangan sukan dan hiburan. Dan bila dapat berkongsi pendirian politik, sukan dan hiburan itu, maka setiap pergerakan politik akan menjadi perhatian mereka. Siapa bakal memimpin negara misalnya.

Cuma, kata Idris, masalahnya adalah apabila anak muda nak masuk politik (jadi ahli cawangan atau bahagian), orang yang lebih tua tak bagi laluan.

"Kata orang tua itu, nanti anak muda ini lawan aku pula. Ada ijazah pula tu dari Cambridge atau Oxford. Bila semua ruang dilihat sebagai peluang terpandu untuk pegang jawatan, maka ini akan menimbulkan prasangka kepada orang tua (kepemimpinan cawangan, bahagian, ranting atau cabang). Sedangkan sudah 20 tahun dia jadi ketua cawangan, tak masuk universiti pula itu.

"Ketua cawangan ini pula sudah bertahun-tahun selesai masalah penduduk setempatnya...dari soal bertunang hinggalah orang yang ditolong itu berkahwin, semuanya dalam spektrum masalah yang diselesaikan," kata beliau.

Dan lebih baik lagi, kata beliau, biarlah orang tak tahu anak muda terbabit ada ijazah bergulung dari universiti tersohor, tapi dia diterima dalam struktur masyarakat seadanya.

"Dia duduk tepi longkang pakai t-shirt pagoda bantu bersihkan kawasan sedangkan dia sebenarnya bagus. Biarlah akhirnya orang tahu sendiri. Jangan terlalu rakus sebab benda (kejayaan yang ada hari ini) itu datang dari pahit- jerih orang yang lebih tua," kata beliau.

Keindahan BN termasuk UMNO adalah apabila semua orang dalam parti itu boleh mencapai cita-cita masing-masing.

"Tukang kebun pun boleh jadi ahli Parlimen. UMNO bukan parti yang pandai tetapi parti yang seimbang," ujar Idris.
 
(Utusan Malaysia, 12 Disember 2012)


Monday, December 10, 2012

PRU: 'BN hanya mampu majoriti tipis, PR kekal 4 negeri'




Isu-isu persamaan menjadi perhatian ketika ini


oleh Nor Atieyah Yusoff

Mukadimah

Sebagai seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar sering dipanggil dalam majlis ilmu termasuk pernah dua kali menjadi moderator Wacana Sinar Harian.

Beliau sering melontarkan buah fikiran dan pandangan terhadap isu semasa dan juga politik secara kritikal namun jujur. Wartawan Sinar Harian, Nor Atieyah Yusoff sempat bertemu beliau baru-baru ini. Ikuti temubual tersebut.

Apa pandangan Prof mengenai peranan wacana yang dianjurkan Sinar Harian?

Wacana dilihat sebagai saluran untuk membincangkan perkembangan yang berlaku dalam politik semasa negara kita. Tiada saluran lain yang seperti ini, keistimewaan dapat mengumpul ahli politik (kerajaan dan pembangkang) untuk berbincang dan bukannya tertumpu pada perbalahan fizikal semata-mata, atau membincangkan isu negara bukan lagi sekadar cakap kosong di kedai kopi.

Wacana ini menyediakan saluran yang lebih baik dan bermakna untuk ahli politik menyuarakan pandangan masing-masing. Saya berharap wacana seperti ini dapat diteruskan lagi bagi menambah idea dan hujah yang lebih bernas daripada ahli panel yang terlibat.

Adakah rakyat Malaysia mampu menerima corak politik baru yang mengutamakan hujah, bukannya retorik?

Kita mesti ingat dalam masyarakat terdapat individu yang terbawa-bawa dengan retorik dalam politik. Jumlah tersebut cukup besar kerana ada individu yang lebih terpengaruh dengan polemik atau perbincangan seperti ini. Maka kita memberi ruang kepada mereka di samping kita tidak dapat menghalang golongan yang terpengaruh dengan retorik itu.


Sejauh mana Prof lihat perjalanan Muktamar Pas dan juga Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung baru-baru ini?

Saya nampak daripada kedua-dua perhimpunan itu yang lebih kepada pembentangan dari atas ke bawah iaitu arahan dari atas ke bawah, yang mana ahli parti atau penyokong yang hadir. Mereka ke perhimpunan adalah untuk mendengar kerana mendapat undangan yang diberikan pemimpin mereka.

Dari sudut itu, perhimpunan hanya mempunyai satu sumbangan sahaja iaitu, sebagai medan kepada pemimpin untuk memberi arahan dan pedoman kepada penyokong parti.

Pada perhimpunan parti sebegini, apakah perkara yang perlu diutamakan? Adakah motivasi ahli dengan mengkritik lawan atau memfokuskan kepada usaha menarik pengundi?

Sepatutnya kedua-dua sekali. Saya rasa kedua itu tidak dapat dielakkan. Motivasi dari segi pembentangan mengenai objektif atau perjuangan parti dengan mensasarkan pada kehidupan parti padauntuk menjatuhkan parti lawan.

Itu perkara normal. Kalau itu (kritikan) tiada dalam apa jua perhimpunan, perbahasan akan menjadi ketandusan. Perhimpunan ini adalah untuk menghimpunkan ahli sebagi satu ritual. Ia akan menyemarakkan dan menghidupkan persahabatan terutamanya sesama parti. Ia sebagai satu medan pengenalan dan perkenalan yang barangkali tidak ada pada masa tertentu.

Prof selalu dipanggil untuk menjadi moderator dalam wacana, adakah tugas ini berat terutama jika melibatkan ahli panel yang kontroversi?

Tugas mederator bukan sekadar menjadi pengerusi. Kerana jika kita menjadi pengerusi, kebiasaannya tugas itu menjadi kaku dan mekanikal. Tetapi moderator perlu berinteraksi dengan panelis dengan menghujahkan sesuatu itu dalam bentuk soalan, malah penerangan atau memberi jawapan segera mengenai perkara yang dibangkitkan oleh panelis dan pendengar. Tugas ini tidak semudah yang difikirkan.

Apatah lagi sekiranya berlaku kekecohan dalam majlis, kita perlu menangani dengan bijak dan mengurus dengan baik. Tugas moderator harus memperlihatkan keadilan walaupun ia tidak sepenuhnya berlaku, kadang-kadang nisbah 60 : 40 atau 55 : 45. Ketika berhujah, kita tidak boleh menyebelahi satu pihak sahaja, sebaliknya perlu seimbang.

Kita juga harus sedar pendirian yang tidak diterima oleh pendengar atau hujah panelis sendiri, kadang kala menjatuhkan diri sendiri. Kita tidak boleh memihak kepada satu pihak sahaja sebaliknya perlu mencantas idea mereka (pembangkang dan kerajaan) agar seimbang.

Sebagai moderator kita perlu menggali peranan yang ada pada panelis. Dan mengkritik mereka untuk menjawab, kita bagi peluang jawab kadang kala kita perlu mengangkat atau memuji mereka. Ia diibaratkan melakukan suatu tindakan yang boleh menjaga dan memartabatkan maruah mereka, pada masa yang sama.

Politik samseng, adakah budaya ini dapat dibendung?

Saya berharap selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) ini, politik samseng dapat dikurangkan. Walaupun kita tidak dapat menghapuskan sepenuhnya perkara ini, kerana politik samseng merupakan sebahagian daripada politik itu sendiri.

Cuma, perkara yang dapat kita lakukan adalah mengurangkan kadar politik samseng tersebut agar masyarakat menjadi lebih beradab, bermaruah dan berhemah ketika berpolitik.

Politik samseng dilihat tiada banyak perbezaannya sama ada ia berlaku hari ini atau lepas, cuma pengisahan itu mungkin berlaku lebih meluas apabila penceritaannya semakin mendapat perhatian. Maka, menerusi media alternatif dan sebagainya, rakyat dapat mengenali apa yang berlaku dahulu sudah berlaku sekarang tetapi ia dapat dibendung.

Bagaimana Prof melihat mahasiswa akan datang mampu bergiat aktif dalam politik berbanding dahulu?

Terdapat kebebasan yang semakin bertambah dengan segala kemudahan yang diberikan kepada mahasiswa. Malah jumlah golongan ini semakin besar dan universiti juga telah bertambah.

Walaupun hanya segelintir sahaja yang mengambil bahagian dalam politik, namun perkara ini dilihat cukup untuk menyeri dan memanaskan lagi keadaan politik semasa.

Tetapi, tidak semua mahasiswa bergiat kerana, hanya sebahagian sahaja berminat untuk menyertai politik.

Mahasiswa yang terlibat dalam bidang ini, dilihat mempunyai berpotensi menjadi ahli politik, bergantung pada sikap mahasiswa.

Jika mereka mendapat liputan secara meluas, mungkin mahasiswa mampu sebaris dengan ahli politik sekarang. Peranan media sangat penting untuk menyebarkan perkara ini.

Bagaimana ramalan Prof mengenai PRU13?

Mahu atau tidak, ia semakin dekat diadakan. Kalau bukan bulan ini (Disember) atau mungkin awal tahun depan, ia tidak dapat dielakkan. Walaupun dengan cara dibubarkan secara sendiri, PRU13 terpaksa diadakan.

Siapakah yang akan menang? Adakah pembangkang mampu kekal empat negeri mereka dan bagaimana situasi 2 per 3 di Parlimen?

Saya berkongsi pendapat dengan (Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Ulung Datuk) Shamsul Amri (Baharuddin), bahawa pada kali ini Barisan Nasional (BN) akan terus menang di peringkat nasional. Cuma BN mungkin tak dapat menguasai dua per tiga majoriti seperti mana yang diidam-idamkan. Malah pembangkang diramalkan sama ada dapat mengekalkan kuasa mereka diempat negeri tersebut atau menambah (undi).


(Sinar Harian, 10 Disember 2012)
 

Thursday, December 06, 2012

Indeks rasuah negara menurun




Pembangunan negara lebih rancak tanpa rasuah


Pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah Antarabangsa (CPI) 2012 bertambah baik dengan kedudukan di tangga 54 daripada 176 negara berbanding ke-60 daripada 183 negara, tahun lalu.

Pencapaian terbaru dikeluarkan Transparency International (TI) menunjukkan skor CPI Malaysia pada 49 mata daripada skala 0 hingga 100 berbanding 43 mata pada 2011.

Kejayaan Presiden TI Malaysia (TI-M), Datuk Paul Low, berkata kejayaan itu menyaksikan kedudukan negara sebaris dengan Republik Czech, Latvia dan Turki yang turut meraih 49 mata.

Beliau berkata, Malaysia juga mengekalkan kedudukan di tangga ketiga dalam kalangan negara ASEAN selepas Singapura yang memungut 87 mata dan Brunei (55 mata).

Katanya, kedudukan itu menunjukkan Malaysia mengatasi Thailand yang berada di tangga ke-88, Filipina (105) dan Indonesia (118).

“Ia adalah peningkatan yang baik, kami percaya ia mungkin kerana ETP (Pelan Transformasi Ekonomi), GTP (Program Transformasi Kerajaan), dan NKRA (Bidang Utama Keberhasilan Negara).

“Usaha yang dijalankan PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan), SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuahkan hasil... memang ada beberapa isu, tetapi ia berhasil.

“Penghargaan wajar diberikan kepada kerajaan yang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membanteras kegiatan rasuah. Kami berharap akan terus ada perkembangan pada tahun-tahun akan datang.

“Kedudukan ini boleh diperbaiki lagi pada masa hadapan dengan kerjasama semua pihak termasuk usaha mengikis persepsi rasuah di kalangan penjawat awam,” katanya pada sidang media mengumumkan CPI Malaysia sempena pelancaran CPI seluruh dunia.

Turut hadir, Timbalan Presiden TI-M, Prof Datuk Mohamad Ali Hasan dan Pengarah NKRA & NKEA Jabatan Perdana Menteri, D Ravindran.

Low yang memuji langkah Malaysia menjadikan CPI sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menangani rasuah di negara ini berkata penilaian bagi mengukur tahap penerimaan rasuah sektor awam tahun ini menggunakan metodologi baru bagi membolehkan perbandingan lebih tepat.

Kajian itu, katanya dilakukan badan bebas merangkumi pelbagai latar belakang termasuk ahli ekonomi, peniaga dan perundangan dari seluruh dunia.

“Jumlah mata diberikan sebelum ini adalah antara satu hingga 10, kali ini julat baru diberikan antara kosong hingga 100 (kosong – rasuah paling banyak dan 100 – bebas rasuah).

“Sebanyak dua pertiga daripada 176 negara memperoleh mata CPI bawah 50. Negara yang tergolong dalam kumpulan 10 terbaik iaitu hampir bebas rasuah adalah Denmark, Finland dan New Zealand yang meraih 90 mata; Sweden (88 mata); Singapura (87 mata); Switzerland (86 mata); Australia dan Norway (85 mata) dan Kanada serta Belanda (84 mata),” katanya.
 
(Berita Harian, 6 Disember 2012)
 
 

Wednesday, December 05, 2012

Kekalahan yang menyentuh hati






Justin Kievit, seorang ahli gusti sebuah sekolah di Tennessea, Amerika Syarikat mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dalam perlawanan gusti semasa menentang Jared Stevens. Lawan Kievit seorang pengidap cerebral palsy iaitu keadaan otak yang tidak berupaya mengawal pergerakan otot.  




Perlawanan itu dirakam oleh ayah kedua-dua pemain ke Facebook dan YouTube. Dalam perlawanan itu, Stevens telah menewaskan Kievit. Seorang yang kurang upaya telah mengalahkan orang normal kerana ayah Stevens sendiri menyatakan aksi anaknya adalah tidak dirancang.

Kepuasan tergambar di wajah Stevens.

Menjadikan seseorang berasa bangga dengan dirinya bukan tanda-tanda kelemahan sebaliknya ialah simbol kekuatan yang patut diberi galakan.

Dalam hidup kita pasti ada titik perubahan atau turning point yang menyebabkan perubahan tingkah laku, pemikiran dan tanggapan terhadap sesuatu perkara. Kemenangan mengalahkan Kievit tentulah menimbulkan impak positif yang berkekalan ke atas hidup Stevens.

 

Monday, December 03, 2012

Gelagat kaya dan miskin





oleh Hafizahril Hamid

Menjadi orang ternama apatah lagi pemimpin adakalanya begitu sukar walau banyak juga yang manis.

Gelagat dan tindak-tanduk yang dilakukan akan senantiasa diperhatikan sama ada untuk dijadikan panduan oleh penyokongnya atau ancaman bagi penentangnya.

Menjadi ternama memang banyak kelebihannya antaranya dikenali ramai, hidup mewah selain jadi perhatian pihak-pihak yang mahu menumpang populariti.

Hakikatnya, bukan semua bernasib baik kerana ramai juga yang merana kerana mengejar populariti.

Pancawarna minggu ini menyorot gelagat orang ternama termasuk pemimpin yang dihormati di negaranya tetapi tidak di mata orang lain.

Hitler dan Kim Jong-il misalnya mungkin disanjungi dan dihormati penyokong mereka, namun dikutuk dan dibenci segolongan lain terutama yang menderita akibat corak pemerintahan mereka.