Friday, June 06, 2025

Laba rasuah untuk habuan dunia


Sikap manusia yang tamak dengan kekayaan menyebabkannya sanggup melakukan apa sahaja, dari menipu kepada merompak, sama ada dengan terang-terangan ataupun menggunakan proksi.

Orang yang berkedudukan tinggi menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memanipulasi setiap ruang yang dapat mengalihkan sebahagian peruntukan kerajaan kepada dirinya melalui pelbagai helah yang kelihatan seperti mengikut peraturan. Orang seperti ini bijak melakukan kerjanya tanpa dapat dikesan sehinggalah sistem yang dilaksanakan dalam organisasi tidak mampu lagi disembunyikan kesilapannya.

Ia pernah berlaku kepada seorang pegawai di pejabat tanah sebuah negeri yang ditahan dan didakwa walaupun telah bersara. Kepincangan dalam sistem urusan tanah telah memberi isyarat kepada jabatan untuk memulakan siasatan salah laku, yang akhirnya berjaya mengenal pasti punca masalah.

Kesalahan yang dikesan adalah pemalsuan proses pertukaran tanah rezab Melayu. Tanah tersebut telah dibangunkan selepas pertukaran status dilakukan.

Penampilannya yang berlebai ketika dibawa ke mahkamah tidak dapat menghapuskan persepsi orang ramai terhadap jenayah yang telah dilakukannya.

Isu terkini yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah penglibatan individu bergelar Tan Sri yang menyelewengkan dana pembinaan lebuh raya. Berjuta-juta ringgit telah diselewengkan untuk kepentingan diri, keluarga, dan rakan-rakannya. Siasatan telah menemui tempat menyimpan botol-botol arak—bukannya dalam peti ais atau bilik, tetapi di dalam gudang. Terdapat pelbagai jenis botol, yang kebanyakannya berkualiti.

Adakah arak yang diletakkan di dalam gudang ini untuk dijual atau diminum? Jika dijual, kepada siapa? Jika diminum, siapa yang minum?

Selain gudang arak, terdapat kereta mewah dan barang-barang mahal yang disimpan di situ. Orang seperti ini tidak perlu lagi diberi ruang untuk hidup bebas dan menikmati kehidupan mewah dengan wang yang diselewengkan. Kes-kes lain yang tidak didedahkan atau tidak diketahui mungkin lebih dahsyat, melibatkan individu berpengaruh dan berkuasa.

Bagi kes-kes rasuah, kita boleh merujuk laporan tahunan SPRM untuk menilai kelompok manakah yang paling banyak terlibat dalam rasuah atas pelbagai alasan.

Rasuah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan bangsa. Ia berkaitan dengan nilai diri dan kekuatan iman. Pembentukan nilai diri yang baik dan iman yang kuat boleh dipupuk melalui pendidikan dari peringkat tadika hingga ke universiti.

Impak silibus anti-rasuah dalam pendidikan memerlukan jangka masa panjang, tetapi hasilnya sangat bermakna. Konsep ‘berubah melalui pendidikan’ bukanlah angan-angan kosong, sebaliknya memerlukan komitmen kerajaan dan masyarakat.

Apabila rasuah dianggap sebagai perbuatan keji, keadaannya akan sama seperti pandangan orang Islam di Malaysia terhadap larangan memakan babi. Sekiranya konsep ini diterapkan, sudah tentu tiada individu yang sanggup menerima rasuah sebagai pertukaran kepada perkhidmatan.

Kadar rasuah yang rendah boleh dicapai dengan syarat kerajaan melaksanakan dana dan program yang berstruktur. Banyak lagi usaha kesedaran yang perlu dilakukan, sama ada secara bersendirian ataupun dengan rakan kongsi. Namun, kerjasama secara kolektif adalah lebih berkesan.

Monday, June 02, 2025

Segera lebarkan lorong lebuh raya

Setiap kali cuti umum peringkat kebangsaan, lebuh raya sesak dengan orang ramai yang mahu pulang ke kampung atau bercuti. Kenderaan memenuhi lebuh raya ke utara, selatan dan timur yang menyebabkan jalan sesak berjam-jam dan berkilo-kilometer

Perjalanan pada hari biasa dari Ayer Keroh, Melaka ke Senai, Johor tidaklah jauh iaitu sekitar dua hingga tiga jam, namun tempoh ini boleh dilaratkan hingga empat atau lima jam apabila bilangan kenderaan bertambah.

Jalan dua lorong arah ke selatan tidak lagi praktikal. Sepatutnya usaha-usaha pelebaran jalan sudah dimulakan bagi menampung jumlah kenderaan yang bertambah banyak.

Berada di atas lebuh raya selama lima hingga lapan jam menimbulkan banyak masalah, lebih-lebih lagi pembaziran masa dan pengurusan kesihatan diri. Kenderaan yang berjujut-jujut dari hujung ke hujung di atas lebuh raya melambatkan perjalanan biarpun terdapat cadangan perjalanan oleh PLUS. Jumlah kenderaan yang berlipat kali ganda pada musim cuti perayaan tidak banyak membantu mempercepatkan perjalanan.

Selepas berpuluh-puluh tahun menyediakan lebuh raya utara dan selatan, pihak pemegang konsesi boleh memikirkan gerak kerja naik taraf kepada tiga ataupun empat lorong sehala. Pembiayaan boleh dilakukan secara pinjaman supaya pengguna tidak perlu menunggu 10 atau 15 tahun lagi untuk menikmati perjalanan balik kampung yang lancar.

Barangkali Malaysia telah tertinggal jauh dalam pembangunan infrastruktur jalan raya berbanding Vietnam dan negara-negara yang sudah membangun yang lain. Di Vietnam, jalan-jalan utama dibuat empat lorong supaya aktiviti pengangkutan lebih cepat dan berkesan.

Di negara kita agak perlahan. Di samping ada tiga atau empat lorong, pembinaan lebuh raya baharu juga rancak bagi menampung bilangan kenderaan yang bertambah dan menghubungkan lebih banyak laluan. Penyebaran jalan sama ada di utara atau selatan dapat memberi kelegaan kepada pengguna untuk menikmati perjalanan yang lebih selesa dan bebas sesak. Masa perjalanan juga boleh disingkatkan dengan lebih banyak.

'Smart lane’ yang diwujudkan di beberapa laluan harus diperluaskan supaya laluan lorong sedia ada tidak sesak. Pertambahan Iorong ini dapat mengurangkan kesesakan sementara berbanding kelebaran jalan yang dapat mengurangkan kesesakan untuk tempoh yang lebih lama.

Seiring dengan pengenalan ‘smart lane’, pemaju juga sedang dan telah menambah baik kemudahan di ‘Rehat n Rawat’ (RnR) di sepanjang lebuh raya. Reka bentuk lama telah diberi lakaran baharu yang lebih besar segar dan selesa, begitu juga perhentian kecil seperti Pedas- Linggi yang telah dibangunkan dua buah stesen minyak.

Kawasan RnR dan perhentian kecil ini dapat memberikan kerehatan kepada pemandu kenderaan. Mereka dapat melelapkan mata biarpun 15 minit dan membersihkan diri menunaikan solat dan juga mengisi minyak.

Laluan ke pantai timur turut berubah namun kita belum merasai perjalanan yang lancar. Pembinaan lebuh raya yang masih belum selesai membuatkan pengguna perlu menunggu untuk tempoh yang lebih lama.

Sementara masa tersebut tiba, pengguna terpaksa menunggu beberapa tahun lagi. Jika kita tidak merasa, anak cucu kita akan dapat menikmati semua pembangunan ini.