Wednesday, August 12, 2026

Implikasi pertambahan penduduk warga emas di Brunei

Brunei Darussalam sering dikaitkan dengan masyarakat yang aman, sistem kebajikan yang kukuh dan tahap kehidupan yang relatif baik. Namun di sebalik kemajuan tersebut, satu perubahan demografi sedang berlaku secara perlahan tetapi pasti iaitu penduduk Brunei semakin menua.

Bilangan warga emas terus meningkat, sementara struktur keluarga, corak pekerjaan dan keperluan penjagaan turut berubah. Penuaan penduduk bukan semata-mata persoalan semakin ramai orang hidup lebih lama sebaliknya ia mempunyai definisi lain. Ia mempunyai implikasi besar terhadap sistem kesihatan, pencen, perlindungan sosial, keluarga, tenaga kerja dan pembangunan negara.

Malah, perkara berkaitan kebajikan warga emas turut mendapat perhatian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah. Dalam titah sempena Tahun Baharu 2025 pada 31 Disember 2024, baginda antara lain menekankan bahawa pembangunan negara perlu bersifat inklusif dan mampan serta kebajikan warga emas dan golongan kurang berkemampuan perlu terus dipelihara.

Persoalannya sekarang bukan lagi sama ada Brunei akan menjadi masyarakat menua kerana proses penuaan itu sudah dan sedang berlaku.

Persoalan lebih penting ialah sejauhmanakah Brunei bersedia menghadapinya?

Warga emas di Brunei bertambah dengan pantas

Bagi memahami perubahan ini, kita perlu terlebih dahulu menjelaskan satu perkara tentang statistik. Dalam penerbitan demografi Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), kumpulan umur 65 tahun dan ke atas digunakan untuk menunjukkan kumpulan penduduk tua dalam pecahan struktur umur.

Namun, dalam beberapa program dan dasar sosial Brunei, istilah warga emas atau senior citizens turut merangkumi mereka yang berumur 60 tahun dan ke atas. Perbezaan takrif ini menerangkan mengapa kita kadangkala menemui angka peratusan warga emas yang berbeza dalam laporan kerajaan.

Jika kategori DEPS iaitu 65 tahun dan ke atas digunakan secara konsisten, trendnya cukup jelas.

Sumber: Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam.

Angka ini membawa mesej yang sangat penting. Dalam tempoh hanya empat tahun, dari tahun 2021 hingga 2025, bilangan penduduk berumur sekurang-kurangnya 65 tahun meningkat daripada 27,894 kepada 36,300 orang. Ini bersamaan peningkatan kira-kira 30 peratus.

Sebaliknya, jumlah keseluruhan penduduk tidak meningkat pada kadar yang sama. Ertinya, peningkatan warga emas bukan sekadar disebabkan penduduk Brunei secara keseluruhannya bertambah. Struktur usia masyarakat itu sendiri sedang berubah.

Lebih mudah membayangkannya begini: pada 2025, hampir seorang daripada setiap 13 penduduk Brunei berada dalam kumpulan usia 65 tahun dan ke atas.

Apa akan berlaku dalam lima hingga 15 tahun akan datang?

Unjuran rasmi DEPS menunjukkan trend ini akan berterusan. Mengikut Population Projections 2024–2040, jumlah penduduk berumur 65 tahun dan ke atas diunjurkan mencapai sekitar:


Pada masa yang sama, keseluruhan penduduk Brunei diunjurkan sekitar 484,800 orang pada 2030. Ini bermakna warga berumur 65 tahun ke atas sahaja berpotensi membentuk kira-kira 8.4 peratus daripada keseluruhan penduduk ketika itu.

Walau bagaimanapun, angka unjuran ini perlu ditafsir dengan berhati-hati. Model unjuran terdahulu menganggarkan sekitar 33,400 penduduk berumur 65 tahun ke atas bagi 2025, sedangkan anggaran rasmi terkini menunjukkan jumlah sebenar sudah mencapai 36,300 orang. Ini memberikan petunjuk bahawa penuaan penduduk mungkin berlaku sedikit lebih cepat daripada trajektori yang diasaskan dalam model tersebut.

Kementerian Kesihatan Brunei juga mengakui bahawa perubahan demografi ini semakin penting. Pada peringkat ASEAN, Brunei memberi perhatian terhadap active ageing, penyakit tidak berjangkit dan kesihatan mental kerana faktor-faktor ini menjadi antara cabaran utama apabila populasi semakin berusia.

Mengapa warga Brunei semakin ramai mencapai usia tua?

Sebenarnya, peningkatan jumlah warga emas juga merupakan tanda kejayaan pembangunan.

Kemajuan perkhidmatan kesihatan, kawalan penyakit, pendidikan, pemakanan dan taraf kehidupan membolehkan lebih ramai manusia hidup sehingga usia lanjut. Dalam erti kata lain, umur panjang adalah satu pencapaian sosial. Cabaran muncul apabila perubahan itu berlaku serentak dengan perubahan lain dalam masyarakat.

Keluarga moden lazimnya lebih kecil. Anak-anak bekerja. Wanita semakin aktif dalam pasaran pekerjaan. Ada anak yang tinggal berjauhan daripada ibu bapa. Pada masa yang sama, warga emas mungkin hidup lebih lama dengan penyakit kronik yang memerlukan pemantauan dan penjagaan.

Maka persoalannya berubah daripada: "Siapa akan menjaga warga emas?" kepada: "Apakah sistem yang boleh membolehkan warga emas hidup lama secara sihat, berdikari, bermaruah dan terus terlibat dalam masyarakat?"

Inilah perbezaan antara sekadar hidup lebih lama dengan menua dengan baik.

Kebajikan warga emas perlu terus dipelihara

Kepentingan menjaga golongan yang semakin berusia bukan perkara baharu dalam pendekatan pembangunan Brunei. Dalam titah sempena Tahun Baharu 2025, Sultan Hassanal Bolkiah menekankan pembangunan yang lebih inklusif dan mampan serta kepentingan menjaga kebajikan warga emas dan mereka yang kurang berkemampuan. Titah tersebut penting kerana ia meletakkan kesejahteraan warga emas bukan sekadar sebagai isu keluarga atau kesihatan, tetapi sebagai sebahagian daripada agenda pembangunan negara.

Semangat yang sama dapat dilihat dalam pendekatan kerajaan terhadap warga emas sejak beberapa tahun sebelumnya. Sempena Hari Antarabangsa Warga Emas, kerajaan Brunei berulang kali menekankan penghormatan terhadap sumbangan generasi terdahulu serta keperluan memastikan mereka tidak terpinggir daripada pembangunan masyarakat.

Dalam konteks masyarakat Melayu Islam Beraja, pendekatan ini juga berkait rapat dengan nilai berbakti kepada ibu bapa, menghormati orang yang lebih tua dan tanggungjawab keluarga. Namun dalam masyarakat yang semakin kompleks, nilai kekeluargaan sahaja mungkin tidak mencukupi. Ia memerlukan sistem sokongan negara dan komuniti.

Pelan Tindakan Warga Emas 2023–2030

Antara langkah paling penting ialah pelaksanaan Pelan Tindakan Warga Emas 2023–2030, berteraskan konsep Successful Ageing. Menurut penjelasan kerajaan di Majlis Mesyuarat Negara pada Mac 2026, pelan tersebut bertujuan memastikan warga emas dapat menjalani kehidupan yang sihat, bermaruah dan produktif. Ia dilaksanakan melalui pendekatan Whole of Nation, melibatkan pelbagai kementerian, agensi, masyarakat, keluarga dan pihak berkepentingan.

Pelan ini memberi perhatian kepada tiga perkara besar. Pertama, memperkukuh urus tadbir berkaitan warga emas. Kedua, membentuk masyarakat yang menyokong penuaan secara sihat dan inklusif. Ketiga, memperkukuh perkhidmatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu untuk warga emas.

Pendekatan ini penting kerana masalah warga emas tidak boleh diselesaikan oleh hospital sahaja.

Ia memerlukan koordinasi perumahan, pengangkutan, keselamatan sosial, aktiviti komuniti, kesihatan, teknologi dan sokongan keluarga.

Pencen dan perlindungan sosial

Brunei mempunyai sejarah yang panjang dalam memberikan perlindungan kepada warga tua melalui Pencen Umur Tua. Kerangka perlindungan tersebut kemudian diperkukuhkan melalui pindaan perundangan berkaitan Pencen Umur Tua dan Elaun Kurang Upaya termasuk peruntukan Elaun Penyedia Penjagaan. Elaun ini menarik dari perspektif dasar sosial kerana ia mengiktiraf sesuatu yang sering tidak kelihatan dalam statistik ekonomi iaitu penjagaan juga merupakan pekerjaan.

Ahli keluarga yang menjaga ibu atau bapa yang uzur mungkin perlu mengurangkan masa bekerja, menanggung kos pengangkutan, membeli keperluan perubatan atau memberikan penjagaan hampir sepanjang hari. Pengiktirafan terhadap penjaga menunjukkan pendekatan Brunei bukan hanya memberi wang kepada warga emas tetapi mula membangunkan ekosistem penjagaan di sekeliling mereka.

Daripada “menjaga warga emas” kepada “penuaan sihat”

Kementerian Kesihatan pula melaksanakan Adult and Elderly Health Programme. Pendekatannya bukan sekadar merawat warga emas apabila mereka sakit. Program ini memberi perhatian terhadap persekitaran yang menyokong kesihatan, pemakanan, aktiviti fizikal serta pemerkasaan individu untuk menjalani kehidupan yang lebih sihat. Ini amat penting kerana cabaran besar masyarakat menua bukan hanya berapa lama seseorang hidup.

Soalan yang lebih penting ialah: Berapa lamakah seseorang boleh hidup dalam keadaan sihat dan berdikari? Jika seseorang hidup sehingga usia 85 tahun tetapi mengalami pelbagai penyakit kronik dan kebergantungan sejak umur 65 tahun, beban penjagaan terhadap keluarga dan sistem kesihatan boleh menjadi sangat besar. Sebaliknya, jika seseorang kekal aktif dan berdikari sehingga usia 75 atau 80 tahun, implikasinya sangat berbeza.

Sebab itulah konsep healthy ageing atau penuaan sihat semakin penting. Warga emas juga perlu menjadi warga digital. Satu lagi perkembangan menarik ialah usaha mengurangkan jurang digital.

Pada 2024, Digital Brunei melalui Authority for Info-communications Technology Industry (AITI) melaksanakan program literasi digital bersama warga emas termasuk di Pusat Kegiatan Warga Emas di Daerah Tutong dan Brunei-Muara.

Program ini memberi pendedahan mengenai teknologi dan kesedaran digital kepada warga emas.

Isu ini mungkin kelihatan kecil tetapi sebenarnya sangat penting. Semakin banyak urusan kerajaan, bank, pembayaran, temu janji, komunikasi dan maklumat kesihatan berpindah ke platform digital. Jika warga emas tidak mempunyai kemahiran digital, mereka berisiko menghadapi satu bentuk peminggiran baharu iaitu digital exclusion.

Justeru, literasi digital warga emas bukan lagi sekadar mengajar mereka menggunakan telefon pintar. Ia merupakan sebahagian daripada agenda keterangkuman sosial.

Pusat Kegiatan Warga Emas dan peranan komuniti

Brunei turut membangunkan Pusat Kegiatan Warga Emas (PKWE) sebagai ruang warga emas berinteraksi, mengikuti aktiviti dan terus mengambil bahagian dalam kehidupan masyarakat.

Pelbagai program kesihatan, senaman, berkebun, kraftangan, pembelajaran dan aktiviti sosial pernah dilaksanakan bersama pusat-pusat ini. Kerajaan juga melihat pembelajaran sepanjang hayat, kemahiran dan keusahawanan sebagai antara jalan untuk memperkasa golongan warga emas.

Ini sangat penting kerana salah satu risiko utama pada usia tua ialah pengasingan sosial.

Seseorang mungkin mempunyai rumah, pendapatan dan akses kepada rawatan tetapi masih mengalami kesunyian selepas kehilangan pasangan, bersara daripada pekerjaan atau semakin kurang berinteraksi dengan masyarakat.

Oleh itu, masyarakat mesra warga emas bukan sekadar mempunyai lebih banyak hospital. Ia juga perlu mempunyai komuniti yang membolehkan orang tua terus merasa bahawa mereka diperlukan.

Keluarga masih menjadi benteng utama

Walaupun kerajaan menyediakan pelbagai bentuk bantuan, model Brunei masih memberi kedudukan yang sangat penting kepada keluarga. Pada Mac 2026, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menegaskan dalam Majlis Mesyuarat Negara bahawa penjagaan ibu bapa merupakan kewajipan anak dan amanah moral yang menjadi teras institusi kekeluargaan. Kerajaan pada masa yang sama memberi perhatian kepada pemantauan kes pengabaian atau penderaan warga emas dan pengembangan sokongan komuniti.

Dalam perspektif dasar sosial, pendekatan Brunei boleh digambarkan sebagai satu bentuk “state-supported family care” iaitu keluarga menjadi penjaga utama, sementara kerajaan menyediakan jaringan sokongan. Model ini mempunyai kekuatan kerana ia selaras dengan budaya tempatan dan hubungan kekeluargaan. Namun ia juga berhadapan cabaran pada masa hadapan.

Apakah yang berlaku apabila pasangan suami isteri mempunyai hanya seorang atau dua orang anak? Bagaimana jika semua anak bekerja? Bagaimana jika anak tinggal di luar daerah atau di luar negara? Bagaimana jika warga emas memerlukan penjagaan 24 jam?

Persoalan ini semakin penting apabila jumlah warga emas meningkat.

Warga emas bukan beban negara

Ada satu kesilapan besar yang perlu dielakkan apabila membincangkan masyarakat menua seperti melihat warga emas hanya dari sudut kos. Warga emas mempunyai pengalaman, pengetahuan, kemahiran, jaringan sosial dan memori institusi yang sangat bernilai. Situasinya begini:

Seorang bekas guru masih boleh mendidik.
Seorang pesara pentadbir boleh menjadi mentor.
Seorang bekas usahawan boleh membimbing generasi baharu.
Seorang datuk atau nenek memainkan peranan penting dalam pemindahan nilai, agama, budaya dan pengalaman kepada cucu-cucu mereka.

Sebab itulah perbincangan penuaan perlu beralih daripada konsep dependency kepada participation. Matlamat dasar bukan sekadar memastikan warga emas menerima bantuan tetapi mewujudkan peluang supaya mereka terus menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

Brunei masih mempunyai masa tetapi semakin singkat namun kelebihannya adalah skala penduduk secara relatifnya kecil dan mempunyai sistem kesihatan serta perlindungan sosial yang sudah terbina. Namun statistik memberi amaran bahawa tempoh persediaan tidak panjang.

Jumlah penduduk berumur 65 tahun dan ke atas telah meningkat daripada sekitar 27,894 orang pada 2021 kepada 36,300 pada 2025, sementara unjuran DEPS menunjukkan angka itu boleh melepasi 40,000 menjelang 2030 dan mencapai sekitar 54,700 pada 2040.

Cabaran seterusnya ialah memastikan pertambahan usia tidak membawa bersama peningkatan kesunyian, penyakit kronik, kemiskinan, kebergantungan dan tekanan terhadap penjaga.

Pelan Tindakan Warga Emas 2023–2030, Pencen Umur Tua, Elaun Penyedia Penjagaan, program kesihatan warga emas, PKWE dan program literasi digital menunjukkan bahawa Brunei telah mula membina asas untuk menghadapi perubahan ini. Namun kejayaan akhirnya bukan semata-mata diukur melalui bilangan program.

Ukuran sebenar ialah sama ada seorang warga Brunei yang berumur 70, 80 atau 90 tahun pada masa hadapan masih mampu mengatakan: “Saya sihat, saya dihormati, saya tidak tersisih dan saya masih mempunyai tempat dalam masyarakat.”

Di situlah makna sebenar sebuah negara yang berjaya menghadapi penuaan kerana penuaan penduduk bukan cerita tentang “mereka”. Jika usia mengizinkan, ia adalah cerita tentang masa depan.

Rujukan

Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam. Brunei Darussalam Key Indicators 2022. Data penduduk mengikut kumpulan umur, termasuk statistik 2021 dan 2022.

Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam. Brunei Darussalam Key Indicators 2024. Mengandungi statistik penduduk mengikut umur bagi 2022–2024.

Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam. Brunei Darussalam Key Indicators 2025. Mengandungi anggaran penduduk 2025 termasuk 36,300 penduduk berumur 65 tahun dan ke atas.

Department of Economic Planning and Statistics (DEPS), Brunei Darussalam. Population Projections 2024–2040. Unjuran struktur penduduk termasuk kumpulan umur 65 tahun dan ke atas hingga 2040.

Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat, Negara Brunei Darussalam. (28 Mac 2026). Memastikan warga emas jalani kehidupan sihat, bermaruah, produktif. Penerangan mengenai Pelan Tindakan Warga Emas 2023–2030, Successful Ageing dan Elaun Penyedia Penjagaan.

Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam. Adult and Elderly Health Programme. Program kesihatan dewasa dan warga emas.

Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam. (9 Oktober 2025). 14th ASEAN Centre for Active Ageing and Innovation Governing Board Meeting. Perbincangan berkaitan penuaan penduduk, penyakit tidak berjangkit dan penuaan aktif.

Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI). (8 Mei 2024). Bridging the Digital Gap in Brunei Darussalam. Program literasi digital untuk warga emas.

Authority for Info-communications Technology Industry of Brunei Darussalam (AITI). (7 November 2024). Digital Brunei Empowers Warga Emas Community. Program pemerkasaan digital warga emas.

Radio Television Brunei. (31 Disember 2024). Be Wiser in Taking Opportunities to Develop. Laporan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Tahun Baharu 2025, termasuk penekanan terhadap kebajikan warga emas.

Pelita Brunei. Warga emas NBD terus catat pencapaian signifikan. Perbincangan mengenai penuaan aktif, Pusat Kegiatan Warga Emas, perlindungan sosial, teknologi dan penyertaan masyarakat.


Thursday, August 06, 2026

Gelombang baharu politik Melayu

Dua pilihan raya kecil (PRK) baru-baru ini menunjukkan keputusan yang luar biasa dalam perebutan kuasa bagi membentuk kerajaan negeri. Johor dan Negeri Sembilan menjadi gelanggang percaturan strategi utama untuk mengembalikan sokongan pengundi Melayu, sekaligus memenangi PRK dengan mengurangkan majoriti undi yang diperoleh Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit.


Kerjasama strategik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terbukti menjadi tunjang kekuatan dalam menumbangkan parti-parti dalam Pakatan Harapan, termasuk beberapa tokoh terkenal di peringkat kebangsaan. Persefahaman ini berjaya mengelakkan pertembungan tiga penjuru yang berpotensi memecah-belahkan undi Melayu. Menariknya, terdapat kawasan DUN yang mencatatkan majoriti undi sangat besar, malah ada parti yang kehilangan deposit pertandingan, satu petanda jelas tentang perubahan sentimen pengundi.

Dalam mana-mana pilihan raya, pelbagai perkara di luar jangkaan boleh berlaku. Kejayaan sesebuah kempen sangat bergantung pada keberkesanan strategi dan perancangan rapi. Keupayaan BN dan PN menumpukan kempen di kawasan-kawasan tertentu terbukti berkesan untuk menarik lebih ramai pengundi Melayu keluar mengundi. Idea penyatuan ini digambarkan sebagai “kuasa di tangan Melayu Islam,” selaras dengan kehendak masyarakat Islam untuk memastikan perlindungan dan pengukuhan kepentingan mereka secara berterusan.

Kemenangan ini juga menjadi isyarat kuat kepada kerjasama di negeri-negeri lain yang masih didominasi oleh DAP dalam Pakatan Harapan. Selangor, Perak dan Pulau Pinang kini berada dalam radar utama. Tidak mustahil jika PRK diadakan di negeri-negeri itu, kita akan menyaksikan pertembungan sengit antara dua gabungan politik terbesar di Malaysia.

BN dan PN kini membentuk satu ketumbukan kempen yang mantap untuk menghadapi blok besar yang diterajui DAP. Ketiga-tiga negeri ini menjadi medan ujian populariti yang dapat menilai keberkesanan dasar sedia ada, di samping menjadi penanda aras kepada penerimaan pengundi terhadap model pentadbiran baharu.

Namun, kemenangan ini perlu diisi dengan kerangka baharu sistem pentadbiran. Pengundi dan penduduk Negeri Sembilan tidak mahu melihat kemenangan ini hanya mengulangi sistem lama yang tidak cekap, berlaku ketirisan, penyelewengan dan rasuah. Sebaliknya, mereka menuntut pentadbiran yang lebih cekap, berhemah, bebas rasuah dan telus. Pengundi pasti tidak mahu amalan-amalan usang yang menyekat kemajuan dan menghalang pembaharuan terus berakar umbi dalam kepimpinan baharu yang bakal dibentuk.

Pengundi berhak menuntut agar semua manifesto dilaksanakan dengan teratur dan tersusun sehingga PRU akan datang. Tempoh empat atau lima tahun bukanlah masa yang lama; justeru, pelaksanaan manifesto perlu segera dimulakan. Krisis institusi beraja yang berlaku sekarang seharusnya tidak mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri. Pengundi berhak menikmati hasil yang dijanjikan, kerana memilih BN dan PN bukan sekadar untuk memenangkan bangsa dan agama, tetapi juga untuk membentuk sistem pentadbiran yang lebih baik, menyeluruh dan inklusif.

Pengundi tidak akan teragak-agak untuk memilih gabungan ini pada pilihan raya akan datang jika mereka melihat kemajuan dan pembangunan yang nyata. PRK di Negeri Sembilan merupakan manifestasi keinginan kedua-dua parti utama dalam BN dan PN untuk menyatukan undi Melayu bagi menentang keyakinan tinggi calon-calon Pakatan Harapan. Sebelum ini, PRK di Sabah dan Johor sudah pun memberi isyarat jelas bahawa pengundi mula menolak pendekatan tradisional DAP yang dianggap sudah tidak relevan untuk meraih sokongan.

Kemenangan di Johor dan Negeri Sembilan bukan sekadar angka di kertas undi. Ia adalah gema daripada hati pengundi Melayu yang dahagakan perubahan, rindu pada kepimpinan yang berintegriti, dan muak dengan janji kosong. Namun, kemenangan ini adalah pedang bermata dua. Jika gabungan BN-PN gagal menterjemahkan undi kepada reformasi, gelombang sokongan ini akan berubah menjadi tsunami penghakiman pada PRU kelak.

Pengundi hari ini bukan lagi pemerhati pasif, mereka adalah pengadil yang tahu bila masa untuk memberi peluang, dan bila masa untuk menjatuhkan. Negeri Sembilan telah bersuara. Soalannya kini: adakah pemimpin mendengar, atau sekadar mendengar tetapi tetap pekak terhadap tuntutan zaman?

Wednesday, August 05, 2026

Sejauh mana beban tugas guru boleh meragut nyawa?

Kisah sedih seorang guru wanita yang membunuh diri di dalam bangunan sekolah baru-baru ini kembali menjadi perhatian ramai. Guru wanita yang baharu bertukar sekolah ditemui pada awal pagi dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.



Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kematian, manakala Jabatan Pendidikan Negeri telah menilai kembali bebanan tugas guru berkenaan sepanjang beliau berkhidmat di sekolah tersebut.

Satu soalan yang boleh kita tanya ialah bagaimana kesan beban tugas guru telah mendorongnya membuat keputusan untuk mengakhiri nyawanya sendiri?

Banyak spekulasi yang muncul dalam mengesahkan kematian tersebut; namun keadaan kematian, masa, tempat dan sejarah perkhidmatan boleh menjadi petunjuk kepada punca kematian. Selain kerja, latar belakang keluarga turut menjadi rujukan bagi mengetahui sebab-sebab kematian ini. Dalam satu kajian di Brazil, faktor yang menyebabkan kematian bunuh diri dalam kalangan guru ialah guru yang tidak mempunyai pasangan hidup, pernah didiagnosis dengan kemurungan, mengalami gangguan tidur dan penggunaan telefon pintar yang berlebihan.

Dalam tinjauan kajian, kesihatan emosi dan mental guru di Malaysia berada dalam keadaan yang membimbangkan, terutamanya disebabkan oleh bebanan kerja bukan hakiki (tugas pentadbiran) dan cabaran digital, yang turut menyumbang kepada peningkatan trend persaraan awal yang ketara sejak kebelakangan ini.

Percanggahan Data Kesihatan Mental: Terdapat jurang yang ketara antara kajian bebas yang melaporkan kadar simptom kemurungan, kebimbangan dan tekanan dalam kalangan guru mencecah 55 peratus, berbanding saringan rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia yang mencatatkan seramai 92.7 peratus guru berada dalam tahap kesejahteraan yang positif.

Faktor Beban Bukan Pengajaran: Tugas-tugas kerani, kemasukan data ke dalam pelbagai sistem teknologi maklumat yang kerap diubah suai, serta isu disiplin murid dikenal pasti sebagai punca utama yang mengancam kesejahteraan psikologi guru.

Impak terhadap Perkhidmatan: Tekanan yang berpanjangan dan rasa keletihan kerja (burnout) telah mendorong ramai guru berpengalaman untuk bersara awal dengan alasan utama kehilangan minat terhadap profesion perguruan ataupun masalah kesihatan fizikal.

Inisiatif Kementerian: Bagi menangani isu ini, KPM giat melaksanakan Saringan Minda Sihat, Program Intervensi Minda Sihat (PRISMA), serta sedang membangunkan Indeks Kesejahteraan Guru (IKG) untuk mengukur dan memastikan kebajikan emosi guru terpelihara secara berterusan.

Apakah beban tugas seorang guru, tidak kira mata pelajaran apa yang diajarnya, boleh mendorong seseorang guru mengakhiri nyawanya sendiri? Jika ya, Kementerian Pendidikan harus menilai semula tugas yang diberikan supaya tidak ada lagi kejadian kedua, ketiga dan seterusnya. Langkah-langkah bantuan yang berterusan melalui pelbagai seksyen sokongan dapat membantu mengurangkan tekanan mental yang dihadapi.

Bagi sekolah-sekolah yang mempunyai cukup guru untuk melaksanakan tugasan dan aktiviti, hal itu tidak menjadi masalah besar; namun di sekolah yang masih bergelut dengan kekurangan guru, ia merupakan beban utama. Ditambah lagi guru-guru harus memenuhi petunjuk prestasi utama masing-masing.

Penyelesaian kepada bebanan guru adalah tanggungjawab bersama, lebih-lebih lagi di peringkat kementerian. Guru adalah nadi kepada pembangunan sumber daya manusia negara. Kemajuan dan pembangunan negara dalam jangka masa panjang bergantung kepada pendidikan. Walaupun belanjawan negara sentiasa memperuntukkan lebih banyak wang untuk keberhasilan dalam pendidikan, cabaran-cabarannya sentiasa muncul dan mencapah. Memberi berbilion-bilion ringgit untuk memajukan pendidikan negara adalah langkah yang baik, namun kaedah penyelesaian cabaran inilah yang memastikan setiap isu pendidikan dapat diselesaikan dengan cekap dan berkesan.

Antara isu paling besar ialah jumlah murid yang ramai untuk satu kelas. Isu ini tidak pernah reda sehingga ke hari ini. Pertambahan penduduk kerana migrasi, pembinaan sekolah baharu yang mengambil masa dan ketidakcukupan guru adalah antara punca bilangan murid yang ramai. Semua isu ini pun telah lama dikenal pasti, namun tidak dapat diselesaikan.

Justeru, hasrat untuk melahirkan kelas yang berkesan akan terganggu jika tidak ada tindakan segera. Tidak mungkin sekolah-sekolah kita akan diisi dengan jumlah pelajar antara 20 hingga 25 orang dengan seorang guru, sepertimana di Finland. Jadi, jauh lagilah pendidikan kita dapat bersaing di peringkat dunia dalam erti kata kualiti, kecekapan dan keberkesanan.

Dunia pendidikan penuh dengan cabaran. Semua pihak yang menjadi pemegang taruh dalam pendidikan sentiasa memberi dan menerima cabaran. Yang membezakannya ialah sama ada cabaran tersebut sebesar gunung atau sekecil batu. Masing-masing ada pendekatan yang unik untuk diselesaikan. Cabaran yang besar memerlukan sekumpulan pakar untuk diselesaikan; cabaran yang kecil memerlukan idea dan pengalaman seorang dua pakar sahaja.

Jika beban tugas guru diletakkan dalam kategori "gunung", pakar-pakar perlulah bersidang untuk mencari idea supaya guru-guru kita dapat bekerja dengan tenang dan penuh penghayatan. Biarlah guru dapat memberi fokus kepada pengajaran mata pelajaran mereka daripada turut menjadi pekerja pentadbiran yang menambah beban tugas sedia ada. Jika memerlukan khidmat guru, motivasi berupa elaun yang lebih tinggi wajar menjadi pilihan untuk diketengahkan. Tidak mengapa jika lebih besar peruntukan diberikan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, asalkan kemenjadian murid dapat dizahirkan melalui pendidikan di sekolah.