Akhirnya, program syarahan umum Dr
Zakir Naik, “Similarities between
Hinduism and Islam” atau (Persamaan Antara Hindu and Islam) di
Universiti Teknikal Malaysia Melaka dibatalkan.
Dalam kenyataan
media yang disiarkan oleh universiti tersebut, wujud bantahan dan laporan
polis terhadap penganjuran program itu di samping arahan daripada Polis Diraja
Malaysia supaya program berkenaan tidak diteruskan. Justeru, penganjur program,
Hidayah Centre Foundation perlu mencari tempat alternatif sekiranya mahu
meneruskan syarahan umum tajuk berkenaan.
Bantahan dan
laporan polis telah dibuat oleh parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan
seperti Malaysian Indian Congress (MIC), Hindu Rights Action Force (Hindraf) dan Malaysia Hindu Sangam. Pemuda MIC
bertindak membuat laporan polis bagi menghalang Dr Zakir Naik menyampaikan
syarahannya di Malaysia di samping menimbang untuk mendapatkan perintah
mahkamah. Manakala Hindraf mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan Malaysia
menghalang beliau daripada memasuki Malaysia dan menggelarkannya sebagai virus
dalam masyarakat berbilang kaum.
Bantahan paling mengecewakan datangnya dari
Timbalan Ketua Menteri Pulau
Pinang II, Prof Dr P.Ramasamy yang menggelar Dr Zakir Naik sebagai “syaitan”. Perkataan
yang dikeluarkan itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam Malaysia
menyebabkan pejabatnya dilontar bom petrol. Seterusnya beliau dituduh sebagai
anti-Islam dan anti-Muslim.
Tajuk “Similarities between
Hinduism and Islam” ini nampaknya memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat
Islam dan Hindu di Malaysia menyebabkan pihak polis masuk campur untuk
meredakan ketegangan. Tajuk syarahan yang dikatakan mengundang kontroversi itu sebenarnya sudah
ada di Youtube dan boleh dicapai di sini.
Kita tinggalkan
mereka yang benci dan marah kepada Dr Zakir Naik, biarkan mereka mengurus emosi
masing-masing di samping memastikan agensi keselamatan mengawasi kehidupan
kita.
Saya telah
mengenali Dr Zakir Naik sejak kewujudan YouTube iaitu hampir sepuluh tahun lalu
ketika saluran itu masih beroperasi di luar kawalan Google. Syarahan beliau
menarik jutaan pelayar untuk mendengar hujah yang disampaikan. Ada ketikanya
syarahan umum ini dibuat dengan kehadiran ribuan penonton sama ada Islam,
kristian, hindu atau buddha malah ateis. Tarikan syarahannya di media sosial
diiktiraf oleh ramai pihak sehingga timbalan presiden Youtube, Tom Pickett
menyifatkan Dr Zakir Naik sebagai “mengagumkan” kerana mendapat “likes” yang
tinggi dan popular.
Latar belakang Dr
Zakir Naik amat mudah. Beliau adalah seorang doktor perubatan dan menjadi
presiden Islamic Research Foundation, India.
Di negaranya,
India, pada tahun 2009, beliau berada pada kedudukan 82 dalam “The 100 Most
Powerful Indian”. Di peringkat global, beliau berada pada kedudukan 70 dalam “500
Most Influential Muslim in the World” bagi tahun 2011, 2012, 2013/14 dan
2015/16.
Pencapaiannya
dalam bidang perbandingan agama banyak merujuk kepada al-quran dan hadis, logik
dan saintifik. Justeru, beliau sentiasa dambakan soalan yang mencabar dan
bersifat analisis kritikal.
Oleh kerana tahap
keilmuan yang tinggi dalam bidang ini, Dr Zakir Naik sentiasa menerima
jemputan. Beliau telah menghadiri lebih daripada 2000 syarahan sejak 20 tahun
lepas di Amerika Syarikat, Kanada, UK, Itali, Perancis, Arab Saudi, UAE,
Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman, Mesir, Australia, New Zealand, Afrika Selatan,
Botswana, Nigeria, Ghana, Gambia, Maghribi, Algeria, Indonesia, Malaysia,
Singapura, Brunei, Thailand, Hong Kong, China, Guyana (South America),
Trinidad, Mauritius, Sri Lanka dan Maldives di samping puluhan syarahan di India.
Pada tahun 2012, beliau menyampaikan syarahan umum di hadapan lebih sejuta
orang di Bihar, India.
Dialog antara
agama juga menjadi fokusnya. Pada tahun 2006, beliau mengadakan dialog dengan
tokoh utama Hindu, Sri Sri Ravi Shankar melalui topik “The Concept of God in
Hinduism and Islam in the Light of Sacred Scriptures” bertempat di Bangalore,
India. Dialog ini menerima sambutan yang baik daripada kedua-dua penganut Islam
dan Hindu.
Berdasarkan usaha
dakwah dan galakan kefahaman antara agama, beliau dianugerahkan penghargaan dan
pengiktirafan oleh pemimpin negara Islam.
Raja Salman Abdul
Aziz dari Arab Saudi menganugerahkan “King Faisal International Prize”
kepadanya pada tahun 2015 kerana “Khidmat kepada Islam”. Di samping mendapat pingat emas 24 karat, beliau
turut diberikan US$200,000.
Sheikh Mohammed Rashid
Al Maktoum, timbalan presiden dan perdana menteri Emiriah Arab Bersatu telah
menganugerahkannya “Islamic Personality of 2013” dan menerima penghargaan sebanyak
US$272,000. Semua wang itu kemudiannya diwakafkan kepada Peace TV Network.
Yang di-Pertuan
Agong Malaysia, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah
menganugerahkan “Tokoh Maal Hijrah Peringkat Antarabangsa 2013” kerana sumbangan
besar dalam memartabatkan Islam di peringkat nasional dan global yang diiktiraf
oleh pelbagai pihak. Beliau turut menerima RM100,000, pingat dan sijil
penghargaan yang ditandatangani oleh perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd
Najib Razak.
Sheikh Dr Sultan Mohammed Al
Qasimi, pemerintah Sharjah menganugerahkan “Sharjah Award for Voluntary Work”
bagi tahun 2013 untuk khidmat beliau kepada Islam di peringkat antarabangsa
pada 16 Januari 2014.
Kerajaan Gambia
juga menganugerahkannya “The Insignia of the Commander of
the National Order of the Republic of The Gambia” pada tahun 2014 kerana
sumbangannya yang cemerlang dalam penyebaran
pengetahuan bagi mempromosi penyelidikan dan penyampaian perkhidmatan
masyarakat antarabangsa.
Di media sosial, Facebook
beliau menerima lebih lapan juta “likes” dalam masa kurang daripada dua tahun,
satu pencapaian yang hebat bagi penyampai agama berbahasa Inggeris di seluruh
dunia.
Berdasarkan
pencapaian beliau dan anugerah yang diterima, bolehkah beliau diberi gelaran “syaitan”
sepertimana yang diungkapkan oleh P. Ramasamy
itu?