oleh Mohamad Zahir
Zainudin, Roziah Omar, Isma Addi Jumbri
ABSTRAK
Kerangka
pembangunan ekonomi yang mendasari kemajuan negara-negara dunia lebih lima
dekad lalu semakin diselarikan dengan kerangka pembangunan sosial kerana implikasi
yang besar ke atas pembangunan manusia dan alam sekitar. Penekanan ke atas
pembangunan sosial yang bermula sekitar tahun 1980-an telah dilihat penting
demi kelestarian dan kemajuan Malaysia. Pembentukan dasar sosial menjadi
bertambah penting untuk mengurus komuniti yang semakin berkembang dan kompleks.
Dalam melaksanakan perancangan pembangunan sosial, persekitaran semula jadi
dalam hubungan di antara pelaksana dasar dan kumpulan sasar adalah sama penting
dengan kandungan dasar. Impak dasar sosial dalam perubahan hidup kerap kali
bergantung kepada aktiviti yang terlibat dalam kalangan individu dan komuniti.
Kajian ini ingin melihat bagaimana dasar sosial dilaksanakan di Malaysia dan
sejauh mana pelaksanaannya memberi impak kepada komuniti setempat. Responden
kajian terdiri daripada penerima bantuan mikrokredit Amanah Ikhtiar Malaysia
(AIM). Lokasi kajian yang dipilih ialah Negeri Melaka kerana berada dalam zon
yang lebih maju dari segi pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial. Kajian
ini menggunakan kaedah kualitatif untuk mendapatkan hasil yang lebih jelas
dalam pelaksanaan dasar sosial. Data kajian dikumpulkan melalui perbincangan
dengan kumpulan pakar, kumpulan berfokus dan pemerhatian langsung. Hasil dapatan menunjukkan terdapat
perubahan sosioekonomi yang ketara selepas responden menyertai skim berkenaan.
Mereka boleh berdikari dan mempunyai motivasi tinggi untuk mengubah kehidupan.
Penyelesaian dasar sosial bersama dasar ekonomi telah menyumbang kepada
perubahan hidup komuniti yang pada awalnya adalah berpendapatan rendah.
Malaysia telah berjaya membangunkan komuniti ini melalui pelaksanaan dasar
sosial yang terangkum dan disesuaikan dengan keperluan kumpulan sasar.
Kata Kunci: dasar sosial,
pembangunan komuniti, Amanah Ikhtiar Malaysia
1.0 PENGENALAN
Sejak 50 tahun lalu, pengalaman
pembangunan memperlihatkan perdebatan dalam peranan kerajaan bagi membangunkan
masyarakat dan negara. Masing-masing meneliti dan memerhati perkembangan
masyarakat dan sistem sosiobudaya manusia serta menelaah fenomena kemodenan ini
dengan kaca mata dan perspektif sendiri.
Golongan ekonomis mempunyai gagasan pembangunan dan tahap perkembangannya.
Golongan politikus mempunyai gagasan perkembangan sistem politik global. Golongan
sosiologis memaparkan pandangan serta kerangka pemikiran kemasyarakatan (Zainal
Kling, 2005).
Pembangunan berteraskan
ekonomi ini menyaksikan negara Jepun menjadi kuasa baru ekonomi dunia pada tahun 1970-an. Kelompok kedua ialah
kemunculan Taiwan, Korea Selatan, Hong Kong dan Singapura menjadi Negara
Industri Baru (NIB) sebagai generasi pertama, diikuti Malaysia, Thailand dan
Indonesia sebagai NIB generasi kedua. Kepesatan ini telah menambah baik agihan
pendapatan, menurunkan kadar kemiskinan dan merapatkan jurang perbezaan
ekonomi. Contoh kejayaan ini ialah sepertimana yang dinikmati oleh Malaysia
iaitu pengecilan jurang ketaksamaan ekonomi melalui pelaksanaan Dasar Ekonomi
Baru (1971-1990) di mana golongan 20 peratus terkaya menikmati 57.7 peratus
pendapatan, pemilikan golongan ini menurun kepada 55.8 peratus pada 1979 dan
semakin kurang pada 1990 hanya kepada 50.4 peratus (Shireen Mardziah, 1998; Ishak, 1999; Abdul Rahman, 2003). Seterusnya, perkembangan ekonomi China yang pesat pada
abad ke-21 memberi saingan kepada kuasa ekonomi di Amerika Syarikat, Eropah dan
Asia sendiri. Ekonomi China yang berkembang pesat menjadi pemacu kepada
perkembangan ekonomi dunia pada hari ini (Mengkui
Wang, 2006; Zhongmin Wu, 2009; John Bryan Starr, 2010).
1.2 Objektif Kajian
Tujuan kajian in ialah
mengkaji pelaksanaan dasar sosial dalam pembangunan komuniti di Malaysia.
Tujuan khusus ialah menjawab persoalan-persoalan berikut, 1) bagaimana dasar sosial
dilaksanakan di Malaysia? dan 2) sejauhmana implementasi dasar sosial ini
memberi impak kepada pembangunan komuniti di Malaysia?
2.0 KAJIAN LITERATUR
Keberkesanan dasar sosial bergantung kepada
keupayaan pelaksanaan intervensi yang diambil oleh kerajaan menerusi pelbagai
siri perkhidmatan sebagai tindak balas ke atas masalah sosial, keperluan sosial
dan peluang sosial yang diperlukan dalam masyarakat
(Latrids, 1994, Siti Hajar, 2006). Komponen utama dalam pelaksanaan dasar sosial ini ialah kebajikan
sosial iaitu memenuhi keperluan sosial masyarakat, mengurus masalah-masalah
sosial yang dihadapi oleh masyarakat dan menyediakan peluang untuk masyarakat
memperkasa kesejahteraan hidup mereka. Pemilihan tipologi atau model dasar
sosial yang memenuhi keperluan masyarakat akan menjamin kehidupan yang lebih
baik.
Terdapat berbagai-bagai definisi dasar
sosial yang dikemukakan oleh beberapa orang tokoh
seperti Marshall, Rein, Huttman, Spicker dan Hill yang mengaitkan dasar sosial dengan kebajikan kesejahteraan sosial.
Marshall (1965) berpendapat dasar sosial adalah
dasar kerajaan yang berkaitan dengan tindakan yang memberi impak secara langsung terhadap kesejahteraan komuniti
melalui penyediaan perkhidmatan sosial atau bantuan kewangan. Bagi Rein (1970),
dasar sosial adalah perancangan untuk
mengatasi halangan sosial, meningkatkan
kesamarataan, agihan perkhidmatan dan bantuan sosial.
Huttman (1981) pula berpendapat dasar
sosial adalah satu bentuk strategi, tindakan atau rencana untuk mengatasi masalah
sosial dan memenuhi keperluan sosial.
Spicker (1995) mentakrifkan dasar sosial sebagai dasar yang berkaitan dengan kebajikan
sama ada yang berkait dengan pengertian yang lebih luas seperti kualiti hidup
ataupun yang lebih khusus seperti perkhidmatan tertentu. Definisi yang lebih
ringkas diberikan oleh Hill (1996) iaitu dasar sosial adalah kajian mengenai peranan negara dalam kaitannya
dengan kesejahteraan komuniti. Manakala Bessant, Watts, Dalton dan Smith (2005) melihat dasar sosial menunjuk pada tindakan
kerajaan meningkatkan kualiti hidup melalui penjanaan pendapatan, kebajikan kemasyarakatan dan program asas
sosial. Midgley dan
Livermore (2009) menyatakan dasar sosial ialah pengukuran yang memberi kesan
kepada kesejahteraan masyarakat sama ada melalui penyediaan perkhidmatan
kebajikan atau dasar yang memberi impak ke atas kehidupan secara keseluruhan.
Walaupun
dasar sosial kerajaan menyumbang kepada kesejahteraan hidup komuniti dan
negara, kebajikan keseluruhan tersebut tidak hanya ditentukan oleh dasar-dasar
kerajaan. Banyak lagi program atau aktiviti serta penglibatan dalam komuniti
yang memberi impak kepada kesejahteraan hidup seperti tahap pendapatan yang
diperolehi daripada pekerjaan, pencapaian pendidikan, sokongan keluarga (juga
rakan-rakan dan jiran), perkhidmatan yang diterima daripada pertubuhan bukan
kerajaan dan institusi agama, aktiviti masyarakat setempat, iklim ekonomi
negara dan peranan agensi kerajaan.
Bagaimanapun
dasar sosial kerajaan menjadi sangat penting kerana tujuan dasar tersebut ialah
meningkatkan kesejahteraan hidup dan mengurus sejumlah sumber untuk mencapai
sasaran tertentu. Idea penglibatan kerajaan dalam merangka dasar sosial dengan
matlamat-matlamat khusus sebenarnya masih baru iaitu ketika abad ke-21. Dalam
sejarah kemanusiaan, kerajaan hanya memberi tumpuan untuk mempertahankan negara
dari serangan. Hanya pada abad ke-19, kerajaan mula melihat sumber-sumber
negara boleh digunakan untuk menambah baik pendidikan, menyediakan tempat
tinggal, memberi subsidi dan membaiki taraf perkhidmatan kesihatan untuk
meningkatkan kesejahteraan hidup komuniti. Sebelum itu, tanggungjawab ini
dilakukan oleh keluarga dan komuniti setempat selain daripada institusi agama
dan pertubuhan sukarela. Dalam abad ke-20, gerakan besar-besaran oleh reformis
sosial, kesatuan sekerja, ahli politik dan penglibatan agensi kerajaan telah
meningkatkan peranan kerajaan dalam penyediaan perkhidmatan sosial yang lebih
besar.
Oleh
kerana peranan kerajaan dalam kebajikan sosial semakin meluas, perdebatan
tentang dasar sosial tidak dapat disempitkan kepada program-program berbentuk
kebajikan, sebaliknya perlu disertai oleh ahli akademik untuk mengkaji dasar
dan program-program yang telah dilaksanakan. Antara kajian ini ialah bagaimana
dasar sosial boleh dilaksanakan melalui perkhidmatan sosial, perundangan,
sistem cukai dan mahkamah, sejarah dasar sosial, kajian terhadap ideologi yang
mempengaruhi proses pembuatan dasar sosial dan penilaian ke atas impak
kebajikan sosial.
Dasar sosial yang memberi
impak positif dan menambah baik keadaan sosial dalam komuniti akan memberi
lebih banyak ruang kepada kesejahteraan hidup. Secara langsung, dasar sosial
menentukan aras kebajikan sosial individu atau komuniti. Kebajikan yang
dimaksudkan ialah apabila keperluan-keperluan hidup dipenuhi, masalah dapat
diuruskan dan peluang dimaksimumkan. Kepentingan memenuhi keperluan hidup ialah
supaya wujudnya keadaan kebajikan sosial untuk makanan, kesihatan, tempat
perlindungan, keselamatan dan pekerjaan. Kepentingan mengurus masalah ialah
dapat mengawal kadar jenayah dan delikuensi, penderaan, keganasan rumah tangga
dan pengabaian kanak-kanak. Manakala maksud kewujudan peluang yang maksimum
ialah apabila keadaan kebajikan sosial telah terbentuk, individu dan komuniti
dapat memaksimumkan peluang bagi mencapai matlamat (Midgley dan Livermore,
2009; Haris Abd. Wahab, 2010).
Kebanyakan
dasar sosial dan dasar awam menggariskan set idea, prosedur, pendekatan,
prinsip dan strategi mengenai cara-cara untuk menguruskan pelbagai program
sosial dan perkhidmatan sosial bagi bertindak balas dengan keperluan sosial,
masalah sosial dan peluang sosial yang wujud. Terdapat dua pendekatan atau
model yang diguna pakai dalam melaksanakan dasar sosial iaitu model agihan
kebajikan semula (redistributive welfare)
dan model pelaburan sosial (social
investment model). Model dasar sosial kontemporari seperti kebajikan agihan
semula didapati semakin gagal atau kurang berkesan untuk bertindak balas dengan
keperluan hidup dan masalah sosial yang wujud dalam kehidupan masyarakat serta
semakin kurang berkesan untuk menyediakan pelbagai peluang sosial yang diperlukan
oleh anggota masyarakat bagi memajukan atau meningkatkan kesejahteraan hidup
mereka. Kebanyakan negara sedang menukar arah paradigma dasar sosial mereka
kepada dasar sosial model pelaburan sosial (Midgley dan Livermore, 2009; Siti
Hajar dan Syed Barkat Ali, 2005; Levitas, 2005; Dwyer, 2000). Kedua-dua model
ini mempunyai perbezaan yang sangat ketara dalam membebaskan masyarakat
daripada masalah sosial yang dihadapi.
2.1 Pembangunan Sosial di Malaysia
Matlamat pembangunan sosial di
Malaysia ialah menyelesaikan masalah kemiskinan yang telah didokumentasikan
dalam Rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP1) 1971-1990. Pembangunan
sosial di Malaysia telah melalui tiga dekad kemajuan bersama pembangunan
ekonomi yang memberangsangkan, membenarkannya untuk memberikan nikmat kesihatan
dan pendidikan kepada rakyat, membasmi kemiskinan dalam skala besar, membina
infrastruktur kelas satu dan menjadi pengeksport global yang utama. Ketika
negara ini sedang mengejar misi penting untuk menjadi sebuah negara maju, kerajaan
telah mewujudkan sebuah rangka kerja merangkumi empat tonggak untuk memacu
perubahan iaitu Enam Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam Program
Transformasi Kerajaan, 12 Bidang Ekonomi Penting Negara daripada Program
Transformasi Ekonomi, pembaharuan ekonomi strategik dalam Model Baru Ekonomi
dan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Empat pilar ini menjadi teras untuk membawa
Malaysia ke arah negara maju, menekankan keterangkuman dan kemampanan. Begitu
juga dengan pendekatan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial yang mengguna
pakai suatu perubahan yang radikal bagi membolehkan Malaysia mencapai status
negara berpendapatan tinggi (PBB, 2011).
Di peringkat global,
pengukuran kemajuan Malaysia dilakukan berdasarkan pencapaian negara ini dalam
Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) yang mengukur kedudukan lapan indikator
iaitu membasmi kemiskinan dan kebuluran yang melampau, mencapai pendidikan
utama sejagat, menggalakkan persamaan jantina dan menguasakan wanita,
mengurangkan mortaliti kanak-kanak, meningkatkan kesihatan keibuan, memerangi
HIV/AIDS, malaria dan penyakit-penyakit lain, memastikan kemampanan alam
sekitar, dan membangunkan kerjasama sejagat untuk pembangunan. Selepas melalui
dua pertiga tempoh ke tahun 2015, Malaysia telah mencatatkan kemajuan ketara ke
arah pencapaian kebanyakan matlamat. Laporan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu pada 2011 tentang kemajuan MDG Malaysia dalam pembasmian kemiskinan,
terdapat pengurangan yang ketara iaitu berkurangan daripada 17 peratus pada
tahun 1990 kepada lapan peratus pada tahun 2000 dan di bawah empat peratus pada
tahun 2009. Kadar kemiskinan dijangka semakin berkurangan kerana kerajaan
Malaysia sangat komited kepada agenda MDG-Plus
melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh dengan 30 peratus perbelanjaan pembangunan
lima tahun diperuntukkan kepada sektor sosial.
Kemajuan Malaysia dalam
pembangunan sosial melalui peningkatan taraf hidup keluarga berpendapatan
rendah telah mula menampakkan hasil selepas koordinasi pelbagai agensi yang
lebih teratur melalui portal e-Kasih,
proses kelulusan permohonan yang singkat dan tahap kecekapan agensi pemberi
bantuan yang semakin baik. Penetapan gaji minimum bulanan sebanyak RM900 di
Semenanjung Malaysia dan RM800 di Sabah, Sarawak dan Labuan pada tahun 2012
dapat memenuhi keperluan asas pekerja dan keluarga mereka, meningkatkan
produktivi dan melonjakkan perniagaan pihak swasta (Bernama, 2012). Usaha-usaha
yang telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia dalam pembangunan
sosial adalah seiring dengan model
pembangunan negara yang menggunakan dua pendekatan iaitu pencapaian indeks
pendapatan dan kesejahteraan rakyat (Berita Harian, 2012).
2.2 Transformasi
Pembangunan Dasar Sosial di Malaysia
Pembangunan memang menjadi satu perkara penting
dalam perkembangan Malaysia sebelum dan selepas merdeka. Hanya selepas
kemerdekaan pada tahun 1957, pembangunan di Malaysia menjadi lebih terancang
dan menepati kehendak serta keperluan masyarakat tempatan. Pelbagai dasar,
strategi dan program terancang diperkenalkan dan dibangunkan untuk mengisi
kemerdekaan negara (Hazizan, 2005). Terdapat tiga fasa pembangunan yang telah
dilaksanakan oleh Malaysia bagi mengubah lanskap pembangunan sosial masyarakat
dan negara. Fasa pertama ialah sejak merdeka hingga 1969, fasa kedua dari 1970
hingga 1990 dan fasa ketiga dari 1991 hingga 2020.
2.3 Dasar Sosial Negara Malaysia
Matlamat
DSN ialah mewujudkan sebuah masyarakat Malaysia yang maju dan
mantap dengan setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memperkembangkan
potensi diri secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan
ciri-ciri bersatu padu, berdaya tahan, demokratik, bermoral, bertoleransi,
progresif, penyayang, adil dan saksama selaras dengan matlamat Wawasan 2020.
Penyataan dasar merumuskan bahawa DSN ialah dasar pembangunan sosial yang
berteraskan nilai-nilai murni dan peningkatan keupayaan insan bagi mencapai
kesepaduan dan kestabilan sosial, ketahanan nasional dan kesejahteraan hidup
masyarakat Malaysia yang maju serta mantap.
Objektif
umum DSN ialah menjamin setiap individu dapat menyertai dan memberi sumbangan
kepada pembangunan negara serta menikmati hidup yang sejahtera. Manakala
objektif khusus ialah memastikan keperluan asas individu, keluarga dan
komunikasi dipenuhi, membangun dan memperkasa insan sepanjang hayat,
memperkukuh dan membangunkan sistem sokongan sosial dan perkhidmatan sosial
serta menjana sinergi multisektor. Pembangunan sosial yang diketengahkan dalam
Dasar Sosial Negara ini mengenengahkan 45 strategi melalui pelbagai program,
aktiviti dan projek yang dirancang mengikut Pelan Tindakan DSN yang memberi
perkhidmatan sosial dalam aspek kebajikan masyarakat, kesihatan, pendidikan,
pekerjaan, perumahan, penghayatan nilai dan budaya, keselamatan serta
persekitaran yang sihat.
Strategi
bagi memenuhi objektif pertama ialah 1) mewujudkan pelbagai peluang dan
kemudahan agar setiap individu, keluarga dan komuniti dapat menikmati keperluan
asas kehidupan dan menyertai arus pembangunan negara, 2) memastikan setiap
individu mendapat hak untuk kelangsungan hidup, perlindungan, perkembangan dan
penyertaan serta dapat menikmati keperluan asas sepanjang hidup, tidak
terpinggir dan tersisih daripada arus pembangunan, dan 3) memastikan keperluan
hidup yang holistik menjadi teras kehidupan setiap individu, keluarga dan
komuniti.
Mekanisme penyelarasan pelaksanaan Dasar
Sosial Negara melibatkan dua peringkat iaitu persekutuan serta negeri dan
daerah. Di peringkat persekutuan, terdapat tiga organisasi pelaksana iaitu
Majlis Sosial Negara (MSN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri
dengan keanggotaan terdiri daripada menteri-menteri kabinet Malaysia,
seterusnya Jawatankuasa Pembangunan Sosial Negara (JPSN) dan Jawatankuasa Kerja
Pembangunan Sosial Peringkat Kementerian (JKPSK). Di peringkat negeri dan
daerah, tiga organisasi berganding bahu menjayakan DSN iaitu Majlis Tindakan
Negeri, Jawatankuasa Kerja Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Kerja Tindakan
Daerah.
3.0 METODOLOGI KAJIAN
Responden kajian ini melibatkan sepuluh orang penerima
bantuan mikrokredit Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Melaka. Tinjauan awal yang
dibuat ini melibatkan penyertaan pelajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka
(UTeM) yang menyertai program keusahawanan sosial di universiti tersebut. Dalam
kajian ini, responden yang dikenal pasti telah
dipilih bagi mewakili peserta mikrokredit di bawah AIM.
Pemerhatian
langsung dipilih kerana kaedah ini membantu penyelidik memahami dan mendapat
gambaran ke atas peranan dan aktiviti yang dilaksanakan di kawasan lapangan.
Melalui pemerhatian langsung dan turut serta, pengkaji mendapat peluang dan
pengalaman sebenar berkaitan permasalahan, keperluan dan pencapaian matlamat
dasar sosial ini. Perbincangan kumpulan berfokus bertujuan untuk mendapatkan
maklumat tambahan berhubung peranan dan tanggungjawab responden bagi menjayakan
dasar sosial.
Perbincangan
dan pengumpulan maklumat tambahan adalah bagi mendalami isu-isu sosial,
aktiviti yang dilaksanakan, peranan pengerak, penglibatan komuniti dan
agesi-agensi berkaitan dasar sosial. Perbincangan kumpulan berfokus yang dibuat
secara terbuka adalah perlu bagi mengetahui masalah yang berkaitan dengan
peranan mereka. Di samping isu-isu yang berkait rapat dengan peranan mereka dalam
dasar sosial, terdapat juga isu-isu peribadi yang tidak relevan dengan kajian.
4.0 DAPATAN KAJIAN
Sepuluh responden yang terlibat dalam kajian ini
melakukan pelbagai jenis perniagaan yang berskala kecil, berisiko rendah dan
berorientasi perkhidmatan. Antara perniagaan tersebut ialah kedai makanan dan
minuman, pembekal barangan kulit, pengangkutan dan penyajian. Mereka memulakan
perniagaan bagi tempoh satu hingga 15 tahun. Sebahagian besar responden (lapan
orang) berkahwin manakala dua lagi adalah ibu tunggal. Umur responden adalah di
antara 43 tahun hingga 56 tahun. Jadual 3
menunjukkan maklumat responden dan jenis perniagaan yang dijalankan.
4.1 Perubahan
Sosioekonomi
Responden mula menunjukkan perubahan minda yang
positif apabila sering kali mendapat bimbingan dan pendedahan untuk mengubah
keadaan hidup. Melalui tinjauan yang dijalankan, responden atau peserta AIM
bertanggungjawab menghadiri perjumpaan pusat kawasan yang dikenali sebagai
Kumpulan Sinar Gemilang dan Pusat Saidatina Aisyah serta membuat bayaran secara mingguan. Keupayaan
berniaga dapat dikongsi bersama ketika setiap responden berkumpul di pusat
kawasan masing-masing.
Antara
program yang telah mengubah minda responden ialah perkongsian maklumat dan
pengalaman melalui mesyuarat mingguan, taklimat yang teratur dan hubungan
berterusan responden dengan pihak AIM. Perhatian yang diberikan kepada
responden telah membimbing mereka untuk bertindak dengan cermat dalam membuat
keputusan.
Perubahan
sikap yang ketara ialah terdapat responden bangun seawal pukul empat pagi untuk
memulakan perniagaan, memberi perhatian ke atas perkhidmatan pelanggan dan
memastikan kualiti produk serta merancang menambahkan bilangan pekerja.
Terdapat juga responden juga mula mempelajari aspek pemasaran dalam talian
(online marketing) sebagai sebahagian daripada strategi memasarkan produk.
Walaupun sebahagian besar responden masih menjalankan perniagaan secara
tradisional, keinginan mereka untuk mengetahui kaedah pemasaran dalam talian
ini amat menggalakkan.
4.2 Perubahan Minda dan Sikap
Responden
mula menunjukkan perubahan minda yang positif apabila sering kali mendapat bimbingan
dan pendedahan untuk mengubah keadaan hidup. Melalui penerangan yang
dijalankan, responden bertanggungjawab menghadiri perjumpaan pusat kawasan yang
dikenali sebagai Kumpulan Sinar Gemilang dan Pusat Saidatina Aisyah
serta membuat bayaran secara mngguan. Keupayaan berniaga dapat dikongsi
bersama ketika setiap responden berkumpul di pusat kawasan masing-masing.
Antara program yang telah mengubah
minda responden ialah perkongsian maklumat dan pengalaman melalui mesyuarat
mingguan, taklimat yang teratur dan hubungan berterusan responden dengan pihak
Amanah Ikhtiar Malaysia. Perhatian yang diberikan kepada responden telah
membimbing mereka untuk bertindak dengan cermat selepas membuat keputusan.
Perubahan sikap yang ketara ialah
responden bangun seawal pukul empat pagi untuk memulakan perniagaan, memberi
perhatian ke atas perkhidmatan pelanggan dan kualiti produk serta merancang
menambahkan bilangan pekerja. Responden juga mula mempelajari aspek pemasaran
dalam talian (online marketing) sebagai sebahagian daripada strategi memasarkan
produk. Walaupun sebahagian besar responden masih menjalankan perniagaan secara
tradisional, keinginan mereka untuk mengetahui kaedah pemasaran dalam talian
ini amat menggalakkan.
4.3 Pembasmian Kemiskinan
Latar belakang responden yang susah di samping ramai
tanggungan meletakkan mereka dalam keadaan yang sukar. Rata-ratanya masih
berpendapatan rendah dan perlukan pekerjaan tambahan. Selepas menjadi peniaga,
usaha dan kudrat responden semakin bertambah gigih, cermat dan bersemangat
tinggi untuk berjaya. Pendapatan yang diperolehi telah mampu membiayai
kehidupan keluarga masing-masing di samping meluaskan skop perniagaan.
Responden
yang terlibat dalam perniagaan makanan dan minuman tidak hanya tertumpu pada
satu jenis makanan sebaliknya dipelbagaikan. Antaranya ialah nasi lemak, bihun
goreng, kuih apam, kerepek, bauhulu, produk susu dan ketupat nasi. Bagi
responden yang telah lama berkecimpung dalam perniagaan perternakan,
perkembangan perniagaan diarahkan kepada perkhidmatan inap desa (homestay),
sewa basikal dan penternakan ikan kolam. Dalam aktiviti berasaskan jahitan dan
hiasan dalaman, responden menerima tempahan untuk sulaman, jahitan langsir,
hiasan dalaman, jahitan sarung bantal dan cadar, jahitan reben atas sarung
kusyen, jahitan baju melayu dan jahitan manik. Responden turut memperkenalkan
kelas jahitan bagi menambah pendapatan.
5.0 PERBINCANGAN DAN KESIMPULAN
Hasil kajian menunjukkan implementasi dasar sosial di
Malaysia adalah menggerakkan masyarakat untuk berusaha dan berdikari bagi
mengubah hidup. Pendekatan keusahawanan sebagai strategi sosial berjaya mengubah
tahap pendapatan, keadaan sosioekonomi dan menganjak paradigma peserta untuk
keluar daripada kitaran kemiskinan (vicious
cycle). Hall dan Midgley (2004) menyifatkan mikrokredit sebagai sebahagian daripada
kaedah menggurangkan kemiskinan selain daripada projek perantisan, klinik desa,
program makanan untuk pekerjaan, bantuan pertanian, koperasi dan sebagainya.
Dasar
sosial yang diguna pakai oleh Malaysia menggabungkan dasar ekonomi untuk
merangsang pertumbuhan dan menyediakan lebih banyak pekerjaan. Dalam strategi
ini, pembangunan sosial tidak sahaja berfungsi sebagai elemen pertumbuhan dan
perkhidmatan malah memberikan strategi pembangunan “egalitarian” yang menambah
pendapatan dan kualiti hidup masyarakat keseluruhannya. Peranan kerajaan yang terlibat secara menyeluruh dalam
menjayakan dasar sosial melalui agensi seperti AIM ini telah terbukti membantu
kumpulan sasar keluar daripada kepompong kemiskinan dan meningkatkan kualiti
hidup mereka. Bantuan kewangan dan bantuan modal insan telah menggerakkan
pemikiran dan mengubah tingkah laku kumpulan sasar untuk memberi tumpuan kepada
aspek kualiti hidup yang lebih baik.
Artikel ini telah dibentangkan di Seminar Penyelidikan Mengenai Melayu, Universiti Brunei Darussalam, Brunei pada 29-31 Mac 2013.