Bazar Ramadhan tahun ini nampaknya meriah seperti tahun-tahun lepas. Lebih banyak pengunjung bazar yang muncul antara pukul 5 hingga 6.30 petang sehingga laluan di hadapan gerai jualan menjadi padat, pergerakan perlahan dan kadangkala bersentuh bahu sesama sendiri.
Kewujudan zon bazar Ramadhan di seluruh negeri umpama pesta makanan tahunan. Mungkin kerajaan negeri boleh memasukkan bazar Ramadhan sebagai satu produk pelancongan dan dipromosi di seluruh negara. Kawasan strategik yang dipilih sebagai bazar memberikan lebih banyak keuntungan kepada ekonomi negeri kerana dapat menarik lebih ramai pengunjung. Namun lokasi bukanlah satu-satunya faktor yang memberi untung sebaliknya ada lagi faktor lain.
Antaranya ialah kebersihan makanan dan kepelbagaian juadah yang disediakan.
Pengunjung hari ini adalah pengguna yang bijak dan celik kebersihan. Mereka boleh memilih jenis makanan yang diingini bersama dengan penilaian kebersihan yang meliputi penyediaan, premis penyedia dan juga penampilan penjual makanan sendiri. Pakej ini menjadikan persepsi pengunjung menjadi lebih fokus dan dapat memberikan penilaian yang tepat terhadap makanan yang dibeli.
Oleh kerana itu, ada pengguna yang kurang peka telah terbeli makanan yang rosak atau kurang bersih akan berkongsi pengalaman mereka di media sosial bagi menarik perhatian orang ramai. Bazar yang terkesan ini akan segera dikritik dan mengundang kehadiran pihak berkuasa untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan. Jika terbukti benar, tindakan denda dan sita ke atas premis berkenaan sudah tentu akan memberi amaran kepada penjual lain untuk memastikan makanan mereka bersih dan selamat untuk dibeli.
Tahun lepas, 14 premis yang menjual pelbagai pilihan makanan telah diarah tutup oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia kerana gagal mematuhi peraturan dan keselamatan makanan. Undang-undang yang ada dalam Akta Makanan 1983 menjadi panduan kepada penyediaan makanan yang selamat supaya orang ramai kekal yakin dengan makanan yang mereka beli dan akan makan ketika berbelanja di bazar Ramadhan.
Statistik kejadian keracunan makanan dari 2011 hingga 2015 adalah sebanyak 279 kes yang berlaku di seluruh negara. Kes yang paling banyak berlaku adalah di Bazar Ramadhan Kolej Matrikulasi Johor, Ledang pada tahun 2015 yang melibatkan 64 kes dan puncanya adalah nasi tomato. Pengendali makanan ini telah menyediakan nasi tomato empat jam lebih awal dan proses pengendalian yang tidak bersih.
Punca-punca keracunan makanan ialah tiada bekalan air selamat, menggunakan bekalan air dari tandas awam, tidak peduli dengan kebersihan persekitaran, pengendali makanan yang tidak menjalani pemeriksaan kesihatan, tiada suntikan pelalian tifoid dan pengetahuan bertahap rendah terhadap kaedah pengendalian makanan bersih.
Sebenarnya, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Bazar Ramadhan sejak 2013 dan ditambah baik pada edisi kedua tahun 2016 bagi diguna pakai oleh Pihak Berkuasa Tempatan seluruh negara.
Garis panduan ini sangat baik kerana menerangkan secara menyeluruh pengurusan bazar dari sebelum dan selepas bulan Ramadhan, penilaian risiko dan peranan agensi dan pihak berkuasa seperti majlis daerah, hospital dan klinik.
Memilih bazar Ramadhan untuk membeli makanan adalah pilihan masing-masing. Apabila ada tarikan di mana-mana gerai jualan, pengguna akan sebarkan kepada rakan-rakan dan kenalan untuk bersama-sama merasai keenakan makanan biarpun hanya minuman air balang.
Apatah lagi kalau makanan itu menyelerakan seperti kambing perap, ayam tempayan atau sotong bakar ‘special’.
Di sebalik harga barang yang meningkat naik, orang ramai masih lagi berbelanja dengan kadar yang sesuai di samping membeli bahan mentah untuk di masak. Keadaan ini menunjukkan perubahan tabiat berbelanja orang ramai yang sedar bahawa mereka perlu berjimat cermat untuk perbelanjaan ketika menyambut hari raya.
Harga barangan masih dapat dikawal selagi minyak dan bahan bakar berada pada harga semasa. Kawalan harga ini memberi banyak kelegaan kepada orang ramai supaya mereka dapat berbelanja pada kadar kemampuan masing-masing.