Tuesday, May 31, 2022

Hadapi cabaran walaupun susah



Kita sambung sedikit tentang bosan. Berbagai-bagai jenis bosan yang boleh berlaku kepada kita seperti bosan belajar, bosan bekerja, bosan berniaga dan bosan duduk di rumah. 

Namun saya suka membincangkan bosan belajar kerana pada sesetengah orang, bosan belajar memang jauh bezanya dengan bosan-bosan yang lain. Proses belajar perlu mengikut banyak aturan dan disiplin seperti aturan kelas, jam belajar, ujian, peperiksaan, tutorial dan kelas tambahan. 

Sebagai pelajar, kita perlu keluar dari rumah pada awal pagi dan pulang dari sekolah pada sebelah petang. Rutin harian ini tentulah menimbulkan rasa bosan. 

Cabaran belajar memang banyak namun jika hendak berjaya kita perlu menghadapi cabaran ini. Hanya mereka yang mahu mengatasi cabaran ini yang akan berjaya. 

Mereka yang tidak mahu menerima cabaran tentulah akan ketinggalan dan masa hadapan juga tidak menentu.




Monday, May 30, 2022

Atasi bosan, susun aktiviti


Bosan merupakan sebagian daripada kehidupan kita. Namun, jika dibiarkan, ia akan menjadi masalah yang serius. 

Bosan atau jemu boleh dikategorikan sebagai sebahagian daripada tekanan. Maksudnya, bosan memberi kesan sama ada positif atau negatif untuk kita selesaikannya. 

Dari segi positif, kita akan menyusun semula aktiviti harian untuk memastikan setiap ruang masa diisi dengan program atau aktiviti yang memberi faedah kepada diri dan keluarga seperti riadah bersama, membaca buku atau bersiar-siar dengan kawan-kawan. 

Jika kita dapat mengisi masa seperti ini setiap hari, ia akan mengubah seluruh kehidupan kita. Dari sudut negatif, orang yang berasa bosan ini biasanya suka dengan hiburan. 

Jadi, mereka mengisi masa dengan aktiviti yang kurang cergas seperti menonton televisyen dan sebagainya. Pada saya, lebih baik menggunakan pendekatan yang positif.


Sunday, May 29, 2022

Bertangguh-tangguh, akhirnya luluh


Kemerosotan prestasi kerja, prestasi belajar dan apa sahaja prestasi yang ada kait-mengait dengan sikap suka bertangguh-tangguh. 

Dalam masyarakat kita, terdapat beberapa perkataan yang menunjukkan sikap bertangguh ini seperti, ‘nantilah…’, ‘esoklah…’ dan ‘malaslah…’ dan banyak lagi. 

Sikap bertangguh-tangguh ini umpama barah yang sentiasa menular dalam gerak hati kita. Jika kita tidak berusaha mengatasinya, ia akan membuatkan kita tidak bersemangat untuk menyempurnakan banyak kerja yang penting. 

Langkah pertama sangat penting untuk memusnahkan sikap bertangguh dalam diri kita. 

Konsep ‘asal gerak’ sangat baik untuk dipraktikkan jika sikap bertangguh ini ada di dalam fikiran kita. Jika susah, cubalah memaksa diri untuk bergerak dengan pantas.

Saturday, May 28, 2022

Urus masa untuk berjaya



Pengurusan masa adalah satu elemen yang sangat penting dalam hidup setiap orang. Kegagalan menguruskan masa akan menimbulkan rasa kecewa dalam diri sendiri dan memberi kesan kepada orang lain. 

Orang lain memberi persepsi yang sangat negatif kepada kita dan mungkin tidak lagi mahu berurusan dengan kita. Pengurusan masa yang baik memberi banyak faedah kepada hidup. 

Antaranya menjadikan hidup lebih teratur, menyemai sifat tanggungjawab dan amanah. Setiap aktiviti menjadi lebih terurus dan difokuskan kepada perkara-perkara yang mustahak, merehatkan diri dan mengelakkan sifat malas. 

Satu nilai yang sangat penting dalam pengurusan masa adalah disiplin diri. 

Jika kita seorang yang sukar mendisiplinkan diri, tentulah susah sedikit untuk menguruskan masa namun janganlah ia menjadi alasan untuk membazirkan masa.

Friday, May 27, 2022

Ujian hidup


Hidup kita sentiasa diuji. Pada masa tertentu, kita mendapat nikmat kesenangan, kebahagiaan dan pada masa lain, kita berhadapan dengan kesusahan dan kekecewaan yang silih berganti. 

Mungkin juga pada waktu ini kita diberi rahmat dengan kesihatan yang sangat baik, boleh melakukan kerja dengan lebih sempurna dan memberi hasil yang baik. 

Sebaliknya pada masa lain, kita ditakdirkan sakit dan terlantar di atas katil dan perlu berehat untuk jangka masa yang lebih lama. 

Mungkin juga pada masa lain pula kita mendapat rezeki yang mencurah-curah sedangkan pada masa lain kita berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan rezeki. 

Ujian-ujian beginilah yang kita akan lalui sesuai dengan keadaan hidup kita. Hanya mereka yang cekal, tabah dan kuat semangat yang akan berjaya mengharungi ujian hidup dan meraih kecemerlangan.

Thursday, May 26, 2022

Buat yang lebih baik


Saya memetik hadis sebuah hadis yang bermaksud; ‘Di antara (tanda-tanda) kebaikan keislaman, seseorang adalah dia meninggalkan perkara yang tidak berguna baginya’ (At-Tirmizi). 

Hassan Al Banna pula menambah: ‘Kita dalam semua hal memperlihatkan peribadi baik setiap masa’. 

Kita ambil contoh pekerjaan. Apabila kita bekerja, kita perlu bekerja bersungguh-sungguh dan ingin berusaha. 

Contoh lain adalah ketika belajar, kita perlu belajar bersungguh dengan memberikan masa, fikiran dan tenaga untuk memenuhi semua keperluan akademik sehingga berjaya menamatkan pengajian. 

Berkaitan dengan maksud dan semangat hadis ini, semua yang memberi kebaikan kepada diri sendiri dan masyarakat, kita wajar melakukannya bersungguh-sungguh. 

Galakan ini mengingatkan kita untuk meningkatkan nilai-nilai keinginan dan semangat untuk melahirkan kerja yang lebih baik.

Wednesday, May 25, 2022

Tidak bekerja tiada pendapatan


Seorang penganggur tidak dapat menceritakan bagaimana nikmatnya bekerja, gembira menerima gaji pertama pada hujung bulan dan menyelesaikan tugas dengan sempurna serta mendapat pujian bos. 

Dia juga tidak dapat merasai betapa seronoknya bekerja kerana telah memilih untuk relaks dan melepak. Tidak bekerja bukanlah pilihan yang bijak kerana sepuluh tahun yang akan datang, serba-serbi perlukan wang. 

Langkah keluar dari rumah kerana teringin sekali membeli barang atau merasa makanan yang lazat tentulah perlu memiliki wang. 

Jika hidup tanpa kerja, di mana lagi hendak berdikari, berfikir dan mencari peluang kerjaya? 

Hanya orang yang sanggup bersusah payah, tabah dan cekal akan dapat meneruskan kehidupan.


Tuesday, May 24, 2022

Nilai-nilai yang kita ada


Semasa Albert Einstein berusaha mencari formula-formula baru, beliau sering kali gagal tetapi tidak pula memberi alasan untuk berhenti daripada mencuba. 

Terdapat dua nilai yang wujud dalam dirinya. 

Pertama, kerja kuat, 

Kedua, pantang menyerah kalah. 

Selepas itu beliau berjaya mencipta formula bom atom. 

Sekarang cuba kita tanya kepada diri kita sendiri. Kenapa saya tidak boleh berjaya seperti orang lain? 

Untuk berkongsi jawapan dengan orang ramai, tidak perlulah kita menghabiskan lebih banyak wang untuk mendapat jawapan kerana cukup dengan pertanyaan- apakah nilai-nilai kecemerlangan yang kita ada? 

Kejayaan atau kecemerlangan bermula dengan nilai-nilai positif yang diasuh, dididik dan dibentuk hingga menjadi budaya cemerlang.


Monday, May 23, 2022

Kegagalan sebagai pendorong kejayaan


Kita tidak perlu terlalu risau jika gagal selepas sepuluh kali percubaan kerana tokoh-tokoh inovasi telah gagal beratus-ratus kali. 

Mereka ini berulang kali berhadapan dengan kekecewaan kerana produk ciptaan yang tidak berfungsi, pecah atau nampak hodoh.Oleh kerana mereka mampu mengarahkan kegagalan kepada tindakan positif yang memberi dorongan, akhirnya mereka selesaikan juga. 

Seorang bijak pandai. John D. Rockefeller berkata; ‘Kejayaan adalah natijah kegagalan yang telah diatasi. Tanpa kegagalan maka tidak mungkin dapat merasai nikmat kejayaan'.

Orang yang tidak mahu berhadapan dengan kegagalan, hidup dalam dunianya sendiri. Kalau tokoh-tokoh yang menjadi hebat boleh gagal, apatah lagi kita yang dalam kategori orang biasa? 

Kita perlu tabah dalam usaha.

Sunday, May 22, 2022

Semangat belajar



Beberapa tahun lalu saya mengajar seorang remaja lelaki untuk membaca. Umurnya mencecah 16 tahun dan sangat berminat dengan kerjaya polis. Saya mengajarnya membaca bermula dari kenal huruf hingga dapat membaca karangan yang panjang. 

Selepas itu saya tidak lagi mendengar cerita anak muda ini namun gambar saya mengajarnya membaca masih ada dalam simpanan saya.

Anak muda ini ingin belajar tetapi nasibnya kurang baik dalam pendidikan. Hari ini, tanpa pendidikan, agak sukar mendapat pekerjaan yang baik. 

Salah satu jalan keluar ialah belajar membuat bisnes dan dedahkan diri pada ilmu keusahawanan kerana ramai orang yang tidak begitu cemerlang dalam pendidikan tetapi boleh menjadi usahawan yang boleh pula memberi gaji kepada ramai orang yang berpendidikan.



Saturday, May 21, 2022

Jiwa besar vs jiwa kerdil


Orang yang berjiwa besar sangat jauh bezanya dengan orang yang berjiwa kerdil. Orang yang berjiwa besar memandang jauh ke hadapan, menyediakan matlamat dan melihat kegagalan sebagai peluang membaiki diri. 

Jika berjaya, mereka akan raikannya dengan bersyukur. Berbeza dengan orang yang berjiwa kerdil. Orang begini selalu memberi alasan apabila berhadapan dengan kegagalan. Namun jika berjaya, mereka akan berasa bangga dengan kejayaan tersebut. 

Cuba ingat, siapakah orang yang kita paling ingat apabila ditanya tentang kejayaan? Adakah Bill Gates atau Elon Musk? 

Orang-orang yang terkenal ini meniti kerjaya mereka bertahun-tahun. Banyak tahap rintangan tetapi mereka tidak pula mengeluh untuk berhenti separuh jalan. 

Jiwa mereka besar, penuh dengan impian dan berusaha memenuhi impian tersebut, justeru kerana tidak mengeluh, akhirnya mereka berjaya.


Friday, May 20, 2022

Gigih dan kemahuan yang tinggi



Apabila kita membaca kisah hidup orang-orang yang telah berjaya dalam bidang mereka, kadangkala kita rasa betapa senangnya mereka mendapat dan mencapai kejayaan. 

Terdetik dalam fikiran kita betapa mudahnya mereka melalui jalan-jalan kejayaan. Namun apa yang mereka lalui pada hakikatnya sangat jauh berbeza dengan apa yang kita fikirkan. 

Sudah pasti pada setiap kejayaan sentiasa ada kegagalan dan cabaran. 

Cuba kita lihat orang-orang yang telah menikmati hasil usaha mereka. Kegigihan dan kemahuan yang tinggi telah bertapak sedikti demi sedikit dan tidak mudah berputus asa kerana putus asa tidak memberi sebarang hasil. 

Hakikat di sebalik tidak mudah berputus asa adalah mengubah kegagalan kepada kejayaan. 

Kunci utama ialah mencari sebab-sebab kegagalan dan menggantikannya dengan cara lain.

Thursday, May 19, 2022

Urus dengan cara sendiri


Dalam satu kisah era zaman dahulu, seorang ketua negara mempunyai had masa lima tahun untuk memimpin negara. Apabila sampai tempoh lima tahun, pentadbir perlembagaan datang dan meminta ketua tadi melepaskan jawatan dan diarahkan tinggal di padang pasir. 

Kemudian dibuat pengumuman siapa yang ingin menjadi ketua negara boleh menawarkan diri. 

Seorang anak muda mengambil risiko cuba menawarkan diri dan akhirnya beliau dipilih menjadi ketua negara. 

Selama lima tahun beliau diberi peluang untuk menjadi raja. Pemuda ini sangat pintar. Beliau memanfaatkan masa dengan mengurus negara dengan caranya iaitu membawa kegembiraan dan kekayaan kepada semua orang. 

Selepas mencecah lima tahun sebagai ketua negara, beliau diminta meninggalkan takhta dan dibuang negara. 

Sebaik sahaja pintu kota dibuka, di luar bukan lagi kawasan gurun tetapi sebuah kawasan hijau yang menjadi tempat yang selesa untuk didiami. 

Moral cerita ini adalah kita mesti bersedia dengan masa hadapan supaya kita berani menghadapinya.


Wednesday, May 18, 2022

Biasa dengan kemenangan


Sebahagian besar daripada kita mengenali peninju terkenal, Mike Tyson. Biasanya, dalam pusingan pertama perlawanan, lawannya akan jatuh tergolek kerana tumpukan Mike Tyson yang sangat keras. 

Oleh kerana terlalu biasa dengan pengalaman menjadi juara, beliau mula rasa megah. 

Selepas dikalahkan oleh James Buster Douglas, baharulah beliau tahu kemenangan ada tempohnya. Kisah ini sangat mudah untuk kita analisis dan ambil iktibar. 

Pada saya, kegagalan berpunca daripada diri kita sendiri. Menyimpang sedikit daripada rutin kejayaan, hasil akhirnya adalah kegagalan. 

Atlet olahraga yang tidak menjaga pemakanan harian atau makan lebih banyak, kesannya adalah peningkatan berat badan. 

Lalu bagaimana hendak memecut laju atau melompat lebih tinggi?


Tuesday, May 17, 2022

Perbezaan nilai hidup


Pada saya, kejayaan dan kegagalan boleh berlaku bila-bila masa, kadang-kadang bersifat subjektif. 

Seorang remaja yang rajin dalam pelajaran, berusaha gigih untuk belajar dan diterima masuk ke universiti, amat bertuah kerana berjaya dalam pendidikan. Ramai orang suka dengannya.

Seorang remaja lagi berbeza. Belajarnya tidak tinggi. Siang dan malam berusaha sendiri. Siangnya berniaga, buat bisnes, malamnya berfikir bagaimana hendak memajukan bisnesnya pada hari esok. 

Remaja pertama, selepas belajar, besar kemungkinan akan kerja makan gaji kerana dia memilih untuk begitu sejak awal, begitu juga remaja kedua yang akan berjaya sesuai dengan pilihannya. Kedua-duanya ada nilai masing-masing. 

Cuma Rasulullah saw lebih galakkan kita menjadi usahawan.


Monday, May 16, 2022

Pujian yang meruntuhkan



Apabila kita mulai terpengaruh dengan kata-kata dan pujian orang lain, itu adalah petanda jiwa dan fikiran kita agak lemah. Pujian datang kepada kita apabila ada kejayaan, tunjukkan hasil dan ada perubahan yang lebih baik. 

Contoh mudah barometer mudah terpengaruh dengan pujian adalah pasukan bola sepak. Jika pasukan menang, ramailah yang memuji, namun jika kalah kerana selalu dipuji, maknanya jiwa dan fikiran pemain sangat mudah dipengaruhi. 

Pemuji dan pengkritik hanya membeli ucapan atau kata-kata tetapi kata-kata itu mempunyai tenaga yang kuat untuk mendorong ktia bertindak. 

Orang yang kuat jiwanya tidak mudah terkesan dengan kata-kata kerana dia tahu apakah matlamat hidup atau kerjanya.

Sunday, May 15, 2022

Lebih dan kurang


Lebih dan kurang boleh menjadi madu atau racun dalam hidup. Banyak contoh yang kita boleh lihat dan dijadikan teladan. Saya jadikan tubuh badan kita sebagai tamsilan. 

Badan kita perlukan makanan pada kadar yang sesuai, namun jika diambil secara berlebihan ia akan menunjukkan simptom tertentu. 

Contohnya, kerap mengambil minuman manis akan menyebabkan kandungan gula dalam darah akan meningkat. Akhirnya akan mendapat penyakit kencing manis. Jika kurang mengambil sayur-sayuran atau buah-buahan akan menyebabkan sembelit. 

Jadi, itulah lebih dan kurang ada baik dan buruknya. 

Sebaiknya kita cuba ambil tahu apa yang sesuai dengan kesihatan kita. Maklumat kesihatan diri sangat banyak yang boleh diperolehi melalui pembacaan atau perbincangan.


Saturday, May 14, 2022

Rancang dan bertindak


Kehebatan orang kita ialah berupaya memberi idea serta menyusun dan merancang matlamat namun apabila diminta melaksanakan idea tersebut, ia tidak menjadi kenyataan. 

Di sinilah kelemahan utama kita. 

Lemah bukan kerana tidak boleh buat kerja tetapi tidak bersedia dengan cabaran yang besar.

Oleh kerana sukar, sedikit sekali terdapat orang yang mampu bekerja dan berusaha secara berterusan dan istiqamah. Rasulullah saw amat gemar sesuatu pekerjaan yang dilakukan secara berterusan ini. 

Usaha yang berterusan ini memerlukan kesabaran dan kecekalan yang tinggi. 

Imam Jaafar bin Muhammad Al-Shadiq berkata, ‘Apabila aku telah terbiasa dengan sesuatu kerja, maka aku suka melakukannya terus-menerus. Jika tidak dapat buat pada waktu malam, aku melakukannya pada waktu siang’. 

Kesimpulannya, tumpukan pada suatu kerja dan lakuknnya secara terus-menerus.


Friday, May 13, 2022

Bekerja kerana apa?


Soalan penting: Apakah kita bekerja kerana tujuan tertentu? Atau bekerja tanpa sebarang tujuan? Ramai antara kita yang membebani diri dengan banyak tujuan kerja yang hebat dalam hidup tetapi di akhirnya gagal. 

Sebab gagal? 

Tidak bekerja dan tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. 

Ada yang berusaha bersungguh-sungguh dan jarang malas tetapi ada pula masalah lain iaitu disibukkan dengan hal-hal yang tidak penting hingga terlupa. 

Lebih parah daripada itu, kesibukan tadi menjadi penyebab untuk mengabaikan tugas atau misi yang lebih penting. Mengejar cita-cita dan impian memang tidak akan tercapai selagi tidak mahu berusaha. 

Untuk mencapai tujuan dengan cepat, bekerja dan berusahalah berdasarkan tujuan, elakkan hal remeh-temeh dan yang tidak penting.


Thursday, May 12, 2022

Hidup lebih bahagia tanpa gelisah


Bingung, gelisah atau bimbang boleh menyebabkan tingkah laku menyimpang. Sekiranya tidak dikawal ia boleh menjurus kepada perlakuan jenayah. 

Jika keadaan ini berlaku, personaliti orang yang terlibat menjadi lebih parah. Kita boleh meneliti kes-kes jenayah yang berlaku dalam masyarakat di media seperti kecurian, pecah rumah atau rompakan kecil dilakukan oleh penagih dadah yang sering keluar dan masuk penjara. 

Kesan pengambilan dadah menyebabkan perubahan tingkah laku ke arah merosakkan diri dan menimbulkan kebimbangan kepada masyarakat. 

Gelisah yang disebabkan oleh dadah memaksa orang yang terlibat untuk menjadi agresif dan bertindak ganas. 

Dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya, gelisah menjadikan hidup tidak tentu arah, tidak terurus dan memudaratkan diri. 

Hindarkan gelisah, bingung atau bimbang supaya kita dapat hidup dengan bahagia dan gembira.


Wednesday, May 11, 2022

Bingung hingga sakit mental


Hari ini saya ingin menyambung kembali tentang kebingungan yang menyebabkan sakit mental atau menjadi lebih parah lagi iaitu gila. 

Keadaan ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja sama ada guru, tentera, polis, kerani atau pengawal keselamatan. Dapatan ke atas kajian di Amerika Syarikat mendapati seorang daripada 20 orang rakyat negara itu akan menghabiskan umurnya dengan penyakit mental. 

Rakyat negara itu sangat ramai dengan berbagai-bagai ragam dan isu yang sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. 

Dapatan lain berkaitan sakit mental adalah guru sekolah yang menyerang guru besar, pelajar sekolah yang mengamuk serta menembak guru menunjukkan masyarakat perlu dirawat. 

Isu dan konflik yang berlaku dalam masyarakat menjadikan suasana lebih gelisah dan perlukan perhatian.


Tuesday, May 10, 2022

Merawat kebingungan


Masalah yang paling serius dalam diri setiap orang daripada kita ialah bingung atau gelisah. Punca menjadi bingung ini boleh bermula di tempat kerja, akibat tekanan mental, berhutang dan sebagainya. 

Banyak masalah lain yang muncul selepas kita bingung. Antaranya sakit, gila dan perubahan tingkah laku. 

Mendapat sakit kerana gelisah ini pernah dinyatakan oleh Dr Alexis Carel iaitu, 'Orang-orang yang sibuk bekerja tetapi tidak berusaha mengatasi dan merawat kegelisahan yang ada dalam dirinya adalah orang yang cepat menemui ajalnya’. 

Membiarkan gelisah dan bingung bersarang dalam diri kita menyebabkan fikiran tidak dapat memberi respon kepada hal-hal lain yang sepatutnya diberi tumpuan. jadi, jika ada masalah, cepat-cepat selesaikan walaupun masalah itu dilihat kecil atau remeh.

Monday, May 09, 2022

Kekayaan Vs kemalasan


Orang yang produktif adalah orang yang maju, orang yang malas adalah orang yang dungu dan kaku. Hakikatnya ialah semua orang memiliki sifat malas, yang membezakannya adalah sedikit malas atau malas yang berpanjangan. 

Malas adalah tabiat kebiasaan yang bermaksud tidak mahu bergerak, tidak mahu melakukan kerja, tidak beraktiviti atau tidak ingin berasa letih. 

Orang yang malas tidak memberi faedah kepada diri dan orang di sekitarnya malah mungkin memberi masalah pula. 

Kita tidak pernah mendengar orang yang malas menjadi kaya-raya. Sebaliknya yang kita selalu dengar ialah orang miskin menjadi kaya selepas mereka bekerja dan mengumpul harta. 

Mereka bekerja siang dan malam, sentiasa menyimpan pendapatan dan mengehadkan perbelanjaan untuk keluar daripada kepompong kemiskinan. 

Kelebihan orang yang bekerja adalah dapat merasai hasil bersusah-payah manakala orang yang malas hanya merasai penyesalan.

Sunday, May 08, 2022

Yakin diri dan percaya


Kepercayaan kepada diri sendiri menjadi kunci kepada sesiapa sahaja yang hendak berjaya. 

Cuba kita cari buku-buku yang menceritakan kejayaan dalam pelbagai bidang seperti menerima hadiah Nobel atau anugerah Merdeka, kita akan dapati mereka sangat yakin dan percaya kepada diri sendiri. 

Dalam dunia hari ini, kita dapat meneroka alam, mendarat di bulan dan meredah lautan disebabkan kepercayaan bahawa manusia boleh melakukan apa yang mereka mahu. 

Masalah besar yang dihadapi oleh sebahagian anak-anak muda adalah kurang kepercayaan diri kecuali setelah melalui waktu yang agak panjang sebelum akhirnya mereka sedar yang mereka telah pun dewasa. 

Ketika ini, cara berfikir masih sama seperti keanak-anakan, justeru agak lambat untuk membuat kemajuan.


Saturday, May 07, 2022

Selesaikan pada hari ini juga


Dalam ketiga-tiga hari ini iaitu kelmarin, hari ini dan esok, di manakah kejayaan hidup kita? 

Pada saya, kejayaan atau kecemerlangan hidup hanya ada pada hari ini, dengan cara berfikir pada hari ini dan menyelesaikan kerja pada hari ini juga. 

Sebagaimana kegagalan hidup berpunca daripada dua perkara iaitu memikirkan masa lepas atau masa akan datang dan menangguhkan kerja ke masa hadapan. 

Keadaan ini kita dapat dilihat pada orang yang berjaya dan orang yang gagal. 

Orang yang berjaya dapat menyelesaikan kerja pada hari ini juga sebaliknya orang yang gagal biasanya menunggu masa yang sesuai untuk mula bertindak. 

Mereka ingin hidup untuk masa yang akan datang dengan membiarkan peluang-peluang keemasan yang ada ada hari ini.

Friday, May 06, 2022

Konsep tiga hari


Konsep masa kepada hari hanya ada tiga iaitu kelmarin, hari ini dan esok. Kelmarin adalah masa yang telah lepas, telah berlalu pergi dan tidak akan kembali lagi. 

Kita tidak boleh lagi pergi ke zaman dahulu seperti ketika ke sekolah rendah atau menengah. Semuanya telah berlalu dan kita namakan ia sebagai kenangan. 

Hari ini adalah sekarang, masa yang kita sedang lalui atau sedang nikmati. 

Hari esok adalah harapan kerana kita belum tentu akan dapat melihat cahaya matahari memancar. Maknanya, kita tidak tahu apakah yang akan berlaku pada hari esok. 

Antara ketiga-tiga hari ini, kita mesti fokuskan pada hari ini atau masa sekarang kerana itulah satu-satunya peluang untuk bertindak yang Allah swt bagi kepada kita. 

Hari kelmarin telah pergi manakala hari esok belum tentu kita akan berjumpa.


Thursday, May 05, 2022

Tip maafkan diri sendiri


Walaupun setiap orang ada membuat salah, tidak semuanya yang dapat menerima dan mengakui kesalahan masing-masing. 

Alangkah baiknya kita belajar untuk memaafkan diri sendiri. Bagi orang yang susah hendak memaafkan diri sendiri, ada empat tip untuk mula memaafkan diri. 

Pertama, kembali membuka hati. Fikirkan kemungkinan-kemungkinan yang lebih positif dan masuk akal untuk melakukan sesuatu tindakan yang lebih baik. 

Kedua, cuba kembali menyayangi diri sendiri. Ingatkan kelebihan dan kekurangan diri kerana nilai-nilai ini boleh mendorong diri untuk lebih menghargai diri. 

Ketiga, hentikan rasa bersalah dengan menyalurkan emosi kesalahan itu kepada hal-hal lain yang lebih produktif seperti banyak membantu orang susah. 

Keempat, selalu amalkan budaya memaafkan kesalahan. Insya Allah kita juga akan memaafkan diri sendiri.

Wednesday, May 04, 2022

Sukar memaafkan diri sendiri


Dalam filem ‘Eat, Pray and Love’, lakonan Julia Robert, ketika dalam perjalanan ke India, beliau berjumpa seorang lelaki bernama Richard dari Texas. 

Lelaki itu menceritakan tentang keluarganya yang sudah musnah kerana kesalahannya sendiri. 

Lama juga Richard merasa kesal dan kecewa serta sangat susah memaafkan dirinya. Biasanya kita lebih mudah memaafkan orang lain berbanding diri sendiri. 

Dikatakan orang yang sangat susah memaafkan dirinya ibarat orang yang sering membawa bakul berat di atas bahunya. 

Ke mana sahaja dia pergi akan dibawa sekali. Mungkin dengan cara ini dia berfikir bahawa itulah cara yang terbaik untuk menghukum dirinya sendiri dan dapat membebaskan diri daripada kesilapan-kesilapan lepas. 

Namun, sebenarnya cara ini sangat tidak berkesan.

Tuesday, May 03, 2022

Bekerja untuk bahagia


Masa bekerja kita biasanya antara lapan hingga sembilan jam sehari. Ada orang yang bekerja sehingga sepuluh jam sehari dan mereka tidak mengeluh. 

Tidak kira sama ada ada lapan jam atau sepuluh jam, bekerja adalah sumber pendapatan kita yang paling penting. 

Bagi orang yang bekerja dan pendapatannya besar, ia tidak menjadi masalah dan tidak begitu merasai tekanan hidup. 

Namun bagi orang yang bekerja dan memperoleh pendapatan kecil, tentulah mereka agak tertekan lebih-lebih lagi ketika kos hidup yang semakin meningkat ketika ini. 

Keadaan ini memang membebankan tetapi ukuran kehidupan di sisi Allah swt bukannya siapa yang kaya atau siapa yang miskin. 

Sebaliknya adalah sejauh mana kita redha dan berfikir positif terhadap kehidupan kita. 

Pada orang tertekan kerana tidak ada banyak wang untuk menampung hidup, jika mereka redha dengan kesihatan yang baik, anak-anak yang berjaya dan mendapat rakan-rakan yang baik hati, ia sudah cukup membahagiakan.

Monday, May 02, 2022

Belajar senyum



‘Kuat bekerja sambil tersenyum’, iaitu kata-kata seorang ketua dalam sebuah organisasi besar yang mahukan kakitangannya bekerja dengan seronok, ceria dan gembira. 

Semasa bekerja, emosi kita ada pasang dan surutnya. Ada kalanya kita gembira, berasa sangat seronok dan benar-benar khusyuk lebih-lebih lagi pada hujung bulan. 

Namun ada masanya kita rasa tertekan, stres atau hilang ‘mood’ untuk menyempurnakan kerja. Jadi, bagaimana hendak bekerja kuat jika keadaan seperti ini? 

Pada saya, ada masanya kita boleh senyum sepanjang hari dan ada masanya kita perlu serius supaya ada keseimbangan emosi. 

Jika asyik senyum, kemungkinan kurang sempurna tetapi jika bertugas di kaunter yang perlu melayan kerenah pelanggan, kita perlu belajar senyum sepanjang masa.

Sunday, May 01, 2022

Bekerja untuk naikkan harga diri


Harga diri seseorang akan bertambah apabila bekerja. Orang yang bekerja, tidak kiralah dalam bidang apa pun, asalkan mencari rezeki yang berkat, lebih berharga daripada orang yang tidak bekerja, atau istilahnya menganggur. 

Rasulullah saw sangat bangga jika melihat seorang pemuda yang bekerja ketika di usia muda. Baginda saw pun turut bekerja, jadi, bekerja pada usia muda adalah sunnah yang terbaik. 

Melalui pekerjaan, keinginan hidup dapat dipenuhi. Kegigihan bekerja akan memberikan pendapatan, penghargaan dan kepuasan hidup. 

Malas dan menganggur akan mendatangkan penderitaan sama ada orang yang tidak bekerja ataupun kepada orang yang melihatnya. 

Bagi mereka yang masih menganggur dan enggan mencari kerja, ingatlah semakin hari harga diri semakin kurang. 

Keluarlah mencari kerja, jika tidak di dalam negara, boleh keluar negara supaya harga diri kita akan sentiasa meningkat.