Haris Abd.Wahab
Jabatan
Pentadbiran dan Keadilan Sosial
Universiti
Malaya
Abd.Wahab, Haris (2010) Kesejahteraan sosial dan pembangunan
komuniti: pendekatan dan indikator. In: Seminar Serantau Islam dan
Kesejahteraan Sejagat, 24-25 Februari 2010, Universiti Islam Sultan Sharif Ali
Brunei Darussalam.
Abstrak
Kesejahteraan
sosial merupakan matlamat yang ingin dicapai oleh semua individu, keluarga dan
komuniti. Ianya merupakan elemen utama dalam menentukan tahap pembangunan
sesebuah komuniti. Konsep kesejahteraan sosial menjelaskan strategi merubah
sesebuah komuniti berdasarkan pendekatan yang berkaitan dengan aspek pengurusan
masalah sosial, pemenuhan keperluan hidup dan penyediaan peluang mobiliti
sosial dalam komuniti. Pemahaman terhadap ketiga-tiga elemen kesejahteraan
sosial ini akan membantu pembuat dasar dan pelaksana program dalam melancarkan
usaha meningkatkan kualiti hidup individu, keluarga dan komuniti. Kewujudan
ketiga-tiga elemen kesejahteraan sosial ini akan menyediakan komuniti dengan
keadaan persekitaran yang selamat, kepuasan menyeluruh terhadap keperluan asas
dan memaksimumkan peluang mobiliti sosial. Dengan itu, ahli komuniti bebas
untuk membangun potensi diri, terlibat secara aktif dalam aktiviti yang
dilaksanakan dan memberi sumbangan kepada komuniti.
Pengenalan
Kesejahteraan
sosial merupakan matlamat dan elemen teras kepada pembangunan sesebuah
komuniti. Kesejahteraan sosial yang dicapai oleh sesuatu komuniti digambarkan
oleh kedudukan atau keadaan sesuatu komuniti pada suatu masa tertentu.
Kedudukan atau keadaan komuniti digambarkan pula oleh tahap dan taraf hidup
individu, keluarga dan komuniti berkenaan. Tahap merujuk kepada apa yang
dirasai, dinikmati atau dideritai oleh sesebuah komuniti. Manakala taraf pula
merujuk kepada apa yang ingin dicapai oleh komuniti berkenaan (Davis, 1957).
Tahap dan taraf hidup individu, keluarga dan komuniti boleh dinilai berdasarkan
kepada indikator-indikator kesejahteraan sosial.
Mengikut
Midgley (1995) kesejahteraan sosial sesuatu komuniti ditentukan oleh tiga
aspek, iaitu: pengurusan masalah sosial, pemenuhan keperluan hidup dan peluang
mobiliti sosial dalam masyarakat. Kewujudan ketiga-tiga elemen kesejahteraan
sosial ini akan menyediakan masyarakat dengan keadaan persekitaran yang
selamat, kepuasan menyeluruh terhadap keperluan asas dan memaksimumkan peluang
mobiliti sosial. Dengan itu, ahli komuniti bebas untuk membangun potensi diri,
terlibat secara aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan dan memberi sumbangan
kepada komuniti secara keseluruhannya (Adriaansens, 1994; Fraser and Gordon,
1994; Midgley, 1995).
Terdapat
pelbagai pendekatan yang diamalkan oleh sesebuah negara dalam mencapai matlamat
kesejahteraan sosial rakyatnya. Antaranya ialah pendekatan pembangunan sosial,
pendekatan pentadbiran sosial, pendekatan derma sosial dan pendekatan kerja
sosial. Secara tradisinya, pengamalan pendekatan kesejahteraan sosial bertujuan
untuk membasmi dan mengawal masalah sosial yang berlaku.
Selain itu,
pendekatan kesejahteraan sosial juga dipraktikkan sebagai usaha pengembangan
keupayaan diri bagi meningkatkan tahap kualiti hidup. Walau bagaimanapun
usaha-usaha yang dipraktikkan melalui pendekatan kesejahteraan sosial ini perlu
disokong oleh perkhidmatan-perkhidmatan lain agar kualiti hidup ahli komuniti
lebih efektif.
Tahap
kesejahteraan sosial dititikberatkan dalam komuniti moden hari ini kerana
kebanyakkan mereka telah didedahkan dengan hak dan peluang untuk merealisasi
potensi kehidupan sosial mereka (Hill and Fee, 1995). Kesejahteraan sosial
mempunyai hubungan langsung dengan kualiti hidup komuniti. Apabila keadaan
kesejahteraan sosial baik, ianya akan dapat memastikan tahap perkembangan dan
kemajuan masyarakat yang ingin dan juga dicapai akan dapat direalisasikan.
Kerangka Konsepsual
Kesejahteraan Sosial
Konsep
kesejahteraan sosial telah mula dibincangkan semenjak tahun 1960-an lagi. Walau
bagaimanapun konsep ini masih lagi kabur kerana ia membawa makna yang berbeza
(Midgley, 1995, 1997). Istilah kesejahteraan sosial sering digunakan secara
bertukar ganti dengan istilah kebajikan sosial, kesejahteraan hidup dan kualiti
hidup (Campbell et al., 1976; Bunge, 1976; Bubolz et al., 1980; Crispino,
1980). Secara umumnya terdapat dua kepentingan konsep kesejahteraan sosial.
Pertama, kesejahteraan sosial sebagai faktor motivasi (desire for something
better) (McCall,1976). Kedua, untuk membentuk indeks kesejahteraan sosial
yang boleh digunakan dalam pembuatan keputusan kerajaan (Milbrath, 1979; Bauer,
1966). Sheldon dan Land (1972) mengenal pasti dua dimensi kesejahteraan sosial.
Pertama, keadaan objektif komuniti atau individu (contoh: rumah, pencemaran) dan
ciri sesetengah orang (cth: kesihatan dan pendidikan). Kedua, aspek subjektif
kesejahteraan sosial yang meliputi perkara yang memberi refleks kepada personel
dan kebajikan sosial individu seperti tahap kepuasan, aspirasi dan matlamat.
Secara umumnya,
kesejahteraan sosial mengandungi dua pengertian. Pertama, kesejahteraan sosial
dilihat sebagai satu sistem kegiatan yang teratur dalam pelbagai perkhidmatan
sosial yang bertujuan untuk membantu individu dan kelompok mencapai kualiti
hidup yang lebih memuaskan (Friedlander, 1961). Kedua, kesejahteraan sosial
dilihat sebagai satu keadaan yang sejahtera mencakupi aspek fizikal, mental dan
sosial (United Nation, 1960). Berdasarkan kepada kedua-dua pengertian tersebut,
Skidmore (1971) telah mendefinisikan kesejahteraan sosial sebagai usaha untuk
merubah atau meningkatkan keadaan yang sejahtera, baik dari segi fizikal,
mental dan sosial. Ini bermakna model residual yang digunakan bagi
menjamin kesejahteraan sosial komuniti berfungsi sebagai alat kawalan sosial
untuk mempertahankan undang-undang dan peraturan (Titmus, 1974). Walau
bagaimanapun, pendekatan residual ini tidak dapat menjelaskan
keseluruhan fenomena sosial dan memperlihatkan bahawa kesejahteraan sosial
boleh mengundang stigma.
Kesejahteraan
sosial juga merujuk kepada aktiviti menolong atau program sosial kerajaan untuk
komuniti miskin (Weinberg, 1970). Dalam konteks kemiskinan, kesejahteraan
sosial perlu dilihat dari perspektif ekonomi dan sosial yang berkaitan dengan
pendapatan, harta, perkhidmatan dan juga punca berlakunya kemiskinan.
Penyediaan kemudahan asas juga menjadi satu aspek penting dalam membincangkan
kesejahteraan sosial komuniti. Kemudahan asas yang perlu diberi tumpuan ialah
perkhidmatan pemungutan sampah, perkhidmatan bekalan air, perkhidmatan bekalan
elektrik, perkhidmatan telefon awam, perkhidmatan pos, perkhidmatan kesihatan,
perkhidmatan pengangkutan, kemudahan pasar dan taman permainan kanak-kanak.
Terdapat
pakar-pakar dalam bidang kebajikan sosial dan pembangunan komuniti telah
mengembangkan pengertian kesejahteraan sosial dan cuba mengaitkannya dengan
kualiti hidup komuniti. Mereka telah mengemukakan tiga model yang dalam usaha
memahami kesejahteraan sosial secara menyeluruh (Homan 1999). Pertama, model residual
(Wilensky dan Lebeaux, 1965). Konsep residual merujuk kepada
penyampaian perkhidmatan sosial yang berkaitan dengan pemecahan masalah sosial
dan patologi sosial dalam usaha untuk membantu menyesuai dan memulihkan
seseorang atau keluarga sesuai dengan nilai dan norma masyarakat.
Mengikut
andaian model residual ini, seseorang itu gagal berfungsi apabila mereka
berhadapan dengan halangan penyakit atau masalah peribadi. Oleh itu bantuan
perlu diberikan kepada individu berkenaan bagi membaiki kehidupan mereka
(Titmus, 1974). Mengikut model ini lagi keluarga dan ekonomi pasar merupakan
saluran bantuan utama yang boleh digunakan bagi membaiki dan memenuhi keperluan
hidup individu.
Kedua, model institutional
(Wilensky dan Lebeaux, 1965). Mengikut Titmus (1974) dan MacPherson dan
Midgley (1987) model institutional digunakan apabila mekanisma keluarga
dan ekonomi pasar tidak dapat berfungsi dengan baik dalam memenuhi keperluan
manusia. Atau dengan kata lain apabila amalan model residual tidak lagi
berjaya memperbaiki kualiti hidup individu, maka pihak berkuasa perlu memberi
perkhidmatan yang diperlukan oleh individu berkenaan. Mengikut model ini,
penyampaian perkhidmatan sosial akan berfungsi sebagai alat untuk memenuhi
keperluan tertentu dalam komuniti. Walau bagaimanapun, penyampaian perkhidmatan
sosial tersebut tidak mengambilkira pertimbangan nilai individu atau keluarga
yang terlibat (Titmuss, 1974). Ini bermakna model institutional tidak
mengambilkira masalah sosial yang dialami oleh individu atau keluarga tersebut.
Perkhidmatan sosial yang disampaikan dianggap fungsi normal dalam komuniti
moden dan tidak mendatangkan sebarang stigma kepada kepada penerimanya.
Ketiga, model
perkembangan (developmental) (Dolgoff, Feldstein & Skolnik, 1997;
Lofquist, 1996). Berdasarkan model ini, penyampaian atau pemberian perkhidmatan
melampaui orientasi masalah yang sedang dihadapi oleh seseorang individu
(Dolgoff et al. 1997). Mengikut model ini, menjadi satu kebiasaan
sesuatu komuniti membantu atau menubuhkan institusi kesejahteraan sosial bagi
tujuan mencapai kehidupan yang lebih baik dan memenuhi keperluan pembangunan
manusia. Ini bermakna tindakan yang diambil oleh komuniti berkenaan tidak
semestinya untuk menyelesaikan masalah yang berlaku.
Pendekatan Kesejahteraan Sosial
Terdapat
pelbagai pendekatan yang digunakan oleh negara dan pakar-pakar sains sosial
untuk mengukur tahap kesejahteraan sosial sesebuah komuniti. Mengikut (Midgley,
1995) terdapat empat pendekatan utama yang sering dilaksanakan oleh sesebuah
negara dalam usaha menjamin kesejahteraan sosial komuniti, iaitu:
i.
Pendekatan pembangunan sosial: Kesejahteraan
sosial tidak boleh dipisahkan daripada perspektif pembangunan sosial.
Pendekatan pembangunan sosial ini mempunyai hubungan secara langsung dengan
pencapaian kesejahteraan sosial sesebuah komuniti. Ini disebabkan kesejahteraan
sosial tidak berlaku secara langsung mengikut pembangunan ekonomi, tetapi
terhasil daripada pembangunan sosial. Pembangunan sosial bukan sahaja memberi
tumpuan terhadap aspek penyediaan barangan, perkhidmatan atau pemulihan tetapi
ditumpukan juga kepada aspek yang lebih luas dalam komuniti dengan matlamat
untuk membaiki dan meningkatkan kualiti hidup ahli komuniti berkenaan.
Midgley (1995)
menjelaskan bahawa pendekatan pembangunan sosial adalah komprehensif dan
bersifat sejagat dalam mengukur kesejahteraan sosial kerana memberi tumpuan
terhadap proses dan struktur sosial sesebuah komuniti secara lebih menyeluruh.
Melalui pendekatan ini, kesejahteraan sosial dilihat mengalami perkembangan dan
bukannya berada dalam keadaan statik. Selain itu, pendekatan pembangunan sosial
juga cuba menghubungkan aspek sosial dan ekonomi dalam proses pembangunan
komuniti. Pendekatan pembangunan sosial juga sering dilihat sebagai satu
pendekatan untuk mempromosikan kesejahteraan manusia kerana berfungsi dalam
membentuk kerjasama antara kerajaan dengan organisasi bukan kerajaan mengenai
etika sosial yang berkaitan dengan tanggungjawab sosial, politik dan ekonomi
bagi mengurangkan atau membasmi kemiskinan (Midgley, 1994; 1995; Macarov, 1995;
dan Boer & Koekkoek, 1992). Untuk itu, bebagai teori sains sosial telah
digabungkan untuk menjadi landasan kepada kajian kesejahteraan sosial melalui
pendekatan pembangunan sosial. Hasilnya, kesejahteraan sosial dikatakan akan
berlaku apabila masalah sosial dalam komuniti dapat diurus, keperluan ahli
komuniti dipenuhi dan wujud peluang mobiliti sosial dalam komuniti berkenaan.
Oleh itu, pencapaian kesejahteraan sosial boleh ditentukan melalui kejayaan
pengawalan masalah sosial, pemenuhan keperluan hidup dan kewujudan peluang
mobiliti sosial dalam sesebuah komuniti (Midgley, 1995).
ii.
Pendekatan pentadbiran sosial: Pendekatan
pentadbiran sosial memberi tumpuan terhadap tindak balas kerajaan terhadap
masalah sosial melalui pembentukan program oleh kerajaan menerusi penyampaian
berbagai-bagai bentuk perkhidmatan sosial (MacPherson, 1982; George, 1988;
Jones, 1990; Hefferman, 1992). Pembentukan program perkhidmatan sosial boleh
dibahagikan mengikut keadaan kesejahteraan semasa (Walker dan Wong, 1996).
Penelitian
aspek kesejahteraan sosial melalui pendekatan pentadbiran sosial boleh
dilakukan melalui dua strategi utama. Pertama, strategi dasar sosial. Strategi
dasar sosial sangat mementingkan perubahan situasi, sistem, amalan dan
tingkahlaku setiap individu dalam komuniti. Strategi dasar sosial mempunyai
prinsip-prinsip yang akan mengatur segala tindakan dalam usaha mencapai
matlamat kesejahteraan sosial. Dengan itu, dasar sosial dapat dilihat sebagai
rancangan dasar dan panduan untuk membuat keputusan yang berkaitan dengan
program kesejahteraan sosial dan perkhidmatan sosial. Khan (1973) mengaitkan
dasar sosial dengan tugas-tugas perancangan dasar sosial. Manakala Titmuss
(1974) melihat dasar sosial sebagai prinsip-prinsip yang mengatur tindakan yang
mengarah kepada pencapaian matlamat sosial tertentu. Spicker (1955) pula
mengatakan fokus utama kajian dasar sosial adalah dalam aspek dasar dan amalan
pentadbiran kesejahteraan sosial dan perkhidmatan sosial yang meliputi aspek
perlindungan sosial, perumahan, kesihatan, kerja sosial dan pendidikan.
Kedua, strategi
perkhidmatan sosial. Perkhidmatan sosial merupakan satu bentuk bantuan yang
ditujukan terus kepada individu ataupun orang ramai melalui kegiatan yang
terancang atau intervensi kes. Ianya bertujuan untuk memenuhi sumber-sumber
yang diperlukan dalam menolong orang ramai meningkatkan kemampuan sosial,
mengubah identiti dan kelakuan serta melengkapi atau mengganti fungsi-fungsi
insititusi sosial. Oleh itu, perkhidmatan sosial dilihat sebagai satu sistem
atau program yang dirancang oleh kerajaan untuk memperbaiki kesejahteraan
individu dengan menjamin tahap kesejahteraan dan kefungsian individu dengan
cara menyalurkannya kepada institusi bagi membantu memenuhi keperluan hidup
mereka (Khan, 1973; Dinitto, 1991). Menurut Khan (1973) perkhidmatan sosial
meliputi dua aspek utama. Pertama, perkhidmatan sosial dalam bidang yang luas
iaitu pendidikan, kewangan, perubatan dan perumahan. Kedua, perkhidmatan yang
terhad, iaitu program kerja sosial sekolah, perkhidmatan sosial perubatan,
perkhidmatan sosial perumahan, program kesejahteraan sosial industri dan
sebagainya.
Kerajaan perlu
memainkan peranan yang sangat penting dalam pembentukan dan pelaksanaan dasar
sosial dan perkhidmatan sosial. Melalui strategi dasar sosial, kerajaan
bertanggungjawab untuk mengambilkira setiap aspek masalah sosial yang berlaku
dalam komuniti. Manakala melalui strategi perkhidmatan, kerajaan bertanggungjawab
untuk menyelesaikan masalah sosial yang sedang berlaku dalam komuniti.
Berdasarkan kepada strategi pentadbiran sosial, kerajaan mempunyai
tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah sosial berlandaskan kepada
undang-undang yang ada. Tindakan ini penting agar kerajaan mempunyai kekuatan
dan pengesahan tentang penglibatannya dalam usaha mencapai kesejahteraan
sosial. Penglibatan kerajaan ini perlu diurus secara profesional dalam semua
aspek kesejahteraan sosial agar peningkatan kualiti hidup manusia tercapai (Midgley,
1995). Selain itu, strategi pentadbiran sosial berusaha menentukan
kesejahteraan sosial masyarakat dengan cara mengagihkan sumber berasaskan
kepada kriteria keperluan. Oleh itu, setiap organisasi sosial tidak hanya
bergantung kepada kerajaan sahaja dalam usaha mengagihkan sumber-sumber dalam
masyarakat, tetapi juga turut bergantung kepada sektor swasta.
iii.
Pendekatan derma sosial: Pendekatan
ini mempunyai hubungan dengan pemberian, kesukarelaan dan peranan pertubuhan
bukan kerajaan dalam menyediakan barangan dan perkhidmatan sosial persendirian
kepada mereka yang memerlukan. Sikap tolong menolong sesama manusia ini
selalunya wujud dan diamalkan melalui derma sosial. Sebagai satu pendekatan
tradisi (berasaskan nilai dan ajaran agama), derma sosial dilakukan berasaskan
kepada rasa kasih sayang sesama manusia, berbuat baik (amal jariah) dan
bersumber ajaran agama (Pathak, 1981). Pada peringkat awal perkembangannya,
kegiatan derma sosial hanya dilakukan melalui kegiatan amal oleh individu
kepada individu yang memerlukan. Kemudian kegiatan ini dilakukan oleh
organisasi perkhidmatan khas seperti bantuan kepada golongan miskin, cacat atau
orang tua.
Pendekatan
derma sosial ini terus berkembang dan perkhidmatannya diperluaskan melalui
pelbagai organisasi amal di seluruh dunia. Organisasi amal ini membentuk satu
badan atau organisasi amal antarabangsa yang berusaha membantu negara-negara
miskin. Walau bagaimanapun, didapati individu dan organisasi amal menjadi
semakin sekular kerana aktiviti amal diserahkan kepada institusi agama sahaja.
Institusi keagamaan dan badan amal ini lebih berbentuk organisasi yang hanya
memberikan bantuan kepada penerima barangan atau perkhidmatan yang pasif. Kerja
amal ini juga bergantung kepada niat penderma dan juga keinginan kerajaan untuk
menggunakan wang pembayar cukai untuk melakukan kegiatan-kegiatan amal. Walau
bagaimanapun semua usaha dan kegiatan derma sosial ini bertujuan untuk menolong
dan mempromosikan kesejahteraan sosial (Midgley, 1995).
iv.
Pendekatan kerja sosial: Kerja
sosial merupakan seni, sains dan profesyen yang menggunakan kemahiran-kemahiran
tertentu bagi membantu manusia menyelesaikan masalah peribadi, kumpulan dan
komuniti bagi mencapai kesejahteraan sosial. Pendekatan ini menggunakan
pengetahuan, teknik dan kemahiran hubungan kemanusiaan bagi membantu
usaha-usaha memenuhi keperluan hidup manusia.
Kerja sosial
merupakan pendekatan yang terurus dalam mempromosikan kesejahteraan sosial, di
samping menggunakan kakitangan yang profesional dan berkelayakan bagi
berhadapan dengan masalah sosial. Sebagai satu profesion, kerja sosial
mempunyai fungsi menyelesaikan masalah sosial dan kemanusiaan berlandaskan
kepada sains dan nilai dengan memenuhi kehendak dan aspirasi manusia. Tugas
utamanya ialah meningkatkan fungsi sosial individu ataupun kumpulan dalam
persekitaran mereka.
Amalan kerja
sosial adalah berasaskan kepada penggunaan berbagai-bagai teori dan disiplin
sains sosial. Teori kerja sosial ini memberikan satu konteks asas dan
pendekatan-pendekatan intervensi (Bisman, 1994). Antara teori dan pendekatan
yang dikembangkan dalam bidang kerja sosial ialah hubungan, penilaian,
komunikasi, pemerhatian, dan intervensi (Bisman, 1994; Johnson, 1995).
Sebagai satu
pendekatan, kerja sosial perlu diurus secara profesional untuk menangani
masalah sosial, menyediakan peluang hidup yang lebih baik kepada individu,
keluarga, kelompok dan komuniti. Bentuk intervensi kerja sosial dalam menangani
masalah sosial bukan hanya berbentuk ‘remedial’ tetapi juga ‘non-remedial’.
Intervensi ini dilakukan melalui dasar sosial, penelitian kerja sosial,
perkhidmatan sosial dan pembangunan komuniti.
Terdapat tiga
kaedah utama yang digunakan dalam pendekatan kerja sosial dalam usaha menjaga
kesejahteraan sosial individu, keluarga dan masyarakat. Pertama, kaedah kerja
kes. Tumpuan kerja kes ialah terhadap orang perseorangan secara individu.
Andaian utama kaedah ini ialah masalah sosial merupakan masalah individu. Oleh itu,
usaha-usaha perlu dilakukan terhadap individu berkenaan dan ahli keluarga
mereka yang terlibat secara berasingan (Midgley, 1981). Kepentingan kaedah
kerja kes dalam membantu individu menyelesaikan masalah adalah berasaskan
kepada teori Sosial Diagnosis yang dikemukakan oleh Mary Richmond pada tahun
1917. Beliau meminjam istilah diagnosis daripada terminologi perubatan dalam
usaha memahami “orang di dalam situasi sosial”. Berikutan itu Richmond (1917)
menjelaskan kerja kes sosial sebagai satu kaedah yang mempunyai tujuan untuk
memperbaiki keadaan individu dan keluarga seorang demi seorang, berbeza dengan
pembaikan mereka di dalam masa (Dalam Midgley, 1981).
Kedua, kaedah
kerja kumpulan. Kaedah kerja kumpulan memberi tumpuan kepada aspek keupayaan
manusia (Midgley, 1981). Kaedah ini berasaskan kepada andaian bahawa manusia
mempunyai keperluan yang sama untuk melibatkan diri mereka dalam kehidupan
kumpulan yang tidak dapat dipenuhi melalui masyarakat industri masa kini.
Matlamatnya ialah untuk memberi rangsangan untuk berfikir, bergaul, bertukar
pendapat dan pengalaman di kalangan ahli-ahli yang terlibat dalam kumpulan.
Kaedah ini banyak diamalkan melalui aktiviti kumpulan rekreasi, kumpulan
kemahiran rekreasi, kumpulan pendidikan, kumpulan sosialisasi, kumpulan
sokongan, kumpulan theraputik dan kumpulan pertemuan.
Ketiga, kaedah
kerja komuniti. Midgley (1981) menjelaskan bahawa pekerja sosial percaya bahawa
penduduk tempatan mesti melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam peningkatan
kebajikan komuniti. Mereka mesti disedarkan mengenai keperluan sosial di dalam
kawasan mereka dan digalakan mengambil inisiatif untuk mengendalikannya. Oleh
itu, Dunham (1943) menjelaskan bahawa kerja komuniti adalah proses menghasilkan
dan mengekalkan penyesuaian di antara sumber-sumber kebajikan sosial dan
keperluan kebajikan sosial di dalam satu kawasan geografi atau bidang
perkhidmatan yang khusus. Ini dapat dilakukan melalui penyesuaian keperluan
manusia serta menyediakan cara-cara bagi membolehkan mereka mencapai segala
keperluan itu melalui cara yang realistik dan demokrasi.
ndikator Kesejahteraan Sosial
Secara
keseluruhannya, pendekatan-pendekatan kesejahteraan sosial di atas memberi
tumpuan kepada tiga indikator utama dalam menjamin tahap kesejahteraan sosial
sesebuah komuniti. Pertama, pengurusan masalah sosial. Kedua, pemenuhan
keperluan sosial. Ketiga, penyediaan peluang mobiliti kepada komuniti terlibat.
i.
Pengurusan masalah sosial: Masalah
sosial dapat ditafsirkan melalui keadaan-keadaan tertentu seperti kemiskinan,
kebuluran, dan jenayah serta fenomena sosiobudaya yang menghalang masyarakat
daripada mengecapi potensi maksima mereka (Eitzen,1984) dan ketidakseimbangan
dalam masyarakat sehingga unit tersebut mengklasifikasikan individu sebagai
devian (Becker, 1967). Tallman dan McGee (1971) dan Abd. Hadi (2004) mentafsir
masalah sosial sebagai keadaan yang tidak digemari oleh orang ramai dan perlu
dibasmi, diselesaikan atau diperbaiki melalui tindakan bersama oleh
anggota-anggota komuniti. Oleh itu, masalah sosial dilihat mempunyai dua unsur
utama iaitu salah laku norma (tingkah laku devian) dan keadaan yang menentang
atau menyimpang dari norma-norma komuniti (keadaan sosial).
Salah laku
norma (norm violations) merujuk secara tidak langsung kepada
ketidakseimbangan sosial yang mengambil tempat dalam komuniti.
Ketidakseimbangan sosial yang sering berlaku dalam masyarakat ialah seperti
tercicir dari sekolah, kemiskinan, ‘intellectual instability’, kebuluran,
jenayah, dan keganasan rumah tangga. Salah laku norma tidak mempunyai standard
yang mutlak. Ini bermakna masalah sosial merupakan satu keadaan yang abstrak
dan dapat dipersoalkan, serta berlaku ‘double standard’ dalam
pengamalannya. Eitzen dan Zinn (2000) menjelaskan bahawa tingkah laku devian
adalah merujuk kepada aktiviti yang mengambil tempat dalam komuniti serta
tindakan atau perbuatan melanggar norma-norma yang wujud dalam komuniti dan
organisasi dalam tempoh masa tertentu. Tingkah laku tersebut biasanya
dipengaruhi oleh unsur sosiobudaya dan bersifat arbitrari dan wujud melalui
proses labelling yang mengambil tempat dalam masyarakat pada hari ini.
Proses labelling ini dilakukan dengan giat oleh unit komuniti yang
mempunyai kuasa (kerajaan tempatan, kerajaan negeri atau mana-mana badan
berkanun) kerana mereka berusaha dengan giatnya untuk mencapai ‘UTOPIA’ dalam
perjuangan mereka.
Masalah sosial
dalam bentuk keadaan sosial (social conditions) pula merujuk kepada
keadaan yang berkait dengan kesukaran yang berbentuk fizikal yang dialami oleh
seseorang individu. Kesukaran fizikal ini ditafsirkan sebagai kekurangan dalam
bentuk material. Ini bermakna masalah sosial akan wujud apabila
keperluan-keperluan yang dinyatakan tidak dipenuhi.
Pengurusan dan
kawalan sosial merujuk kepada proses yang menyebabkan individu akur pada norma
komuniti termasuk undang-undang jenayah, pihak polis, mahkamah dan institusi
tahanan. Konsep kawalan sosial yang sangat luas ini merangkumi suatu
penghasilan tingkah laku yang dianggap normal dan juga penindasan tingkah laku
devian atau yang menyimpang (Rokiah, 2002). Pengurusan dan kawalan masalah
sosial penting kerana ianya bukan sahaja mencakup masalah kemasyarakatan (society
problems) tetapi juga masalah dalam masyarakat yang berhubung dengan gejala
abnormal dalam kehidupan komuniti (ameliorative or social problem).
Berdasarkan
kepada pendekatan pembangunan sosial, pengurusan dan kawalan masalah sosial
perlu diteliti daripada aspek kemiskinan, jenayah dan keselamatan awam serta
pengangguran. Ketiga-tiga aspek ini sering diberi tumpuan dalam kajian tentang
kesejahteraan dan masalah sosial (Midgley, 1995; Kwan, 1997; Dahrendorf, 1994;
Townsend, 1993). Aspek kemiskinan bileh dinilai melalui keadaan kemiskinan,
pola perbezaan antara golongan miskin dan kaya dan punca kemiskinan dalam
sesebuah masyarakat. Aspek jenayah dan keselamatan awam boleh dinilai
berdasarkan keadaan masalah jenayah secara keseluruhan, jenayah di kawasan
tempat tinggal tertentu dan usaha-usaha kawalan keselamatan awam bagi menangani
masalah jenayah. Aspek pengangguran pula boleh diteliti dari segi masalah pengangguran,
kawalan terhadap pengangguran dan kesan pengangguran terhadap kehidupan
keluarga. Kewujudan aspek-aspek masalah sosial ini akan menggambarkan secara
langsung tentang keadaan fizikal komuniti dan keberkesanan pengurusan beberapa
perkara asas yang mempengaruhi kehidupan seseorang.
ii.
Pemenuhan keperluan hidup: Pemenuhan
keperluan hidup selalunya digambarkan melalui tahap kepuasan komuniti terhadap
perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan kepada mereka. Setiap individu,
keluarga dan komuniti mempunyai keperluan sosial yang perlu dipenuhi untuk
menjamin kepuasan seseorang. Keperluan merujuk kepada keadaan yang perlu
dimiliki oleh individu bagi memastikan keadaan hidupnya sejahtera (Thomas dan
Pierson, 1999). Siti Hajar (2006) memetik Raiklin dan Uyar (1996) menyatakan
keperluan manusia merupakan barangan atau material atau keadaan fizikal
tertentu yang mesti dimiliki manusia bagi membolehkan mereka menjalankan fungsi
dan peranan fizikal, mental dan seksual mereka dengan berkesan. Memenuhi keperluan
masyarakat terutamanya yang berkaitan dengan kemudahan asas merupakan aspek
penting dalam menjamin kesejahteraan sosial mereka. Keperluan terhadap
perkhidmatan merujuk kepada perkhidmatan yang mereka peroleh atau disediakan
untuk mereka berbanding dengan perkhidmatan yang sepatutnya mereka peroleh atau
disediakan untuk mereka.
Pemenuhan
keperluan hidup boleh dinilai dari dua aspek, iaitu penyediaan perkhidmatan
kesejahteraan sosial oleh institusi atau kerajaan dan kepuasan hidup bagi
individu (Doyal dan Gough, 1991; Midgley, 1995). Penyediaan perkhidmatan dan
kemudahan oleh institusi atau kerajaan meliputi penjagaan orang tua, perumahan
awam, kemudahan kesihatan awam, peluang pendidikan, dan tanggungjawab
keselamatan sosial. Manakala kepuasan hidup individu pula boleh diteliti dari
aspek jaminan pendapatan, persekitaran kerja, hubungan kejiranan, penjagaan
kesihatan, ruang kehidupan peribadi, dan pemakanan komuniti.
iii. Peluang
mobiliti sosial: Kewujudan
peluang mobiliti sosial merupakan satu lagi elemen penting kepada kesejahteraan
sosial sesebuah komuniti. Kesejahteraan sosial wujud dalam komuniti yang
mempunyai peluang sosial untuk orang ramai meningkatkan dan merealisasikan potensi
mereka. Komuniti yang mempunyai halangan sosial tegar akan menghalang kemajuan
dan dicirikan melalui tahap ketidakpuasan. Midgley (1995) menjelaskan bahawa
ketiadaan peluang mobiliti sosial merupakan sebab utama kepada ketidakadilan
yang berlaku dalam komuniti.
Mobiliti sosial
boleh dinilai dari aspek perubahan kedudukan dalam sistem susun lapis ataupun
proses pergerakan individu atau hubungan sosial dari satu strata atau susun
lapis yang lain dalam satu stratifikasi sosial (Rohana, 1996). Komuniti yang
mengalami pembangunan sosial yang baik selalunya mempunyai sistem mobiliti
sosial yang baik. Secara teorinya, memaksimumkan peluang mobiliti sosial
bermula dengan kewujudan keadaan stratifikasi sosial. Mobiliti sosial boleh
berlaku dari segi peningkatan taraf hidup, status sosial, dan pencapaian
kemajuan oleh sekumpulan individu atau kelompok. Komuniti yang mengalami
pembangunan sosial yang baik selalunya mempunyai sistem mobiliti sosial yang
baik.
Kesimpulan
Konsep
kesejahteraan sosial memberikan fokus kepada keadaan, nasib, hak, kewajipan dan
tanggungjawab sesama manusia. Secara tradisi, usaha kesejahteraan sosial
dilaksanakan untuk membasmi dan mengawal masalah sosial yang berlaku dalam
komuniti. Di samping itu, usaha kesejahteraan sosial juga memberi tumpuan
terhadap usaha-usaha pemenuhan keperluan komuniti serta peningkatan peluang
mobiliti sosial dalam komuniti. Ketiga-tiga elemen kesejahteraan sosial ini
merupakan kerangka asas untuk manusia meneruskan kehidupan. Usaha-usaha untuk
menjaga tahap kesejahteraan sesbuah komuniti ini dominasi oleh tiga model
utama, iaitu residual, institutional dan developmental.
Praktik model residual,
institutional dan developmental untuk menjaga kesejahteraan sosial
sesuatu komuniti boleh dilakukan melalui pendekatan pembangunan sosial,
pentadbiran sosial, derma sosial dan kerja sosial. Penyampaian intervensi dan
bantuan melalui pendekatan-pendekatan tersebut akan disalurkan secara universal
atau selective. Berdasar prinsip universal, setiap individu
dalam komuniti layak diberi atau memperoleh bantuan dan manfaat sosial awam.
Pengagihan dan pemberian bantuan awam dilakukan tanpa sebarang syarat atau
peraturan kelayakan tertentu. Penggunaan prinsip universal dalam
penyampaian perkhidmatan ini lazimnya diamalkan oleh Negara-Negara Kebajikan.
Penyampaian intervensi dan bantuan awam melalui prinsip selective pula
menfokuskan kepada ahli-ahli komuniti yang benar-benar memerlukan perkhidmatan
tersebut. Oleh itu, penggunaan prinsip selective dalam penyampaian
bantuan awam memerlukan peraturan kelayakan tertentu. Peraturan kelayakan
tersebut merujuk kepada sekumpulan syarat atau keadaan, ciri atau situasi
prasyarat yang membolehkan pemberian bantuan awam kepada ahli komuniti. Prinsip
selective ini telah digunakan oleh kebanyakkan negara dalam proses
penyampaian bantaun awam kepada rakyatnya.
Rujukan
Abd. Hadi Zakaria (2004). Ketiadaan Reaksi
Masyarakat Terhadap Kelakuan Anti Sosial. The Malaysian Journal of Social
Administration. Vol. 3(1): 71-82.
Adriaansens, H. (1994). Citizenship,
Work and Welfare. In Steenbergen, B. V. (ed.). The Condition of Citizenship.
London: Sage Publication.
Becker, E. (1967). Beyond
Alienation: A Philosophy of Education for the Crisis of Democracy: New
York, G. Braziller.
Bisman, C. (1994). Social Work
Practice: Case and Principles. California: Brook/Coole Publications.
Boer, L. dan Koekkoek, A. (1994).
Development and Human Security. Third World Quarterly Journal of Emerging
Aress. Vol. 15(3): 519-522.
Bubolz, M. M., Eicher, J. B., Evers,
S. J. and Sontag M. S. (1980). A Human Ecological Approach to Quality of Life:
Conceptual Framework and Results of a Preliminary Study. Social Indicators
Research. Vol 7: 103-136.
Bunge, M. (1976). Indicators. Judging
the Quality of Life. In Farlow, J. K and Shea, W. R. (eds), Values and
Quality of Life. New York: Science History Publications.
Campbell, A., Converse, P. E. and
Rodgers, W. R. (1976). The Quality of American Life: Perceptions, Evaluations
and Satisfactions. New York: Russell Sage Foundation.
DiNitto, D.M. (1991). Social
Welfare, Politics and Public Policy. New Jersey: Prentice Hall.
Dolgoff, R., Feldstein, D., dan
Skolnik, L. (1997). Understanding Social Welfare (4th ed.). White
Plains, NY: Longman.
Doyal, L., dan
Gough, I. (1991). A Theory of Human Need. London: Macmillan.
Eitzen, S. D., dan Zinn, M. B. (2000).
Social Problem. 8th Edition. United States: A Pearson Education Company.
Fraser, N., dan Gordon, L. (1994).
Civil Citizenship Against Social Citizenship. In Steenbergen, B. V. (ed.). The
Condition of Citizenship. London: Sage Publication.
Friedlander,
W.A. (1967). Introduction to Social Welfare. New Delhi: Prentice Hall.
George, V.
(1988). Wealth, Poverty and Starvation. England; Wheatsheaf Books.
Hefferman, W.J.
(1992). Social Welfare Policy. London: Longman.
Hill, M. dan Fee, L.K. (1995). The
Politics of Nation Building and Citizenship in Singapore. London: Rouledge.
Homan, M. S. (1999). ). Promoting
Community Change: Making It in the Real World (2nd ed.). New York:
Brooks/Cole Publishing Company.
Johnson, L.C. (1995). Social
Work Practice: A Generalist Approach. London: Allyn & Bacon.
Jones, H. (1990). Social
Welfare in The Third World Development. Houndmills: MacMillan.
Khan, A.J. (1973). Social Policy
and Social Services. New York: Random House.
Macarov, D. (1995). Social
Welfare: Structure and Practice. London: Sage Publication.
MacPherson, S. (1982). Social
Policy in the Third World. Brighton: Wheatsheaf Books.
Midgley, J. (1981).
Profesional Imperialism: Social Work in the Third World. London: Heinemann
Educational Books.
Midgley, J. (1994). The
Challenge of Social Development: Their Third World and Ours-1993 Danials S.
Sanders Peace and Social Justice Lecture. Social Development Issues. Vol. 16(2): 1-12.
Midgley, J. (1995). Social
Development: The Development Perspective in Social Welfare. London:
Sage Publication.
Midgley, J. (1997). Social Welfare
in Global Context. London: Sage Publications.
Milbrath, L. W. (1979).
Policy Relevant Quality of Life Research. The
Annals of the American Academy of Political and Social Science. Vol. 444:
32-45.
Pathak, S. (1981). Social
Welfare: An Evolutionary and Developmental Perspective. New Delhi:
Macmillan India Limited.
Raiklin, E., dan Uyar, B.
(1996). On the Relativity of the Concepts of Needs, Wants, Scarcity and
Opportunity Cost. International Journal
of Social Economics. Vol. 23 (7): 48-49.
Rohana Yusof (1996). Asas Sains
Sosial: Dari Perspektif Sosiologi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Rokian Ismail (2002).
Kawalan Sosial dan Pelbagai Dimensi Fungsi dalam Strategi Menangani Jenayah dan
Delinkuensi di Malaysia. Dalam Rahimah dan Muhamed Yusuf (eds), Masyarakat,
Budaya dan Perubahan. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Siti Hajar Abu Bakar Ah.
(2006). Kesejahteraan Sosial: Aplikasi Dalam Perkhidmatan Manusia. Kuala
Lumpur: Penerbit Universiti Malaya.
Skidmore, R.A. and
Tackeray, M.G. (1982). Introduction to Social Work. New Jersey:
Englewood Cliffs.
Spicker, P.
(1995). Social Policy: Themes and Approaches. London: Prentice Hall.
Tallman, I., dan McGee, R.
(1971). Definition of Social Problem. Dalam Smigel, E.O. (ed). Handbook on
the Study of Social Problems. Chicago: Rand McNaly and Company: 19-58.
Thomas, M. dan Pierson, J.
(1996). Dictionary of Social Work. London: Collins Educational Ltd.
Titmuss, R.M. (1974). Social
Policy: An Introduction. London: George Allen & Unwin, Ltd.
United Nation (1960). The
Development on the National Social Welfare Programme. New York.
Walker, A., dan Wong, C.
(1996). Rethinking the Western Construction of the Welfare State. International
Journal of Health Services. Vol. 26(1):
67-92.
Weinberg, S. K. (1970). Social
Problem in Modern Urban Society. United State: Prentice Hall.
Wilensky, H.L. d Lebeaux, C. (1965). Industrial
Society and Social Welfare. New York: Free Press.
(Sumber: http://eprints.um.edu.my/3124/1/A11.pdf)