Monday, December 18, 2006

Pemerhatian model "masyarakat Islam" di bandar Rufaqa'

Kesempatan menghadiri kursus pendek di kawasan Country Homes, Rawang memberi ruang dan peluang kepada penulis untuk melihat, meninjau dan menganalisis perkampungan Rufaqa’ Corporation yang mana Ashaari Muhammad adalah ketua eksekutif syarikat berkenaan. Kaitan Rufaqa’ dan Al Arqam yang heboh di media massa menjadikan keinginan penulis lebih teruja untuk melihat pergerakan kumpulan ini dengan lebih dekat.

Tiga hari dua malam menginap di Rufaqa’ Inn memberi penilaian awal terhadap kehidupan sekumpulan masyarakat Islam yang bernaung di bawah payung Rufaqa’ Corporation dan aktiviti yang dilakukan bagi menyokong kehidupan ahlinya.

Penulis tiba pada tengah hari dan singgah sebentar di Restoran Ikhwan yang berada di salah sebuah daripada sepuluh blok yang membentuk perkampungan Rufaqa’. Ketika meninjau makanan yang hendak dibeli, penulis dapati hanya tinggal sayur, ikan dan daging ayam serta nasi putih. Oleh kerana kurang berselera dengan makanan ini, penulis mengambil keputusan untuk makan nasi, ikan dan teh “o” ais sahaja bagi mengisi perut.

Di kawasan khemah luar, kelihatan anak-anak kecil sekitar 10 hingga 18 tahun sedang mengambil nasi dan lauk daripada periuk yang bersaiz besar tanpa membayar harganya di kaunter. Kemungkinan besar memang disediakan secara percuma. Penulis sendiri terpaksa membayar RM2.70 bagi makanan yang dipesan.

Di sekitar tempat duduk, terdapat dua meja makan yang sedang dihuni oleh tiga dan dua orang masing-masingnya memakai songkok, baju Melayu dan seluar panjang. Ketika penulis meneguk air teh “o” ais untuk menghilangkan haus, ternampak mata mereka melilau ke arah penulis. Keadaan yang sungguh tidak menyenangkan ketika makan.

Kanak-kanak yang mengambil makanan tadi adalah penghuni di kawasan perkampungan ini dan mereka sentiasa dilihat berada di sana selama penulis menghuni Rufaqa’ Inn. Malah kelibat mereka juga menimbulkan beberapa kemusykilan mengenai aktiviti yang dilakukan. Agaknya mereka berkursus ataupun memang itulah persekitaran dunia mereka ketika ini.

Setelah makan, penulis bertanyakan tempat untuk destinasi utama bagi mengetahui bagaimana ahli-ahli Rufaqa’ di sini memberi maklum balas terhadap kehadiran masyarakat luar. Salah seorang daripadanya sangat membantu. Soalan yang pertama ditanya ialah “Encik dari mana?” Itulah soalan yang penulis dapat selama berjumpa penghuni di sini sama ada di surau, Skylab dan Pusat Jahitan Ikhwan. Semuanya memberi respon yang sangat memuaskan dan penuh dengan kemesraan.

Tinggal di Rufaqa’ Inn memberi peluang kepada penulis untuk melihat aktiviti kumpulan ini secara dekat. Hampir semua keperluan sebuah masyarakat ada di sini. Dari pasar raya Rufaqa' hinggalah kedai dobi, bengkel kereta, agen pelancongan, poliklinik ataupun kedai gunting rambut, keperluan masyarakat dapat dipenuhi dengan lengkap dan sempurna.

Paling memberi kesan kepada penulis ialah keupayaan setiap orang di sini menyusun kasut setiap kali masuk ke dalam premis perniagaan atau tempat tinggal mereka. Caranya ialah menghalakan muncung kasut atau selipar mengarah keluar dan disusun berbaris-baris dan rapat. Ini adalah lambang hati yang bersatu dan keupayaan mendisiplin diri yang tinggi.

Penulis menjangkakan semua penghuni di sini diambil berat keperluan dan kebajikan mereka. Anehnya lebih ramai wanita yang bekerja dan dilihat berjalan ke sana sini dan ramai kanak-kanak dan remaja. Lelaki tidak kelihatan sangat. Semasa menunaikan solat Asar dan Maghrib juga tidak ramai lelaki yang datang berjemaah. Ada juga dua orang “Pak Sheikh” yang masih melepak di ruang tamu Rufaqa’ Inn ketika azan Asar sedang dikumandangkan. Ketika penulis keluar dari bilik untuk ke surau, mereka berada di situ dengan mata yang melilau dan ketika balik dari surau mereka masih lagi berada di situ. Pada pandangan penulis, tindakan terbaik mereka ketika itu ialah turut berjemaah supaya orang luar dapat melihat perkampungan Islam yang dikatakan oleh Ashaari Muhammad.

Aktiviti ekonomi adalah sumber pendapatan utama mereka. Dilihat semua kedai dibuka pada awal pagi atau lebih tepat selepas berwirid menunaikan solat Subuh. Satu pendekatan yang amat berkesan bagi membangunkan ekonomi ummah kerana rezeki selalu berada di awal pagi.

Setiap pagi juga ada beberapa buah kereta pelbagai jenis akan singgah di kawasan ini dengan urusan masing-masing. Semuanya berpakaian dengan cara yang sama dan mata mereka masih lagi melilau melihat kehadiran penulis dan rakan-rakan.

Solat mereka juga agak menarik untuk diperhatikan. Biasanya mereka akan bersedia sepuluh minit sebelum masuk waktu. Kawasan mussalla dihamparkan dengan kain putih dan setiap perpindahan rukun dilakukan dengan tertib. Salam ke kiri dan kanan akan dipaling dengan sungguh-sungguh. Sebaik sahaja memberi salam, salah seorang daripada mereka mengetuai bacaan wirid diikuti ahli jemaah yang lain. Selepas doa biasa, mereka membaca pula wirid ”Li khamsatun” beramai-ramai.

Prinsip perniagaan yang dilaksanakan di sini tidak mengutamakan keuntungan. Satu konsep yang sangat menarik kerana ketika masyarakat sibuk untuk mencari gelaran jutawan dan ahli perniagaan yang kaya-raya, masih ada mereka yang tidak mahu. Contohnya penulis cuba mendapatkan khidmat urutan seluruh badan. Selepas diurut, penulis bertanyakan upahnya. Pengurut berkata yang mereka tidak pernah meletakkan harga. Maknanya perkhidmatan ini tidak ada harganya walaupun di tempat lain ada yang mengenakan upah sehingga RM50.00 bagi sejam. Disebabkab penulis biasa mengurut, bayaran yang memadai telah diberikan.

Oleh sebab konsep inilah, kebanyakan perniagaan mereka nampak tidak maju dari segi lahiriah kerana perkhidmatan yang diberikan tidak ditentukan dengan untung yang banyak. Malahan ada yang rugi. Ada bekas ahli Al Arqam yang menyatakan keuntungan syarikat Rufaqa’ hanyalah 30 sen sehari.

Konsep perniagaan ini agak unik kerana pada Ashaari Muhammad, berniaga adalah untuk memenuhi keperluan ummah dan tidak perlu membebankan dengan menekan pengguna. Contohnya, jika ada ahli masyarakat sekitar yang dalam kesempitan untuk membeli barangan keperluan, dia boleh saja ke pasar raya Rufaqa’ untuk mengambil barangan berkenaan dan membayarnya apabila ada wang. Kalau tidak ada juga, bolehlah tidak membayarnya!

Konsep ini bertentangan sekali dengan amalan kapitalis dan sistem yang lain kerana matlamat perniagaan Rufaqa’ ialah memberi kemudahan kepada orang lain. Amalan-amalan, saranan dan kata-kata hikmah adalah pengukuh keyakinan kumpulan syarikat Rufaqa’ terhadap amalan yang sedang dipraktikkan ini.

Mereka percaya kalau bertaqwa, Allah akan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Itulah jaminan yang mereka dengar dan amalkan. Tidak hairanlah di Rufaqa’ Inn, penyambut tetamu wanita akan memegang tasbih untuk berwirid walaupun wajahnya jarang memberi senyuman. Kepalanya pula tunduk supaya tidak bertentang mata dengan lelaki yang bukan muhrim. Lelaki tukang urut juga begitu. Sementara menunggu penulis untuk diurut, turut memegang biji tasbih; berwirid dan berzikir.

Pengalaman penulis melihat perkampungan Rufaqa’ sangat memberi kesan terhadap pandangan dan pemikiran walaupun sudah memerhati perjalanan kumpulan Al Arqam secara dekat dahulu. Amalan menggantung gambar Ashaari Muhammad masih berterusan dan dihiasi dengan kata-kata hikmah serta sajak. Penulis tidak nampak pula gambar pemimpin negara Malaysia yang lain digantung pada dinding-dinding premis perniagaan mereka.

Terfikir juga kenapa di pejabat kerajaan, restoran dan premis peniagaan terdapat gambar Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri dan Perdana Menteri.

Rufaqa’ Corporation ditubuhkan untuk menampung keluarga Ashaari Muhammad yang ramai. Para pekerjanya terdiri daripada bekas-bekas ahli Al Arqam yang hilang pekerjaan. Ashaari Muhammad pernah mengambil pekerja asing tetapi katanya susah untuk didisiplinkan kerana tidak ada kejujuran dan amanah. Hubungan majikan-pekerja adalah sangat berbeza kerana Ashaari menggunakan pendekatan ayah-anak. Pengikat kesetiaan dan kejujuran ialah kasih sayang. Beliau yakin sifat amanah dan jujur akan terbentuk dengan perlahan-lahan. Akhirnya pekerja akan bekerja bersungguh-sungguh dan menghormati majikan mereka.

Yang pertama, kumpulan ini perlu melakukan transformasi pemikiran dan perlakuan supaya tidak dipandang lemah dan diperlekeh. Umpamanya keadaan tempat makan di Restoran Ikhwan. Ia perlu ditingkatkan kebersihan dalaman dan luaran seperti mana mereka dididik untuk mengatur kasut ketika masuk ke premis masing-masing. Longkang restoran masih hitam pekat airnya, kurang bersih, lantai yang kurang bersinar dan makanan yang tidak banyak untuk dipilih.

Yang kedua, ramai perempuan dan wanita yang bekerja di sini. Timbul persoalan apakah kaum hawa ini menjana pendapatan ekonomi utama kerana kegigihan mereka bekerja. Kuat bekerja sangat baik tetapi hanya satu pihak akan merugikan jemaah. Kaum lelaki yang penulis temui agak vokal mempertahankan perniagaan dan aktiviti Rufaqa’ dengan sedikit sebanyak menyalahkan kerajaan. Pemikiran yang tertutup begini menjadikan mereka sukar untuk diajak berbincang.

Yang ketiga, tenaga manusia iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan di sini perlu ditarbiyah dengan cara terbaik supaya akhlak dan keupayaan berfikir dapat dikembangkan sepenuhnya. Penulis mungkin tidak mengetahui aktiviti kanak-kanak ini tetapi pemerhatian yang singkat memberi gambaran yang lebih banyak negatif daripada positif. Berketayap dan bertudung memang baik dan cantik tetapi jika diberi ilmu dan dikembangkan kepintaran, mereka akan menjadi lebih hebat dan bermakna kepada masyarakat dan negara.

Rumusannya kumpulan Rufaqa’ perlu meningkatkan keupayaan ”model masyarakat Islam” yang mereka wujudkan di Country Homes supaya ia menjadi benar-benar bermakna terhadap orang luar. Ashaari Muhammad juga menyatakan Negara Islam bukannya terletak pada bangunan, lambang dan persekitaran tetapi pada orangnya. Justeru itu, perbaikilah keadaan hidup ahli-ahli Rufaqa’ yang kebanyakannya mencari rezeki dengan berniaga di sini. Aspek dalaman dan luaran perlu dibentuk supaya memberi kesan maksimum ke atas penghayatan Islam.

Monday, December 11, 2006

Impak pendidikan Islam ke atas pembentukan peribadi pelajar

Pengenalan

Pendidikan adalah lambang masyarakat yang bertamadun. Beberapa tamadun dunia yang muncul dan hilang meletakkan pendidikan di tempat teratas bersama industri perdagangan, ketenteraan dan pengangkutan. Dalam Rancangan Malaysia Kelapan dan Kesembilan (2001-2010), kerajaan Malaysia memperuntukkan sejumlah RM87,522.00 juta untuk perbelanjaan dan peruntukan pembangunan bagi pendidikan dan latihan.

Institusi pendidikan memainkan peranan yang sangat penting bagi agenda pembangunan negara. Keupayaan rakyat sesebuah negara terletak pada sejauh mana tahap celik huruf dan kadar penembusan terhadap informasi teknologi maklumat. Negara-negara maju mempunyai kadar buta huruf yang sangat rendah malahan sifar dan penguasaan teknologi maklumat yang tinggi.

Pendidikan individu merangkumi pendidikan di rumah, sekolah, pasca persekolahan, institusi pengajian tinggi dan tempat kerja (Berita Harian, 10 Disember 2006). Melalui pendidikan bertahap inilah nilai dan budaya yang kukuh diterapkan supaya akan lahir modal insan yang mantap dan berkualiti.

Di Malaysia, sistem pendidikan yang dilalui oleh setiap pelajar merangkumi sekolah rendah dan menengah yang mengambil masa selama 11 tahun. Mereka diberi pelbagai pendedahan untuk melengkapkan diri dengan keperluan dunia dan akhirat. Bagi pelajar muslim, mereka diberi pendidikan Islam bagi melengkapkan diri dengan kemahiran membaca al-quran dan ilmu feqah bagi memantapkan iman dan taqwa.

Kajian oleh Universal McCann Malaysia yang bertajuk ”Nilai-nilai moral kian terhakis?” menyatakan pencapaian dunia seperti pembangunan fizikal dan ekonomi yang rancak dicacati oleh senario gaya hidup moden yang membelakangkan kemurniaan akhlak dan keluhuran budi. Demi mengecapi kejayaan, ada yang sanggup berbuat apa sahaja termasuklah mengenepikan nilai-nilai moral yang sepatutnya menjadi pegangan hidup setiap individu (The Star, 9 Disember 2006).

Walaupun pendidikan Islam dilaksanakan dalam sistem pendidikan perdana negara, gejala sosial yang berlaku turut meresahkan umat Islam. Setiap hari dipaparkan pelbagai kes yang melibatkan salah laku sosial dalam masyarakat seperti pecah amanah, delikuensi remaja dan penipuan serta pembunuhan. Statistik Agensi Anti Dadah Kebangsaan menyatakan secara purata 2,334 rakyat Malaysia terlibat dengan penagihan dadah setiap bulan dan bagi setiap 29 minit akan muncul seorang penagih baru. Penghuni belia di pusat serenti adalah 71.7 peratus. Dari tahun 1988 hinga Jun 2006, jumlah penagih dadah adalah 295,593 orang.

Gejala sosial ini semakin membimbangkan (Ahmad Rezuwan Mohd Yunus,2003). Apa yang telah berlaku kepada sistem pendidikan negara khususnya sistem pendidikan Islam yang dilalui oleh pelajar dan remaja sekarang?

Gejala sosial seperti bohsia, buli di sekolah, lari dari rumah, buang bayi, rogol dan penganiayaan kanak-kanak adalah simptom yang muncul kerana kegagalan sistem pendidikan, institusi kekeluargaan dan penguatkuasaan. Azizah Othman (2003) melihat empat pendekatan untuk mengatasi masalah sosial ini iaitu peranan ibu bapa, peranan diri sendiri, peranan rakan sebaya dan peranan masyarakat. Namun begitu beliau tidak memasukkan aspek pendidikan yang berperanan lebih besar kerana dalam masyarakat moden hari ini, elemen nilai banyak diterapkan melalui pendidikan formal seperti sekolah.

Pengaruh media massa yang memaparkan budaya yang berbeza dengan masyarakat tempatan telah memecahkan dominasi nilai-nilai tradisi sama ada nilai bangsa atau agama.

Bagaimana umat Islam dahulu merangkak dan membina tamadun ilmu yang gilang gemilang beratus-ratus tahun? Apakah rahsia yang menggerakkan mereka untuk mencari dan mengembangkan ilmu kepada seluruh dunia hingga mencipta trend budaya ilmu kepada masyarakat Barat?



Latar Belakang Pendidikan Islam

Tahun 459 Hijrah adalah batas yang memisahkan di antara pendidikan kaum muslimin dengan tahun-tahun sebelumnya. Ketika ini, sekolah yang pertama telah dibuka di kota Baghdad yang didirikan oleh Nizamul Muluk, seorang menteri dari bangsa Saljuk. Sistem persekolahan ini seterusnya berkembang ke seluruh dunia Islam termasuk di daerah-daerah kecil.

Sebelum ilmu dan sistem pendidikan yang mantap wujud, umat Islam belajar di masjid, surau dan kuttab. Di Malaysia, sekitar tahun 1980-an, kuttab lebih dikenali sebagai kutub-khanah yang dimodenkan. Kuttab adalah sejenis tempat belajar yang mula-mula lahir di dunia Islam. Perkataan kuttab diambil dari perkataan ”taktib” yang boleh diertikan sebagai tempat memberikan pelajaran menulis dan membaca.

Selain menjadi tempat belajar menulis, kuttab juga adalah tempat untuk belajar membaca al-quran.

Tradisi kuttab ini berkembang ke istana yang mana para guru digelar “mu’addib” berperanan mendidik budi pekerti putera dan puteri raja. Mu’addib yang terkenal ialah Ahmad Ibnu Abul Abbas Tsa’lab yang diminta mendidik Taher, putera kepada Muhammad Ibnu Abdillah. Ahmad telah disediakan dengan tempat istimewa dan diminta mengajar Taher selama empat jam sehari. Semua kemudahan disediakan dan beliau telah membimbing Taher selama 13 tahun.

Pendidikan di istana bukannya bersifat formal malah mendidik dan mengisi keperluan rohani dan jasmani. Amalan ini masih diamalkan oleh kebanyakan pemerintahan beraja di dunia termasuk sultan-sultan Melayu di Malaysia dan kesultanan Brunei. Pada zaman dahulu, anak-anak raja diberi pendidikan lengkap dari segi emosi, fizikal, mental dan spiritual sebagai persediaan menjadi pemimpin negara.

Pendidikan juga tersebar melalui kegiatan perniagaan yang turut menyemarakkan industri buku. Kedai-kedai buku yang bermula sejak kerajaan Bani Abbasiyah dan tersebar luas ke seluruh negara. Penekanan utama ketika ini ialah kesusasteraan seperti sajak, perbincangan ilmiah dan pidato. Keadaan ini memberi ruang untuk perkembangan ilmu falsafah dan bahasa yang telah melahirkan bijak pandai Islam yang sering mengadakan perbahasan ilmiah. Melalui pertemuan dan perbahasan serta peranan kedai-kedai buku ini, muncul tokoh-tokoh penulis seperti Ibnu Nadim, Ibnu Kaujak dan Jaqut yang mengarang buku Mu’djamul Udaba dan Mu’djamul Buldan.

Kepesatan perkembangan ilmu ketika tamadun Islam berkembang digambarkan oleh Ibnu Jauzi (597 Hijrah) yang menyatakan kedai-kedai buku di kota Baghdad sebagai sebuah pasar yang besar dan tempat ulama dan fuqaha mengadakan persidangan. Kepentingan peranan kedai buku sebagai tempat perkembangan ilmu dapat dilihat daripada petikan sajak berikut yang menceritakan keadaan sebuah kedai buku di Mesir.


Duduk di pasar-pasar itu tercela
tetapi ada pula di situ majlis-majlis yang terpuji.
Maka janganlah engkau dekati selain pasar kuda, pasar senjata dan

pasar buku
Dua yang awal adalah alat para pahlawan
Dua yang terakhir adalah alat para sasterawan.



Perbincangan ilmiah yang lebih serius berlangsung di rumah-rumah para ulama (sarjana). Ketika zaman Rasulullah saw, baginda sendiri menggunakan rumah Al Alqam Ibnu Abil Arqam sebagai markas. Di sini Rasulullah saw mengajar perkara-perkara pokok tentang agama Islam dan menerangkan maksud ayat-ayat al-quran.

Rumah ulama Islam tersohor ialah Imam Al Ghazali (504 Hijrah) yang memberi pelajaran kepada beberapa orang muridnya. Yaakub Ibnu Killis adalah menteri kepada khalifah Al Azizbillah Al Fathimi merupakan seorang ulama yang luas pengetahuannya dalam mazhab Ismailliah. Beliau adalah seorang penulis buku dan rumahnya dikunjungi oleh para ulama dan pelajar setiap hari Jumaat.


Manakala Ahmad Ibnu Muhammad Abu Taher adalah seorang ulama yang miskin. Rumahnya dijadikan tempat mengajar pada sebelah malam kerana pada waktu siang, beliau mengajar di istana.

Kisah yang terkenal berkaitan pendidikan ini ialah pengalaman Imam Malik mengajar kitab Muwatta’. Khalifah Harun Al Rashid ingin sekali bertemu dengan Imam Malik di Madinah selepas menunaikan haji di Mekah. Ketika pesuruh khalifah datang menemui Imam Malik untuk menyampaikan hajat khalifah lalu beliau tegas berkata, ”Sampaikan kepada khalifah bahawa ilmu itu didatangi bukannya ia yang mendatangi seseorang.” Akhirnya khalifah datang sendiri untuk belajar dengan Imam Malik.

Rumah-rumah ulama dan sarjana menjadi tempat mereka yang dahagakan ilmu dan pencari-pencari ilmu. Ilmu berkembang dengan cepat kerana sifat pemurah tokoh-tokoh ilmuwan ini kerana kefahaman mereka terhadap kelebihan orang berilmu seperti yang dinyatakan dalam surah Az Zumar ayat 9,


“Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”


Seterusnya muncul institusi ilmu yang lebih pesat dan teratur khususnya ketika pemerintahan khalifah Harun Al Rasyid. Beliau menyedari peranan khalifah ialah sebagai pentadbir negara dan pada masa yang sama merupakan pemberi fatwa dalam urusan agama. Oleh itu, seorang khalifah mestilah berilmu dan mampu berijtihad.

Zaman khalifah Harun Al Rasyid adalah zaman perkembangan ilmu pengetahuan yang pesat. Majlis ilmu, diskusi dan penerokaan serta penjelajahan berkembang dengan kelahiran tokoh-tokoh penulis seperti Abu Nawas, Abul ’Atahiah dan Abbas Ibnu Ahnaf.

Perkembangan Islam melalui kabilah perniagaan berkembang melalui padang pasir kerana anjuran untuk berdakwah oleh Rasulullah saw. Di padang-padang pasir juga berlaku pertukaran pendapat dan perkembangan ilmu. Di sinilah bahasa Arab dan bahasa-bahasa ilmu yang lain berkembang dan muncul pula bidang baru dalam perkembangan ilmu yang dipanggil terjemahan. Ilmu pengetahuan dan maklumat yang dipusakai oleh bangsa Rom dan Parsi dapat disebarluaskan kepada masyarakat Arab melalui proses terjemahan.

Pendidikan yang berkesan dapat melahirkan pelajar yang sangat menghargai ilmu. Ketika kerajaan Islam Andalusia berkuasa, umat Islam berebut-rebut untuk memenuhkan dada mereka dengan ilmu dan pada masa yang sama memenuhkan perpustakaan dengan buku.


Kardova, sebuah kota yang indah di Andalusia adalah tempat kediaman ramai ulama Islam yang dahagakan ilmu. Salah seorang daripada mereka adalah Al Hadhrami. Beliau sering ke kedai-kedai buku untuk mencari sebuah buku yang sangat diminatinya. Buku tersebut bertulis tangan dan mempunyai isi kandungan yang bagus. Oleh kerana sistem harga yang ditetapkan secara penawaran tertinggi, setiap kali Al Hadhrami meletakkan tawaran, harga tersebut diatasi oleh tawaran lawannya. Akhirnya, dia tidak mampu meletakkan tawaran yang tertinggi dan menyerahkan buku tersebut untuk lawan yang tidak dikenalinya itu.

Sebelum pulang, Al Hadhrami bertemu dengan pembeli tadi dan berkata, ”Tuan ulama, kalau memang tuan memerlukan buku ini, biarlah saya mengalah. Tuan ambillah buku itu kerana saya tidak sanggup lagi mengatasi tawaran tuan.”

Orang itu menjawab, ”Saya bukan seorang ulama malah saya tidak mengerti isi buku ini. Disebabkan saya ada sebuah perpustakaan dan terdapat tempat sebesar buku ini. Oleh kerana buku ini saya lihat tulisannya bagus, dijilidkan dengan baik, saya ingin membelinya walaupun harga yang ditawarkan tinggi bagi mengisi ruang yang masih kosong dalam perpustakaan yang saya buat ini.”

Kemajuan ilmu pengetahuan yang pesat ketika zaman kegemilangan tamadun Islam adalah kerana semangat yang berkobar-kobar untuk menuntut ilmu. Tekad dan kemahuan yang kuat ini telah membantu penuntut ilmu untuk menempuh segala halangan dan tidak mempeduikan susah payah.

Dorongan terkuat yang menggerakkan mereka adalah ayat-ayat al-quran, hadis, kata-kata mutiara dan peribahasa daripada para cendekiawan dan pemimpin-pemimpin Islam yang cintakan ilmu.

Kemahuan, keazaman dan tekad untuk belajar telah menggerakkan anak-anak muda yang cintakan ilmu untuk keluar merantau dari kampung halaman. Motivasi ayat-ayat al-quran, hadis dan kata-kata perangsang tadi yang diulang-ulang memberi keyakinan kepada mereka untuk mencari ilmu dan pada masa yang sama melenyapkan keraguan dan kemalasan.


Petikan ayat-ayat Al Quran

“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat dan (ingatlah) Alllah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan.”

(Surah Al Mujadalah ayat 11)



“Katakanlah adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui, sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.”

(Surah Az Zumar ayat 9)



“Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.”

(Surah al-Taubah ayat 122)



“Maka Maha Tinggilah Allah, yang menguasai seluruh alam, lagi Yang Benar (pada segala-galanya). Dan janganlah engkau (Wahai Muhammad) tergesa-gesa membaca al-quran sebelum selesai dibacakan oleh Jibril kepadamu, dan berdoalah dengan berkata: “Wahai Tuhanku, tambahilah ilmuku.”

(Surah Toha ayat 114)



“Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-Rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka. Oleh itu bertanyalah kamu (wahai golongan musyrik) kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahui.”


(Surah Al-Nahl ayat 43)


Petikan Hadis

“Sesiapa yang dikehendaki Allah swt untuk mendapat kebaikan maka Allah swt akan mengurniakannya pengetahuan yang mendalam tentang agama.”

(Riwayat Al Bukhari)



Petikan kata-kata Mutiara

“Manusia itu ada yang sudah berilmu dan ada yang sedang menuntut ilmu dan yang lainnya adalah orang-orang yang bodoh yang tidak berguna.”


(Al Ashfihani)


“Ilmu pengetahuan itu akan menjadi perhiasan bagi pemiliknya dalam waktu makmur dan akan menjadi penolong dalam masa-masa krisis.”


(Ibnu Muqaffa’)


Abdullah Ibnu Mubarak pernah ditanya,“Andaikata Allah swt memberitahumu bahawa kamu akan mati malam ini, apakah yang kamu akan lakukan hari ini?” Jawab Abdullah, “Aku akan pergi mencari ilmu pengetahuan.”


Pemimpin Islam

“Wahai Kamil, ketahuilah bahawa ilmu pengetahuan adalah lebih baik daripada harta benda kerana ilmu pengetahuan dapat menjaga kamu sedangkan harta benda itu engkau yang menjaganya, ilmu pengetahuan itu adalah pihak yang berkuasa sedangkan harta benda itu adalah pihak yang dikuasai. Dalam pada itu harta benda akan berkurangan jika dibelanjakan sedangkan ilmu pengetahuan itu bertambah-tambah jika kita berikan kepada orang lain.”

(Ucapan Ali bin Abi Talib kepada pemuda bernama Kamil)



Konsep Pendidikan Islam

Rasulullah saw meninggalkan al-quran dan sunnah sebagai panduan kepada umat Islam yang menjadikan mereka sentiasa berada di jalan yang lurus dan tidak akan sesat selama-lamanya.


“Aku tinggalkan kepadamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat selama kamu berpegang teguh kepada keduanya iaitu al-quran dan sunnahku.”

(Riwayat Abu Daud)



Ramai bijak pandai dan tokoh Islam menjadikan al-quran dan sunnah sebagai panduan kepada pendidikan Islam. Imam Al Ghazali menyatakan tujuan pendidikan Islam seharusnya kembali kepada Allah swt. ”Bertaqarrub kepada Allah, bukan untuk mendapatkan jabatan kepimpinan, bermegah-megah dan berlumba-lumba.”

Manakala Ibnu Khaldun membahagikan pendidikan Islam kepada dua iaitu tujuan keagamaan dan keduniaan. Tujuan keagamaan adalah membentuk peribadi yang taat beragama seperti firman Allah swt dalam surah Al Baqarah ayat 138 yang bermaksud,



“Celupan Allah dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? Dan kepadanya kita menyembah.”


Tujuan keduniaan menjurus kepada tingkah laku berdikari bagi menghadapi kehidupan di dunia. Potensi sumber manusia harus dibangunkan supaya matlamat akhir ialah keredhaan Allah swt dan merealisasikan ayat 105 surah At Taubah.


“Dan katakanlah, bekerjalah kamu lalu Allah, rasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu apa yang kamu kerjakan.”


Abdul Halim (1989) membuat kesimpulan bahawa para sarjana dan cendekiawan Islam mempunyai pemikiran dan pendapat yang sama mengenai pendidikan Islam dengan meletakkan al-quran dan sunnah sebagai tempat teratas. Oleh itu beliau merumuskan yang pendidikan Islam harus berperanan untuk membentuk peribadi yang memenuhi ciri-ciri insan kamil iaitu :


-Mempunyai keimanan yang teguh.
-Patuh dan tekun menjalankan perintah-perintah Allah dan menjauhi laranganNya.
-Mempunyai akhlak yang luhur.
-Mempunyai sikap sosial yang baik.
-Memiliki ilmu pengetahuan dan kematangan intelektual yang tinggi.
-Mampu berdikari dalam segala aspek khususnya di dalam mencari rezeki untuk kehidupannya sendiri dan orang yang menjadi tanggungjawabnya.
-Bersedia memikul tanggungjawab agama dalam segala aspek : peribadi, masyarakat, negara dan seluruh umat manusia.


Tujuan pendidikan umum ialah untuk membangun pemikiran termasuk minda dan personaliti secara menyeluruh, ia tidak memberikan kemahiran khusus tetapi membina personaliti yang menyeluruh (Syed Hussein Alattas,2005). Oleh itu, pendidikan Islam harus mengambil kira kepentingan dunia dan akhirat supaya kekuatan individu dan masyarakat yang dibina dapat memberi makna kepada pembentukan negara yang dihormati.

Ahmad Tafsir (1992) menyatakan kehairanannya apabila memikirkan orang ramai lebih memuji pencapaian sekolah kerajaan dan yang dikelolakan oleh pertubuhan Kristian di Indonesia. Sekolah yang dikendalikan oleh pertubuhan Muhammadiyah dan institusi Islam yang lain gagal menyerlah. Kajian dan pemerhatiannya mendapati pengelola sekolah Islam belum dapat mensintesiskan teori pendidikan Barat (disebut moden) dan teori pendidikan Islam yang berdasarkan al-quran dan sunnah. Contohnya ialah keazaman pengelola sekolah pendidikan Islam untuk meningkatkan kualiti pengajaran; mereka menggunakan teori Barat tetapi dalam pembiayaan perjalanan pentadbiran sekolah seperti gaji guru, kemudahan dan perkhidmatan sangat sedikit.


Pendidikan Islam di Malaysia

Pendidikan Islam di Malaysia secara formalnya bermula pada tahun 1960-an apabila kerajaan melaksanakan undang-undang peraturan yang didasarkan kepada Laporan Rahman Talib. Laporan ini membentuk Akta Pelajaran 1961 yang menyatakan, ”Seksyen 36 (1) tercatat bahawa pendidikan agama Islam hendaklah diberikan kepada murid-murid beragama Islam di setiap sekolah yang murid-murid beragama Islam berjumlah 15 orang atau lebih.”

Pelaksanaan pendidikan agama Islam diuruskan oleh Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran yang mengendalikan segala kegiatan yang berhubung dengan pendidikan Islam di sekolah rendah dan menengah.

Pengajaran pendidikan Islam di sekolah adalah manifestasi Perlembagaan Negara Malaysia yang menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi. Kedudukan Islam telah berjaya ditempatkan pada kedudukan istimewa.

Pendidikan Islam di institusi pengajian tinggi bermula secara formal pada tahun 1955 setelah Kolej Islam Malaya ditubuhkan di Klang, Selangor. Tahun 1959, Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Sastera, Universiti Malaya ditubuhkan sebagai hasil kerjasama di antara Kolej Islam Malaya dan Universiti Malaya. Seterusnya Kolej Islam Malaya digabungkan dengan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dikenali sebagai Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Bahagian Pendidikan Islam, Universiti Teknologi Malaysia adalah universiti pertama yang menjadikan pendidikan Islam sebagai keutamaan. Unit Pendidikan Islam ditubuhkan pada tahun 1972 yang menyelaraskan kuliah pendidikan agama Islam kepada mahasiswa UTM. Kini hampir semua universiti awam mempunyai Pusat Islam masing-masing.

Pendidikan Islam di institusi pengajian tinggi Malaysia diperkukuhkan dengan pengenalan Kursus Tamadun Islam yang diwajibkan kepada semua mahasiswa dengan tujuan setiap orang daripada warganegara Malaysia yang mendapat pendidikan tinggi di universiti akan mengenali Islam dan ajaran-ajarannya sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Ternyata pendidikan Islam telah diperkukuhkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan. Kurikulum dari sekolah rendah hinggalah ke institusi pengajian tinggi memberi ruang kepada pelajar untuk mendapatkan pengetahuan dan diterapkan dengan nilai dan falsafah pendidikan Islam ini. Apakah kesan daripada proses pendidikan yang diterima jika kita melihat definisi dan harapan daripada Al Ghazali, Ibnu Khaldun dan tokoh-tokoh ulama Islam yang lainnya?

Kegagalan sistem pendidikan Islam kini adalah disebabkan nilai yang diterapkan tidak dapat membawa pelajar untuk mengenali Allah swt dan mencetuskan perubahan dalam diri mereka. Walaupun akal fikiran pelajar hari ini lebih baik dan dianggap maju, tetapi dalam hal pembinaan watak diri yang digelar ulul albab masih jauh daripada realiti sebenar. Pendidikan Islam yang ada tidak berupaya membentuk individu yang boleh bertafakur untuk merenung, mengamati, membuat kajian dan menganalisis peranan Tuhan dalam penciptaan alam dan kehidupan realiti.

Hala tuju pendidikan Islam harus menjadikan objektif pembentukan ulul albab sebagai salah satu hasil akhir dalam pencapaian seperti maksud firman Allah swt dalam surah Ali Imran ayat 191,


“(Ulul albab adalah) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka banyak berfikir tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata, “Wahai Tuhan kami, Engkau tidak menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.”


Kejayaan ahli saintis Islam dahulu adalah kerana takwa dan keupayaan mereka bertafakur bagi menganalisis penciptaan alam (Danial Zainal Abidin,2004) dan direalisasikan dengan galakan yang berterusan dan mantap daripada al-quran, hadis, kata-kata mutiara ulama dan sokongan padu khalifah Islam.

Ibu bapa berperanan memperkenalkan Tuhan kepada anak-anak melalui tiga keadaan sebaik sahaja mereka boleh bercakap.

Pertama, memperkenalkan Allah swt melalui sifat Maha Pencipta. Setiap benda yang tumbuh, menjalar dan bergerak di hadapan kita adalah makhluk Allah swt. Penciptaan siang dan malam silih berganti boleh diterangkan secara langsung supaya anak-anak merasai kehadiran Tuhan di dalam hidup mereka.

Kedua, diajar untuk mensyukuri nikmat diberi Allah swt dalam semua perkara. Bermula dengan bangun pagi, makan minum dan kesempurnaan tubuh badan boleh sahaja memberi impak yang besar ke atas corak pemikiran anak-anak dan sentiasa ingat bahawa setiap masa dalam hidup mereka, Allah swt bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Ketiga, mengenengahkan sifat Al Karim Allah swt. Mulia dan pemurahnya Allah swt merangkumi semua perkara. Harapannya ialah anak-anak akan merasai kecintaan dan menaruh harapan ke atas apa sahaja yang dilakukan kepada Allah swt.

Pendidikan Islam adalah pemangkin kepada pembentukan nilai dan keluhuran moral pelajar dan masyarakat Islam khususnya di Malaysia. Peranan pendidikan Islam ini telah terbukti berjaya melahirkan sebuah tamadun yang menguasai sepertiga dunia sehingga menjadi warisan pemodenan dunia hari ini. Kejayaan umat ini diakui oleh seorang tokoh usahawan Amerika Syarikat, Carleton S. Fiorina, CEO Hewlett-Packard Company pada 26 September 2001 di Minneapolis, Minnesota.


“Pada suatu masa dahulu, wujud suatu tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini. Tentera-tenteranya dianggotai oleh mausia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan. Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa lepas. Penulis-penulisnya menulis ribuan cerita. Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800 hingga 1600 Masihi.”


Masyarakat luar melihat pendidikan Islam yang dilaksanakan dahulu mampu membuat perubahan dan memberi sumbangan kepada seluruh dunia. Kesimpulannya, matlamat pendidikan Islam harus memenuhi tiga perkara asas untuk menjadi umat yang disegani iaitu memelihara kesejahteraan, mewujudkan sistem sosial yang selamat dan dapat menyemai nilai kepercayaan.






Rujukan


Abdul Halim Hj. Mat Diah.1989. Pendidikan Islam Di Malaysia. Kuala Lumpur : Angkatan Belia Islam Malaysia.

Ahmad Redzuwan Mohd Yunus.2003. Gejala Sosial dalam Masyarakat Islam. Kuala Lumpur : Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Ahmad Syalabi.1973. Sejarah Pendidikan Islam. Jakarta : Penerbit Bulan Bintang. Edisi terjemahan oleh H. Mucktar Jayja dan M. Sanusi Latief.

Ahmad Tafsir.1992. Ilmu Pendidikan Dalam Perspektif Islam. Bandung : PT Remaja Rosdakarya.

Azizah Othman.2003. Gejala Sosial Dalam Masyarakat dan Cara Mengatasinya. Pendidikan Islam. Bentong, Pahang : PTS Publications & Distributor Sdn Bhd. Mardzelah Makhsin (editor).

Danial Zainal Abidin.2004. 7 Formula Individu Cemerlang. Kuala Lumpur : PTS Millennia Sdn Bhd.

Mahmud Yunus.1973. Tafsir Quran Karim. Jakarta : P.T. Hidayakarya Agung.

Syed Hussein Alattas.2005. Pemikiran dan Falsafah Pendidikan : Mahasiswa Abad 21. Kuala Lumpur : Fakulti Pendidikan UKM dan Yayasan Istana Abdul Aziz. Abdul Razaq Ahmad (editor).

Berita Harian,10 Disember 2006. Jangan Salahkan Sistem di Sekolah.

Universal McCann Malaysia. Kajian Suara Pengguna. Advetorial The Star, 9 Disember 2006.

Sunday, December 03, 2006

Pendidikan hati bagi mengatasi masalah masyarakat

Berita kematian seorang bayi yang masih bertali pusat di Projek Perumahan Rakyat Pudu Ulu Cheras, Kuala Lumpur baru-baru ini sangat menyedihkan. Dihumban dari tingkat 17 sehingga kepalanya pecah adalah perbuatan seorang yang sungguh zalim dan tidak bertanggungjawab. Ibu atau bapanya tentulah berasa sungguh kecewa jika mengetahui perkara ini tetapi jika perbuatan ini dilakukan oleh salah seorang daripada mereka atau kedua-duanya, tentulah lebih zalim perbuatan ini.

Kesedaran menjaga kebajikan anak-anak yang baru lahir dan masih kecil masih berada di tahap tinggi di dalam masyarakat kita. Keprihatinan ahli masyarakat terhadap kasih sayang anak-anak masih lagi dapat dipertahankan.

Bagaimana ibu bapa yang zalim terhadap anak-anak boleh memberi kasih sayang yang sepenuhnya terhadap anak-anak mereka?

Mereka tidak ada kasih sayang. Anak-anak tidak merasai kasih sayang yang diperlukan dalam proses tumbesaran mereka. Tanpa kasih sayang, hidup mereka kosong dan perlu diisi dengan kasih sayang, rasa gembira dan menghargai kehidupan. Emosi anak-anak-anak yang masih baru berkembang mesti dipenuhi dengan semua perkara yang positif sama ada dari segi bahasa, perasaan dan tingkah laku. Jika akhlak ibu bapa baik dan terpuji, perkembangan fizikal, mental dan spiritual akan berkembang dengan baik. Jika tidak, adab dan sikap tidak akan ke mana.

Peranan ibu bapa yang menjadi pembentuk dan pembimbing anak-anak sangat penting. Pemikiran yang betul dan selari dengan kehendak kehidupan akan mencetuskan tanggungjawab dan keinginan yang membuak-buak terhadap kehidupan. Ketika menghadiri kursus kemahiran keibubapaan bagi pasangan yang baru hendak mendirikan rumah tangga, mereka didedahkan dengan pelbagai kaedah dan tips untuk mempastikan kebahagiaan yang dibina akan berkekalan. Namun tidak semua pasangan yang menghadiri kursus ini kekal selama-lamanya. Tidak bermakna kursus berkenaan gagal dan perlu ditangguhkan tetapi wajar diperkemaskan dari semasa ke semasa.

Statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai penceraian golongan muda pasangan Islam dari tahun 1993 hingga 2004 menunjukkan aliran peningkatan. Begitu juga dengan pasangan yang bukan Islam, cuma bilangan yang berbeza. Pada tahun 2004, penceraian bagi pasangan Islam ialah 16,509 kes, satu peningkatan yang besar berbanding tahun 2001 dan 2002. Dalam tempoh yang sama, penceraian di kalangan bukan Islam menunjukkan pengurangan. Tahun 2004, bilangan kes ialah 3,291 kes berbanding 3,318 pada tahun 2003.


Jadual 1 : Penceraian Orang Islam dan Bukan Islam di Malaysia, 1999-2004
(Sila hubungi editor)


Keupayaan untuk mengekalkan perkahwinan merupakan suatu perjuangan yang berpanjangan. Tanpa memiliki ilmu dan selok-belok alam perkahwinan, kebahagiaan yang diharapkan tidak akan ke mana malah mungkin akan berakhir dengan penceraian.

Pasangan yang berkahwin mempunyai tanggungjawab yang sangat besar bagi mendidik dan membimbing anak-anak ke arah pembentukan akhlak yang mulia dan berbudi pekerti tinggi. Mereka juga bertanggungjawab memberi pendidikan yang sepenuhnya bagi mempastikan anak-anak mendapat pelajaran yang akan mencerahkan hidup pada masa hadapan. Gagal melaksanakan tugas sebagai ibu bapa merupakan kezaliman dan sangat sukar untuk dimaafkan.

Masalah juvana dan sosial yang berkaitan dengan remaja pada hari ini sangat berkait rapat dengan keruntuhan rumah tangga. Kenapa ramai remaja yang berjinak-jinak dengan aktiviti tidak sihat seperti pergaulan bebas, lumba haram, ponteng sekolah, kurang berdisiplin dan hilang akhlak yang mulia?

Anak-anak muda pada hari ini akan mewarisi generasi ibu bapa mereka yang sekarang sedang mentadbir dan mengurus masyarakat. Cabaran yang dilalui oleh anak-anak ini sangat berbeza daripada ibu bapa mereka. Oleh yang demikian, persediaan ke arah itu harus cepat supaya setiap cabaran dan halangan dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Salah satu daripadanya ialah menguatkan hati dan jiwa mereka supaya mekanisme pertahanan diri dapat diperkukuhkan sebagai benteng daripada melakukan perbuatan maksiat dan mungkar.

Sumber perubahan yang paling berjaya ialah pendidikan hati. Dalam sejarah perkembangan Islam, terdapat kisah menarik mengenai perubahan yang maksimum berlaku kepada masyarakat Islam yang gemar minum arak.

Masyarakat Islam, termasuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad saw memang suka minum arak walaupun memeluk agama Islam. Dalam keadaan begitu, baginda saw terus mendidik para sahabat untuk menjadi seorang muslim. Didikan wahyu sangat berkesan untuk mengubah fikiran dan tabiat buruk golongan jahiliyah ini.


Islam mengharamkan arak secara berperingkat-peringkat sesuai dengan penerimaan wahyu. Pada permulaan Islam, arak tidak diharamkan dan kaum muslimin bebas menikmati kelazatan arak. Kemudian turun ayat 219 surah Al Baqarah yang bermaksud,


“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya.”


Dengan turunnya ayat ini, sebahagian orang Islam meninggalkan tabiat meminum khamar. Mereka berpegang perkataan yang terdapat di dalam ayat; “Pada keduanya terdapat dosa besar.”

Namun sebahagian daripadanya terus meminum arak kerana berpegang pada ayat; “... beberapa manfaat bagi manusia.”

Pada suatu ketika, Utban bin Malik menjemput beberapa orang daripada sahabat untuk menghadiri majlis keraian yang diadakannya. Di antara mereka ialah Saad bin Ali Waqas. Dalam majlis itu telah dihidangkan dengan makanan dan arak. Para tetamu telah minum arak ini sehingga mabuk dan mula hilang ingatan. Ada seorang daripadanya bangun dan membawa syair kebanggaan kaumnya serta mencela kaum Ansar. Salah seorang daripada kaum Ansar yang ada di situ telah memukul Saad dengan rahang unta.

Saad bin Abi Waqas kemudiannya mengadu kepada Rasulullah saw dan turunlah wahyu yang mengharamkan arak secara mutlak. Ayat 90 surah Al Maidah yang bermaksud,


“Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya arak, judi, menilik nasib dengan mempercayai tuah pada anak panah adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu tidakkah kamu mahu berhenti?”


Apa yang kita belajar daripada kaedah mendidik Rasulullah saw ini? Jawapan paling tepat ialah pendidikan hati. Hati dididik sehingga berdisiplin. Hati pun ada disiplin.


“Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging. Apabila ia baik akan baiklah seluruh jasad. Sebaliknya apabila ia buruk akan buruklah seluruh jasad. Daging itu ialah hati.”

(Riwayat Bukhari dan Muslim)


Hati adalah istimewa, tempat munculnya rasa bertuhan, rasa kasih dan sayang, benci, cemburu, gementar dan sensitif. Hatilah tempat tumpuan dan menjadi raja dalam diri.

Kes kematian bayi ini tidak akan menjadi kezaliman yang dahsyat jika ahli masyarakat dididik dengan pendidikan hati yang disirami ketaqwaan dan keimanan kepada penciptanya. Keserabutan dan kekeliruan minda akan memberi bekas kepada keupayaan membuat keputusan. Pendidikan yang mengisi hati dan minda adalah prasyarat kepada kejayaan ummah. Sistem pendidikan yang memberi penekanan kepada pembentukan hati dan minda yang soleh akan memberi sinar kepada pembentukan masyarakat cemerlang pada masa hadapan.


Saturday, November 25, 2006

Panduan menentukan kesahihan sesuatu berita dan isu

Perkembangan semasa yang berpusatkan pada isu pesanan ringkas pembaptisan di Perak telah menjadikan segelintir masyarakat mudah terpengaruh dengan kandungan mesej berkenaan. Keupayaan mereka untuk mengenal pasti sesuatu isu sama ada benar ataupun tidak, dilihat begitu lemah dan wajar diberi panduan bagi mengelak isu berkenaan dipanjangkan.

Isu Datuk Azhar telah lama berlegar di internet dan tidak tahu kesahihannya sehinggalah beliau muncul di Perhimpunan Agung UMNO 2006 yang lalu dan menafikan khabar angin berkaitan dirinya. Artikel ini akan mengulas bagaimana kaedah untuk kita menilai dan membuat kesimpulan yang terbaik mengenai sesuatu isu supaya kita tidak terperangkap dalam pemikiran yang keliru dan tidak banyak memberi manfaat. Panduan ini boleh diperhalusi lagi sekiranya membabitkan perbincangan yang serius.

Pertama sekali, bagi sesuatu isu, berita atau maklumat, wajar kita mempastikan penulis atau penyampai tersebut mendapatkan sumbernya (dari buku, temu bual, pemerhatian, pengalaman sendiri dan sebagainya) supaya kita maklum mengenai tujuannya. Jika penulis berkenaan tidak menyatakan sumber rujukan, apakah motif penulis yang tidak memberitahu sumbernya. Adakah dia ingin menyorok maklumat sedia ada atau memang tidak mempunyai maklumat yang sahih dan boleh dipercayai?

Kedua, bagaimana penulis menyokong kenyataan-kenyataannya. Dalam kes Datuk Azhar, pengirim mesej begitu berani dan mendedahkan dirinya kepada risiko. Adakah pernyataannya berdasarkan fakta sedia ada, baru diperolehi ataupun pendapat dan andaiannya semata-mata. Jika terdapat fakta, apakah fakta tersebut sangat konsisten dalam penulisan atau perbualannya? Perlu juga dilihat apakah terdapat percanggahan fakta dan di mana fakta berkenaan boleh diperolehi? Fakta ini boleh jadi dalam bentuk statistik yang disahkan, laporan ataupun pengesahan daripada pihak yang ada autoriti seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Polis Diraja Malaysia ataupun jabatan agama.

Ketiga, sekiranya beliau mempunyai fakta, adakah fakta berkenaan menggunakan dokumen asal seperti lampiran rasmi ataupun beliau menggunakan sumber daripada dengar cakap sahaja.

Keempat, diri penyebar mesej berkenaan. Adakah beliau seorang yang ada kuasa untuk menyatakan sesuatu yang belum tentu sahih? Latar belakang penyampai mesej harus diteliti kerana ia akan menentukan kewibawaan dan maruahnya. Keadaan ini sama seperti menentukan latar belakang perawi hadis. Jika disebut Imam Muslim, riwayatnya tidak akan disoal lagi.

Kelima ialah bahasa yang digunakan di dalam mesej. Adakah ia berbau emosional, neutral atau mengajak kepada sesuatu seperti provokasi dan menguji. Pembaca yang mudah terpengaruh dan singkat fikirannya amat suka melihat isu digembar-gembur supaya lebih sensasi.

Keenam, apakah tujuannya berjumpa dengan Sahibus Samahah Datuk Seri Mufti? Adakah beliau ingin sekali meluahkan perasaannya bahawa isu berkenaan sangat besar, tidak dapat ditangguh-tangguh, ataupun untuk meraih simpati dan merayu? Tempat terbaik ialah beliau membuat laporan polis.

Ketujuh, bagaimana dengan tarikh penglibatan Datuk Azhar? Jika tahun 1999, adakah ia masih relevan setelah enam tahun tanpa ada apa-apa tindakan daripada pihak jabatan agama dan pihak berkuasa yang lain. Apakah jarak masa yang paling baik untuk mengesahkan sesuatu isu itu sudah lapuk dan layak di hantar ke pihak arkib?

Kelapan, penyebar mesej telah dikenal pasti. Soalan paling utama ialah apakah penyebar mesej ini ataupun disebut saksi, seorang yang boleh dipercayai? Ada kredibiliti? Latar belakangnya yang lengkap dan motif sebenar dia berbuat begitu?

Kelapan-lapan panduan ini adalah untuk menggerakkan hala tuju pemikiran ke atas isu yang ada sekarang dan bagaimana kita harus bertindak. Menggunakan emosi untuk menyelesaikan isu tidak akan menyelesaikan masalah dalam jangka masa panjang kerana kemungkinan kita akan tertinggal fakta. Kaedah yang paling mudah ialah melihat secara menyeluruh dan menyusunnya satu per satu supaya kita dapat tahu di mana ianya bermula dan bagaimana ia harus berakhir.

Datuk Azhar memilih sikap yang profesional untuk berhadapan dengan isu yang melibatkan dirinya. Menggunakan platform yang sangat berpengaruh untuk menyatakan pendiriannya dan tanpa rasa takut menundukkan musuh-musuhnya yang ingin mengambil kesempatan ke atas kejayaannya mengelilingi dunia. Kita tidak mempunyai ramai watak seperti beliau yang berani tampil kehadapan dan tidak langsung memberi ruang kepada musuh untuk bertindak balas.

Keupayaan memahami isu berdasarkan fakta, khabar angin, gosip atau pendapat harus dicanai dari semasa ke semasa supaya masyarakat bijak membuat pilihan. Isu berdasarkan pendapat memang sangat menyeronokkan tetapi apakah ia akan memberi manfaat kepada pembuat dasar?

Kes ini adalah sebagai panduan kepada kita bagaimana kita harus menggunakan pemikiran yang rasional, licik dan berarah supaya kita tidak menghabiskan wang yang banyak dalam sistem pendidikan negara untuk mengadakan program pemulihan otak terbiar (POT) di sekolah-sekolah seluruh negara.

Friday, November 24, 2006

Politik dunia pada 2050 (1)

Terdapat kebimbangan di kalangan masyarakat Barat terhadap masa depan Eropah dan Amerika Syarikat dalam tempoh 50 tahun yang akan datang. Dalam ruangan forum di internet, pelbagai reaksi dan ramalan telah mereka lontarkan sebagai mengesahkan kebimbangan ini. Salah satu daripadanya ialah kuasa politik yang beralih dari Barat ke Timur.

Sejarah bergerak dan dunia akan berubah lagi. Kekuasaan sesebuah tamadun silih berganti di antara Barat dan Timur. Setelah beberapa abad dunia dikuasai oleh Sepanyol, Perancis, Britain dan kini Amerika Syarikat. Kegagahan Amerika Syarikat sebagai kuasa tunggal dunia memberikan mereka kekuatan untuk menakluk Afghanistan dan Iraq serta menyusun gerakan bagi mempastikan mereka menguasai iklim politik dunia.

Artikel ini membuat analisis apa yang akan berlaku dengan Amerika Syarikat sekarang dan siapa pula yang akan menggantikannya.

Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan tiga keadaan yang memaksa ekonominya berada dalam keadaan genting. Pertama ialah bergantung kepada modal luar untuk menampung perbelanjaan perkhidmatan awam dan swasta. Amat sukar bagi sesebuah bangsa yang terlalu bergantung kepada modal luar bagi menggerakkan ekonomi bagi jangka masa yang panjang. Kedua ialah bergantung kepada sumber manusia yang diimport dari luar untuk mmenuhi sektor pekerjaan utama khususnya teknologi maklumat. Pada masa yang sama bilangan rakyat yang sanggup menyertai pasukan tentera sukarela turut menurun kesan daripada peperangan di Afghanistan dan Iraq. Ketiga ialah kesan daripada defisit ini akan membantutkan projek pembangunan dalam jangka masa panjang.

Kerajaan Amerika Syarikat sendiri terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk mempertahankan kehadiran mereka di Timur Tengah dan Asia Tengah.

Masyarakat Eropah semakin tua. Walaupun Kesatuan Eropah dilihat membesarkan keahlian mereka kepada negara-negara Eropah Timur, sejarah berulangkali memberi pengajaran bahawa komuniti yang besar tidak dapat memberi kuasa politik yang dominan kerana tidak berkualiti. Dengan kadar kelahiran yang semakin rendah dan jangka hayat yang panjang, masyarakat Eropah akan menyaksikan majoriti rakyatnya berumur 40 tahun ke atas dalam tempoh tidak sampai 50 tahun.

Pada tahun 2050, satu daripada tiga orang rakyat Itali, Sepanyol atau Greek akan berusia lebih 65 tahun. Keadaan ini akan memaksa negara-negara Eropah mengubah dasar imigrasi mereka dan memberi ruang kepada penduduk dunia ketiga khususnya negara-negara Arab, India, China, Pakistan, Bangladesh dan Indonesia untuk berhijrah ke sana. Negara-negara Afrika turut mengeksport rakyat mereka dan akan mewujudkan beberapa puak yang dikenali sebagai Eurabia dan Africabia.

Keadaan seterusnya ialah masyarakat Eropah dan Amerika Syarikat akan hidup dalam dunia pelbagai budaya yang lebih kompleks daripada Malaysia.

Kemajuan ekonomi China tidak akan selamanya kerana akan berlaku krisis ekonomi. Walaupun China membuka pasarannya kepada sistem kapitalis tetapi cengkaman monopoli oleh sistem komunis masih lagi berpengaruh. Agak sukar bagi perniagaan untuk berkembang dalam ekonomi yang dimonopoli oleh kerajaan. Kedudukan China dalam indeks persepsi rasuah bagi 2006, 2005 dan 2004 juga tidak menentu. Bagi 2006, kedudukannya ialah 70, bagi 2005 ialah 78 dan bagi tahun 2004 pula pada kedudukan 71. Naik turun ini menggambarkan rasuah masih lagi menjadi ancaman dan mengambil masa beberapa tahun untuk menjadi lebih baik.

Dasar pintu terbuka yang dipraktikkan China masih tidak menunjukkan kejayaan yang memberangsangkan walaupun syarikat Eropah dan Amerika Syarikat berlumba-lumba membuat pelaburan.

Kemunculan masyarakat Islam di Eropah dan Amerika Utara yang bertambah sekali ganda berbanding masyarakat setempat akan mengubah polarisasi dan struktur semasa. Dilaporkan seramai 20,000 rakyat Amerika Syarikat yang memilih agama Islam setiap tahun. Kehadiran masjid dan kedai makanan halal tidak dapat disekat lagi kerana dasar memenuhi hak asasi manusia yang diamalkan. Walaupun terdapat usaha untuk menghalang kemunculan masyarakat Islam bagi mengamalkan ajaran mereka seperti di Britain dan Perancis, usaha ini sama seperti membuat empangan untuk menghalang pengaliran air kerana tuntutan ke atas amalan agama dilihat lebih tinggi. Justeru usaha mempastikan amalan agama ini diterima oleh negara-negara Eropah tidak akan berakhir setakat ini sahaja.

Empayar yang semakin lemah, kemunculan agama Islam dan anarki menjadikan dunia semakin berkrisis. Satu pihak ingin mempertahankan kuasa politik dunia manakala satu lagi akan cuba mengasak dan meluaskan pengaruhnya.

Dalam masa 20 tahun, globalisasi telah berjaya meningkatkan taraf hidup kebanyakan negara kecuali negara yang terlibat dengan peperangan dan ditadbir oleh pemerintah kuku besi. Amerika Syarikat akan terus bermimpi dengan peristiwa kedua 11 September manakala Eropah akan menyaksikan kuasa politik akan ditembusi oleh pergerakan Islam satu per satu.

Kesimpulannya, abad ke-21 sekarang akan menyaksikan kuasa utama dunia, Amerika Syarikat semakin lemah dan dominasi China semakin membesar.

Wednesday, November 22, 2006

Penagih dadah perlukan sokongan keluarga

Penagihan dadah dikaitkan dengan sebahagian besar kes jenayah sama ada kecil ataupun besar. Daripada kes mencuri kasut di masjid, lumba haram hinggalah memeras ugut dan membunuh ibu bapa sendiri.

Dari tahun 1998 hingga 2002, sebanyak 235,495 kes dilaporkan termasuk penagih baru dan berulang. Sehingga 2003 sahaja, bilangannya telah bercambah kepada 250,000 kes. Daripada jumlah ini, 6.7 peratus adalah remaja berusia di bawah 19 tahun, 42.21 peratus melibatkan penagih yang berumur 20 hingga 29 tahun, 32.76 peratus berusia 30 hingga 39 tahun dan 18.4 peratus melebihi umur 40 tahun.

Keseluruhannya 81.67 peratus penagih dadah merupakan remaja dan belia. Majoritinya adalah lelaki.

Dadah merupakan musuh utama negara. Kerajaan Malaysia pernah melancarkan perang terhadap kegiatan dadah ini dan mengenakan hukuman gantung sampai mati ke atas pengedar yang didapati bersalah. Hukuman ini dianggap sebagai antara yang paling tegas di dunia tetapi pertambahan kes penagihan berulang dan baru masih menunjukkan peningkatan. Sehingga tahun 2004, terdapat 255,725 penagih dadah di seluruh negara. Dianggarkan pada tahun 2015 nanti, jumlah penagih dijangka meningkat kepada 443,000 (NST, 23 Oktober 2004).

Kedudukan Malaysia yang hampir dengan segitiga emas pengedaran dadah di Indochina, menjadikan usaha pembasmian dadah lebih sukar. Namun begitu, usaha kerajaan yang tidak pernah berputus asa memberi pemulihan, pencegahan dan pengawalan ke atas penagih, pengedar dan pensubahat sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada masyarakat untuk membantu kerajaan melalui pelbagai program yang dirancang.

Penagih dadah terdiri daripada pelbagai latar belakang. Daripada penganggur hinggalah artis dan kakitangan kerajaan. Banyak sebab yang menjadikan mereka terjebak ke kancah penagihan dan pengaruh yang kuat ialah rakan sebaya.

Pengaruh kawan dilihat menjadi faktor penarik seseorang terpengaruh dengan penagihan dadah. Berjinak-jinak dengan rokok, ingin merasai nikmat “stim” dan mencari kepuasan adalah antara ruang-ruang yang menjurus kepada penagihan dadah yang juga dikira sebagai kes baru. Bagi kes berulang, tidak ada daya tahan yang kuat, menyendiri dan kerap menerima tohmahan menjadikan mereka kembali menagih.

Penagih remaja, Izham (bukan nama sebenar) merupakan pelajar tahun dua institusi pengajian tinggi swasta. Beliau ditangkap kerana kesalahan menghisap ganja. Semasa pemeriksaan dijalankan, air kencingnya dikesan ada unsur-unsur ganja berkenaan. Motif pengambilan ganja ini adalah kerana beliau ingin mencapai tahap “stim” ketika bermain gitar.

Seorang penagih tegar, Ilyas (bukan nama sebenar) menceritakan bahawa beliau telah menagih selama 30 tahun. Telah beberapa kali ditahan dan pusat serenti menjadi rumah kedua baginya. Tohmahan masyarakat dan kurang daya tahan menjadikan dirinya kembali menagih kerana tidak ada tempat untuk mengadu dan tidak sanggup menerima cercaan dan cacian daripada keluarga dan masyarakat setempat.

Seorang lagi, Mohd Sayuti (bukan nama sebenar) memberitahu ketika di kampung kelahirannya, beliau bukannya menjadi ”orang” kerana setiap masa akan berkumpul di ”pot” yang menjadi tempat pertemuan penagih sama ada menghisap ganja, menghidu gam atau minum air daun ketum. Kalau tidak ada wang untuk membeli dadah, dia akan mencuri apa sahaja bagi mendapatkan belanja membeli dadah.

Pertemuan dengan beberapa orang penagih dadah baru-baru ini mendedahkan betapa peranan keluarga amat penting bagi membantu memulihkan penagih ini kembali ke pangkuan masyarakat. Sokongan yang dimaksudkan bukannya belaian fizikal sahaja tetapi lebih kepada sokongan dan belaian emosi, kasih sayang dan pemedulian semua ahli keluarga.

Kadangkala bekas penagih yang telah insaf dan ingin kembali ke pangkuan keluarga hilang semangat dan keyakinan diri kerana dipandang hina dan diperlekehkan. Di mana mereka hendak berkongsi kasih sayang yang ada jika kesedaran ahli keluarga amat rendah tentang betapa bermaknanya sokongan keluarga ini?

Keluarga juga berperanan menyediakan sokongan untuk memenuhi keperluan asas bekas penagih yang tidak mempunyai apa-apa lagi di dalam hidup mereka. Yang ada cuma diri sendiri, sehelai sepinggang kerana kemaruk dengan dadah. Justeru, keluarga perlulah melihat pengorbanan asas ini sebagai langkah penting memulihkan keyakinan diri bekas penagih supaya proses penyerapan kembali akan lebih bermakna.

Biasanya para pengedar akan mencari bekas-bekas penagih yang berazam untuk pulih. Mereka sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk menarik bekas penagih kembali menagih dan membuat keuntungan dalam penjualan dan pengedaran dadah. Tanpa kesedaran yang betul-betul bermakna, bekas penagih akan terus terjebak biar pun banyak wang yang telah dibelanjakan untuk membantu penagihan ini.

Kisah seorang penagih yang telah insaf mungkin boleh menjadi iktibar kepada kita betapa penagihan dadah ini boleh diatasi. Mohd Zulyiadi (bukan nama sebenar) merupakan penagih muda yang menjalankan dua kerja, penagih dan pengedar. Sejak awal pembabitannya, barang kemas dan wang ringgit dalam rumah selalu dicuri. Bagi menampung gian terhadap dadah, beliau memberanikan diri untuk menjadi pengedar dadah kecil-kecilan kepada penagih sehinggalah pada suatu hari, dia menghulurkan bungkusan kecil paket dadah kepada adik perempuannya sendiri. Ketika itulah, mencurah-curah datang keinsafan dalam dirinya untuk membuat perubahan.

Zulyiadi menangis terisak-isak mengenangkan nasib diri dan adik perempuannya yang baru sahaja diedarkannya dadah. Bermula dari situlah, beliau mula melawan ketagihan dadah. Dengan kamahuan dirinya dan sokongan keluarga, akhirnya beliau telah pulih dan kembali berkongsi dengan masyarakat untuk bersama-sama membantu bekas penagih yang secara sukarela mahu kembali ke pangkal jalan.

Jika ditanya kepada bekas penagih, apakah mereka mahu berubah? Hampir semuanya akan berkata ya kerana itulah hasrat sebenar mereka. Jika ditanya lagi bagaimana mereka mahu berubah? Pasti mereka akan katakan keluarga sebagai pendokong kepada perubahan hidup.

Jika demikian, kerajaan wajar melihat program kemahiran dan latihan kepada keluarga sebagai kelompok sokongan. Masyarakat mungkin tidak begitu peduli dengan apa yang berlaku tetapi peranan keluarga yang mengambil berat wajar disokong dan diberi pendedahan yang sewajarnya. Walaupun penagih sukar untuk berubah, sekurang-kurangnya ahli keluarga yang sedar dapat membantu mengawal dan memberi simpati kepada penagih untuk keluar daripada keadaan ini.

Peranan Agensi Antidadah Kebangsaan, Pemadam, Pengasih dan Pendamai serta pertubuhan bukan kerajaan adalah pelengkap kepada program pembasmian dadah ini. Pembinaan keluarga yang bermula dari peringkat awal hendaklah diberi pendedahan yang seluas-luasnya supaya tidak ada ahli masyarakat kita yang siang dan malamnya menangis mengenangkan betapa durjana dan dahsyatnya kesan dadah terhadap kehidupan mereka.

Friday, November 17, 2006

Membentuk kemahiran membaca kanak-kanak

Kata orang bijak pandai, “Kunci untuk mendapatkan pengetahuan adalah daripada pembacaan dan penulisan.” Kepada kanak-kanak, keupayaan membaca dan menulis sejak dari usia tiga tahun merupakan satu kelebihan kepada diri sendiri dan kebanggaan kepada keluarga.

Minat membaca kanak-kanak ada kaitan rapat dengan keupayaan mereka berbahasa. Secara umumnya, kanak-kanak boleh membaca dengan lancar akan suka pada buku seterusnya menjadikan aktiviti membaca sebagai satu hobi yang menarik.

Kanak-kanak patut diajar membaca ketika kecil lagi.

Ketika berusia 18 bulan, kanak-kanak sudah boleh diperkenalkan kemahiran membaca secara beransur-ansur. Unsur utama yang perlu diberi penekanan ialah kesedaran umum mengenai bunyi-bunyi perkataan dan penggunaannya dalam situasi seharian. Contohnya perkataan “mama” dan “papa”. Kedua-dua perkataan ini boleh ditulis dan diperkenalkan kepada kanak-kanak kerana kekerapan penggunaannya.

Apabila kanak-kanak meningkat usia 3 hingga 4 tahun, mereka sebenarnya berada dalam peringkat pembinaan bahasa yang pesat. Menurut para pengkaji perkembangan kanak-kanak, perkembangan menyeluruh kanak-kanak ialah galakan untuk perkembangan fizikal, mental, emosi, sosial dan bahasa.

Period yang paling kritikal untuk memperkenalkan kemahiran membaca kepada kanak-kanak ialah 0 hingga 3 tahun. Ibu bapa atau guru yang bijak akan sensitif dengan perkembangan kanak-kanak pada masa ini kerana :

--Umur 1 ½ hingga 3 tahun adalah peringkat yang paling sesuai untuk belajar dan mengingat maklumat. Kanak-kanak yang diberi kemahiran membaca pada peringkat usia ini akan menyerap jauh lebih banyak pengetahuan berbanding kanak-kanak yang tidak tahu membaca.

--Semasa membaca, selalunya kita akan mengingat perkataan yang disebut serentak dengan perkataan yang bertulis. Begitulah juga kanak-kanak. Jika berusia 3 tahun dapat membaca, tentulah kemahiran membaca akan mempercepatkan proses pemahaman bahan bacaan yang dibacanya.

--Kanak-kanak sangat lasak ketika berumur 2 hingga 3 tahun kerana mereka sangat dahagakan pengetahuan. Ibu bapa atau guru dapat mengesan perubahan ini dengan mengamati pertanyaan kanak-kanak seperti, “Ni apa?” atau “Apa tu?”. Ujian menunjukkan kanak-kanak sejak dari umur 2 hingga 12 tahun bertanya sehingga 80 peratus daripada percakapan mereka. Apabila ke sekolah menengah, pertanyaan telah berkurangan sehingga 40 peratus.

Kanak-kanak belajar membaca ketika masih kecil biasanya lebih cepat bertindak dan lebih faham membaca berbanding kanak-kanak yang belajar membaca semasa di sekolah. Sebabnya ialah kanak-kanak belajar membaca dengan senang hati dan memahaminya seperti mendengar orang bercakap manakala kanak-kanak di sekolah belajar membaca dengan perasaan takut dan membaca diajar sebagai mata pelajaran yang berasingan.

Masalah yang menghalang minat membaca kanak-kanak

Setiap ibu bapa dan guru sememangnya mengingini kanak-kanak yang dapat membaca dengan lancar dan cepat. Bagi pelajar-pelajar di sekolah rendah, mereka tidak dapat memahami apa yang disampaikan oleh guru disebabkan salah satunya kerana lemah keupayaan membaca. Antara masalah yang sering membantutkan proses pembahasaan dan pembacaan kanak-kanak dan para pelajar ialah :

--Tidak dapat membezakan bentuk, kedudukan, nama, turutan abjad dan sebutan huruf yang dilihat.

--Tidak dapat mengingat ciri dan atribut huruf.

--Tidak dapat mengaitkan sebutan setiap abjad apabila diadunkan menjadi suku kata dan perkataan.

--Pengamatan penglihatan yang bercelaru apabila melihat perkataan tersusun rapi.

--Tidak dapat membezakan bunyi huruf dalam ejaan kerana abjad tidak berkaitan langsung dengan sebutan.

--Keliru dengan huruf seperti b dengan d, g dengan j dan j dengan z.

--Tidak dapat bezakan simbol-simbol huruf.

--Tidak dapat menterjemahkan bahasa baku kepada bahasa loghat untuk mengetahui tujuan dan maksud.

Kesan tidak tahu membaca

Tidak tahu membaca akan memberi masalah. Bermula dari awal lagi, masalah ini berlarutan sehinggalah mereka dewasa. Keadaan ini tentulah mempengaruhi keupayaan untuk bersaing dan berjaya dalam hidup.

Pengaruhi minat belajar

Kesan yang agak ketara ialah dari aspek psikologi seperti rasa rendah diri, kurang yakin dan cepat mengalah. Kajian yang dijalankan oleh Universiti Yale menunjukkan kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan diri yang terhad tidak dapat menyesuaikan diri dengan baik di sekolah rendah dan situasi-situasi yang baru. Mereka juga sukar belajar menulis dan membaca berbanding dengan rakan-rakan sekelas yang lain.

Tidak mahu belajar

Bagi mata pelajaran yang sukar seperti sains dan matematik, mempelajarinya adalah suatu bebanan. Lama-kelamaan timbul rasa jemu dan terus tidak lagi minat untuk belajar. Bukan sahaja sains dan matematik tetapi mungkin semua mata pelajaran.

Belajar dalam keadaan tertekan dan tidak khusyuk

Tanpa kata-kata pujian dan rangsangan, proses belajar akan berada di bawah tekanan dan hilang keseronokan. Apa yang berlaku, kanak-kanak belajar kerana takut dan dipaksa bukannya kerana hendak belajar.

Kurang motivasi dan semangat berlumba-lumba

Apabila tidak dapat membaca dan memahami perkataan, keinginan untuk membaca perkataan-perkataan seterusnya akan menurun dan mengurang. Keadaan ini tentulah merugikan diri mereka sendiri dan ibu bapa terpaksalah memujuk supaya semangat dan minat untuk membaca dapat dipulihkan kembali.

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca ?

Pelbagai kaedah yang digunakan oleh kanak-kanak untuk mempelajari bahasa mengikut peringkat umur.

0 hingga 2 ½ tahun

--mula mengetahui dan memahami bahasa yang dipertuturkan oleh ibu bapa ketika berusia 18 bulan.
--belajar bahasa dengan mengumpul perkataan.
--kaedah belajar ialah melalui rangsangan deria pendengaran secara langsung dan tidak langsung.
--rangsangan membaca ialah memperkenalkan buku-buku yang mengandungi banyak gambar dan berwarna-warni.
--kosa kata berkembang sehingga 270.

2 ½ hingga 4 ½ tahun

--peringkat kritikal dalam proses belajar bahasa.
--terbentuk satu unit bahasa dalam otak secara berasingan.
--perkembangan bahasa akan membantu perkembangan mental dan sosial.
--kanak-kanak belajar membaca dengan memperkenalkan huruf bersama gambar.
--pada peringkat ini, kesediaan membaca masih belum terbentuk sepenuhnya dan ibu bapa harus bersabar semasa membimbing anak-anak mereka.
--mampu mengingat sehingga 1500 kota kata.

4 ½ hingga 7 tahun

--perkembangan otak memasuki fasa terakhir.
--kanak-kanak sudah menunjukkan minat dan kesediaan membaca dengan mengenali banyak perkataan dan suka bertanya serta melihat gambar.
--corak pengajaran ialah mendedahkan kepada persekitaran seperti membezakan bunyi-bunyi binatang atau kenderaan; cara ini dapat melatih kanak-kanak meningkatkan daya pendengaran mereka.
--mampu mengingat sehingga melebihi 4500 kosa kata.

Walau bagaimanapun sesetengah kanak-kanak masih belum dapat membaca biarpun umur semakin meningkat. Keadaan ini mungkin disebabkan mereka tidak memahami tahap-tahap pengajaran bahasa yang betul.

Keperluan membaca untuk kanak-kanak

Membaca adalah satu pengalaman yang menyeronokkan terutama bagi kanak-kanak yang berumur tiga hingga lima tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak adalah individu yang paling besar keinginannya untuk mempelajari, mengetahui, meneroka, mencuba dan menyelidik. Keupayaan mereka untuk mempelajari dan mengetahui sesuatu perkara akan bertambah-tambah jika mereka dapat mencuba dengan cepat dan berkesan.

Mengapa kemahiran membaca penting?

Keupayaan membaca menjadikan diri kanak-kanak lebih yakin, aktif dan bertenaga. Kemahiran membaca peringkat awal ini berkait dengan tiga agenda kehidupan manusia sepanjang masa.

1. Iktibar wahyu pertama

Wahyu Allah swt yang diturunkan kepada Rasulullah saw adalah perintah membaca. Dengan perantaraan membaca dan tulisan, Allah swt mengajar banyak pengetahuan kepada manusia. Jika perkara membaca ini telah dikuasai oleh kanak-kanak sejak usia tiga tahun, maka lebih banyaklah pengetahuan yang diperolehi. Firman Allah swt dalam surah Al Alaq ayat 3 hingga 5 yang bermaksud;

Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajarkan pada manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Daripada perspektif Islam, mengajar kanak-kanak adalah satu tugas yang murni, amat penting dan diberi keutamaan. Contoh yang amat jelas kepada kita ialah peristiwa selepas peperangan Badar iaitu Rasulullah saw telah membuat keputusan mengenai tawanan perang seramai 70 orang. Mereka diberi dua pilihan iaitu bagi tawanan yang punya banyak harta, dia boleh menebus diri dengan wang, manakala bagi yang miskin tetapi pandai membaca, dia dikehendaki mengajar 10 orang kanak-kanak Islam sehingga pandai.

2. Merangsang perkembangan otak

Selepas bayi dilahirkan, biasanya ibu bapa dan keluarga sangat sibuk menyediakan keperluan fizikal seperti lampin, tempat tidur, pakaian dan keperluan-keperluan fizikal yang lain. Tetapi jarang sekali orang yang menyediakan keperluan untuk otak bayi yang sedang membangun pesat. Ketika lahir bayi biasanya mempunyai 1,000,000,000,000 (1 trilion) hingga 1,200,000,000,000 (1.2 trilion) sel otak. Dalam masa setahun, saiz otak menjadi tiga kali ganda.

Masa yang paling sesuai untuk mengajar kanak-kanak membaca ialah ketika otak mereka sedang pesat membangun iaitu 25 peratus ketika lahir, 50 peratus ketika berumur enam bulan, 85 peratus ketika berumur tiga tahun dan 95 peratus ketika mencapai umur enam tahun. Maklumat yang diperolehi daripada kajian ini menunjukkan kadar kepesatan otak membangun dan berkembang ialah semasa berumur 0 hingga 3 tahun. Jika rangsangan dan kemahiran membaca diberikan pada masa ini, ia akan memberi kesan yang paling optimum untuk menaikkan taraf kecerdikannya.

Kanak-kanak adalah golongan yang paling cepat mempelajari bahasa. Keupayaan mereka menambah perbendaharaan kata semakin bertambah setiap hari kerana mereka sentiasa bertanya dan ingin belajar. Apabila mencapai umur 5 tahun, dianggarkan 10,000 perbendaharaan kata telah terbentuk dalam diri mereka.

Kecerdikan kanak-kanak mempelajari bahasa boleh diperhati daripada keupayaan memilih perkataan tertentu dan menyusunnya menjadi struktur ayat yang difahami. Kanak-kanak boleh diajak bercakap dan membaca dengan betul sebelum berumur 5 tahun. Oleh yang demikian, kemahiran membaca pada peringkat awal dapat mempercepatkan proses penguasaan sesuatu bahasa di kalangan kanak-kanak.

3. Persediaan awal ke sekolah

Pada hari ini, hampir sebahagian besar kanak-kanak didedahkan kepada kemahiran membaca ketika memasuki Darjah Satu. Namun begitu, ramai juga yang gagal membaca walaupun telah belajar tiga atau empat tahun di sekolah. Bagi ibu bapa yang mengambil berat tentang kemahiran membaca terhadap anak-anak akan mendapati jauh lebih mudah mengajar anak-anak di peringkat umur tiga tahun berbanding enam tahun kerana kemampuan mengingat dan menyerap maklumat sangat kuat dan pantas.

Kanak-kanak belajar membaca awal biasanya lebih terkehadapan, lebih maju dan boleh bersaing dengan rakan-rakan apabila menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Apabila diuji dengan peperiksaan, tentulah mereka lebih cepat dan tangkas memberi jawapan.

Faedah membaca kepada kanak-kanak

Manfaat membaca terlalu besar apatah lagi kanak-kanak. Membaca awal bererti terkehadapan. Terdapat empat faedah utama yang akan memberi kelebihan kepada mereka iaitu :

1. Proses pembelajaran menjadi lebih lancar dan mudah

Kanak-kanak yang dapat membaca tentulah akan lebih mudah diberi rangsangan dan dorongan untuk belajar. Kenikmatan membaca di kalangan kanak-kanak memang berbeza daripada orang dewasa kerana semangat ingin tahu mereka sangat tinggi. Dengan membaca, mereka dapat meluaskan pengetahuan dan pengalaman.

Apa sahaja perkataan yang dilihat akan ditanya dan jika tidak faham, ditanya lagi sehingga mereka berpuas hati. Melalui budaya bertanya inilah akan membentuk budaya ingin tahu. Cuba kita bayangkan, sekiranya 100,000 orang kanak-kanak memasuki alam persekolahan telah dapat membaca dengan lancar dan berkesan, negara akan melahirkan satu generasi pelajar yang celik huruf, pintar dan bijaksana mencari ilmu dalam tempoh 20 tahun sahaja.

2. Seronok untuk ke sekolah

Melalui pembacaan, kanak-kanak dapat menguasai sejuta perkataan. Begitulah kesan kemahiran membaca ke atas kanak-kanak. Sistem pendidikan di sekolah yang menitikberatkan aspek membaca adalah satu saham yang amat besar terhadap kanak-kanak yang tahu membaca.

Apabila sudah tahu teknik membaca, mengenal huruf, memahami perkataan dan minat membaca, mereka akan terus membaca di mana-mana sahaja dan bertambah-tambah minat untuk belajar perkara-perkara yang baru di sekolah.

3. Rangsang minat membaca

Membaca adalah jambatan ilmu. Dengan ilmu manusia dipandang mulia sama ada di dunia ataupun akhirat. Minat membaca pada kanak-kanak boleh dirangsang dan dibentuk ketika mereka berumur 18 bulan lagi. Dengan menghadiahkan buku ketika anak-anak mendapat kejayaan dalam pelajaran adalah satu dorongan yang amat bermakna untuk menambah minat membaca mereka.

4. Mempercepatkan proses kematangan

Kemahiran dan keupayaan membaca bukan sekadar membantu anak-anak berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan tetapi membantu meningkatkan proses perkembangan mental, psikologikal dan sosial yang lebih baik.

Keempat-empat faedah ini boleh dikembangkan lagi supaya ibu bapa dapat memaksimumkan potensi perkembangan mental dan fizikal anak-anak khususnya anak perempuan.

Pada era teknologi maklumat sekarang, pencerapan ilmu paling banyak diperolehi melalui pembacaan dan pemerhatian. Faedah membaca akan nampak nyata pada orang yang mengamalkan ilmu atau idea yang diperolehi daripada proses membaca. Bagi kanak-kanak, membaca membuatkan mereka mempelajari sesuatu yang baru dan menambah tahap kecerdikan untuk bertanya, mengambil tahu dan melaksanakan apa yang mereka tahu. Sebab itulah kita lihat kanak-kanak yang bijak, keupayaan sosialnya lebih baik kerana proses membaca dapat membentuk pemikiran mereka untuk berfikir dan membuat keputusan yang bersesuaian dengan tahap usia masing-masing.

Pendidikan adalah survival bagi masa hadapan seorang kanak-kanak. Mereka harus dibekalkan dengan segala persediaan awal yang dapat mempastikan survival mereka dalam persekitaran masyarakat yang bersaing. Salah satu survival kanak-kanak ialah kemahiran membaca supaya dapat bersaing dan bergerak ke hadapan menghadapi cabaran.

Tuesday, November 14, 2006

Prestasi Malaysia bagi Indeks Rasuah 2006

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2006 yang dikeluarkan oleh Transparency International (TI) menunjukkan kedudukan Malaysia yang semakin merosot ke tangga 44 berbanding 39 tahun lalu. Kedudukan negara dari tahun 1998 hingga 2006 ditunjukkan dalam Jadual 1 di bawah.


Jadual 1 : Kedudukan Malaysia dari 1998-2006 dalam CPI

(Sila hubungi editor)


TI adalah sebuah agensi yang menjalankan kajian mengenai persepsi rasuah di negara-negara terpilih dan pada 2006, sebanyak 163 buah negara telah dikaji. Indeks ini meletakkan kedudukan negara dari segi tahap di mana rasuah dianggap wujud di kalangan pegawai kerajaan dan ahli politik.

CPI 2006 memberikan mata tertentu kepada negara yang terlibat berdasarkan skala dari 0 hingga 10 yang mana 10 menggambarkan tahap rendah persepsi rasuah.



Jadual 2 : CPI 2006 bagi sepuluh negara teratas
(Sila hubungi editor)


Negara-negara Scandinavia masih lagi mendominasi carta CPI 2006 sebagai antara rantau yang tegas terhadap rasuah. Manakala negara-negara Islam masih lagi mengungguli sepuluh tangga terbawah.


Jadual 3 : CPI 2006 bagi sepuluh negara teratas

(Sila hubungi editor)


Presiden Malaysian Society for Transparency and Integrity (TI Malaysia), Tan Sri Ramon V.Navaratnam yang mengulas kedudukan Malaysia ini menjelaskan empat asas kenapa keadaan ini berlaku.

Pertama, kelembapan pelaksanaan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Kedua, jarak masa antara penggubalan dasar baru dan pelaksanaan sebenar dasar berkenaan.

Ketiga, komitmen dan kekaburan dalam proses kelulusan dan pelesenan oleh pihak berkuasa tempatan dan berkanun.

Keempat, budaya ”senyap” iaitu pihak yang menyaksikan perbuatan rasuah enggan bersuara dan melaporkan kes berkenaan.

Di antara institusi yang telah ditubuhkan ialah Institut Integriti Malaysia (IIM) hasil daripada resolusi Pelan Integriti Nasional (PIN). IIM terus diperkasakan dengan penubuhan di peringkat negeri yang diberi nama Institut Integriti Negeri (IIN). Penubuhan ini dijangka akan memantapkan nilai dan budaya kerja yang lebih baik khususnya di sektor kerajaan. Idea PIN sangat menarik kerana menunjukkan iltizam kerajaan untuk memantapkan sistem penyampaian dan memperkemaskan jentera pentadbiran negara. Malangnya pelaksanaan idea ini tidak memperlihatkan kesungguhan.

TI mengambil kira lima perkara asas untuk menentukan indeks berkenaan iaitu rasuah dalam politik, kontrak umum, sektor swasta, konvension anti rasuah antarabangsa serta kemiskinan dan pembangunan.

Kriteria di sini memberi panduan kepada kita bahawa rasuah dalam politik diberi keutamaan kerana ia berkait dengan sistem pentadbiran dan pengurusan sesebuah negara. Politik di Malaysia juga berkait dengan kedudukan prestasi negara dalam CPI 2006. Jadi, bagaimanakah tahap rasuah politik di negara ini?

Peranan agensi penguatkuasa seperti Biro Pencegah Rasuah (BPR) dilihat masih terkongkong walaupun terdapat penambahan dalam pendakwaan kes. Namun begitu, usaha-usaha yang lebih gigih wajar digerakkan supaya masyarakat luar khususnya ahli perniagaan melihat Malaysia adalah sebuah negara yang bebas daripada rasuah.

Empat perkara pertama memerlukan kesungguhan komitmen daripada kerajaan yang memerintah. Tanpa cita-cita dan tindakan, diyakini kedudukan Malaysia dijangka akan turun lagi pada masa yang akan datang.

Faktor kelima memang diketahui sedang dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh oleh kerajaan dengan menetapkan insiden kemiskinan berada pada paras 2.8 peratus pada tahun 2010.

Barangkali kerajaan Malaysia harus belajar dari Singapura bagaimana mereka begitu berjaya memerangi rasuah di semua peringkat pentadbiran. Malangnya mereka ini bukannya sebuah negara yang mementingkan agama berbanding Malaysia. Kenyataan TI mengenai kajian persepsi rasuah adalah tepat iaitu rasuah tidak ada kaitan dengan agama sesebuah negara.


Jadual 4 : Perbandingan CPI Malaysia dan Singapura

(Sila hubungi editor)


Di kalangan negara-negara Asean, terdapat perubahan yang ketara seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 5. Perubahan yang dikira memberangsangkan ialah kedudukan Indonesia yang semakin baik dan diharap usaha-usaha memerangi rasuah di negara itu akan menunjukkan kejayaan.


Jadual 5 : Perbandingan CPI Negara-negara ASEAN
(Sila hubungi editor)



Usaha kerajaan Malaysia untuk mengurangkan indeks persepsi rasuah sangat perlahan dan mengecewakan seperti yang dinyatakan oleh Tan Sri Ramon. Gambaran perlahan ini bukan sahaja di sektor kerajaan malah yang lebih penting ialah usaha pembasmian rasuah dalam politik dan sektor swasta yang melibatkan pemberian kontrak. Kita berbangga kerana negara kecil dan maju seperti New Zealand dan Singapura mampu mengatasi rasuah di negara mereka, Malaysia sebagai sebuah negara Islam wajar melihat dan menilai kembali usaha-usaha yang sedang dilaksanakan kerana laungan ”Negara Islam” tidak boleh dikaitkan dengan berleluasanya amalan rasuah dalam masyarakat.




Maklumat lanjut : www.transparency.org

Sunday, November 12, 2006

Dasar Sosial Negara

Dasar Sosial Negara (DSN) adalah dasar yang pragmatik ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang sejahtera. DSN sebagai teras dalam pembangunan modal insan harus diletakkan ruang dan diberi peluang yang seluas-luasnya bagi melahirkan masyarakat yang seimbang dari semua segi sama ada ekonomi, pembangunan fizikal, kerohanian dan kemajuan ilmu pengetahuan.

Peranan melaksanakan DSN ini harus sewajarnya didokong oleh setiap agensi kerajaan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai peneraju utama. Bahagian PINTAS di kementerian ini yang dulunya menjadi penggerak terhadap pelaksanaan DSN di peringkat awal telah dimantapkan dengan perubahan kepada Bahagian Pelaksanaan Dasar Sosial . Masih banyak perkara yang boleh dilakukan oleh Bahagian ini untuk membentuk kesejahteraan kepada semua lapisan masyarakat. Mereka wajar melihat kejayaan DSN selepas tiga tahun dilaksanakan agar selari dengan sembilan cabaran Wawasan 2020. Bahagian Pelaksanaan Dasar Sosial, KPWKM perlu turun padang dan melihat sendiri pencapaian setakat ini supaya langkah-langkah pengukuhan dapat dilaksanakan apatah lagi generasi yang akan mengecapi nikmat Wawasan 2020 sedang berada di peringkat keremajaan yang kritikal.

Meletakkan elemen ekonomi dan sosial sebagai pemacu kejayaan dalam pembangunan negara di samping nilai-nilai murni boleh dijadikan teras cabaran kepada bahagian ini untuk merealisasikan keupayaan Dasar Sosial Negara.

Kita ingin sekali melihat program-program yang tersusun merangkumi jangka masa pendek, sederhana dan panjang dirangka dan disusun sehingga berjaya, tidak sekadar program tergesa-gesa. Melalui pemantapan program inilah akan tercetusnya keprihatinan masyarakat terhadap kewujudan dan kepentingan Dasar Sosial Negara.

Singapura : Negara yang akan hilang

Pembatalan “Jambatan Indah” di antara Malaysia dan Singapura merupakan satu keputusan yang sangat sukar. Memandangkan kedua-dua pihak telah lama berunding, hasil akhir ini turut memberi kesan terhadap proses kepimpinan, kaedah membuat keputusan dan cara berfikir barisan pemimpin yang dipilih oleh rakyat masing-masing. Keupayaan membuat keputusan yang tepat sangat penting terutama yang berkaitan dengan hala tuju dan kecemerlangan bangsa dan negara pada masa depan.

Mengimbau kembali sejarah ketamadunan Asia Tenggara kurun-kurun yang lalu, satu demi satu kerajaan tersebut hilang, selari dengan peredaran masa. Sempadan kerajaan-kerajaan tersebut turut hilang dan berubah sama sekali. Kerajaan Srivijaya, Majapahit, Funan, Champa dan Perlak telah menjadi bahan sejarah dan tidak akan muncul lagi. Pahlawan-pahlawan terbilang seperti Pateh Gajah Mada, Raja Sailendera dan Sang Nila Utama pergi meninggalkan nama dan warisan yang melambangkan maruah tamadun masing-masing.

Begitulan silih berganti kerajaan awal dahulu yang timbul tenggelam bersama peredaran masa. Bagi membincangkan kewujudan kerajaan-kerajaan berkenaan, berikut dimuatkan kerajaan Angkor, Funan, Kedah Tua, Srivijaya, Majapahit dan Melaka.

Funan

Funan adalah sebuah kerajaan Hindu purba pertama di Asia Tenggara yang muncul pada abad pertama masihi. Funan bererti gunung dan merupakan kerajaan Kemboja silam. Negara Funan diasaskan oleh Brahimin India bernama Kaundinya yang mendapat arahan dalam mimpi untuk mengambil mangkuk ajaib dari kuil dan mengalahkan Soma, ratu Khmer. Soma adalah anak Raja Nagas yang kemudiannya berkahwin dengan Kaundinya dan keturunan mereka menjadi dinasti raja Funan.

Terletak di sekitar delta Mekong kerana sungai memainkan peranan ke arah menjadikan Funan sebagai sebuah kerajaan perdagangan yang kuat di samping tanah pertanian yang subur.

Kerajaan Funan mencapai kemuncak kegemilangannya semasa pemerintahan Fan Shih-Man pada awal abad ketiga masihi iaitu menganjur ke selatan hingga utara Semenanjung Tanah Melayu dan ke barat sehingga ke Burma (Mynmar). Funan menubuhkan sistem perdagangan dan memonopoli perniagaan yang kukuh dan mencorakkan empayar di kawasan ini. Fan Shih-Man memperbesarkan angkatan laut dan birokrasi Funanisme, membentuk separuh feudal yang mengekalkan adat dan pengenalan tempatan terutamanya yang terletak di sempadan empayar.

Kerajaan Funan dikatakan kuat dipengaruhi oleh kebudayaan India dan agama Hindu. Menggunakan rakyat untuk menjadi pemerintah, bahasa sanskrit sebagai bahasa istana dan menyokong kuat amalan agama Hindu. Selepas abad kelima, Funan menjadi penyokong kuat doktrin Buddha dan menjalinkan hubungan yang erat dengan maharaja China. Kerajaan ini mempunyai himpunan buku dan arkib yang meluas di seluruh negara yang menunjukkan peratusan mereka yang terpelajar sangat tinggi pada masa itu.

Pada tahun 357 masihi, Funan telah menjadi jajahan China dan kekal seperti itu sehingga perpecahan besar pada abad keenam.

Kedah Tua

Kerajaan Kedah Tua diasaskan pada kurun kelima masihi. Kerajaan ini juga merupakan salah satu kerajaan awal yang terkenal dan terletak di Semenanjung Tanah Melayu. Juga dikenali sebagai Kataha dan Cheh-Cha.

Pada peringkat awal, Sungai Mas merupakan pelabuhan utama tetapi kemudian berpindah ke Lembah Bujang. Kedah Tua dipengaruhi oleh agama Buddha seterusnya Hindu dan pengaruh kedua-dua agama ini boleh dilihat melalui peninggalan candi yang terletak di Lembah Bujang.

Gunung Jerai telah menjadi petunjuk kepada pedagang luar untuk singgah di pelabuhan Lembah Bujang atau Sungai Mas. Pelabuhan Kedah Tua menjadi tempat pertukaran barang, tempat persinggahan dan tempat membaiki kapal pelayar dan pedagang dari Arab, India, Sri Lanka, Parsi dan Eropah sebelum mereka meneruskan perjalanan ke Timur. Ia juga turut menjadi pusat perdagangan pelbagai hasil tempatan yang dikumpul oleh penduduk tempatan seperti bijih timah, emas, beras, lada hitam, gading, damar, rotan dan tanduk. Tanah pamah yang luas menjadikan Kedah Tua sebuah pusat pertanian yang terkenal dan sehingga sekarang dikenali sebagai “Jelapang Padi”.

Pemimpin terkenal kerajaan ini ialah Sultan Mutawakkil (847-861 masihi) yang dibuktikan menerusi penemuan wang perak dan manik yang dibawa dari India dan barangan kaca dari Timur Tengah.

Angkor

Kerajaan Angkor diasaskan pada abad ketujuh masihi. Kerajaan ini menerima pengaruh Hindu-Buddha dan peninggalan yang sangat bernilai adalah Angkor Wat yang tersergam besar hingga sekarang. Raja Angkor dianggap sebagai dewaraja yang mempunyai kuasa yang mutlak. Angkor yang dipimpin oleh Suryavarman II telah mencapai puncak kegemilangan. Kegiatan utama kerajaan ini adalah pertanian yang terletak di Tasik Tonle Sap. Pusat pentadbiran kerajaan Angkor ialah di hilir Mekong.

Srivijaya

Kerajaan Srivijaya terletak di daerah yang kini dikenali sebagai Palembang di Sumatera. Mempunyai sebuah kerajaan yang sangat luas merangkumi Indonesia, Semenanjung Malaysia dan Filipina. Agama dan budaya India sangat mempengaruhi kehidupan rakyat Srivijaya seterusnya agama Buddha sehinggalah ke abad lima masihi, Srivijaya merupakan pusat terpenting penyebaran agama Buddha. Kekuatan dan kepintaran raja-raja Srivijaya membolehkan mereka menguasai kepulauan Melayu menerusi perdagangan dan penaklukan dari kurun ketujuh dan kesembilan.

Ketika inilah penyebaran kebudayaan Melayu sangat hebat dan rancak sehinggalah meliputi ke seluruh Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu dan Barat Borneo.

Kekuasaan Srivijaya telah merosot pada kurun kesebelas dan mula ditakluki oleh kerajaan Singhasari dan seterusnya silih berganti hinggalah yang terakhir oleh kerajaan Majapahit. Pada tahun 1414, putera terakhir Srivijaya iaitu Parameswara telah memeluk agama Islam dan berhijrah ke Tanah Melayu serta mengasaskan Kesultanan Melaka.

Majapahit

Empayar Majapahit yang terletak di timur Jawa dan menguasai sebahagian besar Tanah Melayu, Borneo, Sumatera dan Bali dari tahun 1293 hingga tahun 1500. Pemerintah terhebatnya ialah Hayam Wuruk (1350-1389) menandakan kemuncak Empayar Majapahit.

Majapahit merupakan kerajaan Hindu terakhir di Kepulauan Melayu. Bagi menggantikan Srivijaya.

Pengasas Majapahit adalah Kertarajasa, menantu raja kerajaan Singhasari yang juga terletak di Jawa. Selepas Singhasari berjaya menakluk keseluruhan Pulau Jawa daripada kekuasaan Srivijaya pada tahun 1290, Singhasari menjadi tumpuan Kublai Khan iaitu pemerintah Mongol di China. Kublai Khan menghantar utusan ke Singhasari menuntut supaya kerajaan Singhasari menghantar ufti kepadanya. Kartanagara, raja Singhasari enggan membayar ufti kepada pihak Mongol. Sebagai balasannya, tentera Mongol dihantar untuk menghapuskan kerajaan Singhasari.

Pada masa itu satu pemberontakan telah berjaya membunuh Kartanagara. Pengasas Majapahit iaitu Kertarajasa telah bersekutu dengan pihak Mongol menentang pemberontak. Sebaik sahaja Singhasari tumpas, beliau membelot dan memaksa tentera Mongol berundur dalam kekeliruan.

Gajah Mada seorang bendahara yang berkuasa dari tahun 1331 hingga tahun 1364, mengembangkan empayar Majapahit ke pulau-pulau sekeliling Majapahit. Selepas kematian Gajah Mada, angkatan laut Majapahit berjaya menawan Palembang menyebabkan berakhirnya kerajaan Srivijaya.


Walaupun raja-raja Majapahit meluaskan pemerintahannya ke kepulauan yang dekat dengannya, objektif utama mereka berbuat demikian adalah untuk menguasai perdagangan di Kepulauan Melayu. Pada masa itu pedagang-pedagang serta pendakawah-pendakwah Islam mula berdagang di situ.

Kekuasaan Majapahit mula merosot selepas perebutan kuasa berlaku. Majapahit menyedari bahawa kekuasaan Kesultanan Melaka sukar dibendung di Selat Melaka. Empayar Majapahit tumbang dalam tempoh masa di antara tahun 1478 hingga 1520. Tidak lama kemudian secara beransur-ansur pulau Jawa menjadi milik kerajaan-kerajaan Islam.

Melaka

Kesultanan Melaka (1402-1511 masihi) adalah sebuah kesultanan yang ditegakkan oleh Parameswara yang melarikan diri daripada perebutan Palembang oleh Majapahit. Pada 1402, dia telah mendirikan ibu kota Melaka di Selat Melaka. Diangkat menjadi Sultan Melaka setelah memeluk Islam dan berusaha mengembangkan Melaka sebagai sebuah pusat perdagangan terunggul di Asia Tenggara pada abad ke-15 dan ke-16.

Kegemilangan Melaka disebabkan beberapa faktor seperti hubungan diplomatik yang erat dengan China yang membantu mengembangkan pelabuhan Melaka dengan selamat selain daripada kepintaran dan kebijaksanaan pentadbir Melaka seperti Tun Perak yang telah memberikan kelebihan dan keistimewaan kepada pembangunan Melaka. Di samping itu keghairahan masyarakat Islam melaksanakan cara hidup Islam termasuk undang-undang syariah telah membawa rahmat kepada umat Melaka yang bersungguh-sungguh menjadikan Melaka sebagai pusat perdagangan Islam terunggul di Asia Tenggara. Kejayaan Melaka ini telah dicemburui oleh kuasa-kuasa Barat dan akhirnya Melaka kalah kepada Portugis pada tahun 1511.
Dalam sejarah perkembangan tamadun dunia, kepemimpinan telah dibincangkan secara ekslusif kira-kira 2500 tahun yang silam. Plato dalam bukunya The Republic menyatakan secara terus-terang bahawa pemimpin hendaklah dari kalangan orang-orang yang bijak kerana mereka telah dilatih dan diberi pendedahan yang sempurna untuk menjadi pemimpin. Rakyat umum tidak perlu menjadi pemain penting dalam proses kepemimpinan kerana mereka kurang bijak dan tidak banyak pengetahuan yang boleh dikembangkan untuk menjayakan kepemimpinan.

Kung Fu Tze adalah pengkritik utama bagi negara China dalam soal membentuk pemerintahan yang baik. Pada zamannya, keadaan negara yang huru-hara telah memberi ruang kepada beliau untuk mencetuskan paradigma baru terhadap konsep pemerintahan negara. Koleksi pengajaran beliau telah menjadi panduan kepada Maharaja China berkurun-kurun seterusnya membentuk pengaruh yang kuat terhadap masyarakat China.

Tamadun Islam yang dibentuk oleh Nabi Muhammad saw dibayangi oleh empat sifat utama iaitu siddik (benar), amanah (percaya), tabligh (menyampaikan) dan fatanah (bijaksana). Matlamat akhir kepemimpinan dalam Islam ialah untuk mendapatkan keredhaan Allah swt supaya para pemimpin memahami peranan mereka sebagai hamba, khalifah seterusnya memakmurkan alam. Keupayaan sistem latihan dan pembangunan kepemimpinan Islam terbukti dengan kelahiran tokoh-tokoh sepanjang zaman yang berjaya meluaskan empayar kerajaan Islam ke seluruh alam.

Di kalangan pemimpin-pemimpin era moden, terdapat ramai tokoh yang muncul dengan gaya dan matlamat tersendiri. Mereka ini mempunyai watak sendiri untuk menjadi pemimpin yang popular dan berkesan. Antaranya ialah :


Winston Churchill
Perdana Menteri Britain yang serba boleh. Keupayaannya yang dikagumi ialah menyelamatkan manusia daripada kancah Perang Dunia Kedua.

Margaret Tatcher
Digelar wanita besi yang mempunyai ketegasan dan berjaya memulihkan ekonomi Britain.

Napoleon Bonaparte
Panglima perang yang gah. Bercita-cita menakluk Eropah dan merubah sistem pentadbiran Perancis.

Charles De Gaulle
Mempunyai peribadi yang hebat dan berusaha untuk menebus maruah Perancis.

Adolf Hitler
Seorang pemimpin yang tegas dan taksub dengan konsep nasionalisme. Ingin menjadi pemimpin agung dunia.

Komrad Anenaur
Kematangan dan pengalamannya telah membantu Jerman pulih daripada kemusnahan walaupun usianya telah menjangkau 70 tahun.

Benito Mussolini
Berwatak keras dan berjiwa penakluk. Akhirnya terperangkap bersama Hitler.

Joseph Stalin
Melaksanakan dasar ekonomi yang memberi penderitaan kepada penduduk Rusia dan menentang musuh politik secara keras.

V.I Lenin
Seorang yang berwatak intelektual dan pelopor pelaksanaan sistem komunis di Rusia.

Marshall Tito
Juara Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali. Kekuatan peribadi telah menyatukan Yugoslavia tetapi musnah selepas kematiannya.


Mustafa Kamal
Bapa Turki Moden. Melakukan reformasi dalam pelbagai sektor kehidupan masyarakat khususnya amalan-amalan lama.

Gamal Nasser
Pemimpin nasionalis Mesir yang mengetuai beberapa peperangan dengan Israel.

Yasser Arafat
Pejuang umat Palestin yang tidak pernah kenal putus asa berjuang untuk rakyatnya hingga ke akhir hayat.

Ayatullah Khomeini
Pemimpin revolusi Iran yang melenyapkan pemerintahan dinasti Shah di Iran.

Mobutu Sese Seko
Presiden Zaire yang kuat cengkamannya ke atas negara Afrika itu dan liat dengan pelbagai usaha untuk mengekalkan kuasa.

Julius Nyerere
Pemimpin Tanzania yang percaya keupayaan sistem satu parti untuk memajukan negara.

Nelson Mendela
Pencetus antidiskriminasi kaum di Afrika Selatan dan membina pengaruh yang kuat ke atas persamaan hak di seluruh dunia.

Mao Tse Tung
Pengasas China Komunis moden dan Revolusi Kebudayaan.

Maharaja Hirohito
Penyambung tradisi Meiji dan akhirnya terpaksa mengharungi peperangan yang sangat dahsyat.

Deng Tsio Peng
Pemimpin pragmatik China Komunis. Membuat perubahan yang ketara ke atas pemodenan negara.

Ho Chin Minh
Semangat, komitmen dan ketabahan sebagai azimat menundukkan penjajah Perancis dan menghalau Amerika Syarikat dari Vietnam.

Ferdinand Marcos
Dijulang dan dibuang oleh rakyat.

Carlos Romula
Tokoh tentera, diplomat dan pendidik. Pengerusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang pertama.

Lee Kuan Yew
Bersifat autokratik dan tegas terhadap rasuah.

Sukarno
Penampilan berkarismatik dan pemidato terulung Indonesia.

Mahatma Gandhi
Percaya penyelesaian tanpa pertumbahan darah. Berlembut tetapi berkuasa.

Abraham Lincoln
Pemimpin yang berfikiran luas dan terkenal dengan kisah kegigihannya mencari ilmu. Menyelamatkan Amerika Syarikat daripada berpecah dua.

Fidel Castro
Pemimpin licik, lantang dan lali dengan ancaman jirannya, Amerika Syarikat.


Asas Kekuatan Kerajaan Dahulu

Hampir keseluruhan kerajaan awal yang membentuk tamadun di Asia Tenggara dipengaruhi oleh agama sebagai pemangkin kejayaan mereka. Kerajaan Funan umpamanya, dinobatkan sebagai kerajaan Hindu purba yang pertama di Asia Tenggara dan diasaskan pada abad yang pertama masihi. Elemen agama Hindu turut memberi kekuatan kepada pemerintah ketika itu untuk merancang peluasan wilayah dan menjalinkan hubungan diplomatik di antara India dan China.

Begitu juga dengan kerajaan Srivijaya yang turut dipengaruhi oleh budaya dan agama Hindu. Ketahanan empayar Srivijaya dari kurun keempat hingga ke 11 menjadikan elemen agama Hindu mendasari setiap aspek kehidupan mesyarakat, menggerakkan fikiran dan mereka ke arah penyebaran agama Hindu kepada tanah jajahan yang lain.

Pengaruh agama Hindu seterusnya menjadi asas kepada pembentukan empayar Majapahit selama 200 tahun. Kerajaan Kedah Tua telah dipengaruhi oleh dua agama iaitu Buddha dan Hindu yang mana kesannya boleh dilihat di Lembah Bujang.

Seterusnya kemunculan Melaka sebagai sebuah empayar ada kaitannya dengan peranan agama Islam yang memberi nilai baru terhadap aspek diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Daripada analisis ringkas ini, faktor agama telah menjadi faktor pengukuh terhadap berdirinya negara bangsa yang meliputi sebahagian besar Asia Tenggara. Kerajaan Funan kekal selama 600 tahun, Srivijaya bertahan selama 800 tahun, Majapahit hampir 200 tahun dan Kesultanan Melaka lebih 100 tahun. Soalannya di sini, apakah yang terdapat pada agama hinggakan mampu mendominasi sistem pentadbiran dan pemerintahan sesebuah kerajaan?

Mahu ataupun tidak, peranan agama sangat penting dalam pembentukan nilai pada setiap orang dalam masyarakat. Nilai-nilai inilah yang disemai dan disuburkan sebagai penyambung sesuatu pemerintahan. Didapati dalam setiap kerajaan ini, peranan nilai telah melahirkan satu tokoh tersohor untuk setiap kerajaan tersebut yang membawa kemajuan.

Empayar Majapahit melahirkan pemerintah paling hebat dalam sejarahnya iaitu gandingan Hayam Wuruk dan bendahara Gajah Mada. Kerajaan Funan turut berbangga dengan Fan Shih Man yang mampu menguasai Semenanjung Tanah Melayu hingga ke Myanmar (Burma). Manakala Melaka, gandingan Sultan Mansur Shah, Tun Perak dan Hang Tuah meletakkan Melaka sebagai pusat perdagangan tersohor ketika itu.

Pembentukan nilai berkait rapat dengan budaya. Datangnya agama, turut membawa sekali nilai dan budaya kepada penganutnya. Budaya ini biasanya bercampur di antara amalan tradisi dan amalan agama. Bagaimanapun percampuran ini menguatkan lagi pentadbiran negara bangsa tersebut selagi tidak ada pencemaran oleh perkara khurafaat dan bidaah.

Emosi, fikiran, psikologi dan tingkah laku adalah campuran dan ramuan terbaik bagi membentuk nilai. Paling mustahak ialah sejauh mana empat campuran ini memberi kesan ke atas hati manusia khususnya pemimpin. Pentingnya hati ini dapat kita lihat dalam novel “Al Chemist” oleh Paulo Coelho yang menceritakan perjalanan seorang budak bernama Santiago, untuk mencari harta yang terbenam di bawah piramid di Mesir. Dalam satu siri perjalanan Santiago, budak ini berbicara tentang hatinya kepada Alchemist. Kata-katanya yang boleh diingat ialah hatinya sentiasa berkobar-kobar dengan impian, emosi dan boleh menjadi pemusnah. Biar ke mana pergi sekali pun,
“You will never be able to escape from your heart. So it’s better to listen to what it has to say. That way, you’ll never have to fear an unanticipated blow”.

Mungkin agaknya para pemimpin dari dahulu, sekarang dan akan datang akan mempunyai struktur hati yang tertentu bagi membolehkan mereka mempunyai keupayaan menjadi pemimpin negara masing-masing.


Pemerintah empayar Majapahit, Hayam Wuruk mengambil agama Hindu sebagai sistem hidupnya adalah kemuncak kekuatan Majapahit. Mungkinkah dia mempunyai hati seperti yang digambarkan oleh Santiago itu?

Bendahara Tun Perak dan Laksamana Hang Tuah turut mempamerkan ketokohan sebagai pemimpin pada zaman Kesultanan Melaka. Apakah mereka turut mempunyai hati seperti yang dinyatakan oleh Santiago itu?

Pemimpin-pemimpin dahulu tidak mengenal FDI (Foreign Direct Investment), saham atau naik turun harga minyak. Mereka tahu adalah betapa ramai pedagang yang datang berniaga, betapa banyak cukai yang boleh dikutip, betapa luasnya daerah pemerintahan.

Akibat sempadan negara yang terlalu besar dan tidak ada sistem pentadbiran yang cekap, akhirnya proses penyampaian dan karenah birokrasi menjadikan semua urusan lambat dan lembap. Oleh kerana masyarakat dahulu lebih gemar mengambil pendekatan berperang untuk menyelesaikan masalah, kerajaan yang berperang bukannya makin kuat, malah sama-sama lemah dan hilang bersama pesaingnya.

Jika dahulu pertarungan tamadun melalui kekuatan fizikal, pertarungan kini adalah kekuatan mental-siapa yang bijak dialah yang menjadi pemenangnya.

Malaysia dan Singapura adalah warisan kewujudan kerajaan awal yang silih berganti. Pengaruh agama, budaya, perkembangan ekonomi dan pengenalan terhadap sistem pendidikan telah mempercepatkan proses kemajuan dan kematangan kedua-dua pihak. Malaysia dan Singapura berbangga dengan pencapaian masing-masing dalam pelbagai bidang. Penduduk Malaysia seramai 26 juta orang hidup berjiran dengan 4 juta rakan mereka di selatan. Berapa lama Malaysia akan ada seperti sekarang dari segi sempadan wilayah, pengaruh agama, bahasa dan budaya serta peranan yang dimainkan oleh pemimpinnya? Bagaimana dengan Singapura yang tidak ada langsung hasil mahsul sumber semula jadi? Berapa lama ia boleh bertahan jika sikap degil dan keras kepala pemimpinnya berterusan selama 100 tahun?

Kerajaan-kerajaan dahulu membentuk empayar tidak pernah mencecah 900 tahun. Malaysia, Singapura dan Asean bolehkah mencecah angka ini?

Malaysia dan Singapura masing-masing mempunyai umat yang beragama dan tentu memahami keadaan ini. Singapura tidak akan kekal lama kerana pemimpin unggulnya telah berlalu seperti mana Hayam Wuruk yang hidup selama 49 tahun. Selepas kematian Hayam Wuruk, Majapahit turut berkubur. Jangka hayat Majapahit hanya 207 tahun dengan penguasaan ke atas Tanah Melayu, Borneo, Sumatera dan Bali.

Singapura akan menjadi sejarah dalam masa 300 tahun yang akan datang kerana tidak mempunyai asas penubuhan sebuah negara yang kuat. Peranan ekonomi tidak akan kekal lama kerana putusnya Tambak Johor akan memutuskan mata pencarian utama Singapura.

Malaysia ada sedikit kelebihan kerana menerapkan secara langsung peranan agama dalam pentadbiran seperti agama Islam sebagai agama rasmi negara, dasar penerapan nilai-nilai Islam dan pengukuhan agama Islam dalam pendidikan. Agama lain turut diberi perlindungan supaya penganutnya dapat beribadat dengan selesa.

Sepuluh tahun yang lepas, seorang tok alim telah memberi pendapatnya yang sangat bertentangan iaitu abad akan datang di tangan orang yang beragama. Hujahnya ialah manusia moden sudah ketandusan rasa kehambaan terhadap Tuhan dan sedang mengisi kekosongan jiwa ini.

Sejarah kegemilangan kerajaan terdahulu pasti akan berulang kembali. Dari tidak ada agama kepada beragama dan menjadi hebat. Sekarang inipun sama dan masa inilah yang sewajarnya digunakan oleh Malaysia untuk membina dan memantapkan kedudukannya sebagai peneraju ummah. Tidak usah melatah dan takut dengan Singapura kerana masa hadapan adalah di tangan orang-orang yang beragama dan mereka tahu apa yang hendak dibuat dan bagaimana hendak meraikan kemenangan.

Isu tambak, ruang udara dan air adalah isu mikro. Isu yang makro ialah bagaimana Malaysia melihat untuk menentusahkan bahawa umat yang tidak bersandar pada agama adalah mereka yang kalah dan tidak ada kekuatan yang hakiki.

Barangkali ungkapan Lao Tzu ini boleh dijadikan renungan;

“A journey of a thousand miles begin with a single step”.

Ungkapan yang terbaik untuk mengiringi setiap usaha bagi melahirkan umat kelas satu ialah maksud surah Al Mulk ayat pertama;

“Maha Suci (Allah) yang ditanganNya kerajaan dan Dia Maha berkuasa ke atas tiap-tiap sesuatu”.