Tuesday, November 26, 2019

Didik anak baik-baik







Maghrib hari ini saya singgah di Pasar Tani, Tedungan, Limbang. Biasanya surau di kawasan ini dibuka sehingga ke waktu isyak.

Selepas solat maghrib, saya meredah hujan barai-barai melintasi bonet hadapan teksi berwarna merah kuning kepunyaan Pakcik Daimon, pemandu teksi yang sentiasa bersiap sedia membawa saya ke Limbang untuk makan-makan di samping melihat perkembangan sosial masyarakat di sana.

Setiba di hujung deretan gerai, saya terlihat seorang lelaki sedang mengcekak rambut kanak-kanak lelaki, sekitar 9 atau 10 tahun yang sedang menangis tersedu-sedu. Saya tidak tahu apa sebabnya lelaki berkenaan berbuat begitu. 

Mata tertumpu kepada mulut lelaki yang sekali-sekala menjerkah seperti memarahi kanak-kanak itu.

Dia juga menepuk belakang kepala kanak-kanak itu dan bercakap seolah-olah marah memberitahu sesuatu. 

Saya menuju ke gerai menjual kepak ayam dan memesan sepuluh ringgit bersamaan enam kepak. Sambil melihat penjual remaja perempuan memanaskan enam kepak yang diminta, mata saya menjeling ke arah lelaki tadi.

Lelaki tadi berjalan ke arah gerai kepak ayam sambil dua jari kananya menyepit sebatang rokok yang masih tinggal suku batang, dia memeriksa beberapa buting kepak ayam, hati buyah dan bontot ayam di bahagian belakang gerai. Mungkin dia sebahagian daripada pengusaha kepak ayam ini.

Selepas membayar harga kepak ayam, saya beredar dan melalui tempat duduk kanak-kanak tadi. Kali ini saya lihat lelaki berkenaan menyua sehelai tuala kecil berwarna biru tetapi kanak-kanak itu tidak mempedulikannya. Sambil teresak-esak dia membiarkan lelaki berkenaan mengesat air mata yang mengalir keluar sambil bercakap sesuatu. 

Saya lihat kanak-kanak ini mengangguk sahaja, tersedu-sedan.

Peristiwa ini mengingatkan saya kepada kisah seorang ayah yang menengking anak perempuan berumur dalam lingkungan enam hingga tujuh beberapa tahun lalu. Ia berlaku di sebuah restoran yang saya kerap  bersarapan dan makan tengah hari.

Mungkin kerana marahkan anak,  si ayah menguatkan suara meminta anaknya pergi ke sekolah. Dengan marah-marah beliau mengambil motosikal dan meminta si anak membonceng. Hidupkan dan enjin dan terus pergi. 

Baiknya dia tidak menyokoh kepala atau menampar pipi si anak.

Menjadi ayah atau bapa sangat mencabar. Lebih-lebih lagi ketika anak-anak sedang meniti umur lapan hingga sebelas tahun. Perkembangan emosi, psikologi dan mental mereka sedang berkembang dan ingin tahu banyak perkara. 

Dalam mencari dan menemui nilai dan norma hidup yang betul, kadangkala mereka melakukan salah dan silap. Di sinilah peranan bapa untuk menunjuk ajar dan membimbing anak-anak menggunakan pelbagai pendekatan kreatif dan sesuai dengan personaliti anak-anak.

Ada anak lelaki yang sangat sensitif dengan ucapan dan tindakan bapa. Kata-kata yang menyinggung emosi membuatkannya bebai atau merajuk sepanjang hari. Ada anak perempuan yang tidak kisah malah senang dipujuk dengan kata-kata manis.

Pokoknya, bapa kenalah mengambil tahu kaedah menunjuk ajar anak-anak supaya perkembangan emosi, psikologi dan mental mereka dapat dibina ke tahap optimum.

Sunday, November 10, 2019

Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah







Pembinaan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2015 dan dirasmikan pada Oktober 2019 sempena Konvensyen Ilmu. Pembukaan balai Islam ini dibuat secara gilang-gemilang kerana ia menandakan satu lagi pencapaian masyarakat Brunei bagi mengangkat memartabatkan syiar Islam di Asia Tenggara.

Pembinaan balai Islam ini dikuasakan dengan empat menara tinggi yang memagari dewan berkubah bagi menunjukkan kemegahan dan keagungan syiar Islam di Brunei. Pengunjung dapat melihat keempat-empat menara ini dari jauh kerana kedudukannya di atas tanah tinggi. 

Sebelahnya adalah pejabat mufti kerajaan Brunei. 

Sepanjang pameran yang diadakan bagi meraikan perasmian balai, semua maklumat menggunakan tulisan jawi sepenuhnya bertemakan manuskrip. Banyak maklumat berguna dikongsikan bersama pengunjung seperti penutupan premis semasa menunaikan solat Jumaat, ekonomi halal, negara zikir dan pengharaman arak. 

Di galeri satu, diterangkan sejarah perkembangan Islam di Brunei. Selain itu terdapat titah sambutan sempena penerbitan buku 'Raja Melakar Sejarah'. Menariknya dalam titah ini terdapat ayat ‘Untuk jadi bangsa yang hebat, kita perlu memiliki khazanah ilmu dan sekali gus mempunyai para penulis kreatif dalam pelbagai bidang. Tanpa buku dan para penulis kreatif, tamadun boleh saja hakis dan lemah’. 

Terdapat sembilan galeri yang mempamerkan manuskrip lama, himpunan mushaf al-quran, koleksi tongkat dan pedang serta paling istimewa adalah sehelai rambut Rasulullah saw. 

Di samping sebagai tempat pameran,Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini juga berfungsi sebagai tempat penyelidikan, perkongsian ilmu dan persidangan antarabangsa.


Tuesday, November 05, 2019

Travel dari Miri ke Brunei






Sempadan Brunei dan Malaysia dihubungkan oleh bandaraya Miri, Sarawak melalui Sungai Tujuh. 

Walaupun kenderaan awam lebih mudah namun perkhidmatan bas dan teksi menjadi pilihan kaki jalan atau mereka yang bekerja rentas sempadan. 

Bagi kaki jalan yang mahu mencuba bas, mereka boleh menggunakan perkhidmatan bas PHLS Express yang menyediakan dua laluan waktu pagi dan petang. Bas bertolak pada pukul 8.45 pagi dan 3.45 petang dari Terminal Bas Pujut, Miri. 

Perjalanan mengambil masa hampir empat jam untuk sampai ke Bandar Seri Begawan melalui laluan Kuala Belait, Seria dan Tutong. Harga tiket bagi dewasa adalah RM50.00 dan kanak-kanak RM35.00 (3 hingga 10 tahun). 

Tiket boleh dibeli dipondok jualan tiket Bintang Jaya Express, di dalam bas atau melalui easybook.com (harga lebih mahal). 

Perjalanan dengan bas lebih santai kerana kita dapat melihat persekitaran bandaraya Miri yang semakin bersih dan selesa. 

Di pos kawalan imigresen kedua-dua negara, penumpang perlu turun untuk pengesahan masuk dan keluar sempadan. Jika penumpang tidak ramai, proses mengecop lebih singkat. 

Selain daripada bas ekpres, travel ke Brunei juga boleh menggunakan perkhidmatan van sewa yang banyak diusahakan dengan harga berpatutan.


Monday, November 04, 2019

Masyarakat Brunei utamakan kebersihan







Jika kita menaiki kereta atau berjalan di sekitar Bandar Seri Begawan, kita akan dapati bandar ini sangat bersih, sukar melihat sampah berselerakan atau vandalisme. Sudah tentu suasana ini sangat menarik kerana kita dapat menikmati keindahan bandar dan kawasan sekitar dengan selesa. 

Menjaga kebersihan merupakan sebahagian daripada amalan yang disuruh dalam agama Islam dan ia menjadi budaya masyarakat Brunei. 

Oleh kerana ia telah membudaya dalam masyarakat, sukar bagi orang luar melihat lori sampah di atas jalan raya. Ia adalah kerana pembuangan sampah merupakan kesedaran dan tanggungjawab individu. Tempat pembuangan sampah telah disediakan di beberapa kawasan khususnya di tepi jalan raya yang jauh daripada kawasan perumahan dan masyarakat perlu membuang sampah di kawasan berkenaan. 

Di premis perniagaan juga disediakan kawasan pembuangan sampah yang dijaga dengan baik supaya tidak mencacatkan pandangan. 

Satu perkara yang agak janggal ialah tidak banyak tong sampah yang disediakan tetapi kawasan sekitar masih lagi bebas daripada sampah-sarap. 

Usaha menjaga dan membisaikan persekitaran daripada sampah turut diungkayahkan oleh pelajar-pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang menyediakan lapan jenis tong sampah. Kategori sampah ialah makanan, plastik, tin, kertas, kaca, elektronik, tubuh-tumbuhan dan barangan umum. 

Inisiatif seperti ini dapat membantu pengguna lebih berdisiplin apabila mengumpul sampah untuk dibuang kerana ia boleh dikitar semula. Sudah tentu idea ini sebahagian daripada amalan agama Islam yang menganjurkan kebersihan.




Sunday, November 03, 2019

Rangkaian kedai runcit India







Sekitar Brunei, sekiranya kita berhenti di kedai runcit untuk membeli barang keperluan, kita akan dapati pekerjanya adalah orang-orang India. Jarang kita berjumpa orang tempatan kecuali di sesetengah kedai runcit. 


Rata-ratanya menjual pelbagai barang keperluan rumah dari skala kecil hingga sederhana. 

Jika kita bertanya kepada penjaga kaunter berapa lama beliau tinggal di Brunei, kita akan dengar jawapan yang pelbagai, biasanya lebih sepuluh tahun. 

Kenapa kedai runcit dikuasai peniaga dari India? 

Di mana kedai runcit yang diusahakan oleh masyarakat Melayu Brunei sendiri atau etnik Cina? 

Orang tempatan lebih cenderung memberi kepercayaan kepada orang India untuk membuka kedai runcit dengan usahasama perniagaan. Rangkaian kedai runcit ini menjadikan orang India dapat menguasai peruncitan barangan keperluan masyarakat Brunei. 

Justeru, sudah tentu mereka cuba mendapatkan keuntungan dengan mengeluarkan kos operasi yang lebih rendah khususnya dari segi upah. Pekerja dari India dibayar upah yang lebih rendah berbanding mengupah pekerja tempatan. 

Tambahan pula pekerja India boleh berkongsi masakan dan tempat penginapan. Setiap dua tahun sekali mereka akan pulang ke India. 

Penguasaan terhadap kedai runcit ini telah menyebabkan kawasan ‘little India’ muncul di Kampung Serusop dan Sengkurong. Setiap malam kita akan dapati pekerja India berkumpul di kedai-kedai tertentu untuk berjumpa sambil makan dan minum bersama. 

Sekiranya kita mahu mengetahu jumlah keramaian pekerja India, kita boleh berjemaah maghrib atau isyak di masjid berdekatan. Biasanya mereka akan memenuhi ruang solat masjid dengan pakaian kerja masing-masing.



Saturday, November 02, 2019

Pasar pelbagai barangan Gadong








Setiap petang, kawasan Pasar Gadong menjadi tumpuan masyarakat. Di sini terdapat pelbagai jenis makanan, minuman dan buah-buahan yang dijual sehingga pukul sepuluh malam. Pembahagian kawasan jualan mengikut jenis barangan seperti makanan dan minuman di satu tempat, buah-buahan di satu tempat lain dan pakaian pula di tempat lain.

Boleh dikatakan jualan dilakukan di bawah satu bumbung dan pengguna boleh mendapatkan barangan mereka di sini. 


Sebelum diubah suai, kawasan ini merupakan tapak pasar malam yang menggunakan ruang parkir kereta. Setiap malam, sambutan pengunjung sangat menggalakkan. Jika hari hujan, keadaannya sangat sukar kerana tidak banyak ruang berteduh dan mengganggu urusan jual-beli. Justeru pihak kerajaan mengambil keputusan membina mode baru pasar malam yang lebih selesa.

Kini, Pasar Gadong terkenal kerana menjual pelbagai jenis makanan dan minuman seperti nasi katok, nasi pusu, laksa, kelupis dan buah tarap. Harga makanan dan minuman memang sangat murah kerana berada dalam lingkungan satu hingga dua ringgit. Ia menjadi tempat bersosial yang paling santai kerana dapat mengeratkan hubungan keluarga dan menjadi tempat menjamu selera pada harga berpatutan.

Selain orang ramai, pelancong juga kerap berhenti di sini untuk makan malam selain daripada pelajar di institusi pengajian tinggi di sekitar. 


Masa paling baik untuk berkunjung ke sini ialah selepas solat maghrib kerana pengunjung belum ramai dan ruang parkir yang berdekatan masih banyak.

Dari aspek kebersihan, Pasar Gadong kelihatan sentiasa bersih, tersusun dan kemas. Pekerja pembersihan sentiasa memastikan tong sampah disenggara dengan kerap dan sebarang sampah yang dibuang akan segera dipungut dan dibersihkan. Meja makan akan dilap selepas pengguna meninggalkannya supaya dapat digunakan oleh pengguna lain. 

Pekerja pembersihan ini kebanyakannya dari Bangladesh.

Di sebelah Pasar Gadong terdapat pasar basah yang menjadi tumpuan masyarakat sekitar. Di pasar ini terdapat pelbagai barangan keperluan harian seperti ikan, sotong, daging hinggalah barangan kering seperti telur, lada kisar, serbuk kunyit dan sos cili. Harga ikan dan daging tidak mahal (jika menggunakan mata wang Brunei) dan boleh diperoleh dalam keadaan segar. Bilangan petak parkir juga sangat banyak dan percuma. 


Di sekitar pasar disediakan sebuah surau bagi kegunaan orang ramai.

Friday, November 01, 2019

Kawasan pinggir bandar







Menelusuri kawasan kampung dari arah Bandar Seri Begawan ke Kuala Lurah, sempadan Brunei dan Limbang, kita akan dapat melihat rumah-rumah kampung yang berselang-seli dengan rumah reka bentuk moden dan lebih besar. Di Kampung Junjongan atau Kampung Limau Manis terdapat rumah kayu bertiang yang didiami keluarga besar. Di sekitar rumah ini terdapat kawasan lapang untuk bercucuk tanam, meletak kenderaan atau sebagai kawasan bermain kanak-kanak.

Keadaan ini menunjukkan masih terdapat masyarakat Brunei yang berpendapatan rendah dan sederhana kerana masih ada dalam kalangan mereka yang perlu bekerja keras setiap hari untuk perbelanjaan hidup. Apatah lagi terdapat rumah yang didiami tiga generasi iaitu ibu bapa, anak dan cucu. Keluarga seperti ini perlu berkongsi perbelanjaan untuk mengurangkan beban kewangan.

Biarpun begitu, kerajaan Brunei menyediakan banyak bantuan kewangan dan subsidi bagi rakyat negara itu supaya mereka dapat merasai kesenangan hidup dan bersama-sama menyumbang kepada kemajuan negara. Harga barangan khususnya bahan mentah seperti beras, ikan dan sayur masih tidak banyak berubah dan mampu dibeli kerana mekanisme kawalan harga yang berkesan. Harga petrol yang tidak pernh berubah juga menyumbang kepada kestabilan harga barangan ini.

Begitu juga dengan penyediaan infrastruktur jalan raya yang menjalar ke seluruh kawasan luar bandar membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat. Akses kepada laluan utama membantu menambah pendapatan masyarakat luar bandar untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, kesihatan yang lebih baik dan galakan aktiviti sosial yang lebih menyeluruh.