Tuesday, November 30, 2021

Jiwa kuat sebagai bekalan hidup


Pengalaman hidup mengajar kita tentang kehidupan masa hadapan yang mencabar. Setiap cabaran pula perlu diatasi supaya kita dapat meneruskan fasa-fasa kehidupan yang seterusnya. 

Berhadapan dengan cabaran adalah lumrah malah menjadi sebahagian daripada rutin hidup. Orang yang berfikir positif dengan cabaran sentiasa yakin bahawa kejayaan yang terbaik ialah berasaskan kepada kesediaan menghadapi kegagalan.

Hal ini kerana memang sifat cabaran adalah berjaya atau gagal.

Satu rahsia besar yang harus diingat ialah kita boleh melalui cabaran hidup ini kerana genetik perjuangan ada dalam diri kita. Kita berada di sini bagi memilih perjalanan ke arah destinasi yang lebih baik. 

Oleh kerana kita bermasyarakat, perjuangan ini bukan milik kita seorang, sebaliknya milik bersama. Hanya ada dua pilihan iaitu maju ke hadapan atau menyerah kalah pada kelemahan diri. 

Dengan kekuatan jiwa sebagai bekalan, Insya Allah kita dapat melepasi ujian dan cabaran hidup.


Monday, November 29, 2021

Hidup ada ujian dan cabaran


Seorang ibu pernah berkata kepada anaknya, “Tiada ujian, tiada testimoni”. 

Kata-kata ini tentunya datang dari pengalaman hidup yang dialaminya. Tanpa sebarang ujian dalam hidup kita, hidup tidak ada erti. 

Maksud saya adalah, andai kata hidup kita kosong, tidak ada apa yang dapat kita kongsikan dengan orang lain. 

Bagi orang yang gemarkan ujian dan cabaran, mereka boleh pergi lebih jauh kerana cabaran mematangkan diri. 

Sebaliknya orang yang mengelak daripada menghadapi cabaran berada dalam zon selesa yang menjadi pilihan tepat tetapi mereka tidak akan ke mana. 

Untuk pergi lebih jauh, kita perlukan ujian dan cabaran.


Sunday, November 28, 2021

Percaya diri kunci kejayaan


Barangkali kita mungkin pernah mendengar ungkapan yang dinyatakan oleh Henry Ford, “Sama ada kamu percaya kamu dapat lakukan ataupun tidak, telahan kamu adalah benar”. 

Jelas dan nyata, mempercayai kebolehan diri sendiri adalah kunci kepada setiap usaha dan tindakan kita. 

Untuk memantapkan kepercayaan ini, kita perlukan orang yang sentiasa mengingatkan, “Saya boleh, I can”. Setiap masa. 

Di sekeliling kita, orang yang mempunyai pengaruh yang besar adalah yang hampir dengan kita seperti ibu bapa, abang, kakak, guru atau rakan-rakan. 

Mereka dapat membentuk karakter hidup kita, membakar semangat dan sentiasa menjadi mentor yang berkesan. 

Masalah hidup yang dihadapi boleh dibawa bincang untuk jalan penyelesaian.




Saturday, November 27, 2021

Atasi stres dengan maaf


Dalam bidang perubatan, terdapat laporan yang mengatakan lebih 50 peratus kes pesakit yang berjumpa doktor disebabkan oleh gejala yang bukannya berpunca daripada sebab-musabab fizikal. 

Gejala-gejala itu ada tetapi pakar perubatan tidak dapat membuat diagnosis. Hipotesis mereka ialah punca sebenar sakit yang dialami ialah stres. 

Punca kepada stres ini ialah kegoncangan emosi yang disebabkan oleh perasaan marah, risau, takut, dendam dan pelbagai bentuk emosi yang merebak sedikit demi sedikit dalam diri pesakit. 

Jadi, bagaimana hendak mengubati stres ini? 

Langkah pertama ialah kembali melihat masa silam dan semak semula punca stres. Contohnya, jika kita rasa diri kita dianiaya, kemaafan adalah kuncinya.

Dengan memahami puncanya, kebanyakan pesakit dapat memaafkan individu yang menyebabkan mereka menderita secara emosi.


Friday, November 26, 2021

Keluar dari memori kecewa


Setiap orang tentu mempunyai masa-masa atau fasa hidup yang mengecewakan. Tidak perlulah saya sebutkan masa-masa tersebut, memadai saya katakan majoriti orang yang berada di sekitar kita menghadapi keadaan yang sama. 

Cara menangani saat-saat yang mengecewakan itu menjadi garis pemisah antara ceria dan suram atau antara positif dan negatif. 

Cara pertama untuk keluar dari kepungan kekecewaan ini ialah merebut peluang bagi mencari pengertian di sebalik peristiwa yang berlaku. 

Berikan peluang untuk diri kita menilai kembali sebab-musabab kecewa dan bagaimana ia boleh memotivasikan diri. 

Berbincanglah dan bersemuka dengan orang yang pernah kecewa dan belajar cara mereka mencari ruang untuk keluar dari memori kecewa.


Thursday, November 25, 2021

Rancang persaraan dari sekarang


Suasana hidup orang yang bersara daripada jawatan sama sekali berbeza dengan orang yang masih bekerja.
 
Ada yang mengeluh dan ada yang menyesal kerana bersara, ada yang keliru dan ada yang menerima dengan senang hati. 

Persaraan menyebabkan masa terluang bertambah banyak. Hal ini terjadi kerana persaraan tanpa perancangan menyebabkan kehilangan identiti yang radikal kerana keseluruhan hidup bergantung pada kerjaya profesional. 

Tanpa sebarang pekerjaan selepas bersara, hidup dirasakan sudah tidak bermaya. Bagi mereka yang hendak bersara awal atau bersara pilihan, perkara utama yang perlu difikirkan dengan serius adalah membuat perancangan. 

Antaranya ialah mulakan bisnes kecil-kecilan, melancong sambil mengambil gambar, belajar kemahiran di kolej komuniti ataupun membuat kerja-kerja kebajikan.


Wednesday, November 24, 2021

Kejayaan dan kegagalan adalah pilihan



Masa-masa lepas yang kita lalui ada kalanya bersifat baik dan bagus atau buruk dan hodoh. 

Semuanya mempunyai erti yang memberi kesan kepada diri sendiri. 

Apabila seseorang bersedia untuk berhadapan dengan momen pahit dalam hidupnya, peristiwa hitam yang berlaku dalam sejarah hidup adalah perkara yang membentuk jati diri.

Imej negatif kehidupan sering memberi inspirasi kepada pelukis untuk berkongsi pengalaman, memberi inspirasi kepada penulis untuk menghasilkan novel yang hebat dan menghasilkan inspirasi kepada pengarah filem mencipta filem pecah panggung. 

Kita harus jadikan masa lepas sebagai jambatan untuk menentukan hala tuju masa hadapan. 

Hari ini, kita mempunyai pilihan untuk menghadapi kegagalan, kesusahan, cabaran dan kesilapan.

Tuesday, November 23, 2021

Lihat masa hadapan, tinggalkan masa silam


Hari ini saya ingin berkongsi dengan anda tentang mengubah persepsi dan meningkatkan kepercayaan diri. 

Saya kongsikan kisah seorang usahawan hebat yang tidak mahu mengulangi satu episod dalam sejarah hidupnya. Kisah masa silam usahawan ini menarik minat seorang lelaki untuk menceritakan kisahnya. 

Selama bertahun-tahun lamanya, setiap hari mendengar bunyi tali pinggang yang ditanggalkan, beliau akan diselubungi ketakutan. Itulah bunyi yang sama didengarnya sewaktu kecil setiap kali bapanya menanggalkan tali pinggang sebelum melibas ke badannya dan ahli keluarga yang lain. 

Namun tahukah anda, lelaki ini tidak pernah memukul anaknya walaupun sudah berusia 53 tahun. 

Keputusan itu dibuatnya atas dasar kesedaran, beliau mahu menjadi bapa yang baik dan mendorong anaknya supaya menjadi lebih baik dengan cara yang lebih positif. 

Sebagai bapa beliau dapat memberi hala tuju positif dan disiplin tanpa memukul anak-anaknya.


Monday, November 22, 2021

Selidik dan tanya untuk mengharung kejayaan


Seseorang pernah berkata ataupun kita pernah mendengar, “Kamu dapat mencapai kejayaan dalam apa juga bidang yang kamu ceburi”. 

Ayat ini habis setakat itu sahaja tetapi saya ingin menambah iaitu “sekiranya kamu mahu”. 

Untuk mencapai kejayaan, kita wajar membuka mata dan melihat dunia seluas-luasnya, menemui perkara yang sebenarnya kita mahu. 

Dalam erti kata lain, kita perlu membuat sedikit sebanyak penyelidikan dengan membaca, bertanya dan memberi masa untuk mengesahkan hasil jawapan kita. 

Hal ini kerana setiap fasa yang dilalui dan cara kita mengharunginya adalah unik pada setiap orang. 

Jadi, langkah-langkah ke arah kejayaan juga unik.


Sunday, November 21, 2021

Ikut blueprint orang yang berjaya


Pernahkah seseorang memberitahu kita bahawa adalah tidak masuk akal kerana mahu mengejar matlamat dan cita-cita yang terlalu tinggi? 

Atau pernahkah seseorang mempertikai usaha kita yang mahu meluaskan impian yang tinggi melangit? 

Nasihat saya, biarkan soalan-soalan itu berlalu, jangan bazirkan masa untuk berbalah, merasa sedih atau terluka. 

Tidak perlu berdrama tetapi adalah lebih baik melakukan sesuatu yang pada saya lebih praktikal. 

Untuk kita menjadi kuat mental ini, tidak ada salahnya bermula dengan blueprint orang yang telah berjaya. 

Orang itu mungkin pernah mengharungi suka dan duka yang melingkari perjalanan hidupnya dalam mengejar impian sebelum menemui kejayaan. 

Orang beginilah yang dapat memberikan gambaran kasar tentang caranya mencorak kejayaan dan bangkit daripada kegagalan.


Saturday, November 20, 2021

Cari ruang untuk ketenangan


Walaupun krisis bukan perkara baru, kita tentu berasa agak gelisah apabila melihat salah saku dan peningkatan salah guna teknologi media sosial hari ini. 

Kebimbangan bercampur harapan turut bersaing dan merebut perhatian. Kebanjiran media dan maklumat menambahkan keadaan statik dan stres. 

Bagi mereka yang sentiasa mahu mengikut perkembangan berita mutaakhir, minda dan tubuh badan bergerak pantas kerana sentiasa mengejar berita terkini. 

Kajian kesihatan mendedahkan apabila seseorang itu cuba mencerna timbunan maklumat sehingga menyebabkan degup jantungnya bertambah laju, dia cenderung berjaga lebih lama. 

Nasihat saya, dalam krisis berkaitan kerja atau apa-apa sahaja, carilah ruang ketenangan bagi mendapatkan perspektif baru.


Friday, November 19, 2021

Semarakkan semangat dengan menelaah


Jika anda bertanya kepada saya, apakah buku yang menyemarakkan semangat dan sumber inspirasi saya, saya akan menjawab begini. 

Pertama, al-quran. Kemudian saya bahan bacaan tentang buku biografi yang menonjolkan keberanian dan stamina sehingga berjaya melepasi jurang halangan. 

Bukankah satu daripada pembangkit semangat kita adalah dengan melihat pintu harapan yang dibuka oleh hero-hero kita? 

Ramai pemimpin yang meninggalkan legasi mereka melalui perkongsian pengalaman dalam memoir yang menarik. 

Umur, tidak kita tua atau muda, tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mencari hero yang dapat memberi inspirasi apabila diperlukan. 

Hero itu mungkin ibu bapa, sahabat, tokoh ataupun sesiapa sahaja yang boleh memberi teladan.


Thursday, November 18, 2021

Hari-hari terbaik untuk diri kita berada di hadapan


Prinsip pertama dalam melakukan transformasi diri ialah “hari-hari terbaik untuk diri kita berada di hadapan”. 

Apabila kita mengguna pakai falsafah ini, kita sudah membuat persediaan bagi mengambil langkah awal melakukan transformasi. 

Jika kita masih bertangguh untuk membuat perubahan yang drastik, pertimbangan yang perlu difikirkan ialah masa sekarang. 

Tidak perlu menunggu masa yang sesuai atau tempat yang sesuai untuk deklarasi transformasi kerana masa sekarang adalah yang paling sesuai untuk bertindak kerana masa hadapan adalah masa yang terbaik. 

Bulatkan tekad dan azam, mulakan transformasi hidup kita pada hari ini juga.


Wednesday, November 17, 2021

Cari peluang sampai dapat


Peluang yang datang dan masa bertindak yang sesuai tentu mencipta dan mencetuskan kejayaan. 

Masalahnya kadangkala kita menghadapi satu-satu keadaan yang memerlukan kita terpaksa membuat keputusan tanpa ada peluang dan masa yang sesuai. 

Pada waktu-waktu lain, kita bertindak berpandukan pilihan sendiri. Jarang kita mendapat lampu hijau yang menandakan ketibaan satu peluang. 

Yang ada ialah kita terus bekerja dan mencipta peluang mengharapkan keajaiban tetapi ia tidak semudah itu. Ray Kroc, jutawan usahawan makanan segera pernah melakukan bermacam-macam kerja dengan melaburkan wang simpanan sehingga habis. 

Tidak ramai yang tahu, ketika beliau menjumpai peluang untuk merealisasikan impiannya, beliau sudah pun berusia 52 tahun dan mempunyai hutang sebanyak 100 ribu dolar.


Tuesday, November 16, 2021

Nisan zon selesa


Kebanyakan orang, termasuk saya, lebih suka berada dalam zon selesa, walaupun situasi persekitaran telah berubah. 

Rasionalnya? 

Yelah, kita tidak perlu memerah tenaga ekstra. 

Apabila kita terpaksa melakukan perubahan, lebih banyak tenaga yang kita perlukan untuk berfikir dan bertindak kerana menghadapi situasi yang tidak pasti. 

Apa yang menanti di hadapan belum tentu menjanjikan apa-apa dan itu yang kita takut. Kita perlu sedar yang perubahan amat perlu untuk terus maju. 

Jika kita tidak mencipta perubahan untuk kebaikan diri, zon selesa tetap akan berubah dengan sendirinya. Ketika itu barulah kita merasai bahawa kita sedang berhadapan dengan masalah yang lebih besar dan sukar. 

Sama ada bersedia ataupun tidak, perubahan tetap akan berlaku dan kita harus menyesuaikan diri dengan corak perubahan tersebut.


Monday, November 15, 2021

Berubah= kerja keras + fokus


Kita pilih apa sahaja yang kita ada pada hari ini, sama ada kecil atau besar. Intipati kepada pilihan yang jelas terletak pada kuasa kebijaksanaan daya fikir dan gerak hati kita. 

Kita boleh mengubah sesuatu perkara melalui kerja keras dan fokus yang tinggi dan kedua-dua sifat ini sepatutnya menjadi asas dalam semua proses ke arah pilihan tadi. 

Gunakan keupayaan dan kebolehan diri yang ada pada diri kita sebaik mungkin. 

Mulakan dengan apa yang ada pada diri kita dan semarakkan dengan kepercayaan yang kita pegang. 

Walaupun apa yang kita ada ini mungkin tidak sehebat orang lain, sekurang-kurangnya kita meyakini konsep, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.


Sunday, November 14, 2021

Naik anak tangga satu-satu


Kebanyakan pengajaran mengenai kehidupan sebenarnya sebati dengan hidup kita hingga kita lupa banyak perkara. 

Saya suka dengan konsep ‘sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit’. Ia menjadi prinsip saya dalam mencari kejayaan peribadi. 

Saya teringat kata-kata Martin Luther King Jr., ‘Kamu mungkin tidak dapat melihat keseluruhan tangga itu tetapi amatlah penting untuk kamu menaiki satu anak tangga dahulu’. 

Kata-kata ini menjadi panduan yang sangat baik untuk membuang jauh-jauh kemusykilan dalam fikiran saya untuk tidak memulakan sebarang usaha. 

Ia juga membuatkan saya tidak menyerah kalah dan berani meneroka kaedah dan cara terbaik untuk memotivasikan diri. 

Walaupun perlahan, perjalanan mesti diteruskan. Lama-kelamaan, kita akhirnya akan sampai ke matlamatnya.


Friday, November 12, 2021

Berhenti daripada terus berharap


Bagaimana kita dapat menepis perasaan berputus asa dan tidak patah semangat? 

Untuk menjawab soalan ini, saya mengajak anda untuk melihat dan mengimbau filem-filem Barat, Hindi, Tamil atau Cina dari dahulu hingga sekarang. 

Malahan filem dan drama tempatan kita yang malar segar. Setiap filem ini pasti mempunyai seorang hero. Kemuncak filem ialah apabila hero seolah-olah telah kalah dan hilang segala-galanya. 

Hero ini dikelilingi oleh samseng dan penjahat yang mahu memukul dan membelasahnya. Pembantunya sudah jatuh tertiarap dan pistol sudah kehabisan peluru. 

Walau apa pun yang berlaku, hero ini menang juga. Kemenangan menjadi miliknya kerana dia berhenti daripada terus berharap dan bertindak membantu dirinya sendiri. 

Faktor lain ialah kepintaran untuk mengubah nasib.


Thursday, November 11, 2021

Empowerment


Kita semua mempunyai kuasa memilih siapa diri kita pada masa hadapan. Kata-kata saya ini mungkin tidak memberi sebarang perubahan dramatik kepada anda, namun boleh membuatkan orang yang berada dalam keadaan stres, susah hati atau kecewa akan menangis keseorangan.

Seorang wanita yang perlu berdikari sejak kecil memilih untuk berusaha sendiri sehingga memiliki sebuah butik baju sendiri. 

Seorang pelajar yang kurang cemerlang memilih untuk melupakan cerita-cerita sedih sebagai pelajar dan memberi tumpuan untuk menjadi usahawan cemerlang. 

Dalam kedua-dua contoh ini, membuat satu keputusan sama ada ia menuju ke arah yang lebih baik ataupun lebih teruk, sebenarnya ia memberikan kita ‘empowerment’.

Wednesday, November 10, 2021

Kuasa memilih untuk berjaya


Saya selalu juga berjumpa dengan orang yang telah berjaya dalam bidang yang mereka pilih. Berbagai-bagai jenis bidang seperti usahawan, pegawai kerajaan mahupun petani. 

Salah satu daripada mereka ini ialah sarjana akademik yang mana saya berjumpa dengan ilmuwan yang bergelar profesor. 

Apakah kejayaan para profesor ini berlaku secara kebetulan? 

Jawapannya ialah tidak kerana kejayaan tersebut disebabkan oleh mereka sendiri. 

Sepanjang pemerhatian dan pengalaman saya serta perjumpaan dengan rakan-rakan yang datang daripada latar belakang yang biasa-biasa sahaja tetapi telah berjaya membina hidup dan kerjaya menunjukkan tekaan saya adalah tepat. 

Jarang sekali saya berjumpa dengan mereka yang berjaya kerana kebetulan. Hal ini kerana mereka memiliki kuasa memilih untuk berjaya, bukannya nasib. 

Di samping itu, doa dan harapan kepada Allah swt sentiasa dimohon.


Tuesday, November 09, 2021

Konsistensi penentu kejayaan diri


Bagaimana melaksanakan komitmen supaya berkesan dan membuahkan hasil? 

Melaksanakan komitmen tentunya melalui amalan yang konsisten dan menjadi bukti sama ada kita dapat menjadi seorang yang komited setiap hari. 

Konsisten menjadi penentu yang menentukan sama ada kita menang atau kalah, rajin atau malas, sukakan cabaran atau lari daripada cabaran. 

Konsisten yang saya maksudkan di sini ialah usaha yang dilakukan secara berterusan, dorongan untuk memulakan beberapa inisiatif kejayaan dan tindakan yang memastikan kita memilih antara meneruskan cita-cita atau tidak, menukar sesuatu yang mustahil kepada realiti dan menjadi kenyataan. 

Contoh komited dan konsisten ialah mereka yang mencetuskan gaya hidup orang ramai melalui pelbagai inovasi.


Monday, November 08, 2021

Bentuk komitmen diri


Di sebalik setiap usaha memburu kejayaan dan kebahagiaan hidup, semuanya bergantung pada tahap komitmen kita. 

Apakah maksud komitmen ini? Komitmen adalah satu keadaan yang ada kaitan dengan tahap keghairahan kita. 

Komitmen sering digunakan bagi meleburkan kristal-kristal halangan yang merentangi peluang dan harapan. 

Contoh komitmen ialah begini. 

Adakah kita bersemangat bangun pagi dan melakukan beberapa tugas penting untuk menjadi staf paling cemerlang di pejabat tahun ini? 

Adakah kita memberi sepenuh perhatian untuk mengikut laluan-laluan penting untuk mendaki cita-cita yang hebat? 

Jika jawapannya ‘Ya’, ia bermakna komitmen memang telah wujud dalam diri kita.


Sunday, November 07, 2021

Tuliskan program hebat anda


Mendapat penjelasan tentang program atau perkara yang kita mahu lakukan adalah satu kemestian. Inilah yang menjadi kunci kepada orang yang telah berjaya. 

Kita wajar tahu arah mana hendak pergi dengan jelas dan boleh dibayangkan. 

Contohnya ialah seorang anak muda yang dulunya bekas ketua gangster ingin sekali hendak memotivasikan generasi muda supaya tidak terjebak dengan gangsterisme, dadah dan keganasan. 

Dia menunjukkan sekeping nota yang tercatat beberapa baris ayat yang ringkas untuk dirinya. Dia juga sudah membangunkan program yang sah di sisi undang-undang, membawa kebaikan dan dapat mendidik serta sudah menguji keberkesanannya terhadap golongan remaja. 

Apabila kita memiliki matlamat yang jelas, kita dapat berkomunikasi secara efektif dengan orang lain.


Saturday, November 06, 2021

Bermula dengan satu impian


Kita perlu bermula dengan satu impian tetapi apakah satu-satunya faktor yang penting untuk merealisasikan satu impian? 

Jika kita teliti, impian kita berbeza-beza. Ada impian berkaitan memiliki rumah sendiri, kestabilan hidup, kerjaya yang lebih baik, ingin menyambung pelajaran, menjadi individu berpengaruh dan sebagainya. 

Memiliki impian dapat memberi inspirasi dan memotivasikan diri sekiranya kita percaya yang kita dapat mencapainya dan menjadikannya satu kenyataan. 

Namun jika kita tidak mengambil langkah untuk merealisasikannya, ia umpama mimpi di siang hari. 

Antara impian dan realiti adalah perancangan yang dapat menjadi penyambung kepada usaha dan ikhtiar yang sedang dilakukan. 

Perancangan inilah yang membezakan mereka yang berjaya dengan yang gagal.


Friday, November 05, 2021

Thursday, November 04, 2021

Arah tuju hidup


Seorang lelaki yang sedang mengembara telah berhenti di persimpangan jalan dan bertanya: “Ke mana awak hendak pergi?” 

Lelaki itu menjawab: “Saya tidak tahu”. 

Jawapan yang diterima sangat jelas iaitu tidak ada bezanya kerana kita boleh ambil jalan ini atau jalan itu. 

Apabila kita tidak ada arah tuju, mana-mana laluan kita boleh pilih. Keinginan yang membawa tanpa arah tuju hanya membawa kekecewaan. 

Arah tuju memberi haluan (direction). Arah tuju juga memberi erti kepada kehidupan khususnya membuat perancangan masa hadapan. 

Orang yang tidak mempunyai arah tuju adalah orang yang tidak ada cita-cita sebaliknya orang yang menyediakan arah tuju dan dapat merealisasikannya tentulah akan berjaya dalam banyak bidang.


Wednesday, November 03, 2021

Bina legasi


Beberapa tahun lalu seorang lelaki yang sedang membaca surat khabar terperanjat besar apabila membaca namanya dalam ruangan takziah. 

Sebenarnya, surat khabar telah melakukan kesilapan cetakan. Perkataan tersebut berbunyi: “Dynamite King dies. He was the merchant of death”. 

Begitulah cara lelaki dihargai apabila meninggal dunia. Lelaki yang terperanjat tadi berfikir tentang bagaimana dia patut dikenang apabila meninggal dunia kelak. 

Lalu dia mula bekerja dan berusaha ke arah membina kesedaran terhadap keamanan. 

Lelaki yang terperanjat tadi adalah Alfred Nobel yang diingati kerana Hadiah Nobel setiap tahun. Kita juga wajar bertanya tentang bagaimana orang lain mengingati kita. 

Apakah legasi kita, bagaimana kita mahu diingati, apakah kita diingati dengan kasih sayang dan hormat atau adakah kita sentiasa diingati?


Tuesday, November 02, 2021

Perbezaan kecil, pengakhiran besar



Di tepi pantai, seorang lelaki berjalan seorang diri melihat ombak yang membawa beratus-ratus siput, anak-anak ikan dan tapak sulaiman. 

Apabila ombak beransur ke laut, hidupan ini ditinggalkan dan pancaran matahari menyebabkan mereka mati kelaparan. Sekali lagi ombak datang dan lelaki ini mengambil beberapa ekor tapak sulaiman dan melontar semula ke laut. 

Dia melakukannya berulang kali. 

Di belakangnya ada seseorang yang memerhati dan bertanya: “Ada banyak tapak sulaiman, berapa banyak yang kamu hendak tolong? Apa bezanya?” 

Lelaki itu tidak menjawab, dia bergerak dua langkah, mengambil sepasang tapak sulaiman dan melemparnya ke laut dan berkata: “Kali ini ada bezanya! Sama ada kecil atau besar itu tidak penting. Jika kita melakukan perbezaan yang kecil, ia akan memberikan perbezaan yang besar pada akhirnya”.


Monday, November 01, 2021

Dari impian ke perancangan dan tindakan


Ketika saya meninjau beberapa buah buku motivasi di deretan rak buku yang tersusun rapi, saya tertarik dengan sebuah buku yang bertajuk “Start Where You Are” tulisan Chris Gardner.

Setiap tajuk dalam buku ini memberi pengajaran dan harapan untuk membuat perubahan yang lebih baik. 

Contohnya pengajaran yang pertama, “tanpa perancangan, impian hanya tinggal impian”. 

Kenyataan ini memang benar kerana hasil tidak akan nampak jika tidak mengambil sebarang langkah untuk merancang. Kejayaan manusia menjejakkan kaki ke bulan tidak akan menjadi realiti jika tidak merancang. 

Begitu dengan cita-cita, ia hanya menjadi cita-cita jika tidak membuat perancangan dan tidak ada tindakan.