Wednesday, December 28, 2011

Masalah boleh diselesaikan



Seorang ketua sebuah syarikat automatif mengambil sebuah teksi untuk pulang ke rumah selepas seminggu berurusan di luar negara. Ketibaannya di lapangan terbang adalah di luar jadual kerana pelanggannya di luar negara begitu berminat dengan model kereta yang bakal diperkenalkan, menyebabkannya memanjang sedikit masa di sana.

Selepas masuk ke dalam teksi, beliau memberitahu destinasi dan dia dibawa pergi. Sebaik tiba di tol, pintu bahagian pemandu dibuka untuk bayaran harga tiket. Sepatutnya dia cuma perlu turunkan cermin tingkap dan terus bayar, tetapi sebaliknya yang berlaku.

Lelaki tadi bertanya kenapa tidak diturunkan cermin, lalu dijawab, "Kalau turunkan cermin, nanti cermin ni tidak akan naik semula".

Apabila pulang ke rumah, lelaki tadi terus berfikir bagaimana hendak menambah baik kuasa pada motor yang menaik dan turunkan cermin kereta syarikatnya. Dia memanggil satu mesyuarat dan meminta semua pegawainya memikirkan kaedah untuk mengatasi cermin kereta syarikat mereka.

Semua orang berusaha selama tiga bulan untuk memecah masalah tersebut. Akhirnya mereka mendapat penyelesaian dan memberi jaminan seumur hidup bahawa cermin baru kereta yang dikeluarkan tidak lagi ada masalah.

 

Tuesday, December 27, 2011

Pembangunan diri yang cemerlang



 
Norman Vincent Peale, pakar pembangunan diri berkata, "Adalah satu yang praktikal untuk belajar menyayangi diri sendiri. Oleh kerana kita banyak menghabiskan masa dengan diri sendiri, hubungan dengan orang lain mungkin bermasalah".

Pembangunan diri, perkembangan diri atau apa sahaja istilah yang digunakan, bermula dari dalam diri kita. Kenyataan ini nampak ketara, tetapi hakikatnya jauh daripada itu. Jika kita menerima idea bahawa semua perkara atau sebahagian besar perkara bermula daripada diri, kita akan mula melihat kemungkinan-kemungkinan yang memberi kesan ke atas pemikiran, nilai, kepercayaan dan tindakan kita sendiri.

Pembangunan diri yang cemerlang adalah satu proses. Jadi, kita wajar mengetahui pelbagai maklumat untuk mempastikan proses ini memberi manfaat dalam hidup. Bersikap terbuka terhadap idea baru, inspirasi, peneguhan, motivasi, fikiran positif dan sebagainya sudah tentu dapat memacu ke arah kejayaan yang lebih hebat.

Ramai orang yang telah berusaha dan mereka berjaya menjadi "orang baru" yang memberi manfaat kepada orang lain di sekitar mereka. Kita juga boleh menjadi seperti mereka kerana kejayaan adalah milik semua orang tanpa mengira kedudukan, status, bangsa atau pegangan agama.

 

Monday, December 26, 2011

Etika dan nilai profesional




  
Etika dan nilai profesional diri adalah ukuran piawai yang memudahkan pengukuhan sesuatu sikap bagi menggambarkan latar belakang diri, keluarga atau kerjaya. Nilai profesional sangat penting dalam organisasi korporat dan perkhidmatan awam supaya suatu rupa bentuk etika yang teratur boleh dibentuk dan diikuti.
 
Contohnya, agensi penguatkuasa mesti ada nilai profesional yang disusun menjadi etika dan perlu diikuti. Sekumpulan nilai profesional ini memandu staf menentukan mana satu yang betul, mana satu yang salah. Manakala etika ialah sekumpulan pilihan yang boleh membantu staf melakukan tugas dengan sebaik-baiknya.
 
Pelaksanaan nilai profesional bergantung kepada kaedah yang selari dengan persekitaran kerja kerana ia ada kaitan langsung dengan etika dan tahap kejayaan yang akan dicapai.

 

Sunday, December 25, 2011

Janganlah takut






Shahabudeen Jalil, yang masih muda berazam tidak mahu makan gaji. Malah dia mahu melakukan sesuatu yang berbeza. Menyedari ramai peniaga kecil Melayu terlalu bergantung kepada pemborong yang ghairah mengaut keuntungan besar, Shahabudeen membuka jalan membantu mereka membeli terus barangan dari tanah besar China.

Ratusan peniaga kecil lega dan berterima kasih kepada beliau. Sesungguhnya ada peluang untuk mengubah keadaan. Awang angkat topi kepada orang muda seperti Shahabudeen.

Seorang lagi, Mohd. Zainuri Mohd. Idrus tidak pernah makan gaji. Ketika belajar, dia sudah berniaga kecilan-kecilan untuk menampung kos pengajian agar tidak membebankan ibu bapa. Hari ini, Zainuri adalah usahawan berjaya yang menceburi pelbagai bidang termasuk industri pertanian dan pertahanan.

Pemilik Restoran Sekincan Ikan Bakar, Jamal Yusof tidak belajar tinggi. Dia bermula dengan menjual burger tetapi sekarang membina nama. Jamal juga mampu melawan putaran ganas orang tengah yang menyebabkan pengguna menanggung harga yang tinggi.

Bukan mereka bertiga sahaja, ramai lagi yang berjaya kerana berani mengambil risiko untuk berniaga biarpun secara kecil-kecilan. Awang sentuh hal ini kerana resah dengan pembawaan ramai orang Melayu yang masih mengikat diri kepada makan gaji. Apatah lagi terlalu mengharapkan pekerjaan di sektor awam.

Kita kini berdepan dengan realiti dan cabaran baru. Janganlah biarkan hanya kaum tertentu sahaja menguasai bidang perniagaan dan keusahawanan. Ingatlah, margin perolehan yang tinggi bukan dengan makan gaji.

Maka jangan takut untuk menceburi bidang perniagaan asalkan berdisiplin dan sentiasa belajar meningkatkan pencapaian. Bina nilai diri dengan berdikari. Awang pun sudah penat makan gaji

(Utusan Malaysia, 25 Disember 2011)

 

Kod nilai diri






 
Kod nilai diri sangat penting kepada setiap orang. Ia bukannya sesuatu yang kita hendakkan semata-mata kerana ikutan atau dididik begitu sebaliknya memang diperlukan. Impak paling besar ialah menjadikan hidup lebih cemerlang.

Kod nilai diri adalah susunan nilai-nilai yang menjadi prinsip dan pegangan hidup. Katakan kita jadikan pengurus organisasi sebagai contoh. Apakah kod nilai diri yang perlu ada pada pengurus? Antaranya ialah jujur, bertanggungjawab dan setia. Jika terdapat nilai-nilai lain yang bertentangan dengan nilai-nilai ini, ia akan ditolak. Jika diterima, pengurus tersebut pasti berhadapan dengann konflik diri yang sangat hebat.

Nilai-nilai diri ini perlu disuburkan dari semasa ke semasa supaya orang yang berurusan dengan kita akan berasa yakin, puas hati dan menyanjung tinggi nilai-nilai tadi.

 

Saturday, December 24, 2011

Menilai diri








Dalam mana-mana profesion atau kerjaya, baik yang bersifat profesional, kemahiran atau bersifat kontrak, setiap satunya berhadapan dengan cabaran sesuai dengan tahapnya. Semua cabaran yang dihadapi terangkum dalam satu kunci yang sangat penting iaitu refleksi diri.

Maksud refleksi diri ialah kita sentiasa membuat penilaian terhadap semua tugas, apa yang patut dan tidak patut, apa yang mendorong dan menghalang supaya kita sentiasa bersedia.

Cabaran-cabaran ini mesti mempunyai jawapan penyelesaian. Jika negatif, segera bertukar kepada positif. Kenyataan yang tegas dan mengukuhkan matlamat supaya fokus sebenar tidak diketepikan.

Jadilah seorang yang jujur, kuat bekerja dan lihat transformasi kerja yang lebih baik.

 

Friday, December 23, 2011

Bina persepsi positif




 
Persepsi adalah imej yang terdapat dalam minda dan dipamerkan melalui tingkah laku. Persepsi boleh dibentuk melalui wajah, penampilan diri, suara atau tutur kata.

Pertama, wajah. Setiap hari kita berhadapan dengan pelbagai jenis persepsi hanya melihat rupa wajah seseorang. Katakan berjumpa dengan ustaz, pendakwah atau hafiz al-quran, secara automatik pandangan kita berubah. Kita akan melayan mereka dengan sopan, senyum yang manis dan bahasa yang terbaik kerana wujud dalam fikiran kita tentang wajah mereka yang bercahaya. Sebaliknya pula berlaku jika kita berjumpa dengan samseng atau kaki pukul.

Kedua, penampilan diri. Persepsi awal terhadap seseorang turut dipengaruhi oleh cara berpakaian yang dipamerkan. Kita mungkin tidak ada apa-apa perasaan jika bertemu dengan seseorang yang memakai T-shirt, namun akan berubah sebaik sahaja dia memakai baju kot, tali leher dan berkasut hitam berkilat.

Ketiga, tutur kata. Kata-kata yang baik adalah tip untuk memberi persepsi yang baik kepada orang lain. Pujian atau sokongan yang berterusan mampu menghantar mesej positif untuk membentuk persepsi yang positif pula.

Selain ketiga-tiga cara ini, persepsi boleh dibentuk melalui media dan kempen. Bagi mereka yang terlibat dalam bidang pengiklanan, persepsi adalah sebahagian daripada cabaran bisnes.

 

Thursday, December 22, 2011

Tip belajar





Dalam kategori kursus 'in house training', biasanya peserta malu-malu hendak bertanya. Tidak seperti kursus 'outdoor' yang melibatkan penyertaan aktif dan dinamik.

Jika dalam kursus dalaman, tidak ramai peserta bertanya, kenapa dalam kursus luaran, ramai pula yang bertanya? Adakah kerana dalam kursus dalaman, suasananya kurang memberangsangkan, kurang semangat atau berasa malu hendak diperli rakan-rakan?

Banyak alasan yang kita boleh cari tetapi satu alasan yang agak rasional ialah kemahuan mencari ilmu yang masih lemah dalam kalangan masyarakat kita.

Satu kriteria orang yang suka kepada ilmu ialah banyak bertanya. Jadi, peserta kursus atau pelajar yang kurang bertanya, kemungkinan besar kurang minat kepada ilmu dan tidak nampak faedah kalau banyak bertanya.

Pensyarah, penceramah atau guru adalah pakar dalam bidang masing-masing. Mereka tidak akan beri ilmu kalau tidak ditanya.

Untuk mencari ilmu, kenalah bertanya supaya kita tahu dan faham. Ramai yang tersesat dan ikut orang buat adalah kerana budaya bertanya ini tidak ada dalam diri dan lebih suka mencari jalan pintas untuk membuat keputusan.



Wednesday, December 21, 2011

Sapu tangan untuk ayah

 
 


Ada seorang ibu di Rumah Amalia bercerita, ketika dirinya masih kecil, dia memiliki ayah dan ibu yang sangat menyayangi dirinya. Ayahnya bekerja sebagai seorang guru sementara ibunya adalah suri rumah yang gemar mengurus anak-anaknya dan suka menjahit. Ibunya suka berpesan, sebagai anak perempuan dia harus sentiasa terampil mengurus rumah.

Satu hari ibu mengajarnya membuat sapu tangan dengan diberi nama di tengah-tengah sapu tangan itu. "Ibu, untuk apa sapu tangan itu diberi nama?" tanyanya. Ibu menjawab, "agar nanti tidak tertukar dengan sapu tangan temanmu nak.."

Seharian dia membuat sapu tangan, betapa bahagianya melihat sapu tangan dengan nama di tengahnya. Bahkan sapu tangan itu dibawanya tidur.

Sebelah petang, ayahnya pulang mengajar. Kerana sayangnya pada ayah, melihat ayahnya berpeluh, sapu tangan itu diberikan untuk ayah. "Ini sapu tangan untuk ayah, aku membuatnya bersama ibu." Ayahnya tersenyum dan dipeluknya dengan air mata yang menitis di pipi.

Sebagai seorang anak, beliau memahami erti mengapa ayahnya memeluk dan menangis. Selepas 30 tahun kemudian, setelah ayah telah tiada, dia terjumpa sapu tangan itu tersimpan rapi di tempat khusus di meja ayah. Ayahnya menyimpan sapu tangan itu dengan baik bukti sayang ayah kepada dirinya sehingga akhir hayat.

Tindakan yang kecil tetapi penuh kasih sayang sering kali jauh lebih berharga daripada yang kita fikirkan. Justeru Rasulullah saw mengingatkan kita, “kasihilah makhluk di bumi, nanti engkau dikasihi yang di langit.” (HR. Thabrani).

Jangan pernah menunda tindakan kasih sayang dalam sekecil apapun, percayalah setiap tindakan yang kita lakukan dengan penuh kasih sayang, Allah swt memberikan keberkahan untuk kita, kebaikan dan kebahagiaan yang berlimpah untuk hidup kita.

Sumber: M. Agus Syafii (sarikata.com)

 

Tuesday, December 20, 2011

Cari kekuatan dengan sujud

 
 


Masa-masa senggang saya habiskan bersama rakan-rakan bagi membincangkan isu-isu semasa dan pembangunan diri. Antara isu yang sering menjadi perhatian kami ialah bagaimana menyelesaikan masalah hidup yang sentiasa dihadapi.

Setiap hari kita berhadapan dengan masalah yang merisaukan fikiran, mengganggu hubungan dengan orang lain atau memberikan stres yang berpanjangan.

Antara masalah hidup ini ialah tidak ada wang, tekanan kerja, hubungan kekeluargaan kurang harmoni, masalah dalam persahabatan dan masalah diri sendiri seperti kurang yakin atau berpenyakit.

Saya terbaca tajuk muka depan sebuah akhbar tentang seorang artis yang bakal dimufliskan jika tidak dapat membayar hutang melibatkan dua juta ringgit. Kita boleh bayangkan bagaimana artis ini melalui detik-detik sukar dalam hidupnya apabila setiap hari dikejar oleh bank sama ada melalui telefon atau ejen pengutip hutang.

Lalu ada rakan-rakan yang mengesyorkan beberapa pendekatan untuk menghilangkan semua masalah hidup menggunakan beberapa model. Namun tidak menarik kerana dia memilih pendekatan barat yang bersifat sementara dan tidak ada kekuatan pada diri. Kalau diamalkan pun, hanya menyelesaikan masalah dalam jangka masa pendek dan masalah akan datang lagi.

Seorang rakan saya melihat masalah hidup berkait rapat dengan hubungan kita dengan Allah swt. Masalah hiidup dicipta oleh Allah swt dan Dia sahaja yang tahu cara terbaik untuk selesaikan masalah. Apa sahaja yang kita hadapi, ambil air sembahyang dan solat dua rakaat untuk memohon petunjuk. Solat hajat paling istimewa manakala solat dhuha atau istikharah boleh membantu.

Banyak solat bermaksud kerap bersujud. Merendah diri di hadapan Allah swt bererti bersujud dengan penuh khusyuk dan tawadhuk mengharapkan ihsan dan perhatian-Nya. Penyelesaian masalah hidup ada puncanya. Bergantung kepada kita yang memilih.
 
 

Monday, December 19, 2011

Mencari kawan

 
 
 


Kawan atau rakan adalah talian hayat yang sangat penting dalam hidup. Jatuh dan bangun, tawa dan riang atau susah dan senang banyak ditentukan oleh kawan.

Maknanya, kawan menjadi sumber dorongan, pemberi semangat dan tempat bergantung supaya hidup kita menepati nilai-nilai insaniah seperti kasih sayang, bantu-membantu dan doa-mendoakan.

Bagaimana kita boleh menambah bilangan rakan yang lebih ramai?

Ia adalah cabaran kerana bergantung kepada diri kita sendiri. Apakah definisi kawan atau rakan dalam diri kita? Jadi,menambah kawan terletak pada definisi yang diberikan.

Seorang kenalan saya tidak akan melayan permintaan orang yang tidak dikenali untuk menjadi rakan Facebook kerana dia hanya akan masukkan orang yang dikenali. Seorang rakan lagi, bersedia menerima sesiapa sahaja yang ingin menjadi rakan Facebook kerana dia berbangga dengan bilangan rakan yang ramai.

 

Sunday, December 18, 2011

Dengar untuk faham

 
 
 


Seorang pemimpin wajar sedar bahawa proses mendengar amat penting untuk memberi keputusan, mendapatkan idea-idea dan merangka strategi masa depan. Keupayaan mendengar dapat memberi ruang kepada motivasi dalaman dan luaran untuk mendorong pengikut supaya bertindak seperti yang dimahukan.

Dalam proses mendengar ini, pemimpin mesti belajar untuk menerima perkara-perkara baru yang mereka kurang arif.

Kadangkala idea-idea ini sangat bernas dan memberi nilai dalam perkembangan organisasi. Malah terdapat idea yang tidak ada kaitan dengan kepakaran sesuatu bidang tetapi sangat logik kerana ia dibuat berdasarkan pengalaman.

Mendengar kepada idea boleh memberi impak yang sangat besar untuk kemajuan diri dan organisasi kerana persaingan sangat sengit hari ini.

Bill Gates sentiasa menggalakkan pekerjanya menghantar idea tentang inovasi. Dalam setahun, Bill Gates akan mengambil cuti bagi menilai idea-idea tersebut. Andainya bersesuaian, idea itu akan dilaksanakan.

 

Friday, December 16, 2011

Fokus pada kekuatan bukannya pada kelemahan




Markus, pelajar Jerman sedang membaca
sajak 'Ke Makam Bonda'

Kita mesti memberi fokus pada kekuatan yang ada. Alasannya ialah kita sangat sukar membangunkan kekuatan di atas kelemahan. Lebih mudah membina kemajuan dan masa depan apabila kita memberi perhatian pada kekuatan.

Bagaimana kita boleh membina kekuatan tersebut? Pertama, memberi masa untuk menyatakan misi dan visi kita kepada orang lain  tentang kekuatan diri. Andai kata kita mula mengkritik seseorang tentang keburukan atau kelemahan diri berbanding memberi galakan, tentu sekali perjalanan hidup ataupun organisasi berada dalam keadaanb terumbang-ambing.

Kedua, galakkan orang lain membina keyakinan diri mereka dalam hidup, kerjaya, bidang yang diminati dan sebagainya. Falsafahnya ialah seseorang sangat sukar untuk membuat perubahan melainkan ada kesedaran diri yang dicetuskan oleh faktor-faktor persekitaran.

Jika kita lihat orang yang berjaya dalam usaha-usaha mereka, jemu dan putus asa tidak pernah menguasai hidup. Contohnya pencipta klon kambing biri-biri 'Dolly', Dr Lan Wilmut. 

Saintis ini telah berusaha sebanyak 227 kali untuk mencipta klon binatang berkenaan tetapi semuanya gagal. Kali ke-228 barulah beliau berjaya meneruskan cita-cita untuk mengubah pandangan manusia sejagat tentang usaha pengklonan. Jika dia memberi fokus kepada kelemahan, sudah tentu pengklonan tidak akan mencapai kemajuan seperti hari ini.

 

Wednesday, December 14, 2011

Fokus pada satu



Pemimpin miliki fokus yang tinggi


Semasa saya dan rakan-rakan berbincang untuk mengadakan satu program, kami dapati banyak idea yang muncul, bernas dan praktikal. Semuanya bersemangat hendak laksanakan aktiviti-aktiviti ini.

Selepas disenarai pendek rupa-rupanya aktiviti yang menarik itu tidak dapat dilakukan kerana bilangan ahli yang tidak mencukupi. Bayangkan seorang ahli terpaksa melakukan dua atau tiga aktiviti besar. Tahu-tahu satu aktiviti pun tidak dapat dilaksanakan. Kalau diteruskan hanya membebankan kami dan akhirnya kerja terbengkalai begitu sahaja.

 Pembelajaran utama di sini ialah pelaksanaan aktiviti mesti difokuskan kepada aktiviti yang benar-benar dapat dibuat. Lebih baik melaksanakan satu aktiviti daripada tiga aktiviti asalkan seluruh tumpuan dapat diberikan kepada yang satu itu. Ia juga dapat membantu kita memberi tumpuan kepada kualiti kerja supaya tidak membazirkan masa, tenaga dan wang ringgit. 

Organisasi yang berjaya telah lama mempraktikkan amalan satu aktiviti teras supaya orang ramai mengetahui kepakaran mereka. Selepas itu barulah dikembangkan kepada beberapa aktiviti yang bersifat 'niche' supaya sumber-sumber dalam organisasi dapat digembleng dengan cekap. 

Keupayaan memberi fokus pun satu hal kerana tersilap memberi fokus akan memberi derita yang berpanjangan. Begitulah kehidupan kita, adalah wajar menentukan keutamaan dalam hidup supaya kita tahu ke mana kesudahan akhir hidup kita nanti.

 

Tuesday, December 13, 2011

Gaya membuat keputusan







Ada berbagai-bagai gaya untuk membuat keputusan yang mempengaruhi keupayaan dan kebolehan setiap orang. Antara gaya ini ialah suka berlengah, konservatif, dan ikut gerak hati. Setiap satu daripada gaya ini ada kekebihan masing-masing yang boleh digunakan dalam masa-masa tertentu.

Suka berlengah adalah tanda sentiasa mencari alasan supaya dapat melambat-lambatkan kerja. Macam-macam alasan yang diberi sama ada munasabah ataupun tidak dan terpulang untuk diterima.

Teknik suka berlengah menunjukkan tahap lemah dalam proses membuat keputusan kerana akan mengganggu setiap tahap perancangan. Namun teknik ini ada baiknya kerana dalam sesetengah kes melengah-lengah menimbulkan hal lain yang lebih menyentuh hati.

Contohnya begini. Sepasang suami isteri yang memiliki baki cuti tahunan membuat keputusan untuk bercuti beberapa hari. Namun suami tidak dapat memberi kata putus kerana memikirkan beberapa urusan pejabaty ang belum selesai. Teknik ini merencatkan semua perancangan keluarga dan menimbulkan masalah komunikasi.

Konservatif bermaksud cuba mengelak risiko ketika memikirkan beberapa pertimbangan untuk membuat keputusan. Puncanya ialah perkara baru yang menimbulkan rasa tidak selesa menyukarkan proses membuat keputusan. Walau bagaimanapun gaya ini paling selamat kerana ada elemen berhati-hati dalam proses memberi keputusan. Tindakan berhati-hati menjadikan keputusan yang diambil lebih cenderung kepada meraikan kejayaan jika berjaya dan mencari alasan sampingan jika gagal.

Ikut gerak hati bergantung kepada keadaan, pengetahuan dan ilham. Kalau ilhamnya cepat, keputusan segera akan dibuat, jika tidak kena tunggu. Seperti suami isteri tadi, si suami membuat keputusan selepas mendapat ilham dan gerak hati itu sangat kuat mendesak mereka untuk bergerak. Selepas bercuti barulah mereka sedar ilham yang diterima suami ada maksud tersirat.

Ketika perjalanan pulang ke kampung, mereka menerima panggilan memaklumkan terdapat kematian di kampung dan mereka sekeluarga memang sedang menuju ke rumah berkenaan. Walau bagaimanapun keputusan berdasarkan gerak hati sepatutnya diiringi dengan maklumat dan pemikiran yang waras.

Terpulanglah kepada kita untuk membuat pilihan gaya ini.

 

Monday, December 12, 2011

Satu matlamat, laluan berbeza



 
 


Dua orang pelajar yang memiliki matlamat belajar yang sama tetapi berbeza universiti pada dasarnya mempunyai ciri-ciri kecemerlangan. Tempat tuju adalah sama tetapi laluannya jauh berbeza. Liku-liku perjalanan kejayaan ke universiti bergantung pada banyak keadaan seperti latar belakang, personaliti dan sumber.

Bagi pelajar daripada keluarga yang memiliki sumber kewangan mencukupi, dia tidak perlu tunggu bantuan kewangan dari kerajaan untuk belajar di universiti.

Namun bagi pelajar yang keluarganya berpendapatan rendah, biasiswa adalah rahmat untuk mengubah hidup keluarga. Dengan biasiswa, impian belajar di Universiti Al Azhar atau University of California, Berkerly akan tercapai.

Mendapat tempat dan belajar di universiti adalah laluan akhir untuk mendapat kerja yang lebih baik. Hari ini, kepintaran akal diperolehi melalui pendidikan formal yang sempurna.

Kebanyakan orang mempunyai laluan ke universiti masing-masing, banyak kaedah dan cara untuk mencapai matlamat ini. Yang penting ialah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

 

Sunday, December 11, 2011

Ubah masalah jadi matlamat





Sebaik sahaja kita menyatakan 'halangan' sebagai masalah, seluruh emosi dan tenaga kita berada dalam keadaan stress. Raut wajah berubah menjadi muram, kulit muka tegang dan dahi berkedut-kedut. Emosi sangat mempengaruhi perlakuan. Tingkah laku pasif boleh bertukar menjadi agresif dan 'cepat naik darah'.
 
Namun, apabila kita menukar 'halangan' sebagai matlamat yang hendak dicapai, emosi dan tenaga kita berubah serta-merta daripada stress kepada keinginan yang membuak-buak untuk berjaya. Emosi dan minda mula ligat membanyakkan rangsangan positif untuk mencari penyelesaian dengan berbagai-bagai cara. 

Transformasi ini mudah. 

Sebaik sahaja halangan didefinisikan sebagai 'matlamat', minda kita menjadi agen yang boleh membantu untuk memenuhi definisi baru ini.

Dengan menukar masalah kepada matlamat, kita mengubah situasi negatif kepada positif, maklumat yang umum dan longgar menjadi spesifik dan konkrit. Selepas itu bersedialah untuk mendapat habuan yang melimpah-ruah.

 

Saturday, December 10, 2011

Cara berkesan buat keputusan





Memiliki sedozen pilihan untuk membuat keputusan belum tentu menjanjikan keputusan yang tepat dan memuaskan hati kerana ada faktor-faktor lain yang menentukan pilihan terbaik.

Ramai orang yang membuat keputusan sama ada hendak berkahwin atau meninggalkan pekerjaan sebenarnya telah menghabiskan banyak masa untuk membuat pilihan. Malahan masa menunggu tersebut cukup meresahkan semua orang.

Apakah terdapat satu cara untuk membuat keputusan yang baik, diterima dan berkesan? Ada. Cara berkesan untuk membuat keputusan ialah bertanya soalan yang betul. Bertanya soalan-soalan yang relevan, menepati kehendak isu dan bertindak menyelesaikannya dengan pantas.

Tanpa mempelajari bagaimana bertanya soalan yang betul, kita hanya menyibukkan diri dengan isu remeh-temeh yang hanya menambah kekusutan fikiran. Hidup tidak menentu dan matlamat sebenar membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah tidak akan pernah tercapai.

Untuk bertanya soalan yang betul, kita mesti tahu bezakan yang mana satu keperluan dan yang mana satu kehendak. Apabila kedua-duanya jelas, barulah kita dapat berfikir dengan kritikal dan berusaha menyelesaikan masalah.

 

Friday, December 09, 2011

Mendefinisi masalah





Bagaimana kita memberi tafsiran atau definisi kepada masalah atau problem? Jika kita biasa dengan kamus, ada dua definisi untuk masalah.

Pertama, mana-mana hal yang melibatkan ketidakpastian, keraguan atau kesukaran. Kedua, soalan yang dicadangkan bagi penyelesaian atau perbincangan.

Antara dua definisi ini, manakah yang menepati definisi masalah yang kita hadapi?

Ia bergantung kepada bagaimana kita melihat masalah berkenaan. Cuba lihat contoh ini. 

 'Seorang pekerja yang telah berkeluarga mendapat peluang kenaikan pangkat. 
  Namun dia   perlu berpindah dari tempat kerja sekarang. Sekiranya diterima, 
  keluarganya akan susah   hati kerana terpaksa berpindah, jika tidak, dia akan 
  terlepas peluang itu.'

Manakah masalah di sini: adakah peluang kenaikan pangkat atau bergerak dan berpindah tempat kerja? Justeru untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi itu, kita mesti memberi definisi yang jelas khususnya dari segi keperluan bukannya situasi yang bercanggah.

 

Thursday, December 08, 2011

Keliru





Keliru atau confuse sentiasa berlaku. Ada banyak jenis keliru seperti keliru dengan arahan, keliru dengan jalan, keliru dengan kehidupan dan keliru dengan diri sendiri. Ia berlaku kepada semua orang dan merupakan suatu keadaan yang normal. Tidak perlu risau.

Keliru adalah pengetahuan yang tidak disedari tetapi perlukan tindakan berani. Banyak sebab kenapa keliru ini berlaku dan punca utama ialah kehilangan yang tiba-tiba. Kehilangan ini bermaksud 'terputus' talian maklumat yang diproses dalam fikiran. Ia mungkin melibatkan pekerjaan, hubungan, tempat simpanan, wajah seseorang dan kehidupan seharian. Sebab lain yang kerap kali berlaku adalah kerana faktor umur yang semakin meningkat.

Keliru tidak boleh ditolak mentah-mentah kerana ia membawa rahmat dan bencana. Rahmat kerana ia memberi peluang sekali lagi untuk membuat keputusan dan tindakan yang lebih baik.

Contohnya para pengurus atau pelajar yang silap membuat perkiraan, kesilapan itu boleh dibaiki pada depan selepas membaiki semua kekeliruan yang dihadapi sebelum itu. Bencana pula kerana andaian atau asas kepada sesuatu keputusan yang telah diambil sudah tidak dapat diterima, justeru perlu bermula dari awal.

Mengelak kekeliruan bererti kita mesti menguruskan sesuatu peristiwa dengan sistematik dan tegas. Mahu ataupun tidak, kita mesti mempunyai tahap minimum pengetahuan dalam sesuatu perkara supaya tidak lagi keliru khususnya ketika membuat keputusan. 

 

Wednesday, December 07, 2011

Pakar ekonomi saran Malaysia tingkatkan keupayaan teknologi




Malaysia seharusnya merancakkan lagi sektor pembuatan dengan memajukan keupayaan teknologi negara, kata Pakar Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Politik Universiti Cambridge, Prof Ha-Joon Chang.

"Malaysia perlu membangunkan keupayaan produktif iaitu pengurusan dan teknologi menerusi pelaburan mampan dalam pemesinan, pendidikan dan latihan, penyelidikan serta pembangunan. 

Malaysia seharusnya merancakkan lagi sektor pembuatan dengan memajukan keupayaan teknologi negara, kata Pakar Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Politik Universiti Cambridge, Prof Ha-Joon Chang.

"Malaysia perlu membangunkan keupayaan produktif iaitu pengurusan dan teknologi menerusi pelaburan mampan dalam pemesinan, pendidikan dan latihan, penyelidikan serta pembangunan. 

"Kesemua ini mesti disokong oleh dasar yang lebih baik berkaitan dengan pemerolehan kerajaan, kebajikan sosial dan lain-lain bidang," katanya dalam ceramah umum anjuran Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu dan Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa di sini, hari ini. 

Beliau berkata, dalam 2008, Malaysia mempunyai penguasaan tertinggi teknologi tinggi dan eksport yang dihasilkan di dunia.

Chang berkata, walaupun Malaysia adalah antara ekonomi paling pesat berkembang di dunia dalam separuh abad yang lalu, ia tidak sepantas atau ditransformasikan secara terancang seperti negara seperti Korea Selatan dan Singapura.

"Malaysia mesti meningkatkan usaha untuk membangunkan syarikat tempatan yang boleh bersaing di pasaran dunia terutamanya dalam industri yang dipromosi kerajaan seperti automobil dan keluli," katanya

Beliau berkata, usaha Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi mesti digerakkan oleh sektor pembuatan, yang menawarkan pertumbuhan produktiviti yang lebih baik berbanding perkhidmatan. 

"Ia adalah satu mitos iaitu hanya negara berasaskan perkhidmatan adalah berpendapatan tinggi dan ekonomi yang berpengetahuan," katanya.

Beliau memberi contoh Singapura dan Switzerland yang terus menambah nilai kepada ekonomi masing-masing menerusi pembuatan.

Beliau menegaskan, ia salah sekiranya mengasingkan sektor pembuatan daripada sektor pengetahuan.

"Mengikut sejarah, pembuatan menjadi pusat pembelajaran, sumber utama kepada pengetahuan produktif yang baru.

"Perkhidmatan seperti kewangan, reka bentuk dan kejuruteraan hanya boleh dimajukan selepas kita memperoleh keupayaan untuk menghasilkan produk yang berkaitan.

"Perkhidmatan ini dijual terutamanya kepada syarikat pembuatan, jadi kekayaan mereka bergantung kepada kejayaan pembuatan," katanya. 

BERNAMA (7 Disember 2011)

Sukar buat keputusan




Kenapa sukar membuat keputusan dalam hidup? Ada orang yang sanggup berikhtiar mencari kaunselor terbaik, mandi bunga dan berjumpa bomoh untuk menyelesaikan masalah hidup atau masalah bisnes. Kenapa sampai begitu sekali mereka berusaha?

Tentulah ia berkait dengan risiko pada masa depan. Keputusan yang bakal diambil memberi kesan dan menjejaskan banyak perkara. Paling penting ialah keputusan berkenaan boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah ataupun menyebabkan masalah menjadi lebih serabut.

Contohnya, jika kita bertanya seorang pemuda yang masih bujang, apakah kriteria wanita yang bakal menjadi suri hidupnya? Pemuda yang serius akan memberi ciri-ciri wanita idamannya manakala pemuda yang sambil lewa akan menyerahkannya kepada orang lain.

Implikasi kedua-dua jawapan ini ialah masa depannya. Membuat pilihan yang jelas akan memberi kebahagiaan pada masa depan kerana sebaik-baik perhiasan dunia ialah wanita solehah, bukannya yang cantik atau mempunyai duit yang banyak. Hidup adalah tempat ujian dan orang yang berani menghadapi ujian ini akan mendapat rahmat Allah swt.

 

Tuesday, December 06, 2011

Bermula dengan RM50




Sama ada modal yang kecil ataupun besar, ia tidak penting dalam bisnes. Yang penting ialah kita menguruskan modal yang ada dengan baik dan berkesan. Modal yang kecil jika diuruskan dengan betul akan membawa keuntungan.

Sebaliknya modal yang besar jika diuruskan secara sambil lewa dan wujud pembaziran di sana sini, lama-kelamaan akan membawa kerugian dan muflis.

Ada dua orang rakan kongsi bisnes yang gigih dan kuat kerja. Sejak pagi hingga malam, mereka berdua masih memikirkan bisnes yang baru dibina. Modal bisnes mereka cuma RM50 sebulan iaitu untuk bayar sewa pejabat yang kecil dan muat untuk dua orang.

Tiga bulan pertama adalah masa kritikal untuk bisnes latihan dan sumber manusia mereka. Usaha pemasaran dilakukan tanpa mengira masa dan tempat serta berjumpa seberapa ramai prospek.

Bulan keempat mereka mendapat projek pertama dengan bayaran RM12,000. Selepas 12 tahun, pendapatan tahunan mereka melebihi sejuta ringgit dengan pelanggan di seluruh dunia khususnya di rantau Arab. Inilah hebatnya bisnes yang bermodal kecil tetapi digandakan dengan usaha yang gigih dan tidak kenal erti kekalahan.


 

Monday, December 05, 2011

Barisan yang cemas




Perhimpunan Agung UMNO melabuhkan tirai dengan bai'ah untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya. Para perwakilan kelihatan bersemangat meraikan ucapan presiden parti yang bersungguh-sungguh menagih simpati ahli-ahli UMNO sebagai persediaan pilihan raya ke-13 nanti.

Gesaan, rayuan, kritikan dan cemuhan yang jarang kita dengar dalam ceramah-ceramah politik UMNO terdedah keluar ke dalam media. Istilah paling jelek ialah 'bangsat' yang mencemuh orang Melayu yang tidak menyokong mereka. Tentulah panggilan ini ditujukan kepada penyokong pembangkang. Namun orang Melayu yang tidak berminat dengan UMNO mahu pun PAS atau PKR pasti terasa hati, mungkin meluat dengan orang yang menggelar itu.

Dari nada yang dilontarkan oleh presiden UMNO kepada perwakilan, terasa ada talian hayat yang diperlukan untuk Barisan Nasional kembali meraih dua per tiga. antaranya ialah mengambil kembali calon-calon yang terbuang tetapi ada harapan besar untuk menang. Puak-puak muda yang ghairah hendak bertanding hanya boleh senyum sumbing kerana mungkin diketepikan. Dasar pemilihan calon yang meletakkan kriteria 'boleh menang' sebagai syarat dipilih tentu menimbulkan persaingan yang sengit. Rata-rata bakal calon ini perlu memiliki kekuatan sendiri untuk dipilih.

UMNO parti lama yang telah melalui pelbagai ujian dan cabaran. Semuanya dapat dihadapi dengan berjaya setakat ini. Konsep pragmatik yang menjadi amalan membolehkan UMNO terus survive hingga kini. Di kawasan-kawasan yang berpotensi menang, anak-anak buah sentiasa bekerja bersungguh-sungguh mempastikan bos mereka berjaya.

Strategi politik setiap parti politik berbeza-beza. UMNO dengan caranya, PAS, DAP dan PKR dengan cara masing-masing. Orang Melayu memberikan kuasa kepada pemimpin yang mereka percaya boleh memimpin mereka di dunia dan akhirat. Trend orang Melayu yang menunjukkan bantahan kepada UMNO diperlihatkan secara jelas dalam pilihan raya lepas. Mitos bahawa hanya UMNO yang dapat memberi pembangunan sudah terlerai kerana tanpa Barisan Nasional rakyat di negeri pentadbiran parti pembangkang dapat menikmati hidup yang sama dengan negeri-negeri lain.

Kesedaran inilah yang telah wujud dalam kalangan orang muda hari ini.

Strategi DAP untuk menang memang diketahui. Di kawasan yang tentu kalah, mereka tidak beri perhatian sebaliknya pengundi dari kawasan luar mendaftarkan diri untuk menjadi pengundi di kawasan yang tentu menang. Di Pulau Pinang, ada kajian yang dilakukan telah menunjukkan trend pengundi dari negeri-negeri utara mendaftarkan diri di kawasan undian Pulau Pinang demi mempertahankan kemenangan masing-masing. Barangkali strategi yang sama diguna pakai hingga timbul istilah 'pengundi hantu'.

UMNO dan Barisan Nasional sedang berhadapan dengan perubahan politik Malaysia. Pengaruh dari Tunisia, Mesir dan Libya mungkin tidak besar tetapi kesedaran politik dan 'good governance' semakin tinggi. Apatah lagi kajian Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International menunjukkan penglibatan rasuah semakin membesar hinggakan cakap-cakap kedai kopi dalam kalangan orang kampung sudah menjadi lumrah. Rasuah telah menjadi pengetahuan umum dan kerajaan sedia ada berhempas-pulas menonjolkan imej bersihnya.

Barisan sedang berhadapan dengan jentera perang pilihan raya yang sangat kemas dan tersusun. Tersilap langkah, Putrajaya akan beralih tangan.

Sunday, December 04, 2011

Peluang kerja dalam industri minyak dan gas




Brunei akan menerima pelaburan besar bagi pembinaan loji petrokimia oleh syarikat persendirian dari China, Zhejiang Hengyi Group Company sebanyak $6 bilion. Dijangka pelaburan ini akan mewujudkan 2000 peluang pekerjaan dalam industri ini. Keputusan itu menghilangkan prasangka ke atas syarikat-syarikat pelaburan dari China yang sering kali mencetuskan kontroversi.

Brunei sebuah negara kecil dengan pendapatan per kapita yang tinggi. Syarikat minyak Malaysia, Petronas sedang mengadakan usahasama cari gali dengan kerajaan Brunei di blok baru yang diyakini mampu mengekalkan negara itu sebagai negara makmur bagi tempoh 40 tahun yang akan datang. Kejayaan menarik pelaburan dari China itu tentu merancakkan industri minyak dan gas.

Pertanyaan yang menarik di sini ialah peluang pekerjaan yang bakal dicipta dalam industri minyak dan gas, bukan sahaja di Brunei malah di Sarawak. Malaysia memiliki empat buah universiti teknikal tetapi kita tidak dengar pun antara universiti ini yang menawarkan kursus berkaitan minyak atau gas. Apakah kita ketandusan pakar untuk melatih pelajar dalam bidang berkenaan?

Cuma ada Universiti Teknologi Petronas yang membekalkan kepakaran tersebut, secara langsung, pelajar dari situ sajalah yang mengisi tenaga kerja sama ada untuk Petronas sendiri atau syarikat minyak lain di seluruh dunia.
 
Fokus MTUN adalah untuk melahirkan bakal jurutera dalam pelbagai bidang namun apabila ada masalah jurutera yang tidak cekap mengendalikan peralatan, kursus berkaitan teknologi diperkenalkan untuk mengurangkan jurang antara jurutera dan juruteknik. Sekarang, Malaysia bakal ada ‘teknologis’ dalam empat tahun akan datang.

Berbalik kepada pelaburan di Brunei, peluang lepasan institusi pengajian tinggi di Malaysia untuk menceburi bidang petrokimia dalam industri minyak dan gas amat besar andainya diberi pendedahan dan pengetahuan. Pendapatan dalam sektor ini amat lumayan. Sebagai galakan, kerajaan wajar memikirkan tindakan jangka panjang untuk membentuk tenaga kerja mahir dalam industri ini yang akan menyokong Petronas malah syarikat minyak di Brunei dan negara-negara pengeluar minyak seluruh dunia. Usaha ini tentu melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam menyediakan modal insan yang mahir lagi terlatih.

Barang kali juga kerajaan patut memberi galakan kepada penubuhan institusi pengajian tinggi swasta yang memberi fokus kepada industri minyak dan gas.

Peluang pekerjaan kepada pelajar dalam bidang minyak dan gas amat cerah dalam tempoh dua hingga lima tahun akan datang. Mereka perlu menyediakan diri dengan kemahiran komunikasi, bahasa Inggeris dan sikap mahu bekerja dari bawah. Industri ini menjanjikan pendapatan yang lumayan berbanding bekerja seharian di dalam pejabat yang berhawa dingin dengan pendapatan RM1000 hingga RM2000 sebulan.

 

Saturday, December 03, 2011

Kerja sendiri pendapatan lumayan





Keusahawanan adalah satu bidang yang sangat menarik dan sentiasa menjadi perhatian ramai orang yang mahu menambah wang. Buku, majalah atau dokumentari kejayaan usahawan-usahawan terkenal sering kali menjadi buruan dan tumpuan untuk dibaca dan dibuat kajian. Usahawan yang telah terkenal sering menjadi panduan kepada usahawan muda dan mereka yang berjinak-jinak dengan bisnes.

Seorang usahawan muda yang baru mendapat bayaran pertama amat berpuas hati dengan bayaran berkenaan. Namun sejarah usahawannya sangat perit dan melalui banyak kepayahan.

Usahawan muda ini, sama seperti lepasan universiti yang lain begitu bersemangat mencari kerja dengan bekalan sijil yang baru diperolehi. Dia mencari kerja ke sana-sini dengan sabar tanpa ada rasa menyesal. Hampir setahun berusaha, dia gagal sama sekali. Lalu dengan tekad yang membara, semangat yang kental dan sokongan keluarga, dia memulakan bisnes dalam bidang pembinaan.

Projek pertama ialah menurap jalan raya. Selesai kerja, dia dipanggil ke agensi kerajaan yang menawarkan kerja tersebut. Di sana dia diberi satu sampul surat dan sehelai kertas bercetak untuk tandatangan penerimaan cek. Di atas cek tersebut terpapar angka RM20,000.00 sahaja.

Selepas berhempas pulas mencari kontrak dan bekerja bersungguh-sungguh, usahawan muda tadi mendapat habuan yang sangat bererti dalam hidupnya.

Friday, December 02, 2011

Bahasa Inggeris dan mitos pengangguran



 
 


Bahasa Inggeris adalah salah satu bahasa yang digunakan dalam persidangan dan mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa  Bersatu (PBB) di New York. Bahasa-bahasa lain ialah Arab, Mandarin, Perancis, Sepanyol dan Rusia.

Antara bahasa ini, bahasa Inggeris digunakan dengan meluas dalam pelbagai bidang; pendidikan, pengangkutan udara dan perubatan. Oleh kerana penggunaan bahasa Inggeris yang melata, negara-negara membangun dan baru merasai kemerdekaan lebih cenderung menggalakkan rakyat mereka belajar bahasa Inggeris.

Kepentingan bahasa ini dalam pendidikan menunjukkan betapa tingginya perhatian kerajaan terhadap kemajuan negara. Ibu bapa yang memahami isu ini cuba menyediakan kemahiran berbahasa kepada anak-anak sejak kecil.

Dari awal, anak-anak didedah dan diajar untuk bercakap beberapa istilah biasa dalam bahasa Inggeris. Contohnya, ‘fish’, ‘cat’, ‘car’ dan sebagainya yang mudah disebut. Bagi ibu bapa yang mahir bahasa Inggeris, mereka bercakap bahasa ini sepenuhnya. Bagi yang kurang, mereka sebut apa yang mereka tahu, sekurang-kurangnya dapat juga memperdengarkan istilah-istilah tertentu.

Di sekolah, pendidikan dalam bahasa Malaysia atau bahasa ibunda lebih mudah kerana itulah bahasa yang paling mudah difahami untuk mempelajari ilmu. Malaysia lebih beruntung kerana para pelajar mendapat pendedahan awal dalam bahasa Inggeris.

Keadaan amat berbeza di Sudan, sebuah negara yang besar tetapi tidak dapat menyediakan peluang yang besar kepada rakyatnya untuk belajar. Pelajar di sana tidak diberi pendedahan secara formal untuk belajar bahasa Inggeris sehinggalah masuk ke sekolah menengah. Keadaan ini menyebabkan mereka yang berminat untuk belajar ke peringkat lebih tinggi berhijrah ke luar negara dan menguruskan hidup sendiri.

Apa yang berlaku sekarang ialah pelajar di universiti dikatakan kurang mahir dalam komunikasi khususnya berbahasa. Rungutan yang sama diberikan oleh majikan yang merasai bahasa sebagai sebahagian daripada masalah pelajar yang perlu diberi perhatian.

Persoalan yang berlegar dalam minda pelajar ialah kenapa kelayakan mereka tidak banyak membantu untuk mendapatkan pekerjaan yang baik? Apakah suatu yang biasa apabila seorang pelajar yang memiliki ijazah kejuteraan dari universiti tiba-tiba ditawarkan kerja sebagai pencari fail?

Masa dulu mungkin janggal, namun hari ini, keadaan seperti itu sudah menjadi lumrah. Bukan sahaja jurutera yang perlu bersaing mencari pengalaman kerja, ahli teknologi, pentadbir dan analisis komputer juga kena ‘kaut’ apa-apa kerja yang dapat.

Timbul juga isu majikan yang lebih selesa memilih pelajar lepasan universiti yang mahir berbahasa Inggeris biar pun keputusan peperiksaan tidak begitu cemerlang berbanding pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang tetapi tidak boleh bercakap bahasa Inggeris. Situasi ini menunjukkan bahawa komunikasi dan bahasa sangat rapat dengan kecerahan mendapat peluang pekerjaan.

Namun, kita tidak patut memberi persepsi negatif ke atas pelajar yang tidak tahu berbahasa Inggeris ini kerana kemahiran bahasa boleh dipelajari dengan cepat andai pendekatannya adalah betul.

Selain bahasa, kemahiran insaniah amat berkesan. Seorang pelajar lepasan universiti yang sedang mencari kerja amat kecewa selepas berusaha mencari kerja di merata tempat. Akhirnya beliau memilih untuk bekerja sebagai pencuci kereta.

Pengalaman sebagai pelajar universiti yang mahir dengan kreativiti, pengurusan yang sistematik dan kesedaran terhadap kualiti telah melatihnya menjadi seorang pekerja yang tekun dan tidak cerewet dengan gaji. Berpuluh-puluh kereta dicucinya hinggalah suatu hari dia mencuci sebuah kereta mewah. Tuan punya kereta itu boleh agak sejauh mana tahap pendidikan pelajar tadi dan bertanya sedikit sebanyak latar belakangnya. Di tengah-tengah bahang panas, pelajar tadi sebenarnya mula ditemuduga peringkat awal.

Seterusnya beberapa hari selepas itu, dia dipanggil ke pejabat untuk ditawarkan kerja yang sesuai dengan kelayakan akademiknya.

Hakikat kehidupan ini ialah bersedia untuk sabar dalam mencari pekerjaan. Biar pun persepsi masyarakat tentang lepasan universiti yang tidak mahir bahasa Inggeris dikatan punca gagal mendapat pekerjaan, terdapat elemen lain yang menjadi kriteria kepada peluang pekerjaan.

Apa gunanya jika berbangga dengan keupayaan bahasa yang tinggi tetapi amalan rasuah dan mengkhianati amanah juga hebat. Apa guna jika bercakap macam air tetapi tidak dapat selesaikan masalah jika diminta untuk selesaikan.

Rumusannya, bahasa Inggeris bukanlah satu-satunya punca kepada pengangguran sebaliknya kemahiran dan pengalaman kerja yang kurang menyebabkan lepasan universiti tercari-cari pekerjaan yang sepadan untuk mereka.

 

Tuesday, November 29, 2011

Jalan raya negara kita




oleh Awang Selamat

Jalan raya menunjukkan kemajuan sesebuah negara. Dulu, selepas kemerdekaan Malaysia kebanyakan jalan di negara ini tidak berturap, tanah merah dan berkerikil.

Awang masih ingat pada ketika itu, selepas hujan kaki kita berselut dengan tanah merah dan pada musim panas pula berdebu. Itulah jalan yang ada pada ketika itu.

Kemajuan Malaysia dalam tempoh 53 tahun selepas kemerdekaan amat cepat sekali. Hampir keseluruhan jalan-jalan di seluruh negara kini diturap dengan tar. Di kampung-kampung di luar bandar jalannya dikenali sebagai mini tar, yang ada antaranya sehingga ke depan tangga rumah.

Jalan raya jelas menunjukkan kemajuan Malaysia, berbanding dengan beberapa negara lain yang masih lagi terkebelakang.

Namun, setelah tahap liputan jalan berturap berjaya dicapai, kini kemajuannya diukur melalui mutunya pula.

Di Singapura, negara jiran termaju yang paling dekat dengan kita, mutu jalan tarnya cukup hebat. Jarang sekali kita melihat jalan-jalannya berlubang, berlopak-lopak atau turapannya tertanggal di sana sini.

Penyenggaraan yang dilakukan cukup baik. Berbeza dengan mutu jalan raya kita – rata-ratanya tidak sampai ke tahap seperti Singapura.
 
Awang rasa mutu tarnya adalah sama, cuma penyeliaan dan penyenggaraan kita masih boleh diperbaiki. Jika dikorek, turapannya dilakukan mengikut piawaian yang tinggi.

Jika dibandingkan dengan di Thailand pun, mutu jalan raya utama mereka cukup baik.

Awang mahu jawapannya, di manakah silapnya mutu turapan jalan kita ini. Semasa musim hujan ini, keadaannya lagi teruk.

Awang – Termenung.

(Utusan Malaysia, 28 November 2011)

Monday, November 28, 2011

Hijrah ke arah keperkasaan

Pengedali telefon selular menghantar dua pesanan ringkas multimedia ke telefon bimbit mengingatkan saya awal muharam tahun baru Hijrah. Corak grafiknya sangat menarik kerana menunjukkan ciri-ciri Islamik dan seperti hari raya. Ternyata, kiriman MMS seperti itu membuatkan pengguna berasa dihargai.

Tahun baru Hijrah adalah sebahagian daripada tarikh penting dalam kalendar umat Islam. Ia menjadi pencetus kepada perubahan hidup khususnya transformasi minda. Kerana itulah, setiap kali sambutan Maal Hijrah di Malaysia, ketua negara dan ketua kerajaan menjadi tetamu kehormat bagi menyampaikan ucapan dan hadiah kepada tokoh-tokoh yang dipilih. Majlis sambutan tersebut semakin mendapat perhatian apabila kategori hadiah diperluaskan kepada bukan Islam.

Tahun baru menjadi titik tolak kepada perubahan diri dan hidup umat Islam di Malaysia. Sejak merdeka, keadaan umat Islam khususnya orang Melayu semakin baik. Jika dulu kemiskinan menjadi sahabat karib, kini kekayaan dan kemakmuran hidup menjadi teman akrab. Di sana sini kehidupan mereka bertambah senang. Usaha  yang kuat, pengorbanan diri dan strategi pembangunan yang berkesan telah membantu masyarakat Islam keluar daripada belenggu kemiskinan dan kesusahan hidup.




Faktor utama kepada perubahan ini ialah politik dan pendidikan. Orang Islam di Malaysia tidak punya kuasa ekonomi yang kuat tetapi boleh berbangga dengan kuasa politik dan undi majoriti. Perancangan yang berterusan dalam jangka masa panjang dengan mengutamakan pendidikan telah mendapat hasilnya pada hari ini.

Rata-ratanya generasi muda Islam sudah mendapat pendidikan asas dan beribu-ribu lagi sedang melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara. Kuasa yang diperolehi melalui politik telah membantu umat Islam lebih perkasa dalam bidang pendidikan, ekonomi dan sosial. Penentu kepada kejayaan umat Islam adalah politik, justeru kejayaan yang sedang dikecapi ketika ini adalah kerana kuasa berada dalam kalangan orang-orang Islam.

Semenjak merdeka hinggalah ke hari ini, kesatuan umat Islam masih lagi utuh dan kuat. Kekuatan perpaduan ini yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan Malaysia, berbeza dengan negara-negara pelbagai etnik yang lain.

Selatan Thailand bergolak kerana tidak ada perpaduan yang kuat antara etnik-etnik yang berlainan bahasa, cara hidup dan agama. Malaysia, walaupun memiliki etnik yang berbeza latar belakang yang besar, tidak menjadi seperti Thailand yang telah memaksa penduduk Islam menukar nama kepada nama-nama berunsur Siam. Akhirnya, umat Islam hilang jati diri dan elemen kemelayuan sedikit demi sedikit hilang.

Insya Allah, perpaduan menjadikan umat Islam di Malaysia lebih kuat dan mampu menghadapi bermacam-macam cabaran. Di sinilah yang menjadikan mereka lebih giat berusaha untuk memacu kejayaan bangsa supaya lebih dihormati. Apatah lagi, dengan Islam sebagai cara hidup, umat Melayu akan terus gagah dan kuat.

 

Friday, November 25, 2011

Kebetulan atau suratan




Panggilan Allah swt untuk menemuiNya berlaku bila-bila masa saja. Masa sihat, sakit sikit-sikit apatah lagi masa sakit tenat dan kritikal. Masa sihat, Allah swt menjemput seseorang melalui asbab kemalangan kecil-kecilan seperti jatuh motorsikal dan batuk-batuk. Sakit sikit-sikit pula berkaitan penyakit lama tetapi bertahan dengan makan ubat-ubatan yang disyorkan doktor. Setiap hari ada ribu-ribu orang mati kerana pelbagai sebab.

Pertalian hati antara orang yang hidup dengan orang hendak mati sentiasa kuat malah dikatakan sebagai kebetulan berlakunya sesuatu yang tidak disangka-sangka. Contohnya, saya sendiri melalui dua kejadian yang mungkin dikatakan sebagai kebetulan.

Pertama, permohonan cuti panjang diluluskan. Cuti ini untuk balik kampung, rileks-rileks. Selang sehari di kampung, ada orang maklumkan saudara terdekat baru meninggal dunia kerana kompilasi kencing manis.

Kedua, cuti panjang juga untuk urusan keluarga, baru sahaja sehari cuti, makluman ada saudara dekat baru sahaja meninggal dunia kerana kompilasi kencing manis. Kemungkinan besar kekurangan gula dalam darah. Terus menghala kereta ke arah kampung.

Statistik menunjukkan hampir tiga juta rakyat Malaysia berhadapan dengan penyakit kencing manis. Ia tidak kira siapa kerana penyakit ini ada teman rapatnya iaitu cara hidup.

Sama ada berjawatan besar atau kecil, sama sahaja. Kalau hidup tidak pernah atau jarang-jarang membuat latihan jasmani, kerap bekerja dan kurang pergerakan badan untuk mengeluarkan peluh, mudahlah kencing manis hendak muncul dalam badan. Bayangkan kalau sudah dua bulan badan tidak berpeluh, macam mana hendak menjadi orang yang sihat?

Menjaga kesihatan diri umpama menjaga emas sebukit. Diri adalah anugerah dan amanah Allah swt yang sangat berharga. Sekali mendapat penyakit yang berpunca daripada amalan hidup kita, sangat sukar hendak diganti organ-organ yang bermasalah ini.

Justeru jadikan kehidupan kita suatu yang indah dan bererti.

 

Tuesday, November 22, 2011

Indonesia kalah lagi



 
Indonesia tewas kepada Malaysia dalam penentuan sepakan penalti dalam perlawanan akhir bola sepak Sukan Asia Tenggara di Stadium Bung Karno di Senayan, Jakarta. Kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga masa tambahan. Indonesia menjaringkan gol awal pada minit kelima menerusi tandukan Gunawan DwiCahyo. Walau bagaimanapun, Malaysia menguasai permainan selepas Mohamad Asrarudin Omar menyamakan kedudukan pada minit ke-35.
Dalam penentuan penalti, dua pemain Indonesia gagal dalam dua sepakan manakala Malaysia hanya gagal satu gol. Sebelum ini Malaysia menewaskan Indonesia 1-0 dalam pusingan kelayakan.

Skuad Malaysia dan Indonesia telah menghadapi pertemuan sebanyak 13 kali dalam sejarah Sukan Asia Tenggara dan setiap pasukan memenangi enam kali dan sekali seri 0-0.

2011 Malaysia (1) vs. Indonesia (1) (Malaysia menang 4-3 melalui sepakan penalti)
2011 Malaysia (1) vs. Indonesia (0) (pusingan kelayakan)
2005 Malaysia (1) vs. Indonesia (0)
2001 Malaysia (2) vs. Indonesia (1) (pusingan kelayakan)
1999 Malaysia (0) vs. Indonesia (6) (pusingan kelayakan)
1997 Malaysia (0) vs. Indonesia (4) (pusingan kelayakan)
1995 Malaysia (0) vs. Indonesia (3) (pusingan kelayakan)
1991 Malaysia (0) vs. Indonesia (2) (pusingan kelayakan)
1989 Malaysia (2) vs. Indonesia (0) (pusingan kelayakan)
1987 Malaysia (0) vs. Indonesia (1) (akhir)
1985 Malaysia (1) vs. Indonesia (0)
1979 Malaysia (1) vs. Indonesia (0) (akhir)
1979 Malaysia (0) vs. Indonesia (0) (pusingan kelayakan)
1977 Malaysia (1) vs. Indonesia (2) (pusingan kelayakan)