Kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin menarik
simpati ramai pihak. Pihak istana, pemimpin negara, ketua komuniti dan orang
ramai menzahirkan kesedihan masing-masing dengan menziarahi jenazah, membuat
catatan di media sosial atau mengadakan bacaan yaa sin.
Mohamad Thaqif merupakan seorang pelajar yang
bercita-cita mahu menghafal al-quran. Namun, sistem pengajian yang dilaluinya
telah menghalang impian tersebut apabila proses pembelajaran menjadi lebih
sukar dan memudaratkan.
Dewasa ini, institusi tahfiz semakin mendapat
tempat dalam masyarakat Islam di Malaysia. Maklumat di portal Darul Quran,
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia mencatatkan sehingga 2011 terdapat 278 buah
pusat tahfiz di seluruh negara. Daripada jumlah ini, hanya 14 buah yang berada
di bawah kerajaan pusat atau negeri manakala 254 lagi berada di bawah seliaan
swasta atau persendirian.
Pusat tahfiz banyak terdapat di Selangor
(120), diikuti Kelantan (60), Perak (20), Kedah (15) dan Pulau Pinang (8).
Bilangan pelajar pula dianggarkan seramai 13,000 orang.
Kewujudan pusat tahfiz swasta ini menunjukkan
ibu bapa berminat dengan sistem ini, sekurang-kurangnya melahirkan seorang
hufaz dalam keluarga mereka. Antara faktor yang menarik minat ibu bapa ialah
integrasi sistem pendidikan agama dan akademik. Kaedah ini dapat memberi
kemahiran tambahan kepada pelajar tahfiz supaya dapat bersama-sama bersaing
dalam dunia pekerjaan kelak.
Di samping menghafal al-quran, pelajar dapat
menguasai kemahiran bahasa, matematik dan sains. Pelajar yang berjaya menamatkan
pengajian berupaya memiliki nilai tambah diri yang melayakkan mereka untuk
dipilih semasa persaingan selepas pengajian. Kebanyakan ibu bapa percaya jika
anak-anak diberi pendidikan al-quran, pemikiran dan moral anak-anak dapat
menjadi pelindung paling kuat kepada ancaman sosial hari ini.
Pelajar yang pintar dan dihantar ke pusat
tahfiz ridak mempunyai masalah pembelajaran malah dapat menaikkan imej
institusi tahfiz.
Namun ia berbeza dengan pelajar yang dihantar
ke pusat tahfiz kerana tidak ada pilihan lain. Pelajar jenis ini bakal memberi
masalah kepada pihak pengurusan tempat belajar mereka dan turut memberi masalah
kepada pelajar-pelajar lain. Mereka juga mungkin gagal menamatkan hafalan dan
menjadi beban kepada kelaurga dan masyarakat.
Institusi tahfiz perlukan perubahan dalam semu
aspek. Namun, tumpuan perlu diberikan kepada silibus yang lebih praktikal
seperti pengajaran dan pembelajaran, pengukuran pencapaian dan kemahiran
akademik. Aspek-aspek lain seperti kemudahan infrastruktur, kualiti pengajar
dan beban tugasan guru boleh ditambah baik seiring dengan perkembangan tahfiz
itu sendiri.
Pihak berkuasa yang menjaga hal ehwal tahfiz
juga perlu memodenkan sistem dan prosedur pengawalan, pemantauan dan penilaian
seiring dengan perubahan corak pendidikan agama hari ini. Kefahaman masyarakat terhadap
peranan hufaz juga lebih jelas. Mereka tidak lagi bekerja dalam bidang
keagamaan sebagai imam atau pembaca doa, sebaliknya boleh menjadi jurutera atau
doktor.
Ia boleh berlaku kerana telah wujud kesedaran
dalam kalangan pembuat polisi pendidikan tahfiz yang percaya bahawa pendidikan
yang bersepadu berupaya melahirkan sumber manusia yang berketerampilan dan
memberi manfaat kepada negara.
Dasar Pendidikan Tahfiz Nasional yang ada
boleh menjadi panduan kepada semua pihak ke arah melahiran institusi tahfiz
yang berkualiti dan berpengaruh di peringkat antarabangsa. Semua pihak yang
terlibat wajar memberi komitmen bagi melaksanakan dasar ini seiring dengan
kepercayaan umum masyarakat Islam terhadap sistem pendidikan berkenaan. Mendaftarkan pusat tahfiz adalah langkah awal memastikan pelajar
mendapat pendidikan sewajarnya supaya pusat tahfiz dapat dibawa ke dalam arus
perdana sistem pendidikan negara.