Friday, June 29, 2012

eKasih


  
Memahami isu-isu kemiskinan menjadikan
kerajaan lebih kreatif mencari penyelesaian

Kejayaan projek eKasih dipilih sebagai pemenang kategori "Advancing Knowledge Management in Government" untuk Asia dan Pasifik menunjukkan bahawa usaha Malaysia memberi fokus kepada usaha-usaha pengurangan dan pembasmian kadar kemiskinan secara terancang telah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Hadiah tempat pertama ini yang diberikan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mengalahkan projek kerajaan Korea Selatan iaitu "National Science and Technology Information Service" yang sebelum ini menjadi pesaing kepada banyak projek dan inisiatif negara-negara lain.

Projek eKasih yang dilancarkan pada 2007 merupakan satu sistem pengkalan data keluarga miskin yang diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan. Ia menjadi rujukan kepada pelbagai agensi berkaitan untuk mengagihkan bantuan dan sumbangan kepada pemohon yang layak dan inisiatif ini telah mengelakkan pertindihan nama, program dan jenis bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

Data dan maklumat yang dimasukkan ke dalam eKasih adalah berasaskan kepada Banci Isi Rumah Miskin (BIRM). BIRM adalah program banci dengan pendekatan isi rumah dan bukan individu. Ia dijalankan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOS) dengan hasil banci diserahkan kepada ICU JPM sebagai input utama kepada eKasih.

Selain mereka yang memenuhi kriteria status kemiskinan berdasarkan pendapatan per kapita isi rumah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 2007, mereka yang layak mendaftar dan dimasukkan ke dalam eKasih adalah isi rumah yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan di kawasan luar bandar dan RM1,500 di kawasan bandar.

Kejayaan ini dilihat sebagai pengiktirafan PBB terhadap usaha-usaha pembasmian kemiskinan yang telah dilakukan oleh kerajaan sejak merdeka sehinggalah iltizam untuk mengurangkan kadar kemiskinan negara di bawah dua peratus. Sasaran ini tidak mustahil untuk dicapai kerana kerajaan terlibat sepenuhnya dalam program pembasmian kemiskinan melalui pelbagai dasar dan perancangan dalam aspek penempatan, peningkatan aktiviti ekonomi dan bantuan keusahawanan untuk membolehkan golongan miskin berdikari dan keluar dari lingkaran hidup yang tidak produktif.

Usaha mengumpulkan maklumat kemiskinan adalah sangat rumit kerana kakitangan agensi-agensi yang terlibat perlu keluar mencari golongan sasar di bandar dan luar bandar, meredah jalan raya dan lembah yang lecak di samping meninggalkan pejabat dan rumah semata-mata mempastikan maklumat yang didapati adalah sahih dan tepat. Pendaftaran terperinci dilakukan oleh pembanci bagi tujuan pengesahan dan seterusnya mendaftarkan mereka ke dalam sistem eKasih dengan disahkan oleh pihak Focus Group yang dianggotai oleh Pejabat Daerah dan ICU di peringkat negeri.

Malaysia memiliki satu lagi produk yang boleh dikongsi dengan negara-negra membangun lain di seluruh dunia untuk menguruskan program pembasmian secara berpusat. eKasih memberi peluang kepada pengumpulan dan perkongsian maklumat secara sistematik sebagai kaedah yang mudah dan berkesan untuk membantu sebarang projek pembangunan kepada golongan miskin. Kerajaan wajar memikirkan bagaimana eKasih boleh dipakejkan untuk dilaksanakan di negara-negara yang dikategorikan sebagai negara-negara dunia ketiga ini.


Thursday, June 28, 2012

75 peratus dapat kerja selepas 6 bulan



oleh Suhaila Shahrul Annuar

Kajian Pengesahan Graduan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mendapati 75 peratus graduan memperoleh pekerjaan enam bulan selepas menamatkan pengajian, seperti disasarkan pada 2010.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu termasuk graduan yang menunggu penempatan, mengikuti latihan dan menyambung pengajian dalam enam bulan selepas tamat pengajian.

Katanya, kumpulan sasar kementerian termasuk pelajar dalam tempoh pengajian sehingga menduduki peperiksaan akhir, menamatkan kursus dan graduan masih dalam sistem pengajian tinggi bagi tempoh enam bulan selepas menduduki peperiksaan akhir atau selepas konvokesyen.
“KPT memilih pendekatan ini bagi memastikan graduan mempunyai kebolehan tinggi, bermutu dan ada nilai tambah dari segi kemahiran insaniah serta memenuhi kehendak pasaran bagi memperoleh pekerjaan bersesuaian.

“Kerajaan turut memperuntukkan RM75 juta tahun ini bagi pelaksanaan program berkaitan kebolehpasaran dan kebolehdapatan kerja graduan untuk kumpulan sasar ini,” katanya pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Pelancaran Inisiatif Pembangunan Modal Insan, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KPT, Datuk Omar Abd Rahman.

MoU di antara KPT dan Might-Meteor Advanced Manufacturing (MMAM) Sdn Bhd itu dimeterai sempena majlis pelancaran Seminar Pemantapan Program Kebolehdapatan Kerja Graduan dan Program ‘Siri Pemimpin’.


Khaled berkata, berbanding 2007, keupayaan graduan mendapat kerja meningkat tahun lalu dalam semua kategori iaitu 77.4 peratus di Universiti Penyelidikan, Universiti Komprehensif (72.2 peratus) dan 74.2 peratus bagi Universiti Berfokus.

Katanya, kerjasama antara KPT-MMAM membuktikan komitmen kerajaan menangani isu kebolehpasaran graduan dalam bidang teknologi tinggi menerusi perkongsian berkesan antara sektor awam dan swasta bagi menambah baik kemahiran bakat tempatan supaya memenuhi keperluan industri.

Program ‘Siri Pemimpin’ bertujuan meningkatkan kemahiran graduan sebagai pakar industri berteknologi tinggi pada masa depan dengan menyasarkan pembangunan kepakaran yang khusus dalam teknologi elektrik dan elektronik, teknologi hijau serta industri minyak dan gas.


(Sumber: Berita Harian, 28 Jun 2012)


Tuesday, June 26, 2012

Rohingya




Derita dan sengsara
(Sumber: Google Images)

Memahami Rohingya perlukan perbincangan dan penjelasan yang berfakta. Tidak seperti Palestin, maklumat berkaitan Rohingya tidak banyak diperoleh melalui media bebas ataupun media yang bersimpati dengan nasib mereka. Ketandusan maklumat begini menyebabkan umat Islam kurang melihat dan merasai penderitaan anak-anak Rohingya, tempat tinggal malah aspek yang lebih besar seperti pendidikan, pekerjaan atau kehidupan sosial yang lain.

Rohingya adalah komuniti Islam di negeri Arakan, Mynmar. Bagi kerajaan Mynmar, negeri ini dipanggil Rakhine. Pada 1982, kerajaan Mynmar meluluskan undang-undang penarikan taraf kewarganegaraan Rohingya yang menyebabkan kebebasan pergerakan semakin terhad, hak untuk mengamalkan agama semakin disekat, rampasan tanah dan paksaan buruh berleluasa serta ditahan tanpa bicara. Kini, masyarakat Rohingya tidak dimasukkan dalam program penyusunan masyarakat bersama kelompok minoriti lain. Pengusiran dan ancaman diusir dari kawasan tempat tinggal semakin meningkat dalam bulan Jun 20112 akibat sengketa antara Rohingya dan masyarakat buddha Rakhine. Sebahagian besar Rohingya mula melarikan diri ke negara jiran, Bangladesh dan Thailand.

Terdapat juga masyarakat Rohingya yang telah lama melarikan diri ke negara-negara lain sehingga ke Timur Tengah. Di Malaysia, terdapat sepuluh ribu pelarian Rohingya yang tinggal di Lembah Kelang, Johor, Kedah, Kelantan, Terenggau dan Pulau Pinang di bawah perlindungan UNHCR.

Istilah Rohingya dikatakan mempunyai beberapa versi. Pertama, dari perkataan Arab iaitu "Raham" yang bererti simpati. Ia berlaku ketika sekelompok pedagang laut Arab yang terkandas di Pulau Ramree telah diperintahkan dihukum oleh raja Arakan. Selepas mengetahui hukuman berkenaan, pedagang-pedagang Arab ini meraung dan berteriak dalam bahasa Arab, "Raham". Dari semasa ke semasa, istilah ini berubah dari Raham ke Rhohang dan akhirnya kekal sebagai Rohingya. Kedua, Rohingya dikatakan berasal dari sebuah tempat di Afghanistan, Ruha. Ketiga, dalam kalangan penganut Islam, terma "Mrohaung" dikaitkan dengan Rohang. Lalu seluruh penempatan tersebut digelar Rohingya.   

Walau bagaimanapun sejarah Mynmar tidak pernah menyebut perkataan Rohingya sebelum tahun 1950-an, namun tidak dapat dinafikan terdapat masyarakat muslim yang wujud di Arakan sebelum tahun 1824.

Watak orang-orang Rohingya secara umumnya seperti orang Bangladesh, Benggali. Bancian pihak British pada 1891 menyatakan terdapat 58,255 muslim di Arakan, meningkat kepada 178,647 pada 1911 kerana kemasukan beramai-ramai bagi memenuhi sektor pekerjaan pertanian di Mynmar. Pertambahan bilangan Rohingya ini menyebabkan penduduk di Arakan menjadi berbilang etnik dan menimbulkan ketegangan dengan penduduk setempat. Pada 1942, dianggarkan lima ribu orang muslim telah dibunuh oleh puak nasionalis Rakhine dan Karen.

Semasa Perang Dunia Kedua, pasukan British disingkirkan dari Mynmar menyebabkan wujud lompang kuasa di negara itu. Sengketa juga meletus antara muslim Rohingya dan nasionalis Rakhine, ditambah pula pihak Jepun sendiri yang memang anti kepada Rohingya yang telah menyokong pasukan perikatan pelbagai negara ketika perang berlangsung.

Selepas merdeka, junta tentera menjadikan kumpulan nasionalis dan orientasi agama buddha sebagai alat untuk meneruskan cengkaman ke atas negara. Untuk mengukuhkan kuasa, pakar strategi dari Amerika Syarikat dilantik sebagai penasihat. Sebagai kesan jangka panjang, selama setengah abad, peminggiran Rohingya terus berlaku dan amat ketara di samping keadaan yang sama turut dialami oleh masyarakat Cina dan Panthay (Cina muslim).

Dalam konflik etnik 2012 di Rakhine, sehingga 13 Jun, angka kematian rasmi ialah 21 orang namun jumlah ini dijangka lebih besar kerana pada 10 Jun, kerajaan junta telah melaksanakan perintah berkurung dan menguruskan pentadbiran negeri berkenaan.

Namun, dalam laporan media bebas yang bersimpati dan memperjuangkan nasib Rohingya, ada kisah lain yang lebih dahsyat. Pada 19 Jun, dilaporkan 12,000 penduduk Rohingya diusir dan empat lelaki tua telah meninggal dunia kerana kekurangan makanan dan ubat-ubatan.

Kerajaan junta mengisytiharkan bahawa Rohingya tidak dibenarkan tinggal di bandar Siitwe, dan kerajaan turut menyatakan rumah-rumah penduduk Rohingya yang dibakar akan dijadikan tempat tinggal penduduk etnik Rakhine yang datang dari luar. Kaedah pengusiran yang dilakukan ialah melalui pembakaran rumah dan kampung menyebabkan beribu-ribu penduduk Rohingya ketakutan dan bertindak melarikan diri.

Banyak lagi maklumat yang menunjukkan wujud ketegangan etnik dan rusuhan antara Rohingya dan Rakhine berlaku tetapi tidak dipancarkan ke seluruh dunia. Maklumat yang diperolehi oleh kita biasanya digerakkan oleh masyarakat Rohingya yang prihatin dan menubuhkan kesatuan di Malaysia seperti "kumpulan Rohingya in Malaysia (RIM)".

Sukar untuk memberi bantuan kepada masyarakat di sana jika maklumat tepat tidak diperolehi kerana sebarang tindakan bantuan hanya akan memberi mudarat kepada petugas dan sukarelawan. Bagi jangka masa panjang, peranan pertubuhan kerajaan ialah membaiki keadaan sosial, pendidikan dan ekonomi masyarakat Rohingya di negara-negara yang telah menerima mereka sebagai pelarian.

Melalui tekanan masyarakat antarabangsa, diharap junta tentera yang berkuasa dapat mewujudkan satu bentuk mekanisme kawalan konflik etnik yang lebih baik supaya keadilan dan kesaksamaan wujud di Mynmar. Langkah awal yang mereka boleh lakukan ialah menilai dan mengiktiraf Rohingya sebagai sebahagian daripada warganegara biarpun keputusan ini akan menambah lagi kepada kerencaman entik di negara itu. Peranan negara-negara Islam ialah mewujudkan badan pemerhati di Mynmar untuk memantau layanan ke atas Rohingya di samping menjemput wakil Mynmar ke dalam pertubuhan OIC supaya bantuan dan penyelarasan dapat dilakukan.

Sudah sampai masanya masyarakat Islam di Malaysia menjadikan Rohingya sebagai agenda kita.

   

Monday, June 25, 2012

Susah dahulu sebelum berjaya




Helang sanggup susah untuk hidup lebih lama

Ketika mencecah usia 40-an, burung helang mesti membuat tindakan untuk terus hidup selama 30 tahun yang akan datang.

Jika tidak bertindak, helang akan mati kelaparan atau melalui proses perubahan yang sangat menyakitkan selama 150 hari. Proses ini bermula dengan helang terbang ke puncak atau dinding bukit untuk mematahkan paruhnya.

Cuba kita bayangkan bagaimana helang menahan sakit untuk menunggu paruhnya patah dan terpaksa pula menunggu untuk tumbuh paruh yang baru.

Proses kedua, helang perlu mencabut kukunya yang sudah tua, lemah dan tidak kuat. Ia juga mengambil masa untuk tumbuh semula.

Ketiga, proses yang sangat menyakitkan iaitu mencabut bulu, proses ini mengambil masa lima bulan.

Ketiga-tiga proses ini amat menyakitkan dan mesti dilalui supaya helang dapat hidup dengan kuat untuk tempoh 30 tahun yang akan datang. Untuk berjaya dalam apa juga usaha,  kita mesti bersusah-payah terlebih dahulu kerana kejayaan hanya dapat diraih dengan berusaha.


Sunday, June 24, 2012

Urus gaji bulanan





Gaji cukup, makan sedap, hidup berkat

Kos hidup yang semakin meningkat merisaukan kita khususnya yang hidup di bandar.

Belanja keluarga, anak-anak sekolah dan simpanan wang kadangkala tinggal sifar sebaik sahaja mendapat gaji. Realiti bekerja makan gaji memang begitu. Setiap bulan mengeluh kerana wang gaji tidak pernah cukup.

Jadi, bagaimana hendak mengatasi masalah tidak cukup wang ini?

Yang penting, ubah sikap dan pandangan kita terhadap wang gaji yang diterima setiap bulan. Gaji yang kita dapat perlu diagihkan kepada tiga bahagian.

Bahagian pertama, sepuluh peratus mesti diperuntukkan untuk simpanan tetap, insurans ataupun saham. Setiap bulan, bahagian ini mesti diisi dahulu.

Bahagian kedua, 80 peratus untuk bayaran keperluan bulanan seperti ansuran rumah, kereta, bil, belanja rumah dan sebagainya.

Bahagian ketiga, sepuluh peratus untuk keperluan kecemasan yang mesti disediakan, contohnya beli ubat, bayaran bil perubatan dan bayaran-bayaran terdesak yang lain.

Jika kita dapat mengagihkan wang gaji kepada tiga bahagian ini, simpanan hari tua kita tentu lebih terjamin dan terurus.


Saturday, June 23, 2012

Pusat Transformasi Bandar, UTC Melaka




Perkhidmatan di bawah satu bumbung


UTC adalah singkatan kepada Urban Transformation Center atau Pusat Transformasi Bandar. Ia adalah satu usaha dan inisiatif Kerajaan bagi menyediakan pelbagai perkhidmatan utama kerajaan dan sektor swasta kepada komuniti bandar di dalam satu pusat sehenti atau di dalam satu bangunan.

UTC juga merupakan sebahagian daripada Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) yang diperkenalkan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kerajaan melalui kerjasama strategi antara pelbagai agensi kerajaan termasuk penglibatan pihak swasta.

Kewujudan UTC Melaka yang menjadi ikon kebanggaan rakyat bakal memberikan tranformasi besar kepada lokasi sekitar Jalan Hang Tuah menerusi pelbagai aktiviti yang mampu memberi limpahhan rezeki tambahan kepada rakyat.

Selepas ini Jalan Hang Tuah dan sekitarnya akan terus 'hidup' dengan berbagai-bagai aktiviti. Pelbagai aktiviti sedang dirangka termasuk Pasar Tani Mega dan Pasar Malam Mega di perkarangan UTC Melaka.

UTC Melaka diharap menjadi model atau ikon terbaik yang akan memberikan perkhidmatan lebih berkualiti kepada rakyat oleh 72 agensi kerajaan, pihak swasta, dan NGO yang bernaung di bawah satu bumbung.

Jika sebelum ini rakyat perlu pergi ke beberapa lokasi berasingan dengan jarak yang agak jauh dan tempoh masa yang agak panjang, tapi di UTC Melaka semua perkhidmatan ada. Semua urusan jadi lebih mudah. Nak beli barang keperluan. Kedai Rakyat 1 Malaysia Malaysia pun ada, nak tukar kad pengenalan baru, kaunter JPN juga ada di sini. Hendak dapatkan rawatan perubatan, UTC Melaka juga sediakan Klinik 1 Malaysia. UTC Melaka yang beroperasi setiap hari dari 8.30 pagi - 10 malam diharap mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

UTC Melaka menempatkan 72 organisasi melibatkan agensi kerajaaan, swasta serta NGO menyediakan 10 kluster.

10 Kluster UTC:
1. Perkhidmatan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat
2. Perkhidmatan Pendidikan, Latihan dan Pekerjaan
3. Perkhidmatan Pembangunan Perniagaan dan Keusahawanan
4. Perkhidmatan Kesihatan
5. Perkhidmatan Kewangan
6. Perkhidmatan Kerajaan
7. Perkhidmatan Pembangunan Belia
8. Perkhidmatan NGO
9. Perkhidmatan Utiliti
10. Perkhidmatan Keselamatan

Senarai Agensi / Perkhidmatan Di UTC Melaka


Aras Bawah
1. Kafeteria UTC
2. Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M)
3. ATM / CDM
4. Polis Diraja Malaysia (PDRM)
5. Klinik 1 Malaysia


Aras 1
1. Kementerian Pembangunan Waniata, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM)
2. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)
3. Tabung Haji (TH)
4. SME Bank
5. FAMA
6. Bank Rakyat


Aras 2
1. Jabatan Imegresen Malaysia
2. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
3. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
4. Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD)
5. Biro Pengaduan Awam (BPA)


Aras 3
1. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)
2. Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB)
3. Tekun Nasional Berhad
4. Tenaga Nasional Berhad (TNB)
5. Telekom Malaysia (TM)
6. Pos Malaysia
7. Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
8. Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
9. E-Perolehan
10. Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB)
11. Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK)
12. Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Negeri Melaka (PPSPPA)


Aras 4
1. Majlis Amanah Rakyat (MARA)
2. Kementerian Sumber Manusia (JPK/JTM/JOB MALAYSIA/PTPTK)
3. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)


Aras 5
1. Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka (PKNM)
2. Lembaga Perumahan Melaka (LPM)
3. Perbadanan Ketua Menteri Melaka (CMI)
4. Unit Kerajaan Tempatan Melaka (UKT)
5. Majlis Keselamatan Negara (MKN)
6. Majlis Sukan Negara (MSN)
7. Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)
8. Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)
9. Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB)
10. Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ)
11. Majlis Perbandaran Jasin (MPJ)
12. Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG)
13. Unit Pembela dan Pembangunan Desa dan Pemantau Adun (UPPD)
14. Unit Perancang Ekonomi Negeri Melaka (UPEN)
15. Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEIM)
16. Pusat Zakat Melaka (PZM)
17. Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah
18. Pejabat Daerah dan Tanah Jasin
19. Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah
20. Invest Melaka Sdn Bhd
21. Bahagian Promosi Pelancongan (BPP)
22. Pejabat Tanah dan Galian Negeri Melaka (PTG)
23. Jabatan Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Melaka (JKPNM)
24. Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
25. Pejabat Pembangunan Negeri Melaka (PPNM)
26. Majlis Gabungan Belia Negeri Melaka (MBGM)
27. Sahabat Belia Negeri Melaka
28. Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)
29 Yayasan Melaka (YM)

Aras 6
1. Cybercafe
2. Perpustakaan
3. Tuition Center


Aras 7
1. Lot-lot Perniagaan (Entrepreneur Center)


Aras 8
1. Kementerian Belia dan Sukan (KBS)
2. Youth Centre
3. Fitness Centre
4. Music Centre


Aras 9
1. Yayasan DMDI
2. DMDI Finance
3. Bilik Mesyuarat
4. Bilik Perbincangan
5. Bilik Seminar
6. Surau Lelaki & Wanita


UTC MELAKA, JALAN HANG TUAH, 75300 MELAKA.

(Sumber: gotomelaka.blogspot.com)


Friday, June 22, 2012

Tak mau kalah





Sungguh-sungguh buat kerja


Saya suka membaca kisah-kisah kejayaan dan kegagalan yang berlaku kepada atlet, tokoh-tokoh usahawan dan pemimpin yang kontroversi.

Dua sifat yang dapat diketengahkan ialah tidak mahu mengalah dan merancang untuk menang.

Perbezaan antara yang berjaya dan gagal adalah sangat jelas iaitu yang berjaya memiliki sikap tidak mahu mengalah yang sangat tinggi. Apabila gagal, mereka menerima kegagalan terebut dengan berat hati tetapi melihat masa depan adalah untuk mereka.

Ini yang membezakan mereka daripada yang gagal. Walaupun orang yang gagal dapat menerima kegagalan tetapi mereka enggan merancang untuk menang kerana kekecewaan dan putus asa telah menguasai seluruh jiwa dan fikiran.

Orang yang berjaya sangat yakin dengan diri mereka. Antara kata-kata perangsang untuk mereka bangkit daripada kegagalan ialah, "Saya akan memberikan fokus lebih hebat dalam usaha saya nanti," ataupun "Saya akan menjadi lebih kuat selepas ini".

Dengan memiliki sikap seperti ini, perspektif pemikiran dapat ditumpukan kepada mencari penyelesaian, bukannya memberi alasan kepada kegagalan.


Thursday, June 21, 2012

Keselamatan kawasan sekolah




Pelajar berjaya yang gembira di universiti


Kementerian Dalam Negeri dan polis akan bersama-sama mengambil langkah membuat rondaan bagi mengawal keselamatan kawasan sekolah di seluruh negara khususnya di waktu puncak iaitu pagi, tengah hari dan petang.

Kejadian penculikan seorang pelajar di sekolah antarabangsa baru-baru ini membuka mata sebahagian besar masyarakat dan agensi kerajaan untuk melihat dengan lebih serius keselamatan kawasan sekolah ini supaya pelajar dapat pergi dan pulang dengan selamat. Kebimbangan ibu bapa dalam perkara ini memang wajar ditangani kerana anak-anak adalah harapan keluarga. Ibu bapa melalui persatuan masing-masing ada yang melantik syarikat kawalan keselamatan swasta untuk mengawal pintu masuk sekolah dan mengawal kawasan sekolah bagi tempoh 24 jam seminggu.

Selain penculikan, kawasan sekolah juga menjadi tempat pergaduhan sesama samseng yang anggotanya ialah pelajar sendiri. Penyerapan samseng ini amat memberi kekhuatiran kepada semua pihak kerana ia merosakkan masa depan pelajar dan pada masa yang sama mencetuskan tanda tanya sejauhmana akhlak pelajar-pelajar kita pada hari ini.

Ada pelajar perempuan yang melahirkan anak dalam tandas, jenayah rogol, mencuri dan memukul guru di sekolah kita pada hari ini, suatu fenomena biasa dilaporkan dalam media.

Masa depan negara kita bergantung kepada pelajar-pelajar pada hari ini. Walaupun kita maklum permasalahan yang melibatkan jenayah dan moral pelajar yang rendah ini berlaku di beberapa buah sekolah sahaja, namun imej dan berita yang dipaparkan seolah-olah memberi gambaran bahawa sekolah tidak lagi menjadi kawasan selamat. Sesuatu tindakan perlu dilakukan segera supaya institusi pendidikan negara kembali ke landasan yang betul iaitu membentuk insan yang seimbang, menghayati ilmu dan dapat menyumbang kepada kemajuan negara.

Selain peranan agensi kerajaan, ibu bapa dan guru, para penyelidik wajar melakukan kajian yang lebih komprehensif dalam pembinaan akhlak pelajar ini supaya kita dapat membuat rumusan yang jelas punca kepada semua masalah pelajar hari ini. Skop kajian boleh dilakukan secara perbandingan, eksperimen atau tinjauan untuk mengenal pasti remedi terbaik kepada pelajar.

Begitu juga dengan institusi sekolah sendiri. Di Amerika Syarikat, datuk-datuk bandar bersetuju agar ibu bapa mengambil alih pentadbiran sekolah, mengemas kini sistem pelajaran dan disiplin pelajar dan merancang masa depan anak-anak. Barangkali strategi seperti ini masih jauh dilaksanakan di negara kita namun ideanya telah ada iaitu ibu bapa wajar menentukan perjalanan sekolah anak-anak, bukannya kerajaan.

Keselamatan kawasan sekolah perlukan perhatian yang semakin mendalam. Suatu hari nanti kita perlukan akta atau dasar yang berkaitan dengan isu ini supaya semua pihak mendapat faedah khususnya pelajar sendiri. 


Wednesday, June 20, 2012

Ramai warga Asia hijrah ke AS





Amerika Syarikat sentiasa menjadi pilihan profesional Asia

Penduduk keturunan Asia mengatasi warga Hispanik sebagai kumpulan terbesar pendatang baru di Amerika Syarikat.

Sebahagian pakar menganggap puncanya disebabkan penurunan permintaan buruh pendatang selain tindakan pihak berkuasa negeri membanteras pendatang tanpa izin.
Pusat Penyelidikan Pew mendapati bilangan pendatang Asia bertambah 19 peratus daripada semua pendatang baru pada 2000 kepada 36 peratus pada 2010.

Kadar pendatang Hispanik pula menurun daripada 59 peratus pada 2000 kepada 31 peratus.

Sebanyak 11 peratus pendatang tanpa izin di Amerika adalah dari Asia manakala 75 peratus adalah Hispanik, menurut analisis, yang menggabungkan data kerajaan dengan tinjauan sendiri.

Hasil kajian dikeluarkan ketika perbahasan panas berhubung dasar imigresen Amerika berlangsung.

Jumaat lalu, Presiden Barack Obama, mengumumkan beliau menolak langkah mengusir pendatang tanpa izin yang masih muda. Mahkamah Agung Amerika juga dijangka mengeluarkan keputusan bulan ini mengenai undang-undang kontroversi Arizona yang memerlukan polis memeriksa status imigresen tahanan.

Ketika aspek ekonomi menjadi isu penting kepada pengundi, pendatang tanpa izin menjadi isu panas menjelang pilihan raya November ini.

Sebahagiannya mempersoalkan waktu pengumuman Obama itu. Perubahan dasar juga menyukarkan usaha pencabarnya dari Parti Republikan, Mitt Romney, untuk mengemukakan landasan imigresennya sendiri.

Kebanyakan perbahasan bertumpu kepada Hispanik, kumpulan paling mudah ditemui dan penduduk etnik minoriti terbesar negara itu.

Pakar berkata, tiada jawapan kepada pertanyaan mengapa pendatang Asia kini mengatasi Hispanik, tetapi kelembapan ekonomi Amerika mungkin memainkan menjadi faktor penting.

“Pendatang tanpa izin memberi tindak balas pantas kepada keadaan ekonomi dan kemelesetan di Amerika berkemungkinan menjadi faktornya,” kata pakar demografi, Jeanne
Batalova, di Institut Dasar Pendatang, kumpulan yang menganalisis pergerakan penduduk seluruh dunia.

Dasar imigresen Amerika cenderung memihak kepada buruh mahir dan penuntut, sesuatu yang dimiliki pendatang dari negara Asia yang memberi tumpuan mendalam kepada pendidikan, katanya dan pakar imigresen lain.

Pakar imigresen dan profesor undang-undang di Universiti California, Gabriel Jack Chin, berkata atmosfera yang dicetuskan dengan perubahan dalam undang-undang imigresen di beberapa negeri juga mungkin menjadi faktor.

“Saya tidak fikir ada persoalan diskriminasi memberi beberapa kesan ke atas pendatang Hispanik,” kata Chin, yang meninggalkan Arizona tahun lalu kerana menentang undang-undang penahanan negeri itu.

Laporan Pew berharga kerana ia menunjukkan semua pendatang yang tiada dokumen sah tidak dibenarkan masuk bukan hanya Mexico atau Hispanik.

“Ada ramai daripadanya dari Asia dan negara lain,” katanya.


– Reuters

(Berita Harian, 20 Jun 2012)

 

Tuesday, June 19, 2012

Terus usaha, jangan henti





Usaha seribu cara, Insya Allah berjaya


Anthony Robbins, seorang pakar perubahan diri menyatakan, "if we want to direct our lives, we must take contol of our consistent actions".

Maksudnya ialah jika kita mahu menentukan haluan hidup, kita mesti melakukan tindakan-tindakan yang berterusan. Bukannya tindakan yang sekejap atau separuh masak tetapi perlukan kesungguhan yang akhirnya akan membantu dalam membentuk hala tuju hidup kita.

Tindakan-tindakan ini yang menjadi kebiasaan atau tabiat akan menentukan kejayaan kita suatu hari nanti. Dalam masyarakat kita, terdapat peribahasa seperti "sikit-sikit lama-lama menjadi bukit" untuk menggambarkan bahawa berterusan adalah kunci kepada kejayaan yang berpanjangan.

Anak-anak muda yang mudah mengalah dan berputus asa dalam usaha mereka wajar menjadikan sifat berterusan ini sebagai prinsip diri untuk berjaya dalam apa juga bidang yang diceburi.


Monday, June 18, 2012

Positif dengan kegagalan




Peluang mencuba lebih penting


Hidup yang kita lalui setiap hari umpama musim-musim yang sering berganti.

Kadangkala kita dapat apa yang kita hendak, kadangkala hilang dalam sekelip mata. Ada kalanya kita rasa sangat hebat, namun ada masanya kita rasa kalah sepanjang masa.

Allah swt meletakkan setiap kejayaan ada halangan-halangannya yang tersendiri dan kita mampu mengatasi kegagalan dan halangan.

Kalau kita dapat mengatasi halangan tadi, kita akan bergerak ke aras hidup yang lebih baik. Mereka yang telah berjaya, memiliki satu sikap yang hampir sama iaitu fikir positif. Positif dalam menghadapi kegagalan ialah menyedari bahawa kegagalan ialah sebahagian daripada pintu-pintu kejayaan.


Sunday, June 17, 2012

Tiga peringkat bahagia





Bahagia dan cemerlang

Dalam hidup kita, antara dua pilihan yang sering kali dicari ialah kecemerlangan dan kebahagiaan. Apakah maksud cemerlang dan apakah pula maksud bahagia?

Pada kita, mana satu yang lebih utama? Cemerlang atau bahagia?

Untuk memilih, mari kita lihat orang-orang yang telah berjaya dan cemerlang dalam kerjaya mereka. Kita lihat orang-orang yang ternama dan memberi impak kepada perubahan hidup orang lain.

Kita ambil Bil Gates, Warren Buffer dan tokoh-tokoh lain, mereka ini kaya-raya dan sangat cemerlang dalam bisnes. Adakah mereka bahagia? Mungkin bahagia dan mungkin tidak.

Kita boleh meneliti keadaan hidup mereka berdasarkan tiga peringkat bahagia iaitu pertama, hidup yang menyenangkan (pleasant life), kedua, hidup yang baik (good life) dan ketiga, hidup yang bererti (meaningful life). Jadi, di mana kita boleh letakkan tahap bahagia mereka ini?


Saturday, June 16, 2012

Bantu orang untuk bahagia




Beri makan kepada haiwan boleh timbulkan
rasa bahagia

Sebuah kajian dilakukan oleh seorang pensyarah University of Pennsylvania tentang dua pilihan aktiviti yang dapat memberi rasa bahagia.

Kelompok pertama diminta melakukan aktiviti yang mudah tetapi dapat mencetuskan bahagia dalam tempoh yang singkat. Aktivitinya ialah menonton filem-filem sambil makan ais krim.

Kelompok kedua diminta melakukan tugasan yang lebih lasak dan mengambil masa untuk rasa bahagia.

Selepas itu mereka disatukan dalam kumpulan besar sebagai sukarelawan membantu memasak dan menyediakan makanan. Semasa aktiviti ini berlangsung, pasukan penyelidik memerhati emosi dan tingkah laku mereka. Seterusnya kedua-dua kelompok ini disatukan dan diminta membuat rumusan masing-masing.

Soalan yang wajib dijawab ialah: mana satukah yang lebih memberi rasa bahagia?

Sebahagian besar peserta menyatakan aktiviti sosial seperti membantu orang lain lebih banyak memberi rasa bahagia.

Ramai orang yang mencari bahagia bermula dengan memenuhi keperluan diri, kemudian mencari apa yang diinginkan seterusnya memberi sumbangan kepada orang lain.


Friday, June 15, 2012

Usia muda menakluk dunia





Orang muda kuat dengan cita-cita dan impian


Gunung Everest adalah gunung yang paling tinggi di dunia.

Dengan ketinggian 8,848 meter, ramai pendaki yang telah berusaha untuk menakluk puncak dunia ini. Sepanjang usaha pendakian, ada yang mati kesejukan dan mayat mereka disemadikan di bawah timbunan ais.

Dapat mendaki sampai ke puncak gunung adalah impian dan cita-cita setiap penakluk gunung.

Salah seorang daripadanya ialah Ken Noguchi, seorang pemuda Jepun yang berjaya menjejakkan kaki ke Himalaya ketika berusia 25 tahun.

Orang muda sangat bertenaga, memiliki semangat kental dan fikiran yang tajam untuk menempuh semua rintangan, halangan dan cabaran. Mereka patut menggunakan semua ini untuk merancang dan berusaha meraih kejayaan ketika usia masih muda.


Thursday, June 14, 2012

Implikasi sosial peningkatan umur bersara







Hasrat kerajaan untuk menaikkan umur persaraan pekerja sektor swasta kepada 60 tahun dilihat memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara. Langkah ini memberi peluang kepada rakyat Malaysia yang semakin panjang jangka hayat untuk hidup dengan lebih bahagia ketika umur memasuki takat 60-an hingga 70-an.

Trend memanjangkan umur persaraan telah menjadi polisi di Eropah kerana perkhidmatan kesihatan yang lebih baik telah memberi peluang kepada ramai penduduk di benua itu untuk bekerja. Secara tidak langsung mengurangkan beban ahli keluarga yang lain. Namun, memanjangkan umur persaraan seharusnya tidak dilihat pada aspek pertumbuhan ekonomi semata-mata kerana banyak perkara lain yang perlu diambil kira.

Pertama, struktur dan reka bentuk bangunan perlu disesuaikan dengan keadaan fizikal, emosi dan spiritual pekerja. Usia 50 tahun ialah usia yang perlukan perhatian lebih istimewa khususnya kesihatan pekerja supaya mereka dapat memberikan produktiviti yang setara dengan pekerja yang masih muda. Ruang pejabat perlu mengambil kira keperluan pekerja seperti kemudahan lif, ruang meletak kenderaan, keadaan pintu yang mesra pengguna dan peralatan pejabat yang selamat. Susunan ruang pejabat juga perlu mesra pekerja.

Kedua, kefahaman terhadap kaedah komunikasi. Bentuk hubungan pekerja menentukan kejayaan dalam organisasi. Jika orang muda sentiasa menggunakan media sosial dan gajet moden untuk mempercepatkan komunikasi, pekerja warga emas mungkin tidak berminat dengan kaedah ini. Mereka lebih cenderung menggunakan telefon atau kaedah lain yang lebih konvensional seperti emel untuk menyampaikan maklumat. Begitu juga dengan teknik berkomunikasi secara lisan, pekerja muda wajar mengambil tahu bagaimana teknik yang paling berkesan kerana warga emas ini mudah tersinggung atau kecil hati apabila tersalah bahasa atau ayat. Kursus-kursus komunikasi yang bersesuaian boleh dirangka supaya dapat menyelesaikan halangan-halangan ketika komunikasi berlaku.

Ketiga, keperluan makan dan minum. Organisasi mungkin perlu berbelanja lebih kerana kesihatan pekerja mereka sentiasa dipantau. Ada sebilangan mereka yang mengidap penyakit zaman moden seperti kencing manis, masalah jantung atau menghadapi tekanan darah tinggi akibat stres bekerja. Sebarang pengambilan makanan yang memudaratkan kesihatan akan memberi kesan kepada produktiviti dan semangat bekerja mereka. Justeru, organisasi perlu mendapatkan maklumat tentang tahap kesihatan pekerja melalui pemantauan berterusan.

Keempat, kesan sosial ke atas masyarakat. Pertambahan pekerja warga emas memberi implikasi besar ke atas bisnes, aktiviti masyarakat dan pengurusan pengangkutan negara. Sebarang perubahan bentuk bangunan, penyusunan jalan raya dan kemudahan awam mesti mengambil kira keperluan golongan ini supaya mereka turut mendapat peluang untuk merasai aktiviti-aktiviti ekonomi dan sosial setempat. Contohnya, kawasan riadah yang hendak dibina wajar melihat pekerja warga emas sebagai sebahagian daripada pengguna kerana mereka juga mempunyai hak untuk mencergaskan diri di kawasan berkenaan.

Menaikkan had umur pekerja kepada 60 tahun menunjukkan jangka hayat masyarakat Malaysia semakin panjang. Pada masa yang sama, golongan muda terpaksa bersaing untuk mendapatkan peluang pekerjaan. Golongan ini perlu diberi kerja supaya mereka boleh menyumbang kepada kegiatan ekonomi dan mengelakkan pengangguran. Kerajaan sendiri perlu berusaha lebih giat untuk membuka pasaran kerja supaya Malaysia kekal bersaing.



Wednesday, June 13, 2012

Mekanisme biaya pengajian tinggi





Persaingan akademik semakin sengit setiap tahun  

Menyediakan keperluan pendidikan merupakan tanggungjawab kerajaan biarpun ada sebilangan kelompok masyarakat tidak sefahaman dengan ideologi politik. Setiap warganegara berhak mendapat pendidikan ini walaupun tidak bersetuju dengan dasar dan pelaksanaan program kerajaan.

Konsep ini telah menjadi sebahagian daripada cara hidup masyarakat di negara-negara maju yang memiliki tahap kematangan berfikir yang lebih baik. Mereka tidak mengaitkan pendidikan sebagai tawar-menawar politik kerana melihat pendidikan sebagai keperluan untuk memajukan negara. Namun mereka amat cuak apabila terdapat amalan atau simbol agama dibawa ke dalam kawasan sekolah atau tempat kerja. Dua senario ini mengundang perbahasan yang kritikal terhadap peranan kerajaan dalam pendidikan negara. 

Di negara maju, setiap warganegara mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke universiti secara percuma kerana kos pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh pembayar cukai yang tahu ke mana wang mereka dibelanjakan. Apabila yuran pengajian dinaikkan, mereka tentu akan marah kerana terpaksa membayar cukai yang lebih banyak. Kos pengajian yang tinggi turut menjejaskan tumpuan pelajar kerana mereka juga perlu membayar sewa rumah dan keperluan belajar yang lain.

Di Malaysia, pendidikan diberi subsidi oleh kerajaan bagi menggalakkan lebih ramai orang belajar hingga ke peringkat tertinggi.  Kerajaan sentiasa mencari alternatif untuk mencari ruang memberi galakan kepada masyarakat untuk terus belajar walaupun usia sudah meningkat. Pembukaan kolej komuniti telah membantu masyarakat setempat menambah ilmu dan menjadikan hidup mereka lebih teratur.

Pendidikan sangat akrab dengan kehidupan sosial masyarakat. Sejak merdeka, pendidikan diletakkan sebagai keutamaan dalam belanjawan tahunan dan pelaksanaan rancangan kemajuan negara. Sekolah berasarama penuh dan maktab sains dibina bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam pelbagai bidang dan dihantar ke luar negara untuk mengisi keperluan guna tenaga negara.

Mereka yang dihantar ke luar negara diberi biasiswa supaya dapat belajar dengan selesa, begitu juga sebilangan pelajar yang belajar dalam negara. Bentuk biasiswa bergantung kepada keputusan peperiksaan dan bidang pengajian yang dipilih.

Bagi pelajar yang kurang cemerlang atau mendapat pencapaian sederhana, mereka perlu mencari sumber pembiayaan supaya dapat meneruskan cita-cita ke universiti. Kerajaan tidak bersedia untuk membiayai semua pelajar secara percuma kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi. Jika kita ingin melihat pendidikan kita diberi secara percuma dari sekolah rendah hingga ke universiti, kerajaan perlu menaikkan cukai dua atau tiga kali ganda.

Cukai yang tinggi hanya membebankan orang ramai. Justeru mekanisme terbaik ialah menyediakan pinjaman yang berpatutan supaya setiap orang mendapat peluang belajar di institusi pengajian yang mereka pilih.


Tuesday, June 12, 2012

Transformasi Yemen perlukan strategi mantap





Jemputan kerajaan Yemen kepada Tun Dr Mahathir sebagai penasihat negara itu sangat membanggakan. Keupayaan Dr Mahathir membangunkan Malaysia dari sebuah negara berorientasi  pertanian kepada negara industri telah menarik minat kerajaan Yemen untuk melakukan transformasi yang sama. Walau bagaimanapun Malaysia dan Yemen adalah dua buah negara yang mempunyai latar belakang, penduduk dan sektor ekonomi yang jauh berbeza.

Keadaan Yemen ketika ini diselubungi peperangan yang belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Pasukan pemberontak semakin kukuh kedudukan mereka dan dapat membiayai latihan dan mendapatkan senjata baru bagi menentang kerajaan sedia ada. Situasi yang wujud ketika ini tentu menjadi cabaran besar kepada Dr Mahathir untuk melakukan transformasi sebenar dan menyeluruh.

Yemen masih bergantung kepada sektor pertanian untuk membangunkan ekonomi. Sebilangan rakyatnya masih buta huruf atau mendapat pendidikan peringkat asas sahaja. Kadar penganggurann juga tinggi diakibatkan daripada kegiatan ekonomi yang tidak produktif. Tenaga kerja yang melibatkan kaum wanita jauh sangat kurang berbanding Malaysia.

Jadi, bagaimana Dr Mahathir boleh menyumbang kepada pembangunan ekonomi Yemen yang lebih baik?

Pertama, prinsip pembangunan meletakkan komuniti sebagai kumpulan sasar. Peranan ketua puak di Yemen sangat penting untuk mengajak komuniti mereka bersama-sama menyertai inisiatif pembangunan yang dikenal pasti. Bagi mengajak mereka bersama, mesti ada jaminan keselamatan yang kuat untuk komuniti mendapat faedah. Kaedah ini telah digunakan di Malaysia selepas kemerdekaan dulu untuk membentuk sebuah komuniti berasaskan kesatuan kaum. Maknanya, kekuatan politik amat diperlukan bagi mempengaruhi ketua-ketua puak untuk melihat usaha kerajaan sebagai satu manfaat untuk masa depan mereka sendiri.

Kedua, projek ekonomi rintis. Skala projek rintis ini tidak perlu besar tetapi cukup untuk membuka mata dan fikiran rakyat Yemen bahawa mereka boleh menjadi maju jika bersedia berusaha untuk mengubah keadaan negara sendiri. Salah satu projek contoh yang sangat berjaya di Malaysia ialah Felda. Dr Mahathir boleh mencadangkan kerajaan Yemen membuka penempatan baru untuk membina ekonomi negara bermula dari penglibatan kerajaan mencari kawasan, menentukan peneroka dan menguruskannya secara profesional. Aspek pengurusan juga perlu diberi latihan kerana korupsi dan kronisme sering membantutkan usaha yang dirancang.

Ketiga, memperkasa sektor pendidikan. Yemen merupakan sebauh negara yang memiliki rakyat miskin yang ramai. Pendidikan bertindak sebagai program intervensi yang sangat berkesan hntuk membantu rakyat keluar dari kitaran ganas kemiskinan. Kerajaan Yemen perlu bertegas dalam menyediakan pendidikan kepada rakyat supaya ancaman keganasan dan jenayah tidak dapat bertapak dan merebak. Prasarana pendidikan ini wajar disediakan dari sekolah rendah hingga ke institusi pengajian tinggi. Kesediaan kerajaan Yemen menghantar para pelajarnya ke universiti-universiti di Malaysia dilihat sebagai tindakan bijak untuk memperkasa pendidikan di negara itu. Halangan utama dalam membangunkan pendidikan ialah peruntukan perbelanjaan yang besar. Jadi kerajaan perlu mengurus aspek ini dengan strategi paling baik.

Keempat, merangka pelan pembangunan sosial yang komprehensif. Pembangunan ekonomi sahaja tidak dapat memberi jaminan bahawa keadaan sosial masyarakat akan baik. Justeru, kerajaan Yemen perlu merangka dasar sosial yang akan mengambil kira keadaan semua pihak yang bertelagah. Dasar sosial yang kukuh akan menarik masyarakat kepada kesedaran terhadap pembagunan komuniti dan negara secara keseluruhannya.

Kelima, negara Arab cenderung untuk menyokong Barat ketika berdepan dengan acaman Al-Qaeda. Bagaimana Dr Mahathir boleh membantu Yemen untuk keluar daripada situsi kritikal ini?

Ia bergantung kepada kebijaksaan beliau sendiri yang tentunya mempunyai formula tertentu. Namun, masyarakat Arab adalah kelompok yang sangat susah menerima pandangan melainkan mereka sudah tidak ada pilihan.

Peranan Dr Mahathir ini diharap menjadi perangsang kepada rakyat Malaysia yang lain untuk membantu memajukan negara-negara Islam di seluruh dunia.



Thursday, June 07, 2012

Derma suburkan kekayaan




Derma suburkan kekayaan
(Gambar: Restoran Akhbar, Sengkurong, Brunei)

Harta dan kekayaan yang kita dapat boleh memberi pahala dan dosa. Ia memberi pahala jika diuruskan pada jalan yang betul, memberi faedah dan manfaat.

"Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai (pula ada) seratus biji buah. (Dan) Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki" (Al Baqarah ayat 261).

Bagi yang bersifat bakhil dan terlalu sayang dengan harta, ia tidak akan ke mana. Oleh karana tahap kesedaran yang tinggi, ramai orang Islam mengambil peluang melakukan infaq dan derma setiap kali bulan Ramadhan.


Wednesday, June 06, 2012

Sedia dengan cabaran








Membaca buku setebal 366 muka surat bukannya mudah bagi orang yang tidak minat membaca.

Belajar selama empat tahun untuk melengkapkan pengajian peringkat doktor falsafah bukannya mudah bagi orang yang tidak ada minat yang mendalam dalam mencari ilmu.

Bahkan bagi usahawan yang hendak berjaya sekali pun, dia juga perlu berhadapan dengan cabaran demi cabaran untuk meraih kejayaan.

Sama ada hendak menjadi seorang yang rajin membaca, ilmuan atau usahawan, tidak ada jalan mudah untuk berjaya. Untuk maju dan dapat apa yang kita hendak, selalunya kita mesti menempuh tindakan-tindakan yang mengarah pada zon yang sangat tidak selesa.

Cabaran-cabaran yang dialami ini akan menjadikan kita seorang yang lebih baik. Lagi besar zon tidak selesa ini, lagi besar daya fikir dan daya juang kita. Jadikan diri kita seorang yang sentiasa bersedia dengan cabaran pada bila-bila masa.


Tuesday, June 05, 2012

Berubah dengan pendidikan





Pelajar muda perlu miliki kekuatan mental
semasa di universiti

Zaman dahulu atau lebih tepat era sebelum merdeka, pendidikan adalah satu yang eksklusif. Tidak semua orang dapat melalui proses pendidikan formal kerana pelbagai faktor khususnya kemiskinan. Selepas sahaja merdeka, jumlah penduduk miskin yang telah dikenal pasti mencecah 50 peratus, suatu jumlah yang sangat besar.

Namun, pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan telah membentuk sebuah masyarakat Malaysia yang memiliki paradigma baru terhadap pendidikan. Seiring dengan proses pembangunan tersebut, pendidikan telah boleh diakses dan dinikmati oleh semua orang termasuk dari luar bandar dan kawasan pedalaman.

Impak kemiskinan yang ketara ialah penurunan dalam kadar kemiskinan yang sangat ketara dalam tempoh 55 tahun. Berada di bawah lima peratus, anak-anak petani, nelayan dan buruh telah keluar dari lingkaran kemiskinan selepas mendapat pendidikan dari sekolah rendah hingga menengah seterusnya ke universiti. Mereka tidak lagi mewarisi pekerjaan tradisi ibu dan bapa sebaliknya menghuni pekan dan bandar sebagai kakitangan awam dan swasta, guru dan usahawan. Tahap asas pendidikan iaitu membaca, menulis dan mengira (3M) tidak lagi menjadi masalah besar.

Dalam tempoh 20 tahun, pendidikan tinggi telah dapat diakses  oleh semua orang. Bagi yang telah bekerja dan berhasrat menyambung pelajaran, peluang untuk mereka terbuka luas dengan pelbagai skim dan galakan. Bagaimanapun masalah utama ialah pelajar-pelajar muda yang kurang berminat dengan pelajaran dan enggan mengambil peluang untuk memajukan diri semasa di universiti.

Terdapat perbezaan yang sangat ketara antara pelajar yang cemerlang dan pelajar yang bermasalah. Kedua-dua karektor pelajar ini umpama langit dan bumi. Perbezaan utama ialah nilai dan sikap mereka terhadap pelajaran dan masa depan. Ketika pelajar cemerlang tidak ada masalah untuk menentukan hala tuju sendiri, pelajar bermasalah perlu dibantu dalam banyak perkara.

Dalam kajian tentang kemiskinan dan pendidikan- perubahan minda orang Melayu ke arah kecemerlangan pendidikan akademik oleh Faridah Abu Hassan et al., mendapati faktor keluarga menjadi penyumbang kepada pembentukan budaya belajar pelajar. Dapatan kajian merumuskan bahawa sikap negatif terhadap pendidikan, masalah kemiskinan, masalah rumah tangga, kurang sokongan terhadap pendidikan dan kurang hubungan antara keluarga dan sekolah menjadi penyebab kepada kegagalan dalam pelajaran.

Justeru, pelajar bermasalah yang lahir daripada faktor keluarga perlu dibimbing. Penampilan fizikal dari segi pakaian, kemasan diri dan gaya adalah cermin nilai dalam diri mereka. Tentulah nilai ini menjadi sebahagian daripada budaya hidup kerana nilai dan pemikiran menentukan apa dan bagaimana mereka bertindak. Contohnya, pensyarah telah mengagihkan tugasan pada awal semester tetapi hingga di penghujung semester, pelajar bermasalah masih belum dapat melengkapkan tugasan kerana bangun lewat, ponteng kelas dan tidak menghiraukan amaran pensyarah.

Nilai seperti ini terbina sebahagiannya daripada keluarga. Perubahan nilai hanya akan dapat dilakukan apabila terdapat proses intervensi seperti menyedarkan ibu dan bapa atau memasukkan anak-anak ke tadika atau ke suatu tempat yang memberi nilai-nilai baru yang lebih dinamik. Selepas itu baharulah nilai dan budaya baru dapat diterapkan dengan sempurna. 


Monday, June 04, 2012

Elak perangkap pendapatan sederhana

 
 
 



oleh Idris Jala

Mungkin ramai yang pernah mendengar mengenai jerat pendapatan sederhana.
Ia menggambarkan keadaan yang mana sesebuah negara itu mencapai pembangunan ekonomi yang pesat dan pendapatan yang semakin meningkat daripada gaji asas yang rendah, tetapi tidak berjaya mengambil langkah terakhir untuk menjadi sebuah negara yang berpendapatan tinggi.

Punca kepada permasalahan ini adalah tidak jelas, tetapi ahli ekonomi berpendapat bahawa apabila faktor pengeluaran seperti tanah, tenaga kerja dan modal telah digunakan secukupnya, ia memerlukan pertambahan produktiviti untuk meningkatkan lagi pendapatan.

Dalam erti kata lain, tanah, tenaga kerja dan modal bukanlah sesuatu yang tidak mempunyai had. Sebaik ia digunakan secara optimum, peringkat seterusnya adalah untuk memastikan yang kita menggunakannya dengan lebih cekap supaya terdapat lebih peningkatan dalam produktiviti.

Masih terlalu awal untuk kita mengetahui sama ada kita telah terjerat dalam perangkap pendapatan sederhana.

Persoalan ini mungkin hanya akan terjawab jika kita gagal mencapai status pendapatan tinggi yang disasarkan pada 2020.
Tetapi yakinlah bahawa kita sedang melakukan apa yang terdaya untuk menjadikannya satu realiti.

Pada asasnya, kebolehan untuk bersaing sangat penting untuk pendapatan tinggi.

Kita mestilah melakukan sesuatu dengan lebih baik daripada sebelumnya dan lebih cekap lagi.

Kita perlukan anjakan teknologi dan pengetahuan dan juga mewujudkan suasana yang menghasilkan dan menggalakkan persaingan.

Bagi menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi, kita perlu menjadi lebih kompetitif secara global.

Pada masa sama, kita juga perlu menumpukan kepada sektor yang mana kita boleh memadankan kebolehan untuk bersaing dengan impak maksimum dari segi ekonomi dan juga pendapatan.

Kita selalu mendengar tentang bagaimana sasaran Model Baru Ekonomi (MBE) untuk menggerakkan negara kita menjadi sebuah negara maju telah digantikan dengan Pelan Transformasi Ekonomi dan Kerajaan.

Ini sama sekali jauh daripada perkara yang sebenar dan saya berazam untuk mengubat ‘blues’ transformasi ini.

Langkah yang kita ambil untuk transformasi ini diilhamkan daripada MBE dan bukanlah sebagai pengganti.

Kita sedang melaksanakan MBE sebaik mungkin melalui langkah yang disasarkan sebagai pemangkin untuk satu perubahan yang besar terhadap cara kita beroperasi.

Inisiatif Pembaharuan Strategik ini telah dilaksanakan untuk membolehkan kita mencapai sasaran ini.

Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN) telah menyarankan 51 tindakan polisi dalam MEB bagi membolehkan kita mencapai sasaran mentrasformasikan negara kita kepada negara berpendapatan tinggi dengan ekonomi yang mampan serta menyeluruh.

Secara keseluruhan, kami sedang melaksanakan semua 51 inisiatif pembaharuan strategik, dalam peringkat yang berbeza.

Berikut adalah enam bahagian di mana kita dapat melihat perubahan yang besar:


  • Persaingan, standard dan liberalisasi
  • Memperbaiki kewangan awam
  • Memperbaiki akses perkhidmatan awam
  • Mendefinisikan dan mengurangkan peranan Kerajaan dalam perniagaan
  • Pembangunan modal insan
  • Mendekatkan jurang perbezaan

    Seperti perkara lain, persaingan bermula daripada rumah. Kami memperkenalkan Akta Persaingan yang akan berkuat kuasa tahun ini supaya segala perlakuan anti persaingan di kalangan industri Malaysia akan dihapuskan supaya terdapat persaingan bebas dan adil di antara semua.

    Ini adalah satu kejayaan besar dan dengan pelaksanaan tindakan ini menunjukkan komitmen kita ke arah ekonomi yang lebih kompetitif.

    Kita telah membuat pindaan kepada Akta Standard Malaysia 1996 yang diluluskan pada Disember 2011, untuk mempercepatkan pembangunan piawaian.

    Ini termasuk mengurangkan tempoh masa adaptasi piawaian antarabangsa daripada tempoh satu tahun sebelumnya kepada sembilan bulan.

    Ini adalah keperluan utama bagi industri untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

    Berdasarkan Belanjawan sebelumnya, tujuh belas subsektor telah diumumkan untuk liberalisasi dengan penyertaan ekuiti antarabangsa sehingga 100 peratus.

    Sembilan sektor telah diliberalisasikan sementara bakinya akan mengambil langkah sama secara berperingkat menjelang akhir 2012 ini.

    Kita memerlukan keadaan fiskal ekonomi yang sihat bagi memastikan semua perubahan ini berjalan dengan lancar.

    Terdapat perubahan yang progresif dalam proses pungutan cukai yang telah menghasilkan pungutan tambahan lebih kurang RM25 bilion sepanjang 2011.

    Pelbagai tindakan penambahbaikan lain sedang dalam perancangan dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

    Apabila menyentuh tentang akses perkhidmatan awam, kita juga sedang membuat penambahbaikan dalam proses perniagaan.

    Sebanyak 395 lesen akan dilupuskan menjelang penghujung tahun ini yang dianggarkan akan membantu mengurangkan kos RM729 juta daripada segi pelesenan perniagaan.

    Kita juga sedang membuat penyelidikan terhadap peluang penggajian terbuka antara sektor swasta dan perkhidmatan awam dan malah kita juga telah memperkenalkan pengesanan prestasi serta-merta.

    Kita juga telah memperkenalkan gaji minimum untuk menggerakkan industri untuk lebih berdaya saing dan banyak lagi inisiatif untuk memperbaiki kemahiran dan menaik taraf tenaga kerja.

    Pada masa sama, kita sedang memodenkan undang-undang buruh, memberikan pekerja tempat bergantung, memberikan pengiktirafan kepada tenaga kerja wanita yang berkebolehan, memperkukuhkan lagi pengurusan sumber manusia dan memberikan analisis pasaran pekerja.

    Untuk menjadikan tenaga kerja Malaysia mempunyai kelebihan dalam industri ICT dan bagi menyelesaikan isu sumber tenaga kerja yang berkebolehan, program MyProCert telah melaksanakan tugasnya untuk mempertingkatkan bakat pekerja Malaysia dengan standard pengiktirafan antarabangsa/ global dengan program seperti iOS Mobile Development dan Oracle Certified Professional.

    Kami telah mengehadkan peranan Kerajaan dalam perniagaan kepada empat bidang infrastruktur negara seperti pengangkutan awam, perniagaan yang memerlukan pemilikan tempatan seperti pertahanan, industri khusus yang perlu pertumbuhan yang besar, pemangkin atau teknologi baru, dan keadaan di mana sektor swasta memerlukan perkongsian pelaburan.

    Ini adalah program untuk mengurangkan pelaburan Kerajaan dalam sektor swasta.

    Tahun lepas, 80 syarikat telah turut serta dalam program TERAS yang bertujuan untuk membangunkan PKS Bumiputera yang berprestasi tinggi dengan membolehkan mereka terus maju, mempercepatkan pertumbuhan, menambah daya saing di pasaran terbuka.

    Sejajar dengan MBE, kita menggunakan prinsip mesra pasaran, berasaskan merit, keperluan dan telus dalam melaksanakan langkah ini.

    Setakat ini 50 lagi syarikat telah memenuhi syarat di bawah program itu tahun ini.

    Kami komited untuk menggalakkan persaingan dan keusahawanan. Peranan kerajaan adalah untuk menetapkan keadaan yang berdaya saing bagi membolehkan sektor swasta untuk menerajui dan menyahut cabaran ini.

    Kita tahu bahawa jika kita tidak berjaya membuat transformasi di sini, kita akan tewas dalam perjuangan menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

    Kita telah mengambil langkah dengan menyediakan pemboleh ubah untuk menjadikan ekonomi lebih berdaya saing dan mengambil langkah tertentu merentasi pelbagai bidang untuk mencapai pendapatan yang kita perlukan untuk menjadikan kita sebuah negara maju. Kita akan dapat mencapainya.

    Penulis ialah Ketua Eksekutif PEMANDU dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Komen adil dan saksama adalah dialu-alukan melalui
    idrisjala@pemandu.gov.my


  • (Berita Harian, 4 Jun 2012)