Monday, December 08, 2014

Ten powerful phrases for positive people






Penulis: Richard M. DeVos
Tahun: 2008
Penerbit: Zondervan Publishing House, New York, USA.
Muka Surat: 169

Buku ini ditulis untuk setiap orang yang boleh digunakan dalam pelbagai cara untuk mencapai impian masing-masing. Dalam kalangan pemimpin, sikap positif merupakan langkah awal untuk menjadi pemimpin yang hebat. Bagi kita, sama ada sebagai pemimpin dalam keluarga, dalam syarikat, dalam organisasi awam dan sebagainya, sepuluh kata-kata yang hebat ini dapat membantu kita. Sepuluh kata-kata itu adalah: I am wrong, I am sorry, You can do it, I believe in you, I am proud of you, Thank you, I need you, I trust you, I respect you dan I love you.

Lihat bagaimana pemimpin-pemimpin yang yang cekap dan berkesan menguruskan kepemimpinan mereka. Salah seorang daripada mereka adalah John F. Kennedy yang memiliki misi positif kepada rakyat Amerika dengan katanya, “Let’s go to the moon”. Dia mencabar rakyat negaranya untuk bergerak kehadapan, melebihi jangkauan dan menjadi lebih baik. Rakyat Amerika menerima cabaran itu dan mereka melakar sejarah pada tahun 1969.

Mereka yang sebaris dengan kepimpinan seperti pengurus, ketua bidang, pakar strategi malahan guru perlu membina watak yang dapat menggerakkan orang lain di bawah mereka. Belajar sepuluh kata-kata ini dan amalkan dalam kaedah dan teknik yang positif. Kita perlukan orang yang dapat berdiri dan memastikan kerja-kerja telah diselesaikan. Pemimpin memiliki kuasa untuk menjadi contoh kepada ribuan orang.

Begitu juga dalam komuniti kita, warganegara kita perlukan sikap positif yang dapat memberi impak yang sama kepada semua orang. Jika setiap orang mulai mengamalkan sikap positif, mulai mencari dan bercakap yang positif dan melengkapkan diri masing-masing dengan kekuatan, ia akan memulakan proses perubahan sosial yang sangat hebat yang mana setiap orang ada hasrat dan hajat untuk membaiki diri masing-masing.

Kita akan bekerja lebih kuat, berfikir degan cerdas, menzahirkan lebih banyak idea, memasang impian besar, menghargai sumbangan dan berusaha untuk kehidupan yang lebih baik.

Pemimpin dan kerajaan kita wajar memiliki idea yang hebat dan bagus untuk kebaikan negara kita. Namun ahli politik di kedua-dua belah gagal melonjakkan diri mereka untuk memberi harapan yang besar. Sebaliknya mereka lebih cenderung mengkritik sesama sendiri berbanding membina budaya membentuk kata-kata positif kepada kita.

Membaca buku ini dapat membuka minda dan hati kita untuk mempercayai bahawa kata-kata yang diucapkan setiap hari dalam pelbagai cara dan situasi boleh menjadikan hidup lebih baik. Keputusan kita untuk hidup dalam suasana positif sudah tentu mengubah kita, mengubah masyarakat kita dan mengubah seluruh rakyat negara kita.

Setiap masyarakat perlukan orang yang dapat menggalakkan dan merangsang orang lain untuk gembira. Mereka inilah yang dapat menjadikan dunia lebih baik untuk semua orang.




No comments:

Post a Comment