Sunday, December 21, 2014

Pelbagaikan aktiviti di pusat pemindahan banjir








Banjir di Kelantan semakin runcing. Lebih daripada 21,000 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat pemindahaan sementara seperti sekolah dan dewan orang ramai. Sekolah dan dewan orang ramai dapat menampung kapasiti mangsa yang lebih ramai di samping dapat memberi akses kepada rawatan kesihatan yang lebih baik.

Keadaan susun atur mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan boleh dibahagikan kepada dua jenis.

Pertama, jenis tradisional iaitu menggunakan ruang dewan yang luas dengan memasukkan tilam dan bantal mengikut bilangan anggota keluarga. Lebih ramai ahli keluarga, lebih banyak tilam dan bantal diperlukan. Namun kebanyakan mangsa banjir perlu tidur dalam keadaan berhimpit-himpit. Perkara lain ialah ruang seperti ini tidak disediakan pemisah antara lelaki dan wanita yang dibuat secara sempurna. Biasanya pemisah ini hanya kain rentang dan menyukarkan golongan wanita untuk menukar pakaian atau ibu yang menyusukan anaknya. Sempadan privasi telah diceroboh di samping cenderung mendedahkan aurat kepada bukan muhrim.

Kedua, jenis moden iaitu ruang yang ada pemisah antara lelaki, wanita dan kanak-kanak. Kita bersyukur kerana sudah ada pegawai dan kakitangan di pusat pemindahan ini yang sedar bahawa menyediakan susun atur yang patuh syariah adalah satu tuntutan kepada mangsa-mangsa banjir. Pegawai dan kakitangan ini sedaya upaya berikhtiar mewujudkan suasana selesa yang menurut tuntutan agama. Melalui cara ini, privasi dan aurat setiap mangsa dapat dipelihara.

Peranan institusi kerajaan untuk menguruskan mangsa-mangsa di pusat pemindahan banjir telah dikongsi bersama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin.

Ada dalam kalangan pertubuhan ini yang mengambil cuti kecemasan dan cuti rehat mereka untuk membantu meringankan beban mangsa banjir melalui khidmat cucian rumah, membersihkan sampah hanyut, menyediakan makanan dan minuman, menguruskan pakaian dan menyediakan aktiviti-aktiviti pembelajaran kepada kanak-kanak. Di samping itu mereka juga menyusun jadual solat berjemaah, menyediakan tazkirah dan mengaji al-quran beramai-ramai. 

Kita mahukan pusat pemindahan mangsa banjir sebagai tempat yang dapat mengurangkan beban emosi mangsa yang terlibat. Justeru pengibatan pihak kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan berupaya membentuk suasana yang mengurangkan tekanan kepada semua kelompok yang terlibat.



No comments:

Post a Comment