Tuesday, December 09, 2014

Pengalaman usahawan dalam perusahaan restoran makanan dan katering











1.0 Pengenalan

Kebanyakan orang berpendapat keusahawanan adalah sesuatu yang sukar, berisiko dan merupakan satu kerjaya yang tidak terjamin berbanding bekerja makan gaji, lebih-lebih lagi bekerja dengan sektor awam. Jaminan dari segi faktor kewangan dengan pelan pencen yang baik mahupun pelan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas bersara menambah lagi keyakinan untuk mereka bekerja di dalam sektor awam itu.

Namun begitu, apabila kerajaan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada tahun 1970, secara tidak langsung ia telah memberi kesedaran dan peluang kepada golongan Bumiputera khususnya untuk menjadikan keusahawanan sebagai satu kerjaya pilihan. Berikutan itu, berbagai-bagai langkah telah diperkenalkan untuk menggalakkan keusahawanan kepada golongan bumiputera. Penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan usahawan menjadi lebih ketara dengan tertubuhnya Kementerian Pembangunan Usahawan pada tahun 1995 dan kemudiannya dikenali sebagai Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Tambahan pula, wawasan negara untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020 yang menjurus kepada dasar-dasar kerajaan turut sama menggerakkan negara ke arah perindustrian dan perdagangan. Dasar-dasar yang dirancang secara langsung telah meningkatkan peluang-peluang keusahawanan dalam melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera. Perubahan dan kemajuan dalam pembangunan ekonomi negara, terutamanya pada dua dekad kebelakangan ini telah melahirkan banyak peluang perniagaan. Pusat-pusat pengajian tinggi mula menawarkan kursus-kursus yang berkaitan dengan pengurusan perniagaan.

Justeru, sekumpulan pelajar telah menjalankan kerja lapangan bagi menemu ramah seorang usahawan untuk dijadikan sebagai usahawan contoh. Usahawan yang dipilih adalah Ummi Kalsum yang mengusahakan perniagaan restoran makanan dan katering di sekitar Bukit Beruang.


2.0 Jenis Perniagaan

Perniagaan yang dipilih adalah Restoran Impiana Cafe dan Katering. Perniagaan yang diusahakan oleh Ummi Kalsum terletak di Bukit Beruang iaitu bersebelahan Kolej Kediaman Bunga Raya., Emerald Park dan Kolej Kediaman Pelajar MMU.


2.1 Sejarah penubuhan

Pada awalnya, Ummi Kalsum menjalankan perniagaan kedai alatan tulis dan merupakan pembekal alat tulis kepada sekolah-sekolah sekitar daerah Melaka Tengah selama enam tahun. Perniagaan ini dilakukannya sebelum mendirikan rumah tangga dengan Razak. Menurut beliau, perniagaan membekal alat tulis yang diusahakannya terpaksa dihentikan kerana mengalami masalah dalam tuntutan kewangan.

Seterusnya beliau menjalankan perniagaan kedai gas dan menjadi pembekal utama tong gas di sekitar Bukit Beruang dari tahun 1980 hingga tahun 2000. Perniagaan gas yang diusahakannya mampu bertahan selama 20 tahun disebabkan oleh permintaan yang tinggi dan kelangsungan produk. Namun, beliau telah membuat keputusan untuk menghentikan perniagaan gas yang diusahakan itu kerana ingin mencuba perniagaan kedai makan dan katering yang dilihat dapat memberi keuntungan yang lebih besar. Pada tahun 2001, Ummi Kalsum memulakan perniagaan kedai makan  dan katering di atas tapak tempat perniagaan gas yang sebelum ini diusahakannya. Beliau juga menjelaskan bahawa perniagaan itu telah mencecah 12 tahun.

Pada mulanya, kedai makan dan katering beliau merupakan kedai makan yang pertama yang terdapat sekitar Bukit Beruang. Keadaan ini memberi kelebihan kepadanya kerana tidak mendapat persaingan dalam perniagaan. Selepas lima tahun,  barulah terdapat persaingan dalam kerana beberapa buah kedai makan sudah mula beroperasi sekitarnya. Peringkat awal perniagaan itu dilaksanakan oleh beliau sendiri dan dibantu oleh suaminya.

Setahun selepas itu, beliau mula mengambil dua orang pekerja untuk membantunya menguruskan perniagaan. Sekitar tahun 2005 beliau membuat keputusan untuk mengajikan pekerja asing dalam membantu menguruskan perniagaan. Melalui langkah ini, beliau dapat mengurangkan kos perbelanjaan pengurusan kedai makan kerana gaji yang diberikan kepada pekerja asing lebih rendah. Perniagaannya menyediakan semua jenis makanan dan minuman kepada para pelanggan. Menurut Ummi, pelanggannya terdiri daripada golongan pelajar dan orang awam. Operasi perniagaan bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 12 tengah malam. Beliau mempunyai cita-cita untuk mempelbagaikan hidangan di samping menambah bilangan pekerja sedia ada.


2.2 Projek pembangunan

Dalam masa sepuluh tahun beliau menguruskan kedai makanan ini, Ummi telah dikenali ramai khususnya dari golongan para pelajar kerana berdekatan dengan tempat tinggal pelajar khususnya dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Multi Media University. Terdapat tujuh orang pekerja yang terdiri daripada enam orang pekerja asing dan seorang pekerja warga tempatan. Walaupun majoriti pekerja asing yang bekerja, semua pekerjanya mendengar kata dan peramah terhadap pelanggan yang datang. Beliau telah membuat permohonan di Jabatan Tenaga Kerja untuk mengambil pekerja asing seterusnya  diluluskan oleh Jabatan Imigresen. Selepas itu, beliau harus ke Putrajaya untuk satu sesi temu ramah sebelum dapat membawa pekerja.


2.3 Kaedah pelaksanaan

Walaupun usia sudah menjangkau 58 tahun, Ummi masih gigih meneruskan perniagaan. Biarpun kadangkala beliau dilanda krisis kekurangan pelanggan seperti cuti pelajar, beliau tetap terus berfikiran positif. Itulah resepi sebenar yang dilakukan oleh Ummi.
Beliau membuka kedai seawal 8.00 pagi sehingga 12.00 tenah malam. Semasa bulan Ramadhan, beliau membuka kedai pada jam 6.30 petang sehingga 5 pagi. Tidak hairanlah kenapa kedai makan Ummi menerima banyak pelanggan kerana beliau sedaya upaya cuba memberikan khidmat yang baik terhadap semua pelanggan beliau tidak kira usia tua ataupun muda.


3.0 Kekuatan, Kelemahan dan Cabaran Perniagaan Kedai Makanan

3.1 Kekuatan

Setiap perniagaan mempunyai kekuatan yang dapat memberi keuntungan kepada para peniaga yang melibatkan diri dalam bidang berkaitan dengan perniagaan. Oleh sebab itu, mengukuhkan kekuatan sangat penting dalam bidang perniagaan. Antara kekuatan perniagaan Ummi adalah kedudukan perniagaan yang strategik berdekatan kolej kediaman pelajar universiti awam dan swasta. Selain itu, kedai makannya juga berdekatan dengan kawasan petempatan penduduk.

Kekuatan lain yang telah banyak memberi kemajuan kepada perniagaan beliau adalah sokongan daripada ahli keluarga dan komitmen pekerja. Di samping itu, beliau juga mendapat sokongan pelanggan yang setia serta penduduk-penduduk berhampiran.


3.2 Kelemahan

Antara kelemahan yang dihadapi adalah pelanggan bermusim iaitu bilangan pelanggan khususnya pelajar akan berkurangan pada musim cuti semester. Selain itu, persaingan dari kedai makanan dan minuman di kawasan sekitar. Terdapat beberapa perniagaan yang mempunyai persamaan dengan perniagaan Ummi yang baru dibuka dengan harga yang berdaya saing. Kelemahan lain adalah tiada menu makanan baru diperkenalkan. Namun makanan yang disediakan di kedai beliau sudah memadai kerana terdapat banyak pilihan yang boleh dipesan oleh pelanggan.


3.3 Cabaran yang dihadapi

Terdapat beberapa cabaran yang sedang dihadapi oleh Ummi bagi meluaskan empayar perniagaan. Antaranya seperti berikut:

a. Jenis perniagaan

Permasalahan pertama yang dihadapi oleh Ummi dalam perniagaannya adalah menentukan jenis perniagaan yang paling sesuai pada awal pembabitan beliau dalam bidang ini. Selepas mengadakan perbincangan dengan suami dan ahli keluarga, Ummi membuat keputusan untuk membuka kedai makanan dan minuman.

b. Pekerja
Permasalahan kedua yang dihadapi oleh Ummi dalam perniagaan adalah pekerja. Pada asalnya, beliau mengambil pekerja tempatan untuk bekerja di restoran milik beliau. Beliau juga memberi peluang kepada pelajar untuk bekerja secara sambilan di restoran tersebut. Namun, beliau mendapati bahawa pekerja tempatan yang digaji beliau kurang berdisiplin. Akhirnya, sekitar tahun 2005 beliau membuat keputusan untuk mengajikan pekerja asing bagi membantu menguruskan perniagaan. Melalui langkah ini, beliau dapat mengurangkan kos perbelanjaan pengurusan kedai makan  kerana gaji yang diberikan kepada pekerja asing lebih rendah. Beliau juga mendapati pekerja asing lebih berdisiplin berbanding pekerja tempatan. Kini perniagaan beliau mempunyai enam orang pekerja iaitu lima orang pekerja asing dari Bangladesh dan seorang warga tempatan.

c. Pelanggan

Permasalahan ketiga yang dihadapi oleh Ummi adalah pelanggan. Beliau mensasarkan pelanggan yang terdiri daripada penduduk setempat dan khususnya kepada pelajar universiti. Oleh kerana Ummi mensasarkan golongan pelajar sebagai pelanggan utama, sekiranya pelajar sedang bercuti semester, perniagaananya akan merosot. Oleh itu, beliau menyediakan khidmat penyajian kepada penduduk setempat bagi menambah pendapatan ketika cuti semester. 

d. Persaingan

Permasalahan terakhir yang dihadapi oleh Ummi dalam perniagaan adalah persaingan. Pada mulanya, kedai makan dan katering beliau merupakan kedai makan yang pertama yang terdapat sekitar Bukit Beruang. Selepas lima tahun perniagaan dijalankan barulah terdapat persaingan dalam perniagaan beliau kerana beberapa buah kedai makan sudah mula beroperasi sekitarnya. Bagi mengatasi persaingan ini, Ummi perlu mempelbagaikan jenis makanan di kedai makannya. Walaupun sudah banyak makanan yang ada di kedai tersebut, beliau harus mempelbagaikan agar kedai makannya mempunyai nilai tersendiri memandangkan terdapat banyak persaingan di kawasan sekitar.


4.0 Peranan Usahawan Dalam Masyarakat dan Negara

Usahawan dan keusahawanan memainkan peranan penting dalam masyarakat. Sumbangan usahawan telah membantu masyarakat dan negara menambah pendapatan dan membantu kelompok masyarakat untuk keluar dari kepompong kemiskinan. Berikut adalah peranan yang dimainkan usahawan dalam masyarakat dan negara kita.

a. Menawarkan peluang pekerjaan.

Perniagaan Ummi yang berjalan selama sepuluh tahun telah banyak memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Usahawan menawarkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja yang sesuai. Dengan wujudnya industri dari pihak usahawan, secara tidak langsung memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Contohnya, Ummi memberikan peluang pekerjaan kepada warga asing dan golongan bumiputera untuk bekerja di restoran beliau. Selain itu, beliau juga pernah memberi pekerjaan kepada pelajar yang ingin bekerja sambilan di situ. Kesannya, pelajar dapat menampung perbelanjaan pendidikan mereka tanpa banyak bergantung kepada peruntukan PTPTN atau tabung pendidikan lain.

b. Menggunakan sumber tempatan dengan cekap.

Peniaga membeli sebahagian sumber seperti bahan mentah di persekitaran mereka beroperasi. Cara ini meningkatkan pendapatan penduduk yang terlibat sebagai pembekal yang akan mendapat pendapatan berterusan.

c. Memenuhi kehendak masyarakat.

Perniagaan yang dijalankan oleh Ummi merupakan jenis perkhidmatan. Waktu perniagaan yang sesuai memberikan kemudahan kepada pelanggan. Selain itu, ia memberi kemudahan kepada golongan pelajar dan penduduk setempat yang tinggal berhampiran dengan kawasan tersebut.

d. Merapatkan jurang pendapatan antara masyarakat luar bandar dan bandar.

Kemunculan usahawan-usahawan kecil dan sederhana di pinggir bandar dapat mengurangkan jurang pendapatan antara masyarakat luar bandar dan bandar. Sudah tentu keadaan ini dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar.

e. Meningkatkan semangat perpaduan antara kaum.

Beliau mengambil khidmat pekerja asing dari Pakistan dan Bangladesh serta golongan bumiputera. Dari situ, perpaduan akan terbahagi kepada dua iaitu perpaduan dalaman dan luaran. Perpaduan dalaman terjalin antara majikan dan pekerja serta pekerja dan pekerja. Dari sini asimilasi akan terjadi. Selain itu, semangat perpaduan juga dapat terjalin antara pekerja dan pelanggan.


5.0 Potensi Masa Hadapan

Perniagaan yang dijalankan oleh Ummi mempunyai potensi untuk berkembang dengan maju. Dengan tenaga kerja yang ramai, operasi perniagaan dapat dijalankan dengan lancar. Antara potensi yang dapat dicapai adalah membesarkan restoran dan membuka cawangan baru untuk menambahkan lagi pendapatan. Selain itu, beliau berpotensi untuk menjalankan perniagaan selama 24 jam. Dengan ini, ianya dapat memudahkan pelajar-pelajar yang berhampiran untuk datang ke restoran beliau.



MZ Zainudin, Ahmad Akram bin Anuar, Muhammad Amirul Asyraf bin Mahmuddin, Luqman Hafiz bin Ruhama, Muhammad Azri bin Jamaluddin, Mohamad Shamil bin Zairil Raman, Muhammad Akmal bin Rosli.




No comments:

Post a Comment