Mengajar bahasa Melayu kepada pelajar
antarabangsa sangat menyeronokkan. Pengetahuan dan pengalaman berinteraksi
menjadikan pensyarah atau guru merasai kehebatan bahasa Melayu lebih-lebih lagi
nampak kesungguhan pelajar-pelajar ini untuk menguasai asas perbualan bahasa
itu.
Pelajar dari Bangladesh lebih cepat menguasai
bahasa Melayu berbanding pelajar dari negara-negara Arab. Kemungkinan besar
disebabkan pelajar Bangladesh lebih mudah bergaul dengan masyarakat Melayu
sebaliknya pelajar Arab lebih cenderung membuat kelompok sendiri.
Contohnya Litoon, pelajar sarjana yang begitu
berminat mempelajari bahasa Melayu. Katanya dia mahu menguasai bahasa Melayu
kerana senang dan membantunya mendapat banyak maklumat untuk kajiannya. Seorang
pelajar Arab, Ammar pula berkata beliau berasakan bahasa Melayu lebih mudah
dipelajari kerana struktur ayat hampir sama dengan bahasa Arab. Cuma semasa
berbual dengan rakan-rakan sekuliah, mereka lebih gemar menggunakan bahasa
Inggeris berbanding bahasa Melayu.
Dalam kelas bahasa Melayu saya, ada juga
pelajar Arab yang cepat menguasai asas perbualan bahasa Melayu dan dapat
memahami soalan-soalan yang diberi. Keadaan ini berlaku kerana hampir 30
peratus perkataan Arab ada dalam bahasa Melayu. Antaranya adalah syukur, sabar,
solat, khas, kerusi dan mahkamah.
Bagi menggalakkan pelajar-pelajar saya menguasai
bahasa Melayu, saya mewajibkan setiap orang memiliki kamus bahasa sendiri.
Mereka perlu menulis sekurang-kurang lima perkataan baru setiap hari selama 14
minggu.
Bahasa Melayu boleh menjadi bahasa pilihan
pelajar antarabangsa kerana berupaya meningkatkan nilai tambah kepada mereka.
Menguasai bahasa Melayu dengan baik bermakna mereka dapat pergi ke Indonesia, Brunei,
Singapura dan Selatan Thailand tanpa banyak masalah bahasa.
No comments:
Post a Comment