Tuesday, December 23, 2014

Hebat dengan sedekah









Memberi sedekah tanpa mengira status sosial seseorang amatlah digalakkan. Kemuliaan orang yang memberi sedekah dizahirkan oleh Allah swt. Janji Allah swt adalah banyak keutamaan dan balasan yang menakjubkan kepada orang yang memberi sedekah ini. 

Ada tiga jenis janji Allah swt kepada pemberi sedekah iaitu, pertama, menghapuskan dosa sepertimana maksud hadis yang diriwayatkan oleh Tirmizi, "Sedekah dapat menghapuskan dosa sebagaimana air memadam api". Menghapuskan dosa ini bermaksud usaha berkenaan haruslah disertai dengan taubat nasuha, berhenti daripada melakukan maksiat dan dosa. Malahan sedekah juga bukanlah dari sumber yang haram dan syubhah. 

Kedua, mendapat naungan di hari akhirat. Ini berdasarkan hadis riwayat Bukhari yang bermaksud, "Seseorang yang bersedekah dengan tangan kanannya, ia menyembunyikan amalnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya". 

Ketiga, harta tidak akan berkurang. Janji yang ini sangat hebat. Hadis riwayat Muslim yang bermaksud, "Harta tidak akan berkurang dengan bersedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti Allah swt akan tambahkan kewibawaan baginya". Para ulama mentafsirkan harta tidak berkurangan dalam dua perkara, pertama, harta dan kekayaan mendapat berkat serta terhindar dari bahaya, kedua, secara zahirnya harta berkurangan tetapi ganjaran pahala dari harta tersebut digandakan.

No comments:

Post a Comment