Thursday, December 18, 2014

Kemalangan ragut dua nyawa di Senawang







Kematian dua orang penumpang kenderaan pelbagai guna (MPV) di kilometer 250 Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Senawang, Negeri Sembilan pagi ini amat menyedihkan. Selain kematian, lima orang penumpang dari dua kereta lain turut cedera termasuk seorang seorang penumpang Proton Saga FLX yang kepalanya dipercayai bergeser pada permukaan jalan.

Kenderaan yang terlibat ialah kereta Perodua Alza, Proton Saga FLX dan Nissan Almera serta dua buah treler.

Saya sampai ke tempat kejadian ketika mangsa sudah pun dibawa ke hospital namun kenderaan beratur panjang kerana laluan berkenaan belum dipulihkan. Kereta Proton Saga FLX dan Nissan Almera terbalik di lorong kanan dengan keempat-empat tayar ke atas manakala Perodua Alza hampir bercera-berai semua pintu kerana dipotong-potong ketika usaha menyelamat dibuat oleh pasukan bomba dan penyelamat.

Punca kemalangan adalah disebabkan pemandu Proton Saga FLX hilang kawalan dan bergesel dengan sebuah treler yang membawa minyak pelincir sehingga menyebabkan kereta tersebut terbalik di lorong kanan. Dua buah kereta yang berada di belakang gagal mengelak dan merempuh treler yang berada di lorong kiri.
 
 
 

Kemalangan jalan raya di lebuh raya kerap berlaku tanpa mengira masa. Punca kemalangan di sebabkan pelbagai faktor seperti sikap pemandu, keadaan permukaan jalan dan juga keadaan kenderaan.

Saya sendiri beranggapan punca kemalangan banyak disebabkan oleh sikap pemandu ketika berada di lebuh raya ini. Rata-ratanya cuba untuk memandu selaju yang mereka mampu untuk sampai cepat. Ada kereta kecil yang memecut laju di lorong kanan, menukar lorong tanpa memberi lampu isyarat membelok dan memandu dalam keadaan mengantuk. Dalam kemalangan kali ini, saya yakin faktor pemandu dan persekitaran menjadi punca kejadian berkenaan.

Lebuh raya kita semakin baik dari semasa ke semasa kerana proses penambahbaikan sentiasa dilakukan. Namun terdapat laluan yang masih tidak disenggara dengan sempurna seperti lopak dan lubang tampalan yang tidak ditutup dengan sempurna. Ada pemandu yang cuba mengelak lubang ini telah memasuki laluan lorong lain dan menyebabkan pemandu di belakangnya tidak bersedia untuk memberi laluan. Begitu juga dengan garisan putih pemisah lorong yang sudah pudar tidak dicat dengan segera.

Bagaimanapun saya berbangga kerana kenderaan usang sudah jarang kelihatan di lebuh raya.

Mengelakkan kemalangan adalah tanggungjawab pemandu dan pengendali lebuh raya. Pengguna tentu mahu merasai pengalaman selamat berada di atas jalan, justeru mereka wajar diberikan permukaan jalan yang berkualiti, tempat rehat yang selesa dan laluan yang selamat. Pengendali lebuh raya wajar sentiasa melakukan tinjauan rambang untuk mengetahui kaedah terbaik untuk meningkatkan aras kepuasan pengguna lebuh raya. Walaupun tinjauan ada dibuat, ia dilakukan secara bermusim mungkin tiga atau empat bulan sekali. Amat molek jika dibuat lebih kerap supaya ada penambahbaikan dalam semua aspek khususnya keselamatan pengguna.


 

No comments:

Post a Comment