Jika tidak kerana keluhan kekecewaan artis popular, Datuk Rosyam Nor, tentulah kita tidak tahu bahawa masih terdapat syarikat dan organisasi yang masih mengamalkan diskriminasi agama ketika menerima permohonan kerja. Beliau menzahirkan rasa kecewa kerana anak perempuannya dimaklumkan perlu membuka tudung jika hendak bekerja di syarikat alat permainan itu.
Diskriminasi seperti ini melambangkan kemunduran berfikir sebahagian masyarakat kita yang hidup dalam pelbagai agama, budaya dan cara hidup. Keadaan ini mungkin sudah lama berlaku dan tidak diketahui kerana menjadi polisi tidak bertulis syarikat tersebut. Namun, oleh kerana ditimbulkan oleh tokoh yang dikenali, syarikat berkenaan menafikan ada polisi berkenaan dalam pengambilan pekerja.
Terdapat banyak faktor yang menyebabkan wujudnya diskriminasi seperti ini. Antaranya berkaitan persepsi yang sedia ada dalam pemikiran pengurusan syarikat dan dikongsi bersama dengan pekerja. Di Malaysia, tudung dikaitkan dengan masyarakat Islam khususnya Melayu. Mungkin persepsi sedia ada adalah menganggap Islam boleh dipermainkan dalam kalangan masyarakat Melayu.
Faktor kedua adalah imej. Syarikat tersebut mungkin tidak mahu dikaitkan dengan elemen agama apabila mengambil pekerja untuk bekerja, justeru mereka mewujudkan polisi tidak bertulis supaya perniagaan mereka dilihat lebih neutral.
Faktor ketiga adalah sentimen politik. Pengaruh politik memberi kesan besar ke atas pemikiran peniaga yang cenderung memberi peluang kepada sesetengah kelompok kaum atau agama kerana menganggap kaum lain tidak boleh dipercayai.
Bagaimanapun faktor-faktor ini bergantung kepada corak pengurusan dan hala tuju syarikat.
Tindakan syarikat alat permainan ini amat menyedihkan ketika Malaysia sedang bergerak ke arah persaingan global yang mementingkan bakat. Ternyata hasrat dan impian kerajaan untuk melahirkan bakat yang mampu ke peringkat antarabangsa masih belum dihayati. Promosi dan galakan kesedaran wajar lebih digiatkan dilakukan supaya penilaian dilakukan berdasarkan keupayaan, pengetahuan dan kemahiran yang ada pada seseorang.
Syarikat Google misalnya, amat mementingkan bakat. Sesiapa sahaja diterima bekerja di sana kerana kebolehan dan keupayaannya dalam bidang yang diperlukan. Terdapat pekerja muslim yang bekerja bersungguh-sungguh untuk membawa nama "Google" supaya manfaat kepakaran syarikat itu dapat dikongsi oleh semua orang.
Tindakan Datuk Rosyam Noor mendedahkan pengalaman anaknya amat dihargai supaya ia menjadi iktibar kepada peniaga-peniaga yang cuba menilai kebolehan seseorang berdasarkan tudung.
No comments:
Post a Comment