Friday, October 31, 2008

Bantu si miskin ubah nasib

“Golongan miskin biasanya diabaikan. Saya fikir mereka akan lebih terabai pada masa kini,” kata seorang pakar ekonomi Amerika, Jeffrey Sachs yang juga pakar pembangunan Negara Dunia Ketiga dan penasihat Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon.

Kemiskinan adalah fenomena sejagat kerana setiap bangsa dan negara tidak dapat lari daripadanya, cuma ia berbeza dari segi kadar dan bilangan golongan terbabit berdasarkan penanda aras yang digunakan.

Hampir setengah daripada penduduk dunia iaitu lebih tiga juta penduduk hidup dalam kemiskinan. Malah di sesetengah negara, seperti di India, dua pertiga daripada satu bilion penduduknya adalah miskin.

Dalam kamus Islam, kemiskinan ada diceritakan dan kerana itu digalakkan bantu-membantu sesama manusia, bersedekah dan berzakat supaya yang susah mendapat perhatian dan pembelaan.

Imam Syafie rahimahullah menyebutkan: 'Orang fakir ialah orang yang tidak berharta dan tidak ada mata pencarian (sumber rezeki), manakala orang miskin pula ialah orang yang ada harta (ala kadarnya) atau ada mata pencarian tetapi tidak mencukupi sara hidupnya.'

Ketika dunia dilanda kemelesetan ekonomi, apabila kos sara hidup semakin meningkat disebabkan harga barang dan makanan melambung tinggi, kemiskinan semakin melebar ada kebarangkalian walaupun dari satu sudut statistiknya sudah tercatat.

Pengangguran, kemelaratan dan kebuluran selalu dikaitkan dengan kemiskinan. Belum lagi mengambil kira perkara lain seperti kegagalan untuk mendapatkan pendidikan dan kesihatan yang berkualiti.

Kepelbagaian itu menunjukkan kemiskinan adalah masalah multi dimensi yang memerlukan pasukan berbakat untuk mengatasinya.

Sebenarnya, masih ramai yang hidup dalam serba kekurangan, malah rezeki diperoleh kadangkala tidak cukup menampung keperluan keluarga, dengan hidup umpama 'kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.'

Kaedah paling dominan dalam menyelesaikan kemiskinan selalunya ialah dari sudut ekonomi, iaitu wang ringgit, tetapi bergantung kepada satu punca saja, iaitu bantuan pihak lain, tanpa usaha daripada diri sendiri tidak akan ke mana.

Menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Patmawati Ibrahim, seseorang itu perlu berusaha mengubah nasib kehidupan, iaitu mengeluarkan diri daripada kepompong kemiskinan.

Ini kerana katanya, Allah s.w.t menegaskan seperti yang terkandung pada ayat-11 surah ar-Ra'd, antara lain bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.”

Beliau berkata, walaupun di dalam Islam ada zakat yang membolehkan orang miskin menerimanya, tetapi saluran itu bukan satu-satunya kaedah berkesan untuk mengurangkan kemiskinan.

“Zakat boleh menjadi satu cara untuk mengurangkan kemiskinan, tetapi tidak boleh 100 peratus untuk itu,” katanya, ketika bercakap mengenai topik kemiskinan dan pembangunan dari perspektif Islam, cabaran dalam era globalisasi, pada Seminar “Managing Sustainable Development and Poverty Alleviation in The Islamic World” di kampus induk universiti itu, baru-baru ini.

Ini disebabkan pembayar zakat juga rendah, malah di negara ini katanya, kira-kira 40 peratus dan ramai yang tidak membayar, dengan kutipan agak rendah, misalnya pada 2007 hanya kira-kira RM600 juta.

Beliau juga berpendapat, dalam usaha mengurangkan kemiskinan, golongan terbabit tidak sepatutnya dibantu secara berterusan, sebaliknya diberikan bantuan di peringkat permulaan supaya berusaha membaiki taraf kehidupan dengan sendiri.

Menurutnya, jika diberikan bantuan berterusan, golongan miskin terbabit tidak akan cuba berdikari.

“Kita tidak boleh memberikan ikan kepada mereka, tapi kita memberikan joran, mungkin dalam masa enam bulan mereka tidak perlu lagi bantuan,” katanya.

sesetengah negara seperti negara maju konsep kebajikan diamalkan sepenuhnya seperti penganggur diberi elaun, tetapi di kebanyakan negara tidak sedemikian, malah hanya satu peratus kebajikan disebabkan kewangan tidak mencukupi.

Menurutnya, jika diberikan bantuan berterusan, golongan miskin terbabit tidak akan cuba berdikari.

“Kita tidak boleh memberikan ikan kepada mereka, tapi kita memberikan joran, mungkin dalam masa enam bulan mereka tidak perlu lagi bantuan,” katanya.

Di sesetengah negara seperti negara maju konsep kebajikan diamalkan sepenuhnya seperti penganggur diberi elaun, tetapi di kebanyakan negara tidak sedemikian, malah hanya satu peratus kebajikan disebabkan kewangan tidak mencukupi.

[Harian Metro Online, dilayari pada 31/10/2008]

Kita cemerlang dengan selalu berdoa

“Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.” (Al-Mukmin/Ghaafir:60)

Doa adalah otak kepada ibadah yang kita lakukan. Doa juga merupakan lambang rendah diri hamba kepada Rabb yang menguasai seluruh kehidupan. Senjata orang mukmin adalah kerap berdoa dalam semua keadaan- susah, senang, gembira atau sedih.

Rasulullah saw menjelaskan betapa pentingnya doa ini dan semua permintaan akan dikabulkan Allah swt.

“Tidaklah di atas bumi ini seorang muslim berdoa kepada Allah, kecuali Allah akan memberinya tiga hal, 1) Allah akan memberinya sesuai dengan dia minta, 2) atau Allah akan menghindarkannya dari kejahatan yang setara dengan doanya, selama tidak berdoa dengan suatu dosa atau memutus silaturrahim. Seseorang bertanya, ‘Kalau kita perbayak doa?’ Rasulullah saw menjawab, “Allah lebih banyak lagi’, 3) dalam riwayat lain, Allah akan menyimpan untuknya pahala sesuai dengan doanya.” (Riwayat At-Turmuzi, hasan sahih)

Mintalah apa sahaja yang dapat meningkatkan iman dan takwa kita kepada Allah swt. Permintaan yang kerap akan merangsang semangat dan memberi motivasi yang luar biasa kepada kita. Dalam semua keadaan, ingatkan bahawa Allah swt sentiasa membantu kita lebih-lebih lagi untuk dakwah dan tarbiah.

Kecemerlangan dalam usaha mesti diiringi dengan doa. Rajin berdoa bukan sekadar untuk harta dunia sahaja malah untuk akhirat juga.

Kerap terjadi, apabila kita memohon sesuatu yang benar-benar kita berhajat, Allah tidak kabulkan permintaan kita. Contohnya seperti keinginan untuk berkahwin, mencari harta yang banyak ataupun gagal dalam temuduga. Biasanya kita akan mengeluh dan menyalahkan semua orang.

Jarang sekali kita memikirkan bahawa Allah sedang merancang yang terbaik untuk diri kita. Tidak diizinkan kita berjaya dalam sesuatu temuduga adalah kerana Dia ingin memberi rezeki dari sumber lain yang halal dan suci. Tidak dijodohkan kita dengan perempuan idaman hati kerana Dia hendakkan kehidupan berkeluarga kita dilindungi oleh suasana soleh agar anak-anak yang lahir kelak merupakan anak-anak yang taat beragama dan memuliakan ibu bapa.

Kadang-kadang kita berasa hampa kerana telah bertahun-tahun doa dipohon tetapi tidak ada sebarang petanda yang permintaan tersebut akan diterima Allah swt. Siapalah kita untuk memaksa Allah swt, Rabb yang maha kuasa untuk menurut perintah dan arahan kita. Mesti kita sedar bahawa kita hanyalah kejadian, sedang yang menguasai kehidupan adalah Allah swt.

Sekiranya ada pola pemikiran begini, sedar bahawa seluruh hidup kita telah disusun, akan hilanglah gelisah, risau dan benci kerana apa yang dimohon tidak dimakbulkan.

Ingatlah, kita hanya hamba yang sangat lemah dan perlu selalu berdoa setiap masa.

Thursday, October 30, 2008

Pastikan komposisi Melayu dalam projek hartanah

Sejauh mana pembangunan perumahan di negara ini menguntungkan bumiputera yang merupakan penduduk asal dan majoriti negara ini?

Adakah syarat sekurang-kurangnya 30 peratus dalam penjualan hartanah kediaman benar-benar dipatuhi pada ketika sebahagian besar daripadanya boleh dijual kepada orang lain termasuklah warga asing?

Hal berkaitan pemilikan hartanah dan kediaman ini mesti diberi perhatian bagi mengelakkan ketidakseimbangan komposisi kaum antara bandar dan luar bandar.

Kita tidak mahu kawasan bandar terus dimonopoli oleh kaum tertentu manakala imej kawasan luar bandar pula akan terus dikaitkan sebagai kubu kuat penempatan masyarakat Melayu yang juga sedang menanti dibaham oleh pembangunan.

Apa yang dikhuatiri, ia akan melebarkan lagi jurang interaksi antara kaum yang tentunya tidak sihat untuk perpaduan masyarakat berbilang kaum.

Oleh itu, setiap kerajaan negeri serta seluruh Pihak Berkuasa Tempatan perlu konsisten dalam mengekalkan tanah-tanah milik Melayu sedia ada sekalipun kawasan-kawasan tersebut dibangunkan.

Mengapa syarat 30 peratus tidak ditingkatkan menjadi 67 peratus selari dengan komposisi sebenar bumiputera pada ketika ramai orang Melayu kini dikatakan semakin stabil kedudukan ekonominya sehingga membawa kepada proses liberalisasi bagi menggantikan unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB)?

Pembangunan hartanah dan pembukaan bandar-bandar baru moden seluruh negara usah meminggirkan kedudukan pemilikan bumiputera. Agenda menyusun semula masyarakat tidak seharusnya hanya tertumpu di luar bandar sebaliknya fokus tersebut perlu turut dihalakan ke kawasan bandar.

Tindakan pemaju yang mendirikan begitu banyak rumah kediaman kos tinggi yang harganya begitu mahal ibarat racun kepada peratusan pegangan hartanah kediaman orang Melayu pada masa depan.

Ironinya, boleh dikatakan setiap pembangunan kawasan perumahan baru sebenarnya adalah di atas tanah yang asalnya dimiliki oleh orang Melayu.

Di Kuala Lumpur misalnya, kawasan- kawasan yang asalnya merupakan kampung tradisi Melayu semakin menyusut diratakan oleh projek pembangunan yang gagal menjamin hak milik bumiputera dikekalkan sama seperti sebelum dimajukan apatah lagi ditingkatkan.

Atas dasar pengambilan atau penukaran status tanah, maka banyak bidang tanah termasuklah tanah rizab Melayu akhirnya bukan lagi milik orang Melayu.

Menyedari hakikat pentingnya pemilikan hartanah bagi menjamin kelangsungan politik, ekonomi dan sosial bumiputera pada masa depan, suatu mekanisme bagi memastikan tanah yang sedia ada terus kekal milik Melayu mestilah dilaksanakan segera. Pendek kata, hidup mati orang Melayu kelak bergantung kepada pemilikan hartanah.

Dalam masa yang sama, orang Melayu juga harus ditarik untuk sama-sama berebut memiliki hartanah kediaman atau komersial di kawasan-kawasan bandar baru bagi mengelak 'suburnya' fenomena dominasi kaum tertentu di bandar-bandar seluruh negara.

MOHD. ARIF ATAN
Cheras, Kuala Lumpur.


[Utusan Online, 30/10/2008]

Pupuk kemahiran mendengar untuk membaca

Kebanyakan orang beranggapan bahawa kanak-kanak belajar dengan mata mereka. Hakikat sebenarnya ialah membaca dipelajari melalui pendengaran atau menggunakan telinga. Ibu bapa dapat membina asas kukuh kemahiran membaca dengan bercakap kepada anak-anak, membacakan buku dan menggunakan aktiviti berbentuk mendengar.

Guru di sekolah juga boleh meningkatkan kemahiran membaca pelajar dengan membentuk kemahiran mendengar yang betul melalui aktiviti ejaan.

Lebih banyak buku yang dibaca, perbendaharaan kata dan kosa kata kanak-kanak turut bertambah. Ia juga membantu kanak-kanak mengenal pasti lebih banyak perkataan apabila mereka membaca buku demi buku.

Contohnya, jika kita memperkenalkan perkataan harimau atau kangkung, kanak-kanak tidak ada masalah untuk menyebut perkataan masyarakat atau buah limau. Jadi, kerja sekolah yang diberikan oleh guru tidak menjadi masalah untuk diselesaikan.

Belajar untuk membaca bererti membaca untuk belajar. Jika sejak awal kanak-kanak didedahkan dengan kemahiran membaca, mereka tidak ada masalah untuk berkembang menjadi seorang pelajar yang pintar di sekolah.

Bagi pasangan yang baru bergelar ibu dan bapa, memperkenalkan kemahiran membaca kepada anak-anak bermula sebaik sahaja mereka lahir. Umur sehari hingga 3 tahun, kanak-kanak mendengar beribu-ribu perkataan sambil mula belajar bercakap.

Umur 3 hingga 4 tahun adalah peringkat kritikal bagi perkembangan perbendaharaan bahasa kerana kemahuan untuk mereka bercakap tidak pernah berhenti. Sedikit demi sedikit kanak-kanak belajar mencantumkan bunyi huruf dan menyimpannya dalam kotak fikiran. Pengukuhan membaca membolehkan mereka mula membaca perkataan dan ayat yang mudah.

Ada sesetengah ibu bapa yang prihatin dengan perkembangan bahasa dan kemahiran membaca anak-anak berasa bimbang kerana anak-anak masih belum boleh membaca walaupun telah meningkat usia lima atau enam tahun. Lalu beranggapan anak itu malas.

Anggapan dan telahan begini sebenarnya salah kerana kanak-kanak yang tidak dapat membaca mempunyai masalah dengan pendengaran mereka. Antara tanda-tanda berkenaan ialah:

1. Tidak membunyikan huruf, perkataan atau ayat walaupun telah diberitahu.
2. Tidak menyebut bunyi huruf kerana tidak berupaya mendengar dengan sempurna.
3. Tidak dapat mencantumkan huruf bagi membentuk bunyi, lebih-lebih lagi bagi perkataan yang baru.
4. Daya ingatan yang lemah seperti tidak mampu ingat huruf yang telah disebut sebelum itu.

Ciri-ciri ini merupakan kelaziman bagi kanak-kanak yang berusaha untuk membaca. Ia bukanlah ‘malas’ sebaliknya terdapat kekurangan dalam deria pendengaran mereka. Bantuan ibu bapa dan penjaga bagi memulihkan keadaan ini sangat diharapkan walaupun terpaksa mengorbankan wang ringgit.

Wednesday, October 29, 2008

Iklan, bisnes 'tak habis makan'

Penerima Anugerah Usahawan Wanita 1957-2007, Shamsinar, memulakan perniagaan pengiklanan pada tahun 1988. Bermula dengan tiga orang pekerja dan mencatat keuntungan sekitar RM2 juta, kini syarikat CD Communication Group telah mendapat keuntungan RM40 juta pada 2006.

Syarikat beliau ada 130 pekerja dan sebuah bangunan tujuh tingkat di Damansara Perdana. Bagaimana Shamsinar melakukannya?

Perniagaan beliau bermula dengan minat setelah terlibat beberapa tahun dalam industri pengiklanan. Cabaran dan halangan yang datang dalam perniagaan menjadikan beliau semakin tabah. Cabaran paling perit pernah beliau hadapi ialah apabila rakan kongsi menarik diri sehingga syarikatnya menghadapi kesukaran dalam membuat pusingan modal.

"Tanpa sokongan dan bantuan daripada keluarga, saya tidak mungkin dapat meraih kejayaan pada hari ini," ujar beliau ketika berkongsi pengalaman dan susah-payah menjadi usahawan wanita.

Persaingan adalah asam garam dalam dunia perniagaan dan beliau terpaksa berhadapan dengannya. Cabaran yang banyak ini menjadikan semangatnya lebih kental dan mempunyai azam yang tinggi untuk berjaya.

Aktiviti bisnesnya ketika ini ialah kerja-kerja pengiklanan di media elektronik dan media cetak, billboard, dokumentari, perunding dan penasihat komunikasi, perhubungan awam, kerja-kerja reka bentuk penerbitan dan pecetakan seperti brosur, laporan tahunan, katalog dan sebagainya.

Kumpulan pemasaran syarikat CD Comm sangat agresif dan mampu bekerja siang dan malam kerana bilangan pekerjanya yang ramai. Justeru itu, seperti kata Shamsinar, asas kepada kejayaan syarikat beliau ialah dapat membina hubungan yang akrab dengan pelanggan-pelanggannya sama ada dari sektor awam atau swasta di samping komitmen, dedikasi, kesetiaan dan kegigihan seratus peratus kakitangan syarikat yang dimilikinya.

Saya juga pernah bertemu beliau yang lebih mesra dipanggil Kak Sham. Memang beliau seorang yang mesra, mudah tersenyum dan mempunyai semangat kerja yang sangat tinggi.

Tuesday, October 28, 2008

Pelajar perempuan tendang guru disingkir

Seorang pelajar perempuan yang bertindak ganas dengan menendang seorang guru wanita di Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis dekat sini baru-baru ini disingkir daripada sekolah itu berkuatkuasa hari ini.

Pengarah Pelajaran Perlis Mansor Lat ketika dihubungi Bernama hari ini berkata keputusan menyingkirkan pelajar tingkatan dua itu diputuskan Jawatankuasa Disiplin sekoleh itu namun beliau tidak menyatakan bila keputusan itu dibuat.

Sebelum ini, pelajar berusia 14 tahun itu yang menendang guru sivik, Azhana Ibrahim, 27, di dalam bilik darjah sekolah itu pada 16 Okt lalu telah digantung persekolahannya selama seminggu untuk siasatan.

Bagaimanapun setelah siasatan selesai, jawatankuasa itu memutuskan pelajar itu disingkir daripada sekolah yang sebahagian besar pelajarnya berketurunan Cina.

Bagaimanapun, Mansor berkata pelajar itu tetap diberi peluang mengemukakan rayuan kepada Jabatan Pelajaran Perlis untuk membolehkannya dipertimbangkan menyambung persekolahan di sekolah-sekolah lain.

Pelajar itu dilaporkan bertindak ganas setelah guru itu meminta penjelasan daripadanya mengenai tulisan “gila babi” yang ditulis dalam satu tugasan yang diarahkan guru itu.

Mengenai kes pergaduhan sekumpulan 16 pelajar sekolah yang sama pada 20 Okt lalu, beliau berkata empat daripada mereka yang terbabit telah dikenakan hukuman disingkir daripada sekolah berkuatkuasa hari ini manakala selebihnya digantung persekolahan serta diberi surat amaran keras.

Pergaduhan itu dikatakan berpunca daripada salah faham sebelum berlaku pergaduhan yang terpaksa dileraikan dengan kehadiran anggota-anggota polis.

Mansor berkata tindakan ini merupakan satu tindakan yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan dan berharap ia menjadi satu pengajaran terhadap pelajar-pelajar ini.

Sementara itu, pada 31 Okt ini, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra akan berangkat ke Sekolah Menengah Kebangsaan Perlis bagi merasmikan Kelab Rukun Negara yang diwujudkan untuk menyatupadukan serta mengharmonikan para pelajar berbilang bangsa di sekolah itu.

“Saya harap kelab itu akan dapat mengawal insiden seperti itu daripada berulang lagi dan segala tindakan yang diambil sebelum ini diharap mampu memberi pengajaran kepada para pelajar lain,” kata Mansor.

[BERNAMA, 28/10/2008]

Monday, October 27, 2008

The future of global conflict

Editor: Volker Bornschier dan Christopher Chase-Dunn
Tahun: 1999
Penerbit: SAGE Publications Ltd, London, UK.
Muka surat: 310

Sepanjag 500 tahun yang lalu, perkembangan politik dan ekonomi global silih berganti di antara meruap dan mencair, diselang-seli dengan tempoh masa yang aman dan satu dua peperangan. Apakah kitaran ini akan berterusan selamanya? Ataupun beberapa perubahan yang ketara ke atas struktur sistem yang dilaksanakan oleh dunia pada hari ini menyebabkan kitaran tersebut akan berakhir?

Buku ini adalah sebuah analisis kritikal terhadap trend jangka masa panjang dan perkembangan terkini ke atas sistem politik dan ekonomi dunia serta kesan-kesannya. Ia memuatkan artikel-artikel terpilih daripada beberapa orang penulis yang pakar dalam bidang masing-masing seperti George Modelski, Erich Neede dan Christopher Chase-Dunn sendiri.

Tema perbincangan meliputi ekonomi, politik dan peranan ketenteraan di lingkaran Pasifik, Jepun dan negara-negara bekas Kesatuan Soviet.

Soalan utama yang cuba dihuraikan oleh buku ini ialah sama ada terdapat urutan sejarah tentang jatuh dan bangun kuasa utama dunia akan digantikan oleh struktur yang lebih hebat bagi tempoh 25 tahun yang akan datang ataupun proses kemunculan semula bekas kuasa utama dunia melalui satu lagi peperangan yang besar.

The future of global conflict ini adalah buku mesti dimiliki oleh pelajar dalam bidang sosiologi dan politik.

Sunday, October 26, 2008

Aimi Samihah catat sejarah

oleh Zaharah Othman

Penuntut Imperial College penerima pertama Anugerah Lonza

Pelajar tajaan Petronas, Aimi Samihah Azuhan, 24, mencatat sejarah apabila bukan saja menerima Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia kelas pertama, malah muncul penerima pertama Anugerah Lonza dari Imperial College di sini.

Aimi Samihah, menerima Anugerah Lonza, iaitu daripada syarikat farmasi terkenal dunia yang berpangkalan di Switzerland, berikutan prestasi cemerlang dalam projek tahun akhir yang diketuainya mengenai ibuprofen, pada majlis konvokesyen institusi pengajian tinggi terkemuka itu di Dewan Royal Albert di sini, Rabu lalu.

Ketika tahun kedua pengajian selama empat tahun di sini, Aimi Samihah menerima Hadiah British Petroleum (BP) kerana keputusan cemerlang dalam kejuruteraan kimia.


"Aimi Samihah menunjukkan prestasi mengagumkan dan kami sangat bangga apabila beliau menjadi penerima pertama anugerah ini," kata Ketua Jabatan Kejuruteraan Kimia Imperial College, Profesor Andrew Livingston.

Detik bersejarah Aimi Samihah menerima ijazah kelas pertama dan anugerah itu turut disaksikan anggota keluarganya dari Malaysia, iaaitu, ibu bapanya, Azuhan Mohamed, 50, dan Salmiah Salleh, 46, serta adik lelakinya Adilin Syahmi, 14. Turut hadir datuk dan neneknya, Salleh Ali, 72, dan Mariam Yusof, 69.

Ketika ditemui, Aimi Samihah berbangga sebagai anak Melayu dan mendapat tajaan Petronas, menerima ijazah kelas pertama dan menerima anugerah berprestij itu.


"Saya sangat terhutang budi kepada ibu saya yang sentiasa menjadi pendorong, manakala ayah adalah sumber ilham kerana dia juga seorang jurutera," katanya.

Azuhan pula berkata, anaknya mempunyai sikap tidak akan berpuas hati selagi tidak mendapat A atau markah 100 peratus yang menyebabkannya bekerja keras untuk mencapai keputusan terbaik dalam pengajian.

"Ketika saya mengikuti pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Birmingham, Aimi Samihah bersekolah di sana dan pernah mendapat anugerah saintis muda," katanya.

Beliau juga memuji Petronas kerana memberi sokongan dan bimbingan kepada pemegang biasiswa yang belajar di sini.


"Sebagai bapa, saya tidak bimbang melepaskan anak saya belajar di luar negara. Tempat tinggal selesa dan pembiayaan Petronas membolehkan pelajar menumpu perhatian terhadap pengajian," katanya.

[Berita Harian Online, 26/10/2008]

Saturday, October 25, 2008

Perubatan homeopati sebagai pilihan untuk rawatan keluarga (1)

Di seluruh dunia, perubatan tradisional dan komplimentari sedang mendapat perhatian dan minat. Di Malaysia, perubatan tradisional dan komplimentari yang dikenali sebagai “Traditional and Complementary Medicine (T/CM)” juga mendapat perhatian yang sama (Narimah Awin, 2003).

Keputusan kabinet untuk memberi keizinan kepada pengamal perubatan alternatif dan tradisional di Malaysia bagi merawat pesakit di hospital kerajaan adalah sangat dialu-alukan.

Cadangan ini tentunya lahir daripada kejayaan cemerlang Hospital Tung Shing di Kuala Lumpur dan Hospital Lam Wah Ee, Pulau Pinang mengintegrasikan kaedah rawatan ini di bawah satu bumbung.

Meneliti maklum balas yang dibuat oleh sebahagian masyarakat yang terdiri daripada ahli parlimen, pengamal perubatan moden dan alternatif serta orang ramai, didapati terdapat tiga kelompok utama yang terlibat. Satu kumpulan menentang keras langkah ini, kumpulan kedua pula menerima dengan penuh kegembiraan manakala golongan ketiga bersikap tunggu dan lihat.

Golongan pertama pastinya para pengamal perubatan moden dan mereka yang pro kaedah perubatan ini. Kelompok ini melihat perubatan moden yang menggunakan teknologi dan bersifat saintifik sebagai penyelesai ke atas setiap jenis penyakit. Mereka berbangga dengan keupayaan rawatan yang diberi dan menjadi perubatan perdana di seluruh dunia.


Golongan kedua pula adalah pengamal perubatan tradisional dan alternatif yang terdiri daripada akupuntur, homeopati, iridiologi, refleksiologi, singseh, urutan terapeutik dan terapi getaran warna. Malah pelbagai jenis perubatan yang telah lama wujud dalam masyarakat seperti ayurvedik dan perubatan tradisional cina. Mereka melihat perubatan alternatif sebagai pelengkap kepada perubatan konvensional yang sedia ada (Richard Gerber, 1996).

Kelompok ketiga ialah orang ramai yang ingin mengetahui sejauh mana keberkesanan kedua-dua sistem perubatan ini jika benar-benar dilaksanakan. Tentulah pengguna yang akan mendapat manfaat jika diberi banyak pilihan dari segi perbelanjaan dan khidmat rawatan.

Kita yakin perkembangan ini selari dengan aliran dunia masa kini yang melihat kecenderungan orang ramai untuk mendapatkan khidmat rawatan yang terbaik. Di India umpamanya, perubatan tradisi ayurvedik telah menjadi rawatan pilihan kepada kebanyakan masyarakat di samping homeopati. Penubuhan kolej dan hospital alternatif turut membuktikan kaedah rawatan sebegini diterima ramai.

Di Thailand juga diadakan rawatan alternatif kepada pesakit. Masyarakat Thailand yang terkenal dengan budaya “memanjakan” tetamu menjadikan industri urutan terapeutik sebagai penjana perkhidmatan perubatan kerana kelebihan yang diperolehi secara tidak langsung memberi pilihan kepada pesakit dan orang ramai untuk mendapatkan rawatan perubatan yang terbaik dan memuaskan.

Kerajaan wajar mempercepatkan usaha ini jika ingin menjadikan pelancongan kesihatan sebagai salah satu penjana pendapatan negara. Namun begitu, banyak perkara yang perlu diberi perhatian seperti kelayakan pengamal, kolej bertauliah, garis panduan pelaksanaan, ubat-ubatan dan juga pengenalan kurikulum bersepadu kepada semua pengamal perubatan di Malaysia.

Perubatan akupuntur, homeopati, ayurvedik dan refleksiologi telah lama diiktiraf sebagai rawatan kesihatan alternatif dan komplimentari yang berkesan di sesetengah negara tetapi belum mendapat pengiktirafan yang sewajarnya daripada kerajaan Malaysia. Para pengamal ini ada di antaranya telah belajar bertahun-tahun dalam disiplin yang diminati di luar negara dengan menggunakan perbelanjaan sendiri malahan ada yang telah berjaya dalam kerjaya mereka.

Dengan adanya pengiktirafan begini, proses meningkatkan profesionalisme pengamal perubatan alternatif dan tradisional dapat dilaksanakan dengan cepat.

Dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang diumumkan, kerajaan memperuntukkan RM10.28 bilion kepada Kementerian Kesihatan bagi pelaksanaan program kesihatan awam. Pengenalan perkhidmatan perubatan alternatif akan membantu usaha kerajaan ini bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat. Sudah sampai masanya pengintegrasian perkhidmatan kesihatan dilaksanakan secara menyeluruh bagi menjulang kecekapan, kualiti dan kesaksamaan dengan penyampaian perkhidmatan kesihatan.

Usaha-usaha ini memerlukan perancangan yang teliti khususnya penyediaan kurikulum khusus berkaitan perubatan alternatif dalam arus perdana perubatan moden. Akan tiba masanya kelak orang ramai dapat membuat pilihan ke atas perkhidmatan yang diberikan seterusnya memberikan persaingan yang sihat.

Tidak dapat dinafikan bahawa perubatan moden sentiasa ditambah baik dengan pelbagai ilmu dan kemahiran melalui penyelidikan dan pembangunan berbanding perubatan alternatif dan tradisional. Bagi menggalakkan minat orang ramai menggunakan perkhidmatan alternatif, kempen galakan wajar dilakukan oleh kerajaan untuk melihat kebaikan dan keberkesanan perubatan ini (Aubrey T. Westlake, 1985).

Hal ini penting kerana pengaruh kerajaan ke atas masyarakat amat kuat. Pada masa yang sama, insentif wajar diberikan kepada pengamal sedia ada untuk meningkatkan ilmu pengetahuan mereka di institusi yang diiktiraf supaya sistem perubatan yang dipraktik dapat dimantapkan.

Galakan melalui pengiktirafan terhadap sijil, diploma dan ijazah dapat memberi dorongan kepada generasi muda untuk menerokai bidang ini seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat.

Institusi kewangan juga boleh membantu melalui bantuan pinjaman untuk memulakan perniagaan kepada mereka yang berminat. Skim bantuan ini dapat mempercepatkan kesedaran orang ramai bagi menghilangkan persepsi negatif terhadap perubatan alternatif dan tradisional.

Bagi mereka yang berasa sangsi dengan perubatan alternatif dan tradisional, boleh melihat sejarah keluarga raja Britain yang menggunakan perkhidmatan homeopati sebagai pilihan mereka (James H. Stephenson, 1980).

Justeru, tidak ada lucunya perkhidmatan perubatan alternatif dan tradisional ini jika sistem pengiktirafan, pengajaran, perkhidmatan dan penyelidikan yang disediakan dibuat dengan profesional. Istilah-istilah lapuk seperti bomoh, pawang, dukun dan singseh boleh ditukar kepada istilah baru untuk memberi nafas kesegaran dan meningkatkan imej profesional pengamal. Tahap pengetahuan dan kepakaran mereka juga boleh ditingkatkan dengan kursus dan sijil yang boleh diperkenalkan bagi jangka masa pendek.

Sekiranya kemenyan dan jampi serapah hendak diperkenalkan, ia perlulah dilakukan secara saintifik kerana didapati amalan ini banyak diserapi oleh amalan tradisi dan kepercayaan yang boleh dipertikai.

Keazaman kerajaan untuk mengintegrasikan perkhidmatan perubatan alternatif dan konvensional adalah langkah terbaik kepada orang ramai khususnya masyarakat berpendapatan rendah. Terserah kepada pengamal untuk meningkatkan ilmu, kepakaran dan keupayaan masing-masing.

Definisi Konsep

Homeopati

Sistem perubatan yang merawat pesakit secara holistik, menyembuhkan penyakit sehingga ke akar umbi melalui pencarian punca atau sebab penyakit tersebut berdasarkan ”serupa dengan serupa menyembuhkan.”

Perubatan tradisional/alternatif dan komplimentari

Sistem perubatan yang menggabungkan kaedah tradisional dan bukan konvensional seperti akupuntur, acupressure, The Alexander Technique, aromaterapi, kiropraktik, perubatan herba, refleksiologi, terapi getaran warna dan urutan terapeutik.

Keluarga

Seisi rumah tangga yang terdiri daripada suami dan isteri atau beserta anak-anak dan mempunyai perhubungan keturunan antara satu sama lain.

Empat perkara rosakkan badan

Hidup yang gembira adalah nikmat. Dapat makan, minum berjalan-jalan dan ketawa juga nikmat. Ada orang kata, ketika muda apa saja boleh makan, namun apabila semakin tua sudah tidak ada selera.

Ada juga yang kata, ketika muda lebih baik merantau ke mana sahaja hendak pergi, namun apabila sudah tua tidak kuat lagi hendak berjalan. Pendek kata, semua nikmat yang kita dapat dalam hidup berkumpul dalam usia muda, usia yang baru hendak kenal cabaran, melihat keindahan sekitar dan usia yang bergelora dengan semangat.

Secara fizikal, muda dikatakan aktif, kuat dan bertenaga. Semangat juga berkobar-kobar dan pantang dicabar. Ketika muda inilah kita mampu bercakap tanpa henti, berceramah ke sana-sini, bermain tanpa kenal penat dan keinginan yang berbagai-bagai.

Rasulullah saw memberitahu kita bahawa ada empat perkara yang menyebabkan badan menjadi sakit iaitu banyak bercakap, tidur berlebihan, makan yang melampau dan kerap berjumpa dengan orang ramai.

Banyak bercakap banyak masalahnya. Tersalah cakap atau tersasul akan sebabkan orang kecil hati dan marah. Mungkin juga kebenaran bertukar menjadi palsu dan sebaliknya. Kadangkala mengelirukan. Peribahasa Melayu juga mengaitkan salah cakap dengan tabiat manusia yang tidak pandai ‘jaga mulut’ iaitu kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Banyak tidur. Ini penyakit orang zaman moden kerana banyak kerja yang perlu dibuat dalam sehari menyebabkan ada yang tidur tidak tentu masa. Kekerapan tidur yang tinggi dianggap satu penyakit. Tidak kira waktu- siang, malam, pagi atau petang asyik tidur sedangkan badan tidak diberi peluang untuk berpeluh.


Memilih untuk ketiduran sepanjang masa adalah sangat merugikan kerana jangka hayat kita semakin berkurangan dan hilang nikmat hidup.

Makan berlebihan juga tidak baik untuk badan khususnya perut. Perut yang semakin membesar kerana makan bukannya tanda hidup yang sejahtera sebaliknya tanda-tanda awal banyak penyakit. Lebih-lebih lagi hari ini kita semakin malas hendak bersenam atau melibatkan diri dalam kegiatan yang memeluhkan badan.


Budaya hidup turut mempengaruhi kegagalan kita untuk membudayakan cara hidup sihat. Akhirnya ada yang terpaksa makan ubat sakit jantung, darah tinggi dan kencing manis sekali gus sepanjang hidup.

Akhir sekali, kerap berjumpa dengan orang. Ini juga kadangkala menjadi tabiat. Suka berjumpa orang tidak baik untuk badan kerana tubuh badan kita juga perlukan rehat yang berpadanan.


Ada orang yang terlalu peramah sanggup tidak makan dan minum malah tidur juga tidak cukup. Ia lebih bahaya jika jumpa orang yang sebarangan kerana ada yang berpenyakit berjangkit. Virus penyakit ini disebar melalui udara atau sentuhan terbuka seperti terkena darah.

Friday, October 24, 2008

Kenapa kita diuji?

“Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman,’ sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-Ankabut:2-3)

Hidup kita sentiasa diuji. Setiap masa. Di mana-mana saja selagi masih bernyawa. Di dalam rumah, pejabat, jalan raya atau ketika bermain bola sepak. Seorang diri atau ramai. Berpangkat atau hanya berjawatan pembantu am rendah. Ya, ujian dan cubaan yang menyakitkan.

Ketika resah hati menjadi gelisah, fikiran gundah dan badan menjadi lemah. Tidak ada semangat untuk bekerja, semua serba tidak kena.

Dalam ayat ini Allah swt menyebut bahawa Dia tidak akan membiarkan kita bersenang-senang dengan menyatakan ‘aku orang beriman’ tanpa diberi ujian.

Tanda iman tidak terletak semata-mata pada pakaian, kopiah atau manisnya bahasa. Tidak juga pada kepetahan bercakap atau berdiam diri sahaja.

Iman terletak pada kejayaan setelah diuji dan dicuba dengan pelbagai perkara, dari sekecil-kecilnya hinggalah sebesar-besarnya sesuai dengan tahap seseorang. Orang yang tinggi ilmunya akan diuji dengan lebih hebat dan berat.

Allah swt menguji kita supaya ada perbezaan mana satu yang benar dan mana satu yang salah. Setiap kali Allah swt memberi ujian sama ada berat atau ringan, tentu akan terasa sakit. Kesannya boleh jadi terbuku pada emosi atau fizikal. Ia boleh jadi salah satu daripadanya ataupun kedua-duanya sekali.

Para nabi dan rasul diuji kedua-duanya sekali khususnya yang digelar ‘ulul azmi’ dan mereka tetap bersabar.

Begitu juga dengan kita, orang biasa. Setiap kali diuji, Allah swt akan menumpahkan sifat sabar ke dalam hati. Sabar adalah anugerah yang sangat hebat. Dengan sabar kita dapat bertahan dan berani menghadapi cabaran, kepayahan, tekanan dan ancaman.

Kerapkali kita berhadapan dengan keadaan-keadaan genting yang perlukan kesabaran. Sebagai contoh, seorang isteri yang dimadukan. Tidak ramai isteri yang ingin berkongsi kasih dengan wanita lain. Apa yang difikirkan ialah minta cerai. Jalan lain sudah tidak nampak.

Wanita yang dimadu sedang diuji kedua-duanya sekali; emosi dan fizikal. Dari segi emosi, dia memikirkan macam-macam perkara dan merasakan suami telah curang kepadanya. Dari segi fizikal pula, barangkali selera makan semakin berkurangan dan mula menunjukkan tanda-tanda kemurungan.

Namun, keadaannya berbeza bagi wanita yang berfikir tentang ujian dan rahmat Allah swt. Jika mereka benar-benar memahami kenapa Allah swt memberi taqdir begitu, tentu mereka berfikir dengan rasional dan redha menerima kenyataan.

Dalam hidup ini, kita wajar melihat kebaikan dalam semua perkara walaupun kita mengalami kesakitan dan kepayahan yang melampau. Biarpun susah, apabila kita merasai ada sesuatu yang tidak kena, itulah cara Allah swt menguatkan semangat diri, mengukuhkan keyakinan dan memperkasa azam yang membara.

Thursday, October 23, 2008

Seronoknya membaca!

Membacakan buku kepada kanak-kanak adalah nikmat yang paling hebat dalam hidup berkeluarga. Ibu, ayah dan anak-anak mengisi masa lapang bersama-sama untuk memberi erti yang lebih besar kepada kehidupan masa depan.

Bagaimanapun kanak-kanak yang berumur 8 bulan sukakan buku yang berbeza dengan kanak-kanak yang berumur 4 atau 8 tahun.

Jika diamati dan diteliti, kanak-kanak peringkat umur tersebut agak cerewet memilih buku. Biasanya mereka sukakan buku yang mempunyai ciri-ciri seperti berikut:

- boleh dibuka-tutup-buka-tutup
- warna-warna yang terang
- gambar-gambar yang mendamaikan
- kulit buku atau kad yang boleh digigit
- buku yang boleh dipegang dengan bebas dan selesa

Apabila kanak-kanak mula membelek buku, mereka akan mula belajar tentang:

- konsep membaca buku (sebaik sahaja dibuka, di dalam buku ada cerita)
- baca dari kiri ke kanan
- bagi sesebuah cerita, ia ada awal dan akhir
- menghargai buku dan menganggapnya sebahagian daripada hidup

Semasa membaca, tinggikan suara supaya kanak-kanak boleh dengar suara anda. Tidak mengapa jika mereka tidak berminat. Gunakan kebijaksanaan anda untuk memujuk mereka melihat buku dan ketika keadaan tersebut, anda boleh rumuskan bacaan supaya perhatian kanak-kanak tadi dapat difokuskan. Bagi seorang kanak-kanak, tempoh lima minit membaca adalah sangat lama.

Menarik perhatian kanak-kanak terhadap buku perlukan seni dan kemahiran yang tertentu seperti membina interaksi yang lebih mesra dengan mereka. Interaksi di sini bermaksud anda menyoal atau memberitahu yang senang-senang terlebih dahulu supaya timbul minat untuk melihat buku.

Ikut kemahuan dan selera membaca kanak-kanak walaupun anda berasa tidak selesa. Jika mereka meragut buku dari pegangan anda, biarkan saja supaya mereka menikmati masa membaca tersebut walaupun hanya membebel-bebel mulut.

Bagaimana pula hendak memilih buku-buku yang sesuai untuk kanak-kanak di peringkat ini?

Perkara yang mustahak anda tahu ialah buku tersebut tahan lama. Lumrah kanak-kanak, mereka tidak tahu menjaga buku dengan cermat dan anda juga malas untuk mengutip buku yang selalu disepahkan. Buku yang tahan lama biasanya agak tebal, tidak mudah koyak dan keseluruhannya adalah lasak.

Permukaan kertas adalah licin dan ada elemen berbau wangi. Kadangkala kita rasa pelik kenapa kanak-kanak suka mencium buku namun hakikatnya ialah mereka tertarik dengan bau wangi buku berkenaan.

Pilih buku yang mengandungi gambar-gambar yang biasa di sekeliling mereka seperti televisyen, meja, buah-buahan, sayur-sayuran dan pinggan-mangkuk. Daya imaginasi dan mata kanak-kanak lebih jelas dengan objek yang mereka telah biasa nampak.

Anda sekeluarga boleh menjadikan masa membaca sebagai sebahagian daripada rutin harian. Ajak dan ajar anak-anak membaca tidak perlukan masa yang lama, cukup 10 hingga 15 minit sehari.

Wednesday, October 22, 2008

16 jam sehari untuk jadi kontraktor

Syarikat pembinaan Usima Sdn. Bhd. (Usima) terus bertahan dan bertambah besar sejak kemelesetan ekonomi 1997.

Mohd. Yusof Ismail, 44, peneraju syarikat pembinaan ini berkata banyak nilai yang menyumbang kepada kejayaan syarikatnya. Antaranya ialah fokus, disiplin, kerja keras, sanggup belajar, perancangan teliti dan tidak lupa untuk memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Projek besar Usima ialah pembinaan kem tentera di Tok Jalai, Jitra dan bekalan paip air di Kuala Muda yang berjumlah RM180 juta.

Mohd Yusof bermula dengan membuat kerja-kerja kontrak ataupun istilah yang lebih mudah ialah subkontraktor kepada kontraktor utama. Pengalaman menjadi subkontraktor ini menjadikan beliau dapat belajar banyak pengalaman di samping menimba pendedahan selok-belok bidang kontraktor ini.

Cabaran sebagai subkontraktor ialah terpaksa menerima hanya 40 peratus daripada nilai kontrak dan menanggung 100 peratus kerja. Sebarang kesilapan akan mengundang padah. Sebab itulah fokus adalah inti pati kepada kejayaan syarikat beliau.

Beliau bekerja 16 jam sehari bagi mempastikan semua kerja dilaksanakan dengan lancar. Jika perlu turun ke tapak pembinaan, beliau akan turun supaya dapat mengenal pasti sebarang masalah yang dihadapi seperti pekerja yang tidak dapat datang kerja, masalah jentera ataupun kelewatan bahan binaan.

Tidak hairanlah beliau dapat tahu dari awal hingga akhir berkaitan kerja-kerja pembinaan ini.

Bapa Mohd Yusuf hanyalah seorang petani dan beliau tidak dapat belajar ke universiti kerana kesempitan hidup. Tetapi keadaan ini tidak menghalang sifat gigih beliau untuk berjaya dalam bisnes.

Memulakan diri dalam perniagaan pemasangan kabel telekomunikasi, bisnes ini tidak bertahan lama kerana ketiadaan kontrak untuk dilaksanakan. Selepas itu beliau berniaga pakaian dari negara jiran. Bisnes ini terpaksa ditutup kerana pelanggan tidak membayar hutang. Kemudian dia berniaga ikan di pekan sehari.

Kata orang, peluang mesti dicari. Selepas berhempas pulas dengan macam-macam masalah dan cabaran, sambil berniaga ikan beliau memberanikan diri mendaftarkan syarikat kontraktor kelas A.

Beliau mempunyai falsafah ingin belajar dan sangat mengagumi semangat kerja orang-orang Jepun. Dengan konsep itulah, beliau akan berada di tapak projek untuk memastikan kesemuanya berjalan lancar pada awal-awal pagi lagi.

Yusof percaya jika kita banyak memberi kepada mereka yang memerlukannya, syarikat akan terus bertahan. Beliau mengambil contoh pengeluar kasut Bata dan minuman terkenal Milo yang kekal lama sehingga sekarang dan menjadi pilihan ramai kerana dapat menyumbangkan kembali keuntungan syarikat kepada masyarakat melalui tanggungjawab sosial yang mereka lakukan.

Mesejnya ialah kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya terletak pada keuntungan semata-mata tetapi juga kepada sejauh mana ia mampu menyumbang kembali kepada masyarakat.

Tuesday, October 21, 2008

Tingkah laku devian di kalangan pelajar sekolah: tinjauan literatur ringkas

Kes yang melibatkan pelajar perempuan memukul dan menendang guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perlis menunjukkan persepsi pelajar terhadap guru telah berubah. Aksi seorang pelajar sekolah itu yang memukul dan menendang guru telah dirakam dan disiarkan di media.

SMK Perlis juga menimbulkan kemarahan umat Islam apabila membenarkan lapan pelajar Islam mengambil bahagian dalam perarakan Tokong Sayur pada 7 Oktober lalu sebagai sebahagian ahli pancaragam sekolah. Kejadian ini menjadi peristiwa pahit bagi pengetua sekolah, Chuah Cheng Hooi apabila terpaksa memohon maaf kepada banyak pihak termasuk Jabatan Pelajaran Negeri Perlis di samping bantahan keras daripada mufti kerajaan negeri.

Moto sekolah ini ialah Pendidikan Ke Arah Kecemerlangan iaitu hasrat warga sekolah bagi melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kemanusiaan. Namun, kes yang berlaku di SMK Perlis ini adalah di luar batasan hubungan guru – pelajar kerana pelajar telah menunjukkan tingkah laku ganas dan menyimpang sama sekali dari norma-norma sebagai pelajar.

Artikel ini akan menghuraikan kenapa dan bagaimana pelajar boleh berubah dan bertindak ganas di sekolah. Beberapa artikel berkaitan telah dijadikan rujukan yang merangkumi delikuensi remaja, kawalan kelas, hubungan kekeluargaan dan pengaruh media.

Warren Bennis (1989), perintis dalam organisasi dinamik telah memberi takrifan mengenai organisasi atau kumpulan secara umum. Bagi beliau, organisasi adalah satu sistem sosial di mana ahli-ahlinya mempunyai norma, nilai, kepercayaan yang dikongsi dan paradigma 'apa yang betul dan salah, apa yang sah dan batal dan bagaimana setiap perkara dilakukan.' Bennis memberi takrifan ini dari sudut kepimpinan.

Dalam konteks sekolah, pelajar dan guru mempunyai nilai dan moral yan tertentu sebagai garis panduan. Sebaik sahaja seorang pelajar mendaftarkan diri dan ditempatkan dalam kelas serta mengikuti sukatan kurikulum yang ditetapkan, pihak pentadbiran sekolah hanya mempunyai sedikit kawalan ke atas apa yang berlaku di dalam kelas kerana hampir keseluruhan tanggungjawab terletak di atas bahu guru (Stevenson, 1991).

Guru lebih memahami apa yang berlaku di dalam kelas berbanding pihak pentadbiran sekolah. Prestasi pelajar, tingkah laku dan perkembangan pelajar keseluruhannya berada dalam pengetahuan dan penilaian guru. Pengurusan kelas yang berkesan membantu guru memantau perjalanan kelas secara berterusan, memberi input kepada pelajar tentang pengharapan sekolah ke atas mereka, menerapkan sifat akauntabiliti pelajar terhadap kerja dan tugasan yang diberi dan memacu pencapaian akademik.


Dapatan literatur Stevenson (1991) mencatatkan beberapa penemuan berkaitan tingkah laku devian pelajar. Antaranya beliau memetik Doyle (1979) yang berpendapat tingkah laku berkenaan khususnya pada awal sesi persekolahan sekolah adalah untuk menguji keupayaan pengurusan guru bagi mencapai agenda peribadi tertentu. Manakala dapatan oleh Doyle dan Carter (1984) menunjukkan pelajar cuba memperlahankan kehendak-kehendak dalam garis panduan kelas mereka. McDermott (1976) berpendapat pelajar hendakkan perhatian guru mereka.

Dalam artikel 'Deviant students as a collective resource in classroom control,' Stevenson menyatakan pelajar dengan tingkah laku devian adalah sumber penting untuk membantu pengawalan kelas berbanding menganggap pelajar berkenaan sebagai masalah utama kepada guru. Baginya, pelajar demikian adalah produk pengurusan sosial di dalam kelas, bukannya produk daripada pengurusan kelas yang lemah. Pengurusan sosial di dalam kelas dan pengurusan kelas adalah dua perkara yang berbeza.

Tingkah laku devian yang semakin tidak terkawal adalah satu jangkaan hanya di peringkat individu (Boehnke dan Winkels, 2002). Hubungan keluarga dan kehidupan bermasyarakat dapat menghalang remaja daripada terlibat dalam aktiviti membuang masa dan membina tingkah laku devian mereka.

Kedua-duanya melihat turun naik kes-kes jenayah dan tingkah laku yang menyimpang dari norma masyarakat lebih banyak disebabkan oleh perubahan yang berlaku di dalam politik dan ekonomi masyarakat. Delikuensi juvana yang sering menimbulkan konflik di antara orang dewasa dan remaja adalah merujuk kepada merokok di bawah umur, minum arak dan memandu tanpa lesen dikatakan sering menjadi simbol kepada remaja untuk mempamerkan kedewasaan.

Sebagai contoh, Eisenstadt (1956) dan Mead (1970) berkata memakai simbol Nazi di kawasan sekolah boleh ditakrif sebagai tingkah laku yang tidak dapat diterima oleh guru malah sebahagian besar masyarakat.

Tekanan daripada politik juga menyebabkan perubahan ke atas sosial masyarakat. Salah satu motif penyimpangan tingkah laku ialah merasai ketidakadilan. Secara tidak langsung, remaja atau golongan pelajar cuba mencari pertubuhan atau kumpulan yang dapat menerima tingkah laku mereka dan dilayan secara adil khususnya mengiktiraf perlakuan mereka.

Dari segi ekonomi, perubahan yang pantas berlaku telah melahirkan keluarga yang berada di bawah bebanan kewangan, hubungan keluarga semakin longgar, perhatian ibu bapa terhadap pendidikan anak-anak semakin diabaikan dan komunikasi dengan anak-anak bertambah merosot hingga timbulnya tingkah laku devian.

Pelajar tidak bertindak sendirian apabila mengambil keputusan untuk berkelakuan ganas di sekolah sebaliknya digalakkan oleh kumpulan. Menurut Hagan (1991,1994), perubahan sosoal yang pesat membantu menambah kecenderungan pelajar terhadap aktiviti rakan sebaya yang menjurus pada tingkah laku devian yang muncul kerana persekitaran sub budaya sedia ada yang turut menghargai tingkah laku berkenaan.


Rajah 1: Konsep model hubungan di antara perubahan sosial yang pesat dan tingkah laku devian di sekolah (Boehnke, K. dan Winkels, Dagmar B. 2002). [Rujuk editor]


Dalam konteks kajian Boehnke dan Winkels (2002), tingkah laku devian di sekolah merangkumi gangguan terhadap guru, merosakkan harta benda, memukul pelajar yang lemah, menyebar gosip rakan sekelas, bergaduh, mencabar pelajar lain dan mencederakan guru.

Kesimpulan kajian tersebut ialah keibubapaan dilihat sangat penting untuk mengawal tingkah laku devian di sekolah walaupun berlaku perubahan sosial yang pantas kerana faktor politik dan ekonomi. Ibu bapa yang mempunyai kata pemutus wajar menjadi penjaga kepada tingkah laku pelajar.

Felson (1996) menyatakan bahawa dalam kebanyakan pendapat, kanak-kanak meniru aksi ganas yang mereka lihat di televisyen. Proses meniru ini diberi penekanan dalam teori pembelajaran sosial.

Walaupun pelajar-pelajar telah menjangkau umur 14 tahun tetapi pendedahan terhadap aksi di televisyen dan media elektronik yang lain bermula sejak mereka berumur 3 hingga 5 tahun. Sesetengah aksi itu telah sebati dalam jiwa mereka, jadi bergaduh dan menendang adalah sebahagian daripada cara mereka ketika membesar.

Pelajar-pelajar sekolah yang bertindak ganas ke atas guru mungkin merasakan tindakan mereka sekadar melepaskan tekanan kerana bebanan tugas yang diberikan oleh guru. Sikap guru yang sentiasa meminta tugasan dihantar dan memilih pendekatan provokasi berbanding memujuk menimbulkan dendam di dalam hati pelajar.

Jika berseorangan, pelajar akan bertindak seperti baling batu sembunyi tangan sebaliknya akan bertindak agresif jika berkumpulan.

Ketika pelajar semakin ramai dalam satu kelas, guru turut merasa beban mengajar dan kadangkala tidak dapat mengawal emosi. Dalam keadaan apa sekalipun, guru mesti dapat menahan emosi marah akibat provokasi pelajar mereka.

Tingkah laku devian berkait dengan pelbagai alasan sama ada di dalam sekolah atau di luar kawasan sekolah. Adalah menjadi tanggungjawab guru untuk menguruskan kelas dengan bijaksana sementara pentadbiran sekolah menyediakan segala kemudahan yang diperlukan oleh guru.


Rujukan

Bennis, Warren. 1989. Why Leaders Can’t Lead. San Francisco, USA: Jossey-Bass Publishers.

Boehnke, K. dan Winkels, Dagmar B. 2002. "Juvenile Delinquency Under Conditions of Rapid Social Change." Sociological Forum 17: 57-79

Felson, Richard B. 1996. "Mass Media Effects on Violent Behavior." Annual Review of Sociology 22: 103-128

Slocum, Walter L. dan Stone, Carol L. 1958. "Factors Associated With Family Affection Patterns." The Coordinators 2: 21-24.

Stevenson, David L. 1991. "Deviant Students As A Collective Resource In Classroom Control." Sociology of Education 64: 127-133

Monday, October 20, 2008

Ethnic conflict and terrorism

Penulis: Joseph L. Soeters
Tahun: 2005

Penerbit: Routledge, New York, USA

Muka surat: 144


Buku ini bertujuan memahami punca-punca dan kedinamikan konflik intranasinal seperti yang berlaku ke atas Eropah (Ireland Utara, wilayah Basque di Sepanyol, Corsica di Perancis, bekas Yugoslavia dan Albania) dan beberapa buah negara sedang membangun (Rwanda, Liberia, Sierra Leone, Sudan, Uganda, Haiti, India, Pakistan dan sebagainya) serta bagaimana konflik ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh organisasi pengganas di peringkat nasional dan antarabangsa.


Soeters mengutarakan sembilan mekanisme asas analisis dan definisi dalam disiplin sains sosial seperti sosiologi, anthropologi, sains politik dan sains psikologi untuk memahami apa yang berlaku. Sembilan tema tersebut dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu jangka masa pendek dan jangka masa panjang dalam setiap analisis bab.


Kemuncak kepada penerbitan buku ini ialah mengenal pasti beberapa pertimbangan yang ditujukan kepada pembentukan polisi yang dapat menghalang dan menghentikan konflik.
Pelajar-pelajar yang sedang mengkaji konflik dan keganasan amat sesuai menjadikan buku ini sebagai salah satu rujukan penting dalam literatur mereka.

Sunday, October 19, 2008

Internet bantu tajam fikiran

Amalan melayari internet mungkin membantu dewasa pertengahan umur dan golongan lebih berusia mengekalkan ketajaman pemikiran mereka, kata penyelidik Amerika Syarikat kelmarin.

Penyelidik di Universiti California Los Angeles mengkaji mereka yang melakukan penyelidikan web sambil aktiviti otak mereka direkodkan dengan pengimbas imejan.

"Mereka yang berpengalaman dalam internet menggunakan lebih banyak aktiviti otak ketika melakukan penyelidikan," kata Dr Gary Small, pakar penuaan di UCLA, dalam temu bual telefon.

"Ia mencadangkan hanya dengan melakukan pencarian dalam internet mungkin melatih otak lebih aktif dan sihat," kata Small dalam penyelidikannya diterbitkan Jurnal Psikiatri Geriatrik Amerika.

Kebanyakan penyelidikan mendapati mencabar aktiviti mental seperti teka silang kata boleh membantu memulihara fungsi otak, namun agak sedikit yang melihat peranan internet.

[Berita Harian Online, 17/9/2008]

Saturday, October 18, 2008

Orang Arab cakap Kelantan

Laman web Youtube.com sangat popular. Terdapat berbagai-bagai maklumat bergambar yang boleh kita layari dan muat turun untuk disimpan. Ia juga boleh dilayari dengan pelbagai jenis bahasa.

Ada satu klip video yang dimasukkan
yang menceritakan kisah seorang pemuda Arab dari Mesir yang fasih berbahasa Melayu dialek Kelantan. Namanya ialah Mohamad Abdul Aziz. Pernah datang ke Malaysia pada tahun 2003 setelah menerima tawaran mengajar di institusi pengajian tinggi.

Perkara yang menarik mengenai Aziz ialah kefasihannya bercakap Melayu dialek Kelantan. Beliau mengambil masa sepuluh tahun untuk bercakap dengan lancar dan fasih.

Minat untuk belajar bahasa Melayu bermula apabila beliau melihat ramai pelajar Melayu di sana yang sukar menguasai kitab-kitab bahasa Arab. Jadi beliau berfikir alangkah baiknya jika dapat menguasai bahasa Melayu itu dan menerangkan kitab-kitab Arab kepada mereka. Kalau tidak faham, dia akan tanya.

Belajar bahasa memang susah dan mengambil masa untuk menguasainya dengan baik. Namun, pemuda Arab ini ada kaedah tersendiri. Setiap hari beliau akan menghafal sepuluh perkataan dan proses ini mengambil masa selama enam bulan.

Selepas itu, beliau menyusun dan memadan perkataan demi perkataan menjadi satu ayat yang ringkas. Ketekunannya belajar bahasa Melayu dialek Kelantan telah memudahkannya berkomunikasi di antara pelajar-pelajar Malaysia dan orang Arab Mesir.

Menceritakan bagaimana rapatnya dengan pelajar Malaysia, beliau memberitahu ramai di antara pelajar itu yang sering datang ke rumah dan kenal benar dengan ibunya.

Apabila ditanya perkataan bahasa Melayu pertama yang dipelajari, beliau menjawab 'kecek" iaitu cakap. Dia juga suka makan budu.

Namun beliau berasa dukacita apabila melihat anak-anak muda yang suka merempit kerana membahayakan nyawa.

'Anak-anak muda ini tidak sayang pada nyawa,' katanya. Menurut Aziz lagi, jika di Mesir keadaan itu tidak berlaku kerana pasti ramai yang takut ditangkap polis.

Bahasa Melayu atau bahasa-bahasa lain bukannya susah untuk dipelajari asalkan ada kemahuan dan minat. Jika orang yang Arab boleh belajar sedikit demi sedikit, kita juga boleh melakukan perkara yang sama.

Friday, October 17, 2008

Tips individu yang berjaya

"Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia; dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu); dan mereka yang menjaga kemaluannya; kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela; kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas; dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya; dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya; mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi (syurga)." (Al-Mukminun: 1-10)

Sesekali mendengar surah ini dibaca oleh Mishary Rashid di Youtube.com, kita akan rasa sangat bersemangat di selang-seli dengan perasaan resah, gelisah dan akhirnya gembira. Bacaannya yang syahdu dan tertib pasti menyentuh hati. Sepuluh ayat ini memberi peringatan yang ringkas tetapi amat bermakna di dalam diri kita.

Ada tujuh sifat yang diterangkan Allah swt melalui sepuluh ayat ini sebagai panduan dan pengajaran kepada kita untuk berjaya di dunia dan akhirat.


Sifat pertama ialah sembahyang dengan khusyuk. Erti khusyuk ialah dengan penuh minat atau sepenuh hati, jika melaksanakan sembahyang ia boleh dikatakan merendahkan hati di hadapan Allah swt dan dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Kita sentiasa berusaha untuk mendapat khusyuk di dalam sembahyang melalui niat yang betul, menjaga tertib, memahami pengertian ayat-ayat al-quran yang dibaca, membataskan pergerakan fizikal, menumpukan penglihatan ke arah tempat sujud dan mengelak daripada sebarang gangguan.


Sifat kedua ialah menjauhkan perkataan dan perbuatan yang sia-sia. Hari ini terlalu banyak maklumat yang kita baca setiap hari sama ada melalui Internet, surat khabar, majalah ataupun gosip di kedai kopi. Ketika mendapat maklumat ini pasti terdetik di hati kita berbagai-bagai pendapat yang menimbulkan rasa benci dan iri hati.

Bagi mengelakkan diri kita daripada mengeluarkan perkataan dan melakukan perbuatan yang sia-sia, kita wajar memahami kepentingan menjaga mulut dan kaki tangan, berfikir sebelum bercakap, insaf bahawa setiap yang dilakukan sentiasa dicatat oleh malaikat, mengambil sikap berdiam ketika perlu, berhikmah ketika berbual dan bersikap lapang dada jika tersentuh hati kerana kadangkala kita dicucuk oleh syaitan untuk berasa marah dan emosional.


Sifat ketiga ialah menyucikan harta dengan berzakat. Negara kita adalah di antara negara yang menginstitusikan zakat di peringkat persekutuan dan negeri. Sistem pungutan dan agihan zakat yang teratur akan mempastikan golongan asnaf menerima hak mereka.

Zakat termasuk dalam hal ekonomi dan berzakat dikatakan membersihkan harta. Di sinilah Islam membina sistem perekonomian dengan menambahkan lagi harta si kaya dan pada masa yang sama mendidik mereka untuk memberikan sebahagian harta mereka kepada golongan yang berhak.

Sekiranya tidak mampu berzakat, kita boleh bersedekah atau membantu orang ramai yang kesulitan. Sebaik-baiknya sedekah dilakukan secara sukarela. Hendak mencari orang susah adalah lebih mudah kerana hampir setiap hari media menyiarkan kesusahan orang ramai di seluruh negara. Bergantung kepada kebijaksanaan kita untuk mencari mereka.


Sifat keempat ialah menjaga kemaluan atau kehormatan diri. Dunia hari ini penuh pancaroba. Melangkah keluar dari rumah, makruf dan mungkar sama-sama kuat menarik perhatian kita. Bercampur di antara lelaki dan perempuan menjadi lumrah khususnya di tempat keramaian, berjabat tangan dengan bukan muhrim juga dianggap biasa malah adegan ringan-ringan seperti berpegang tangan, berpeluk dan cium-ciuman sudah tidak ada yang menegur.

Jika dulu di negeri Selangor diwujudkan Badan Amar Makruf Nahi Mungkar atau Badar untuk mengajak orang ramai ke arah kebaikan dan melarang kemungkaran, kini ia tidak ada lagi kerana ada yang tidak bersetuju dengan badan sukarelawan tersebut. Hari ini masyarakat Islam di Selangor terpaksa menahan pandangan mereka daripada melihat kemungkaran yang berlaku di hadapan rumah mereka sendiri.

Bagi orang muda yang belum berkahwin, mereka perlu berusaha untuk berkahwin secepat mungkin kerana alam rumah tangga memberi kedamaian dan kebahagiaan. Berkahwin juga menjadikan pemikiran dan jiwa lebih tenang.


Sifat kelima ialah menjaga amanah. Sifat amanah adalah berat dan dilaksanakan dengan bertanggungjawab. Orang menilai sifat amanah melalui pelaksanaan yang telus dan berprinsip.

Amat sukar untuk mencari orang yang beramanah pada hari ini lebih-lebih lagi di kalangan pemimpin. Justeru, kita wajar menanam azam untuk mendidik anak-anak dan rakan-rakan dengan sifat amanah supaya masyarakat dan negara tidak punah di tangan pemimpin yang pecah amanah.

Tuntutan-tuntutan amanah pula merangkumi perkara-perkara fardhu dalam agama, tanggungjawab kepada orang Islam, amanah ke atas anggota badan, memelihara waktu (tidak lagi dipanggil dengan 'janji Melayu'), amanah terhadap ilmu, harta, menjaga rahsia orang lain dan menyimpan kukuh perkara-perkara dalam perbincangan.

Sifat keenam ialah setia pada janji. Hari ini terlalu ramai orang yang berjanji. Ada janji betul dan ada janji palsu. Agak hairan kenapa ada yang mahu berjanji palsu. Alahkah baik berterus-terang jika tidak dapat membantu atau menyediakan sesuatu yang diminta supaya orang lain tidak tertunggu-tunggu.

Andai kata kita ditipu dengan janji-janji palsu, tidak perlulah untuk mengutuk atau mencaci kerana pasti ada sesuatu yang menimpa orang berkenaan. Apabila masa mengizinkan, bolehlah dituntut untuk membuat penjelasan supaya tidak timbul fitnah dan dendam di kemudian hari.

Sifat ketujuh ialah tetap memelihara sembahyang. Sembahyang adalah tiang agama dan sangat penting. Ia menjadi kayu ukur kepada penilaian Allah swt kelak. Pentingnya sembahyang ini ada dalam semua perkara, dari masuk waktunya hingga berwirid.

Ramai yang tidak sedar kenapa Allah swt mewajibkan lima kali sembahyang pada waktu yang berbeza. Kajian dalam perubatan cahaya menunjukkan setiap kali masuk waktu sembahyang, frekuensi cahaya juga bertukar. Ia memberi kesan kepada kulit manusia. Bagi orang Islam, wajib untuk berwudhuk. Ia secara langsung memberi kesegaran kepada sel-sel kulit dan bahagian anggota wudhuk. Kajian lanjut ada dalam Color Vibration Therapy.

Bagaimanapun fadhilat berkenaan bukanlah asas kepada wajib melakukan sembahyang lima kali sehari sebaliknya sebagai umat Islam, tidak perlu ada soalan kenapa diwajibkan solat. Sebaik sahaja diwajibkan melakukannya, beribu-beribu kebaikan yang kita akan dapat secara sedar ataupun tidak sedar.


Dalam ayat yang ringkas, surah al-mukminun memberi peringatan dan panduan kepada kita untuk berjaya di dunia dan akhirat. Kita tidak perlukan seseorang yang bertaraf pakar untuk mengubah hidup sebaliknya jika kita beramal dengan sepuluh ayat dari surah ini, ia cukup merangsang kualiti hidup kita.

Thursday, October 16, 2008

Bagaimana kanak-kanak belajar membaca?

Beberapa perkara asas diperlukan untuk kanak-kanak belajar membaca di peringkat awal. Ianya berkait di antara satu sama lain. Antaranya ialah belajar bagaimana kaitkan bunyi huruf, bina kelancaran dan beri makna ke atas setiap huruf yang dibaca.

Perkara asas yang susah untuk memulakan proses membaca ialah keupayaan kaitkan bunyi huruf di atas kertas atau dalam buku yang bercetak.

Untuk membaca, kanak-kanak ini mesti dapat tentukan hubungan di antara huruf dan bunyi. Sebaik-baiknya mereka menguasai bunyi huruf dan diftong supaya tidak terganggu semasa membaca kelak.

Memahami bagaimana hubung kait di antara bunyi dan huruf dapat membantu pembinaan kemahiran membaca yang cepat dan betul. Kenapa perkaitan ini sangat penting? Kerana besar kemungkinan kanak-kanak menghadapi masalah untuk rekodkan bunyi perkataan tersebut apabila dibaca dengan pantas. Contohnya perkataan 'ja', jika tidak dapat sebut dengan tepat perkataan 'saja' ia akan mengganggu kelancaran membaca.

Keupayaan membaca setiap perkataan sememangnya dapat menambah kemahiran membaca, kelajuan membaca juga menjadi faktor kritikal ke atas pemahaman apa yang sedang dan telah dibaca.

Secara purata, kanak-kanak perlukan empat hingga 14 kali pendedahan untuk kenal perkataan baru. Jadi, untuk belajar membaca, adalah mustahak bagi kanak-kanak membaca teks bacaan yang besar. Latihan mengeja juga dapat melonjakkan perkembangan membaca yang lebih lancar.

Dengan ejaan, kanak-kanak menerima berbagai-bagai contoh sesuatu huruf diterjemahkan kepada bunyi-bunyian. Ia juga memberitahu bahawa tulisan dibentuk oleh gabungan huruf dan perkataan yang lebih banyak.

Pada tahap membaca seterusnya, mereka dapat membuat rumusan sendiri iaitu membaca adalah kombinasi yang lebih banyak daripada hanya melihat perkataan demi perkataan.

Matlamat utama dalam langkah-langkah proses membaca ialah mempastikan kanak-kanak faham bahan-bahan yang dibaca. Keupayaan memahami apa yang dibaca boleh dilihat daripada beberapa faktor.

Kanak-kanak yang dapat faham dengan jelas, didapati boleh kaitkan maklumat atau pengetahuan mereka ketika membaca. Dalam erti kata lain, mereka dapat aktifkan pengetahuan tersebut yang dikaitkan dengan proses tumbesaran yang sedang dialami.

Kefahaman mereka juga terserlah dalam perbendaharaan kerana amat sukar untuk memahami sesuatu perkara yang belum dapat dikuasai sepenuhnya.

Keupayaan menyoal turut menjadi rangkuman kepada proses memahami, meringkaskan, meramal dan memperjelaskan apa-apa yang dibaca. Semakin banyak bertanya, lebih banyak maklumat dapat dicari dan ianya dapat membantu dalam proses membuat keputusan.

Membina kemahiran membaca di dalam kehidupan kanak-kanak perlu dilakukan oleh guru yang terlatih kerana guru seperti itu mampu menyusun peluang-peluang untuk menambah baik pembacaan khususnya ketika kanak-kanak berhadapan dengan kesukaran ketika membaca. Ibu bapa yang tidak mendapat pendedahan tentang kaedah khusus mengajar membaca tentu sekali sukar menentukan peluang-peluang berkenaan. Kajian oleh Malmquist (1973) dalam 'The Cooperative Research Program in First-Grade Reading Instruction' mendapati guru lebih penting daripada kaedah pengajaran dan bahan-bahan pengajaran.

Apakah yang mempengaruhi keupayaan membaca?

Membaca sehingga lancar adalah satu proses yang panjang. Ia bermula dari peringkat awal perkembangan kanak-kanak dan sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan formal.

Ibu bapa yang prihatin mula memberi rangsangan kepada pengalaman pembelajaran anak-anak mereka bermula sejak belum lahir hingga umur dua tahun. Anak-anak yang membesar dengan pendedahan seperti ini lebih pintar dan cerdas kerana mampu berkomunikasi lebih cepat, perbendaharaan kata yang lebih banyak, faham matlamat membaca dan dapat bina kerangka pembacaan yang kemas dan sistematik.

Kanak-kanak yang lancar membaca pada awal usia terdedah kepada pelbagai jenis bunyi bahasa, konsep rima dan juga bahasa-bahasa lain di sekitar mereka. Pendedahan ini menjadi asas kukuh kepada pembinaan bahasa yang lebih kompleks dan menyeluruh.

Keupayaan membaca kanak-kanak memang lebih banyak dikaitkan dengan latar belakang pengetahuan mereka. Jika diberikan peluang, keupayaan berfikir dan bercakap mengenai perkara yang mereka minat, kita akan dapati banyak maklumat diperoleh melalui membaca.

Wednesday, October 15, 2008

Bisnes kuih pau

Kuih pau bisnes yang kecil tetapi dapat menjana wang yang berterusan jika bijak memilih lokasi. Rasa kuih pau pun tidak ada perbezaan yang besar kerana kebanyakannya sama. Inti daging, ayam, kacang atau kaya kerap menjadi pilihan ramai orang. Cara menyediakan kuih pau pun sama.

Di mana lokasi paling sesuai untuk bisnes kecil menjual kuih pau ini?

Tempat tumpuan orang ramai: stesen bas, depan pasar raya, tempat ceramah, jeti pelabuhan, perkarangan stadium, kawasan pantai, pasar malam, pasar tani atau kedai mamak 24 jam.

Kejayaan bisnes kuih pau terletak pada lokasi dan cita rasa pelanggan. Seorang peniaga kuih pau di Pengkalan Chepa, Kelantan berniaga kuih ini setiap malam di hadapan sebuah pasar raya yang ramai pengunjung.

Beliau menggunakan motosikal roda tiga yang diletakkan betul-betul di hadapan pasar raya. Maknanya setiap kali pelanggan pasar raya masuk atau keluar, mereka dapat melihat dengan jelas kuih pau peniaga itu.

Namun ada peniaga kuih pau yang menjualnya hanya di rumah dan itu pun ramai orang yang datang mencari kerana keenakan inti kuih itu.

Satu kuih pau boleh dijual dengan harga 90 sen dan setiap hari secara purata dia dapat menjual 45 hingga 60 biji. Bermakna, sehari dia mendapat RM45 hingga RM54. Dalam sebulan tentulah bisnes kuih paunya menghasilkan pendapatan yang lumayan.

Bisnes kuih pau atau kuih yang lain banyak bergantung kepada pemilihan lokasi yang tepat. Harganya pula mesti menarik hati pelanggan kerana persaingan bisnes jenis ini sangat tinggi. Sekali pelanggan sudah mengenali enaknya kuih dan nampak gebu, pasti pada masa akan datang mereka kan kembali membeli.

Layanan yang dipamerkan juga mestilah ada kelas supaya pelanggan merasai sendiri keramahan dan kesediaan kita untuk menjual kuih pau. Tidak mengapa jika peringkat permulaan menggunakan motosikal roda tiga tetapi mestilah ada rancangan untuk membuka kiosk di tempat yang lebih besar dan memperkenalkan kuih pau dengan imej yang tersendiri.

Jika ada kemampuan dan keadaan kewangan yang baik, bolehlah pula merancang untuk mengeksport kuih pau yang tahan lama ke negara-negara luar. Secara tidak langsung dapat memperkenalkan makanan Malaysia.

Tuesday, October 14, 2008

Persaingan mencari pemimpin

Pencalonan jawatan-jawatan penting dalam UMNO telah bermula. Kehadiran calon-calon yang berentap untuk memenangi setiap jawatan menjai perhatian ramai, khususnya pemerhati politik, peniaga, pertubuhan bukan kerajaan dan juga masyarakat kampung.

Utusan Online dan Berita Harian Online sentiasa mengemas kini kedudukan calon dan jumlah pencalonan yang diterima.

Keengganan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan jawatan merupakan laluan mudah kepada timbalannya. Pada masa yang sama ia memberi nafas baru kepada pemimpin-pemimpin yang berbakat di dalam pertubuhan itu. Ahli yang bercita-cita tinggi tidak akan melepaskan peluang seperti ini dan akan cuba mencari pengaruh menonjolkan diri supaya dapat menjadi calon pilihan.

UMNO sebagai sebuah parti yang ditubuhkan sejak 1946 sedang mengalami kemerosotan sokongan. Istilah meremajakan UMNO yang dilaungkan oleh calon-calon yang bertanding dilihat meliputi makna yang luas. Ketika usia UMNO menjangkau 62 tahun, proses meremajakan UMNO adalah sesuatu yang sukar dan terlalu banyak cabaran.

Dalam sejarah parti-parti politik dunia, tidak ada parti yang mampu bertahan apabila mencapai usia 75 tahun, jadi apakah UMNO masih ada kira-kira 15 tahun lagi untuk menjadi pentadbir yang berkuasa di Malaysia? Yang dapat dilihat ialah kemerosotan pengaruh mula menuntuni UMNO dan mereka harus bersedia dengan penolakan daripada masyarakat Melayu.

Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional di lima buah negeri dalam pilihan raya yang lalu adalah petanda awal gergasi politik itu akan tumbang jika tidak ada usaha yang konkrit dilaksanakan. Keberanian pengundi yang keluar daripada lingkaran fikiran dan tahyul 'hanya BN yang mampu berkuasa' adalah manifestasi jelas bahawa pengetahuan dan persepsi mereka telah berubah. Keberanian membuat perubahan berada di mana-mana.

Apakah UMNO boleh dibanggakan?

Pencapaian 50 tahun negara selepas merdeka adalah kebanggaan rakyat Malaysia. Dari sebuah negara pertanian yang miskin, kadar kemiskinan yang tinggi, polarisasi kaum yang bertaburan dan perbendaraan yang tidak seimbang, Malaysia berkembang menjadi negara kuasa perdagangan ke-19 terbesar di dunia. Dasar-dasar yang diperkenalkan oleh BN telah membantu melonjakkan pencapaian negara sehingga kini.

Bagaimanapun pencapaian berkenaan boleh ditingkatkan lagi dengan banyak cara. Antaranya ialah mengurangkan sama sekali kadar rasuah, memakmurkan ekonomi negara melalui pengurusan yang berhemah, pegawai-pegawai kerajaan yang amanah, ketua jabatan yang tidak boros dan membazir, pemimpin yang bertanggungjawab dan melaksanakan dasar yang mengutamakan kesejahteraan rakyat tanpa mengira kaum dan tidak zalim.

Pencapaian UMNO dan parti komponen BN yang lain telah menjadi sejarah bagi generasi Malaysia pada hari ini. Kemenangan PKR-PAS-DAP di lima buah negeri menjadi permulaan kepada persaingan untuk membentuk sebuah kerajaan yang bersih, telus dan bertanggungjawab menjaga kesejahteraan rakyat. Kemenangan mereka sedikit sebanyak telah melemahkan pengaruh UMNO dan BN khususnya di Selangor yang mana setiap peringkat di dalam masyarakat sebelum ini dibayangi oleh UMNO.

Sebagai contoh, jika sebelum ini terdapat perbalahan tentang aktiviti-aktiviti surau kerana penceramah yang tidak sehaluan dengan pengerusi surau, namun kini keadaannya telah berubah. Jika ada surau atau masjid yang bermasalah, kerajaan negeri yang baru akan melakukan proses intervensi membetulkan keadaan supaya yang mendapat manfaat adalah anak-anak kariah bukannya seorang dua pengerusi atau ahli jawatankuasa surau.

Begitu juga terdapat rungutan daripada pihak wanita yang digertak supaya tidak melibatkan diri dalam kerja-kerja sosial dan aktiviti kemasyarakatan jika dianjurkan oleh penduduk setempat kerana dikhuatiri akan menguatkan pengaruh pembangkang. Suasana begini tentulah akan menimbulkan suasana tidak mesra dan merenggangkan hubungan silaturrahim sesama masyarakat.

Di bawah pentadbiran negeri yang baru, keadaan demikian semakin berkurangan setelah UMNO tidak lagi berkuasa.

Bagaimana maklumat begini boleh diketahui?

Jawapannnya ialah rumah terbuka hari raya. Di sinilah rakyat bertukar-tukar pandangan dan bercerita mengenai perubahan kerajaan pimpinan BN dan Pakatan Rakyat. Terdapat suasana bahagia apabila anak-anak kariah surau dan masjid dibenarkan menjemput penceramah agama yang dulunya digam. Surau sedikit demi sedikit kembali aktif dengan ceramah dan kegiatan mengimarahkan masjid yang jarang kelihatan sebelum ini.

Di mana-mana sahaja ada rumah terbuka yang melibatkan perkumpulan orang ramai, mereka akan bertukar-tukar pandangan dan membandingkan pentadbiran dulu dan sekarang. Dari satu segi terdapat sifat terbuka dalam berfikir di kalangan orang Melayu pada hari ini. Mereka lebih yakin dan optimis dengan masa hadapan. Mereka tidak lagi berasa cuak atau takut bersaing dengan orang lain dan yang sangat menarik ialah keupayaan mereka untuk menjadi orang-orang yang berjaya seperti yang disebutkan di dalam al-quran.

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,

Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya,
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia,
Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu),
Dan mereka yang menjaga kemaluannya,
Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela, Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas,
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya,
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya,
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi (syurga).

(Surah al-Mukminun: 1-10)

Monday, October 13, 2008

The muslims of Thailand

Penulis: Michel Gilquin (terjemahan oleh Michael Smithies)
Tahun: 2002 (edisi English 2005)
Penerbit: Silkworm Books, Chiang Mai, Thailand
Muka surat: 164

Thailand kerapkali dirujuk sebagai negara yang kuat dengan nilai-nilai Buddhisme tetapi sejak 1998, ia menjadi salah sebuah negara yang bertaraf pemerhati dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC). Terdapat juga pegawai-pegawai dan menteri yang beragama Islam dalam kabinet kerajaan.

Kira-kira lapan peratus penduduk Thailand beragama Islam di mana majoriti bertumpu di Pattani, Yala dan Narathiwat. Jumlah keseluruhan penduduk Islam di selatan Thailand ialah 6,297,800 orang (bancian tahun 2000). Satu soalan yang menarik ialah bagaimana Islam boleh berada di Thailand bersama-sama dengan agama Buddha?

Hari ini kelibat masyarakat Islam mula kelihatan di ibu kota Bangkok, mewarnai kehadiran mereka di Thailand.

Michel Gilquin adalah seorang ahli sosiologi yang mengkhususkan kajiannya ke atas masyarakat Islam dan menetap di Maghribi. Beliau menghuraikan dengan terperinci asal usul Islam di Siam, proses integrasi masyarakat Islam ke dalam bangsa Thai dan mengkaji kesan-kesan globalisasi dan pemodenan ke atas tradisi dan masyarakat luar bandar.

Dalam buku ini beliau menerangkan sejarah kesultanan Patani, kehadiran masyarakat Melayu di selatan Thailand dan keadaan pergolakan di bahagian itu sejak 2004.

Buku ini tidak memberi sebarang penyelesaian ke atas konflik di antara masyarakat Islam dan pentadbiran Bangkok sebaliknya hanya memberi penerangan dan latar belakang bagaimana proses integrasi kelompok minoriti berlaku. Dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu kefahaman Islam, muslim di selatan Thailand dan Islam dan bangsa Thai.

Maklumat yang dibentangkan dapat memberi kefahaman kepada pembaca sedikit sebanyak tentang masyarakat Islam dan Melayu. Jika pembaca ingin mengetahui lebih lanjut mengenai dasar dan pencapaian masyarakat Islam Thailand, mereka perlu mencari buku-buku lain dalam topik berkenaan.

Sunday, October 12, 2008

Hadiah Nobel Keamanan milik Ahtisaari

Hadiah Nobel yang dianugerahkan kepada pemenang-pemenang yang merangkumi beberapa bidang telah dimulakan sejak tahun 1901 berdasarkan wasiat pencipta dan ahli kimia terkemuka Sweden, Alfred Nobel.

Beliau yang juga seorang ahli perniagaan serta pencipta bom dinamit berkuasa tinggi telah menulis beberapa wasiat sebelum kematiannya sebagai menebus kesilapannya akibat dari penciptaan dinamit.

Oleh itu beliau mewasiatkan 94 peratus dari hartanya yang berjumlah 31 juta kronors bersamaan dengan AS$ 186 juta (RM595 juta) pada waktu sekarang untuk membiayai lima kategori hadiah Nobel iaitu keamanan, kimia, fizik, kesusasteraan dan perubatan.

Bagi tahun ini bekas Presiden Finland, Martti Ahtisaari diumumkan sebagai pemenang Hadiah Nobel Keamanan kerana usaha beliau untuk menghasilkan perdamaian berkekalan di seluruh pelosok dunia termasuk Aceh, Timor Leste dan rantau Balkan.

Ahtisaari, 71, menjadi perantara dalam rundingan yang membawa kepada perjanjian damai antara kerajaan Indonesia dengan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM) di Aceh pada 2005.

Jawatankuasa Nobel Norway memilih Ahtisaari untuk menerima hadiah bernilai AS$1.4 juta (RM4.76 juta) daripada senarai 197 calon kerana “usaha penting yang dilakukannya di beberapa benua dalam tempoh lebih 30 tahun untuk menyelesaikan konflik antarabangsa.’’

Menurut jawatankuasa itu lagi, usaha tersebut telah menyumbang ke arah mewujudkan dunia yang lebih aman selain mengeratkan ‘persaudaraan antara negara’ sejajar dengan semangat yang ditunjukkan oleh Alfred Nobel.

Usaha Ahtisaari di Afrika, Eropah, Asia dan Asia Barat mendapat sanjungan daripada Jawatankuasa lima anggota itu.

“Sejak 20 tahun lalu, beliau memainkan peranan utama dalam usaha untuk menyelesaikan beberapa konflik besar dan berlarutan, dari Namibia dan Aceh sehingga ke Kosovo dan Iraq,” menurut pengumuman itu.

Sumbangan

Ahtisaari juga telah memberi sumbangan membina ke arah menyelesaikan konflik di Ireland Utara, di Asia Tengah dan di Tanduk Afrika.

Presiden Finland dari tahun 1994 hingga 2000 itu berkata, beliau sangat gembira dan berterima kasih kerana mendapat penghormatan sebagai penerima hadiah berprestij tersebut.

Hadiah Nobel akan disampaikan di Oslo pada 10 Disember ini, sempena hari ulang tahun kematian Alfred Nobel pada 1896 tokoh yang bertanggung jawab mewujudkan anugerah itu.

Akademi Sains Diraja Sweden turut mengumumkan dua saintis Jepun dan seorang ahli sains Amerika Syarikat (AS) berkongsi Hadiah Nobel 2008 dalam bidang fizik.

Saintis AS kelahiran Jepun, Yoichiro Nambu dari Universiti Chicago itu memenangi separuh daripada hadiah tersebut kerana menemui mekanisme yang dikenali sebagai simetri pecah spontan dalam fizik subatom.

Makoto Kobayashi dan Toshihide Maskawa berkongsi separuh lagi hadiah kerana menemui asal usul simetri pecah yang meramalkan kewujudan sekurang-kurangnya tiga famili quark dalam alam.

Bagi Hadiah Nobel dalam bidang kimia, Akademi Sains Diraja Sweden menamakan dua warga AS Martin Chalfie dan Roger Tsein dan seorang warga rakyat Jepun Osamu Shimomura sebagai pemenang bersama.

Penemuan protein berkenaan telah menjadi satu peralatan yang amat penting dalam bidang bio sains.

Kejayaan mereka menemui protein cerah dalam ubur-ubur yang membantu saintis mengesan penyakit seperti kanser dan Alzheimer dan hadiah berjumlah 10 juta kronor akan dikongsi bersama pemenang.

Bagi Hadiah Nobel dalam bidang kesusasteraan, penulis terkenal dari Perancis Jean-Marie Gustave Le Clezio diumumkan sebagai pemenang.

Ujar Le Clezio, kemenangan ini telah menjawab segala kritikan yang menyatakan bahawa kesusasteraan Perancis kini sudah semakin suram.

“Penulis bukan seorang ahli falsafah dan bukan seorang juruteknik bahasa, mereka merupakan seseorang yang menulis dan sering bertanya soalan kepada diri sendiri,” kata beliau.

Hadiah Nobel dalam bidang perubatan pula dikongsi oleh tiga pengkaji seorang dari Jerman Harald zur Hause dan dua dari Perancis iaitu Francoise Barre-Sinoussi dan Luc Montagnier.

Penemuan mereka mengenai virus AIDS dan peranan virus dalam kanser serviks telah melayakkan mereka memenangi hadiah ini yang diiktiraf paling berprestij di dunia.

Kesemua pemenang dalam lima kategori terpilih akan menerima hadiah wang tunai, sijil dan jemputan ke majlis penyampaian hadiah yang akan diadakan di Stockholm.

[Utusan Online, 12/10/2008]

Friday, October 10, 2008

Kekuatan ayat-ayat al-quran

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang menginfakkan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka." (Al-Anfal:2-3)

Al-quran disusun indah oleh Allah. Penerangannya jelas dan ada unsur-unsur memberi harapan, panduan dan merangsang ke arah matlamat yang jelas.

Dari ayat surah al-anfal di atas, ia adalah petikan ringkas mengenai sifat-sifat orang yang beriman. Al-quran menerangkan sifat-sifat yang perlu ada pada orang beriman, yang patuh dan taat kepada perintah Allah dengan ciri-ciri khusus iaitu hatinya berdetik ketakutan, risau dan bimbang apabila mendengar nama Alah.

Banyak sebab kenapa timbul keadaan demikian. Salah satu daripadanya ialah takwa. Adanya takwa di dalam diri membuahkan iman yang kuat dan mantap. Melakukan apa sahaja yang diperintahkan Allah dan tinggalkan yang dilarang adalah maksud mudah bagi takwa.

Tahap iman semakin bertambah apabila ayat-ayat al-quran dibacakan. Maksudnya, sebarang ayat yang dibacakan dengan keterangan yang jelas dan nyata mengundang pertambahan keyakinan kepada Allah tanpa mengira maksud dan ertinya. Namun ia akan lebih menambah keyakinan apabila ayat-ayat berkenaan dibaca khusus terhadap realiti hidup orang-orang beriman.

Di sinilah yang dikatakan al-quran sebagai petunjuk dan mukjizat. Dengan membaca sahaja, ia memberi kesegaran dan kekuatan terhadap keyakinan diri, menghidupkan hati yang lesu dan mati, merangsang fikiran yang lemah dan menyegarkan tindakan yang bertangguh-tangguh.

Berusaha adalah ciri-ciri bagi mereka yang inginkan kejayaan. Di penghujung usaha berkenaan ialah tawakal iaitu menyerahkan hasil usaha kepada ketentuan Allah. Jika usaha berkenaan diizinkan Allah dengan mendapat habuan yang besar dan berjaya, ia sangat baik untuk kehidupan dan dapat membantu menambahkan kualiti solat. Jika dalam ekonomi, ia membantu orang lain dengan menginfakkan harta yang ada.

Tidak mengapa jika Allah tidak izinkan kejayaan kerana setiap perkara ada sebab dan musabab. Allah menghalang kejayaan kerana Dia tahu yang terbaik untuk kita.

Wednesday, October 08, 2008

Sewa buku

Sewa buku ada pasarannya. Tetapi tidak banyak yang boleh kita jumpai lebih-lebih lagi di kawasan perumahan. Mungkin tidak ramai orang yang minat membaca buku-buku terpakai.

Di Indonesia, buku-buku terpakai ada banyak pilihan, banyak tajuk. Jika kita bernasib baik, dapat menyewa buku-buku yang terkini kerana si pembacanya sudah jemu membaca lalu dijual kepada kedai buku sewa. Lagi pun, dalam banyak keadaan, buku yang topiknya berat kurang mendapat sambutan.


Apa yang orang hendakkan dari perkhidmatan sewa buku ini?

Pertama, harganya. Buku yang disewa bukannya mahal sangat, lebih kurang RM2 hingga RM10 bergantung kepada jenis dan berapa lama hendak disewa. Kalau sekejap saja, RM 2 sudah cukup. Berbanding membeli buku baru, harganya jauh lebih mahal. Masalahnya pula tidak ada tempat menyimpan.

Kedua, untuk buat mini perpustakaan di rumah. Kadang-kadang rakan-rakan yang datang ke rumah akan rasa teruja melihat rumah anda ada perpustakaan keluarga. Jadi secara tidak langsung mengesahkan bahawa anda sekeluarga minat membaca.

Ketiga, kepuasan diri. Ada pembaca yang terlepas membeli buku kegemaran mereka dan tidak ada lagi dalam simpanan pengedar. Jadi, tempat terbaik untuk mencari buku berkenaan ialah di kedai sewa buku ini. Manalah tahu kot-kot ada bukunya di situ. Kalau buku yang diinginkan itu berjaya diperoleh, ia bagaikan satu nikmat yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Apa syaratnya untuk membuka tempat menyewa buku di kawasan tempat tinggal anda?

Sebaik-baiknya ia telah menjadi hobi anda untuk membeli dan mengumpul buku. Paling baik jika anda tahu kumpulan sasar yang mudah didekati seperti remaja (pastilah dengan novel kegilaan mereka), pelajar sekolah (buku rujukan dan soalan tahun-tahun lepas) ataupun suri rumah dan wanita bekerja (buku resepi atau motivasi).

Terpulang kepada anda kumpulan sasaran yang ingin diberi perhatian. Untuk kanak-kanak, buku cerita yang mudah atau komik sangat sesuai.

Semakin besar jumlah buku yang hendak disewa dan ramai pelanggan, pastilah anda goyang kaki untuk menerima wang setiap hari kerana bisnes sewa buku tidak akan habis jika pembaca sangat rakus untuk menyewa buku-buku anda.

Kalau bisnes anda sudah maju, bolehlah diperkenalkan pula sewa VCD atau DVD. Sekurang-kurangnya dapat menampung belanja bil air dan elektrik rumah anda.

Tuesday, October 07, 2008

Pemandu bas ekspres kurang utamakan solat

Perjalanan pulang ke kampung halaman sempena hari raya merupakan pengalaman yang paling manis setiap tahun. Susana meriah, riang dan gembira ketika menyambut pagi syawal tidak akan dapat dilupakan oleh sesiapa sahaja yang benar-benar menghayati puasa sebulan Ramadhan.

Bagi yang berkeluarga, bercuti untuk pulang beraya di kampung akan menjadi detik terpenting untuk diuruskan. Perjalanan jauh sebaik-baiknya dimulakan dengan menempah tiket bas yang sememangnya menjadi rebutan setiap kali musim perayaan ini. Mendapat tiket pada tarikh yang dikehendaki merupakan satu peluang yang sangat berharga walaupun terpaksa berebut di kaunter.

Terdapat banyak perkhidmatan bas ekspres yang memberi perkhidmatan. Di musim perayaan, pengguna tidak begitu memilih jenis bas yang disediakan asalkan selesa dan sampai ke rumah. Di pihak penyedia perkhidmatan, mereka tentunya akan memberi khidmat yang terbaik supaya bas mereka sentiasa menjadi pilihan.

Dari aspek kebersihan, keselesaan, ketepatan dan mesra, setiap syarikat bas ekspres berbeza-beza. Ada yang menyediakan bas yang sangat moden, canggih dan selesa. Penghawa dinginnya sejuk, tempat duduk yang luas dan ruang kaki yang lebih panjang namun pemandunya kurang mesra. Ada yang mesra tetapi bas yang disediakan tidak menepati ciri-ciri keselesaan yang dikehendaki. Ada yang selesa, menarik dan mesra namun datang lambat walaupun waktu bertolak telah tertera pada tiket.

Perkhidmatan bas ekpres di Malaysia masih boleh dibaiki perkhidmatannya kerana nilai dan sikap penyedia perkhidmatan yang belum lagi berfikir secara profesional. Di Jepun umpamanya, perkhidmatan yang disediakan sangat berpatutan dengan harga yang dibayar dan pengguna jarang merungut. Ini terjadi kerana pemandu bas dan penyelia bas berfikir dan bertindak secara profesional selaras dengan nilai-nilai di dalam diri mereka.

Apabila bas telah mula bergerak dan penumpang mulai menikmati pengalaman perjalanan mereka, isu yang mula menimbulkan keresahan ialah tempoh masa berhenti yang pendek iaitu 20 hingga 30 minit. Ketika musim perayaan, biasanya tempat rehat utama dipenuhi dengan ramai pengunjung yang mahu makan, berehat dan solat. Ada kalanya ia mengambil masa juga untuk mendapat satu pinggan nasi kerana terpaksa beratur panjang. Di surau keadaan yang sama turut berlaku.

Kadangkala penumpang hanya sempat makan tanpa menunaikan solat khususnya zohor dan asar. Di sinilah kita dapat melihat nilai dan pegangan yang ada pada pemandu bas ekspres. Jika pemandu itu seorang yang faham keutamaan menunaikan solat, dia akan sensitif dengan waktu solat. Dua pilihan yang ada, pertama ialah mempercepatkan perjalanan supaya masih ada waktu untuk solat, dan kedua memberhentikan bas di tengah jalan bagi penumpang menunaikan solat.

Umumnya kedua-dua pilihan berkenaan jarang dibuat sebaliknya pemandu lebih suka meneruskan perjalanan tanpa mengira kepentingan penumpang.

Sepanjang pemerhatian dan pengalaman penyelidik, pemandu bas ke utara lebih kerap tidak sensitif dengan waktu solat dan keutamaan solat. Mereka suka buat kerja sendiri tanpa berfikir bahawa penumpang turut menilai perkhidmatan mereka untuk berhenti solat. Berbeza dengan pemandu bas ke pantai timur. Mereka lebih mementingkan solat dan tidak mengapa untuk memberhentikan bas bagi jangka waktu yang lebih panjang sedikit asalkan penumpang dapat menunaikan solat jama’ mereka.

Dibandingkan kedua-dua jenis pemandu ini, perkhidmatan bas ekspres ke utara seperti Kedah dan Perlis wajar melihat kepentingan solat dalam urusan kerja mereka. Kesannya sangat besar kepada pengguna kerana solat itu merupakan amalan yang sangat diutamakan bagi seorang muslim. Perkhidmatan bas ekspres yang tidak melihat perkara ini sebagai penting akan hilang pengguna mereka yang setia dan sentiasa memberikan sokongan.

Tanpa mengira bas ekspres itu selesa atau tidak, solat mesti diberi keutamaan oleh pemandu bas.