Wednesday, December 31, 2008

Manikavasagam: antara cita-cita dan perjuangan

Akbar-akhbar hari ini melaporkan Ahli Parlimen Kapar, Manikavasagam Sundaram telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor. Beliau mengambil tindakan tersebut kerana rasa tidak dihargai sebagai ahli parlimen yang mewakili Kapar.

Beliau dipilih menjadi wakil rakyat Kapar setelah mengalahkan penyandang, P. Komala Devi dengan majoriti 12,297 undi iaitu satu jumlah yang agak besar dalam Pilihan Raya Umum 2008. Keghairahan pengundi membuat perubahan telah menaikkan reputasi Manikavasagam sebagai antara pemimpin masyarakat India yang lantang memperjuangkan kepentingan rakyat. Popularitinya naik secara mendadak apabila mengambil keputusan untuk melepaskan jawatan yang disandang di peringkat parti pada Ogos 2008 yang lalu.

Beliau menggunakan taktik mengugut iaitu meletakkan jawatan jika kerajaan negeri Selangor tidak menyelesaikan isu kuil yang dirobohkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Ampang Jaya.

Namanya terus melonjak apabila menuduh Menteri Besar Selangor tidak peduli mangsa ribut pada Oktober 2008 lalu. Manikavasagam juga mahu mencari publisiti dengan mengaitkan dirinya dalam perbalahan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang beberapa hari yang lalu.

Isu terkini ialah penentangan secara terbuka ke atas pemindahan stesen bas dan kereta sewa dari pusat bandar Klang ke lokasi baru di Klang Sentral, Kapar. Ia mengundang kritikan keras daripada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang, Teng Chang Khim yang menuduhnya berlagak seperti pembangkang dan pembohong.

Tidak banyak yang diketahui tentang ahli parlimen India ini kerana namanya juga baru naik dalam persada politik negara. Namun tindakan melepaskan jawatan penting dalam parti adalah tindakan yang sangat tidak matang dan memberi mesej yang negatif kepada parti yang diwakilinya. Beliau bercita-cita menjadi jaguh dan pejuang rakyat iaitu satu usaha yang dipuji tetapi kurang pengalaman telah menjebakkan diri dan masa depannya ke jalan mati. Beliau boleh pergi jauh jika bersabar dan memberi fokus kepada usaha membela rakyat.

Tidak ada siapa lagi yang akan memberi kepercayaan kepada ahli parlimen seperti itu pada masa depan. Mencemarkan imej dan nama baik parti adalah tindakan pembelotan yang boleh dikenakan tindakan disiplin. Walaupun dia bebas mengambil keputusan dan bertindak sendirian, kemenangannya dalam pilihan raya yang lepas bukan kerana dirinya sendiri sebaliknya adalah kerana sokongan padu parti yang diwakilinya.

Manikavasagam pernah ditegur oleh Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali yang menyatakan Manikavasagam sering memburukkan parti melalui media. Kini beliau melakukannya sekali lagi.

Menjadi ahli parlimen perlukan ketabahan dan kesabaran serta kematangan. Sesebuah organisasi akan lumpuh dan hilang sokongan jika isu-isu dalaman diketahui oleh orang ramai yang melihat kekuatan parti semakin ampuh. Apatah lagi peranan media yang sangat berkesan akan mengundang konflik yang berpanjangan.

Tindakan Manikavasagam selepas ini ialah berjuang bersendirian untuk rakyat di kawasan parlimennya. Hakikatnya ialah beliau telah tersalah membuat keputusan iaitu kesan daripada singkatnya berfikir. Berjuang dalam kumpulah adalah lebih baik daripada sendirian. Sejauh mana impak usaha sendirian yang akan dilakukan oleh Manikavasagam dapat diketahui dalam masa yang singkat. Bermula dengan tidak ada siapa lagi yang akan mempeduli kehadirannya, suaranya juga akan ditolak ke tepi dan seterusnya tidak akan diberi keutamaan untuk membuat rujukan. Akhirnya beliau akan letih dan tidak dihiraukan. Rakyat di kawasannya juga tidak terbela dan apa yang berlaku selepas itu akan dituding ke arahnya. Jalan berlopak-lopak, longkang tersumbat, banjir dan jenayah, semuanya akan diletakkan ke atas bahunya untuk dipikul seorang diri.

Kita berharap Manikavasagam akan bersedia dengan suasana politik dan kehidupan baru sebagai wakil rakyat sebatang kara.

[Rujukan:
http://www.parlimen.gov.my/DewRakyat_KedAhli_detail.php?id=85, http://ms.wikipedia.org/wiki/Manikavasagam_Sundaram]

No comments:

Post a Comment