Wednesday, December 24, 2008

Penghantaran peribadi makanan dari restoran ke rumah

Bermacam-macam cara yang digunakan bagi memberi layanan istimewa kepada pelanggan. Pizza Hut memperkenalkan pelayan penghantaran peribadi kepada pelanggannya dengan bayaran istimewa dan cepat. Model ini menjadi ikutan pengusaha makanan lain.

Perkhidmatan penghantaran makanan dari pelbagai jenis restoran yang berselerakan merupakan satu bentuk peluang bisnes kepada usahawan dan restoran. Sekali lagi kedua-dua pihak mendapat situasi menang-menang.

Restoran dapat mempercepatkan jualan dan menambah pelanggan manakala usahawan penyedia khidmat penghantaran peribadi dapat menambah sedikit keuntungan melalui khidmat yang disediakan.

Konsep bisnes ini ialah perkhidmatan. Ia sama seperti bisnes perkhidmatan yang lain iaitu memberi kemudahan kepada orang ramai tanpa mengalami kesesakan jalan raya dan dapat menikmati hidangan seperti mana yang terdapat di restoran asal.

Bayangkan jika anda dapat membuat jaringan dengan 100 buah restoran di sekitar kawasan anda dan menyediakan 3,000 menu makanan, bisnes anda pasti berkembang dalam masa yang singkat. Lebih baik lagi jika anda dapat bekerjasama dengan rangkaian restoran yang terkenal, menawarkan harga yang berpatutan dan jaminan cita rasa yang menyelerakan.

Anda boleh membina laman web dan talian telefon khusus untuk menerima tempahan. Dengan mengenakan bayaran minimum untuk setiap tempahan setelah mengambil kira kos, anda masih mampu mendapat untuk untuk setiap penghantaran. Masa perkhidmatan pula boleh dilanjutkan sehingga lewat malam mengikut kesesuaian.

Idea bisnes seperti ini sangat baik untuk warga kota yang enggan bersesak di jalan raya dan beratur panjang untuk mendapatkan makanan kegemaran mereka. Jadi, jika anda hendak memulakan bisnes ini, pastikan ianya bermula di bandar.

No comments:

Post a Comment