Berkongsi membaca menggalakkan minat kanak-kanak untuk membaca dari peringkat awal. Kaedah ini amat sesuai untuk kanak-kanak prasekolah yang mahu membaca dan menunjukkan kesediaan ke arah tersebut.
Bersama-sama membaca dapat membantu kanak-kanak yang memulakan persekolahan tetapi kurang yakin dengan teknik membaca yang diajar oleh guru. Bagi yang tidak lancar membaca, rakan kongsi membaca mampu memberi keyakinan diri untuk berani mencuba dan melancarkan bacaan.
Kanak-kanak sangat gemar melakukan sesuatu kerja secara bersama-sama.Ia adalah pendekatan yang mudah dan ringkas khususnya ibu bapa yang jarang bersama dengan anak-anak. Cara ini bertujuan membina keyakinan diri dan rasa selamat untuk membaca dan TIDAK difokuskan pada kesilapan.
Jika berlaku kesilapan menyebut bunyi huruf atau membunyikan patah perkataan, rakan kongsi membaca mesti membetulkannya serta-merta supaya dia tidak ulang kesilapan tersebut pada bacaan yang seterusnya.
Berkongsi membaca ada dua peringkat. Peringkat pertama adalah membaca bersama-sama. Apa yang patut dilakukan ketika ini ialah:
1. Membiarkan kanak-kanak memilih buku yang disukai. Apa sahaja tema atau bentuk buku yang dipilih, banyak gambar atau tulisan, serahkan kepada minat mereka. Anda hanya memerhati dan memuji pilihan buku berkenaan sambil berjanji akan membaca bersama-sama.
2. Suara mesti jelas, intonasi mengikut cerita dan memegang jari telunjuk kanak-kanak di bawah huruf atau ayat yang dibaca. Kelebihan menggunakan jari ialah dapat membantu kanak-kanak memberi fokus kepada apa yang dibaca dan mengelakkan gangguan daripada persekitaran.
3. Kesilapan ketika membaca adalah biasa. Jadi, cara menegur dan membetulkan kesilapan juga sangat penting kerana salah tegur akan mengurangkan minat untuk membaca. Kanak-kanak boleh diajar dan dibetulkan kesilapan bacaan.
4. Ulang sesi membaca 2 hingga 3 kali sehari. Setiap sesi tidak perlu panjang, cukup hanya 15 minit kerana pada kanak-kanak, mereka merasakan lima minit adalah satu tempoh yang panjang.
Peringkat kedua ialah berkaitan keselesaan membaca. Pengetahuan rakan kongsi membaca yang baik dapat membantu memberi rasa seronok dan menambah minat kanak-kanak membaca. Jika anda bijak memujuk kanak-kanak yang sentiasa lari ke sana-sini untuk duduk sebentar membaca, anda adalah seorang pendidik yang hebat.
Menarik perhatian kanak-kanak untuk duduk di sebelah dan membuka buku kegemaran mereka akan menjadi lebih mudah jika ada ruang khas membaca. Misalnya di rumah, jika ada ruang membaca yang dibuat untuk semua orang menggunakannya, ia dapat membantu kanak-kanak meniru perbuatan orang dewasa mentelaah.
Semasa membaca, biasakan diri anda berada di sebelah atau meriba mereka supaya wujud semangat yang berkobar-kobar untuk membaca. Anda juga dapat memberi perhatian ke atas setiap kesilapan huruf yang disebut.
Andai kata kanak-kanak tidak mahu diganggu ketika mereka sedang asyik membaca, biarkan saja keadaan itu. Sebenarnya mereka sedang berada dalam alam yang mengasyikkan. Kadangkala kita akan perasaan mereka bercakap seorang diri ketika membelek buku.
No comments:
Post a Comment