Friday, December 19, 2008

Malaysia duduki tangga ke-45 dalam kaji selidik EFA 2009

Kedudukan Malaysia dalam Indeks Pembangunan Pendidikan Untuk Semua (EDI) meningkat ke tangga 45 daripada 129 negara yang terlibat dalam kaji selidik Laporan Pemantauan Global (GMR) 2009 berbanding kedudukan 56 yang dicapai pada GMR tahun ini.

Pencapaian itu bermakna Malaysia, antara penyokong kuat Agenda Untuk Semua (EFA), berjaya melonjakkan kedudukannya dari aras sederhana pada EDI GMR 2008 (0.945) kepada aras tinggi EDI GMR 2009 (0.965).

Peningkatan 0.02 skor EDI itu adalah berdasarkan peningkatan skor empat matlamat yang dinilai iaitu kadar net enrolmen sekolah, kadar literasi dewasa, Indeks Kesamarataan Gender dan kadar murid yang menamatkan persekolahan ke tahun 5, kata Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam kenyataan di sini.

Bagi kadar net enrolmen sekolah rendah, ia meningkat daripada 0.954 kepada 0.999, kadar literasi dewasa meningkat daripada 0.904 kepada 0.915, indeks kesamarataan gender meningkat dari 0.938 kepada 0.952 dan kadar murid yang menamatkan persekolahan ke tahun 5 meningkat dari 0.984 keda 0.993.

Laporan tahunan GMR itu merupakan mekanisme untuk memantau kemajuan negara-negara anggota Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) mencapai matlamat EFA menjelang 2015.

[Bernama, 19/12/2008]

No comments:

Post a Comment