Friday, December 05, 2008

Jangan merasa lemah

'Dan janganlah kamu merasa lemah dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang beriman.' [Ali-‘Imran:139]

Kefahaman kita terhadap setiap detik kehidupan yang sedang dilalui dapat membantu dalam proses membuat keputusan kerana setiap kejadian atau perkara yang berlaku ada sebab-musababnya. Kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian ahli keluarga juga mempunyai hikmah yang tertentu untuk kita fahami. Malah kejayaan kita dalam sesuatu bidang turut memberi hikmah yang tertentu.

Beberapa tahun yang lalu, sebuah keluarga yang agak senang kehidupan mereka telah membuat keputusan untuk memagari kawasan rumah banglo mereka. Di kiri dan kanan rumah ini hanyalah rumah kayu yang kecil dan dihuni oleh beberapa keluarga orang biasa saja. Memagari kawasan rumah menyebabkan hubungan dengan jiran agak renggang dan tidak ramai orang yang ingin mengambil tahu kehidupan keluarga kaya berkenaan.

Tiga bulan sebelum hari raya puasa, tuan punya rumah dan isterinya menerima khabar yang amat menyedihkan iaitu anak lelaki sulung dan dua anaknya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Cuma isteri dan seorang lagi anaknya yang kecil telah selamat.

Kita tidak boleh menyalahkan keluarga ini kerana tindakan mereka membuat pagar rumah kerana mungkin kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan pencuri dan sebagainya. Perkara utama ialah kemalangan yang berlaku dan meragut banyak nyawa. Kita tidak dapat bayangkan bagaimana sedih dan hibanya seorang ibu yang kehilangan anak dan curu serentak. Justeru, adalah wajar kita merenung maksud ayat di atas sebagai penguat semangat untuk hidup.

Walaupun ayat ini berkait dengan pendakwah dan pejuang agama Allah, namun sebagai orang beriman, kita boleh menjadikannya sebagai pedoman untuk meneruskan kehidupan biarpun terlalu banyak rintangan yang dihadapi. Ketika susah, kita perlukan sesuatu untuk memberi sokongan supaya kita tidak berasa lemah dan hilang tumpuan.


Pemberi sokongan yang paling hebat dan sentiasa mendorong kita untuk sabar menempuh sebarang cabaran ialah Allah swt.

No comments:

Post a Comment