Wani Wendy Wong Abdullah adalah nama Islam bagi pelakon dan penerbit filem berketurunan Cina, Wendy Wong. Beliau menerima hidayah Allah swt setelah berfikir secara mendalam kesan daripada tindakannya itu kerana memang sukar bagi sesiapa sahaja untuk menerima satu ajaran baru yang asing dalam hidup. Pengislaman Wani itu disempurnakan dengan mendaftarkan diri sebagai saudara baru di JAWI beberapa hari lalu.
Pintu hidayah akan terbuka kepada manusia yang dipilih Allah swt tanpa mengira siapa, kaum atau pangkatnya dalam masyarakat. Setelah Allah swt memberi hidayah, tidak ada siapa pun yang dapat menghalang-Nya daripada mencabut kembali hidayah yang dianugerahkan itu. Pada zaman jahiliyah, sesiapa sahaja yang memeluk Islam terpaksa berhadapan dengan ancaman dan pemulauan masyarakat. Namun, keadaan tersebut tidak banyak kedengaran berlaku pada hari ini walaupun ada di kalangan saudara baru ini yang dihalau oleh keluarga masing-masing.
Penyelidik pernah berjumpa dengan seorang saudara baru keturunan India di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Selangor beberapa tahun yang lalu. Ketika itu jemaah sudah selesai menyempurnakan solat maghrib. Entah tanpa sebab, seorang lelaki India dalam lingkungan 25 tahun menegur penyelidik ketika riak mukanya umpama seorang yang penuh mengharap. Suaranya perlahan sambil memperkenalkan diri sambil menghulurkan surat akuan masuk Islam untuk penyelidik lihat.
Bagi mengetahui lebih lanjut cerita lelaki bertuah ini, penyelidik minta pemuda ini untuk bercerita sedikit tentang keadaannya dan bentuk bantuan yang boleh diberikan. Menurutnya, beliau baru sahaja lari dari rumah keluarga di Kelang setelah dipukul dan dibelasah sehingga telinganya berdarah. Beliau juga belum makan sejak sehari yang lalu dan hanya minum air sejuk. Kehadirannya ke masjid itu hanyalah menumpang pak cik yang sanggup menghantarnya ke mana-mana masjid yang jauh dari rumah keluarganya.
Timbul rasa ihsan dan simpati ke atas lelaki ini. Lalu penyelidik berjumpa dengan pengerusi masjid dan memaklumkan keadaan pemuda tersebut. Dengan sukacita, pengerusi masjid yang dalam lingkungan 40-an pergi ke pejabatnya di masjid itu, mungkin mencari sesuatu.
Lima belas minit kemudian, beliau datang bersama sedikit wang dan dihulurkan kepada pemuda tadi. Penyelidik lihat wajahnya berseri-seri dan mengucapkan Alhamdulillah.
Penyelidik bertanya lagi adakah wang tersebut cukup dan beliau mengangguk. Maknanya cukup untuk keperluannya ke Kota Bharu, Kelantan pada malam itu juga. Selesai solat isyak, penyelidik menjemput beliau untuk ke stesen LRT Cahaya bagi meneruskan perjalanan ke Hentian Putra, Kuala Lumpur. Sebelum keluar dari kereta, penyelidik turut menghulurkan sedikit wang belanja bagi kemudahannya apabila tiba di Kota Bharu kelak. Belia memilih Kelantan kerana di sana mudah untuk belajar agama Islam di samping syiar Islam yang amat ketara. Beliau juga memberitahu penyelidik bahawa dia akan berjumpa dengan Tok Guru Nik Aziz.
Urusan dakwah dan tarbiyah adalah urusan setiap umat Islam. Peranan dakwah ini akan lebih kemas dan perkasa apabila ia dibantu oleh pemerintah yang bercita-cita hendak menegakkan cara hidup Islam. Kesedaran dakwah pula harus bermula di rumah dan dipancarkan ke dalam kehidupan seharian melalui amalan wajib iaitu solat.
Dakwah kepada golongan muda masyarakat Cina dan India pada hari ini lebih mudah kerana terlalu banyak pendedahan yang mereka dapati daripada masyarakat Melayu yang beragama Islam. Kita ambil contoh kehidupan berkeluarga, masyarakat Melayu yang kuat dengan ajaran Islam dan dapat kita lihat di mana-mana sahaja iaitu amalan mencium tangan orang tua seperti ibu bapa, pak cik atau sesiapa sahaja yang lebih tua. Amalan ini tidak ada dalam masyarakat bukan Islam dan ia merupakan satu daya penarik yang sangat hebat jika dikongsi bersama mereka.
Pendedahan dalam persekitaran hari ini juga menjadikan masyarakat Cina dan India terdedah kepada dakwah Islam secara tidak langsung. Contohnya di tempat kerja, terdapat majikan bukan Islam yang menegur pekerja Islam untuk berhenti menunaikan solat Jumaat. Ini menunjukkan mereka memahami benar tuntutan Islam kepada penganutnya.
Selain itu, perkahwinan campur juga semakin ditonjolkan oleh media. Melalui pendedahan seperti ini di harap ketegangan antara kaum dapat dikendurkan seterusnya membina suasana lebih harmoni.
Kisah Wani Wendy Wong dan pemuda India tadi bukanlah penghujung kepada keghairahan generasi muda bukan Islam di Malaysia untuk menerima hidayah Allah swt, sebaliknya ia akan bertambah dari semasa ke semasa. Cuma urusan dakwah ini mesti diperhebatkan di samping melaksanakan tuntutan Allah swt dalam semua perkara termasuk hudud dan qisas. Masyarakat islam tidak perlu gentar ancaman golongan yang tidak gemar kepada pelaksanaan syariat Islam ini.
No comments:
Post a Comment