Tuesday, December 02, 2008

Memperkasa hak wanita







Wanita seringkali dilihat berada di sebalik tabir kejayaan lelaki. Ukuran kejayaan ini meliputi kejayaan dan kepuasan diri yang banyak bersangkut-paut dengan kejayaan dunia. Ada ungkapan menarik yang sering keluar dari mulut penceramah lelaki iaitu ‘rumah besar, kereta besar dan isteri besar.’ Jarang benar wanita mendapat kredit di atas kejayaannya sendiri.

Bagaimana pula keadaannya di mana sesetengah lelaki memberi penghormatan yang lebih adil ke atas wanita sementara sebahagian lagi tidak?

Sejarah layanan ke atas wanita berbeza-beza dalam masyarakat dunia. Di Eropah misalnya, ada teori yang menyatakan wanita adalah spesies jadian di antara beruk dan manusia serta pendapat yang mendakwa wanita tidak ada jiwa. Dalam masyarakat Arab jahiliyah, kanak-kanak perempuan dilayan dengan buruk dan ditanam hidup-hidup bagi mengelak keluarga dihina.

Selepas masyarakat Arab menerima Islam, status wanita telah diangkat dan diletakkan pada tempat yang sewajarnya. Bagaimanapun pada hari ini terdapat gerakan wanita yang mula menggerakkan kempen pembebasan wanita daripada peraturan-peraturan yang lebih memihak kepada lelaki.

Lalu kita bertanya apakah ianya perlu? Apakah selama ini wanita tidak dilayan dengan adil ataupun apakah wanita hari ini menderita yang sangat teruk?

Semakin ramai wanita yang kita lihat mengambil pendekatan hidup yang lebih bebas, berusaha sehingga berjaya dalam kerjaya, profesional dan dapat memenuhi impian hidup ketika masih muda. Ciri-ciri ini adalah ukuran kejayaan yang ditafsir daripada perspektif dunia acuan Barat. Namun, hakikatnya ialah wanita:

-adalah isteri kepada suaminya.
-adalah ibu kepada anak-anak.
-guru kepada anak-anak untuk bezakan betul dan salah.
-tutor yang membantu kerja-kerja rumah.
-ahli psikologi yang menggunakan kebijaksanaan menyelesaikan konflik rumah tangga.
-kaunselor untuk mententeramkan anak-anak.
-pakar kewangan yang menyediakan bajet keluarga.
-tukang masak yang menyediakan resepi baru setiap hari.
-pemandu yang menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah.
-penyambut tetamu yang sentiasa senyum dan ramah dengan tetamu.
-pelayan yang menyediakan keperluan orang lain sebelum keperluan untuk dirinya.

Senarai peranan wanita dalam kehidupan hari ini lebih banyak jika mereka telah berkeluarga. Menjadi suri rumah bukannya tidak bekerja, sebaliknya melaksanakan tugas-tugas berkenaan secara serentak. Mereka umpama ketua pegawai operasi keluarga bagi memastikan semua urusan berjalan dengan lancar.

Wanita harus dan mesti dilayan dengan adil seiring dengan hak yang mereka ada di dalam masyarakat. Mereka tidak harus dianggap sebagai warga kelas kedua. Peranan wanita sangat penting dalam pembangunan negara kerana kehadiran mereka telah membantu pelaksanaan tugas yang rumit dalam pelbagai bidang.

Membuka peluang pendidikan kepada wanita umpama memberi intan dan permata kepada kehidupan kerana ia banyak menyelesaikan masalah masyarakat dan negara. Elemen yang paling penting ialah penyertaan wanita telah membantu pembuatan keputusan yang lebih bernas. Ia juga bertepatan dengan sunnah yang menawarkan pembebasan kepada tawanan perang jika mereka dapat mengajar orang Islam membaca dan menulis.

Ibu yang berpendidikan mampu mendidik anak-anak tentang moral dan etika, berusaha dan berkembang untuk berjaya. Dia juga boleh mengangkat maruah dan harga diri anak-anak untuk berbangga dengan dirinya, penampilan di luar, kepercayaan agama, budaya, cara hidup dan prinsip diri.

Gerakan pembebasan wanita hari ini adalah persepsi Barat yang telah mempengaruhi cara berfikir wanita-wanita Islam seluruh dunia. Islam yang telah membebaskan wanita daripada fikiran kolot dan dangkal, mengangkat kedudukan mereka sebagai pelengkap kepada lelaki.

Berusaha untuk sama taraf dengan lelaki hanya akan merendahkan martabat dan mengurangkan hak kerana lelaki tidak dapat memberi hak yang sedia ada. Wanita sendiri yang harus berusaha untuk memperkasa hak sendiri dan melihat kehidupan daripada perspektif wanita, bukanya daripada perspektif lelaki.

No comments:

Post a Comment