Oleh Siti Shamsiah Mohd. Sufi
Ibu tunggal merujuk kepada kaum ibu yang berada dalam beberapa keadaan; iaitu mereka yang telah kematian suami dan menjadi tonggak keluarga untuk menyara anak-anak.
Selain itu 'ibu tunggal' juga merujuk kepada wanita yang telah dicerai oleh suami dan mempunyai hak penjagaan anak-anak sebagaimana yang diperintah oleh mahkamah. Ia juga merujuk kepada wanita yang ditinggal suami tanpa sebarang nafkah diberi kepadanya dan anak-anak oleh pihak suami, dan wanita yang tinggal berasingan dengan suami tetapi berperanan sebagai induk keluarga.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah meluaskan lagi maksud ibu tunggal sebagai wanita yang sedang melalui proses perceraian yang panjang. Dalam tempoh itu anak-anak diletakkan di bawah jagaan mereka; mereka yang mempunyai suami uzur dan memerlukan penjagaan; wanita yang menjaga anak orang lain tanpa bantuan suami; dan wanita yang memilih untuk membesarkan anak yang lahir bukan daripada perkahwinan yang sah.
Apabila sesebuah institusi keluarga itu telah kehilangan kaum bapa yang berperanan sebagai tonggak dan ketua keluarga, maka peranan tersebut secara automatik diambil oleh ibu menjadikan ibu tunggal mempunyai peranan yang berganda.
Mereka bukan sahaja perlu mengurus keperluan keluarga seperti sebelumnya, malah perlu berusaha untuk memastikan kewangan keluarga kukuh, mentadbirnya dan juga memantau pembesaran, pendidikan dan pergerakan anak-anak. Pendek kata, apa sahaja urusan yang bersangkutan dengan keluarga, seratus peratus ditanggung oleh ibu tunggal.
Tentunya lebih rumit, perit dan merupakan cabaran yang sangat berat bagi ibu tunggal yang sebelum berpisah dengan suami, tidak mempunyai pendapatan bulanan yang tetap sama ada melalui pekerjaan formal ataupun hasil daripada pemilikan sebarang harta. Dalam keadaan ini, ibu tunggal amat mudah terjebak ke dalam keadaan yang terpinggir lagi miskin.
Ibu tunggal adalah istilah yang sangat rapat dengan penderitaan dan kehidupan yang sukar. Bagaimanapun, keadaan yang ditanggung oleh wanita yang bekerja secara formal tidaklah seperit yang dihadapi oleh suri rumah sepenuh masa apabila perpisahan dengan suami berlaku.
Mereka yang bekerja secara formal walaupun berpendapatan rendah mempunyai lebih peluang untuk mendapatkan bantuan atau lebih mengetahui tempat-tempat mengadu seperti agensi-agensi yang mewakili pihak kerajaan.
Khalifah Sayidina Umar al-Khattab memang terkenal sebagai seorang ketua negara yang rajin 'turun padang' untuk melihat dan menyiasat keadaan rakyat. Antara peristiwa yang dilalui oleh Khalifah Umar dan berkaitan dengan permasalahan ibu tunggal ialah apabila beliau bertemu dengan seorang wanita rumah bersama beberapa orang anaknya yang sedang menangis kelaparan.
Disebabkan tidak ada sebarang bahan untuk dijadikan sebagai makanan sekalipun sebagai alas perut, maka ibu ini membuat helah untuk mententeramkan perasaan anak-anaknya dengan merebus batu. Dia memujuk anak-anaknya supaya bersabar kerana 'makanan' yang sedang disediakan belum masak lagi.
Helahnya hanya bertujuan untuk menjadikan anak-anaknya supaya lena dan berakhirlah tangisan dan kelaparan buat sementara waktu.
Keadaan yang ditemui oleh Khalifah Umar ini menyebabkan hati beliau sangat sebak dan rasa amat bersalah. Dengan segera beliau terus menuju ke Baitulmal untuk mengambil seguni gandum. Dipikulnya guni gandum itu sendirian dan beliau dengan keras menolak pelawaan pegawainya yang ingin menghulurkan bantuan.
Beliau mengatakan kepada pegawainya bahawa pada waktu tersebut (semasa di dunia) sememangnya beliau boleh dibantu untuk meringankan beban yang digalas, akan tetapi apabila berada di akhirat kelak tidak ada seorangpun yang mampu membantunya untuk menjawab pelaksanaan tanggungjawabnya.
Beliau menegaskan bahawa perkara tersebut merupakan dosa pahala dirinya sebagai seorang pemimpin yang culas dan lalai dalam menguruskan hal-ehwal rakyatnya sehingga kelaparan dan tergamak menipu anak-anak dengan merebus batu yang sampai bila tidak akan bertukar menjadi makanan yang boleh ditelan.
Dengan perasaan sangat kesal, Khalifah Umar mengatakan bahawa tidak ada sebarang alasan untuknya mengelak daripada sikap lalainya. Bagi menebus rasa bersalah beliau, Khalifah Umar sendiri yang menyediakan makanan dan menyuapkan makanan tersebut ke dalam mulut anak-anak yang menangis kelaparan sehingga beliau yakin anak-anak tersebut telah kekenyangan.
Walaupun dunia pada hari ini telah berubah dari pelbagai segi, pendekatan yang diambil oleh Khalifah Umar sewajarnya menjadi teladan kepada pemimpin-pemimpin pada hari ini di segenap peringkat.
Ini kerana terdapat kalangan ibu tunggal yang tidak mempunyai pengetahuan atau pendidikan yang tinggi, malah mungkin juga ada kalangan mereka yang kurang upaya sehingga menjadikan mereka kebuntuan untuk mencari tempat mengadu.
Sebagai ahli masyarakat yang penyayang dan prihatin, tentunya kita mengharapkan agar agensi atau pihak yang mewakili pemerintah dapat melaksanakan amanah ini dengan cekap dan berkesan.
Ini kerana kita amat memahami bahawa institusi keluarga diberi pengiktirafan sebagai institusi sosial yang penting dalam masyarakat.
Ia dilihat sebagai tulang belakang kepada pembangunan dan kesejahteraan negara. Institusi keluarga yang mengalami kepincangan, seperti yang ditanggung oleh golongan ibu tunggal terpinggir perlu diberi sangga, sokongan dan bantuan supaya ia masih berkemampuan untuk bersama-sama membawa peranan tersebut.
[Utusan Online, 27/12/2008]
No comments:
Post a Comment