Perubahan sentiasa berlaku. Jika enggan berubah, seseorang akan ditinggalkan, bukannya dekat tetapi dalam jarak yang jauh. Banyak kejadian yang berlaku di mana orang susah menjadi senang dan kaya-raya kerana rajin berusaha dan sentiasa mencari jalan membuat perubahan hidup. Pelajar yang lembap dan sering gagal dalam peperiksaan boleh berubah menjadi pelajar yang pintar dan mendapat anugerah dekan apabila bersedia mengikuti beberapa prinsip kecemerlangan diri.
Seorang kaki judi yang ingin berhenti dari bermain judi boleh dapat berbuat demikian dengan memiliki niat dan azam yang tinggi untuk membuat perubahan. Niat ini akan merangsang pemikiran dan tindakan.
Seorang pegawai kerajaan yang lemah penguasaan bahasa Inggeris mampu membuat transformasi yang hebat jika bersedia untuk belajar, membuat pelaburan wang, masa dan fikiran atau mahu berusaha. Usahanya bukan sekadar belajar di dalam negara sebaliknya berusaha sehingga di negara yang rakyatnya bercakap bahasa Inggeris. Dia mampu bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris bagi tempoh tiga hingga enam bulan jika mahu.
Walaupun peringkat awal amat sukar untuk membuat perubahan, ia akan menjadi lebih mudah dari semasa ke semasa apabila kita telah biasa dengan amalan ke arah perubahan bekenaan. Kita ambil contoh azam tahun baru. Setiap hujung tahun, ramai yang berkobar-kobar membuat azam baru sempena menyambut kehadiran tahun baru. Banyak senarai tindakan yang hendak dilaksanakan dari hal-hal yang remeh hinggalah kepada azam yang mencabar seperti panjat bukit, mengumpul wang ribu-ribu dan melancong ke luar negara.
Seorang rakan ingin benar menyelesaikan hutang kad kredit yang banyak tetapi tidak mampu menyelesaikannya dalam satu tahun. Bagi azam tahun baru, beliau meletakkan matlamat ‘hutang selesai’ pada tahun 2009 sebagai azam paling utama dan penting. Baginya, kad kredit telah memberi beban kepada hidup, menyusahkan diri sehingga menjejaskan kesihatan dan hubungan kekeluargaan. Justeru, masalah hutang mesti diselesaikan segera dengan apa cara sekali pun.
Membentuk azam sempena tahun baru amat berkesan ke atas pemikiran kerana ia bertindak sebagai pemutus kepada fikiran lama dan mencetuskan ghairah untuk membuat perubahan baru. Di sinilah kehebatan otak manusia kerana ia diprogramkan untuk mampu lupa peristiwa yang lama dan telah berlalu, pada masa yang sama dapat membuat bayangan peristiwa yang diingini.
Walaupun banyak senarai azam yang hendak dilakukan, ianya tidak akan memberi sebarang faedah kepada hidup dunia dan akhirat jika kita hanya ‘meratib’ dan mengulang-ngulang azam tanpa membuat sebarang tindakan. Mustafa Masyur menyifatkan orang yang hebat ialah yang bersegera mencari kesempatan berbanding menunggu kesempatan. Mencari lebih baik baik daripada menunggu kerana ia menunjukkan sifat proaktif dan mahukan perubahan manakala menunggu adalah simptom orang malas, reaktif dan tidak ada daya fikir yang cerdas.
Azam tahun baru hanya akan berjaya apabila kita membuat tindakan secara sistematik dan terarah. Ia akan tinggal azam jika tidak ada sebarang tindakan diambil.
‘Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang-orang yang mendahului pada mencapainya.’ (Al-Mu’minun 61)
No comments:
Post a Comment