Wednesday, December 17, 2008

Menggunakan cerita rakyat bagi memperkayakan dan menggalakkan pendidikan untuk anak-anak Orang Asli di Malaysia

oleh Steve Nettleton

Mereka berkumpul di sekeliling seorang yang tua dan dihormati, generasi yang muda sedang mendengar kisah-kisah rakyat berkenaan dengan nenek moyang mereka. Dengan memakai hiasan di kepala yang diperbuat daripada daun-daun kering, Awang Bin Alok, 67 tahun, berkongsi cerita dengan anak-anak muridnya yang bersila di atas anjung rumah papannya.

Tradisi yang diturunkan dalam bentuk cerita ini memainkan peranan yang penting bagi masyarakat etnik Jakun Tasik Cini di Semenanjung Malaysia. Ia berperanan bukan sahaja untuk mendidik kanak-kanak seperti Nurkafiha yang berumur sembilan tahun tentang sejarah masa lalu tetapi ia juga boleh memberikannya peluang untuk masa hadapan yang lebih cerah.

Nurkafiha kini sedang menuntut di darjah tiga di sekolah rendah Tasik Cini. Melalui aktiviti bercerita dan menyanyi, dia dapat mempelajari tentang warisan nenek moyangnya yang menjadikan pembelajaran lebih menarik.

Cerita rakyat etnik di dalam kurikulum sekolah


“Saya amat menyukai cerita rakyat kerana ianya amat lucu,” kata Nurkafiha. “Dan saya boleh berlakon, dan membaca serta menulis.”

Memperkenalkan cerita rakyat etnik ke dalam kurikulum ini merupakan sebahagian daripada usaha yang disokong oleh UNICEF untuk mengurangkan kadar keciciran di kalangan penduduk asal di Malaysia, juga lebih dikenali sebagai Orang Asli.

Pendaftaran persekolahan untuk anak-anak Orang Asli sememangnya agak ketinggalan berbanding dengan lain-lain bangsa di Malaysia, ini mungkin disebabkan oleh perbezaan budaya dan mungkin disebabkan mereka seringkali menetap di kawasan-kawasan pedalaman negara ini. Di Tasik Cini, kebanyakan pelajar terpaksa pergi dan kembali dari sekolah dengan menaiki bot daripada perkampungan-perkampungan yang terletak jauh beberapa kilometer.

Program pendidikan diperluas


Kadar pendaftaran telah meningkat semenjak beberapa dekad yang lepas. Namun begitu, pada tahun 1994, 51 peratus daripada anak-anak Orang Asli tercicir sebelum menamatkan sekolah rendah. Menjelang tahun 2004, soal selidik yang dijalankan oleh UNICEF Malaysia telah menunjukkan bahawa 14 peratus daripada anak-anak Orang Asli yang sepatutnya berada di sekolah rendah tidak menghadiri sekolah.

Dengan bantuan dari UNICEF, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperluaskan lagi program pendidikan pemulihan khas kepada 93 buah sekolah Orang Asli di seluruh negara, UNICEF dan pihak kementerian juga kini sedang bekerja untuk membangunkan bahan-bahan pembelajaran yang baru yang menggabungkan cerita-cerita rakyat dan teknik-teknik bercerita di mana kanak-kanak daripada pelbagai kumpulan etnik Orang Asli dapat memahami dengan lebih mudah.

“Program ini benar-benar membantu,” kata pengetua Sekolah Rendah Tasik Cini, Akit bin Huat, “kerana di dalam masyarakat ini bercerita merupakan satu bentuk hiburan. Apabila seorang pencerita berkongsi sebuah kisah dengan anak-anak dan cucu, mereka membantu kanak-kanak ini untuk mengingati cara kehidupan masyarakat mereka sendiri. Ia membuatkan kanak-kanak ini lebih berminat.”

[UNICEF Malaysia]

No comments:

Post a Comment