Apabila ibu bapa dan penjaga membantu kanak-kanak belajar membaca, mereka membantu membuka pintu kepada dunia baru masa depan. Sebagai ibu bapa, kita sebenarnya telah memulakan rantaian pembelajaran yang tidak ada noktah.
Membaca kepada kanak-kanak bererti membina minat terhadap cerita, puisi, pantun, peribahasa, drama dan keinginan berusaha sendiri. Setiap kali mereka praktis membaca, sedikit demi sedikit akan terpupuk dalam diri mereka bahawa maklumat untuk membuat tindakan.
Secara tidak langsung menerapkan pemikiran baru yang dapat meluaskan dunia kehidupan mereka.
Apakah yang aktiviti yang baik untuk kanak-kanak berumur 3 hingga 10 tahun?
1.Baca bersama anak-anak dan jadikan ia masa bergembira bersama.
2.Rangsang minat anak dalam pembacaan dan bahasa.
3.Mengambil tahu kaedah membaca kanak-kanak di sekolah dan cuba bantu mereka untuk membaca di rumah.
Kita tidak perlu menjadi pengajar membaca yang hebat atau mengambil banyak masa untuk membaca bersama kanak-kanak. Perkara paling penting ialah menggunakan masa yang berkualiti, berterusan dan memenuhi keperluan membaca mereka.
Kelancaran membaca bergantung kepada dua kemahiran kritikal iaitu keupayaan mengenal pasti dan memproses ayat yang bercetak dan kedua ialah keupayaan memahami bahasa yang ditulis.
Kanak-kanak yang telah sedia memahami bahasa yang dituturkan, lancar dan cepat menangkap perkataan yang ditulis tidak mempunyai masalah besar untuk memahami buku yang dibaca. Bagaimanapun kanak-kanak yang ingin maju dalam pelajaran mesti menguasai kedua-dua keupayaan tadi, jika tidak proses membaca akan terbantut.
Di akhir sesi membaca, kanak-kanak sepatutnya berupaya menceritakan kembali kefahaman mereka dalam bentuk bahasanya tentang watak, plot cerita dan pengalaman-pengalaman yang menarik. Para penyelidik pembacaan menyifatkan pembaca mahir adalah seorang yang memahami apa yang ditulis di samping faham petikan-petikan tersebut apabila bercakap.
No comments:
Post a Comment