“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk.” [Al-Baqarah:45]
Cabaran hidup adalah rencah yang mematangkan pemikiran dan tindakan. Beberapa siri ujian yang kita alami merupakan cabaran untuk kita meningkat lebih maju dalam hidup. Ujian ini tidak mengira siapa: orang kaya, miskin, tua atau muda. Umpama seorang pelajar yang ingin memasuki universiti, dia perlu lulus beberapa siri ujian yang diberikan kepadanya supaya dapat menyesuaikan diri apabila diterima masuk belajar kelak.
Begitu juga dengan kehidupan sebenar kita. Antara ujian yang sering menjadikan kita resah dan gelisah ialah tidak cukup wang, hilang pekerjaan atau kematian.
Bagi orang miskin, ujian kewangan sentiasa menjadi masalah kerana tanpa wang, satu keluarga tidak cukup makan, tidak cukup belanja dan masalah kesihatan yang berpanjangan. Jika ada pekerjaan pun ianya tidak cukup untuk belanja kerana pendapatannya kecil, selari dengan tahap pendidikan yang ada.
Bagi orang putus cinta, mereka kerap hilang arah kerana pemikiran sudah buntu dan berkecamuk di antara realiti dan fantasi. Jalan terakhir yang kerap difikirkan ialah balas dendam atau bunuh diri. Orang-orang yang tidak beriman kepada Allah memilih bunuh diri sebagai penyelesaian kerana tidak sanggup berhadapan dengan tekanan.
Bagi yang bergaduh suami isteri, penceraian adalah jalan terakhir. Kedangkalan tindakan satu pihak sama ada suami atau isteri menuntut cerai pasti mengundang masalah besar kepada masa depan anak-anak.
Manakala pemimpin, berhadapan dengan konflik, krisis keyakinan, perpaduan masyarakat atau keselamatan adalah cabaran besar yang mesti dihadapi. Setiap keputusan yang diambil akan memberi kesan besar ke atas negara. Risikonya juga besar jika gagal melakukan tindakan yang terbaik untuk rakyat dan negara.
Sebesar mana pun cabaran yang dihadapi, ia membawa sekali tekanan. Keupayaan menghadapi tekanan ini berbeza-beza bagi setiap orang. Ada yang mampu berhadapan dengan timbunan masalah sebaliknya ada yang hanya dapat berhadapan dengan satu masalah kecil pada satu-satu masa.
Kita ambil contoh mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Umpama pepatah ‘berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul’ , keadaan mangsa dapat diambil iktibar kepada kita. Keadaan emosi dan psikologi mangsa dengan orang ramai yang memerhati tidak sama. Emosi mangsa sentiasa diselaputi risau dan kecewa yang akhirnya akan menimbulkan keadaan trauma. Saban hari mereka ini berfikir tentang keselamatan diri dan keluarga, fikirkan dokumen penting dan keadaan rumah yang ditinggalkan. Mereka juga mudah marah dan cepat melenting apabila ada pihak yang mengeluarkan perkataan yang mengguris hati.
Semua bentuk ujian ini ada hikmahnya. Jika kehidupan kita berada dalam suasana aman damai sahaja, tentu ada sesuatu yang tidak kena kerana bagi seorang hamba Allah, dia akan sentiasa diuji sama ada kecil ataupun besar.
Ujian ini pula berbagai-bagai, ada yang diterima melalui penyakit, kebakaran, ancaman bunuh, beban kewangan atau kemalangan jalan raya.
Seorang penulis dan penyelidik yang hebat, Harun Yahya dalam buku ‘Seeing good in all’ berkata, Allah mengetahu apa yang kita tidak tahu, justeru mesti bersangka baik dalam semua kejadian kerana ianya telah ditentukan. Bagi orang yang mempunyai perasaan dan berfikir begini, insya-Allah kehidupan akhirnya adalah cemerlang.
Melalui ujian dan menerima ujian berkenaan dengan redha adalah ciri-ciri orang yang beriman. Setiap kejadian itu walaupun mengecewakan perlu dikembalikan kepada pencipta manusia iaitu Allah swt kerana Dialah yang tahu apa yang baik dan buruk untuk kita.
Ujian hidup tidak dapat dielak kerana ia berada di mana-mana. Jika tidak dikenakan terus kepada kita, ia akan berlaku kepada orang yang hampir dengan kehidupan kita. Tindakan yang bijak ialah menguruskan ujian berkenaan dengan kepintaran berfikir yang ada pada diri kita sendiri. Tindakan pertama ialah sabar, menahan diri dari membuat keputusan melulu dan tanpa fikir panjang. Sifat sabar memberi ruang kepada minda untuk berfikir menyelesaikan masalah. Kedua, melaksanakan solat terus menerus. Solat dhuha dan solat hajat dapat membantu mendapat ilham dari Allah swt agar semua kemelut hidup yang dihadapi itu terungkai dengan sendirinya.
Ujian hidup juga harus diterima dengan hati terbuka kerana ia mematangkan diri. Apabila kematangan mendahului proses membuat keputusan, insya-Allah hasil keputusan berkenaan akan memuaskan hati. Justeru, cabaran hidup yang sama-sama kita lalui mesti ditempuh, diurus dan dihadapi dengan cara yang paling bijaksana.
No comments:
Post a Comment